Monday, October 4, 2010

KINI 'KERAJAAN 2 BERADIK’ SELEPAS 'KERAJAAN TIGA BERANAK'

Zaharin Mohd Yassin yang juga dikenali sebagai ‘Sang Kelembai’ memang terkenal dengan kelantangan dan keanehannya.

Beliau yang memegang jawatan politik di satu Bahagian UMNO di Kuala Lumpur dan seorang blogger sering menjadi tumpuan kepada pemimpin UMNO, khususnya dari luar Kuala Lumpur.

Yang di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Kelang sudah lama mengenalinya.

Namun suatu hari minggu lalu ketika saya bersama denga teman dari Persatuan Anak Terengganu di Lembah Kelang (PESAT) dan seorang lagi dari Yayasan Diraja Sultan Mizan sedang rancak berbincang di ‘kedai kopi’ kegemaran saya di Seri Pacific, Kuala Lumpur, Zaharin tiba-tiba muncul.

Lama tidak bertemu dengannya. Hampir lapan bulan.

Saya menyapanya dengan bertanyakan bagaimana kerja dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Hakikatnya ramai yang mahu mendekati Perdana Menteri dan berada di kedudukan sepertinya tetapi tidak seperti Zaharian yang ditawarkan oleh Perdana Menteri. Besar nilai jawatan itu!

Ketika saya mendapat tahu Zaharin bekerja dengan Najib melalui blog rakan – Merah Tinta - Dengan tajuk ‘Sang Kelambai Jadi Pegawai Perdana Menteri’ saya terkejut juga bagaimana dalam ramai-ramai blogger elit, Zaharin dipilih oleh Najib.

Lagipun, Najib dan orang UMNO tahu Zaharin belasah Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) habis-habisan dengan label ‘Kerajaan Tiga Beranak’ dan dengan mengambil Zaharin, apakah Najib tidak gusar jika dikatakan antara orang yang berusaha menjatuhkan Pak Lah.

Menurut MSO: “Bertuah badan, bloger yang menamankan dirinya Sang Kelambai atau Zaharin Mohd Yassin dikatakan akan memulakan tugas baru pada 1 Februari ini. Nampaknya hari ulang tahun Wilayah Persekutuan KL membawa tuah kepada Zaharin. Beliau khabarnya akan dilantik menjadi salah seorang pegawai Perdana Menteri selaku Pegawai Tugas-Tugas Khas.”

“Saya tumpang seronok dan gembira atas perkembangan ini. Molek dan kena sangatlah kalau Najib mengambil Zaharin sebagai salah seorang pegawainya. Zaharin memang mempunyai pengalaman banyak dalam politik. Dia walaupun begitu tetapi bukan tokoh sembarangan. Kenalan politiknya menjangkau jauh, dari parti kesayangannya Umno kepadalah parti-parti pembangkang seperti Pas.

Dia juga diterima dan dimanfaatkan oleh banyak pihak. Dalam masa tertentu Pas menggunakan Zaharin sebagai pemenuh majlis ceramahnya. Hujan dan hentaman Zaharin terhadap Umno boleh tahan juga. Salah satu sebab kenapa Abdullah Badawi panas punggung semasa jadi PM ialah gara-gara serangan terbuka Zaharin terhadap perdana menteri itu. Istilah kerajaan anak beranak yang dilemparkan kepada Abdullah adalah hasil idea Zaharin
.” (Baca Selanjutnya) .

Berbalik kepada perbualan saya, Zaharin mengatakan beliau tidak mampu bekerja lama dengan Najib.

“Aku tidak selesa bekerja begitu. Aku senang seperti biasa, Menjadi orang biasa bukan orang keliling Perdana Menteri,” kata Zaharin.

Lantas dia mula bercerita kepada dua rakan saya – kedua-duanya dari Terengganu – bagaimana peranannya berjaya ‘menjatuhkan’ seorang Ketua Bahagian yang disifatnya sebagai ‘mementingkan kekayaan’ dan kini hanya menjadi Bendahari Bahagian.

