Monday, December 9, 2013

UDAH, UDAH LE NIZAR…BAGI RAZMAN PELUANG BUKTI KEUPAYAANNYA…


Mohd Abdul Wahid Endut dengan tangan terbuka melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Terengganu kepada Satiful Bahri Mamat.

Walaupun diterjah dengan soalan beliau lebih layak kerana berjaya menambah kerusi PAS di Terengganu pada pilihan raya umum ke 13 lalu, ternyata Abdul Wahid langsung tidak menunjukkan tanda-tanda beliau menentang pelantikan baru itu.

Abdul Wahid tidak mendabik dada apabila PAS menang 14 kerusi pada DUN Terengganu dan Parlimen kini tiga dimenangi oleh PAS iaitu Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Nerus dan Marang.

Dengan merendah diri, bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu itu meletakkan keupayaan diri Satiful yang menyebabkan Ahli Dewan Undangan Kawasan Paka itu mengambil alih tempatnya.

“Masa sudah tiba untuk mencuba orang baru…tidak salah. Saya menyokong pelantikannya.

“Satiful membuktikan kekuatan dirinya dengan menang di DUN Paka pada pilihan raya umum lalu dan beliau layak menggantikan saya,” katanya.

Ditanya apakah sebab kesihatan menjadikan beliau berundur, Abdul Wahid mengatakan beliau masih ‘segar’ dan mampu melakukan kerja politik seperti biasa.

“Dia memang layak…kalau tidak layak, tak kan boleh menang di DUN Paka,” kata Abdul Wahid selepas sidang hari pertama DUN Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Satu lagi sikap Abdul Wahid yang patut dipuji ialah beliau mampu menenangkan penyokongnya dan tidak mempertikai pun peralihan kepimpinan PAS Terengganu.


Sikap penyokong Wahid ini berbeza sekali dengan penyokong bekas Menteri Besar Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Pelantikan Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Razman Zakaria sebagai Pesuruhjaya PAS Perak baharu menggantikan Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain dilihat tidak digemari beberapa pihak di dalam PAS Negeri itu.

Malah, sikap membantah dan mempertikaikan lantikan Razman dapat dilihat dengan jelas.

Laporan Sinar Harian menyebut, berdasarkan entri beberapa blog pro-PAS Perak, mereka kecewa dengan pelantikan Razman kerana menjangkakan Pengerusi PR Negeri, akan dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Perak.

Ada dalam kalangan blog berkenaan mendakwa, terdapat usaha tertentu melobi Razman sebagai Pesuruhjaya PAS Perak berbanding Mohammad Nizar yang dirasakan lebih layak.

Berdasarkan Blog Alhusseyn, Mohammad Nizar Jamaluddin lebih layak selepas bancian dibuat secara dalam talian mendapati 215 responden mahukan Adun Changkat Jering itu dipilih bagi memegang jawatan tersebut.

Blog Cenagau turut mempersoalkan pelantikan Razman. “Sebagai orang Perak, bab tak sambung Ustaz Bakar (Abu Bakar Hussain) sebagai PJ (pesuruhjaya) walaupun dia menang di Dun Titi Serong tempat aku, aku sangat-sangat setuju.

Pasai apa jangan tanya, kalau tanya pun aku malas nak jawab. Yang aku musykil sikit pasai apa Hj Razman (Razman Zakaria) yang dilantik jadi PJ, hebat sangat ka Hj Razman ni. "


Yang buat aku musykil tu pasai apa Hj Nizar (Mohammad Nizar Jamaluddin) yang hampir semua orang Perak kenai yang pernah jadi MB dan Timbalan Pesuruhjaya 1, Bendahari dan Setiausaha PAS Perak, tak dilantik sebagai PJ, teruk sangat ka Hj Nizar tu?,” jelas blog berkenaan dalam entri yang disiarkan, 2 Disember lalu.

Razman menafikan berlakunya lobi melobi bagi jawatan Pesuruhjaya Pas seperti didakwa.

