Sunday, December 28, 2008

POLITIK WANG ¬ - CEGAH BUKAN MENGHUKUM



Saya menunggu lebih dua bulan untuk melepaskan beberapa perkara dalam posting ini yang merujuk kepada politik wang dalam UMNO.

Dan apabila Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, anggota UMNO yang meminta sogokan untuk diri sendiri bagi menyokong calon jawatan parti masih boleh terlepas daripada tindakan disiplin akibat kelemahan Tataetika Ahli Umno walaupun peraturan itu baru saja dipinda Mac lepas, ia membuka peluang untuk mengemukakan pandangan.

Apakah lembaga kini ‘angkat bendera putih’ apabila mencadangkan agar tataetika itu dipinda sekali lagi?

Menurut Tengku Rithauddeen, ketika ini tidak ada peruntukan bahawa ahli yang meminta imbuhan, sama ada dalam bentuk kewangan ataupun lain-lain sebagai bayaran bagi undi atau sokongan, dikenakan tindakan.

Perkara 5 tataetika itu, yang dipinda pada Mac lalu, menetapkan bahawa salah laku berkaitan rasuah/sogokan politik dibahagikan kepada tiga kategori.

• Menyalahguna kuasa secara langsung atau tidak langsung sama ada secara sendiri atau melalui orang lain bagi pihaknya, untuk mendorong atau memaksa orang mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti, sama ada bagi pihaknya atau bagi pihak lain;

• Memberi, meminjam, meminta atau bersetuju untuk memberi, meminjam, meminta atau menawarkan, menjanjikan atau berjanji untuk mendapatkan wang atau apa-apa balasan bernilai bagi seseorang anggota parti atau orang lain dengan tujuan mendorong anggota supaya mengundi atau tidak mengundi pada mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain; dan

• Memberi atau menerima, atau membenarkan anggota keluarganya atau mana- mana orang untuk memberi atau menerima bagi pihaknya secara langsung atau tidak langsung kepada atau daripada mana-mana anggota Umno hadiah, benda atau faedah sama ada secara zahir atau sebaliknya, bagi mendorong seseorang anggota parti supaya mengundi atau tidak mengundi pada mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau pihak lain.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam salah satu postingnya menulis: “Jika UMNO hendak dipulih semula, pemimpin yang telah kotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan UMNO.”

Bagaimanapun Tun sendiri bertanya-tanya siapa yang layak?

Saya pun ingin bertanya siapa yang layak? Saya tidak fikir semuanya ‘busuk’ dalam setandang kelapa yang bernama UMNO itu.

Memperkatakan isu ini saya merasakan ada sesuatu yang kurang pada syarat dan etika pemilihan kali ini.

Kebetulan, Pengerusi lembaga disiplin sendiri mengakui ada kelemahan pada tataetika, dan seharusnya mekanisme menahan gejala rasuah berlaku cukup penting.

Menurut Utusan Malaysia semalam, beberapa pegawai kanan UMNO mengesahkan bahawa pihak yang dimaksudkan dalam salah laku ini ialah calon dan ejen bagi pihak calon atau bagi pihak perwakilan dan bukan merujuk kepada ahli yang meminta sogokan untuk diri sendiri.

Pemerhati politik berpendapat pindaan yang dicadangkan itu adalah relevan kerana ramai anggota peringkat akar umbi mendakwa perbuatan ahli meminta sogokan untuk diri sendiri menjadi semakin berleluasa semasa mesyuarat agung cawangan dan bahagian UMNO baru-baru ini.

Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dalam satu temu bual dengan Bernama bulan lepas turut mengakui mendengar dakwaan semakin ramai anggota yang mendekati bakal-bakal calon meminta sogokan jika mahukan undi mereka.

Perkembangan ini, katanya, telah meletakkan sebahagian daripada bakal calon dalam keadaan serba salah dalam usaha mereka mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk melayakkan diri bertanding jawatan parti.

Percakapan mengenai politik wang, salah laku, tumbuk rusuk dan sebagainya yang buruk dan busuk itu kerana UMNO lebih berminat menghukum bukan mencegah.

Lembaga Disiplin ditubuhkan adalah untuk memutuskan bentuk hukuman, bukan menggariskan syarat dan arahan kepada calon-calon sebelum mereka bertanding.

Rasanya, jika diletakkan syarat tertentu untuk calon MENILAI DIRI SENDIRI – bukan sahaja kuota – UMNO akan lebih terjamin daripada rasuah politik atau politik wang.

