Sunday, March 11, 2012

IMAM 'BALING SELIPAR' MEMANG 'HERO' KAMPUNG PANDAN....

Hikayatnya bermula dengan 'Mat Rempit' kemudian menjadi imam. Alhamudullilah!

  
  
Kelmarin, pada ketika isu Imam ‘Baling Selipar’ diperkatakan kerana kesnya dijanjikan di bawa untuk rayuan oleh peguam veteran yang juga pemimpin DAP, Karpal Singh, Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan mengeluarkan posting untuk difahami msayarakat kenapa tindakan dilakukan oleh masjid berkenaan terhadap Hoslan Hussein. Saksikan sendiri apa kata masjid berkenaan mengenai Imam ‘Baling Selipar’ ini.
  

SIAPA HOSLAN HUSSAIN YANG SEBENAR!!!!
(Thursday, March 8, 2012)

Ramai di kalangan rakyat Malaysia tertipu dengan sandiwara yang dimainkan oleh Hj Hoslan Bin Hj Hussain setelah beliau membuat kegemparan dengan membaling kedua-dua seliparnya kepada ketiga-tiga Hakim yang mengendalikan kesnya.

Siapa dia Hoslan Hussein yang sebenarnya yang dianggap oleh beberapa pihak terutamanya dari parti pembangkang sebagai seorang "hero" yang menegakkan keadilan. Maka pihak masjid terpaksa menjawab segala tohmahan yang dilemparkan oleh Hoslan Husain bagi menjaga nama baik Masjid Ar-Rahimah Kg Pandan yang sudah dicalarkan oleh manusia durjana ini dengan menjaja-jaja keburukan pihak masjid. Hoslan Hussain berasal dari Perak tetapi sudah lama menetap di Kg Pandan.

Ayahnya Hj Hussain Bin Hj Abu Bakar, seorang yg. sering berulang-alik berjemaah di Masjid Ar-Rahimah. Disebabkan kekerapan Hj Hussain berjemaah di masjid, maka beliau sering membantu untuk melaungkan azan di kala tidak ada Muazzin di Masjid.Akhirnya Hj Hussain memohon jawatan sebagai Bilal.Dalam pada itu juga, Hj Hussain akan menjadi Imam jika sewaktu itu Imam Masjid mempunyai keuzuran dan tidak dapat hadir.

Peluang ini juga diambil oleh Hj. Hussain (bapa Hoslan) untuk memohon pula jawatan sebagai Imam, maka dijadikan sebagai Imam Kariah atau dipanggil juga Imam Rakyat.Imam Kariah hanya boleh menjadi Imam untuk Solat Fardhu biasa dan beliau tidak berkelayakan untuk membaca khutbah Juma'at dan menjadi Imam untuk Solat Jumaat.

Sementara bagi Hoslan Hussain pula, beliau sebelum ini dikenali sebagai "Mat Rempit" di Kg. Pandan. Disebabkan Hoslan begitu aktif dengan parti pembangkang yang disertainya, maka Hoslan begitu teruja apabila melihat beberapa rakan-rakannya pergi menunaikan fardhu haji. Hoslan yang bekerja di Jabatan Alam Sekitar, akhirnya dapat mengumpulkan duit untuk menunaikan fardhu haji.

Bermula dari balik hajilah, Hoslan mengubah penampilannya dengan hanya memakai jubah dan berserban walau ke mana sahaja dia pergi. Hoslan mengikuti jejak ayahnya Hj Hussain, berjemaah di Masjid Ar-Rahimah yang hanya terletak beberapa meter sahaja dari kediamannya di rumah setinggan Kg Pandan.

Pada satu Juma'at tahun 2005, Pengerusi Masjid mengumumkan bahawa masjid sedang mencari seorang Muazzin bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut. Hj Hussain meminta agar anaknya Hoslan memohon jawatan tersebut, maka disebabkan Hoslan sering berada di masjid, permohonannya diterima.

Maka bermulalah karier Hj Hoslan sebagai Muazzin dan beliau memohon agar dapat menduduki kuarters yang disediakan oleh masjid untuk kakitangan masjid. Sejak dari memegang jawatan Muazzinlah, Hoslan begitu merasa bangga dengan jawatannya apatah lagi adakalanya beliau menjadi Imam bagi mengganti keuzuran Imam yang lain.

