Friday, November 14, 2008

HENDAK SERIBU DAYA...

Anak saya adalah seorang daripada 518,616 pelajar yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2008 dan semalam, Aniq Farhan mendapat keputusan dengan kedua-dua A dalam Sains dan Matematik.

Anak saya adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003 (Tahun Satu).

Dia belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) yang juga belajar kedua-dua mata pelajaran –Sains dan Matematik - dalam Bahasa Cina.

Semalam Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Memanglah pada peringkat permulaan kami bimbang kerana menghadapi kadaan sedemikian berbanding abangnya yang pada UPSR 2006 mengambil ujian Matematik dan Sains dalam bahasa Cina yang kedua-duanya juga mendapat pangkat A.

Saya bersetuju dengan kata-kata Menteri berkenaan bahawa keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan semalam membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, dikatakan tidak menjejaskan prestasi murid.

Jadi kenapakah kita perlu undur dan tunduk kepada desakan-desakan pihak tertentu sedangkan apa yang cuba diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ini terbukti berjaya.

Persoalannya daripada pemerhatian saya ialah, kenapa pihak tertentu yang mirip kepada sekolah kebangsaan (Sk) banyak membuat bising sedangkan suara daripada mereka mewakili SRJKC begitu sedikit?

Soal menegakkan bahasa atau mementingkan bahasa ibunda tidak timbul sekarang kerana bahasa bagi orang Malaysia kini bukan bukan lagi Bahasa Melayu semata-mata.

Kebimbangan itu apakah berkisar sekitar masalah guru yang tidak berkemampuan mengajar dalam Matematik dan Sains bahasa Inggeris atau penerimaan murid?

Jika demikian, latihan hendaklah diperhebat dan kementerian perlu mengenal pasti mengatasi masalah ini.

Sebenarnya tidak rugi kalau mahir dalam bahasa tambahan selain bahasa ibunda.

Kritik terhadap pelaksanaan PPSMI juga selalunya dirujuk kepada kebimbangan bagi sekolah pedalaman dan luar Bandar.

Namun, menurut Hishammuddin, sebelum ini sekolah yang gagal biasanya di pedalaman atau luar bandar serta daif, tetapi tahun ini sekolah di kawasan berkenaan turut mencatat kejayaan.
“Ini menunjukkan agenda merapatkan jurang digital tercapai, sekali gus menjayakan matlamat saya untuk ‘meratakan padang permainan’ tadi,” katanya.

Memanglah hak kerajaan untuk menentukan sama ada PPSMI akan terus dilaksanakan bukan semata-mata bergantung kepada keputusan peperiksaan kali ini kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian menyeluruh.

Kata Hishamuddin, kementerian sedang meneliti keputusan UPSR dan akan dibentangkan ke mesyuarat meja bulat sebelum sebarang kata putus dibuat.

Beliau berjanji untuk mengambil pendekatan yang realistik dengan mendengar pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik serta ahli politik termasuk pembangkang.

Baiklah jika demikian tetapi apa juga keputusan, kita perlu juga berfikir mengenai kualiti pelajar kita dan jika perlu pembaikan, lakukan segera.

Walaupun ada yang menganggap keputusan UPSR bukan untuk mencari atau mendapatkan pekerjaan tetapi persediaan ke arah bersaing dalam dunia yang mencabar di masa hadapan bermula dari sekolah rendah lagi.

Minda perlu berubah – jangan mengharapkan pekerjaan dengan kerajaan semata-mata!
Ibu bapa jangan mengeluh dan menyalahkan orang lain jika anak kita tidak diterima bekerja kerana kekurangan bahasa.

Dalam dunia pekerjaan, kemahiran satu perkara tetapi komunikasi dan seninya menjadi antara penentu penting dalam budaya dan pergaulan antara pekerja.

Gagal berkomunikasi dengan baik akan menjejaskan perhubungan antara pekerja dengan pekerja dan pekerja dengan bosnya atau orang di bawahnya.

