Wednesday, September 16, 2015

PEMBUNUHAN KEVIN MORAIS TIDAK ADA KENA MENGENA DENGAN 1MDB

 

Jelas sudah, kehilangan Kevin Morais dengan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kes pembunuhan pengasas kumpulan perbankan Ambank, Hussain Ahmad Najadi.

Sebaliknya polis tidak tolak kemungkinan terdapat unsur dendam dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais.

Mayat Kevin Morais ditemui mati dalam tong dram di Jalan Subang 3, Taman Subang Mewah, USJ1, di Subang Jaya pagi tadi (16 September 2015).


Penemuan ini diharaapkan menghapuskan pelbagai spekulasi yang turut menghangatkan lagi isu 1MDB oleh pihak tertentu.

Tujuan mereka ialah mengaitkan kononnya ada ‘tangan ghaib’ yang cuba menutup sesuatu dalam isu 1MDB.

Pada 4 September lalu, Kevin dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kondominium Menara Duta (1), Jalan Dutamas kira-kira jam 9 pagi untuk ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Sehari selepas itu, sebuah kenderaan dipercayai jenis Proton Perdana versi Honda Accord tanpa nombor enjin dan casis yang sudah dirosakkan dan hangus terbakar ditemui di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak.

Menurutt polis, motif ini adalah berdasarkan tangkapan seorang bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang sedang menjalani satu perbicaraan mahkamah di Shah Alam berhubung satu kes rasuah dikendalikan mangsa sebagai pihak pendakwaraya.

Pegawai berusia 52 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di Rawang, yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman sejak awal pagi semalam.

Penahanan individu yang juga suspek utama itu,  sekali gus melenyapkan pelbagai spekulasi sebelum ini termasuk mengaitkan dengan 1 MDB dan pembunuhan pengasas kumpulan perbankan Ambank.

Setakat ini polis sudah tangkap tujuh individu yang ada kaitan dengan kes bunuh ini iaitu suspek berusia antara 22 dan 52 tahun.

Lima yang ditahan adalah suspek utama, dua lagi wanita dan kanak-kanak, bukan saksi utama, selain memaklumkan ada lagi beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi menyelesaikan siasatan.

Mengenai kereta yang ditemui di Hutan Melintang sebelum ini, Mohmad polis percaya, 99 peratus kereta terbakar itu ada kaitan dengan kes bunuh Kevin Morias berdasarkan kesan kemalangan.

Fakta yang disebutkan di atas adalah berdasarkan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohmad Salleh pagi ini.

Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini ialah polis mengklasifikasikan kehilangan Morais sebagai kes dilarikan dan disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Berikutan penemuan mayat itu, kluarga timbalan pendakwa raya, Kevin Morais tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengecam mayat yang ditemui dalam tong konkrit yang dibuang dalam sungai di Jalan Subang 3, pagi tadi.

Abangnya, Datuk Richard Morais berkata, keluarganya mendapat panggilan polis pada pukul 10.30 pagi meminta mereka ke HKL bagi ujian darah untuk DNA.

Richard yang bersama dua lagi ahli keluarganya berada di Rumah Mayat HKL kelihatan tenang ketika ditemui wartawan.

KES BUNUH ALTANTUYA - MAHU JAWAPAN APA LAGI?


Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam menyebut bukti yang dikumpulkan dalam proses perundangan komprehensif langsung tidak menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memainkan sebarang peranan dalam kes bunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Mohamed Apandi berkata tiada pada bila-bila masa semasa proses perundangan komprehensif itu nama Perdana Menteri ada disebut dan dipersalahkan dalam apa-apa cara. 

Beliau menjawab tuduhan dilemparkan oleh "pihak dan individu tertentu dalam media cetak dan elektronik" yang mengaitkan Perdana Menteri dengan kes bunuh Altantuya. 

