Showing posts with label bajet. Show all posts
Showing posts with label bajet. Show all posts

Sunday, October 9, 2011

BAJET 2012 NAJIB BOLEH MENANG PILIHANRAYA?

Kalau lihat fatamorgana janji memang Pakatan Rakyat beri lebih matfaat tapi dari segi realistik bajet yang berpijak kepada kemampuan negara, keikhlasan pemimpin dan kalau kita teliti bajet yang diumumkan Najib memang menguntungkan rakyat. - Pensyarah UKM, Prof Dr Samsul Adabi Mamat

Barisan Nasional (BN) boleh menang pilihan raya! Itulah kata laporan The Malaysian Insider semalam.

Menurut laporan akhbar elektronik itu, rata-rata pemerhati politik menyifatkan pentadbiran Najib melalui pengumuman Bajet 2012 akan mempengaruhi sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Malah mereka juga mengatakan sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat ia akan memberikan kesan positif kepada kerajaan BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun menyifatkan bajet yang diumumkan kerajaan kelmarin sebagai tidak realistik kerana tidak dapat menangani defisit belanjawan yang semakin bertambah, namun mengakui ia menggembirakan rakyat.

Menurut Anwar, beliau tidak menolak bahawa pengumuman oleh perdana menteri kelmarin akan menggembirakan rakyat, namun ianya perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab.

Penganalisis berkata, walaupun Pakatan Rakyat menawarkan lebih banyak faedah melalui Bajet 2012 kepada rakyat, namun pemerhati politik berpendapat belanjawan diumumkan Putrajaya kelmarin lebih realistik. - Pensyarah UKM, Prof Dr Samsul Adabi Mamat

Ia menguntungkan setiap lapisan masyarakat dengan berpijak kepada kemampuan negara.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Samsul Adabi Mamat berkata Bajet 2012 sudah tentu akan mempengaruhi pola mengundi kerana bajet yang diumumkan memberikan tumpuan kepada keseluruhan lapisan masyarakat.

Contohnya kalau kita kata semua kakitangan awam boleh mengundi, mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000, golongan beliau, pesara dan bekas anggota tentera atau polis yang boleh mengundi sudah tentu ia akan beri kesan yang besar kepada BN.

Pembentangan Najib lebih realistik dan Najib umumkan perkara-perkara yang mampu diberikan kerajaan kepada rakyat dengan tidak menjanjikan bulan dan bintang tapi berdasarkan kemampuan kerajaan dan apa yang penting bajet kerajaan realistik dan masih berpijak di bumi yang nyata.

Ini kerana kalau nak kata untuk pancing sokongan rakyat sudah tentu bajet yang diumumkan akan jadi lebih luar biasa tapi saya tidak nafikan ia sebahagian semangat pilihan raya tapi masih realistik.

Kalau lihat fatamorgana janji memang Pakatan Rakyat beri lebih matfaat tapi dari segi realistik bajet yang berpijak kepada kemampuan negara, keikhlasan pemimpin dan kalau kita teliti bajet yang diumumkan Najib memang menguntungkan rakyat.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata pembentangan Bajet 2012 yang memberikan tumpuan kepada rakyat menunjukkan ekonomi negara berada dalam kedudukan stabil.

Memandangkan ini bajet terakhir sebelum pilihan raya umum, elemen bantuan kewangan mencerminkan keprihatinan kerajaan dan pada masa sama memancing rakyat... bajet ini juga menunjukkan ekonomi negara masih stabil dan saya lihat ia satu ruang yang baik yang mana kerajaan mahu pastikan ekonomi terus stabil dan meneruskan pemberian bantuan untuk meringangkan beban rakyat,” katanya.

Apapun, Azizuddin menegaskan ia bukan penentu kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13, namun “tempias positif” akan diterima parti pemerintah itu.

Pengarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Prof Madya Shaharuddin Baharuddin turut berkata walaupun bajet yang diumumkan memberi faedah kepada rakyat, namun ia bukan penentu BN akan terus menerajui negara pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau menganggapnya sebagai bajet tentang pilihan raya umum kerana semua dapat habuan masing-masing, kalau kita lihat kakitangan awam dapat bonus, pesara, warga emas, pemandu teksi juga dapat.