Katanya, pelantikan Pesuruhjaya PAS negeri merupakan proses biasa dan keputusan tidak dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berseorangan kerana turut melibatkan ahli jawatankuasa PAS Pusat lain.

“Saya tahu ada pihak yang tidak dapat menerima pelantikan saya. Ada yang kata Mohammad Nizar patut jadi pesuruhjaya negeri.

“Bagaimanapun ia tidak akan mengganggu tugas saya sebagai pesuruhjaya Pas negeri,” katanya.

Mohammad Nizar…’hang dok diam, diam dan udah-udahlah berangan…nak lagi jadi Menteri Besar Perak????

Thursday, December 5, 2013

SYED AZMAN…SUDAH-SUDAHLAH BERBOHONG, MEMFITNAH & MEMPERLEKEHKAN ORANG!

Banjir yang melanda bandar Chukai...

TIDAK BENAR sama sekali tuduhan Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bahawa pimpinan kerajaan negeri Terengganu  lebih mementingkan Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC sekarang, sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat.


Beliau merujuk kepada keadaan banjir yang semakin buruk melanda Terengganu, khususnya di daerah Kemaman.

Syed Azman
Sedangkan pasukan petugas sudah menjalankan kerja mereka sejak kelmarin (3 Disember) apabila sehingga jam 9 malam berkenaan, sebanyak lapan buah pusat pemindahan dibuka di daerah Kemaman bagi menempatkan 171 mangsa banjir di daerah itu. susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.

Beberapa kawasan terjejas teruk kelmarin termasuk Kampung Teluk Kalong yang menjadi kampung paling awal berpindah ke pusat pemindahan. Turut terjejas kawasan bandar Chukai dekat Kompeks Centre Point Kemaman yang turut digenangi air selain beberapa kawasan rendah lain di seluruh daerah ini juga ditenggelami air.

Selain itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu turut memaklumkan Bilik Gerakan Daerah Kemaman di Pejabat Daerah Kemaman telah dibuka jam 10.38 pagi Selasa.

Tahukah Syed Azman apa perasaan pekerja yang ditugaskan dan pekerja sukarela jika membaca atau diberitahu mengenai kenyataan beliau itu.

Syed Azman tidak perlu diberitahu mengenai keprihatinan pemimpin UMNO - sebilangan daripada mereka, khususya dari daerah Kemaman, tidak pun menghadiri perhimpunan tersebut.

Kenyaataan Syed Azman semalam bahawa PAS kesal dengan sikap Kerajaan Terengganu yang lambat bertindak dalam membantu mangsa-mangsa banjir, tidak tepat dan mempunyai niat tidak baik.


Kenyataan untuk tujuan politik dalam keadaan sebegini amat dikesalkan dan tidak pun membantu apa-apa kepada mangsa banjir berkenaan.

Syed Azman sengaja mengeruhkan keadaan!

Syed Azman sendiri mengakui banjir di Terengganu tahun ini agak luar biasa berbanding tahun sebelum ini, sehingga pada hari kedua sudah banyak kawasan dinaiki air.


Jadi, wajarkah kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh seorang pemimpin ‘Parti Islam’ yang memperjuangkan keadilan bukan sahaja dari segi pembelaan tetapi juga sikap pemimpin terhadap pemimpin yang lain?

Menurut beliau, hujan lebat yang turun sejak semalam menyebabkan beberapa daerah di negeri Terengganu mengalami banjir dan antara daerah yang teruk dilanda banjir di Kemaman terutama di kawasan Air Putih.

"Sehingga tengah hari ini sudah banyak kawasan di Kemaman terutama di Air Putih dilanda banjir. Banyak penduduk yang terpaksa berpindah dan terperangkap. Tetapi kita amat kesal kerana sehingga sekarang masih tidak kelihatan bantuan-bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily tengah hari semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankkuasa PAS Pusat berkata, sikap pihak Kerajaan Terengganu yang lambat bertindak memghadapi bencana banjir dan nasib mangsa-mangsa banjir itu amat dikesali dan ia tidak seharusnya berlaku.