"DSP Musa kemudiannya telah meminta seorang daripada tertuduh, Ketua Inspektor Azilah Hadri, untuk berjumpa Razak Baginda. Oleh itu, cubaan oleh pihak dan individu yang disebut di atas untuk mengaitkan Perdana Menteri dengan kes bunuh itu adalah benar-benar tidak berasas".

Mohamed Apandi juga berkata Azilah telah memberikan keterangan bahawa DSP Musa tidak memainkan peranan lain atau memberikan sebarang arahan berhubung perkara itu. Beliau berkata DSP Musa juga telah ditawarkan kepada pihak pembelaan sebagai saksi. 

Beliau menegaskan semua saksi relevan telah dipanggil memberi keterangan. "Setiap bukti dan keterangan saksi-saksi juga telah diteliti dengan mendalam oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan," kata Peguam Negara.
Altantuya dibunuh pada Oktober 2006, dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan tentera.

Sebelum ini,  bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tiada bukti menunjukkan ada penglibatan Najib.

Kata Musa, polis tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan Perdana Najib dengan kes pembunuhan wanita warga Mongolia itu.

Najib dikatakan berdepan dengan dokumentari berdurasi 25 minit yang menceritakan kronologi pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan bekas penasihatnya, Abdul Razak Abdullah aka Razak Baginda.
Namun Najib buat kali kedua membuat kenyataan beliau tidak pernah mengenali Altantuya dan tiada kaitan dengan kes pembunuhan tersebut.
Wartawan Al-Jazeera Mary Ann Jolley menyiarkan satu dokumentari siasatan tentang pembunuhan warga Mongolia, menggali semula semua kaitan dengannya, mangsa dan lelaki yang disabitkan bersalah.
Dalam program 25 minit itu, wartawan Mary Ann Jolley membawa penonton ke dalam kontroversi yang dahulunya hangat dan Altantuya yang penuh dengan elemen seks, skandal kewangan, keganasan dan konspirasi.
Musa memberitahu laporan berbentuk dokumentari oleh Al-Jazeera melalui program ‘101 East’ tentang isu Altantuya itu pada awalnya mengikut kronologi tetapi disudahi dengan gaya laporan yang ditokok tambah.

“Kes ini disensasikan dengan banyak berita tidak betul,” katanya pada sidang media “…banyak dikeluarkan dakwaan kononnya ada gambar dia (Altantuya) keluar makan dengan Najib dan Razak Baginda. Gambar itu kemudian didapati palsu.”

Musa menyelar tindakan pihak tertentu yang dilihatnya hanya mengelirukan orang ramai dengan menyebar tuduhan tetapi tidak mengambil tindakan mengikut saluran perundangan.

Mahkamah sudah, kenyataan Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara pun sudah menolak kaitan Najib dengan pembunuhan Altantuya. Jadi mahu apa lagi?

Malah siasaan polis sebelum ini hanya menangkap dua anggota polis –daripada Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Sirul Azhar, 44, dan Azilah Hadri,39 - dan Abdul Razak Baginda yang merupakan penasihat kepada Najib ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Dalam kenyataan semalam (15 September 2015), Mohamed Apandi berkata: "Kaitan paling kecil yang ada hanyalah Abdul Razak Abdullah aka Razak Baginda meminta bantuan daripada aide-de-camp atau pengawal peribadi Perdana Menteri ketika itu DSP Musa Safri, untuk mendapatkan seorang pegawai polis bagi membantunya berhubung perkara peribadi.

Katanya seorang lagi tertuduh L/Koperal Sirul Azhar Umar, dalam kenyataannya dari dalam kandang tertuduh juga tidak mengaitkan orang lain dan hanya membabitkan Razak Baginda sahaja dan sepanjang episod itu beliau bertindak atas arahan Azilah.



Mohamed Apandi juga berkata penyiasat persendirian, mendiang P.Balasubramaniam, juga tidak pernah menyebut tentang sebarang peranan dimainkan oleh Perdana Menteri, sama ada dalam kenyataannya kepada polis atau dalam keterangannya di mahkamah.

