Thursday, August 18, 2011

KERAJAAN BN LEMAH & ‘KECUT’ HADAPI PEMBANGKANG?

“Kami akan memperbaiki proses (pilihan raya) jika ia dipertikai. Kami tidak mempertikaikannya tetapi untuk memuaskan mereka (pembangkang), maka kami akan melaksanakan perubahan untuk memperbaiki sistem.” -Datuk Sri Mohd Najib Razak

Buat pembaharuan untuk memuaskan hati pembangkang?

Bagaimana dengan perasaan rakyat majoriti di negara ini. Apakah mereka tidak penting untuk kerajaan?

Apakah sokongan mereka pada pilihan raya tidak penting sebaliknya kerajaan yang dibentuk hasil sokongan majoriti rakyat terlalu ‘kecut’ dan bimbang dengan pembangkang?

Apakah kerajaan sebegini yakin dan berupaya menang pilihan raya umum akan datang?
Apakah kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini lemah dan terpaksa tunduk apabila menubuhkan Panel Parlimen kerana bimbang pembangkang?

Ini bermakna penubuhan itu bukan untuk usaha menambah baik sistem pilihan raya selain demi sistem politik yang semakin baik tetapi lebih untuk memuaskan hati pembangkang!

Jika demikian, buat apa sokong kerajaan, baik sokong pembangkang jika kerajaan yang memerintah ‘kecut’ dengan pembangkang dan pendapat atau cadangan pembangkang lebih baik daripada kerajaan yang ada.

Persoalannya sekarang, BN mulai tunduk dan akur tuntutan pembangkang dan jika ada tuntuntan lanjutan (pembangkang pastinya tidak akan berpuas hati dalam segala perkara dengan BN) pembangkang selepas ini, bagaimana?

Dengan memulakan langkah sumbang iaitu tunduk kepada pembangkang, apakah akan banyak lagi langkah sumbang selepas ini?

Pastinya pembangkang akan mendabik dada dan menjelajah ke serata pelusuk negeri mengatakan BN lemah dan tunduk kepada tuntutan mereka.

Sedangkan mungkin hasrat murni yang sebenarnya tersirat di sebalik pembaharuan pilihan raya untuk menjadikan pilihan raya di Malaysia sebagai sesuatu yang terbaik.

Mengejutkan selepas tiga hari mengumumkan pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya, Perdana Menteri berkata di Kapar semalam keputusan itu diambil untuk “memuaskan” pembangkang.

Semua tahu bahawa pembangkang menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang ditentang hebat oleh kerajaan.

Bukankah dengan memenuhi tuntutan atau tunduk kepada pembangkang dalam isu ini bermakna secara tidak langsung kerajaan BN ‘mengiktiraf’ perhimpunan berkenaan?

Tegas Datuk Sri Mohd Najib Razak Najib semalam: “Kami akan memperbaiki proses (pilihan raya) jika ia dipertikai. Kami tidak mempertikaikannya tetapi untuk memuaskan mereka, maka kami akan melaksanakan perubahan untuk memperbaiki sistem.”

Malah, lebih jauh Najib berkata: “Kami mahu sesiapa yang memerintah negara ini dipilih mengikuti kehendak sebenar rakyat.”

Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menggeleng kepala apabila ditanya sama ada Najib mengambil pendekatan itu bertujuan memperbaiki imej antarabangsa kerajaan kepimpinannya.

Pada ketika Dr Mahathir Mohamad menyokong keputusan Putrajaya mahu melaksanakan pembaharuan pilihan raya dengan membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen, beliau mengakui ia ekoran “kesan tempatan” ke atas pentadbiran Najib selepas perhimpunan 9 Julai.

“Bukan disebabkan kesan antarabangsa... ia kesan tempatan,” kata Dr Mahathir selepas melancarkan majlis kutipan sumbangan bagi mangsa kebuluran Somalia di Yayasan Perdana Global Peace semalam.

Dr Mahathir berkata sistem pilihan raya di Malaysia kurang kepincangan berbanding negara-negara lain yang dibuktikan bahawa kelemahan yang ada sesuatu yang berleluasa memandangkan kita dapat melihat di negara-negara tertentu di mana 99 peratus undi pergi kepada satu parti tertentu.

Menurutnya, di Malaysia, dalam setiap pilihan raya, pembangkang menang kerusi, malah menang beberapa negeri dan kemungkinan ada kekurangan di sana sini tetapi pada umumnya pilihan raya di Malaysia adalah bersih. “Tidak bersih secara mutlak, tetapi bersih,” kata Dr Mahathir.

Berdasarkan pendapat Dr Mahathir ini jelas sekali sepatutnya pembaharuan atau apa juga dasar mengenai pilihan raya sewajarnya dilakukan demi dasar berkenaan, bukan untuk memuas hati pembangkang.

Apakah Najib akan mematuhi dan ‘kecut’ dengan tuntutan-tuntutan lain oleh pembangkang selepas ini?

