Showing posts with label Ali Rustam. Show all posts
Showing posts with label Ali Rustam. Show all posts

Friday, September 17, 2010

POLIS LAMBAT BERTINDAK KES SALAH LAKU PEGUAM?

Polis juga yang menjadi sasaran.

Walaupun Majlis Peguam memecat kira-kira 30 hingga 40 peguam setiap tahun kerana pelbagai kesalahan namun tiada sebarang tindakan lanjut oleh polis walaupun laporan telah dibuat.

Itu ditegaskan oleh Presiden Majlis Peguam, K. Ragunath semalam.

Sehubungan itu beliau meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap peguam yang menyalahi undang-undang seperti terlibat dalam sebarang kes pecah amanah atau penggubahan wang haram.

"Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun, hanya itulah kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

"Isu kami di sini ialah polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam menyeleweng," katanya selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia semalam.

Dengan kata lain, Majlis Peguam tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang sebaliknya hanya boleh menghalang mereka daripada mengamalkan profesion undang-undang dengan menyenaraihitamkan mereka.

Majlis Peguam juga tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan peribadi setiap ahlinya termasuk mengenal pasti harta atau aset yang dimiliki mereka.

"Kita tidak ada kuasa untuk memenjarakan peguam yang bersalah kecuali memastikan mereka tidak lagi mengamalkan profesion mereka lagi," katanya.

Ragunath diminta mengulas mengenai gesaan beberapa pihak terhadap Majlis Peguam supaya bertindak terhadap ahlinya yang terlibat dengan jenayah ekoran pembabitan seorang peguam sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu baru-baru ini.

Katanya, sebarang laporan mengenai peguam yang melakukan jenayah perlu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bukan hanya ke balai polis biasa seperti yang dilaksanakan sekarang.

"Dengan ini tindakan terhadap peguam-peguam terbabit akan dilaksanakan secara tegas," katanya.

Menurutnya, Majlis Peguam juga sedia bekerjasama dengan polis dalam memastikan peguam yang terlibat dalam jenayah seperti pecah amanah menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi membincangkan mengenai kes-kes jenayah melibatkan peguam di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kelmarin. Ketua Menteri Melaka itu berkata, sebagai badan tertinggi pengamal undang-undang di negara ini, majlis tersebut perlu membersihkan imej institusi itu yang kini tercemar ekoran pembabitan ahlinya sebagai suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.

"Kes pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga lelaki lain melibatkan seorang suspek utama yang merupakan peguam bergelar Datuk sangat hina. Amat malang bagi negara kita jika seorang peguam boleh melibatkan diri dalam kes jenayah apatah lagi secara berterusan," katanya.

Tambah Mohd. Ali, melalui cara mengaudit dan menyemak kegiatan semua ahlinya, Majlis Peguam secara tidak langsung akan membantu pihak polis menggagalkan mereka yang pernah terlibat dengan kegiatan jenayah daripada mengulanginya.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula mencadangkan agar pengurusan Majlis Peguam diletakkan di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara atau diselia oleh suruhanjaya tertentu ekoran sikap selektif majlis tersebut dalam memperjuangkan sesuatu isu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sikap selektif Majlis Peguam terserlah apabila tiada sebarang kenyataan dibuat berhubung pembunuhan Sosilawati melibatkan suspek utama iaitu seorang peguam bergelar Datuk.

"Saya hairan dan tertanya-tanya kenapa tiada sebarang reaksi daripada Majlis Peguam sedangkan suspek ialah seorang peguam. Jika ini sikap Majlis Peguam, sudah tiba masanya, majlis itu diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara atau sebuah suruhanjaya," katanya.

Menurut Ibrahim, sikap berdiam diri Majlis Peguam itu menimbulkan pelbagai tanda-tanya kerana selama ini, jika terdapat kes pembunuhan berprofil tinggi seumpama itu, badan tersebutlah yang menjadi hero dengan membuat pelbagai desakan dan tuntutan kepada kerajaan.

Katanya, Majlis Peguam sepatutnya bersuara mengenai pembunuhan kejam yang menimpa Sosilawati dan tiga rakannya, apatah lagi perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut dilakukan di ambang Hari Raya Aidilfitri.

Ragunath pula menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.

"Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal.

"Jadi tolonglah, saya mohon kepada pihak media dan orang ramai agar memberikan polis sedikit ruang, mereka telah melakukan tugas yang cemerlang apabila mampu menyelesaikan kes berkenaan, namun, mereka yang ditahan adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu.

Saturday, March 21, 2009

NASIB MOHD ALI DI TANGAN NAJIB?