"Sedangkan mangsa-mangsa banjir sekarang berada dalam keadaan yang cukup mencemaskan. Mereka amat memerlukan bantuan segera daripada pihak kerajaan negeri dalam pelbagai aspek," ujarnya.

Lambat bertindak? Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pulang ke Kemaman kelmarin selepas diberitahu banjir semakin buruk.

ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang sampai di KLIA malam semalam - pulang dari lawatan luar negara – bergegas pulang pagi ini ke Kemaman bagi tujuan mendekati rakyat yang dilanda musibah.

Barisan Ahli Majlis Tertinggi Umno mengangkat sumpah sebelum bermulanya Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi, malam Rabu. 
Menteri Besar itu semalam mempengerusikan Mesyuarat Exco dan PreCouncil Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sebuah hotel dan tidak pun menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Mesyuarat MT itu diadakan di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra, sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Ahmad Shabery juga tidak hadir mesyuarat tersebut.

Pagi ini Ahmad Said akan mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan melawat kawasan banjir di Kemaman.

Pada 22 Oktober lalu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM) menyediakan 437 pusat pemindahan yang berupaya menampung seramai 63,172 mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Daripada keseluruhan jumlah itu, Kuala Terengganu (47), Kemaman (57), Dungun (52), Besut (141), Hulu Terengganu (81), Marang (24) dan Setiu menyediakan 35 pusat pemindahan.

Menteri Besar menyebut, JKM juga mengenalpasti 118 buah pengkalan hadapan di seluruh Terengganu bagi menempatkan bekalan di tempat strategik supaya kawasan kejadian bencana tidak terputus bekalan.

Ini berbeza berbanding persediaan tahun lepas iaitu hanya memiliki sebanyak 113 pangkalan hadapan serta 397 pusat pemindahan mangsa banjir yang hanya mampu memuatkan sehingga 53,702 orang.

“Inisiatif itu juga supaya bekalan apa dihantar dengan cepat kepada mangsa bencana yang memerlukan. Selain itu, kita juga sentiasa bersiap-sedia pada bila-bila masa bagi menghadapi musim banjir dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang berisko berlaku bencana itu di seluruh Terengganu,” katanya.

Ahmad Said menegaskan, semua pihak dan agensi yang terlibat dengan persiapan berdepan musim banjir sudah bersiap sedia sepenuhnya meliputi bekalan makanan, logistik, kenderaan serta kekuatan anggota serta petugas di barisan hadapan dan sokongan.

“Saya juga menggesa semua pihak dalam pengurussan bencana negeri Terengganu yang terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, pertubuhan sukarela , badan bukan kerajaan serta pemimpin dan komuniti setempat perlu memperkemaskan lagi jentera pengurusan bencana supaya lebih proaktif dan responsive pada setiap masa,”katanya.

Wan Hakim mengharungi air banjir....
Selain Ahmad Shabery dan Ahmad Said, ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar sentiasa berada di kawasannya dan tidak ke mana-mana membantu rakyat yang berdepan dengan ancaman banjir.

Sementara ADUN Kemasik, Ir. Rosli juga difahamkan pulang pagi ini untuk tujuan yang sama.

Jadi adilkah Syed Azman menuding jari kepada pemimpin UMNO sedangkan pada waktu sebegini, semua pihak sewajarnya berganding bahu.

Kenyataan Syed Azman yang menyatakan kesalnya dengan sikap pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang lebih mementingkan Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC sekarang, sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat adalah fitnah semata-mata.

Malah kenyataannya yang berharap agar pihak kerajaan negeri segera datang ke kawasan yang terlibat bagi memberikan segala bantuan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir dan orang ramai dalam keadaan sedang sibuk dengan urusan Perhimpunan Agung Umno, sangat-sangat tidak bertanggungjawab.

Malah kata-katanya: …”janganlah pula sampai nyawa rakyat pun hendak dipertaruhkan," adalah sesuatu yang sangat jahat dan amat dikesalkan.

