Saturday, November 14, 2009

NIK AZIZ TOLAK PENAJAAN, ‘SIDANG MEKAH’ DITANGGUH?

(Isu Sabtu)

Tolonglah jangan samakan perangai dan sikap akhbar dan blog Malaysia dengan orang Qurishy zaman jahiliah.

Adalah silap jika Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat marah atau membidas laporan dalam media dan laman blog mengenai tajaan untuk beliau itu. Tidak wajar Nik Aziz mengatakan ia bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Elok juga jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendekati kes ini bagi membersihkan nama Nik Aziz dan orang yang menajanya.

Lagipun ada sumber mengatakan penaja ini bukan sekadar menaja Nik Aziz seorang tetapi ‘secara berpasukan’.

Baguslah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat keputusan untuk tidak ke Mekah. Setidak-tidaknya beliau boleh meredakan isu penajaan pemergiannya ke Tanah Suci (kalau bolehlah) dan juga menghapuskan kekusutan pertelingkahan antara Kickdefella dan menantunya, Mohd Ariffahmi Abdul Rahman.

Yang pasti, meloponglah orang yang berangan-angan untuk memangku jawatan Menteri Besar ketika Nik Aziz ke Mekah. Apa nak buat, kita hanya merancang, Tuhan menentukan.

Bagaimanapun, dengan membatalkan pemergiannya, Nik Aziz belum bebas daripada ikatan penajaan dengan beliau.

Nik Aziz tidak pergi adalah keputusan peribadinya. Namun, beliau sudah menerima tawaran pelawaan itu dan pasti pembayaran sudah dibuat untuk pemerigian beliau dan keluarganya.
Kerana itu, rasanya SPRM masih boleh menyiasat, untuk apa dan berapa jumlahnya Nik Aziz ditaja.

Nik Aziz sendiripun sudah mengakui ada pihak membiayai perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji dan beranggapan ia tidak salah selagi tidak melanggar peraturan SPRM.

Apapun, adalah tidak wajar Nik Aziz menyamakan mereka yang mendedahkan penajaan dengan orang Quraisy dengan mengatakan, "Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia."

Bak kata rbf (http://ruangbicarafaisal.blogspot.com): Nik Aziz telah menyamakan saya selaku penulis blog dan blogger-blogger lain serta media yang melaporkan tentang tajaan beliau ke Mekah sebagai kaum Quraisy Malaysia. Ini kerana blog saya adalah salah satu blog yang awal melaporkan siapa yang menaja Nik Aziz ke Mekah.

Allahuakbar ! Maknanya Nik Aziz telah mengkafirkan saya serta kawan-kawan saya. Kerana kaum Quraisy adalah orang-orang jahiliah yang sudah tentunya kafir. Kalau Nik Aziz ini orang muda-muda seperti Mahfuz,Husam atau Salahuddin saya dah ajak dia bergocoh. Mengenangkan dia orang tua maka saya terpaksa bersabar.

Nik Aziz makin sombong nampaknya…”

Sepatutnya Nik Aziz tidak mengatakan demikian ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Kota Bharu semalam.

Berat tuduhan itu dan akhbar serta blog bukan membuat andaian tetapi penajaan itu benar-benar wujud.

Dalam ceramah itu, Nik Aziz berkata, beliau tidak begitu "pelahap" (menagih) tajaan oleh seseorang untuk menunaikan ibadah haji kerana beliau mempunyai wang sendiri, tetapi menerima tawaran itu kerana mahu memenuhi niat orang yang ingin menaja pemergiannya.

"Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Mekah kali ini," katanya.

Selain itu, Nik Aziz berkata beliau menerima terlalu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya ke Mekah.

Soalan mudah ialah, jika orang seperti saya, berapa ramaikah yang sudi untuk menaja sahaja menunaikan ibadah haji?

Jika Nik Aziz boleh memberikan sebab– untuk memenuhi niat orang yang ingin menaja – sebagai alasan untuk ke Mekah, apakah orang lain yang ditaja ke luar negara atau hal-hal lain tidak boleh memberikan sebab yang serupa?

Jika Nik Aziz boleh, apa bezanya dengan orang lain? Apa istimewanya Nik Aziz? Kerana dia ‘Tok Guru’ maka halal untuknya menerima penajaan. Persoalannya kena menaja dan apa balasannya? Penajaan free atau saja-saja?

Kenyataannya bahawa beliau membatalkan hasratnya kerana ‘bosan’ dengan kerenah media, yang banyak mempersoalkan permergian beliau ke tanah suci itu yang ditaja pihak tertentu hanya berlaku selepas dipersoalkan punca wang penajaannya juga tidak kukuh.

