Thursday, January 6, 2011

SIASAT TUDUHAN RAIS ROGOL AMAH KE AKAR UMBI

Majlis Veteran Umno Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan liar yang disiarkan oleh sebuah blog di internet yang mendakwa Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007.

Pengerusinya, Datuk Rozali Isohak berkata tuduhan melulu tanpa usul periksa dibuat dengan niat jahat dan berkepentingan untuk menjatuhkan nama baik seseorang menteri diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Veteran Umno Kelantan mengesa polis menyiasat laporan itu hingga ke akar umbi dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang bertanggungjawab melemparkan tuduhan buruk itu," katanya.

Rais dalam kenyataanya semalam menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun lepas atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di Internet atau mana-mana entiti politik.

Beliau mendakwa ianya tuduhan yang dicetuskan penulis liar blog dan parti politik pembangkang.

Sehubungan itu beliau pihak yang terlibat membuat tuduhan tersebut disiasat mengikut lunas undang-undang.

Rais turut memaklumkan beliau dan keluarga, sedia memberi kerjasama membantu siasatan dan menerima apa sahaja keputusan siasatan akhir nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyambut baik cadangan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu isu dakwaan seorang menteri merogol pembatu rumah Indonesia, diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

Sambil mengalukan penafian keterlibatan yang dibuat Rais semalam, beliau mahu isu itu disiasat dengan segera kerana ia membabitkan nama baik negara dan mampu menjejaskan hubungan serantau Malaysia-Indonesia.

Di Indonesia, NGO yang mendedahkan isu ini, Migrant Care akan membuat satu sidang media khas sebagai menjawab isu ini selepas laporan mereka didedahkan oleh WikiLeaks dan kemudiannya media khasnya laman web dan blog di Malaysia.

"Kita setuju bahawa isu ini perlu disiasat. Kita minta polis menyiasat dakwaan dalam blog-blog yang telah mendedahkan perkara ini. Kita tidak mahu nama baik Malaysia terjejas dan juga menjatuhkan imej Rais Yatim," kata Mahfuz ketika mengulas kenyataan Rais.

Namun blog manakah yang perlu disiasat?

Menariknya, sebuah blog menyebut, isu Datuk Seri Utama Rais Yatim yang dituduh memperkosa orang gajinya empat tahun yang lalu merupakan FITNAH yang paling jijik dan terkutuk ke atas seorang menteri kabinet.

Blog melalui entrinya pada 1 Januari 2011 lalu (sebelum Rais membuat penafian) menyebut: “Fitnah ini sengaja direka-reka, seperti mana fitnah yang dilemparkan ke atas Datuk Seri Najib berhubung pembunuhan Altantuya Saaribu. Lebih malang lagi, fitnah ini datangnya daripada para bloggers mesra kerajaan sendiri, yang seharusnya lebih berhati-hati atas segala maklumat yang diterima. Sepatutnya selidik, periksa dan teliti terlebih dahulu tuduhan-tuduhan tersebut, jangan jadikan blog kita seperti kedai kopi. "

Kata blog itu lagi: “Isu DS Rais Yatim sengaja dibangkitkan ekoran ura-ura rombakan kabinet akan berlaku tidak lama lagi dan terdapat pihak tertentu yang mahu melihat DS Rais tersingkir daripada kabinet. Terbukti, terdapat beberapa bloggers yang diberi upah bagi menjatuhkan menteri-menteri tertentu, melalui serangan peribadi. Kita sebagai bloggers mesra kerajaan biar bertindak secara bijak. Jangan sesekali menjadi bloggers upahan semata-mata mahu jadi kaya."

Tidak diketahui sejauh mana blogger berkenaan mendapat upah tetapi kebanyakan blog merujuk isu ini daripada pendedahan awal oleh rocky’s bru dan bigdotcom.

Kita lihatlah nanti sejauh mana siasatan akan dilakukan hasil kenyataan Rais itu.