Untuk rekod, Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan kira-kira RM630 ribu sebagai persediaan menghadapi ancaman banjir tahun ini.

Pengarah JKM, Encik Zuhami Omar berkata, peruntukan tersebut bertujuan untuk membeli barangan keperluan harian untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir. JKM menyediakan keperluan asas seperti beras, gula selain menyediakan selimut, tikar dan tuala untuk mangsa-mangsa banjir.

Barang-barang tersebut dihantar ke 110 pusat pangkalan hadapan di seluruh daerah di negeri Terengganu, terutamanya kawasan-kawasan yang biasa dilanda banjir.

Tahun ini 353 buah pusat pemindahan terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid dan surau yang dapat menampung hampir 49 ribu mangsa banjir disediakan di seluruh negeri ini.

Sementara Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melakukan persiapan rapi sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir.

Pengarah JKNT, Dr. Anwa Sulaiman berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan di setiap daerah bagi melancarkan kerja-kerja membantu mangsa banjir.

“Seramai 324 anggota jabatan telah bersedia laksanakan tugasan masing-masing jika banjir melanda negeri ini…Daripada jumlah tersebut, para petugas akan dibahagikan kepada 81 kumpulan iaitu 41 kumpulan pasukan perubatan dan 40 kumpulan pasukan kesihatan dan setiap pasukan akan diwakili oleh empat orang petugas,” ujarnya.

Pasukan perubatan akan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan dari sudut pemantauan kesihatan dan menangani kes-kes kecemasan dengan merujuk kepada hospital sekiranya perlu.

Manakala, pasukan kesihatan pula akan memberi perhatian terhadap persekitaran pusat pemindahan dengan memastikan segala bekalan air dan makanan sentiasa bersih dan terkawal agar tidak berlaku masalah kesihatan yang lain seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Persediaan- persediaan ini tidak termasuk peruntukan bernilai hampir RM1 juta telah disalurkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bagi membantu persediaan menghadapi gelombang banjir di Terengganu.
Jumlah RM1 juta itu bagaimanapun tidak termasuk bekalan bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan memasak sepanjang bencana tersebut yang juga dijangka mencecah ratusan ribu ringgit.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mohd. Mahdi Musa berkata baru-baru ini, peruntukan itu meningkat berbanding hanya RM630,000 digunakan untuk tujuan sama tahun lepas.

Beliau berkata, pertambahan peruntukan itu disebabkan peningkatan dari segi populasi penduduk yang dijangka mencecah sehingga 10,000 orang serta bagi mengelakkan berlakunya keadaan luar jangka seperti kejadian banjir besar di Kemaman tahun lepas.

Merenung kembali kenyataan Dr Syed Azman, kadang-kadang terfikir...betul juga apa yang dikatakan oleh Ahmad Said - memang benar ADUN Batu Burok ini 'pembohong bersiri'!


Thursday, November 28, 2013

AHMAD SAID TIDAK DIPERLUKAN BAGI MAJLIS PERASMIAN MONSUN CUP 2013?

Kerusi kosong di sebelah kanan Datuk Mohd Jidin Shafee itu untuk siapa?
Apakah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mewakilkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri atau Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri pada perasmian Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa Piala Monsun kelmarin?

Jika tidak, kenapakah Ahmad Said tidak hadir pada majlis perasmian berkenaan?

Apakah beliau sengaja atau ada sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan ketidakhadirannya pada majlis berkenaan?

Menurut laporan media, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menyempurnakan majlis perasmian kejohanan berkenaan yang berlangsung Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Sepatutnya Ahmad Said hadir pada majlis itu kerana ia acara tahunan Kerajaan Negeri sejak 2007.

Turut hadir kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ada maklumat mengatakan Menteri Besar sepatutnya tiba pada majlis berkenaan pada jam 2.15 petang untuk majlis perasmian.


Bagaimanapun, dimaklumkan oleh pihak tertentu, majlis perasmian diawalkan 10 minit kerana ketibaan Menteri yang menyambut Tengku Sri Temenggong.