Saya berdiam diri tidak berminat dengan topik itu kerana orang yang diperkatakan itu – seorang Datuk juga rakan saya.

Saya cuba menyelongkar fikiran Zaharin kenapa beliau berhenti.

“Saya senang dengan kerja seperti ini. Dapat bertemu seseiapa sahaja. Ini kawan awak ini...waktu dia jadi Ketua Pengarang...gaji saya lebih besar darinya ketika itu,” katanya merujuk kepada tugas yang dijalankan oleh beliau ketika saya menjadi Ketua Pengarang akhbar Harian Watan milik Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor (kini Datuk Seri) antara 1996 hingga 1997.

“Berbelas ribu,” katanya. Saya akui kata-kata Zaharin kerana cara hidupnya jika tidak mempunyai pendapatan RM15,000 sebulan, sukar untuk bertahan.

Dan hingga hari ini Zaharin mampu bertahan. Persoalannya siapa yang ‘menjaga kepentingannya’? dan untuk apa? Juga bagaimana Zaharin dapat menikmati kehidupan selesa sedemikianj rupa dan kesekian lama?

Itulah kelebihan dan keanehan Zaharuin.

Banyak lagi isu-isu lain yang Zaharin perkatakan ketika saya menikmati mee kongfu dengan enak sekali sambil dua rakan saya terpegun dengan Zaharin.

Di akhir perbualan apabila saya mengemukakan soalan mengenai hubungannya dengan Najib, Zaharin mengatakan mereka baik.

“Tidak ada masalah. Saya baik dengan Perdana Menteri kerajaan ‘2 Beradik’ ini.” Katanya tegas.

Saya jadi termanggu kerana Zaharin mula memperkenalkan label baru kepada kerajaan pimpinan Najib dengan ‘Kerajaan 2 Beradik’.

Apakah ada langkah dan strategi Zaharin selepas ini?

Apakah ada sebab lain kenapa Zaharin tidak mahu bekerja dengan Najib?

Natijahnya – saya kini menunggu apa perkembangan Zaharin selepas ini.

MARI DOAKAN TUN DR MAHATHIR CEPAT SEMBUH

Gambar ini dirakamkan hari ini 4 October 2010 jam 11 pagi waktu Melbourne - dari blog BigDog

Mari kita sama-sama mendoakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 85, yang dimasukkan ke Hospital Epworth, Melbourne, Australia kelmarin, kembali sihat walafiat.

Kita semua masih memerlukan beliau - panduan dan nasihat-nasihatnya.

Jangan jadi seperti calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali yang sewenang-wenangnya menyifatkan Dr Mahathir yang sedang menerima rawatan di Melbourne itu sebagai ‘pemimpin yang sedang tersungkur’ di Australia.

Azmin membuat sindiran itu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan cabang Gombak tanpa menamakan individu berkenaan semalam.

Beliau kemudian mengakui ia merujuk kepada Dr Mahathir ketika ditemui media selepas itu, malah menyifatkan sindiran itu lebih lunak dan sesuai untuk pemimpin berkenaan.

Angkuh, kurang ajar dan biadap sikap Azmin ini. Pada ketika pemimpin pakatan pembangkang seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sakit, pemimpin Barisan Nasional serta blogger pro UMNO dan BN ucapkan yang baik untuknya.

Tetapi Azmin bersikap sebaliknya.


Dua ADUN UMNO Kelantan - Datuk Noor Zahidi Omar dan Datuk Md Alwi Che Ahmad melawat Nik Aziz ketika beliau sakit tidak lama dahulu. ADUN BN dan UMNO tidak mengatakan bukan-bukan kepada Nik Aziz.



Pegawai Khas Dr Mahathir, Sufi Yusoff berkata semalam, doktor berpuas hati dengan kemajuan Dr. Mahathir yang bertindak balas terhadap antibiotik dan fisioterapi yang diberikan.

Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu semakin baik dan telah bertindak balas positif terhadap rawatan yang diberikan.

Diiringi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Dr. Mahathir tiba Melbourne pada Khamis lalu untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab UMNO Australia Melbourne di University of Melbourne pada Sabtu.