Apapun, katanya sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat BN akan menerima kesan yang positif.

“Kalau buat dalam tempoh terdekat ia akan beri impak yang besar kepada BN kerana keseluruhan rakyat mendapat faedah hasil bajet kali ini,” tegasnya.

Friday, October 7, 2011

INILAH NEGARA KEBAJIKAN BN, BUKAN SLOGAN UNTUK PILIHAN RAYA...

Pihak-pihak tertentu baru bercakap mengenai negara berkebajikan kerana untuk sokonganrakyat demi pilihan raya sebaliknya Barisan Nasional (BN) telah lama mengamalkan konsep itu.

Ia dibuktikan dengan menyediakan pelbagai subsidi, insentif dan bantuan "semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan".

Baguslah mereka kerana sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, berilah sedikit rasa keikhlasan politik dan janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang pertama yang menemui formula ini.

Datuk Seri Najib Razak mengemukakan pertanyaan hari ini :"Bukankah kerajaan Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara berkebajikan?,"

Membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata konsep berkebajikan kerajaan BN jelas melalui pemberian subsidi bagi setiap kilogram beras super tempatan, gula, minyak masak dan tepung gandum.

Faktanya:

1. Keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja RM2.3 bilion dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar.

2. Subsidi kerajaan bukan terhad kepada bahan makanan asas sebaliknya ia juga merangkumi subsidi produk petroleum dan bantuan tunai yang melibatkan RM17 bilion. Subsidi itu meliputi setiap liter petrol RON95, setiap liter diesel serta bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak.

3. Kerajaan juga meneruskan pemberian subsidi bil elektrik berjumlah RM20 sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009 dan pemberian subsidi itu melibatkan peruntukan RM150 juta dan seramai sejuta isi rumah akan mendapat manfaat. Segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah RM33.2 bilion.

4. Kerajaan juga menyediakan RM1.2 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga emas miskin sebanyak RM300 sebulan; bantuan kanak-kanak miskin RM100 sebulan dengan maksimum RM450 sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya antara RM150 dan RM300 sebulan.KARIASMA membantu hampir 500,000 rakyat dalam membantu meringankan beban sara hidup.

5. Bagi membendung kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat Kerajaan akan menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia, yang kini menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia, ke seluruh negara.Kerana sambutan yang amat menggalakkan, kerajaan bercadang membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan RM40 juta.

6. Kerajaan juga akan membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia di samping akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar), kedai Felda dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara.


7. Kerajaan akan memperluas dan mempromosi Menu Rakyat1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutaniaitu maksimum RM2 bagi sarapan pagi dan RM4 bagi makan tengah hari. Kini ada lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia.

Secara umumnya, bagi menangani kenaikan harga barang terutamanya bahan makanan, kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang, kerajaan akan melancarkan Dasar Agro Makanan 2011 hingga 2020.

Kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion bagi pembangunan sektor pertanian tahun depan, memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi dan memperbanyakkan program ladang kontrak bagi memastikan meningkatkan pengeluaran makanan seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan serta bekalan produk makanan mencukupi.

Saturday, October 16, 2010

BAJET 2011 MENDAKAP SEMANGAT, REALITI PENTADBIRAN TERKINI

Beberapa hari sebelum Bajet 2011 dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak, spekulasi mulai timbul kononnya ia akan menjadi 'bajet pilihan raya'.

Penangguhan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) buat kali kedua Rabu lepas menguatkan lagi spekulasi itu, pada ketika penganalisis mencari lebih banyak petunjuk, seperti kemungkinan pengurangan cukai pendapatan, peningkatan cukai beberapa barang dan bonus buat petugas kerajaan.

Yang nyata, sehari sebelum Bajet 2011 dibentangkan, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim beranggapan kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai tanda awal Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

“Ada kemungkinan kita akan saksikan Pilihan Raya Umum (PRU) yang mengejut dan saya jangkakan pembentangan bajet esok (jumaat) adalah bajet pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen kelmarin (Khamis).