Diberitahu juga Menteri Besar sudah memaklumkan kepada pihak urusetia majlis bahawa beliau akan hadir tepat jam 2.15 petang bagi tujuan perasmian itu.

Bagaimanapun, apabila Tengku Sri Temenggong disambut dan dibawa ke pentas perasmian, majlis terus dimulakan oleh pihak urusetia.

Bukan menyalahkan Tengku Sri Temenggong atau meletakkan kesalahan kepada Menteri kerana ‘meng awalkan’ majlis berkenaan.

Ada pihak – mungkin urusetia – yang tidak sabar-sabar atau `sengaja?’ melakukan acara perasmian hinggakan ketibaan Menteri Besar ke tempat menyambut tidak disedari oleh sesiapa.

Ketibaan Ahmad Said tidak bersambut pada ketika majlis sudah dimulakan dengan dendangan Lagu Negaraku. Mungkin menyedari ‘beliau tidak diperlukan’ atau juga ‘Menteri Besar tidak penting’ untuk hadir di majlis perasmian itu, Ahmad Said membuat keputusan untuk meninggalkan sahaja majlis yang sudah bermula itu.


Apakah penganjur kejohanan yang berlangsung bermula kelmarin (26 November) sehingga 30 November ini ‘tidak memerlukan kehadiran Menteri Besar’ di majlis berkenaan?

Apakah urusetia yang menyambut dan menganjurkan majlis merasakan cukup dengan kehadiran dua Exco berkenaan (Datuk Mohd Jidin dan Rozi Mamat) sebagai mewakili Menteri Besar?

Walaupun ada pihak menuduh kononnya Kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Ahmad Said membazir sebanyak RM2.4 bilion wang rakyat dengan menganjurkan Piala Monsun namun Menteri Besar Terengganu tetap mempertahankan pentingnya acara tahunan berkenaan.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat, Rosli Abdullah mendedahkan bahawa dengan perbelanjaan sebanyak RM300 juta setahun maka jumlah untuk tempuh lapan tahun kontrak penganjuran bermakna RM2.4 bilion yang dipercayai wang ehsan hasil petrol, hangus.

Rosli berkata, “dengan jumlah tersebut kerajaan negeri boleh membina 80,000 unit rumah kos rendah dengan harga RM30,000 sebuah untuk rakyat Terengganu.

“Dengan jumlah wang itu juga, kerajaan negeri boleh memberi biasiswa kepada anak-anak Terengganu sebanyak RM50,000 setiap seorang untuk 48,000 pelajar,” tambah beliau.

 Namun di pihak Ahmad Said, walaupun banyak pihak meragui bahawa beliau akan meneruskan kejohanan ini apabila mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Datuk Seri Idris Jusoh, beliau menganggap Kejohanan Piala Monsun yang kini menjadi ciri utama Pulau Duyong, dilihat berjaya mencapai matlamatnya terutama dalam memperkenalkan Terengganu sebagai lokasi sukan pelayaran antara yang berprestij di dunia, Menteri Besar itu tetap meneruskannya.


Malah pada satu majlis pada 22 November 2011, Ahmad Said, berkata pihaknya akan mengambil langkah selanjutnya bagi membolehkan Terengganu terus menjadi tuan rumah piala berprestij itu.

Pada majlis itu, Menteri Besar menerima trofi berkenaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Garrad, Eric Deardoff dan menyerahkannya kepada Pengerusi Kejohanan Piala Monsun, Tan Sri Sabbaruddin Chik. 

Ahmad Said turut menegaskan, kerajaan negeri mengalu-alukan jika kejohanan bertaraf dunia itu diteruskan kerana ia mampu memberi pulangan dari segi pelaburan asing dan meningkatkan industri pelancongan dalam jangka masa panjang.

Ini kerana Terengganu mempunyai banyak kemudahan asas bagi menganjurkan kejohanan tersebut dan jika dihentikan, dikhuatiri boleh menyebabkan pembaziran.