Anak Dr. Mahathir, Datuk Mukhriz Mahathir melawat bapanya pagi semalam. Timbalan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut bersarapan pagi bersama dengan Dr. Mahathir dan Siti Hasmah.

Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah juga berterima kasih kepada mereka yang mengambil berat terhadap keadaan kesihatannya.

Saturday, October 2, 2010

MUNGKINKAH KEPUTUSAN KU LI AKAN MEMERITKAN UMNO, BN

Ternyata Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pemimpin UMNO Kelantan tetap popular dan digeruni.

Beliau bukan sekadar diperkatakan sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, malah ada cadangan untuknya menjadi pengarah pilihan raya berkenaan.

Sehingga ini Tengku Razaleigh masih membisu terhadap cadangan itu.

"Kebisuannya' itu mengundang pelbagai spekulasi.Ada mengatakan beliau perlu berfikir panjang kerana sebelum ini beliau menyokong beberapa langkah kerajaan PAS Kelantan dan paling terbesar ialah tuntutan royaliti minyak oleh kerajaan Kelantan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pula tidak mahu terikat mengenai cadangan Pemuda UMNO Kelantan supaya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Najib menjawab selamba soalan wartawan: “Kita tak akan bercakap mengenai calon ketika ini... saya masih menunggu cadangan.”

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah boleh dipertimbangkan sebagai calon BN untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon yang paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Bagaimanapun, kata beliau, soal sama ada Tengku Razaleigh yang telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Galas mahu bertanding atau mempunyai calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, ia terpulang kepada bekas Menteri Kewangan itu.

"Sebagaimana biasa kita beri lebih ruang pada Ku Li untuk senaraikan (calon) dan kalau fikir ada nama paling tepat, sesuai dan boleh beri kemenangan cemerlang di situ, ini kita akan berikan keutamaan," katanya semalam.

Muhyiddin berkata, terserah kepada UMNO bahagian Gua Musang yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah untuk menentukan calon terbaik mewakili BN.

Yang pasti Najib sendiri sudah memberi jaminan BN akan meletakkan calon terbaik untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas kerana barah usus pada Ahad lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham memperoleh 4,399 undi menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi sekali gus membuatkan pemerhati politik menganggap BN mempunyai peluang baik untuk merampas kembali kerusi DUN itu.

Dan dalam keriuhan dan kegairahan UMNO memperkatakan mengenainya, anggota Parlimen Gua Musang itu hanya berdiam diri.

Sehingga ini beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung pelantikkannya sebagai pengarah pilihan raya UMNO/Barisan Nasional (BN) yang diberikan kepadanya bagi pilihan raya kecil Galas.

"Saya tidak menyatakan ya atau tidak. Saya akan menjelaskannya apabila saya kembali ke Malaysia," katanya dalam laman sosial, Twitter.

Tengku Razaleigh ketika ini berada di luar negara.

PAS melihat UMNO terpaksa melantik Tengku Razaleigh menjadi Pengarah Pilihanraya UMNO PRK Galas dan sesuatu yang luarbiasa kerana dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelumnya, pengarahnya mestilah Timbalan Presiden UMNO ataupun Naib Presiden UMNO.

Menurut seorang pemimpinnya, terbukti UMNO takut kepada Tengku Razaleigh Hamzah kerana pengaruh beliau yang kuat di Gua Musang.

Jarang sekali perkara sebegini berlaku. Sepatutnya Ku Li boleh membaca strategi UMNO yang menggunakan pengaruhnya bila terdesak tetapi melihatnya macam sampah pada waktu yang lain terutama semasa pemilihan.

Adalah diharapkan Ku Li sedar dan tidak menjadikan ‘pujukan’ UMNO ini sebagai batu loncatan untuk menghentam PAS dan rakyat Kelantan dalam isu royalti. Kalau sebelum ini Ku Li lantang dan senada dengan PAS dalam isu royalti ini, maka diharapkan beliau tidak membuat pusingan ‘U’ 360 darjah semasa PRK Galas nanti.