Kalau penajaan itu wajar, bersih dan tidak ‘ada udang di sebalik batu’ teruskanlah. Kenapa takut dan ‘bosan’ dengan kritikan?

Menteri Besar itu bukan tidak tahu bahawa soal ‘penajaan’ ini akan menjadi bising kerana orang PAS juga sering bising mengenai pemimpin UMNO dan pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam isu-isu membabitkan penajaan seperti ini.

Malah, Nik Aziz sendiri pun turut terbabit untuk bising dalam beberapa perkara yang lebih kurang sama dengan kesnya, kecuali wang bukan digunakan untuk ke Mekah, tetapi ke tempat lain.

Apakah pemimpin PAS, khususnya anak didik beliau Datuk Husam Musa tidak pernah memperkatakan mengenai tajaan seorang hakim ke New Zealand?

Dengan menangguhkan pemergiannya ke tanah suci yang dijadual pada 17 Nov ini akibat media heboh mempersoalkan pemergiannya itu kerana ditaja orang tertentu, tidak bermakna bahawa dakwaan penajaan itu mempunyai kepentingan dengan kedudukannya sebagai menteri besar.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS sewajarnya dari awal-awal lagi tidak menerima penajaan sedemikian. Ini kerana lambat laun ia akan ‘pecah’.

Persoalannya, siapa yang membuka tembelang? Siapa yang tahu mengenai penajaan ini?

Saya diberitahu oleh seseorang mengenai penajaan ini lebih awal daripada media dan blog mendedahkannya. Ada yang mengatakan ia berjumlah lebih RM150,000 untuk ‘pasukan Nik Aziz’ ini.

Pemergian ini bukan untuk haji semata-mata tetapi sebenarnya mungkin akan berlaku sidang Mekah.

Untuk apa sidang Mekah? Kata sumber itu, sidang ini akan membincangkan peralihan kuasa. Ia bermaksud untuk membincangkan siapa akan menggantikan beliau, jika berundur.

Tetapi dengan penangguhan ini nampak gayanya, sidang Mekah itu juga perlu ditangguh dan semakin resahlah mereka yang bercita-cita untuk menggantikan Nik Aziz.

Dan untuk sementara, meloponglah siapa juga yang bercita-cita tinggi untuk menjadi Menteri Besar kerana sidang berkenaan terpaksa ditangguhkan, selain masalah baru membabitkan anak menantunya pula berbangkit.

Hai banyak sungguh cabaran kepada Nik Aziz ketika ini!

PENYOKONG KELANTAN – BUANGLAH GEDEBE TAK TENTU PASAL

Stadium Nasional Bukit Jalil adalah harta rakyat. Jangan nak gedebe tak tentu pasal. Malu rakyat Kelantan dibuatnya.

Tak habis-habis dengan pongoh dan marah. Buat hal di Stadium Sultan Mohd ke IV dah banyak kali. Tidak kesian ke persatuan negeri kena denda.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa pasti sakit kepala.

Bukan kerana menguruskan pemain, jurulatih atau sebagainya tetapi menguruskan penonton yang asyik nak gedebe je.

Semua pihak dapat malu – bukan sahaja Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tetapi juga Kerajaan Negeri.
Bukan di Malaysia sahaja cerita ini tersebar tetapi bayangkanlah apabila masuk ‘Sport Centre’ di Astro. Satu dunia tahu perangai penyokong bolasepak Kelantan.

Apakah ini sikap rakyat yang datangnya dari negeri ‘Serambi Mekah’? Inilah perangai rakyat Kelantan yang dididik lebih 20 tahun dengan ajaran Islam?

Malu ‘Tok Guru’ Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan murid setianya, Datuk Husam Musa dengan kejadian ini.

Lagipun, apabila harta benda awam dijahanamkan bermakna orang yang menjahanamkan itu tidak mempedulikan harta rakyat. Apakah ini yang disuruh oleh Islam?

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyatakan di Parlimen bahawa jumlah kerosakan fasiliti di Stadium Nasional, Bukit Jalil ialah sebanyak RM214,000.

Malah Pengurus Besar Kompleks Sukan Negara, Wan Nor Azinah Zaniby Wan Hashim turut memberikan jumlah yang sama.

Namun Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM petang semalam memberitahu, anggaran kerosakan yang dikemukakan pihak stadium ialah RM138,150 dan bukannya RM214,000.

Persoalannya bukan harga kerosakan harta yang patut dipersoalkan. Yang lebih penting kerosakan moral dan tingkah laku.

Apakah sebilangan penonton yang liar tidak memikirkan hal ini? Apakah sikap gedebe membawa kebaikan?