Jika masalah ini berlaku akan wujud kepincangan kepada sesebuah syarikat atau organisasi.
Persoalannya apakah majikan atau pemilik sesebuah syarikat mahu mengambil risiko dengan pekerja kurang mahir, termasuk kurang mah

SIAPA MAKAN CILI, DIALAH ‘BERASAP’

Siapa mereka? Sudah tentu bukan Muhyiddin!

Dengan mengutuk dan membantah kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad percaya ada calon jawatan Timbalan Presiden menggunakan wang bagi mendapatkan pencalonan melayakkannya bertanding, tidak akan membersihkan UMNO.

Cara membersihkan UMNO ialah menolak pemimpin berkenaan jika tahu mereka bermain ‘politik wang’.

Memcerca, membelasah, mengutuk dan menganggap pemimpin seperti Dr Mahathir celupar tidak akan membersihkan UMNO.

Kenyataan Dr Mahathir yang hanya percaya ada calon jawatan Timbalan Presiden menggunakan wang bagi mendapatkan pencalonan melayakkannya bertanding.

Beliau percaya ada calon yang berhasrat merebut jawatan Timbalan Presiden menggunakan wang bagi mendapatkan pencalonan melayakkannya bertanding pada pemilihan parti, Mac depan.

Kemungkinan itu besar kerana ada calon yang ketinggalan pada peringkat awal persidangan perwakilan Umno bahagian tiba-tiba mendapat banyak pencalonan sehingga layak bertanding.
Yang layak bertanding jawatan Timbalan Presiden ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (92 pencalonan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam 47 pencalonan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, 45 pencalonan.

Dalam konteks ini yang sah, Dr Mahathir tidak merujuk kepada Muhyiddin tetapi mungkin dua calon lain.

Muhyiddin ketika diminta mengulas isu sama pula berkata: “Saya tak nak cakap benda itu (politik wang)... saya rasa malu, saya dah selalu kata (mengenainya), saya malu untuk bercakap sebab mendedahkan kelemahan parti sendiri.

“Saya adalah calon dalam pemilihan, kalau saya cakap banyak, nanti undi saya kurang tapi sebagai ahli Umno dan sebagai Naib Presiden hal ini sudah selalu kita bincangkan,” katanya.

Hakikatnya, inilah masanya UMNO perlu melakukan sesuatu, bukan dengan membuat kenyataan-kenyataan membidas Dr Mahathir kononnya ‘aku tidak melakukan politik wang’.
Apakah Dr M begitu bodoh dan tidak tahu mendapatkan sumber dan menapis sumber berkenaan?

Bekas Perdana Menteri itu sendiri mengatakan beliau membuat kenyataan selepas menerima maklumat daripada beberapa individu.

Sudah pasti bekas Perdana Menteri itu enggan mendedahkan nama individu terbabit bagi melindungi sumbernya.

“Saya hanya mendengar cerita mengenainya daripada beberapa individu... saya pun sama macam kamu (pemberita) juga yang dapat maklumat dari sumber tersendiri. Tapi saya tak bolehlah dedahkan sumber itu,” katanya kepada wartawan semalam.

Jadi UMNO kenalah membuktikan bahawa ia parti ‘bersih rasuah’ dan pemimpinnya jangan cepat melatah.

Cara pemimpin UMNO mengutuk Dr Mahathir seakan-akan ‘orang yang memakan cili terasa pula pedasnya”.

Semalam calon Timbalan Presiden Umno, Muhammad berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada pemimpin yang bertanding jawatan kedua tertinggi parti itu terbabit dengan politik wang, bersifat cuba memburuk-burukkan orang lain.

Muhammad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, sebagai bekas pemimpin parti dan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir tidak sepatutnya bertindak membuat tuduhan sedemikian kerana ia hanya akan memburuk-burukkan orang lain.