Menurutnya, beliau percaya kerajaan 'takut' kerana tidak mampu menangani asakan oleh Pakatan Rakyat yang berpendapat cukai baru itu akan membebankan rakyat, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam menyifatkan pembentangan Bajet 2011 hanya berpihak kepada negeri-negeri di bawah naungan Umno-BN. Berikutan itu, beliau yang juga setiausaha agung DAP akan mengemukkan rayuan kepada kerajaan persekutuan untuk memberi perhatian kepada negeri-negeri di bawah naugan Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Katanya, pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya ilusi untuk memerangkap perhatian rakyat dengan imbuhan.

Bagi ahli parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa pula, bajet yang dibentangkan Najib itu memerlukan semua pihak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

"Apa yang dibentangkan ini mungkin tanda pilihan raya akan diadakan lebih awal daripada yang dijangka. "Namun demikian kita menghargai juga insentif-insentif yang diberikan sebagai gula-gula kepada sama ada kepada komuniti perniagaan atau rakyat biasa, contohnya hal yang berkaitan dengan perbankan Islam dan sebagainya dan juga industri yang ingin diperkembangkan dalam negara kita," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

Ahli parlimen Kubang Kerian yang juga naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, secara retoriknya bajet yang dibentang, menyediakan segala insentif kepada rakyat tetapi sebenarnya satu perangkap yang akan membebankan rakyat.

"Bajet ini menunjukkan pilihan raya semakin dekat, mungkin tahun hadapan. Walau bagaimanapun golongan sasar masih lagi tidak tercapai maksud. Mereka tidak mahu menara PNB yang tinggi tapi mahu beban hidup diringankan.”

Ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail juga senada dengan ahli parlimen yang lain bahawa ia merupakan gula-gula pilihan raya. "Satu petunjuk yang sangat jelas bahawa pilihan raya sangat dekat. Pertama GST tak jadi dibuat, tol tak dinaikkan, menaikkan elaun kepada pemimpin komuniti yang saya anggap isyarat yang paling jelas kerajaan akan menggubal Parlimen pada bila-bila masa," katanya yang juga setiausaha agung PKR.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2011 sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat, sekali gus mampu meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Sambil menegaskan ia bukan bajet pilihan raya, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2011 itu juga merupakan satu lonjakan ke arah mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, Bajet 2011 itu turut melakar harapan baru bagi rakyat apabila pelaksanaannya kali ini mengambil kira input serta cadangan daripada mereka. ''Saya yakin semua pihak yang mendengar bajet kali ini akan berpuas hati kerana seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Bajet 2011 adalah bajet rakyat hasil maklum balas yang diterima oleh kerajaan daripada rakyat," katanya.

Dan semalam, apabila bajet dibentangkan dengan beberapa potongan cukai, ramai mulai percaya ia jauh menyimpang daripada terma bajet pilihan raya, kerana keseluruhan bajet dilihat bergerak ke arah menambah pendapatan bagi golongan berpendapatan rendah, kebanyakannya di bawah pendapatan RM3,000, di samping menambah baik sistem penyampaian kerajaan selaras dengan hasrat menjadikan negara sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Jika anda tanya sekiranya ini adalah bajet pilihan raya atau tidak, saya akan katakan tidak. Agenda-agenda penting sebuah bajet pilihan raya tidak kelihatan di sini," kata ahli ekonomi yang juga bekas Menteri Sumber Manusia Tan Sri Dr Fong Chan Onn (gambar kiri).

Fong, Bekas dekan Fakulti Ekonomi Universiti Malaya berkata, bajet itu dilihat bergerak ke arah membaiki sistem penyampaian kerajaan dalam usaha menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Jika anda lihat dengan teliti, peningkatan dalam cukai perkhidmatan daripada lima kepada enam peratus, bertujuan untuk bersiap sedia untuk pelaksanaan GST, mungkin pada empat peratus tidak lama lagi. Jadi penangguhan Rang Undang-undang GST kononnya petanda bahawa pilihan raya semakin hampir, adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Bagaimanapun di pihak pembangkang, mereka tetap dengan pendirian bahawa bajet ini adalah bajet pilihan raya kerana kerajaan memasukkan beberapa langkah tertentu seperti peruntukan RM500 juga kepada kontraktor Kelas F, meningkatkan elaun bulanan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, dan juga peningkatan perbelanjaan buat sektor perbekalan dan perkhidmatan.