Wednesday, August 17, 2011

MEMFITNAH UMNO - TAHNIAH Ir. ZIN, UMNO SELANGOR

Tahniah Datuk Seri Ir. Mohd Zin.

Pada ketika Ibu Pejabat UMNO semacam khayal dan melihat isu murtad seperti tidak penting, anda mencabar PAS supaya meminta maaf kerana mengait dan menyalahkan UMNO dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.

Hingga hari ini, kita tidak jelas apa pendekatan Penerangan UMNO bagi isu yang penting ini.

Kenyataan-kenyataan hambar oleh sesetengah pemimpin UMNO menjadikan seolah-olah serangan terhadap Jabatan Agama islam Selangor atau JAIS itu hanya isu di Selangor.

Sedangkan PAS mula menuding jari kepada UMNO (baca juga ulasan berikut) kononnya ada unsu
r campurtangan UMNO dalam siasatan yang dijalankan oleh JAIS terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya yang dikatakan cuba memurtadkan umat Islam.

UMNO yang berjuang demi agama Islam, bangsa dan tanah air seharusnya melakukan gerakan bersepadu mendekati permasalahan ini hanya jelas merugikan PAS dan boleh menimbulkan persoalan kepada PAS di mana perjuangan Islam mereka sebenarnya.

Dengan memberikan tempoh tiga hari, sehingga esok kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali untuk memohon maaf kepada UMNO berhubung kenyataannya yang menyalahkan UMNO adalah tindakan yang memang patut dilakukan bukan sahaja oleh Zin tetapi seluruh warga UMNO.

Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor itu semalam berkata kenyataan Mustafa itu jelas berniat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan UMNO sebagai salah sebuah parti pemerintah dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Mustafa turut mengatakan UMNO memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan JAIS yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja tersebut.

Hakikatnya, rakyat khususnya umat islam di negara ini sedang memerhati dengan penuh prihatin kegagalan demi kegagalan yang dibuat oleh kerajaan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS Selangor dalam menangani pelbagai masalah dan kepentingan rakyat.

Namun, apakah UMNO menggunakan pe;luang seperti ini untuk menonjolkan bahawa ia parti yang memperjuangkan kebaikan untuk rakyat dan tidak gagal seperti pakatan pembangkang di Selangor itu?

Zin menambah, tuduhan tidak berasas Mustafa ke atas UMNO itu sangat dikesali kerana ia dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya dihormati dan dihayati oleh semua umat Islam.

Walaupun beliau bercakap bagi pihak UMNO Selangor yang memberi masa tiga hari kepada PAS dan Mustafa Ali supaya memohon maaf, seharusnya ia mewakili UMNO seluruh negeri – kecuali Sarawak

Zin mahu PAS dan Mustafai dikenakan tindakan undang-undang kerana tuduhan tidak berasas itu.

Biar Mustafa sedar dan jangan mengaitkan segala perkara dengan UMNO kerana pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu adalah berasaskan kepada kepentingan islam dan tidak ada kena mengena dengan UMNO.

Dengan tindakan UMNO Selangor ini juga akan membuktikan kepada rakyat bahawa PAS adalah parti yang hilang arah dan melihat politik dan kuasa adalah segala-galanya dan sanggup menggadai perjuangannya hanya kerana mahu mendapat pengiktirafan DAP dan PKR, bukannya Allah s.w.t.

Tuesday, August 16, 2011

KETERAMPILAN NAJIB MENGATASI ANWAR - MERDEKA CENTRE

Usaha memburukkan imej Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Razak tidak berjaya malah komuniti siber anti-Najib juga gagal menonjolkan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya media perdana yang dianggap ketinggalan berbanding media baru berjaya menaikkan imej Najib selain mampu menenggelamkan Anwar dengan isu-isu dan dakwaan bersilih ganti.

Menurut Ibrahim Suffian dari pusat bancian Merdeka Centre, walaupun komuniti siber di Internet - seperti laman Facebook anti-Najib - yang sebahagian besar menentang perdana menteri itu, tetapi pada hakikatnya bahawa sebilangan besar daripada rakyat tidak terdedah dengan sumber maklumat alternatif.

"Saya fikir orang ramai tidak mempunyai maklumat yang cukup mengenai apa yang dilakukan oleh Anwar untuk mempengaruhi keputusan. (Ini adalah) kerana hanya kira-kira 40 peratus daripada rakyat negara ini yang mempunyai akses kepada berita alternatif, jauh lebih rendah daripada akses internet.

"Tidak semua orang yang melayari Internet akan melawat portal dan membaca berita. Oleh itu, terdapat ketidakseimbangan bagaimana orang ramai boleh menilai seseorang pemimpin. "

Kerana itu Najib dilihat lebih berketerampilan sebagai pemimpin di mata masyarakat umum berbanding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini adalah kerana keberkesanan penggunaan media arus perdana untuk menaikkan imej Najib.