Katanya, usaha membanteras rasuah dan politik wang politik dalam Umno perlu dilaksanakan secara bersama-sama dengan semua pihak menjauhinya terutama dalam tempoh empat hingga lima bulan ini sebelum pemilihan parti pada Mac depan.

Seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mohd Ali kelmarin memberikan jawapan yang lebih bijak apabila mengatakan beliau mengambil perhatian terhadap dakwaan Dr Mahathir itu.
Bagaimanapun, tidak menolak pendapat yang dilontarkan bekas Perdana Menteri itu sekadar pandangan peribadi beliau.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Nazri Aziz semalam menanggap tuduhan main duit adalah serius, jadi menuduh seseorang calon yang nak bertanding ini adalah tuduhan amat serius.
“Saya harap Dr Mahathir tak usahlah celupar cakap begitu saja kerana ia memberi kesan kepada calon dan juga parti,” katanya.

Menurutnya, Dr Mahathir perlu mengemukakan bukti adanya calon Timbalan Presiden yang menggunakan wang untuk mendapatkan pencalonan pada persidangan perwakilan seperti yang didakwanya.

Jika demikian, Jawatankuasa Disiplin serta sesiapa juga pihak yang menyiasat politik wang, termasuk Badan Pencegah Rasuah perlu menyiasat dengan sebaik-baiknya, termasuk mendapatkan bukti daripada Dr Mahathir.

Wednesday, November 12, 2008

MATA TERTUMPU KEPADA JK PENGURUSAN



Oleh Hambali Abdul Latiff


Bahagian Ketiga (Akhir)

Dalam bahagian ini ditimbulkan persoalan bagi menyelesaikan masalah yang melanda Bahagian-Bahagian UMNO yang dikaji yang mungkin boleh dijadikan panduan bagi mengatasi masalah bahagian lain sekiranya ‘meletup’.

Saranan-saranan diharapkan dijadikan panduan mengatasi masalah di Bahagian-Bahagian UMNO dan ia pasti ada kaitan dengan tugas Setiausaha Agung UMNO, Perhubungan UMNO Negeri, Ibu Pejabat UMNO dan tentunya Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika ini.

Memang sangat difahami dan disedari bahawa tugas menilai dan mengatasi masalah di Bahagian-Bahagian UMNO adalah ‘Easier Said Than Done’.

Apapun, selepas melihat kes-kes yang berlaku di UMNO Bahagian Larut dan Tanah Merah, kita perhatikan dahulu apa masalah yang melanda UMNO Bahagian Tenom, Pengkalan Chepa serta bahagian-bahagian lain.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini menetapkan tempoh 9 Oktober hingga 9 November 2008 sebagai tarikh persidangan perwakilan 191 bahagian di seluruh negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun menjelaskan, mana-mana UMNO bahagian yang didapati bermasalah masih boleh meneruskan persidangan masing-masing meskipun selepas tarikh akhir 9 November lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, bahagian-bahagian tersebut akan diberi tarikh baru bagi mengadakan persidangan masing-masing.

Kini lima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara gagal mengadakan persidangan setelah tempoh yang ditetapkan berakhir kelmarin (Ahad 9 November 2009). Bahagian tersebut ialah dua di Kelantan iaitu Tanah Merah dan Pengkalan Chepa dengan selebihnya masing-masing satu di Perak iaitu Larut, Tenom di Sabah dan terakhir bahagian Seremban. Bahagian Seputih juga menunggu keputusan Jawatankuasa Pengurusan akibat arahan berbeza antara Setiausaha Agung dan Setiausaha Perhubungan Wilayah Persekutuan.

Untuk panduan mnengenai masalah bahagian-bahagian lain yang gagal mengadakan mesyuarat, satu posting dalam http://gegernya.blogspot.com yang membawa tajuk “Kenapa Jadi Begini?” juga baik untuk dibaca dan dinilai punca masalahnya.