Contohnya, Majlis Tertinggi boleh mensyaratkan seseorang yang mahu bertanding jawatan tinggi UMNO mestilah memiliki antara perkara-perkara berikut:

1. Menjadi ahli UMNO berterusan lebih 10 tahun;
2. Tidak pernah dipecat daripada parti;
3. Tidak pernah mendapat amaran keras daripada parti;
4. Tidak pernah dituduh dan disabitkan rasuah;
5. Tidak pernah dituduh dan disabitkan dengan skandal - seks, penyelewengan kuasa, penyelahgunaan kuasa dan sebagainya;
6. Tidak pernah dituduh dan disabitkan melakukan perbuatan yang memalukan UMNO dan negara;
7. Tidak pernah mensabotaj UMNO dalam pilihan raya; selain
8. Cemerlang sebagai ahli UMNO;
9. Cemerlang sebagai Ketua Cawangan atau Bahagian;
10. Cemerlang sebagai penjawat awam – Menteri ,Timbalan Menteri, Menteri Besar & Ketua Menteri.
11. Bebas apabila tapisan dibuat umpamanya oleh Badan Pencegah Rasuah dan lain-lain untuk menjamin pemimpin bermoral tinggi.

Prasyarat ini adala sekadar cadangan dan cara-cara boleh menghalang mereka yang berminat menjadi calon yang sewenang-wenangnya menawarkan diri.

Majlis Tertinggi boleh melakukan kempen anti-rasuah dalam UMNO dengan poster-poster berbunyi “ Anda bebas Rasuah, Anda Bersih? Jika demikian anda layak menjadi calon MT atau Naib Presiden”.

Cara yang dilakukan sekarang, mana-mana pemimpin sahaja sama ada yang pernah dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO pun boleh bertanding.

Lebih jijik, mereka yang pernah memburuk-burukkan UMNO, meludah dan membenci UMNO berlumba-lumba menjadi calon.

Apa jaminan mereka ini tidak akan melakukan perkara yang boleh membawa kepada perbuatan rasuah ketika berkempen dan bertanding?

Dengan meletakkan syarat, akan ramai pemimpin UMNO berfikir dua atau tiga kali untuk menawarkan diri, apa lagi jika mereka memang ‘kotor’.

Hakikatnya mencegah lebih baik daripada merawat dan beginilah jadinya apabila cara kedua dipilih, iaitu mengubat dengan menghukum.

Benar sekali kebimbangan yang disebut oleh Ketua Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim bahawa apabila banyak sangat kenyataan nak buat macam-macam, tapi bila orang tak nampak tindakan, mereka akan mencemuh. Selain itu kenyataan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin ini juga membawa persepsi seolah-olah gejala rasuah politik berleluasa dalam UMNO.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang bersetuju dengan pandangan itu berpendapat, lembaga disiplin sepatutnya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan setiap aduan salah laku disiplin dengan lebih cepat dan telus.

“Saya tak ada masalah dengan cadangan itu jika ia membawa kebaikan kepada UMNO,” katanya.

Cuma yang dibimbangi, yang melakukan perbuatan rasuah hanya sekelumit tetapi dengan menggambarkan seolah-olah UMNO parti korup, UMNO akan dibenci, dan segala-galanya punah-ranah gara-gara kenyataan Lembaga Disiplin bahawa UMNO berdepan dengan politik wang.

Saya ingin tegaskan, pencegahan lebih baik daripada mencegah, apalagi dengan memiliki Lembaga Disiplin yang banyak kekurangannya!

HUDUD - APA PENDIRIAN ANWAR?

Kenapa Anwar menyepikan diri mengenai Hudud?

Kini sudah dua pemimpin – kedua-duanya India – satu DAP dan satu lagi MIC meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menyatakan pendiriannya mengenai isu Hudud.
Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu semalam meminta pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya berhubung hasrat PAS untuk memperkenal hukum Hudud (Kanun Jenayah Syariah) di negara ini.

Katanya, Anwar, yang penasihat PKR, tidak sepatutnya berdiam diri dengan isu itu kerana kegagalannya menyatakan pendiriannya berhubung pelaksanaan undang-undang itu boleh menimbulkan bantahan daripada masyarakat India di negara ini.

Pada 23 Disember lalu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata ketua umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan pendirian parti itu mengenai hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh Pas jika pembangkang memerintah negara ini.

