Thursday, December 17, 2009

MP PONTENG HAMPIR GAGALKAN BAJET 2010?

Bajet 2010 lulus dengan kelebihan 3 undi.

Sekali baca macam bajet itu teruk sangat. Ia seolah-olah Ahli Parlimen BN sendiri turut menolak bajet berkenaan.

Sebenarnya bajet tidak teruk tetapi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang teruk.

BN mempunyai 137 wakil rakyat di Dewan Rakyat manakala pembangkang 82 dan Bebas (tiga).

Lebih memburukkan ada pemimpin BN yang lebih teruk, Tuding jari kepada pembangkang.

Jangan cepat tuding orang, empat jari menunjuk ke muka sendiri.

Jangan melihat dan mengkritik pembangkang kerana cuba menggagalkan Bajet 2010 daripada diluluskan Parlimen malam kelmarin. Itu kerja mereka, mahu memalukan BN.

Kalau tahu lebih awal Barisan Nasional (BN) akan disabotaj, seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, kenapa persediaan tidak dibuat?

Benar Nazri ada memberitahu Ahli Parlimen BN sentiasa berada di Dewan Rakyat ketika persidangan berikutan pembangkang akan menggunakan proses undian belah bahagian untuk menggagalkan Bajet 2010. Soalannya kenapa mereka tidak patuh?

Bacaan kali ketiga Bajet 2010 kelmarin diluluskan dengan majoriti tiga undi iaitu 66 menyokong daripada BN dan 63 menolak daripada pembangkang.

Lebih mengejut dan memalukan ialah pengunian yang dijalankan pada jam 11.15 malam itu memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terpaksa bergegas ke Parlimen selepas menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Chong Hwa.

Nasib baik Perdana Menteri di Kuala Lumpur. Kalau tidak? Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassinjuga hadir di Parlimen dari majlis di ibu kota malam kelmarin.
Sebelum itu, undian belah bahagian diusulkan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) untuk bacaan kali ketiga Bajet 2010 kerana kehadiran kedua-dua pihak tidak ramai.

Sebelum itu, undian belah bahagian turut dilakukan selepas perbahasan peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan BN menang dengan kelebihan satu undi.

Jadi apabila Setiausaha Agung UMNO yang pernah menjadi Menteri - Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor z - marah dan menganggap pembangkang mengamalkan politik samseng menggunakan Bajet 2010 bagi menggulingkan kerajaan, ia adalah kenyataan tidak berdasarkan realiti politik semasa,

Juga nampak sangat Ahli Parlimen BN masih tidak mengendahkan pentingnya undi di Dewan Rakyat, khususnya perkara membabitkan Bajet.

Bukan sekadar longgar tetapi memalukan apabila kita menuding orang tetapi tidak melihat diri sendiri. Cerminlah apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen BN sendiri.

BN sebenarnya sudah menerima malu besar apabila perbahasan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) hampir ditolak.

Selepas diundi peruntukan itu disokong dengan kelebihan satu undi sahaja. Pada undian – sebanyak 63 menyokong dan 62 menolak.’

Bukankah ini menggambarkan betapa ramai Ahli Parlimen tidak peka?

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak wajar mengambil mudah perkara ini.

Ternyata kejadian ini pengajaran berguna untuk BN. Kini Najib semakin kenal siapa Ahli Parlimen yang wajar di berikan peluang semula atau digugurkan.

Bagaimana kalau peruntukan itu ditolak dan BN kalah pada pengundian gara-gara ketidakhadiran Ahli Parlimen BN?

Wajarkah ‘ponteng’dibiarkan berterusan? Kalau kalah kerana peruntukan lemah tidak apa tetapi kalau gara-gara Ahli Parlimen BN ponteng, ia menggambarkan betapa Perdana Menteri tidak boleh mengawal penyokong dan Ahli Parlimen BN sendiri.

Memalu dan mengaibkan kalau malam semalam undi BN kurang daripada pembangkang dan kalah di Parlimen gara-gara kurang penyertaan Ahli Parlimen BN.

Ke mana mereka pergi? Nazri perlu siasat dan ambil tindakan!

Apakah kejadian itu berlaku kerana BNBBC kini sudah terumbang-ambing dengan ketuanya kini sibuk dengan masalah sendiri?

Jika demikian, bertindaklah segera agar BN tidak dimalukan oleh sikap Ahli Parlimen yang mewakilinya bagaikan sudah tidak berminat.

Yang tidak berminat itu, tidak payah bertanding lagilah pada pilihan raya akan datang. Menyusahkan parti dan Perdana Menteri!

NIK AZIZ HANYA BERKIAS?

Pada ketika Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata barisan Exco Kerajaan Negeri sekarang akan dikekalkan dan tidak akan berlaku sebarang rombakan dalam tempoh terdekat ini, pada satu temubual dengan Malaysiakini, beliau sudah ada pengganti.

Siapa orangnya?

Sebelum ini Datuk Husam Musa mengatakan beliau tidak berminat mahu menjadi Menteri Besar. Soal pokok ialah siapa mahu melantik beliau?