Walaupun jumlah bahagian menghadapi masalah kecil iaitu lima atau enam bahagian daripada 191 tetapi isu-isu yang membabitkan bahagian berkenaan jangan dipandang sebelah mata.

Ia boleh menjadi pengajaran dan petunjuk penting kepada penyelesaian akan datang jika punca sebenar masalah boleh dikenal pasti dan penyelesaiannya dilakukan secara terbuka dan penuh keinsafan!

Masalah:

1. UMNO Bahagian Tenom masih menunggu keputusan rayuan daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Rayuan dibuat kerana jawatankuasa pengurusan UMNO bahagian tidak berpuas hati dengan keputusan UMNO negeri, yang membuat pengesahan bahawa sebilangan mesyuarat UMNO cawangan yang dibatalkan di peringkat bahagian sah dan boleh diterima. 'Keputusan itu mengelirukan jawatankuasa di peringkat bahagian kerana kita sememangnya mempunyai bukti bahawa mesyuarat tersebut diadakan tidak mengikut peraturan dan etika parti.

2. UMNO Bahagian Pengkalan Chepa - semua persidangan cawangan perlu diadakan semula selepas ditangguhkan ekoran arahan ibu pejabat parti.

3. UMNO Bahagian Seremban – bergaduh dan persidangan ditangguhkan.

4. UMNO Bahagian Seputeh - berada dalam dilema apabila mendapat dua arahan berbeza daripada Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan Ibu Pejabat UMNO. Ia berkaitan dengan persidangan perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berakhir baru-baru ini, telah dibatalkan oleh Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan. Menerusi surat bertarikh 3 November lalu, badan perhubungan negeri mengarahkan mesyuarat semula di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri hujung minggu lalu. Surat yang ditandatangani Setiausaha Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan memaklumkan pembatalan empat persidangan itu kerana pendaftaran Cawangan Taman Goodwood telah dibatalkan oleh Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Bagaimanapun, Ibu Pejabat UMNO menerusi surat bertarikh 5 November pula, memaklumkan kesemua mesyuarat bahagian berkenaan yang telah diadakan pada 26 Oktober lalu, adalah sah dan tidak perlu diadakan mesyuarat semula.

Tindakan:

1. Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rizalman Abdullah berkata 10 November lalu, persidangan belum dapat diadakan kerana pihaknya masih menunggu keputusan rayuan daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

2. Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Nik Zain Omar berkata pada 8 November lalu, arahan dikeluarkan melalui sepucuk surat pada 5 November (Rabu) yang meminta semua cawangan di bahagian berkenaan mengadakan semula mesyuarat. Mengikut arahan, mesyuarat cawangan tersebut akan dipantau oleh ibu pejabat parti bagi memastikan ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

3. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Riduan Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak dapat menyelesaikan kemelut yang melanda bahagian Seputeh dan perkara itu terpaksa dirujukkan kepada Jawatankuasa Pengurusan parti.

4. Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, pihaknya akan menunggu laporan daripada pemerhati yang dilantik Badan Perhubungan UMNO Negeri iaitu UMNO Bahagian Kuala Pilah untuk menyiapkan laporan dan tidak akan menggugurkan apa jua yang dilaporkan supaya UMNO Pusat tahu apa sebenarnya yang telah berlaku di UMNO Bahagian Seremban.


Kesan:


1. UMNO Bahagian Tenom menjadi satu-satunya bahagian di Sabah yang masih gagal mengadakan persidangan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

2. UMNO Bahagian Pengkalan Chepa menjadi antara Bahagian UMNO di Kelantan - selain Tanah Merah - bersidang selepas 10 November2008. Persidangan ditangguhkan ekoran arahan ibu pejabat parti.

3. Keputusan sama ada UMNO Bahagian Seputeh akan diarahkan bermesyuarat semula bakal diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan parti dijangka hari ini.