Hoslan cuba juga memohon jawatan sebagai Imam tetapi permohonannya ditolak disebabkan beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama.Difahamkan daripada Hoslan sendiri, beliau hanyalah belajar membaca Al-Quran daripada seorang Imam yang bernama Hj Salleh.(Allahyarham) Sebagimana lazimnya seperti juga yang terjadi di masjid-masjid yang lain, Ahli Jawatankuasa Masjid sering tidak sefahaman di antara satu sama lain dalam beberapa isu.

Ketidaksefahaman mereka ini disebabkan mereka berpuak-puak dalam menjalankan sesuatu program dan bermulalah episod tuduh menuduh beberapa isu di antara mereka.

Perkara ini akhirnya sampai ke pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di mana akhirnya kesemua AJK dibubarkan dan JAWI sendiri mengambil alih pentadbiran masjid pada tahun 2006-2009. Untuk itu, pihak JAWI menghantar seorang Ketua Imam bernama Fathul Amin bagi mentadbir masjid dalam beberapa hal.

Namun begitu Fathul Amin gagal dalam menjalankan tanggung-jawabnya dan sering sahaja tidak berada di masjid, maka pihak JAWI menghantar pula seorang pembantu, Ustaz Asri yang sebelum ini bertugas di masjid Alam Shah Jalan Pasar, K.L. Kelemahan yang terdapat pada Fathul Amin, membuatkan Hoslan mengambil kesempatan untuk memohon jawatan sebagai Imam Rawatib apatah lagi Hoslan seringkali menjadi "cover-up" untuk Fathul Amin.

Dengan kuasa perlantikan yang ada kepada Fathul Amin, maka Hoslan pun berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan sebagai Imam Rawattib.

Masalah disiplin Fathul Amin, Ketua Imam akhirnya sampai ke pengetahuan pihak JAWI dan akhirnya Fathul Amin ditukarkan ke Masjid Sg. Penchala dan tempatnya diganti oleh Ustaz Asri (pembantunya sebelum ini).Namun Fathul Amin tetap tidak berubah dan akhirnya JAWI terpaksa menamatkan perkhidmatannya sebagai Imam di Masjid Sg Penchala.

Ketua Imam yang baru, Ustaz Asri (kini bertugas di Masjid Besi Putrajaya), seorang yang begitu tegas dalam menjalankan amanahnya.Sedikit demi sedikit, masalah yang ditimbulkan oleh petugas-petugas masjid diperbetulkan dan Ustaz Asri jugalah yang bertanggung-jawab menyediakan uniform untuk Imam-Imam sebagaimana yang dipakai oleh Imam-Imam masjid yang lain.

Hoslan tidak senang dengan ketegasan Ustaz Asri kerana Hoslan sering ditegur kerana selalu ponteng tugas (di cover oleh ayahnya), dan selalu melarikan diri setiap program yang dianjurkan oleh masjid. Hoslan juga ingkar agar diwajibkan semua Imam-Imam dan Bilal memakai pakaian rasmi sewaktu Solat Jumaat kerana Hoslan lebih suka dengan penampilannya.

Sewaktu Hoslan bertugas untuk membaca khutbah dan menjadi Imam Solat Juma'at, terdapat banyak rungutan daripada jemaah kerana bacaannya dalam Solat dari segi Tajwid tidak betul.Malah beberapa jemaah juga tidak senang apabila Hoslan dengan riak seolah-olah menunjuk-nunjuk menangis sewaktu membaca Khutbah. Daripada rungutan jamaah tersebutlah, maka pihak masjid mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Hoslan membaca khutbah dan menjadi Imam bagi Solat Juma'at.

Hoslan juga dinasihati agar mendalami ilmu Tajwid kerana masjid juga mengadakan pengajian Bertalaqi al-Quran bertajwid yang dibimbing oleh Ustaz Khalid Isa. Namun Hoslan tetap dengan pendiriannya untuk tidak belajar dengan berkata, bahawa beliau hanya menyerahkan bacaannya kepada Allah swt. Masjid Ar-Rahimah sebagaimana lazimnya juga menjemput penceramah untuk menyampaikan Tazkirah Juma'at.

