Wednesday, August 19, 2009

IMAN PAS LEBIH BAIK DARIPADA UMNO?

Mursyudul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat patut saman dua akhbar perdana kerana salah petik beliau mengatakan ‘Ahli Umno tak akan masuk syurga.’

Menariknya bagi laporan itu Berita Harian meletakkan selonggok byline wartawannya yang bermakna bukan seorang sahaja mendengarnya. Tidak tahulah mungkin ‘tuli semua telinga’ wartawan berkenaan.

Sebelum ini sebuah akhbar perdana sudah kena tarik balik kenyataan sekali. Kali ini buat hal lagi?

Saman ‘Tok Guru’, jangan tak saman. Kalau tak saman nanti orang kata akhbar di pihak yang benar. Mana boleh ‘Tok Guru’ salah, akhbarlah yang salah.

Nik Aziz menjelaskan beliau tidak bermaksud anggota Umno tidak boleh masuk syurga sebagaimana media memetiknya sebagai berkata semalam.

Menteri Besar Kelantan itu menafikan beliau menyebut anggota Umno tidak dapat masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Palestin.

"Saya baca dua akhbar arus perdana, ada perkataan Palestin. Saya nafi sekeras-kerasnya. Tak ada. Saya tak biasa guna perkataan ahli Umno. Ahli Umno dan penyokong Umno lain, dua perkataan berbeza," katanya.

Nik Aziz berkata mana-mana umat Islam yang mengasingkan iman dengan Islam tidak akan masuk syurga.

"Usaha Umno nak sebut Islam saja tapi tak ada iman mustahil diterima Allah Taala," katanya.
Ni betul kah yang dilaporkan ni?

Maknanya orang UMNO pun boleh masuk syurga. Jadi syurga bukan ekslusif untuk PASlah?
Betullah seperti kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa tiada nas dalam al-Quran dan hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesebuah parti sebelum dijanjikan masuk syurga.

Syurga dijanjikan Allah hanya untuk mereka yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.

''Syurga itu hak Allah, malah belum tentu lagi mereka yang sembahyang diterima (pahalanya) sebab kena tengok dulu sembahyangnya betul atau tidak.

''Apatah lagi jika ada dakwaan kata masuk parti ini baru dijanjikan syurga, itu lagi tidak betul, jangan kita mendahului Tuhan," katanya semalam.

Cuma terkejut sikit apabila Nik Aziz kata “Usaha Umno nak sebut Islam saja tapi tak ada iman mustahil diterima Allah Taala,"

Apa maknanya ini? PAS saja yang ada iman. Siapa menentukan iman seseorang? PAS dan Nik Aziz atau Allah?

Apa itu iman? Pastinya paling asas untuk mengukurnya ialah merujuk kepada Rukan Iman. Apa dia? Setiap orang Islam mestilah percaya dan yakin kepada enam perkara Rukun Iman:-

1. Percaya kepada Allah

2. Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul

3. Percaya kepada Malaikat-Malaikat

4. Percaya kepada Kitab-Kitab

5. Percaya kepada Hari Akhirat

6. Percaya kepada Qada' dan Qadar

Berbezakah rukun Iman yang diyakini PAS dengan UMNO?

Mungkin kenyataan Nik Aziz mengenai iman ini sekali lagi diputarbelitkan. Kali ini bukan sahaja akhbar perdana akan terpalit tetapi dengan BERNAMA sekali akan terpalit kalau Nik Aziz nafikannya.

Saya perturunkan laporan Berita Harian semalam:

Islam Umno tidak masuk syurga: Mursyidul Am Pas

Oleh Fazli Abdullah, Anwar Hussin, Mohd Anwar Patho Rohman, Norakmah Mat Youb dan Amin Ridzuan Ishak

Nik Aziz samakan agama dibawa Umno seperti diamalkan di Palestin

BUKIT MERTAJAM: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, membuat tuduhan terbaru terhadap Umno dengan mendakwa Islam dibawa parti itu sama seperti Islam diamalkan di Palestin.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan dengan nada sinis, berkata ajaran Islam dibawa Umno sudah tentu tidak boleh membawa seorang Muslim untuk ke syurga.
"Ada perbezaan antara Islam dibawa Pas, berbanding Islam dibawa Umno kerana Islam mereka (Umno) tidak membawa ke mana-mana dan tidak membolehkan seseorang itu masuk syurga.