4. UMNO Bahagian Seremban terpaksa menunggu laporan daripada pemerhati yang dilantik Badan Perhubungan UMNO Negeri iaitu UMNO Bahagian Kuala Pilah untuk menyiapkan laporan bagi diserahkan kepada Ibu Pejabat UMNO untuk tindakan lanjut.

Perkembangan lain:

1. UMNO Bahagian Tenom berpendapat keputusan UMNO Negeri bukan sahaja tidak adil tetapi juga boleh memberi kesan buruk jangka panjang, kalau persidangan dibuat juga mengikut keputusan UMNO negeri, Bahagian itu berdepan risiko pemilihan ketua dan semua jawatankuasa menjadi tidak sah.Kerana itu Bahagian berkenaan amat berharap mendapat pertimbangan sewajarnya daripada UMNO Pusat agar perjalanan mesyuarat ini berjalan dengan lancar dan teratur. UMNO bahagian juga tidak dapat menerima keputusan UMNO negeri bahawa persidangan Wanita UMNO bahagian itu pada 12 Oktober lalu sah dan mengikut peraturan.Katanya, pertimbangan itu dipertikaikan kerana jelas semasa pengundian bagi pemilihan ketua wanita bahagian yang dimenangi oleh Datin Rahmahjan Suliaman Khan itu, didapati terdapat tujuh undi lebih berbanding jumlah perwakilan.

2. UMNO Bahagian Pengkalan Chepa akan mengikut arahan bahawa mesyuarat cawangan dipantau oleh ibu pejabat parti bagi memastikan ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Ketuanya akan berbincang dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan bagi menetapkan tarikh mesyuarat peringkat cawangan yang dijangka selesai dalam masa tiga hari sahaja.

3. Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, melahirkan rasa kecewa berhubung kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang melabelkan wujudnya keretakan dalam hubungan badan itu dengan UMNO Bahagian Seremban. Mohamad berkata kenyataan itu hanyalah bersifat peribadi dan adalah tidak adil bagi Tengku Adnan berkata demikian. Katanya: “'Saya tidak akan memberi pandangan mengenai perkara ini kerana telah wujudnya 'mental block' daripada UMNO Pusat terhadap hubungan badan perhubungan dengan UMNO Bahagian Seremban. Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang masalah dengan UMNO Bahagian Seremban.”

Rumusan:

1. Pertanyaan:

a. Isu pembayaran yuran – bolehkah dibayar lewat daripada 31 Disember 2007 untuk menyertai mesyuarat cawangan dan bahagian? (Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.)

b. Bertukar Bahagian – apakah ahli seumur hidup perlu membayar yuran sebelum tarikh ditetapkan untuk melayakkannya bertanding atau menyertai mesyuarat cawangan atau bahagian? (Dalam kes Datuk Hamzah Zainuddin di Larut, beliau bertukar keahlianke Larut pada 3 April 2008)

c. Bolehkah Ketua Bahagian menyekat seseorang ahli bertanding jawatan tinggi di Bahagian?

i. Larut – hanya kerana masalah yuran sedangkan Setiausaha Agung UMNO menjelaskan Datuk Hamzah Zainuddin boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO. Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

ii. Dalam konteks Tanah Merah pula satu permohonan mahkamah dibuat menghalang antaranya ketua bahagian yang menang tanpa bertanding, Ikmal Hisyam Abdul Aziz, daripada menyertai persidangan bahagian itu kerana didakwa tidak layak menyertai mesyuarat kerana gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember 2007.

d. Permohonan Mahkamah –apakah MT membenarkan seseorang ahli mengemukakan saman selepas usaha mengatasi masalah di bahagiannya gagal melalui Perhubungan Negeri dan Ibu Pejabat UMNO? Dalamkes di Tanah Merah, seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim mengemukakan saman pemula pada 7 November 2008 dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menghalang 32 ahli bersidang.