Juga siapa yang mencadangkan namanya?

Kalaupun PAS Kelantan memilih beliau, apakah istana menerima Husam dan akan ditabalkan sebagai Menteri Besar yang baru?

Cara Husa menolak seolah-olah beliau tahu beliau tidak akan terpilih. Sekali lagi - siapa yang mahu melantik beliau sebenarnya?

Atau apakah sikap Husam menunjukkan beliau berada dalam keadaan ‘hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong”. Nak test market?

Tidak payahlah, pemimpin PAS Kelantan sudah tahu siapa dan perangai Husam.
Pada ketika Husam terkapai-kapai, Nik Aziz berkata khabar angin kononnya akan berlaku rombakan adalah tidak benar.

"Saya beri jaminan tidak akan berlaku rombakan exco," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Bharu semalam.

Menurut Malaysiakini pula, berdasarkan hirarki parti dan pentadbiran kerajaan Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dianggap pelapis nombor satu kepemimpinannya, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Ahmad-lah. (Beliau) itu pelapis nombor satu. Orang boleh terima atau tidak (kepemimpinan) dia, wallahu a'lam. Tetapi saya sekarang ini letak dia sebagai timbalan nombor satu," kata menteri besar Kelantan berkenaan.

Lebih jauh, Nik Aziz berkata:"Dan tugas saya sekarang ini, saya serah pada dia. Tugas pentadbiran negeri banyak saya serah padanya."

Nik Abdul Aziz mengulas isu penggantinya setelah muncul pelbagai spekulasi berhubung perkara itu susulan cadangan exco kerajaan negeri Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah supaya “pelan peralihan kuasa” diumumkan.

Selain Ahmad, Nik Mohd Amar sendiri turut disebut-sebut mengisi jawatan itu apabila beliau dibawa bertanding di peringkat DUN dalam pilihan raya umum 2004.

Ketiga-tiga Husam, Nik Mohd Amar dan Ahmad timbalan pesuruhjaya PAS negeri.

Berdasarkan hirarki tersebut, Nik Aziz berkata beliau tidak memerlukan satu pelan peralihan kuasa yang khusus kerana penggantinya akan dipilih secara automatik berdasarkan kekananan jawatan.

Ada pendapat mengatakan Nik Aziz tidak punya banyak pilihan kerana Ahmad diterima oleh istana, sementara Husam seperti Tan Sri Annuar Musa – sedikit renggang.

Malah, Husam juga dikatakan kini sukar mengambil hati istana kerana beberapa masalah yang beliau dan istana sahaja tahu penyebabnya.

Apapun, Cakap Nik Aziz ini cakap politik, bukan cakap agama.

Cakap politik boleh berubah. Nik Aziz memuji Husam melangit tetapi siapa tahu dalam hatinya?
Apakah Nik Aziz sanggup membelakangkan kehendak PAS negeri, selain Husam sudah membuat onar dengan ahli keluarga Menteri Besar itu.

Apapun, Ahmad semalam dengan tegas menyatakan bahawa beliau belum bersedia untuk menggantikan kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah menurutnya, sekiranya benar-benar dipilih menggantikan Nik Abdul Aziz, ia sebagai satu tanggungjawab besar yang sukar digambarkan.

"Bukan soal terima atau tidak, ini adalah soal tanggungjawab yang cukup besar... ia bukan perkara main-main. Saya sendiri rasa begitu kerdil dan tak berkemampuan untuk lakukan seperti yang telah dilakukan oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz) selama ini bagi membangunkan Kelantan," katanya dihubungi mStar Online .

Ahmad sendiri menunjukkan beliau tidak begitu yakin dengan Nik Aziz apabila menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang menamakan dirinya sebagai pengganti kepimpinan di Kelantan hanya sebagai kiasan.

"Benarkah Tok Guru cakap macam tu? Tapi bagi saya itu hanya kiasan Tok Guru sahaja. Tok Guru cakap macam itu berdasarkan kedudukan saya sekarang sebagai orang nombor dua, saya timbalannya sekarang.

"Tak berbangkitlah isu-isu macam ini, kita masih memerlukan Tok Guru menerajui Kelantan," katanya.

Wednesday, December 16, 2009

PELAJARILAH BAHASA MANDARIN DEMI MASA DEPAN...

Alhamdulilah, akhirnya ada Perdana Menteri yang menganggap bahasa Mandarin penting.
Gesaan Najib supaya kaum Melayu perlu mempelajari bahasa Mandarin mungkin kali pertama terkeluar daripadamulut seorang Perdana Menteri, walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sering menggalakkan rakyat mempelajari pelbagai bahasa.

Saya pernah menyuarakan pentingnya bahasa Mandarin dan sistem pengajaran Matematik dan Sains di sekolah Cina kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pada satu pertemuan peribadi di Jalan Bellamy, kira-kira lima tahun lalu. Namun, selepas itu saya tidak nampak ada apa-apada dasar yang cuba diketengahkan.

