Showing posts with label Ringgit. Show all posts
Showing posts with label Ringgit. Show all posts

Thursday, January 5, 2017

KENAPA ENGGAN AKUI FAKTOR DALAMAN, 1MDB PENGARUHI NILAI RINGGIT?

Robert Rennie...isu politik dalaman menjadi punca.
Penganalisis kewangan luar negara  berpendapat ‘isu politik dalaman Malaysia’ serta skandal 1MDB mengganggu nilai Ringgit sejak 2015 tetapi kenapa kita menolaknya pada hal ia penting bagi memperbaiki dan memperteguhkan nilai Ringgit?

Ada perbezaan pendapat antara penganalisis tempatan dengan antarabangsa dalam isu kejatuhan nilai Ringgit.

Pada ketika penganalisis dalaman bersikap positif penganalisis antarabangsa memberi amaran jika keadaan politik dan persepsi tidak berubah, kedudukan Ringgit dijangka didagangkan 4.52 pada akhir suku pertama dan berada pada  tahap 4.66 dalam tempoh 12 bulan akan datang.
   
Biarpun wujud perbezaan, secara umumnya mereka bersetuju, untuk tempoh suku pertama 2017, Ringgit akan terus berada dalam kedudukan yang lebih lemah berbanding akhir Disember lalu.

Kedudukan pada hari kedua dagangan semalam mengesahkan pendapat itu apabila nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) terus berdepan tekanan yang  menyaksikan mata wang tempatan itu susut melepasi paras RM4.500 bagi satu Dolar pada jam 11.42 pagi.

Kedudukan paling lemah Ringgit sejak negara dilanda krisis kewangan Asia 1998 itu terus terbabas untuk 40 minit seterusnya mencecah paras RM4.5002 seDolar pada jam 12.22 tengahari, sekali gus menjadi tular dalam kalangan rakyat negara ini yang berkongsi mesej ringkas dalam media sosial.

Bagaimanapun, Ringgit kembali ke bawah paras 4.4998 dalam dagangan sekitar 1.54 tengah hari dan ditutup pada paras 4.4975 pada jam 6 petang semalam, berbanding ditutup 4.4938 kelmarin.

Kelmarin,  Ringgit dibuka pada  4.48 sementara bulan lalu Ringgit jatuh ke tahap yang paling rendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998 dan sepanjang tahun lalu, Ringgit dalam keadaan lemah berbanding Dolar Amerika iaitu kejatuhan purata 4.24 peratus.

Pada ketika penganalisis tempatan hanya menumpukan kepada sebab-sebab luaran, penganalisis luar mengatakan secara ‘totok’ mengenai isu dalaman yang terus menjadi ancaman kepada pemulihan nilai Ringgit.

Kenapa penganalisis dalaman tidak berani menyebut isu dalaman sebaliknya hanya melihat faktor luaran?

Kenapa tidak terus sahaja atau 'straight to the point' kepada punca sebenarnya?

Yang sering disebut ialah Ringgit menjejaki corak pergerakan mata wang serantau yang turut terkesan pengukuhan luar biasa Dolar AS atau ‘...unit tempatan serta mata wang lain di Asia susut apabila pulangan bon AS dan Dolar AS meningkat disebabkan faktor cadangan dasar ekonomi dan perdagangan negara itu oleh Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang baharu dipilih’.

Menurut penganalisis tempatan, kemungkinan akan ada sedikit cahaya di hujung terowong bagi nilai Ringgit melalui dasar baru Trump yang akan memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Presiden AS dijangkakan pada 20 Januari depan.

Selain itu harapan positif turut diletakkan kepada langkah kerajaan melalui Bank Negara untuk memulih dan memperkukuhkan semula nilai Ringgit.


Berbeza dengan penganalisis luar, mereka menyatakan satu lagi alasan, iaitu ‘isu politik dalaman Malaysia’, termasuk isu 1Malaysia Development Bank (1MDB) yang turut penting mengganggu nilai Ringgit.

Apakah dengan menyebut sebegini mereka cuba menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia, menganggu sistem politik Malaysia atau cuba menggugat kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini?

Bukankah apa yang diperkatakan itu semata-mata dalam konteks kewangan, perbankan, pertukaran asing dan kedudukan ekonomi yang sedang berlaku di Malaysia?

Kenapa kita tidak mahu menerima kelemahan untuk memperbaiki nilai Ringgit yang banyak menyusahkan rakyat akibat kenaikan harga barangan keperluan, barangan import untuk makanan dan industry dan berbagai lagi?

Persoalan juga kenapa prestasi Ringgit semakin lesu menjelang 2013 dan pada Julai 2015, ia terus menjunam melepasi peringkat kadar tambatannya pada RM3.80?

Apapun antara penganalisis dalam negara dan luar negara, mereka tetap bersetuju mengenai satu perkara - bahawa prestasi Ringgit akan terus lemah dan dijangka berterusan sehingga suku pertama 2017.