Pada satu Juma'at sekitar tahun 2008, seorang Pegawai Jakim datang menyampaikan
Tazkirahnya dan seterusnya akan menaiki mimbar untuk berkhutbah dan menjadi Imam Solat.Hal ini tidak disenangi oleh Hoslan yang akhirnya beliau sendiri naik ke atas mimbar untuk berkhutbah dan sudah tidak dapat dihalangi lagi.

Sebelum itu, berlaku sedikit pertengkaran di dalam bilik Imam di mana Hoslan memanggil semua Imam-Imam kecuali ayahnya sebagai syaitan. Perbuatan Hoslan menaiki mimbar membuatkan pihak JAWI memanggil beliau untuk diberi kaunseling yang diketuai oleh Ustaz Syed Abdullah. Hoslan yang menjadi Imam Rawatib ditawarkan rumah wakaf kepunyaan masjid tetapi di atas nasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, rumah tersebut tidak sesuai didiami kerana terlalu hampir dengan jalanraya. Maka pihak masjid mengarahkan Hoslan menduduki kuarters yg. terletak di dalam masjid di mana kuarters tersebut telah dikosongkan oleh Imam Zakaria@Zubir.Imam Zakaria sebagai pendaftar nikah, berpindah pula ke kuarters masjid yang lebih selesa kerana dikosong oleh Imam Zahid Ya'acob.

Imam Zahid ditukarkan ke Masjid At-Tarmidzi Taman Sentosa Jln kelang Lama yang baru siap dibina. Disebabkan tidak sabar untuk Hoslan menduduki kuarters yang berjiran dengan ayahnya, maka Hoslan memecah masuk kuarters tersebut tanpa memaklumkan kepada Ustaz Asri, Ketua Imam.

Perbuatannya itu ditegur oleh Ustaz Asri dan Hoslan mula menaburkan fitnah dengan mengatakan Ustaz Asri datang ke rumahnya seperti gengster. Penamatan jawatan Imam Hj Hoslan berlaku, apabila Hoslan sekali lagi bertindak menaiki mimbar untuk berkhutbah walaupun dilarang.

Kali ini Hoslan tidak memakai jubahnya dan berserban tetapi memakai baju Melayu sepasang, bersampin dan memakai songkok. Beberapa jemaah yang melihat Hoslan, ketawa dengan gelagat yang ditunjukkan oleh Hoslan.Maka sekali lagi pihak JAWI memanggilnya dan terpaksa menamatkan perkhidmatannya setelah diberi nasihat, kaunseling dan amaran berkali-kali.

Dengan itu Hoslan juga diminta agar mengosongkan kuarters yang didiaminya kerana ia untuk digunakan juga oleh pegawai-pegawai masjid yang hanya menumpang di kuarters2 pegawai yang lain. Hoslan tetap berkeras tidak mahu pindah walaupun pihak masjid dengan begitu baik memohon untuknya Pangsapuri PPRT di Jalan Chocrane. Kedegilan Hoslan membuatkan pihak masjid terpaksa memotong bekalan api dan air di kuarters tersebut, namun Hoslan bertindak pula menyambung getah dengan mengambil air dari pili masjid, sementara bekalan elektrik diambil dari rumah ayahnya dengan menyambung wayar.

Akhirnya pihak masjid tidak ada pilihan selain daripada mengambil tindakan mahkamah ke atas Hoslan dan bermulalah kes Hoslan di mahkamah. Hoslan juga sering membuat kacau di mana pada satu Juma'at, Khatib sedang membacakan khutbah melarang umat Islam menyertai Perhimpunan Bersih, maka Hoslan terus membuka jubahnya dengan mempamirkan baju Bersih yang ada di dalam jubahnya.Disebabkan perbuatnnya itulah, pihak polis terpaksa menahan beliau dan menyiasat kegiatannya.