Katanya Anwar tidak boleh berdiam diri terhadap kata putus Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa hukum itu akan tetap dilaksanakan di negara ini.

"Pas akan rugi jika ia berkeras untuk melaksanakan hukum hudud kerana DAP akan menentangnya," kata Karpal dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pas tidak boleh mengetepikan keputusan sebulat suara Mahkamah Agung pada 1988 bahawa malaysia bukannya sebuah negara Islam.

Samy Vellu pula berkata, kini sudah timbul protes secara senyap di kalangan masyarakat India sejak Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dilaporkan sebagai berkata PAS tidak pernah melupakan matlamat mereka bagi melaksanakan undang-undang Hudud di negara ini.

"Anwar sepatutnya menjelaskan pendiriannya dan parti yang diwakilinya, terutama kepada bukan Islam yang menyokong pembangkang agar mereka dapat menilai dan membuat keputusan sama ada untuk terus menyokong pembangkang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samy Vellu berkata, dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, ramai kaum India yang membawa bendera PAS tetapi "adakah ini cara PAS dan parti pembangkang yang lain menghargai mereka".

Dengan perkembangan terbaru sekarang, kata Samy Vellu, Anwar sepatutnya memberi penjelasan berhubung isu itu kerana jika tidak ia akan membuktikan bahawa Anwar dan pembangkang hanya mempermain-mainkan orang ramai.

Kelmarin (24 Disember 2008), Pemuda MCA Wilayah Persekutuan menghantar memorandum bantahan kepada Pas mengenai cadangan untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas di Pejabat Pas Pusat di sini.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketuanya, Chiew Lian Keng kepada Setiausaha, Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Sabki Yusuf yang mewakili Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pukul 3 petang.

Lian Keng ketika ditemui pemberita berkata, Pemuda MCA Wilayah Persekutuan membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas di negara ini.

''Pemuda MCA juga mahu Pas lebih sensitif terhadap masyarakat majmuk dan hak asasi rakyat yang berbilang kaum yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

''Ini bukan kali pertama aduan seperti ini kita terima daripada masyarakat yang tidak berpuas hati. Jadi, surat bantahan ini ditujukan kepada Presiden Pas,'' katanya.

Sebelum ini, Husam membuat kenyataan bahawa Pas tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam, termasuk melaksanakan hukum hudud.

Lian Keng menambah, kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas sebelum ini menyebabkan rakyat Malaysia tidak senang hati.

Saturday, December 27, 2008

HANYA SLOGAN, BUKAN DASAR

Apakah perjuangan sebenar PAS?

Jika Hudud bukan untuk tujuan pelaksanaan, bermakna ia sebagai slogan atau propaganda politik semata-mata.

Dewan Ulama Pas menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini bukan menjadi keutamaan parti tersebut sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan.
Ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata semalam, perkara utama yang harus ditekankan jika pakatan pembangkang memerintah ialah keamanan dan keadilan kepada rakyat di negara ini.

Apakah sikap ini menggambarkan bahawa PAS kini benar-benar berubah dan mementingkan kuasa terlebih dahulu, bukan meletakkan landas perjuangan di hadapan.

Amat jelas hasrat PAS dalam melaksanakan hukum hudud sekiranya mentadbir negara adalah satu dasar yang tidak konsisten kerana mengambil kita perasaan rakan mereka dalam pakatan pembangkang yang tidak senang dengan cadangan berkenaan.

Jelas PAS semakin mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat yang sebelum ini menaruh harapan terhadap kepimpinan pakatan tersebut.

PAS yang sebelum ini tidak pernah mahu berkompromi mengenai Hudud ternyata sedang ‘mencari-cari’ arah perjuangan sebenar mereka apabila terpaksa memilih antara KUASA dan perkara-perkara lain berkaitan Islam.

Bagi PAS dengan meletakkan keamanan dan keadilan di hadapan, ia sama dengan parti sekular lain, malah semakin kabur berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang nyata lebih jelas apabila memperjuangkan ‘Harapan Baru Untuk Malaysia’.

Apakah PAS sanggup ‘menggadaikan’ Islam hanya kerana ingin berkuasa?

Persoalannya berbanding UMNO atau parti lain, apa istimewanya PAS jika hanya berlandaskan keamanan dan keadilan?

Apakah rekod UMNO dan Barisan Nasional selama lebih 5o tahun menjadikan Malaysia aman dan sejahtera bukan perjuangan kea rah keamanan?