e. Laporan Polis terhadap Jawatankuasa Pemantau UMNO Negeri - UMNO bahagian Tanah Merah ada membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku jawatankuasa pemantau perhubungan Umno Kelantan yang mengendalikan persidangan Umno cawangan di bahagian berkenaan. Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Tanah Merah kerana membantah tindakan jawatankuasa berkenaan yang disyaki cuba menyembunyikan fakta mesyuarat, seolah-olah cuba menipu bahagian dalam urusan mesyuarat pemilihan cawangan diadakan. Pada 28 Oktober 2008, satu lagi laporan polis dibuat di Balai Polis Sentul pada mengenai penghantaran Notis Mesyuarat Perwakilan Bahagian yang lewat dari tarikh yang tertulis pada surat notis itu. Apa pandangan dan tindakan Jawatankuasa Pengurusan mengenai tindakan ini?

f. Laporan Polis terhadap Setiausaha Agung UMNO - Pada, 7 November 2008 lalu, Umno Bahagian Tanah Merah, Kelantan, membuat satu laporan polis di Kuala Lumpur terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa. Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Bahagian itu Amran Abdul Rahman di Balai Polis Sentul. Apakah MT dan Jawatankuasa Pengurusan membenarkan tindakan seperti ini?

g. Menghadiri perjumpaan terbuka anjuran penyokong - Bolehkah ahli MT menghadiri perjumpaaan dengan 400 penyokongnya secara terbuka seperti dilakukan oleh Datuk Hamzah Zainuddin di Bukit Merah? Bolehkah beliau berucap menyatakan kesediaan bertanding jawatan Ketua Bahagian yang berupa ‘kempen’. Apakah ia tidak melanggar larangan MT?

h. Bolehkah Jawatankuasa Pemantau yang dilantik oleh Badan Perhubungan melakukan perkara-perkara berikut? Dalam konteks UMNO Bahagian Tanah Merah, JK dikatakan melarang UMNO Bahagian menghantar Wakil Bahagian ke Persidangan Cawangan; salinan Buku Laporan Mesyuarat tidak dibenarkan diserahkan kepada Cawangan dan Bahagian; Jadual Persidangan Cawangan tidak dibincang terlebih dahulu dengan Bahagian dan Cawangan serta laporan dan keputusan rasmi Persidangan Cawangan tidak dimaklumkan kepada UMNO Bahagian walaupun persidangan telah 30 hari berakhir membuat perubahan tarikh Persidangan Cawangan tanpa memaklumkan kepada UMNO Bahagian dan tidak melayan dan responsif terhadap aduan-aduan UMNO Bahagian kepada pelbagai penyelewengan yang dikesan berlaku dalam Persidangan Cawangan.

Selain itu, Wakil Pemantau yang dihantar oleh Jawatankuasa terbabit membuat Akuan Palsu apabila mengaku menyerahkan Peringatan Persidangan 2007, Kertas Persidangan 2007/2008 dan Laporan Kewangan 2007 untuk simpanan Urusetia Bahagian tetapi sebenarnya tidak berlaku demikian.

i. Apabila ada pergaduhan - laporan siapakah yang dipakai? Apakah laporan pemerhati yang dilantik Badan Perhubungan UMNO Negeri sahaja atau juga laporan daripada UMNO Bahagian berkenaan serta juga laporan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemantau UMNO Bahagian? Dalam konteks pergaduhan di Seremban baru-baru ini, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan pemerhati dari UMNO Bahagian Kuala Pilah hadir dan apakah laporan mereka turut diambil kira?

Selain pertanyaan di atas, beberapa perkara berikut juga perlu diteliti dan dicari jawapan:

1. Kenapakah apabila wujud masalah di Bahagian-Bahagian, sasaran utama adalah kepada Setiausaha Agung UMNO? Dalam konteks Tanah Merah, Larut, Tenom dan Seremban, ada semacam suara tidak puas hati terhadap ‘layanan’ Setiausaha Agung;

2. Rekod keahlian dan lain-lain seperti tidak kemas dan apakah ia berpunca daripada Bahagian-Bahagian atau Ibu Pejabat UMNO Malaysia?