"Saya masih percaya yang ini adalah bajet pilihan raya. BN kelihatan sedang bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya umum," kata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua.

Pandangannya itu turut dikongsi oleh penganalisis politik Prof James Chin dari Monash University di Kuala Lumpur.

"Kali terakhir petugas kerajaan tidak dapat banyak, dan kali ini Perdana Menteri memberikan insentif RM500 untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak ke sekolah," katanya.

Bagi penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian pula, Bajet 2011 bukan satu bajet pilihan raya, kerana ia lebih kepada langkah Perdana Menteri mewujudkan keseimbangan antara pembangunan modal insan dan pembangunan infrastruktur.

"Ini mungkin langkah pertama ke arah pilihan raya, tapi ia bukan bajet pilihan raya," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia itu.

Perdana menteri sebenarnya sedang memberi tumpuan kepada bajet yang dapat membantunya dalam mendapatkan hasil Rancangan Transformasi Kerajaan dan Rancangan Transformasi Ekonomi, katanya.

Walau ke arah mana sekalipun Bajet 2011 ini, ia adalah, belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dalam usaha Malaysia bergerak ke arah mencapai negara maju menjelang 2020. Ia menyaksikan peruntukan keseluruhan kerajaan berjumlah RM212 bilion, menggariskan pelan strategi dan projek- projek utama ke arah mentransformasi negara mencapai sasarannya.

Cadangan peruntukan yang dibuat itu berjumlah RM212 bilion, 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan pada 2010 apabila RM162.8 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus sementara RM49.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

Paling penting, Bajet 2011 mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk memandu hala tuju negara, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi pula dijadikan peta panduan.

Thursday, December 17, 2009

MP PONTENG HAMPIR GAGALKAN BAJET 2010?

Bajet 2010 lulus dengan kelebihan 3 undi.

Sekali baca macam bajet itu teruk sangat. Ia seolah-olah Ahli Parlimen BN sendiri turut menolak bajet berkenaan.

Sebenarnya bajet tidak teruk tetapi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang teruk.

BN mempunyai 137 wakil rakyat di Dewan Rakyat manakala pembangkang 82 dan Bebas (tiga).

Lebih memburukkan ada pemimpin BN yang lebih teruk, Tuding jari kepada pembangkang.

Jangan cepat tuding orang, empat jari menunjuk ke muka sendiri.

Jangan melihat dan mengkritik pembangkang kerana cuba menggagalkan Bajet 2010 daripada diluluskan Parlimen malam kelmarin. Itu kerja mereka, mahu memalukan BN.

Kalau tahu lebih awal Barisan Nasional (BN) akan disabotaj, seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, kenapa persediaan tidak dibuat?

Benar Nazri ada memberitahu Ahli Parlimen BN sentiasa berada di Dewan Rakyat ketika persidangan berikutan pembangkang akan menggunakan proses undian belah bahagian untuk menggagalkan Bajet 2010. Soalannya kenapa mereka tidak patuh?

Bacaan kali ketiga Bajet 2010 kelmarin diluluskan dengan majoriti tiga undi iaitu 66 menyokong daripada BN dan 63 menolak daripada pembangkang.

Lebih mengejut dan memalukan ialah pengunian yang dijalankan pada jam 11.15 malam itu memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terpaksa bergegas ke Parlimen selepas menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Chong Hwa.

Nasib baik Perdana Menteri di Kuala Lumpur. Kalau tidak? Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassinjuga hadir di Parlimen dari majlis di ibu kota malam kelmarin.
Sebelum itu, undian belah bahagian diusulkan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) untuk bacaan kali ketiga Bajet 2010 kerana kehadiran kedua-dua pihak tidak ramai.

Sebelum itu, undian belah bahagian turut dilakukan selepas perbahasan peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan BN menang dengan kelebihan satu undi.