Punah ranah.

Harapan Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno hancur berkecai.
Ke manakah dia akan membawa diri selepas panel rayuan lembaga disiplin parti itu menolak rayuannya?

Mohd Ali semalam berkata tidak ada sebab untuk beliau meletak jawatannya itu sebagaimana yang didesak oleh parti pembangkang.

Memorandum yang dikemukakan pembangkang berhubung perkara itu adalah satu gimik politik dan tidak perlu dilayan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah menegasakan bahawa Mohd Ali terus menjadi Ketua Menteri Melaka.

Ini bermakna orang lain atau pihak lain jangan cakap banyak. Jika Mohd Ali direstui pemimpin UMN-BN, tidak perlu lagi ada komen lain.

Segala-galanya akan ditentukan selepas pemilihan UMNO dan peralihan kuasa nanti, sama ada Mohd Ali akan terus menjadi Ketua Menteri atau sebaliknya.

Dengan kata lain, nasib Mohd Ali kini berada di tangan Najib selepas pemilihan UMNO nanti.

Panel rayuan yang bermesyuarat semalam, sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan larangan terhadap Mohd Ali untuk bertanding selepas didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Pengerusi panel rayuan itu Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin yang mengumumkan perkara itu petang semalam berkata keputusannya berkuatkuasa serta-merta.

Sebelumnya beliau dilaporkan berkata, pada kebiasaannya, keputusan panel rayuan akan diterima oleh Majlis Tertinggi (MT).

MT, yang akan turut disertai oleh Mohd Ali sebagai seorang naib presiden, dijadual bermesyuarat pada 25 Mac ini, sehari sebelum mesyuarat agung dan pengundian barisan pemimpin atasan Umno.

Selasa lepas, Lembaga Disiplin Umno mendapati Mohd Ali bersalah melanggar peraturan pemilihan Umno dan dilarang meneruskan pertandingan jawatan nombor dua itu.

Mohd Ali dihukum berdasarkan Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga, iaitu ejen-ejennya terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

Ekoran itu, Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya yang didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik. Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail.

Thursday, March 19, 2009

MOHD ALI ‘AS GOOD AS FINISH”?

Apakah hukuman yang dijatuhi kepada Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberi isyarat bahawa beliau akan hilang segala-galanya?

Atau dalam bahasa Inggeris boleh disebut ‘ as good as finish’. Ini kerana rayuannya akan mengambil masa sambil banyak pihak bagaikan tidak mahu rayuan beliau diterima.

Apakah selepas ini apabila beliau tidak lagi mempunyai jawatan tinggi dalam UMNO, Mohd Ali akan digugurkan daripada menjadi Ketua Menteri Melaka?

Hakikatnya, tiada jaminan kes rayuan Mohd. Ali akan dapat diselesaikan sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang bermula 24 Mac ini.

Rayuan tersebut juga perlu melalui prosedur biasa seperti kes-kes lain tanpa perlu diberi sebarang keutamaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Panel Rayuan Lembaga Disiplin UMNO Tan Sri Zuki Kamaluddin hari ini.

Menurut beliau, proses rayuan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa dan melibatkan banyak prosedur serta aspek yang perlu dipatuhi.

"Kita tidak boleh gopoh-gapah, ini soal kedudukan orang, semua kes kita bagi keutamaan, yang kecil pun kita bagi keutamaan, semuanya sama sahaja," katanya.

Mohd Ali yang juga Naib Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka sebelum ini melepasi kelayakan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO untuk pemilihan parti kali ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, segala keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga semalam wajar dikekalkan sebagai bukti kesungguhan UMNO membanteras gejala politik wang.

Katanya, sebarang rayuan untuk membolehkan mereka yang dihukum bertanding semula tidak perlu dilayan.

Berikutan, Lembaga Disiplin UMNO perlu tegas dalam setiap keputusan yang dibuat dan tidak perlu melayan sebarang rayuan kerana ia hanya akan menjejaskan kredibiliti dan imej parti.

''Memang orang bersalah ada hak untuk merayu tetapi semua pihak tahu yang dia ini bersalah. Sekiranya dengan tiba-tiba orang seperti ini diberi kelonggaran, ia akan menyebabkan kredibiliti UMNO dan jawatankuasa disiplin hancur sama sekali.

''Jangan ganggu keputusan ini. Jika Majlis Tertinggi (MT) kata lain, tidak ada gunanya wujud jawatankuasa disiplin,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai akan berlakunya beberapa kemungkinan ekoran keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin semalam.