Apa jaminan PAS apabila memerintah mampu melaksanakan keamanan? Apa yang diperkatakan oleh Islam mengenai keamanan dan pelaksanaan atau realiti politik semasa tidak sama.

Contoh sudah ada di beberapa negara Islam yang turut menekankan keamanan tetapi peperangan saudara, bunuh-membunuh dan ketidak stabilan terus berlaku. Slogan sahaja tidak mampu menjamin wujudnya keamanan sebenar.

Agak aneh apabila bercakap kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu semalam, Ketua Dewan Ulama PAS berkata, hudud dan qisas sukar untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana masih ramai yang tidak memahami kebaikan hukum tersebut.

"Apa yang penting kita hendak mencari keamanan dan keadilan dahulu, selepas itu kita akan memberikan penerangan kepada semua pihak agar mereka dapat menerimanya. Ini hukum Allah bukan hukum yang direka oleh Pas.

"Pun begitu ia tidak lari daripada dasar perjuangan Pas sendiri. Apabila pakatan memerintah tidak jadi masalah untuk dilaksanakan cuma perlu sedikit masa saja lagi supaya semua dapat memahaminya,"

Hakikatnya, saya bukan takbur atau mahu memperkecilkan Islam tetapi jika PAS bersekongkol dengan DAP dan PKR, sampai kiamat pun Hudud tidak mampu dilaksanakan di Malaysia kerana DAP khususnya akan menentang habis-habisan.

Bagi DAP, saya yakin kena ‘langkah mayat mereka dahulu’ baru dasar Islam dan Negara Islam dapat diwujudkan.

Jika PAS ikhlas untuk melaksanakan Hudud secara berperingkat, tiada parti lain yang lebih memahami Islam selain UMNO.

Malah yang baiknya kita lihat bagai sekutu UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dapat menerima dasar penerapan Islam sejak ia diperkenalkan pada 1984 hinggalah kini.

Kekuatan PAS adalah pada usahanya untuk melaksanakan hukum Allah tetapi apabila Hudud yang diperjuangkan dan diterima oleh penyokong PAS, pemimpinnya pula ‘mengorbankan Hudud’ demi kuasa, penyokong PAS sewajarnya menilai semula arah perjuangan sebenar mereka.

PAS tidak wajar meletakkan Hudud di belakang atau ke tepi kerana dengan tindakan itu PAS ternyata bukanlah sebuah parti yang boleh lagi diharapkan akan memperkatakan perkara-perkara berkaitan Islam tetapi sekadar sebuah parti yang pemimpinnya gilakan kuasa dan sanggup mencemarkan Hudud demi kuasa.

Apakah perbuatan sedemikian diredhai Allah?

Atau apakah PAS termakan ‘sumpah’nya sendiri apabila sering menuduh orang lain tidak Islam, sedangkan hakikatnya orang lain tidak menonjolkan mereka sebagai ulamak, uztaz atau lebih Islamnya tetapi berjaya menubuhkan institusi penting Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa, perbankan Islam, perundangan Islam, serta perkara lain yang memupuk ke arah kehidupan cara Islam dalam suasana orang bukan Islam hampir separuh mendiami negara ini.

Malah, orang lain ini turut menjamin agama Islam dan ‘pelindung Islam’ khususnya Raja-Raja Melayu terus bertakhta demi menjadikan Islam sebagai agama resmi negara.

Bolehkan PAS melakukan ini sedangkan dalam perkara Hudud pun boleh bertukar wajah hanya kerana kepentingan KUASA?

PERTELINGKAHAN PAS KELANTAN, TERENGGANU

PAS sehingga kini masih mengatur strategi untuk meletakkan siapa calon mereka pada ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) begitu yakin bahawa Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh boleh berdepan dengan sesiapa sahaja.

Semalam Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, berkata BN negeri sedia berdepan dengan sesiapa saja yang akan dicalonkan Pas bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan 17 Januari depan.

Ahmad Said yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata, BN tidak gentar dengan siapa saja calon yang akan dikemukakan Pas, termasuk kononnya mereka daripada kalangan profesional seperti digembar-gemburkan.

Dengan PAS yang semakin terdesak menamakan calonnnya pada 1 Januari 2009, hanya empat hari lagi, sukar untuk PAS melakukan yang terbaik, lebih-lebih lagi perbezaan antara PAS Terengganu dan PAS Kelantan semakin ketara.