Jadi apabila Setiausaha Agung UMNO yang pernah menjadi Menteri - Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor z - marah dan menganggap pembangkang mengamalkan politik samseng menggunakan Bajet 2010 bagi menggulingkan kerajaan, ia adalah kenyataan tidak berdasarkan realiti politik semasa,

Juga nampak sangat Ahli Parlimen BN masih tidak mengendahkan pentingnya undi di Dewan Rakyat, khususnya perkara membabitkan Bajet.

Bukan sekadar longgar tetapi memalukan apabila kita menuding orang tetapi tidak melihat diri sendiri. Cerminlah apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen BN sendiri.

BN sebenarnya sudah menerima malu besar apabila perbahasan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) hampir ditolak.

Selepas diundi peruntukan itu disokong dengan kelebihan satu undi sahaja. Pada undian – sebanyak 63 menyokong dan 62 menolak.’

Bukankah ini menggambarkan betapa ramai Ahli Parlimen tidak peka?

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak wajar mengambil mudah perkara ini.

Ternyata kejadian ini pengajaran berguna untuk BN. Kini Najib semakin kenal siapa Ahli Parlimen yang wajar di berikan peluang semula atau digugurkan.

Bagaimana kalau peruntukan itu ditolak dan BN kalah pada pengundian gara-gara ketidakhadiran Ahli Parlimen BN?

Wajarkah ‘ponteng’dibiarkan berterusan? Kalau kalah kerana peruntukan lemah tidak apa tetapi kalau gara-gara Ahli Parlimen BN ponteng, ia menggambarkan betapa Perdana Menteri tidak boleh mengawal penyokong dan Ahli Parlimen BN sendiri.

Memalu dan mengaibkan kalau malam semalam undi BN kurang daripada pembangkang dan kalah di Parlimen gara-gara kurang penyertaan Ahli Parlimen BN.

Ke mana mereka pergi? Nazri perlu siasat dan ambil tindakan!

Apakah kejadian itu berlaku kerana BNBBC kini sudah terumbang-ambing dengan ketuanya kini sibuk dengan masalah sendiri?

Jika demikian, bertindaklah segera agar BN tidak dimalukan oleh sikap Ahli Parlimen yang mewakilinya bagaikan sudah tidak berminat.

Yang tidak berminat itu, tidak payah bertanding lagilah pada pilihan raya akan datang. Menyusahkan parti dan Perdana Menteri!

Tuesday, October 28, 2008

KELANTAN – ANTARA HUTANG RM1B DAN ‘BAJET BERIMBANG’

Membaca dua artikel melalui blog lawi-ayam.blogspot. com bertajuk ‘Hutang Kerajaan Negeri Terus Tinggi’ dan “Kelantan bentang ‘Bajet Berimbang’ utamakan golongan dhaif dalam Harakahdaily yang kedua-duanya diterbitkan semalam, ada sesuatu yang perlu diteliti secara mendalam mengenai pandangan yang berbeza ini.

Secara umumnya menurut Menteri Besar, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat anggaran hasil bagi tahun hadapan sebanyak RM339.98 juta, manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM360.62 juta.

Dalam usaha mempertahankan ‘kejayaan pentadbiran kerajaannya;, Nik Aziz berkata defisit bagi tahun 2009 akan berkurangan menjadi RM20.28 juta berbanding defisit tahun 2008 sebanyak RM23.73 juta.

Faktanya, hasil tanah menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM116.97 juta atau 34.4 peratus, hasil perhutanan (RM94.97 juta atau 27.93 peratus.

Teks ucapan belanjawan itu dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam yang mengambil masa hampir sejam.

Bagaimana pula dengan hutang kerajaan negeri?

Pada akhir tahun 2007 baki hutang Kerajaan Kelantan adalah hampir RM1 bilion, Jumlah sebenarnya ialah RM958.67 juta berbanding RM940.06juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM18.61 juta. Peningkatan hutang ini adalah disebabkan Kerajaan Pusat menerima sejumlah RM23.35 juta pinjaman baru daripada Kerajaan Persekutuan iaitu sejumlah RM9 juta Projek Bekalan Air yang baru dan RM14.35 juta bagi menggenapkan baki pinjaman tiga Projek Bekalan Air yang telah diluluskan sebelumnya.