Persatuan bolasepak negeri perlu memberitahu penyokong mereka, stadium kea tau apa-apa ke yang ada di kawasan stadium adalah hak orang ramai.

Bukan sekadar kerusi dalam stadium. Tiang gol, padang, lampu atau apa sahaja hak rakyat. Menjahanamkannya bermakna menjahanam hak rakyat.

Apakah sebilangan penonton Kelantan tidak menghormati 1 Malaysia – Rakyat Didahulukan?

Saya menyokong penuh kenyataan Pengurus Besar Kompleks Sukan Negara, Wan Nor Azinah Zaniby Wan Hashim yang menegaskan, penyokong Kelantan tidak sepatutnya menyalahkan kawalan keselamatan di stadium yang longgar sebagai punca kejadian tersebut memandangkan polis telah menempatkan sejumlah anggotanya yang ramai untuk perlawanan tersebut.

"Semua ini berbalik kepada budaya gemar menjahamankan harta benda awam. Ini tidak baik dan pe- nyokong sepatutnya perlu ada sema- ngat kesukanan. Menang atau kalah, kena terima seadanya.

"Saya harap kejadian seperti ini tidak berulang. Stadium ini harta rakyat, guna duit rakyat. Ini pertama kali kita terpaksa membaiki kerosakan sebegini teruk," kata Wan Nor Azinah.

Friday, November 13, 2009

JADIKAN AMALAN HIDUP SIHAT SERTA DIET SEIMBANG

Saya tidak malu untuk menyatakan di sini bahawa saya memang penghidap kencing manis. Esok 14 November adalah Hari Diabetes Sedunia.

Saya tidak mengetahui menghidapnya apabila pada suatu hari pada 2002, hati saya terdetik untuk menyertai ujian darah yang kebetulan diadakan sempena satu acara di Perlis.

Saya pula pada pagi itu selesai menjadi pengacara Selamat Pagi Malaysia (rtm1).

Saya bersyukur kerana cepat mengetahuinya walaupun agak terlambat, iaitu pada usia 48 tahun.

Apapun, saya perlu berdepan dan tabah dengan penyakit yang dikatakan ‘ibu kepada segala penyakit’.

Saya meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada ubat, kawal makanan dan bersukan. Hidup mesti diteruskan!

Bagi mengelak atau mencegah apa yang sudah menimpa saya, harapan adalah penjenguk akan mengambil iktibar dan pengajaran daripada rencana berikut:

Hidup 'Manis' Sekarang, Terseksa Kemudian

(Sempena Hari Diabetis Sedunia Pada 14 Nov)

Oleh ZULKIPLE IBRAHIM (mStar)

MENURUT laporan Persatuan Diabetis Malaysia (PDM) pada tahun 2007, hampir 1.2 juta rakyat Malaysia menghidapi kencing manis.

Bagi statistik untuk tahun 2008, jumlah ini meningkat sebanyak 650,000 dan angka ini dijangka terus bertambah bagi tahun 2009.

Diabetis atau kencing manis merupakan satu penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian dan ramai pesakit diabetis hanya menyedari mereka menghidap penyakit itu bila timbul komplikasi.

"Sebenarnya diabetis ialah satu penyakit yang boleh dielakkan, melainkan ia berpunca daripada genetik, tetapi gaya hidup di zaman moden ini menyebabkan penyakit itu semakin senang dihidapi," menurut seorang pakar pemakanan di sebuah institusi kesihatan awam.

KANDUNGAN TINGGI GULA DALAM DARAH

"Adakah anda pernah terfikir tentang jika setiap hari anda selalu makan dan minum dengan rasa manis yang berlebihan, mungkin satu hari nanti akan menyebabkan kandungan gula dalam darah anda menjadi terlampau tinggi sehingga membuat anda mendapat diabetis?".

Itulah pertanyaan yang sering diutarakan pakar endokrinologi terhadap pesakit diabetis yang mereka rawati.

Menurut pakar endokrinologi serta juga pakar nutrisi/pemakanan, diabetis terjadi bukan dalam sekelip mata tetapi hanya muncul dalam jangka masa yang agak panjang setelah pesakit mempunyai kandungan gula di dalam darah yang tinggi secara berterusan.

Ini akibat pengambilan makanan yang mengandungi gula tanpa kawalan , diet yang tidak seimbang serta juga amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang senaman dan aktiviti fizikal.

"Diabetis ibarat pembunuh yang bersembunyi, dan akan muncul bila suasana sudah menjadi tidak terkawal," kata seorang doktor endokrinologi Dr S. Menon.