GANJARAN KERAJAAN PUSAT SELEPAS TERENGGANU, KELANTAN & PERAK

http://teganuku.blogspot.com

Pasukan bola sepak negara yang menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta baru-baru ini, akan meraikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis makan tengah hari pada Rabu depan, di Seri Perdana di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata semalam. pada majlis itu juga Najib dijangka mengumumkan ganjaran yang bakal diterima kesemua pemain yang telah beraksi pada kejohanan melibatkan negara-negara Asia Tenggara tersebut.

Terengganu mengumumkannya habuan lebih awal untuk pemain berasal dari negeri itu apabila pada 1 Januari lalu, sekembalinya dari bercuti diu luar negara, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengatakan enam pemain negeri yang terbabit dengan Piala Suzuki itu akan menerima ‘durian runtuh’.

Semalam, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Ahmad Said berkata enam pemain negeri yang membantu skuad negara memenangi Piala Suzuki AFF baru-baru ini, akan menerima insentif tanah kediaman dan wang, seperti yang dijanjikan pada Isnin ini.

Pemain tersebut ialah Mohd. Ashaari Shamsuddin dan Mohd. Sharbinee Alawee, yang kini mewakili skuad Terengganu serta Norshahrul Idlan Talaha (gambar kanan) dari skuad Kelantan. Tiga lagi pemain skuad Harimau Muda A iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Faizal Muhammad dan Izzaq Faris Ramlan.

Ahmad Said berkata, majlis tersebut akan diadakan di Kuala Terengganu, serentak dengan majlis menandatangani perjanjian para pemain skuad Terengganu dan T-Team.

Beliau memberitahu, pada majlis tersebut, pemain terbabit akan menerima imbuhan RM5,000 seorang dan diberi borang bagi urusan pemberian sebidang tanah untuk kediaman.

Menurut Menteri Besar, pemberian insentif itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan Terengganu cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pelajaran.

Pada 29 Disember lalu, skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih K. Rajagobal menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir kedua di Jakarta dengan agregat 4-2.

Semalam juga Kerajaan negeri Perak berkata ia akan memberi imbuhan sebanyak RM10,000 kepada penyerang pasukan kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali (gambar kiri) kerana membantu negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010 serta muncul sebagai penjaring terbanyak pada kejohanan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang mengumumkan ganjaran itu, berkata Mohd Safee akan menerima RM5,000 kerana membantu negara memenangi piala berprestij itu manakala RM5,000 lagi kerana muncul penjaring terbanyak dengan lima gol.

Turut menerima ganjaran RM5,000 ialah dua lagi pemain anak Perak yang mewakili pasukan negara pada kejohanan itu iaitu Mohd Sabre Mat Abu dan Mohamad Fadli Mohd Shas.

"Adalah wajar kita memberikan sumbangan kepada tiga anak Perak yang menyumbangkan tenaga untuk negara...Saya cukup terharu dan bangga dengan kejayaan kita menjuarai Piala Suzuki AFF selepas menanti selama 14 tahun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini Rabu.

Mohd Safee merupakan anak kelahiran Behrang dan kini keluarganya menetap di Tapah. Beliau pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat sebelum bepindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Manakala Mohd Sabre pula adalah anak kelahiran Parit Buntar dan Mohamad Fadli pula adalah anak anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang lahir di Lumut.

Kesemua mereka akan menerima imbuhan masing-masing dalam satu majlis ringkas yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sebelum ini Kelantan turut memberikan anugerah kepada salah seorang pemain pasukan kebangsaan iaitu penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat (gambar kiri)yang mengharumkan nama negara.

Dilaporkan, Kerajaan Kelantan sedang berbincang untuk mencari rumah serta lokasinya yang sesuai untuk dihadiahkan kepada

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunaan Insan, Belia Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri juga belum menetapkan nilai rumah yang akan dihadiahkan kepada pemain remaja itu.

Dua hari lalu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan hadiah tersebut. Khairul Fahmi turut mengharumkan nama negeri Kelantan.

