Showing posts with label WEF. Show all posts
Showing posts with label WEF. Show all posts

Saturday, February 11, 2017

MAHU BELAJAR ILMU ‘TEBAL MUKA’, KEYAKINAN TINGGI DENGAN TOK PA!!!


"Mungkin kerana imej bersih dan tidak terpalit dengan skandal – Tok Pa dengan yakin berdiri di depan khalayak antarabangsa dan menjawab soalan yang diajukan...beliau antara menteri paling banyak ke luar negara."

Secara jujurnya saya tersangat ingin mempelajari ilmu bagaimana Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) berdepan menteri, ahli perniagaan, cendikiawan, orang politik, wartawan dan berbagai pihak lain di luar negara ketika Malaysia dituduh negara kleptokrasi.

Ilmu ‘tebal muka’ dan menunjukkan keyakinan ini bukan ada pada semua pemimpin.

Malah di Malaysia, dilihat ada pemimpin yang ‘enggan atau tidak berani berdepan’ di mesyuarat dan forum penting dunia, mungkin kerana kebimbangan akan disoal dengan berbagai soalan ‘cepu mas’.

Tok Pa sebaliknya – mungkin kerana imej bersih dan tidak terpalit dengan skandal – berani berdiri dengan penuh yakin di depan khalayak antarabangsa dan menjawab soalan yang diajukan.

Saya mengatakan begini kerana Tok Pa adalah kalangan beberapa menteri paling banyak ke luar negara, malah ke sidang utama dunia, termasuk membabitkan perjanjian perdagangan atau forum-forum perniagaan antarabangsa.

Pada ketika negara berdepan dengan siasatan antarabangsa dalam isu 1Malaysia Development Behad, Tok Pa sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dilihat ‘tidak pernah’ cuba ‘menguzurkan diri’ sebaliknya terus menerus cuba ‘menjual Malaysia’ ke pasaran antarabangsa.

Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib diserang teruk oleh media antarabangsa, Tok Pa terus berdiri megah di persada dunia sebagai orang politik paling berani berdepan dengan masyarakat perniagaan dan pelaburan.

Bukan mudah untuk melakukan tugas ini.

Apalagi dikatakan kini, kedudukan Malaysia di kaca mata dunia dikatakan begitu merudum.

Namun Tok Pa tidak menoleh ke belakang.

Sejak merundingkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) hinggalah Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru, Donald Trump menggugurkan gagasan itu, Tok Pa tidak menunjukkan kekecewaan kerana ‘penat lelahnya lebih enam tahun kini terbuang ke dalam longkang’ begitu sahaja.

Malah Bloomberg  mengatakan Malaysia bakal menjadi negara keempat dalam rantau Asia Tenggara yang paling teruk terjejas berikutan  kemenangan Donald Trump semalam, menurut kajian firma erkemuka Nomura Global Economics.

Aspek yang dijangka terjejas teruk itu ialah jumlah eksport ke Amerika dengan Filipina bakal kehilangan sehingga 15 peratus, Thailand (lebih 11 peratus), Indonesia (sekitar 11 peratus), Malaysia (hampir 10 peratus) dan Singapura (hampir 10 peratus).

Bagi Tok Pa, jika TPPA tidak menjadi realiti, Malaysia akan meningkatkan perdagangan di kalangan dengan negara ASEAN dan Asia selepas pengunduran AS daripada TPPA  pada 23 Januari lepas.

Kepada Tok Pa, negara anggota ASEAN akan menjadi tumpuan utama perdagangan Malaysia, diikuti dengan China, Korea Selatan, Jepun serta India.

"Sepuluh negara ASEAN merupakan menjadi keutamaan kita. China dan negara-negara Timur Laut Asia seperti Jepun, Korea Selatan serta India juga penting.

"Setakat ini, China masih menjadi rakan dagangan kita yang terbesar. Ini bukan perkara baharu kerana kita selalu menjalinkan kerjasama dengan China," katanya pada 29 Januari lalu.
Sudah pasti untuk menjayakan semua ini Tok Pa perlu menghadiri berbagai pertemuan antarabangsa di masa akan datang.