Bagaimanapun diabetis bukan hanya bergantung kepada faktor nutrisi sahaja tetapi juga genetik.

KISAH AZHAR

Dr Menon memaparkan kisah Azhar (bukan nama sebenar) tentang bagaimana diabetis boleh juga berpunca daripada faktor genetik.

Azhar, yang berasal dari sebuah kawasan pedalaman di sebuah negeri di Pantai Timur, tidak mengetahui bahawa kedua-dua ibu bapanya memang menghidapi diabetis sehinggalah beliau dewasa. Begitu juga dengan ibu bapanya.

Sejak pada umur awal belasan tahun, Azhar sudah mula mengalami tanda-tanda diabetis seperti tahap kehausan yang amat sangat, cepat letih, kerap buang air kecil pada waktu malam dan juga keletihan.

"Saya tidak mendapatkan rawatan kerana menganggap itu hanya perkara biasa sehinggalah saya datang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan pelajaran di universiti," Azhar memberitahu Dr Menon.

Menurut Azhar, bila dia mengalami bisul bernanah di belakang kepalanya, barulah beliau mengetahui yang beliau menghidapi kencing manis.

Ibu bapa beliau serta juga abang-abangnya meninggal dunia kerana 'myocardial infarct' (tisu jantung tidak mendapat cukup bekalan oksigen) iaitu satu daripada komplikasi diabetis.

KANDUNGAN KARBOHIDRAT YANG TINGGI

Bagi seorang lagi pesakit diabetis, gaya hidup dan diet yang tidak sihat menyebabkan beliau menghidapi kencing manis.

"Dari kecil, saya memang mengambil diet yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi. Sarapan pagi ialah nasi, makan tengah hari pun nasi, makan malam sudah tentulah juga nasi dan kalau keluar minum lewat malam pun nasi.

"Kalau nak kata senaman, memang jauh sekali dan memang tidak pernah saya lakukan," kata beliau.

Bagi Manan, ketika beliau berada di universiti, beliau mula ketagih minum air berkabonat.
"Setiap malam, saya ambil minuman ini hinggalah saya mengalami komplikasi kegagalan buah pinggang kerana diabetis," tambah beliau.

DIABETIS JUVENIL, DIABETIS 'MATURITY ONSET'

Menurut Dr Menon, kalau kencing manis diwarisi melalui faktor genetik iaitu daripada ibu bapa, biasanya ibu, seseorang itu akan mempunyai diabetis dari kecil dan ini dikenali sebagai diabetis juvenil atau diabetes Type I.

Bagi mereka yang menghidapi kencing manis ketika umur sudah meningkat, diabetis ini dikenali sebagai Diabetes Type II atau 'maturity onset' dan ini terjadi dari sebab faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Menurut Dr Menon, walaupun komplikasi diabetis yang selalu diceritakan memang menakutkan, masih ramai yang seolah-olah tidak peka terhadap masalah ini hinggalah kepada satu tahap yang agak terlambat.

Komplikasi diabetis memang bahaya dan tidak hairanlah bila diabetis digelar sebagai 'ibu kepada segala penyakit'.

Antara organ yang akan terlibat ialah mata (katarat, glaukoma dan retinopati), buah pinggang (penyakit dan kegagalan), saraf (neuropati), jantung dan salur darah (penyakit kardiovaskular), gusi (penyakit periodontal) dan kaki (saluran darah terganggu meyebabkan gangrene serta amputasi).

AMALAN HIDUP SIHAT BAGI JANGKA PANJANG

Bagi Dr Menon, amalan hidup sihat serta diet yang seimbang memang selalu dipertuturkan oleh fraterniti perubatan bagi mencegah penyakit diabetis.

"Tapi adakah mesej tentang perkara ini memberikan kesedaran pada umum sebelum terlambat?" tanya Dr Menon.

Biasanya ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengambil kisah tentang penyakit sehinggalah mereka mula mengalami komplikasi, kata beliau.

Ini ialah nasihat Dr Menon kepada orang ramai:

"Diabetis mengambil masa yang agak lama sebelum terjadi. Kadang-kadang langsung tidak ada tanda dan gejala sebelum kita sedar yang kita ada kencing manis.

"Jadikan kebiasaan untuk menjalani pemeriksaan setiap tiga atau enam bulan setidak-tidaknya. Bagi mereka yang sudah ada diabetis, adalah penting bagi mereka mematuhi pengurusan penyakit kencing manis mengikut apa yang dinasihatkan doktor".

Ambillah makanan seimbang dan selalu amalkan senaman, elakkan merokok dan mengambil minuman beralkohol.