"Atas perkara itu, saya percaya penduduk di Permatang Pasir akan memilih calon Pas (Mohd Salleh Man) sebagai wakil rakyat mereka, bukannya calon Umno (Rohaizat Othman)," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini, semalam.

Pengundian akan diadakan pada 25 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abd Rahman, pada 31 Julai lalu kerana sakit jantung.
Sebelum ini, ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Nik Aziz pernah mengeluarkan kenyataan berbentuk tuduhan terhadap Umno dengan menyatakan parti itu sama seperti komunis.

Selain itu, beliau turut menyamakan Umno yang majoritinya dianggotai orang Islam seperti Ayah Pin, iaitu individu yang pernah menyebarkan ajaran sesat di Terengganu, beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, Nik Aziz tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Beliau sebaliknya menyalahkan pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.

Kenyataannya itu dibidas pemimpin Umno antaranya Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Nik Aziz sanggup menghalalkan tindakan menghina Islam tanpa memikirkan sentimen orang lain hanya kerana pihak menghina adalah dari rakan Pakatan Rakyat.

Tuesday, August 18, 2009

PAS SELANGOR JELAS BERMASALAH

Dalam ‘parti Islam’ pun ada cantas mencantas ke?

Kenapa jadi begitu dengan PAS Selangor? Pemimpin mereka Nampak hebat dan bijak.

Apapaun, nasi sudah menjadi bubur. Rahsia sudah diketahui orang. Terlajak perahu boleh diundur dan terlajak tulis bahana padanya.

Bahana bukan kepada individu tetapi kepada PAS. Jelas wujud konspirasi menjatuhkan tokoh tertentu PAS di Selangor. Soal siapa merancang tidak penting.

Yang pasti, penulis menggelarkan dirinya – Tulang Besi – melalui blog Malaysia Waves - yang mendedahkan konspirasi menyingkirkan beberapa wakil rakyat pro-Pakatan Rakyat di Selangor – sudah menyatakan beliau mempunyai cukup bukti dan mempertahankan tulisannya.

Beliau berani untuk berdepan dengan ugutan saman terhadapnya.

Jika berani berdepan dengan saman bermakna wujudlah gerakan sedemikian walaupun beliau kemudiannya menarik balik artikelnya berjudul 'Konspirasi Membuang YB Saari Sungip dan Yang Menentang Idea Persepakatan PAS-Umno di Selangor.

Berikutan itu ada blog yang menganggap Tulang Besi bacul dan penakut. Blog berkenaan berkata: “Betapa baculnya dan penakutnya Tulang Besi ini kerana menarik balik artikel berkaitan masalah dalaman PAS Selangor. Tulang Besi inilah yang menulis blog yang mengatakan Mufti Perak Pelacur. Rujuk: Harussani. Ulama yang Melacurkan Diri untuk UMNO

Lihatlah betapa penakutnya Tulang Besi ni, setelah artikelnya menyentuh hal ehwal dalaman PAS, mendapat bantahan dari PAS Selangor, terus dipadamkan artikel tersebut. Penakut betul anak gampang ni. Tulang Besi ni memang pengecut, elok jadi tulang ayam lagi bagus.”

Bagi Tulang Besi, tindakannya menarik balik artikel berjudul "bukan takut, tetapi untuk melindungi pemberi maklumat saya."

Sehari selepas memuatkan artikel itu di Malaysia Waves, Tulang Besi menarik kembali tulisan yang didakwanya diterima daripada sumber dalaman PAS Selangor atas permintaan "tuan punya surat".

Menurutnya, kerana merasakan isu ini terlalu panas, maka pemberi maklumatnya takut akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Mereka yang didakwa mahu disingkirkan antaranya Saari Sungib (Hulu Kelang dan bekas ketua penerangan PAS negeri), Dr Halimah Ali (Selat Kelang dan exco kerajaan Selangor), Khalid Samad (Shah Alam) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Mengulas kandungan artikel itu, Tulang Besi' mempertahankan kewujudan mesyuarat konspirasi itu yang dihadiri beberapa tokoh penting PAS Selangor pada 31 Julai lalu.