Dengan semangat ‘membalas jasa’ dan menjadikan contoh bagaimana mereka yang mengharumkan nama Malaysia akan diberikan habuan sewajarnya sperti pasukan kebangsaan yang turut dikenali sebagai skuad Harimau Malaysia.

Kejayaan itu menamatkan penantian 14 tahun negara untuk membawa pulang piala AFF Suzuki selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember lalu, bukan sahaja kerajaan negeri tetapi Kerajaan Pusat juga amat menghari sumbangan mereka.

Berikutan kemenangan itu Perdana Menteri mengumumkan Jumaat berikutnya iaitu 31 Disember lepas sebagai cuti umum.

Selain ganjaran daripada kerajaan, pemain akan turut menerima wang tunai daripada Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Tabung yang ditubuhkan bagi mengumpul sumbangan kepada skuad bola sepak kebangsaan jika mereka memenangi piala tersebut, setakat ini menerima ikrar sumbangan lebih RM80,000.

Rasanya jumlah itu adalah masih kecil dan penyumbang masih boleh menghulurkan sumbangan mereka agar menjelang Rabu dengan, ia menjadi jumlah yang lebih besar.

Jika Indonesia menjanjikan RM1 juta untuk dibahagikan sekiranya pemain mereka menjadi johan, Malaysia yang terkenal dengan rakyatnya yang pemurah, mampu menyaingi jumlah tersebut.

Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi ia adalah perangsang untuk anak muda yang akan melihat bahawa sukan juga mampu mendatangkan rezeki yang baik jika pencapaian mereka baik di persada antarabangsa.

Wednesday, January 5, 2011

RAIS YATIM NAFI ROGOL PEMBANTU RUMAH iNDONESIA

"Tujuan merosakkan nama dan imej saya itu jelas supaya perjuangan di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) tergencat dan menggagalkan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional khususnya Gagasan 1Malaysia yang dicipta Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak." - Rais Yatim

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini dilaporkan membuat laporan polis terhadap seorang anggota Kabinet berhubung kes rogol membabitkan pembantu rumah warga Indonesia kira-kira empat tahun lalu.

Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin berkata walaupun tidak mempunyai bukti kukuh mengaitkan menteri berkenaan dalam kejadian tersebut namun banyak perkara yang membuktikan pemimpin Umno itu terlibat.

Laporan itu hampir sama tempohnya dengan kenyataan yang ditunggu daripada empunya diri yang akhirnya datang jua hari ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini membuat penafian terhadap tuduhan oleh penulis blog dan pembangkang bahawa kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007.

Setidak-tidaknya Rais sudah berusaha membersihkan dirinya apabila menafikan melakukan perkara terkutuk itu dan bergantunglah kepada orang ramai - rakyat Malaysia khususnya - mempercayai beliau atau tidak.

Menteri UMNO itu turut menafikan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

"Saya menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama yang memetik Rais sebagai berkata: "alegasi liar yang ditujukan terhadap diri saya susulan laporan blog dan parti-parti politik pembangkang di akhir-akhir ini adalah longgokan fitnah dan pendustaan yang dahsyat, jelek dan jahat."

"Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara," katanya.

Rais berkata beliau dan anggota keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam siastan itu dan apa-apa keputusan siasatan rasmi itu akan diterima dan dipatuhi.

Beliau berkata "sementara siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, pihak-pihak yang rakus mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain diminta menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik."

"Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar yang disiarkan di bawah mana-mana pojok blog, laman web di internet setakat ini berkaitan alegasi salahlaku atau jenayah memperkosa mana-mana individu sedemikian adalah bertujuan jelek, berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan tanpa lunas sahih di sisi undang-undang," katanya.

Rais berkata sehubungan itu, perkara ini adalah mainan politik jahat dan kotor yang sengaja digembar-gemburkan bagi tujuan memperolehi dividen politik pembangkang.