Malah, semalam Ahmad Said mengulangi bahawa beliau tetap berharap Kementerian Belia dan Sukan dan pihak penganjur dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk Terengganu terus menganjurkan kejohanan ini  kerana  Terengganu memiliki kemudahan yang lengkap selain pengalaman yang luas dalam penganjuran kejohanann berkenaan.

Beliau mengulas cadangan KBS yang ingin melihat pembentangan kajian yang dilakukan sebelum menentukan lokasi terakhir siri jelajah dunia pada musim depan.

"Jika Terengganu terus dipilih (sebagai lokasi) penutup perlumbaan, sudah pasti kita akan memberi yang terbaik namun terpulang kepada mereka untuk menilai kerana jika mahu dibuat di tempat lain, negeri itu perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti yang kami miliki," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco semalam.


Ahmad Said juga berkata jika Terengganu tidak dipilih pada tahun depan, kerajaan negeri akan menganjurkan acara sukan lain di lokasi sedia ada.

Tuesday, November 12, 2013

DEMI TEGAKKAN SYIAR ISLAM, POLIS PERLU BURU PEMBUNUH MOHD RAFLI HINGGA KE LUBANG CACING…


Semalam (11 November 2013), di Georgetown, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihati orang ramai agar tidak membuat andaian kes tembak ketua penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) ada kaitan dengan Syiah.

Katanya, tidak ada bukti jelas berhubung perkara itu dan orang ramai harus membiarkan polis menjalankan siasatan terlebih dahulu.

Namun, Polis Pahang percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Rafli Abdul Malik, 47, yang ditembak kelmarin ( Ahad 10 November 2013), bermotifkan dendam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani (kiri) percaya tiga suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan tersebut mungkin berdendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

Dengan polis tidak menolak kemungkinan kes pembunuhan itu bermotifkan dendam dan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaan yang dijalankan mangsa, ia menguatkan andaian bahawa ancaman di atas penguatkuasaan yang dijalankan arwah terhadap kes berisiko tinggi menjadi ancaman peribadi terhadapnya. 

Polis Pahang sudah berikrar tidak akan sesekali memberi ruang kepada mereka yang terlibat dan akan memburu suspek hingga ke lubang cacing.

Selain itu polis turut memberi kawalan keselamatan terhadap waris mangsa bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang ancaman daripada pihak yang mungkin berdendam dengan mangsa.

Mengejutkan juga apabila semalam juga (11 November 2013), Ketua Polis Negara mahu seramai 31 pengikut ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ diarahkan menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Kesemua mereka dikehendaki hadir bagi membantu siasatan berhubung kematian Ketua Pegawai Penguat Kuasa jabatan agama itu.yang dilihat lebih cenderung berpunca daripada tugas mangsa membanteras penyelewengan agama dan maksiat.

"Kita akan melihat siasatan dari semua sudut bidang tugas dan pihak-pihak yang pernah terlibat dengan tindakan penguatkuasaan mangsa. Setakat ini polis telah mengerakkan pasukan untuk menemuduga semua yang boleh membantu siasatan termasuk meminta pengikut 'Tuhan Harun' ini tampil membantu siasatan," katanya


Malah, hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Kuantan menyebut, akan membuat keputusan sama ada akan mengeluarkan waran tangkap terhadap 'Tuhan Harun' atau Harun Mat Saad, 47, pada 15 November ini jika beliau gagal memberi kerjasama dalam kes menyebarkan ajaran sesat Februari lepas.

Hakim Syarie, Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie menetapkan tarikh tersebut selepas tertuduh gagal hadir buat kali kedua untuk proses pengurusan kes yang sepatutnya ditetapkan pada 20 Ogos lalu.

Abd Wahid turut menangguhkan sebutan semula kes berkenaan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Pada 24 April lalu Harun mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan berkaitan penyebaran ajaran sesat, risalah dan buku-buku berkaitan ajaran tersebut.