Amat jelas bahawa ‘dakwaan-dakwaan yang dilontarkan sengaja berniat untuk mengelirukan, dan dakwaan-dakwaan serupa digunakan sebagai asas kepada pelbagai teori konspirasi selama ini’.

Kenyataan oleh bekas KPN itu tidak lain tidak bukan untuk mengajak orang awam mengetahui fakta sebenar dan jangan campur aduk dengan fitnah dan cerita-cerita tanpa asas.

Monday, September 14, 2015

HARGAILAH USAHA NAJIB MEMBELA ORANG MUDA…


Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini untuk  membantu isi rumah terutama golongan berpendapatan rendah menangani kenaikan kos sara hidup, jangan diperkecilkan.

Bukan sekadar itu sahaja Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa langkah menangani masalah orang muda khususnya pemilikan rumah pertama melalui Skim Perumahan Belia untuk 20,000 pasangan belia berumur 25 hingga 40 tahun yang sudah berkahwin.






Langkah ini akan dilakukan melalui kerjasama Bank Simpanan Nasional dan Kementerian Kewangan yang menawarkan insentif sebanyak RM200 sebulan selama dua tahun akan diberi kepada pasangan belia bagi menampung ansuran bulanan pinjaman.

Skim tersebut ditawarkan kepada pasangan yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM10,000 dan layak dinikmati bagi hartanah bernilai antara RM100,000 hingga RM500,000.

Pewujudan Skim Perumahan Belia diumumkan oleh perdana menteri semasa pembentangan Bajet 2015 pada Oktober tahun lalu dan ditawarkan berdasarkan konsep 'siapa dulu dia dapat'. 

Tidakkan ini membuktikan bahawa kerajaan sedang mempercepatkan pembinaan rumah-rumah mampu milik untuk memastikan kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan muda.

Bagi mengatasi masalah pengangguran terutama dalam kalangan belia juga langkah penting yang patut diterima dengan tangan terbuka oleh orang muda.

Biarpun kadar pengangguran masih di peringkat terkawal, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap melihat masalah ini sebagai sesuatu yang penting untuk diberikan perhatian.

Antara langkah yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan adalah dengan menambah bilangan graduan bagi program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEMS).

Penambahan itu akan melibatkan penambahan daripada lebih 10,000 tahun ini kepada 15,000 orang tahun depan.

Kerajaan bakal melaksanakan usaha itu melalui bantuan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka. Kos bagi tujuan ini berjumlah sekitar RM500 juta.

Graduan yang terlibat bukan sahaja akan diberi latihan praktikal di tempat kerja, malah mereka juga akan diberi latihan dalam aspek seperti komunikasi, bahasa serta teknologi maklumat dan telekomunikasi.

Kerajaan juga akan memperluas dan mempertingkatkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang pada masa ini berjumlah RM1.38 bilion. Ia akan digunakan bagi program latihan semula serta peningkatan kemahiran pekerja yang diberhentikan oleh majikan berdaftar.

Selain itu langkah sederhana juga sedang dipertimbangkan bagi  menangani peningkatan bilangan pekerja asing kurang mahir yang menyebabkan aliran keluar tunai sebanyak RM28 bilion pada 2014.

Kewujudan mereka melembapkan pertumbuhan kadar upah tempatan.
Ternyata kerajaan berusaha untuk membela golongan muda bukan melalui mengajak mereka turun menunjukkan kekuatan di jalan raya.

Malah, Najib juga  tidak mengajak anak muda menjadi ‘kurang ajak’ memaki hamun pemimpin dan berkelakuan ‘tidak senonoh’ di khalayak ramai.

Ini bukan cakap politik sebaliknya kepada peminjam individu boleh memohon melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menstrukturkan dan menjadualkan semula pinjaman daripada institusi pembiaya masing-masing, sekiranya perlu.