Beliau menolak unsur sabotaj dan kambing hitam dalam tindakan Lembaga Disiplin ke atas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berhubung politik wang.

Timbalan Perdana Menteri percaya dengan kewibawaan Lembaga Disiplin menangani gejala itu dalam usaha memastikan UMNO bersih daripada sebarang penyelewengan dan rasuah.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Perkhidmatan Elektronik Lembaga Hasil Dalam Negeri di sini hari ini.

Wednesday, March 18, 2009

APA KEPUTUSAN ABDULLAH MENGENAI MOHD ALI?

“Saya tidak bersalah...ketika hadapi parti bermasalah, parti perlu didokong untuk bertambah kuat.

Kita (UMNO) dalam pembaikan...kena kuatkan parti kita untuk dhadapi pilihan raya 2003 nanti”

Memang jelas Datuk Seri Mohd Ali Rustam ikhlas dan kerana itu beliau meminta penyokongnya bertenang dan memnerima keputusan Lembaga Disiplin UMNO.

Beliau akan merayu walaupun mungkin sukar keputusan itu akan diubah.

Dalam sidang akhbar di kediaman rasminya di Seri Bendahara, pagi tadi, selepas beliau dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno oleh semalam, Ketua Menteri Melaka itu yang kelihatan tenang berkata, harapannya agar Majlis Tertinggi (MT) Umno akan menerima rayuannya.

Ditanya sejauh mana harapan terhadap rayuan yang akan dikemukannya hari ini, beliau berkata: "Saya harap ia dapat diterima."
Bagaimanapun kata Mohd. Ali, beliau akan mengemukakan surat rayuan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Lembaga Disiplin hari ini.

"Saya harap rayuan saya diterima dan kalau boleh saya dibenarkan bertanding pada pemilihan parti minggu depan," katanya.

Ketua Menteri Melaka, itu berkata, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarangnya bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti minggu depan.

"Saya akur dengan keputusan itu tetapi ini tidak melemahkan semangat saya untuk terus berjuang di dalam parti.

"Saya juga akan menghadiri pemilihan parti minggu depan," katanya. Mohd Ali tetap menghormati penyokongnya:

“Saya mohon maaf kepada penyokong saya kerana tak dapat tunai dan meneruskan hasrat mereka," katanya mengenai reaksi kepada penyokongnya yang inginkan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Kira-kira 150 penyokong Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertemu Perdana Menteri malam semalam (Selasa) meminta beliau mempertimbangkan keputusan melarang Ketua Menteri Melaka itu bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

Kumpulan penyokong dari Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Pulau Pinang itu, berkumpul di TUDM Subang kira-kira pukul 9 malam bagi menunggu ketibaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari Indonesia yang tiba kira-kira pukul 10.45 malam.

Ketua Umno Bahagian Batu Gajah Datuk Mohd Yusoff Kassim berkata mereka sempat menemui Abdullah dan menyampaikan harapan supaya Presiden parti itu mengkaji semula keputusan yang dibuat.

"Kami meminta Perdana Menteri supaya mempertimbangkan semula keputusan untuk melarang Mohd Ali (bertanding) dan beliau memberikan respons yang positif," katanya.

Menurut Mohd Yusoff, pada pertemuan hampir 20 minit itu, Abdullah berjanji akan memikirkan perkara itu dan akan menemui Mohd Ali hari ini.

Sementera seluruh UMNO Bahagian Melaka melahirkan rasa terkilan dengan keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarang Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam daripada bertanding pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Mereka menyifatkan keputusan Lembaga Disiplin tidak adil dan berat sebelah sehingga menutup peluang Ketua Menteri Melaka itu bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Mereka turut mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin hanya memberi amaran kepada Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sedangkan Ahli Parlimen Rembau itu turut melakukan kesalahan di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, keputusan itu amat mengejutkan dan mengecewakan penyokong-penyokong Mohd. Ali bukan sahaja di Melaka tetapi juga di beberapa negeri lain.

Menurut beliau, Lembaga Disiplin parti sepatutnya merujuk terlebih dahulu keputusan yang hendak dibuat kepada Majlis Tertinggi (MT) sebelum membuat pengumuman.

''Hukuman itu sepatutnya mengambil kira kepentingan politik kerana ia boleh mengundang pelbagai reaksi serta menjejaskan keyakinan ahli pada parti.

''Apa pun saya yakin Mohd. Ali akan meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya," katanya.

Persoalannya, apakah keputusan atau nasihat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Ali?

Dan kalau tidak bertanding, di manakah kelak kedudukan Mohd Ali dalam UMNO Pusat?