3. Perlantikan Pengerusi dan Pegawai Pemantau UMNO – apakah mereka memang layak atau dibuat secara ‘pilihan dan kesesuaian’ Perhubungan UMNO Negeri?

4. Sebarang Peraturan dan Pekeliling yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO - apakah ah ia sebagai satu-satunya rujukan atau boleh disesuaikan dengan interpretasi perkara-perkara tertentu dalam Perlembagaan UMNO?

5. Keputusan manakah lebih ‘valid’ – Majlis Tertinggi atau Jawatankuasa Pengurusan. Ini akan menjadi rujukan utama ahli atau Bahagian sekiranya ada pertikaian berlaku.

6. Apakah bentuk tindakan terhadap ahli yang bertindak seperti membuat laporan polis serta membawa kes ke mahkamah setelah gagal mendapatkan penyelesaian melalui Ibu Pejabat UMNO?

7. Apakah siasatan rasuah dan salah guna kuasa hanya terhadap calon dan penyokong. Bagaimana dengan tuduhan berlaku penyelewengan dan salahguna kuasa oleh pegawai tinggi Ibu Pejabat UMNO Malaysia. Apakah juga akan ada tindakan sewajarnya?

Kita hanya boleh berharap dan berdoa agar apa juga keputusan terhadap bahagian-bahagian yang bermasalah ini dibuat, ia dibuat seadil-adilnya.

Pemimpin hanya seorang atau beberapa kerat tetapi penyokong dan pendokong UMNO di bawah adalah mereka yang bekerja keras untuk parti dan menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

Mereka mengharapkan ketelusan kerana pemimpin boleh datang dan pergi tetapi ahli UMNO di cawangan dan bahagian akan kekal menjadi ahli UMNO yang setia bagi menjamin UMNO terus berkuasa demi melindungi orang Melayu!.

JASA UMNO SABAH PERLU DIHARGAI

Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak terlepas memerhatikan pertandingan jawatan tertinggi dalam UMNO sekarang.

Bukan sekadar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sahaja yang menjadi minat mereka.
Mereka memerhatikan bagaimana pemimpin UMNO Sabah ‘dilayan’ melalui pemilihan jawatan tinggi UMNO berasaskan kepada sumbangan UMNO Sabah sebagai tunjang kerajaan BN peringkat Pusat.

Mereka berharap UMNO Sabah diberikan layanan sewajarnya kerana kejayaan membangunkan Sabah yang memerlukan penilaian seadil-adilnya daripada pemimpin UMNO bahagian-bahagian di Semenanjung.

Perbincangan dengan beberapa orang pemimpin BN Sarawak menimbulkan beberapa perkara berikut:

1. Kemasukan UMNO ke Sabah bagaikan suatu rahmat kepada seluruh rakyat Sabah dan mereka mengundi BN. Persoalannya sejauh mana Kerajaan Pusat dan UMNO Pusat menghargai sumbangan mereka;

2. Sokongan padu kepada UMNO oleh pemimpin Sabah memerlukan ‘penghargaan setimpal’ dalam meletakkan pemimpin UMNO dalam hiraki UMNO Pusat;

3. Perpaduan pemimpin UMNO Sabah antara sebab Pakatan Rakyat gagal menumbangkan Kerajaan Pusat dan bagaimana pemimpin UMNO Sabah wajar ‘diperlakukan’;

4. Keteguhan dan kestabilan politik Sabah hasil kerjasama pelbagai kaum di Sabah melenyap dan ‘melumpuhkan gerakan’ menuntut dan membawa Sabah keluar dari Malaysia yang kedengaran begitu kuat sebelum ini. Ini juga sumbangan UMNO Sabah yang menjamin paksi kuasa berada dalam keadaan teguh;

5. Pemimpin UMNO bukan meminta banyak. Seperti ditegaskan oleh Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini, pemimpin UMNO Sabah hanya meminta kerusi Naib Presiden dan Majlis Tertinggi sahaja, selain jawatan untuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Kata seorang pemimpin BN Sarawak, jika UMNO melihat pentingnya kerjasama dan sumbangan UMNO Sabah, kedudukan pemimpin UMNO Sabah perlu dihargai dan diiktiraf.