Akan berundurkah Tok Pa? Tidak mungkin kerana dia boleh buat ‘muka tebal’ di kalangan pemimpin Asia dan ASEAN demi menjayakan misi negara.

Malah, berkaitan dengan perdagangan, sudah pasti isu keyakinan antarabangsa juga merudum seperti merudumnya mata wang Ringgit di pasaran antarabangsa.

Namun semangat Tok Pa tidak merudum. Tok Pa masih tidak letih dan tetap bertenaga.

Mungkin Perdana Menteri tidak melihat kepada kegigihan ini, tetapi sebagai rakyat biasa, kita wajar menghargai Tok Pa yang berpaksa ‘berperang dengan krisis keyakinan negara’ dan suasana ekonomi yang semakin mecabar, apalagi selepas Trump menjadi Presiden AS.


Malah, ketika Najib dikatakan ‘tidak selesa’ untuk hadir ke forum antarabangsa tertentu seperti Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Tok Pa hadir dan mengatakan Malaysia perlu bergerak daripada isu 1MDB.

Menurutnya Malaysia sudah  ambil banyak pengajaran dan Malaysia sekarang sedang bergerak ke depan”, daripada dakwaan skandal melibatkan ramai tokoh, termasuk ahli politik yang mencuri perhatian dunia.

“Pada dasarnya kita perlu bergerak ke depan dan kita yakin isu-isu yang muncul daripada 1MDB pada suatu tahap, akan kita tinggalkan.

“Kita ada pihak berkuasa yang mencari siapa yang bertanggungjawab mewujudkan masalah ini.

“Undang-undang akan selesaikannya,” beliau dipetik sebagai berkata oleh AFP pada 18 Januari lalu.

Untuk rekod, Tok Pa mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tahunan dari 17-20 Januari itu.

Malah pada majlis makan tengah hari perniagaan di Davos 20 Januari lalu, Tok Pa membneritahu majlis itu, Malaysia akan mengkaji kemungkinan untuk meneruskan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala dengan ahli Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang berkaitan jika Perjanjian TPP tidak menjadi kenyataan.


Negara juga akan memberi keutamaan dalam mengukuhkan integrasi ekonomi dalam ASEAN dan berusaha untuk memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), tegas Tok Pa.

Majlis itu dihadiri pelabur antarabangsa yang berpotensi dan sedia ada daripada pelbagai sektor dan negara anjuran bersama Khazanah Nasional Bhd dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Tok Pa jelas tidak menghiraukan mengenai imej yang disebut sebagai dicalarkan oleh pihak luar gara-gara isu1MDB yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, selain siasatan oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) gara-gara isu berkenaan.

Gelaran Malaysia sebagai kleptokrasi tidak dihiraukan oleh Tok Pa kerana baginya, kehidupan ekonomi dan perdagangan negara perlu bergerak terus.

Apa yang menarik dan semestinya menjadi hala tuju Tok Pa di masa akan datang ialah terus ‘menebalkan mukanya’ bukan sahaja menjawab soalan mengenai hala tuju ekonomi Malaysia, tetapi meyakinkan pelabur untuk memanfaatkan peluang yang terdapat di rantau ASEAN yang dinamik dengan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk.

Pada ketika dikatakan imej negara semakin merudum Tok Pa tetap berkeyakinan bahawa kelebihan Malaysia termasuk dari segi kestabilan politik, mempunyai asas ekonomi yang kukuh, dasar yang mesra perniagaan, mempunyai infrastruktur yang baik, kedudukannya yang strategik dalam ASEAN dan pemudahan pelaburan melalui MIDA, akan terus menjana kepercayaan dan keyakinan pelabur asing.

Jika tidak kerana usaha kerasnya dengan beberapa pihak lain, mungkinkah sebilangan besar syarikat asing seperti Novartis, Roche, GE dan Standard Chartered yakin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau mereka?

Kita bernasib baik ada menteri ‘tebal muka’ dan berkeyakinan tinggi seperti Tok Pa.

Jika tidak, dengan negara yang dikatakan berada pada tahap yang semakin merudum, termasuk berada di kedudukan ke-25 daripada 138 ekonomi dalam laporan daya saing global,  kita akan berdepan dengan suasana semakin teruk.