Mungkin Abdullah merasakan ia tidak penting seperti apa yang Najib rasakan sekarang.
Bagi saya pula, apabila China muncul sebagai salah satu kuasa besar dalam ekonomi dunia pada awal kurun ke 21, saya dan isteri turut mengambil langkah persediaan dengan menghantar tiga anak saya ke sekolah rendah kebangsaan Cina.

Sebenarnya kesedaran ini datang lebih daripada isteri saya kerana beliau sanggup berhenti kerja kerana mahu tumpukan perhatian kepada tiga anak yang belajar di sekolah Cina.

Falsafah saya dan isteri saya mudah sahaja. Bapa saya seorang penanam padi dan penoreh getah yang tidak tahu membaca dan menulis menghantar saya memasuki remove class di Sekolah Menengah Tengku Mahmud Besut pada 1967.

Kenapa beliau berbuat demikian walaupun tidak pernah bersekolah? Kerana beliau sedar bahasa Inggeris penting.

Alhamdullilah, berkat usaha dan keinginan diri saya, saya berjaya juga akhirnya, kalaupun tidaklah secemerlang sesetengah kawan saya.

Jadi, apabila anak kami yang pertama memasuki sekolah Cina pada 2001, kami berdua penuh yakin mereka akan berjaya.

Najib berkata, anak bongsunya Norashman Razak yang ketika ini sedang belajar di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, juga mengambil kursus bahasa Mandarin.

Anaknya itu nanti hanya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dalam masa empat tahun lagi. Namun, di rumah saya pula anak-anak kami kini berkomunikasi antara mereka kebanyakannya dalam bahasa Mandarin.

Bukan itu sahaja, anak-anak saya berkawan dengan rakannya yang kaum India dari sekolah yang sama turut berturut dalam bahasa Mandarin.

Saya bersetuju dengan Najib bahawa bahasa Cina patut dipelajari kerana kini menjadi bahasa yang cukup penting. Saya bersetuju dengan Najib mungkin sudah lewat bagi kita untuk mempelajari bahasa Mandarin, tetapi sangat berharap untuk melihat lebih ramai kaum Melayu mempelajari bahasa ini di masa hadapan. .

Saya mengalu-alukan langkah kerajaan menjamin kedudukan sekolah persendirian Cina di bawah undang-undang negara.

Ini membuktikan kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersifat liberal dan inklusif.

Menurut Perdana Menteri, beliau sendiri ketika menjadi Menteri Pendidikan dahulu telah memasukkan perenggan yang menjamin kewujudan sekolah persendirian Cina sewaktu penggubalan Akta Pendidikan 1996.

Kerana itu, kesemua sekolah menengah persendirian Cina yang berjumlah 60 buah hari ini tidak perlu bimbang atau khuatir kerana kewujudannya terjamin oleh kerajaan melalui Akta Pendidikan 1996.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan UMNO dan BN atau Perikatan dahulu sentiasa bersikap liberal dan inklusif dalam pertimbangan dasar-dasar yang perlu diterapkan," katanya.
Hakikatnyam hasil sikap liberal dan inklusif kerajaan maka Malaysia mengeluarkan paling ramai rakyat berpendidikan Cina selain negara China.

Malah katanya, walaupun terdapat orang Cina di negara lain sama ada minoriti kecil atau besar tetapi tidak bebas mengamalkan cara hidup mereka kerana dasar asimilasi yang diamalkan.

Di Malaysia pula, sejak merdeka, kita mempunyai persefahaman antara pemimpin pelbagai kaum yang berasaskan bukan kepada dasar asimilasi tetapi integrasi, saling hormat antara satu sama lain dan membenarkan rakyat berbilang kaum mengamalkan cara hidup, budaya dan agama masing-masing.

ROSMAH TIDAK HERAN...

Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau tidak risau dengan begitu banyak tuduhan jahat dan liar dilemparkan terhadapnya oleh pihak yang bersikap memusuhi beliau.

Bercakap di Singapura, Rosmah berkata sebagai isteri Perdana Menteri beliau lebih fokus dalam kerjanya untuk membantu rakyat mendapatkan kehidupan lebih sempurna dan baik, begitu juga masa depan.

“Saya tidak punya masa untuk melayan mereka," katanya kepada media Malaysia di sidang akhbar di sini hari ini bila ditanya tentang perasaannya terhadap banyak tuduhan negatif yang tersebar dalam negara yang mengaitkan diri beliau.
Rosmah berkata beliau, malahan suaminya juga, tidak terjejas tumpuan atau terlalu mengambil kisah oleh dakwaan itu oleh kerana mereka fokus dalam kerja.

Rosmah berkata bila beliau bertemu dengan isteri-isteri pembesar asing, mereka memberitahunya mereka juga menjadi sasaran parti politik pembangkang.

“Jadi, isu ini adalah budaya universal, datang dari orang-orang yang tidak senang dengan kerajaan," kata Rosmah, dan menambah tuduhan itu lebih hebat bila pilihan raya semakin hampir.

Rosmah berada di Singapura untuk menghadiri Forum Pemimpin Wanita Asean di mana beliau menyampaikan ucaptama mengenai kepimpinan wanita dalam era baru.