Suara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang awal-awal menonjolkan nama Mohamad Sabu (Mat Sabu) menggambarkan bahawa PAS Kelantan yang kini menjadi rujukan penting bagi PAS keseluruhannya, berusaha mempengaruhi keputusan PAS Terengganu.

Kenapa PAS Kelantan berani berbuat demikian? Apakah PAS Terengganu dilihat ‘lekeh’ (tidak bertenaga)?

PAS Kelantan merasakan ia lebih penting daripada PAS negeri lain, selain sudah memegang kuasa sejak 1990, penjawat penting parti adalah wakil rakyat di Kelantan, selain Presiden.
Apalah strategi PAS Kelantan (untuk menguasai PAS) bagi memudahkan laluan Husam untuk bertanding Presiden PAS pada pemilihan parti akan dating?

Siapa orang penting PAS ada di Kelantan?
1. Musyidul Am Pas – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan
2. Timbalan Presiden – Nasaruddin Mat Isa, Ahli Parlimen Bachok
3. Naib Presiden PAS – Datuk Husam Musa, Exco Kanan Kerajaan
4. Setiausaha Agung PAS – Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Tumpat
5. Ketua Pemuda PAS – Salahuddin Ayob, Ahli Parlimen Kubang Krian
6. Bendahari Agung PAS - Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai
7. AJK Agung PAS - Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Abdul Halim
8. Ketua Dewan Ulama PAS – Mohd Daud Mohamad

Selain itu beberapa ahli Dewan Muslimat PAS pusat juga ada di Kelantan dan kedudukan seperti ini memberikan kelebihan kepada PAS Kelantan.

Kerana itu ada pendapat mengatakan, PAS Kelantan berusaha ‘merampas kuasa’ daripada Presiden sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila menonjolkan Husam yang bukan sahaja diterima oleh PAS tetapi juga oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

Dengan menawarkan tempat untuk pemimpin tertinggi PAS menjadi Ahli Parlimen di Kelantan, mereka ini kini ‘dibeli’ oleh PAS Kelantan untuk menonjolkkan Husam dan dengan cara beliau mewakili banyak acara bagi pihak Nik Aziz dan PAS Kelantan, negeri itu member isyarat mereka perlu menjadi ketua atau hulubalang – bukan lagi Terengganu yang sudah kalah pilihan raya.
Jika kalah lagi Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti, PAS Terengganu akan menerima lebih besar ‘aib’ dan ‘pengaruhnya’.

Selain itu nampaknya pendirian Husam mengenai Hudud mudah diterima oleh mereka ini berbanding Hadi. Apalagi Hadi dilihat sebagai pelopor Hudud.

Banyak pendapat memperkatakan suara Husam yang mewakili PAS Kelantan adalah suara majoriti PAS dan menenggelamkan suara Hadi dan PAS Terengganu.

Sejauh mana benar pendapat ini tidak diketahui tetapi persoalannya apakah PAS Terengganu sanggup membelakangkan suara PAS Kelantan dalam soal memilih calon?

Apakah mereka masih mahu bertegas meletakkan Datuk Mustapa Ali sebagai calon untuk menentang Wan Farid?

Kerana itu PAS jelas sukar mengemukakan calon dan faktot tarik tali PAS Terengganu dan PAS Kelantan akan menjadi faktor penentu calon PAS.

Kalau tidak masakan tempoh lima jam bermesyuarat minggu lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya boleh mengatakan ‘nama calon sudah ada dalam poket saya”?

Ini sebenarnya memberikan kelebihan kepada UMNO yang sudah awal-awal menentukan calonnya dan mendapat sokongan padu semua pihak – UMNO cawangan, UMNO bahagian ,UMNO negeri dan UMNO pusat.

Selain itu komponen BN sama ada di negeri atau pusat, seratus peratus menyokong Wan Farid sebagai calon.

Benar kata Ahmad Said: "Kita sedia berhadapan dengan siapa saja yang dipilih Pas. Paling penting ialah jentera, penyokong dan persefahaman yang perlu kita kukuhkan di kalangan BN," katanya.

Menurut beliau: “BN sudah bersedia dan yakin dengan kemampuan calon kita. Itulah sebabnya kita isytiharkan nama calon lebih awal dan Umno Terengganu sendiri tak ada masalah kerana nama calon kita memang dicadangkan sendiri Umno Bahagian Kuala Terengganu," katanya selepas menghadiri Program Mesra Rakyat Bersama Komuniti Cina Kuala Terengganu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin di sini, semalam.