Laporan polis oleh PAS dan sekutunya di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa lepas susulan spekulasi blogger adalah bukti bahawa alegasi ini bermotifkan politik kotor dengan tujuan supaya rakyat di Jelebu memihak kepada pembangkang sedangkan mereka tiada kesahihan hak untuk membuat laporan sedemikian dari sudut perundangan, kata anggota Parlimen Jelebu itu.

Rais berkata: "Alegasi pemerkosaan seperti yang dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil wikileaks."

Beliau berkata tindakan mengaitkan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebagai tidak melayani aduan pada 2007 berkaitan kes tersebut adalah suatu perbuatan "politik licik murahan yang semata-mata bertujuan mengelirukan fakta di mata rakyat kerana perkara tersebut tidak pernah dibawa ke perhatian Abdullah dan Musa."

"Apa-apa yang disebut sebagai laporan dari luar atau dalam negara yang mengisahkan alegasi memperkosa individu tertentu di dalam media blog, laman web atau lain-lain di internet adalah manifestasi politik bagi tujuan merosakkan peribadi saya selaku Anggota Pentadbiran Kerajaan Malaysia yang rekod khidmat saya tidak pernah tercela dengan sebarang salahlaku dalam tempoh hampir 40 tahun," katanya.

Rais berkata tujuan merosakkan nama dan imej beliau itu jelas supaya perjuangannya di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) tergencat dan menggagalkan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional khususnya Gagasan 1Malaysia yang dicipta Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

"Pembangkang dan pihak-pihak yang tidak senang dengan penerimaan dan kejayaan dasar ini di kalangan rakyat bertindak untuk membantutkannya melalui fitnah dan pendustaan murahan.

"Mereka berpandangan dengan 'membunuh pengantarnya' tujuan jahat mereka tercapai," tambahnya.

Rais berkata dengan adanya gara-gara dan perkembangan pilihan raya kecil dan umum di musim kini, "isu seperti ini diolah oleh mereka itu sebagai 'lembing rejaman' yang diharap akan membunuh politik dan perjuangan murni kerajaan.

"Mereka menganggap dengan dedahan bersifat spekulasi dan tohmahan ini pemerhatian umum terhadap kes-kes jenayah besar seperti liwat yang melibatkan pimpinanan pembangkang akan dapat dipesongkan," katanya.

Sejak kebelakangan ini, beberapa laman blog telah menyiarkan cerita yang mengaitkan Rais merogol seorang pembantu rumah pada 2007.

Rasanya, sebelum membuat sebarang pendirian, baik kita tunggu juga kenyataan pihak lain, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai pendirian kerajaan dalam isu ini.

Sama-sama kita tunggu!

Sunday, January 2, 2011

SUDAH, SUDAHLAH...AMBIL SAJALAH YANG JERNIH

Bahagian Kedua dan Akhir (Tajuk Bahagian Pertama - Amanah dan Tanggungjawab Berat Menanti Ahmad Said)

Kelmarin saya ada menyebut bahawa antara cabaran penting Ahmad Said dan Yahya ialah mewujudkan gandingan mantap dan membuktikan kepada pucuk pimpinan UMNO bahawa regu ini yang terbaik sejak pilihan raya umum 2008.

Yahya perlu menunjukkan bahawa dia gandingan terbaik untuk Ahmad Said dan apa juga yang tidak berkaitan dengan kepentingan UMNO negeri ditolak atau disingkirkan jauh-jauh.

Ini kerana jika kita ingat, ketika Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, ia diubah oleh Hishamuddin apabila menerajuinya selepas pengumuman Najib sebaik mengambil alih teraju kepimpinan negara.

Jika segalanya mantap OK, masakan Hishamuddin mengubahnya. Antara yang dikatakan paling ‘tidak disenangi’ ketika itu ialah Datuk Rosli Mat Hassan yang menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO ketika itu.

Namun ada yang mengatakan ketika Hishamuddin mentadbir Terengganu, pergerakan Badan Perhubungan amat perlahan dan tidak ada arah – kecuali berusaha menyatu dan menangani ‘kemelut politik’ yang berterusan.