Pengumuman untuk meletakkan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas biarpun dikatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, sebagai tidak memberi kelebihan kepada parti yang bertanding sama ada Barisan Nasional (BN) atau PAS, hakikatnya bagi pemimpin PAS Kelantan, ia sedikit gusar.

Ini kerana PAS Kelantan beberapa hari lalu mengakui "sedikit gusar" dalam usahanya mempertahankan kerusi DUN Galas berikutan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Haron, berkata ini kerana ketokohan Tengku Razaleigh akan memberi impak yang besar dan boleh membawa kemenangan kepada BN.

"Trek rekod Ku Li adalah sangat baik dan tiada siapa yang boleh menafikan ketokohannya. Kita akui laluan kita di Galas menjadi lebih sukar kali ini apatah lagi kita hanya menang tipis pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Di Kelantan, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Noor Zahidi Omar, berkata pelantikan Tengku Razaleigh sangat wajar dan beliau mampu mengembalikan kerusi Galas kepada BN. "Kami akan bekerja habis-habisan bagi membantu beliau," kata Noor Zahidi.

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad pula, menyifatkan pelantikan itu sebagai sangat tepat dan diterima semua pihak termasuk parti komponen BN yang lain.

"Ia langkah sangat bijak dan Tengku Razaleigh seorang yang dihormati dan satu nama besar dalam politik dan sudah tentu ini memberi kelebihan kepada BN," katanya.

Tuesday, September 28, 2010

‘BUSUNG & NANAH BUSUK’ DALAM PEMILIHAN LANGSUNG PKR

Kekecohan yang berlaku pada mesyuarat agung cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap kecil oleh beberapa pemimpin parti itu yang bersikap defensif dan mahu menutup kelemahan diri.

Namun yang nyata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengakui bahawa mesyuarat agung bagi tujuh cabang PKR terpaksa ditangguhkan ekoran berlaku perbuatan vandalisme serta masalah teknikal.

Biarpun pakatan pembangkang cuba ‘bersendiwara’ dan seboleh-bolehnya menutup kejadian sedemikian dengan menganggap kekecohan pada pemilihan cabang PKR Ahad lepas sebagai perkara kecil, persepsi orang ramai terhadap perkara itu jangan dilihat perkara kecil.

Yang nyata ia tidak baik kepada imej parti yang selama ini pemimpin PKR menuding jari kononnya pemilihan UMNO tidak bersih dan sering berdepan masalah.

Juga, kepercayaan dan harapan yang ada pada rakyat mengenai PKR telah tercalar.

Saifuddin boleh mengatakan antara sebab kekecohan dan penangguhan kerana faktor teknikal dan keghairahan luar biasa di kalangan anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti.

Benar sistem pemilihan langsung diperkenalkan tahun ini berbanding pada 2004 dan 2007 tetapi dengan cakap-cakap meningggi dan angkuh bahawa PKR parti yang perjuangkan ‘keadilan’ dan penuh demokrasi tetapi sebaliknya yang berlaku membawa igauan buruk kepada kenyataan sedemikian.

Dengan mendakwa terdapat perbuatan provokasi oleh kalangan tertentu dari bukan anggota parti yang mahu menimbulkan kekacauan dan memburukkan imej parti bagaikan mahu ‘menutup pekong di dada’ sedangkan busung dan nanah busuk sudah mula mengalir dan dapat dilihat dengan jelas.

Baca apa pendapat pemerhati mengenai perkara ini.


PKR: Apa Tersirat Disebalik Kekecohan?

(Bernama, 27 Sept 2020)

Kekecohan yang tercetus pada pemilihan beberapa cabang PKR pada Ahad lepas merupakan satu daripada contoh atau petanda perebutan kuasa dan jawatan dalam parti di antara kumpulan perintis "reformasi" dan mereka yang menyertai parti selepas pilihan raya umum 2008, menurut penganalisis politik.

Mereka berpendapat konflik di antara dua kumpulan itu semakin ketara akhir-akhir ini, khususnya apabila mereka yang menyertai parti selepas pilihan raya umum Mac 2008, mula mensasarkan jawatan dalam parti.