“Jika pemimpin UMNO Semenanjung hanya mementingkan kalangan mereka sahaja dan membelakangkan sumbangan pemimpin UMNO Sabah dalam UMNO, pemimpin BN Sarawak bimbang mereka juga akan diperlakukan sedemikian,” katanya di bangunan Parlimen.

Untuk pemilihan kali ini, bagi jawatan Naib Presiden, Shafie menjadi calon tunggal dari Sabah yang berdepan dengan tiga calon Johor dan seorang masing-masing Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Paling hampir calon UMNO Sabah memenangi kerusi Naib Presiden ialah lapan tahun lalu apabila percubaaan Datuk Seri Osu Sukam gagal.

Sementara daripada 73 layak bertanding Majlis Tertinggi, enam yang layak dari Sabah ialah Datuk Seri Musa Aman Datuk Lajim Ukin, Datuk Anifah Aman, Bung Moktar Radin. Datuk Masidi Manjun dan Datuk Seri Salleh Said Keruak melebihi 10 pencalonan atau 5 peratus kuota kelayakan.

Kelmarin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussin mengakui sumbangan UMNO sebagai tunjang kerajaan Barisan Nasional serta kejayaan membangunkan Sabah menjadi bukti kemasukan parti itu ke negeri itu suatu rahmat kepada seluruh rakyat.

Katanya, sejak parti itu bertapak di negeri ini kira-kira 17 tahun lalu, pelbagai perubahan dapat dilihat pada hari ini. Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, antara kejayaan besar UMNO di Sabah ialah memperjuangkan nasib golongan bumiputera Islam dan bukan Islam.

“Sebelum ini kita (UMNO) adalah pembangkang di Sabah, kita ditekan tetapi kini kita telah pun buktikan. Tentunya masih teringat bagaimana keadaan kita ketika menjadi pembangkang dulu. Kita boleh tengok (parti pemerintah masa itu) pilih kasih, banyak daripada kita tidak dinaikkan pangkat, malah biasiswa ditarik dan pelajar kita di luar negara pun dipanggil balik.

“Tetapi apabila UMNO memerintah, semua itu tidak berlaku lagi,” katanya semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Putatan di Wisma Pertanian di Kota Kinabalu kelmarin. Pada persidangan itu, beliau mengekalkan jawatan apabila menang tanpa bertanding.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, UMNO hari ini semakin bertapak kukuh di Sabah dengan mempunyai 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri, meskipun bermula dengan 18 kerusi.

Pada 2 November lalu, Shafie berkata satu daripada tiga kerusi Naib Presiden parti perlu diberikan kepada pemimpin UMNO Sabah sebagai menghargai peranan parti itu dalam pilihan raya umum lepas.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu berkata, pengorbanan rakyat Sabah dalam memastikan kejayaan UMNO sebagai tunggak BN perlu diiktiraf dengan meletakkan seorang daripada pemimpin UMNO di negeri itu sebagai pemimpin nombor tiga dalam parti.

“Jawatan ini selaras dengan hasrat kita untuk memperkuatkan jambatan sedia ada antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Di Dewan Rakyat kini, UMNO Sabah mempunyai 13 kerusi dan menjadi penyumbang kedua terbesar di Dewan Rakyat selepas Johor.

Tidakkah ini menggambarkan betapa sumbangan UMNO Sabah itu memerlukan pengiktifan sewajarnya terhadap kepimpinan negeri itu?