Sehingga akhir tahun 2007, Kerajaan Negeri perlu menjelaskan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM35.85 juta iaitu RM23.71 juta bayaran anuiti tahun semasa dan RM12.14 juta tunggakan tahun sebelumnya.

Dua agensi kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu yang bergelar ‘Bandaraya Islam itu’ gagal menjelaskan anuiti tahunannya melalui sumber Persekutuan.

Hutang PKINK berjumlah RM9.36 juta menyebabkan tunggakan bayaran balik terkumpul mencecah RM40.88 juta. Manakala MPKB gagal menjelaskan anuiti tahunannya berjumlah RM0.96 juta melalui pinjaman sumber Negeri dan sejumlah RM1.06 juta melalui sumber Persekutuan menyebabkan tunggakan bayaran balik pinjaman menjadi RM9.48 juta.

Faktanya ialah dalam kerajaan negeri memburuk-burukkan Barisan Nasional iaitu parti yang memerintah di Pusat, kerajaan Pas berhutang dengan kerajaan Pusat sebanyak RM35.65 juta.

Wajarkah ‘tangan yang memberi’ yang dalam Islam lebih mulia daripada tangan yang meminta dicerca dan terus digigit?

Harakahdaily dalam laporannya mengatakan, ketika ekonomi dunia merudum dengan kejatuhan luar biasa institusi kewangan di peringkat global, kerajaan Kelantan masih mampu membentang anggaran belanjawan 2009 yang bertema 'Bajet Berimbang'. Bajet tersebut memberi tumpuan kepada penjanaan ekonomi secara berterusan untuk semua rakyat, pembinaan ihsan berteraskan Islam dan pembelaan golongan dhaif.

Nik Aziz berkata, kerajaan negeri memantapkan lagi dasar berjimat cermat dengan perbelanjaan berhemah. Selain itu, mengembeling usaha untuk meningkatkan hasil melalui pemantapan jentera kutipan hasil dan penguatkuasaan yang tegas dan berkesan, memantapkan jentera pentadbiran, dan meneruskan pendekatan pentadbiran menyeluruh.

Sebaliknya, Wakil Barisan Nasional Datuk Noor Zahidi Omar pula hairan apabila bajet kerajaan negeri Kelantan dimaklumkan peruntukan yang tidak pernah cukup sedangkan Kelantan kaya dengan hasil yang boleh memberi keuntungan kepada negeri.

Katanya, rakyat Kelantan terus "digula-gulakan" seperti Ladang Rakyat yang belum lagi ditanam dan mendatangkan hasil tetapi sudah diberikan dividen.

"Saya ingin bertanya adakah hasil penebangan balak untuk tanaman ladang rakyat itu dimasukkan ke dalam hasil wang yang disatukan," katanya.

Noor Zahidi (BN-Pengkalan Kubor) juga mempersoalkan skim penanaman getah klon balak di hutan simpan sama ada di hutan simpan itu tidak mempunyai balak atau sebaliknya. "Apa yang dikhuatiri penanaman klon getah ini akan menjadi seperti penanaman sentang yang akhirnya perkara ini tidak berlaku," katanya.

Kerana itu Bajet Kelantan yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Kelantan semalam tidak mampu akan menjana peningkatan hasil kerajaan negeri yang terus menyaksikan jumlah hutang Kelantan terus tinggi.

Timbalan Ketua Pembangkang di Dun Kelantan itu berkata bajet yang bertemakan "Bajet Berimbang" itu sebenarnya langsung "tidak berimbang" dan banyak merugikan kerajaan Kelantan.

“Hutang awam Kelantan kini sudah melebihi aset iaitu sebanyak RM326 juta tahun lalu akan terus meningkat pada masa depan dan jika tidak ada usaha untuk berbuat sesuatu keadaan hutang Kelantan semakin membimbangkan.