"Kecuali pucuk pimpinan dapat membendungnya, tampaknya mereka bersaing untuk merebut jawatan dengan personaliti tertentu terlibat. Walaupun parti mempunyai 400,000 anggota, kalangan atas pagar mengikuti perkembangan ini dengan dekat," kata Dr Sivamurugan Pandian,penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia.

Katanya pengundi atas pagar mengikuti perkembangan itu untuk menilai tahap kematangan pemimpin parti dan mereka mungkin akan membuat penilaian dari situ sebelum mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Rakyat memantau perkembangan ini secara dekat kerana mahu tahu apa yang mereka ini rebutkan? (Adakah) untuk rakyat (amnya) atau untuk memperkukuhkan kuasa orang tertentu dalam parti," katanya.

Dr Sivamurugan berkata kedudukan dalam parti amat penting bagi sesetengah pemimpin untuk jaminan dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Masalah itu sebenarnya lebih parah. Hampir separuh daripada pemilihan cabang membabitkan pertandingan antara dua kumpulan. Ini baru pemilihan peringkat pertama iaitu memilih Ketua Cabang. Apa akan berlaku apabila mereka membuat pemilihan kepimpinan peringkat kebangsaan bulan depan," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof James Chin dari Monash University berpendapat pertandingan sengit dalam pemilihan cabang PKR disebabkan hakikat mereka mahu memegang jawatan bagi menjamin pencalonan pada pilihan raya umum akan datang.

"Bagaimanapun, ini bukan satu masalah kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Ini merupakan kali pertama mereka melakukannya (pemilihan parti secara langsung)," katanya.

Tetapi bagi penganalisis politik dan bekas ahli politik James Wong, apa yang berlaku semasa pemilihan cabang PKR itu akan memberikan gambaran kurang baik kepada pengundi yang bersikap berkecuali.

"Semasa tempoh berkempen, sudah terdapat petanda yang pemimpinnya terlalu terlibat dalam polemik peribadi. Ramai orang mengharapkan PKR bersikap baik, Pertandingan adalah pertandingan dan bukannya peribadi," katanya.

Wong menjelaskan sebelum pilihan raya umum lepas, wujud jangkaan tinggi bahawa pembangkang mempunyai "moral alternatif" untuk menjadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) dan atas sebab itu pakatan PKR-DAP-PAS atau Pakatan Rakyat (PR) berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

"PKR selama ini memberikan tanggapan kepada rakyat yang mereka adalah "moral alternatif". Kini anda (PKR) menjadi sepertimana MIC dan MCA sebelum ini, membaling kerusi dan sebagainya," katanya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution hari ini berkata mesyuarat agung bagi tujuh cabang PKR terpaksa ditangguhkan ekoran berlaku perbuatan vandalisme serta masalah teknikal.

Beliau berkata laporan awal mendapati penangguhan itu disebabkan faktor teknikal dan keghairahan luar biasa di kalangan anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti yang memperkenalkan sistem pemilihan langsung tahun ini berbanding pada 2004 dan 2007. Mereka turut mendakwa bahawa terdapat perbuatan provokasi oleh kalangan tertentu dari bukan anggota parti yang mahu menimbulkan kekacauan dan memburukkan imej parti.

Lagipun, katanya daripada 166 cabang, 159 atau 96 peratus telah selesai mengadakan mesyuarat agung dan 39 lagi cabang akan selesai bermesyuarat menjelang hujung minggu ini.

Wong berkata, walaupun pakatan pembangkang mungkin menganggap kekecohan yang berlaku pada pemilihan cabang PKR Ahad lepas sebagai perkara kecil, tetapi mereka masih perlu mengambil kira persepsi orang ramai terhadap perkara itu.

"Walaupun perkara itu kecil, ia masih tidak baik. Harapan yang ada pada rakyat kini telah tercalar. Jika mereka memandang mudah perkara itu, BN akan mendapat faedah daripadanya pada pilihan raya umum akan datang," katanya.