"Dulu saya antara orang terawal mendedahkan rundingan sulit PAS-Umno, sebelum (bekas perdana menteri) Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) umumkan lagi. Semua orang kata saya tipu. Tetapi akhirnya terbukti betul. Perkara ini lebih kurang macam itu juga.

"Pada pagi pilihanraya umum tahun lalu, saya yang buat panggilan kepada pesuruhjaya PAS Selangor (Datuk Dr Hasan Ali), beritahu kita akan menang Selangor, bersedialah untuk angkat sumpah," jelasnya, sambil mencabar ahli PAS bertanyakan perkara itu kepada Dr Hasan.

Artikel yang sama dimuatkan dalam Perisik Rakyat (www.perisik-rakyat.com), menyebabkan blog milik Topeng Perak itu turut menerima surat tuntutan guaman daripada pihak tertentu supaya memohon maaf terbuka, yang mesti turut diiklankan dalam sebuah akhbar tempatan.

Tulang Besi juga berkata beliau tidak menerima surat tuntutan guaman daripada pihak tertentu buat masa ini, termasuk melalui emel.

"Saya tidak pasti, mungkin masuk dalam spam," tambahnya.

GARA-GARA BERADU KUAT DENGAN POLIS

Nasib baik ada seorang sahaja Ahli Parlimen ‘mabuk’.

Kalau dua tiga orang pasti akan jadi lebih kecoh di di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pulau Pinang.

Mabuk apa? Mabuk buat kecoh, mahu jadi jaguh.

Apa yang Ahli Parlimen Padang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Serai N Gobalakhrishnan mahu buktikan?

Beliau mahu menonjolkan dirinya sebagai jaguh? Nak tunjuk samseng?

Ini bukan sekali. Pada pilihan raya kecil Permatang Pauh beliau sudah buat hal.

Siapa mengajar Gobalakhrishnan jadi tidak senonoh dan mengganggu ketenteraman awam?

Kalau dari PKR itu kita tahulah siapa ‘mahagurunya’.

Tindakan Ahli Parlimen pembangkang itu yang sengaja menimbulkan kekecohan pada proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pagi semalam sangat dikesali.

Persoalannya apa dia buat di situ. Partinya bertandingkah?

Sekadar menumpang sekaki untuk jadi hero tidak reaL dan tidak wajar dipuji. Tidak senonoh.

Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana proses pagi semalam berlangsung dengan aman dengan kawalan pihak berkuasa.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, inilah caranya yang sentiasa dilakukan oleh pembangkang untuk mencabar undang-undang.

"Hari pertama sebelum kita tahu calon yang bertanding lagi, sudah buat perangai yang tidak senonoh.

"Ia tak sepatutnya berlaku, hendak provokasi supaya besok boleh pergi kempen ke bawah, (memberitahu) inilah polis yang tidak bertanggungjawab,’ tegas Muhyiddin..

Berikutan itu beliau ditahan polis bagi membantu siasatan kerana didakwa mencetuskan kekecohan di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir berkenaan.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayob Yaakob, berkata pada insiden jam 11.30 pagi itu, ahli Majlis Tertinggi PKR itu telah mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi.

Menurut laporan Bernama, Ayob berkata setelah Gobalakrishnan ingkar dengan amaran polis sebanyak dua kali, seorang anggota polis menahannya tetapi beliau dan penyokongnya kemudian melawan anggota polis dan menyebabkan berlaku kekecohan.

Kekecohan itu membabitkan kira-kira 50 penyokong pakatan pembangkang yang cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon itu.

"Bagaimanapun kekecohan dapat dikawal oleh pasukan polis dan Gobalakrishnan yang mendakwa tangan kirinya patah dalam pergelutan dengan polis itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dengan sebuah ambulans," kata Ayob.

Katanya terdapat juga anggota polis yang cedera dan dihantar ke hospital.

Monday, August 17, 2009

SYURGA HANYA UNTUK ORANG PAS?

Perlu bahas ke?

Atau biarkan kenyataan pilihan raya menjadi kenyataan politik semata-mata.
Siapa ahli syurga? Ekslusif untuk ahli PAS sahaja?

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata anggota Umno tidak akan masuk syurga.

Ini kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Katanya terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota Umno.

"Islam bawah Umno tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam hari ini selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Saya tak reti nak berbahas kerana cetek ilmu agama. Tolonglah saya memahami apa yang diperkatakan oleh Nik Aziz ini.