Hoslan yang cuba merayu dengan membangkitkan beberapa isu yang tidak berkaitan, membuatkan Hakim terpaksa menolak rayuannya.Sebagaimana sikapnya yang keras hati, itulah yang ditunjukkannya kepada semua masyarakat sehingga sanggup membaling kedua-dua seliparnya ke arah ketiga-tiga Hakim.

Kemudian sebagaimana lazimnya, Hoslan akan menjaja-jaja kepada umum sambil mempamirkan kewarakkannya untuk meraih simpati tentang keburukan mahkamah pula.

Akhirnya di atas kebijaksanaan Hakim-Hakim, maka Hoslan terpaksa didiamkan dan dipenjara selama setahun di atas perbuatannya yang keterlaluan menghina Instituti Kehakiman.

Buat pengetahuan umum. bapanya Hj Hussain jiga ditamatkan perkhidmatannya sebagai Imam Kariah kerana faktor usia.Ini memandangkan pihak JAWI mengambil berat dari segi bacaan dan lain-lainnya. Namun begitu pihak JAWI dan masjid, begitu bermurah hati memeberi keizinan untuk ayahnya terus menduduki kuarters masjid disebabkan beliau tidak mempunyai kediaman yang tetap.

Kami berharap, dengan pendedahan ini akan membuka mata semua masyarakat tentang perkara yang sebenarnya berlaku.Hoslan dipecat di atas perangi buruknya sendiri dan pemecatan dilakukan oleh pihak JAWI dan tidak ada unsur-unsur keterlibatan orang-orang politik seperti yang dijaja-jaja olehnya.

Fahami dan nilailah sendiri dengan bijaksana!!!

KARPAL SIMPATI DENGAN IMAM' BALING SELIPAR' KERANA PAS?

Apakah sebabnya peguam veteran yang juga orang kuat DAP begitu bersungguh-sungguh membela ‘imam selipar”?

Tidak mungkin imam berkenaan membayar kos guamannya yang banyak kepada Karpal Singh menyebabkan kes 'baling selipar'  itu mendapat perhatian peguam berkenaan.

Apakah pemimpin pembangkang yang tetap diingat dengan kata-kata ‘langkah mayat saya dulu’ jika mahu tubuh negara Islam membela kerana kepentingan politik atau kerana membela insan yang teraninya?

Hoslan dan isterinya Noorliza Mat Isa merupakan ahli PAS seumur hidup sejak tahun 1998 sehingga kini. 

Bagi Karpal,  kita tidak pasti kenapa beliau membela ‘Iman Selipar’ itu walaupun hakikatnya mereka ‘dalam bot yang sama’.

Maksudnya mereka adalah ‘sekutu’ dalam komponen parti pakatan pembangkang.

Maksudnya seorang yang benar-benar menentang penubuhan Negara Islam membela seorang Imam yang ‘keterlaluan’ apabila membaling selipar kepada hakim mahkamah.

'Suami saya tidak ganas', demikian kata isteri imam Hoslan Hussin yang dijatuhkan hukuman penjara setahun di atas kesalahan menghina mahkamah kerana melemparkan seliparnya ke arah panel hakim.

Noorliza, 43, menyifatkan suaminya bukan seorang yang ganas seperti yang didakwa dan merupakan seorang imam juga tidak pernah sesekali memarahi dan memukul anak-anaknya.

Malah, Noorliza menambah, suaminya itu juga bukan seorang panas baran."Suami saya tidak ganas seperti yang hakim kata. Dia marah saya, anak-anak pun tidak. Saya dah berkahwin dengan dia 17 tahun, saya tahulah. Pukul anak-anak pun dia tak pernah. Cuma dia seorang yang tegas bila melibatkan soal agama," katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya malam semalam.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menyampaikan hukuman dilaporkan berkata, penjara setahun adalah hukuman setimpal bagi kes berkenaan.

Beliau juga mendapati Hoslan tidak menunjukkan imej seorang imam yang berbudi pekerti tinggi sebagai seorang yang menyandang jawatan keagamaan. Tindakan imam itu menunjukkan sikap "angkuh, biadap, riak, ganas dan langsung tidak menghormati institusi (kehakiman)," kata Zulkefli.