Apabila ada pengumuman sebegini, janganlah ada pihak yang memandang remeh kerana usaha dilakukan bagi tujuan membentuk hala orang muda ke arah kedudukan lebih baik di masa hadapan.

Lagipun pengumuman Najib di Putrajaya hari ini turut turut membabitkan usaha mengurangkan beban rakyat melalui langkah-langkah proaktif ekonomi.

Sebagai Menteri Kewangan Najib nyata berusaha berbuat sesuatu walaupun beliau dikritik hebat dengan pelbagai isu.
Antara langkah-langkah itu ialah:


1.   Kerajaan akan menambah bilangan kedai yang menyediakan perkhidmatan dan barangan pada harga yang berpatutan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Menu 1Malaysia dan Kedai Buku 1Malaysia. Bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia akan ditambah sebanyak 25 pada tahun ini dan 12 pada 2016 di seluruh negara. (Ketika ini terdapat 169 buah Kedai Rakyat 1Malaysia);

2.   Kerajaan juga sedang menyediakan 16 Klinik 1Malaysia pada tahun ini dan 33 buah pada 2016. (Setakat ini, kerajaan telah menyediakan 326 Klinik 1Malaysia); dan

3.   Kerajaan juga akan memperkenalkan langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terbawah.

Saturday, September 12, 2015

SIAPA ULAMA BERWAJAH ‘DUA’ DIMAKSUDKAN OLEH DR ALIES ANOR?

"Walaupun mempunyai latar belakang pendidikan agama, mereka adalah parasit yang beransur-ansur meruntuhkan etika politik dan bermasyarakat. Mereka terus menjadi liabiliti dalam masyarakat dengan berlagak seperti jurucakap tidak rasmi, sedangkan secara praktisnya menjadi punca kepada konflik."

Saya pernah menulis di Utusan Malaysia mengenai perlunya ulama diberikan peranan dalam UMNO.

Melalui rencana bertajuk Beri Ulama UMNOBerperanan bertarikh 25 Julai 2012 itu, saya menyebut: Yang penting Majlis Tertinggi UMNO memberikan pengiktirafan, peranan serta peluang untuk ahli badan ulama ini bertanding pilihan raya jika memikirkan ada tokoh ulama yang perlu di ketengahkan. Peranan mereka kelak bukan sekadar dalam parti tetapi turut boleh memainkan peranan di Parlimen, khususnya Dewan Rakyat untuk membuktikan UMNO parti Islam yang 'lebih baik' daripada Pas.

Selepas pelbagai perdebatan mengenai sama ada perlu ada badan atau dewan ulama  dalam UMNO, semalam sebuah rencana bertajuk ‘Ulama BerwajahDua’ oleh Pengerusi Tetap Yayasan Sumber Maklumat, Tan Sri Dr. Alies Anor Abdul,  sangat menarik untuk direnungi.

Pertama, dengan mengambil atau memetik pandangan Al-Ghazali yang menjadi sumber rujukan, Dr Alies Anor sudah pasti berhati-hati dalam tulisannya untuk menjamin apa yang ditulisnya itu benar-benar mencerminkan ciri-ciri ulama yang sewajarnya berperanan. Al-Ghazali memerihalkan dengan jelas mengenai peranan ulama sebagai penasihat.

Dr Alies Anor
Namun perkara yang sebaliknya berlaku di Malaysia apabila Dr Alies Anor berkata:

Ulama yang berjiwa kerdil sentiasa berusaha mencari kesalahan pemimpin, kadangkala kesalahan hanya kecil tetapi diperbesar-besarkan dengan memasukkan sedikit nilai sejarah. Dalam masa sama, ulama berkenaan kadangkala muncul sebagai oportunis, mencari ruang untuk menjatuhkan pemimpin dengan melabelkan pemimpin dalam kategori zalim dan sombong.