Dia didakwa menyebar ajaran tersebut dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan Harun atau Tuhan 2013 di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, dekat Kuantan antara Februari hingga 4 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah tersebut di bawah Seksyen 162 (1) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang boleh membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Abdul Wahid Md Ali kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin. Kesemua pengikut ajaran itu sebelum ini telah diarahkan untuk menyerah diri apabila beberapa pengikut dan ketua ajaran itu ditahan JAIP, sekitar tahun ini.

Persoalannya ialah dalam Ketua Polis Negara mengatakan tidak ada bukti jelas tetapi beliau meminta pengikut ‘Tuhan Harun’ menyerah diri. Apa kaitannya?

Beberapa perkembangan sejak awal April lalu, ternyata amat berkait rapat dengan Allahyarham Raffli. 

Harun pernah ditangkap tetapi kemudian diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin.
Antara kes besar yang dikendalikan oleh Raffli yang mati ditembak kelmarin ialah kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun , dimana ketua ajaran sesat ini Harun Mat Saad yang dituduh terlibat juga dalam kes penipuan deposit sebanyak RM 40 juta.

Ada mengatakan sehingga beratus-ratus juta ringgit, termasuk melibatkan pelabur dari negara Brunei.

Elok diperhatikan kes-kes yang melihat Raffli.

KES 1: Allahyarham banyak terlibat dengan kerja-kerja membanteras maksiat di Pahang, khususnya di Kuantan. Malah pada Januari 2010 lagi, dilaporkan Allahyarham Rafli mengadakan pemeriksaan terhadap 20 hotel bajet di Kuantan.

Tindakan beliau banyak mendapat liputan media luar apabila seolah-olah tindakannya mengganggu ‘kegembiraan’ dan ‘kedamaian’ yang cuba didapatkan oleh pihak-pihak tertentu umpamanya pada malam perayaan tahun baru.


Malah, dilaporkan, beberapa pihak, khususnya pengusaha pusat hiburan dan hotel bajet tidak berpuas hati dengan tindakan yang dijalankan oleh Raffli.

Ini bermakna Raflie menerusi operasi-operasi yang dijalankannya bersama-sama dengan PDRM, mendatangkan masalah kepada ketua-ketua kongsi gelap yang menguasai industri hiburan serta maksiat di seluruh Pahang.

KES 2 : Pada 12 Mei 2013, Allahyarham Raflie telah membuat sidang akhbar berhubung pemburuan seorang ketua ajaran sesat, HARUN MAT SAAD dan anak-anak serta isteri ketiganya serta 12 orang pengikutnya setelah mereka gagal tampil di mahkamah untuk dibicarakan.

Harun dalam menyebar ajaran tersebut mengaku dirinya sebagai Tuhan Harun atau Tuhan 2013 di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, antara Februari lalu hingga 4 April lalu.

Pada 16 Mei , Jabatan Agama Islam Pahang mendapat perintah Mahkamah Syariah Pahang dan bersetuju mengeluarkan waran tangkap bagi memburu 12 pengikut ajaran sesat Tuhan Harun atau turut dikenali sebagai Tuhan 2013.

Allahyarham Rafli yang menjadi Ketua Penguat Kuasa JAIP berkata, mereka diburu dalam lingkungan umur di antara 12 hingga 41 tahun termasuk isteri ketiganya, Shuzliana Mokhtarudin, 29, dan empat anak-anaknya iaitu Mahni Harun 12, Saufi, 18, Lukman, 20 dan Muhammad, 21.

Kemudian pada 29 Mei 2013, selepas didakwa menyebarkan ajaran sesat dan mengaku sebagai tuhan, Harun Mat Saad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kota Bharu pada hari tersebut atas dua tuduhan menerima deposit secara haram sebanyak RM40 juta daripada beberapa buah syarikat dan orang ramai.

Ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' itu didakwa membantu dalam pengurusan dua syarikat untuk menerima deposit bermula dari September 2006 sehingga Mac 2008.