Dalam pada itu, menceritakan detik-detik ketika mendengar hakim menjatuhkan hukuman terhadap Hoslan, Noorliza berkata, dirinya sememangnya sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku. Sambil menganggap hukuman yang dijatuhkan tidak adil, Noorliza turut mengatakan tindakan suaminya melemparkan selipar sebagai satu tindakan yang wajar.

Hasil perkahwinan Hoslan dan Noorliza, mereka dikurniakan tujuh orang anak, masing-masing berumur 16, 15, 14, 12, 11, 8 dan 6 tahun. Hoslan berasal daripada Slim River dan dibesarkan di Kampung Pandan manakala Noorliza dari Sungkai, Perak. Semalam, Pemuda PAS mensasarkan RM20,000 kutipan derma bagi tabung membantu keluarga Hoslan.

Dan hari ini, Muslimat PAS berkata akan menyumbang RM800 sebulan selama setahun kepada Noorliza untuk membantunya membesarkan anak-anaknya.

Jika isteri Hoslan menganggap tidakan suaminya itu WAJAR tetapi Karpal menganggap sebaliknya.

"Tidak syak lagi apa yang Hoslan lakukan adalah salah. Ia adalah tidak wajar dan tidak dapat dipertahankan, tetapi di sisi lain, Mahkamah Persekutuan perlu mengambil kira keadaan yang membawa kepada tindakan imam tersebut," kata Karpal Singh kepada pemberita dalam satu sidang akhbar hari ini.

Hoslan dihalau keluar dari kuarters kediamannya di masjid di Kampung Pandan, dan kes itu berlarutan sejak tahun 1999.

Pada tahun 2008, Jabatan Halehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan mengeluarkan arahan mengusir imam tersebut yang tinggal di dalam kawasan Masjid Ar Rahimah, selepas dakwaan masalah tatatertib dibuat terhadapnya.

Hoslan, bapa kepada tujuh orang anak, melempas selipar ke arah panel tiga anggota mahkamah tertinggi itu, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Zaleha Zahari dan Hakim Besar Malaya, Datuk Zulkifli Ahmad Makinuddin yang mengetuai panel tersebut.

Insiden melempas selipar itu berlaku pada 22 Februari. Dua minggu selepas itu, Hoslan dipanggil ke Mahkamah Persekutuan dan dijatuhkan hukuman pada 8 Mac.

"Beliau diberitahu rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan telah ditolak kerana ia melampaui masa, oleh itu dia bertindak dalam kekecewaan pada saat itu," tambah peguam veteran tersebut.

Berikutan itu, Karpal akan memfailkan permohonan bagi Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusannya menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atas Hoslan ekoran insiden melempar selipar itu.

Karpal, yang merupakan peguam yang mewakili Hoslan berkata hukuman Mahkamah Persekutuan itu adalah "nyata keterlaluan".

Karpal berkata, Hoslan tidak akan berpeluang untuk mengemukakan rayuan kerana hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, katanya, dalam kes-kes terkecuali, mahkamah boleh menyemak keputusannya sendiri.

Saturday, March 10, 2012

PAS SUDAH HALAKAN 'MERIAM' UNTUK BEDIL PKR

 “Kita minta dia (PKR) ukur baju di badan sendiri. Dengan suasana yang ada hari ini, mereka tidak patut bercakap sebebasnya, lebih-lebih lagi perlu mengambil kira pandangan Pas yang menjadi tunggak parti pembangkang di negeri ini...”  - Azman Shapawi.

Semakin terserlah sudah PKR dan PAS yang berusaha ‘tidur sebantal’ tetap gagal dan masing-masing juga terus bermimpi lain-lain.

Malah masing-masing juga kini saling tuduh menuduh bahawa di kalangan mereka ada yang mahu ‘makan banyak sedangkankan benda yang diidamkan itu tidak boleh dimakan’.

 PAS melihat PKR bernafsu besar sementara PAS pula dilihat ‘terlalu tamak’ dan mahu memegang kuasa ‘bersendirian’.
 