UMNO Terengganu tidak boleh dilihat mempunyai dua nakhoda. Sokongan dan kesetiaan akan menjadikan Yahya pemimpin yang disegani di Terengganu.

Yahya boleh berpandu kepada bagaimana Najib ketika menjadi Timbalan Presiden UMNO atau Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menjadi regu Najib dalam UMNO.

Sebarang masalah atau cadangan rujuklah kepada ketua dan jangan melayan sama sekali kerenah mereka yang mahu memecahbelah dan menggugat gandingan yang sudah mendapat kepercayaan Presiden parti.

Apapun Yahya sudah berikrar bahawa beliau akan membantu Ahmad Said kerana kedua-duanya bukan baru bekerjasama. Sebelum beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan negeri selepas Ahmad Said menjadi Menteri Besar, Yahya adalah Timbalan Exco Kerajaan Tempatan sewaktu Ahmad Said menjadi Exco ketika Idris menjadi Menteri Besar.

Yahya sudah berjanji untuk memperkasakan parti dan menyatukan kepimpinan di semua peringkat. Ini antara agenda utama yang akan dilaksanakan oleh beloiau.

Memang benar kata Yahya bahawa beliau tidak akan mampu untuk bergerak seorang diri. Ahmad Said pun demikian, Kerana itu mereka perlu saling bergandingan dan memerlukan sokongan di semua peringkat.

Yahya juga sudah berikrar akan memberikan sokongan sebaik mungkin kepada Menteri Besar Terengganu itu dan mengakui bahawa beliau “sudah biasa bekerja dengannya dan saya tiada masalah untuk bersamanya memperkasakan UMNO, terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.”

Di sebalik gandingan itu, salah satu isu yang masih diperkatakan oleh media mengenai politik Terengganu ialah ‘kemelut’ akan tetap berterusan.

Dan itupun soalan yang dikemukakan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor pada sidang media mengumumkan struktur baru UMNO di Tingkat 38, Menara Dato Onn, Isnin lalu.

Akibat soalan yang bertalu-talu...rasanya soalan paling banyak ditanya pada sidang media itu, Tengku Adnan terpaksa menepis tanggapan kononnya masih wujud pertelingkahan di kalangan pemimpin UMNO Terengganu.

“Terengganu ok, tak ada apa…kamu orang (media) yang berkata begitu (wujudnya kemelut),” tegasnya ketika menjawab soalan seorang wartawan yang bertanya mengenai politik di Terengganu.

Menurut Tengku Adnan, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yakin perubahan di Terengganu akan membawa ‘pembaharuan politik’ dan gandingan dua pemimpin baru akan melonjakkan UMNO negeri menghadapi pilihan raya.

Malah, seorang wartawan mendakwa UMNO Terengganu masih bergolak dengan dua puak yang menyokong dan menentang kepimpinan Menteri Besar.

Namun menurut Tengku Adnan, UMNO Pusat tidak melihat sedemikian sebaliknya ia lebih kepada ‘mainan media’ yang meletakkan suasana berkenaan.

Soal penting kini ialah jika Ahmad Said –Yahya berusaha ‘memulihkan’ UMNO, peranan mereka yang sebelum ini menjauh atau memencilkan diri sepatutnya dengan rela hati kembali mendekati pucuk pimpinan UMNO yang baru.

Mereka tidak sewajarnya mengharapkan ‘bos’ mendekati mereka sebaliknya merekalah yang sepatutnya kembali untuk bertaut.

Tidak ada siapa yang untung jika mereka yang ‘mengasingkan diri’ sebelum ini terus menyepi. Oleh kerana mereka yang ‘menjauhkan diri’, amatlah tepat dan sesuai, merekalah juga yang perlu mendekatkan diri.

Ahmad Said menyedari masalah ini dan inilah masa terbaik untuk menyertai program parti dan kerajaan kerana yang menentang Menteri Besar itu sebelum ini boleh dikatakan semuanya ADUN.