Dengan turunnya dari anak tangga ke-18 tahun lepas, walaupun masih kekal sebagai ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun Asia, ia cabaran besar buat Tok Pa.

Selain itu, menurut Laporan Daya Saing Global (GCR) 2016-2017, yang diumumkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 28 September lalu, dari segi skor, prestasi negara juga turun daripada 5.23 kepada 5.16 daripada maksimum 7.

Tok Pa mengakui sebahagian besar punca penurunan kedudukan Malaysia disebabkan faktor luaran di luar kawalan penggubal dasar. Selain itu ketidaktentuan ekonomi global, pengukuhan dolar Amerika Syarikat, kejatuhan harga komoditi serta kelembapan ekonomi China adalah di luar jangkauan kerajaan.

Isu persepsi juga timbul dikatakan berikutan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang terus menyebarkan tuduhan tidak berasas mengenai perkembangan politik dalam negara serta keadaan ekonomi negara.

Dengan sifat keyakinan tinggi Tok Pa itu, apakah semua ini boleh beliau atasi? Ssedangkan, punca sebenar kepada hilangnya keyakinan dan wujudnya persepsi buruk terhadap Malaysia disebut-sebut akibat faktor ‘Perdana Menteri’.

Atau apakah Tok Pa perlu membantu atasi faktor dalaman dahulu sebelum berdepan masyarakat antarabangsa?

Berapa lamakah Tok Pa boleh bertahan dengan sifat ‘tebal muka’ dan keyakinan tingginya?

Tidakkah akan tiba masanya Tok Pa sudah tidak mampu mengekal atau mempertahankan dua sifatnya itu?

Atau biarpun Tok Pa mempunyai sifat-sifatnya itu, beliau akan ditolak oleh arus perubahan yang mungkin melanda negara pada pilihan raya umum ke-14 nanti?

Saya menyaksikan dengan dua mata saya sendiri bagaimana Tok Pa pernah ditolak di Parlimen Jeli pada 1999.

Mungkinkah ia berulang lagi selepas hampir 20 tahun kemudian?

Monday, October 3, 2016

TADBIR URUS NEGARA – JANGAN SAMPAI ORANG BIASA AJAR MENTERI, KERAJAAN...


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed diminta berterus terang mengenai punca sebenar kejatuhan tujuh anak tangga penarafan negara dalam konteks  Daya Saing Global (GCR) 2016-2017.

Laporan terbaru yang diumumkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini, menyebut Malaysia berada di kedudukan ke-25 daripada 138 ekonomi, turun dari tangga ke-18 tahun lepas tetapi kekal sebagai ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun Asia.

Menurut Mustapa,  biarpun kedudukan terbaharu itu mengecewakan, ia sebaliknya mengukuhkan lagi pendirian kerajaan untuk mengambil pendekatan sewajarnya pada kadar lebih pantas dalam usaha mempertingkat daya saing Malaysia.

Selain itu Mustapa juga sewajarnya menjelaskan persoalan ditimbulkan oleh WEF mengenai piawaian urus tadbir serta pencegahan rasuah di Malaysia.

Sebagai anggota kanan Kabinet dan teknokrat dilatih sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad,  Mustapa juga perlu memberikan nasihat yang realistik serta praktikal kepada kerajaan.

Mustapa menyalahkan isu persepsi mengenai perkembangan politik dalam negara serta keadaan ekonomi menjadi sebahagian besar punca penurunan kedudukan Malaysia dalam laporan daya saing global.

Isu itu timbul berikutan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang terus menyebarkan tuduhan tidak berasas.


Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin semalam  menegaskan semua pihak perlu akui bahawa sejak setahun lalu, isu urus tadbir dan rasuah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) muncul sebagai faktor yang mencemarkan nama negara kita di persada antarabangsa.

Beliau turut mendakwa, persekitaran makroekonomi kita juga lebih lemah daripada sebelumnya akibat faktor luaran dan dalaman. “Ini mengakibatkan kadar pertumbuhan ekonomi kita jatuh.

Beliau memetik data Jabatan Perangkaan Negara, ekonomi Malaysia yang berkembang pada kadar 4.0 peratus tahun ke tahun pada suku tahun berakhir Jun lalu, berbanding 4.2 peratus dalam suku tahun sebelum itu.