Pada asasnya kurangkan pengambilan gula. Hidup mungkin 'manis' sekarang tapi mungkin 'terseksa' kemudian.

Thursday, November 12, 2009

KICKDEFELLA VS MENANTU NIK AZIZ…

Nak ketawa pun ada…nak kata bodoh pun ada. Atau memang bodoh Ariffahmi ini!

Mana mungkin blogger Kickdefella boleh bersekongkol atau berkonspirasi dengan UMNO. Sejak 2007, Kickdefella bekerja untuk Datuk Husam Musa.

Sumpah potong ayam saya tidak percaya.

Apa yang Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella) tidak buat untuk menaikkan Husam? Tak kanlah semana-mena dia bersekongkol dengan UMNO.

Kalau (ini kalau) dengan Husam munasabah sikit. Tapi tak kan Husam seburuk itu untuk berkonspirasi dengan Syed Azidi bagi menjatuhkan Ariffahmi.

Lagipun Husam sedang bersiap sedia untuk memangku jawatan Menteri Besar dalam beberapa hari lagi. Mana mungkin dia mahu buat hal dengan ‘Tok Guru’. Nahas nanti!

Mohd Sayuti Omar (MSO) pun pasti tidak percaya Syed Azidi boleh bersekongkol dengan UMNO. MSO sendiri dibelasah oleh Kickdefella pada musim pemilihan PAS yang baru lalu kerana blogger berkenaan menyokong Husam.

Malah, bukan itu sahaja, melalui blog Kickdefella, ada beberapa pemimpin PAS yang dikritik hebat. Dibelakangnya pasti tidak lain dan tidak bukan, orang yang memberikan ‘habuan’ kepada Kickdefella.

Tanyalah Mat Iraq, bekas Ketua Dewan Ulamak PAS yang dikritik hebat kononnya beliau tidak melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat sepanjang penggal lalu. Kickdefella yang mendedahkannya!

Persoalannya, munasabahkah Nik Azidi bersekongkol dengan UMNO untuk menjatuhkan Arifffahmi Abdul Rahman, iaitu menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat?

Kalau Nik Azidi bersekongkol dengan pemimpin PAS tertentu saya percaya. Dengan UMNO bohong sama sekali.

Siapa yang kata Syed Azidi berkonspirasi dengan UMNO? Ia tidak lain dan tidak bukan
Mohd Ariffahmi sendiri, iaitu menantu (saya ulangi) Menteri Besar Kelantan.

Cetek sungguh pemikiran Ariffahmi ini.

Syed Azidi, yang menyertai perbadanan itu pada 2007, menerima surat pemecatannya yang ditandatangani oleh Mohd Ariffahmi kelmarin (Selasa) kerana dituduh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah laku pengurusan di PMBK.

Semalam bekas Pegawai perhubungan korporat Pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), itu dipecat (dakwa Syed Azidi) bernekad untuk mendedahkan apa yang sebenarnya telah berlaku di perbadanan itu khususnya tentang kepincangan kewangan serta penyalahgunaan kuasa.

Menantu Nik Aziz yang mengetuai PMBK menolak kenyataan Nik Azidi bahawa beliau dipecat, sebaliknya ditamatkan selepas tiga tahun berkhidmat dengan perbadanan itu.

Mohd Ariffahmi mendakwa Nik Azidi tidak layak disambung kerana prestasinya tidak mencapai piawaian perbadanan.

"Tapi kami masih memberikan beliau RM20,000 sebagai pampasan, semua ini telah dilakukan dengan kelulusan jabatan undang-undang," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK itu mengatakan akan mendapatkan khidmat peguamnya bagi meneliti beberapa dakwaan Syed Azidi.

Ariffahmi menegaskan beliau tenang dengan kenyataan Syed Azidi kerana beranggapan berkas pegawai PMBK itu boleh untuk membuat apa-apa dakwaan.

"Saya tak lakukan apa-apa kesalahan," katanya kepada pihak media di rumahnya yang terletak tidak jauh daripada kediaman bapa mertuanya di Pulau Melaka Kota Bharu semalam.

Isu ini menarik kerana soal kronisme dan salah laku di PMBK ini pernah didedahkan oleh Tan Sri Annuar Musa di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Saya kebetulan hadir pada persidangan itu dan saya akan cuba flash back apa yang dikatakan oleh bekas Ketua Pembangkang di DUN Kelantan itu sampaikan Nik Aziz tidak boleh angkat muka.

Malah kes ini pernah dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu tetapi kemudian senyap dan dikatakan tiada kes.

Ikuti isu menarik ini pada beberapa entri akan datang!