Rakyat menanti dan menunggu mereka semua boleh duduk semeja dan proaktif. Jika pemimpin seperti Ramlan Ali (ADUN Jabi), Mohd Zawawi ismail (ADUN Kuala Berang), Ramli Nuh (ADUN Tepoh), Halim Jusoh (ADUN Permaisuri), Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut) dan ramai lagi, janganlah pula Datuk Din Adam (ADUN Bukit Besi), Alias Abdullah (DUN Alor Limbat) atau Datuk Rosol Wahid (ADUN Ajil) terus menjauhkan diri.

Sudah, sudahlah...lupakanlah yang lepas. Ahmad Said bukan orang lain, dulu rakan Exco dan ADUN yang perlu disokong bukan ditentang.

Ahmad Said pun tidak pernah menyekat sebarang peruntukan – mereka menikmati sama dengan ADUN lain yang menyokong Ahmad Said sebelum ini.

Masa tidak lama untuk hadapi PRU ke 13 dan jangan kerana perselisihan lama, UMNO menjadi mangsa. Fikirkanlah demi perpaduan Melayu dan Islam.

Soal penting kita kena buktikan kata-kata Tengku Adnan bahawa UMNO Terengganu tidak ada masalah – yang mengatakan masalah ialah media.

Kali ini biar media memperbetulkan persepsi salah mereka bahawa UMNO Terengganu ada masalah – sebenarnya tidak ada apa-apa....ia hanya kocakan dalam secawan kopi.

Seperti kata Tengku Putera, pelantikan atau gandingan Ahmad Said – Yahya akan pastinya melenyapkan pelbagai persepsi negatif terhadap UMNO negeri dan anggaplah ia menjadi permulaan baru untuk parti menyusun dan menggerakkan agenda menghadapi pilihan raya.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu itu menganggap Yahya sebagai orang yang paling layak untuk menjadi perantaraan antara kepimpinan dan rakyat.

Sebenarnya bukan ketua-ketua bahagian di Terengganu berangapan sedemikian, Najib dan Muhyiddin sebenarnya mengharapkan Yahya mampu membantu Ahmad Said dengan sebaik-baiknya.

Dan berikutan itu, seperti doa yang dibacakan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud ketika menyambut kepulangan Ahmad Said serta doa yang dibaca di kediaman Menteri Besar itu semalam, kedua-duanya mengharapkan pentadbiran negeri pimpinan Ahmad Said diberkati Allah dan diberikan hidayah.

Dan pastinya keberkatan paling jitu datangnya melalui kerjasama erat semua pihak - yang keruh dibuang jauh-jauh dan yang jernih digapai – dengan syarat semua pihak sanggup melupakan pergeseran dan kemarahan.

Oleh kerana politik adalah perlakuan dan permainan di luar jangkaan , bukanlah sesuatu yang pelik jika selepas ini orang yang pernah menentang Ahmad Said kembali menyokong dan membantunya bagi menjamin UMNO dan BN memang besar pada pilihan raya umum nanti!

Sebelum Ahmad Said dilantik Pengerusi Perhubungan UMNO pun, enam orang sudah ‘kembali’ menyertai Menteri Besar. Harapan menggunung agar selepas ini ‘baki kepada kumpulan’ yang pernah menentang beliau, akan segera kembali seperti rakan mereka yang sudah berada bersama Ahmad Said lebih setahun lalu.

Idris yang sekian lama mengenali Ahmad Said tentunya boleh memainkan peranan proaktif menjamin UMNO Terengganu terus mantap dan tidak tumpukan kekuatan di Bahagian Besut semata-mata.

Pengalaman dan pengaruhnya boleh memberikan kebaikan dan kelebihan untuk Ahmad Said memantapkan UMNO dan BN Negeri agar kemenangan 2004 dan 2008 yang cemerlang berterusan pada PRU ke 13 nanti.