Harun, 47, yang bertindak sebagai penasihat syarikat Business Time Dina Sdn. Bhd., dan Pan Pheonix Dina Sdn. Bhd., mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Yusuff Yunus.

KES 3 : Pada 28 September 2013, laporan menyebut, Pahang mencatatkan kes pertama tangkapan berkaitan fahaman Syiah apabila seorang imam dipercayai pengikut ajaran itu ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di kuarters kakitangan ladang Risda Pekoti Timur, Muadzam Shah semalam.

Raffli yang mengetuai gerakan tangkapan berkenaan, berkata imam berumur 64 tahun itu disyaki mengamalkan ajaran itu sejak enam tahun lalu.

“Warga emas yang sudah menjadi imam berdaftar lebih 20 tahun itu tidak menyebarkan fahaman itu sebaliknya diamalkan secara individu,” katanya. Raffli berkata, siasatan awal juga mendapati keluarga imam berkenaan juga tidak terlibat dengan fahaman Syiah. “Kita percaya dia mempunyai rakan-rakan dan pernah hadir secara berkala ke beberapa pertemuan di beberapa tempat di antaranya Gombak dan Segamat.” 


Ketika serbuan, seorang anak lelaki imam berkenaan yang berumur 32 tahun yang kebetulan berada di rumah tersebut turut diminta untuk membantu siasatan.

Lelaki itu berdepan kemungkinan tuduhan mengikut Seksyen 165 dan Seksyen 170 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun. Beberapa minggu lalu,

Allahyarham dilaporkan mengetuai pasukan penguatkuasa agama menggempur sarang Syiah di Keratong dan dilaporkan berjaya.

Tidak sahaja sarang Syiah dimusnahkan, bahan-bahan bercetak untuk disebarkan, turut dimusnahkan.

Penggempuran yang dilakukan oleh Raflie telah menyebabkan Syiah sukar bergerak dan bernafas di Pahang.  
Amat nyata, Allahyarham Raflie sedang mengendalikan sekurang-kurangnya tiga kes besar melibatkan kes TUHAN HARUN, SYIAH, dan OPERASI KELAB MALAM.

Hari ini, Polis Pahang tidak menolak kemungkinan pengikut kumpulan 'Tuhan Harun' atau ajaran sesat lain terlibat dalam kes pembunuhan Raffli.


Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani meminta pengikut kumpulan itu atau kumpulan ajaran sesat lain yang mempunyai maklumat berkaitan kes tembak itu tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Polis juga akan menyiasat kes itu daripada aspek lain dan sama ada suspek terlibat masih berada di dalam negeri atau tidak.

Sehingga kini belum ada pengikut 'Tuhan Harun' atau kumpulan ajaran sesat lain tampil di balai polis memberi kerjasama," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Polis Pahang hari ini mengedarkan fotofit lelaki yang disyaki terlibat dalam kes itu dan meminta orang ramai yang terjumpa lelaki menyerupai fotofit itu supaya menghubungi polis.


Sharifudin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi balai polis Kuantan di talian 09-5132222, bilik gerakan IPD Kuantan (09-5142999), Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan, Deputi Superintendan Zakaria Abu Kassim (019-3822020) dan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Zukri Muhammad (013-9764999).

Polis pastinya memerlukan kerjasama orang awam untuk bantu polis kesan pelaku pembunuhan itu.

Dengan polis sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam di setiap negeri bagi memastikan pengikut fahaman Syiah tidak menjadi golongan pelampau dan akhirnya militant, orang ramai perlu menghulurkan tangan persahabatan dengan polis memerangi ajaran berkenaan.

Banyak pihak kini khuatir penyelewengan fahaman agama akan membawa kepada kewujudan kumpulan militan di negara ini demi mempertahankan ketaksuban kepada pegangan mereka sehingga mengambil tindakan drastik seperti membunuh.

Yang pasti kita tidak mahu kes seperti yang menimpa Raffli berulang dan sebarang kegiatan ekstremisme agama di negara ini perlu dibendung dan dihapuskan.