Kalau di Kedah, PAS sama PAS ‘bertembung’ sesama sendiri dan sehingga kini ‘kemelut politik’ PAS Kuala Kedah yang membawa krisis kepada pentadbiran negeri belum selesai-selesai. Penstrukturan semula barisan Exco dan jawatan yang akan diagihkan akan menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak akan pening sekali lagi

Malah Jawatankuasa Pemandu yang akan ditubuhkan pun dipersoalkan oleh banyak pihak termasuk sekutu pakatan pembangkang iaitu PKR dan DAP yang melihat seolah-olah PAS Pusat mahu mendominasi pentadbiran negeri. Apa yang berlaku di Kedah itu tidak mungkin reda hinggalah pilihan raya umum ke 13 nanti.


Di Terengganu pula, PAS dan PKR kini mula ‘menyinsing lengan’ gara-gara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang mahu ditandingi mereka. PAS sudah menghalakan ‘meriamnya’ kepada PKR berkaitan siapa wajar bertanding di kerusi mana?

Pesuruhjaya PAS Terengganu menganggap pengumuman PKR untuk bertanding di 11 kerusi DUN dan 3 kerusi Parlimen sebagai ‘terlalu awal’ pada ketika proses perundingan belum selesai. Terengganu mempunyai 32 DUN (UMNO dan MCA menguasai 24 kerusi) dan 8 Kerusi Parlimen (6 BN dan 2 PAS).

Wajah PKR yang tamak dan tidak menghiraukan perasaan komponen lain sewajarnya menyedarkan penyokong PAS bahawa inilah wajah sebenar PKR. Dengan parti seperti ini pun PAS terus mahu bekerjasama

Sementara PAS yang juga ‘tamak’ dan bercita-cita tinggi menawan semula Terengganu berkeyakinan penuh dan meremehkan PKR apabila menyuarakan suara sumbangnya apabila mengatakan PKR perlu ‘mengukur baju di badan sendiri’.

 Apakah maknanya ini?

Jawapannya, jika belum menang atau memerintah lagi pakatan pembangkang sudah tidak sepakat, selepas pilihan raya, jika mereka menang, kerajaan yang dibentuk tidak akan stabil dan kelak akan menyusahkan rakyat.

Pandangan PAS terhadap kemampuan PKR begitu rendah sehinggakan hasratnya untuk hanya bertanding di 11 kerusi DUN dan 3 Parlimen sahaja diselar dan dikecam termasuk oleh Timbalan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Azman Shapawi (gambar kanan) yang meminta parti itu "mengukur baju di badan sendiri."

PKR diminta sedar dengan suasana dan perkembangan politik semasa yang dikuatiri boleh menjejaskan usaha pembangkang menawan Terengganu.

“Kita minta dia (PKR) ukur baju di badan sendiri. Dengan suasana yang ada hari ini, mereka tidak patut bercakap sebebasnya, lebih-lebih lagi perlu mengambil kira pandangan Pas yang menjadi tunggak parti pembangkang di negeri ini,” kata Azman.

Malah, Azman Shapawi dalam nada sinis berkata, jika parti itu mengikut apa yang diidamkan, sudah tentu mereka mahu ‘makan banyak walaupun benda yang diidamkan itu tidak boleh dimakan’.

“Kalau tanya kita mahu idam berapa kerusi, sudah tentu kita mahukan 32 kerusi DUN tetapi dalam budaya persahabatan kita tidak boleh berlaku begitu dan perlu mengambil kira semua keadaan. Kita harap PKR mengambil kira juga perkara itu,” katanya.

Kenyataan PKR itu dianggap membelakangkan kedudukan PAS yang begitu ‘kuat’ di Terengganu dan sewajarnya dalam perkara seperti ini PAS perlu dirujuk terlebih dahulu sebagai rakan pakatan dan yang lebih berpengalaman di negeri ini.

Malah, pemimpin PAS di Terengganu menyatakan terang-terangan mereka terkilan dengan pendedahan PKR berkata, parti itu perlu memikirkan banyak perkara sebelum mendedahkan hasrat mereka kerana ia mungkin menimbulkan tanggapan kurang selesa terutama di kalangan petugas-petugas parti.