Noor Zahidi menegaskan: "Titah Sultan Kelantan juga harus diambil kira apabila menegur ada beberapa hasil kerajaan negeri yang tidak dimasukkan dalam hasil wang yang disatukan," katanya ketika membahaskan Bajet 2009 itu.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dalam laporan Audit Negeri Kelantan 2007 berkata kedudukan kewangan Kerajaan Negeri berdasarkan Lembaran Imbangan tidak kukuh kerana aset tidak dapat menampung tanggungan semasa dan keseluruhan tanggungan.



Manakala Penyata Akaun Memorandum pula menunjukkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri juga tidak kukuh memandangkan nilai hutang yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri melebihi nilai aset.

Oleh itu bagi memperbaiki kedudukan kewangan yang semakin merosot, Kerajaan Negeri perlu mengamalkan dasar perbelanjaan berhemat serta mencari sumber hasil yang baru dan berusaha mengutip
tunggakan hasil.

Cadangan ini bukan perkara baru tetapi berlaku lagi tahun lalu selepas pada 2006 ia berada dalam kedudukan serupa.

Pada persidangan tahun lalu Ketua Pembangkang ketika itu, Tan Sri Annuar Musa turut membangkitkannya.

Selain itu, pada 2007 baki pinjaman boleh tuntut Kerajaan Negeri kepada Agensinya berjumlah RM617.38 juta berbanding RM598.89 juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM18.49 juta.

Peningkatan ini adalah disebabkan Kerajaan Negeri mengeluarkan kesemua sumber pinjaman yang diterima bagi pelbagai Projek Bekalan Air daripada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM23.35 juta kepada Agensinya iaitu Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. Dan sejumlah RM2.33 juta melalui sumber Negeri kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu. Selain itu Kerajaan Negeri telah menerima balik bayaran hutang daripada agensinya berjumlah RM7.50 juta.

Analisis Audit mendapati bayaran balik pinjaman yang telah matang tidak mengikut
Jadual Bayaran Balik atau anuiti tahunan yang ditetapkan menyebabkan tunggakan
bayaran balik agensi tersebut terus meningkat. Keadaan ini lebih ketara lagi apabila
dasar Kerajaan Persekutuan tidak lagi menyalurkan geran keseimbangan Pihak
Berkuasa Tempatan melalui Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2007 Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan gagal menjelaskan anuiti tahunannya melalui sumber Persekutuan berjumlah RM9.36 juta menyebabkan tunggakan bayaran balik terkumpul mencecah RM40.88 juta. Manakala Majlis Perbandaran Kota Bharu gagal menjelaskan anuiti tahunannya berjumlah RM0.96 juta melalui pinjaman sumber
Negeri dan sejumlah RM1.06 juta melalui sumber Persekutuan menyebabkan
tunggakan bayaran balik pinjaman menjadi RM9.48 juta.

Yang menghairankan, rakyat Kelantan melihat Laporan Audit Negara dengan menterjemahkannya sebagai berkepentingan politik bukan ekonomi atau kegagalan pentadbiran Kelantan.

Rakyat Kelantan tetap memilih Pas untuk memerintah Kelantan walaupun tahu bahawa pentadbiran negeri itu gagal memulih atau mengurangkan beban hutang selain sumber baru Kerajaan Negeri tidak ada langsung.

Lebih mengejutkan pada 31 Ogos lalu, dalam suasana kewangan negeri yang tidak stabil dan lemah dan diakui sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat , Kelantan akan tetap membayar bonus sebulan kepada kakitangan kerajaan negeri tahun ini.

Ia akan dilakukan seperti diterima kakitangan sektor awam di peringkat pusat walaupun hutang kerajaan negeri telah melebihi nilai asetnya hasil ‘langkah berjimat cermat’ nya.

Lebih jauh, Mursyidul Am Pas mempertahankan bahawa pentadbiran kerajaan negeri tidak pernah membazir kerana ia merupakan satu amalan dosa.

Persoalannya, apakah bonus itu anugerah atau penilaian prestasi kakitangan yang wajar diberika hanya kepada mereka yang berkhidmat dengan cemerlang dan bukan semua kakitangan?

Tidakkah memberikan bonus kepada kakitangan yang tidak berprestasi cemerlang dan sederhana itu sebagai membazir dan amalan menyogok untuk mendapatkan sokongan politik.
Bukankah dengan melakukan sedemikian ia adalah satu dosa?