Malah katanya, jumlah rakyat yang berpuas hati dengan kepimpinan perdana menteri, kukuh pada paras 69 peratus pada Disember lalu.

"Jika anda bertanya kepada saya - siapa yang rakyat fikirkan boleh melakukan kerja dengan lebih baik,- mereka berkemungkinan akan memilih Najib.

Terdapat banyak berita mengenai Najib melakukan pelbagai perkara dan sebahagian besar berita itu sangat positif.

"Jadi mereka mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap Najib berbanding Anwar. (Persepsi Anwar) dalam media arus perdana diselubungi tindakan undang-undang yang bersilih ganti. Hampir setiap hari, ada sahaja orang yang menuduh beliau dengan pelbagai dakwaan.”

Kata Ibrahim, sekurang-kurangnya dua pertiga, bersetuju dengan apa yang perdana menteri sedang memperkatakan atau cuba untuk berbuat.

Sumber : Malaysiakini

Monday, August 15, 2011

PAS - AKIDAH DIKETEPI DEMI KUASA, PUTRAJAYA?

Akidah adalah soal masa depan ummah yang akan dihisab di akhirat kelak. Kerana itu ia perlu ditangani oleh seluruh umat Islam di negara ini, khususnya yang diamanahkan menjadi pemimpin.

Apakah pemimpin PAS Pusat tidak lagi beramanah?

Apakah pemimpin PAS sudah tidak takut dihisab di akhirat?

Dilema apa ada dalam diri pemimpin besar PAS seperti Presiden, Musyridul Am PAS, TImbalan Presiden dan Naib-Naib Presidennya?

Siapa diharap menjadi banteng umat Islam bagi memastikan umat Islam tidak terus dimurtadkan?

Dewan Pemuda PAS Pusat pimpinan Nasrudin Hassan semalam berikrar untuk menjadi benteng mempertahankan akidah umat Islam.

Namun mampukah beliau pada ketika PAS Pusat membuat pendirian yang berbeza khususnya dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memalukan seluruh umat Islam di Malaysia?

Pemimpin seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Abdul Aziz serta pucuk pimpinan Pas sehingga sekarang gagal menyatakan pendirian menyokong tindakan JAIS yang memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama yang dikatakan cuba memurtadkan 12 individu Islam.

Malah, jika PAS Pusat sudah enggan melakukannya, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sedia mengambil alih tugas PAS untuk menjadi benteng mempertahankan kesucian agama Islam.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata semalam, keputusan tersebut terpaksa dibuat walaupun badan itu bukan pertubuhan politik kerana PAS yang selama ini mendakwa parti Islam dan pernah bercita-cita mahu menubuhkan negara Islam, gagal berbuat demikian.

Menurut Ibrahim, sejak bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas tidak lagi mementingkan soal agama, sebaliknya apa yang dikejar oleh parti itu adalah undi, sehingga sanggup membisu dan menghalalkan apa sahaja perbuatan yang dilakukan oleh musuh Islam.

Hakikatnya parti PAS amat maklum bahawa murtad kini menjadi ancaman serius kepada kemuliaan agama Islam di Malaysia.

Namun, PAS bagaikan meletakkan isu ini ke tepi untuk sementara waktu demi bekerjasama dengan puak-puak bukan Islam untuk kepentingan politik dan kuasa.

Bagi PAS hari ini, mendapatkan kuasa dan berkongsi kuasa dengan kafir harbi lebih utama dalam menundukkan UMNO yang juga memperjuangkan Islam.

Dengan data Mahkamah Syariah menunjukkan seramai 863 individu Islam telah memohon untuk menukar status agama mereka sejak 2000 hingga tahun lalu, PAS tidak melihat isu ini sebagai mendesak.

Kerana itu PAS tidak berani membuat pendirian sedangkan Nasrudin begitu bimbang dengan masalah murtad ini kerana masalah murtad adalah isu akidah yang melepasi sempadan politik.

Berikutan itu Dewan Pemuda Pas Pusat sekali lagi mendesak pucuk pimpinan parti itu supaya membuat pendirian rasmi berhubung isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Malah bagi memastikan masalah murtad tidak menjadi barah kepada umat Islam pada masa hadapan, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu mendesak agar kerajaan meluluskan Akta Murtad dengan segera dan menjadikan mata pelajaran Pengajian Islam sebagai subjek wajib lulus.

Beliau mengulangi pendirian Dewan Pemuda Pas Pusat menyokong penuh tindakan JAIS memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat terdapat cubaan memurtadkan 12 individu Islam walaupun dikecam pihak tertentu dalam parti berkenaan.

Nasrudin menjadi mangsa terbaru selepas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dikecam pemimpin Pas pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beberapa hari lalu, kerana beliau mengeluarkan kenyataan keras mahu mempertahankan akidah umat Islam sekalipun dengan darah dan nyawa.

Namun beliau tidak berganjak daripada pendirian terdahulu yang tegas tidak mahu menggadaikan maruah Islam hanya kerana kepentingan politik.