“Sudah lima suku tahun atau 15 bulan berturut-turut, pertumbuhan ekonomi kita merosot. Kenaikan kadar kepenggunaan awam dan pertambahan perbelanjaan kerajaan gagal imbangi kejatuhan eksport,” katanya.

Antara punca kemusykilan ialah amalan sesetengah pelabur asing meminjam modal daripada institusi kewangan tempatan untuk membangunkan projek mereka.

“Bagi kebanyakan kita, apabila kerajaan menghebahkan sekian banyak projek pelaburan asing diluluskan, fahaman kita ialah modal asing mengalir masuk membiayainya.

“Jadi apabila tersiar berita mengatakan syarikat pemaju hartanah Indonesia, Mulia bercadang meminjam RM1.8 bilion daripada bank-bank tempatan bagi membangunkan menara singature di kompleks kewangan TRX, Jalan Tun Razak, kita kehairanan.

“Kemusykilan kita belum terjawab. Sebalik saya mendengar ada percubaan memaksa bank-bank tertentu dalam sektor Bumiputera-Islam untuk memberi pinjaman tersebut walaupun mereka keberatan,” katanya.


A Kadir seterusnya berhujah,  bahawa sebanyak lebih kurang 10 buah syarikat negeri China telah mengumpul modal di negara kita dengan melakukan pengeluaran awam permulaan (IPO). Tetapi harga saham mereka merudum apabila diniagakan di Bursa Malaysia.

Ada yang jatuh melebihi 80 peratus dan mengalami pelbagai masalah berkaitan perakaunan.  

“Sekarang timbul pula kemusykilan baru yang juga melibat isu pelaburan. Pada 28 September lalu, agensi Bernama melaporkan bahawa daya saing global kita merosot tujuh anak tangga dari 18 kepada 25 bagi tahun 2016/17,” tegas A Kadir.

Penarafan ini dikeluarkan oleh WEF yang berpangkalan di Switzerland. WEF diakui sebagai salah sebuah badan bebas yang berwibawa dalam kegiatan menggalakkan kerjasama ekonomi antara sektor awam dan swasta.

Setiap tahun, sejak 2004, ia mengeluarkan laporan bertajuk Global Competitiveness Report yang mengukur daya saing negara-negara di dunia. Satu lagi kegiatannya ialah menganjurkan WEF setiap tahun di Davos, Switzerland.

Ada 12 kriteria yang diambil kira oleh WEF bagi mengukur daya saing sesebuah negara iaitu institusi, prasarana, persekitaran makroekonomi, kesihatan dan pendidikan utama, pendidikan tinggi dan latihan, kecekapan pasaran komoditi, kecekapan pasaran buruh, pembangunan pasaran kewangan, kesediaan teknologi, saiz pasaran, kecanggihan perniagaan dan inovasi.

Mustapa yang memetik pujian oleh WEF, antara lain, menyebut: “Dalam kalangan ekonomi membangun, Malaysia terus mendahului negara-negara serantau dengannya, walaupun mengalami kemerosotan selepas enam tahun kemajuan.”

WEF bagaimanapun menyebut bahawa Malaysia perlu memperbaiki urus tadbir (governance) dan memerangi rasuah.

Mustapa mengatakan adalah penting untuk diambil perhatian bahawa semua negara yang berada di kedudukan di atas Malaysia adalah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Bagi A Kadir pula, di sebalik apa yang dikatakan positif oleh Mustapa,  yang menjadi persoalan sekarang ialah bukan saja penarafan (ranking) kita jatuh tujuh anak tangga.

Tetapi WEF juga mempersoalkan piawaian urus tadbir serta pencegahan rasuah di Malaysia.

Kerana itu, apa jawapan sebenar yang sepatutnya diberitahu kepada rakyat?

Jangan sampai orang biasa yang bukan pegawai tinggi atau Menteri pula yang terpaksa memberikan jawapan yang sebenarnya.

Adalah tidak elok jika Menteri atau kerajaan dilihat cuba 'menyembunyikan sesuatu' dan tiba-tiba ada pula orang biasa yang terpaksa mengajar mereka cara  memberikan jawapan yang telus dan meyakinkan!