'MOOD' RAKYAT SOKONG PERDANA MENTERI TERUS MENINGKAT

“Angka ini hasil usaha (kerajaan) memperbaiki 'mood' rakyat berhubung keadaan ekonomi secara umum dan pengagihan dana Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk mengatasi beban ekonomi keluarga miskin...Peningkatan kembali populariti adalah ekoran inisiatif-inisiatif mesra rakyat dan langkah mahu memperbaiki amalan demokrasi, antara memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Pilihan Raya….” – Merdeka Centre

Rating sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat ke 69 peratus dari 59 peratus pada Ogos 2011, demikian menurut Merdeka Centre for Opinion Research.

Pusat tinjauan pendapat itu berkata, ini disebabkan mood orang ramai yang lebih senang dengan keadaan ekonomi umum dan pengagihan dana bagi meringankan beban ekonomi keluarga berpendapatan rendah.

Hasil tinjauan juga menunjukkan sebanyak satu pertiga daripada responden yang mirip kepada Pakatan Rakyat, selaku pembangkang, melahirkan rasa puas hati dengan perdana menteri.

Pusat itu berkata tinjauannya mendapati antara 10 dan 23 Feb, sokongan terhadap perdana menteri paling tinggi, pada 78 peratus, di kalangan keluarga dengan pendapatan di bawah RM1,500 sebulan, dengan responden India pada 80 peratus dan responden Melayu 74 peratus.

Populariti Najib, hasil kajian berkala Merdeka Center, telah menurun ke paras 59 peratus pada Ogos lalu selepas mencatat paras paling tinggi iaitu 72 peratus pada Mei 2010.

Kajian Ogos lalu dikendalikan kira-kira sebulan selepas Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Bagaimanapun, sejak itu Najib mengumumkan beberapa pembaharuan sosiopolitik. Populariti 69 peratus kali ini sama dengan paras yang direkodkan pada Mac 2010 iaitu 14 bulan selepas menjadi Perdana Menteri.

Pada Mei 2009, lebih sebulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang keenam, populariti Najib adalah sekitar 45 peratus.

"Angka ini hasil usaha (kerajaan) memperbaiki 'mood' rakyat berhubung keadaan ekonomi secara umum dan pengagihan dana Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk mengatasi beban ekonomi keluarga miskin," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian dalam satu kenyataan.

Menurut Ibrahim, sokongan ke atas kepimpinan Najib sangat tinggi di kalangan isi rumah berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan iaitu sekitar 78 peratus.

Seramai 80 peratus masyarakat India dan 74 peratus kaum Melayu dalam kumpulan pendapatan itu memberi sokongan positif ke atas kepimpinan Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Presiden Umno. Najib juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Kajian terbaru Merdeka Center kali ini juga menunjukkan bahawa rasa puas hati sangat tinggi di kalangan responden yang berusia 50 tahun dan ke atas. Seramai 73 peratus responden berusia 50 tahun dan ke atas berpuas hati dengan pendekatan Najib berbanding hanya 64 peratus di kalangan mereka berusia 21 hingga 30 tahun.

 "Hasil kajian juga menunjukkan bahawa sehingga satu pertiga responden yang condong ke arah Pakatan Rakyat dilihat berpuas hati dengan Perdana Menteri - yang menunjukkan bahawa sokongan sedemikian tidak semestinya akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada parti pemerintah (Barisan Nasional)," kata beliau lagi.

Dalam ulasannya juga, Ibrahim berkata, pihaknya berpendapat bahawa peningkatan kembali populariti adalah ekoran inisiatif-inisiatif mesra rakyat dan langkah mahu memperbaiki amalan demokrasi, antara memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Pilihan Raya.

Meskipun kadar puas hati ke atas Perdana Menteri tinggi, kata Ibrahim, kajian yang sama menunjukkan bahawa pengundi masa was-was dengan kerajaan persekutuan.

"Hanya 48 peratus responden berkata mereka gembira dengan kerajaan," kata beliau. "Kajian juga menunjukkan bahawa pandangan positif terhadap kerajaan sangat tinggi di kalangan pengundi berusia tetapi rendah di kalangan pengundi muda, dengan hanya 39 peratus pengundi di bawah 30 tahun gembira dengan kerajaan berbanding 54 peratus di kalangan mereka berusia 60 tahun dan ke atas," katanya.