Kedua, penulisan beliau yang mengaitkan dengan kes di Malaysia menggambarkan betapa pemikiran Al-Ghazali boleh diguna atau dengan perkaaan lain, relevan sepanjang masa, lebih-lebih lagi dengan kedudukan dan senario politik di negara ini, masakini.

Namun, apa yang lebih menarik ialah, kenyataan Dr Alies Ano mengenai wujudnya ulama yang ‘cari makan’ dengan membuat andaian tidak tepat, menabur fitnah dan lebih teruk seperti ‘enau dalam belukar’.

Memetik kata-kata beliau bahawa: …Ada sesetengahnya dengan menguasai jabatan agama dan institusi think thank yang diasaskan oleh kerajaan. Sesetengahnya pula cuba menguasai tapak intelektual di universiti dan wacana umum melalui forum-forum ilmiah, diskusi, seminar dan sebagainya. Tidak kurang juga berusaha menggunakan pena atau bertindak sebagai keyboard warrior untuk mempromosikan agenda terselubung bila diberikan peluang.

Persoalannya siapa kalangan ulama di Malaysia, mempunyai ciri sedemikian? Apakah mereka di kalangan parti pemerintah (UMNO) atau pembangkang? Rasanya, berdasarkan pengalaman dan pendedahan yang dialami beliau selama ini, Dr Alies Anor lebih menjurus kepada mereka dlam UMNO (kalau saya silap, maafkan saya kerana membuat ramalan yang tidak tepat).

Beliau seterusnya menegaskan:

"Ulama yang binasa ialah ulama yang tidak dapat memanfaatkan ilmunya dan hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai mengamalkan manakala ulama yang bahagia selama-lamanya ialah ulama didekatkan oleh Allah. Di zaman akhir ini, ramai manusia yang ingin meraih kekuasaan politik termasuk dalam kalangan ulama, tetapi tujuannya bukan untuk meninggikan kalimatullah. Mereka hanya ingin mendapat kedudukan yang tinggi , tetapi lupa kepada yang Maha Tinggi. Mereka juga tidak sedar bahawa ‘kenderaan’ yang ditumpanginya bukan kenderaan yang menuju ke arah mendaulatkan syiar Islam yang sebenar, sebaliknya kenderaan itu lebih menyerlahkan nafsu duniawi…

Adalah amaat penting bagi kita semua untuk menjauhi, malah memerangi mereka yang dikatakan sebagai “Golongan bermuka-muka atau oportunis” oleh Dr Alies Anor.

Dengan tegas kata Dr Alies Anor: (mereka) tidak wajar diberikan peluang kerana mereka merupakan golongan yang boleh merosakkan keyakinan orang lain terhadap Islam. Walaupun mempunyai latar belakang pendidikan agama, mereka adalah parasit yang beransur-ansur meruntuhkan etika politik dan bermasyarakat. Mereka terus menjadi liabiliti dalam masyarakat dengan berlagak seperti jurucakap tidak rasmi, sedangkan secara praktisnya menjadi punca kepada konflik.

Kita wajar meneliti dan memahami apa yang cuba ditimbulkan oleh Dr Alies Anor sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran politik, malah amat wajar jika kita berusaha mengenali ciri-ciri ulama yang beliau sebutkan itu.

Malah, jika benar ada ulama sedemikian dalam UMNO, ia adalah sesuatu yang malang, lebih-lebih lagi jika mereka berada dekat dengan pusat kuasa.Yang dibimbangi mereka turut menasihati kepimpinan Negara, sedangkan mereka mempunyai niat yang tidak baik, malah boleh menjadi ‘tikus yang membaiki labu”.

Kerana itu, tidak kiralah sama ada dia daripada parti pemerintah atau pembangkang, yang penting mereka wajar diperangi.

Ini  kerana gara-gara mereka,  negara akan porak peranda kerana merekalah ‘punca konflik’ dan perosak institusi pentadbiran dan rakyat menjadi mangsa.