Ketua Ahli Ekonomi Jabatan Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor, semalam meramalkan demikian walaupun optimis Ringgit akan mula kembali ke paras yang lebih baik berbanding Dolar AS selepas Trump memulakan tugas rasminya.

Menurutnya pasaran akan dapat menilai dasar yang akan dibentangkan Oleh Trump. "Kami masih mengekalkan unjuran Ringgit akan berada pada paras purata 4.20 berbanding Dolar AS bagi 2017," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berpendapat, dalam  tempoh terdekat, nilai Ringgit berbanding Dolar dijangka berlegar pada paras sekitar 4.45 hingga 4.5.

Beliau turut  optimis bahawa Ringgit akan menunjukkan corak aliran mengukuh setelah ketidakpastian terhadap kadar faedah di AS dan dasar ekonomi Trump akan menjadi lebih jelas apabila melangkah dalam tempoh seterusnya pada tahun ini.

Justeru, beliau berkata pihaknya mengunjurkan nilai Ringgit akan mengukuh sekitar 4.1 dan 4.2 pada separuh kedua 2017.

Kamaruddin melihat langkah yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menyediakan pasaran mata wang domestik yang lebih cekap,  akan dapat membantu menstabilkan nilai Ringgit.

Menjelang penghujung tahun minggu lalu (28 Disember 2016), dilaporkan gangguan daripada pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) sudah  mula reda. Ia seiring dengan peningkatan mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing (FX) tempatan pada hujung tahun lalu.


Dalam keada­an Dolar yang semakin kukuh dan persekitaran yang terus tidak pasti, pergerakan intra hari Ringgit berpurata pada 90 mata berbanding 228 mata pada November dan paras ter­tinggi pada 600 mata 28 Disember lalu,” demikian kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC).

Malah dilaporkan, wujud keadaan mudah tunai dalam pasaran FX tempatan yang mencatatkan jumlah purata harian kira-kira AS$9 bilion (RM43.2 bilion) bagi semua transaksi menjelang akhir tahun lalu berbanding purata AS$8 bilion (RM38.4 bilion) antara Januari hingga November 2016.

Memandangkan permintaan dan penawaran Dolar dan Ringgit dijajarkan semula, pasaran FX tempatan diramalkan akan  lebih stabil dan akan membawa kepada kos perlindungan nilai yang lebih baik. Ini akan memudahkan perniagaan mengurus risiko FX mereka.

Langkah yang dilaksanakan oleh BNM awal Disember lalu yang mengumumkan kerjasama dengan FMC diharapkan mampu memulihkan kedudukan nilai Ringgit dan membawa harapan kepada prestasi lebih baik bagi 2017.

Bagaimanapun, ramalan penganalisis luar melihat Ringgit tidak akan menokok nilainya. Sebaliknya ia dijangka akan terus lemah antara Januari ini dan Mac akan datang diakibatkan kebimbangan risiko luar dan isu-isu domestik (saya ulangi isu-isu domestik) .

Menurut penganalisis Westpac Inc, kombinasi faktor  luaran dan isu dalaman akan mempengaruhi kedudukan nilai Ringgit dalam tempoh berkenaan.

Robert Rennie, Ketua Strategi Pasaran Dunia di Westpac, memberitahu  CNBC's semalam, “pada dalaman (Malaysia), kini mempunyai isu politik”. Berikutan itu beliau menjangkakan Ringgit akan menjadi  4.55 berbanding Dolar pada akhir suku pertama 2017.

Pada peringkat antarabangsa pula Rennie menyatakan kenaikan kadar faedah di AS akan memberikan kesan kepada pasaran membangun Asia, termasuk Malaysia. “Sekiranya AS menaikkan kadar faedah, dan jika ia langkah berterusan...ke arah 3 (peratus) atau mungkin lebih tinggi, kita akan dapat melihat lebih banyak pelabur asing menarik keluar pelaburan mereka dari Asia.”

Malah Pengarah Urusan dan ketua penyelidikan ekonomi Asia HSBC  Frederic Neumann, pula berpendapat penguncupan lebihan akaun semasa di negara ini  akan menyebabkan kedudukan Ringgit dalam keadaan semakin tidak menentu tahun ini.


Laporan CNBC menyebut, dalam kedudukan di mana Malaysia bergelut dengan skandal dana 1MDB, ia  akan terus menggoncang keyakinan pelabur asing, berikutan siasatan global mengenai wujudnya perbuatan ‘mencuri dan merompak’ daripada dana berkenaan.

Mungkin langkah segera yang sewajarnya dilakukan kerajaan seperti dicadangkan oleh pakar kewangan antarabangsa ialah atasi segera kemelut  dalaman yang berlaku dalam negara, khususnya isu 1MDB yang menjadi punca kebimbangan kepada pelabur asing.

Putrajaya tidak boleh berdolak-dalih lagi mengenai perkara ini kerana dengan memperjudikan nilai Ringgit, rakyat akan marah dan bangkit menolak kerajaan ketika pilihan raya umum semakin hampir.

Selain itu seperti dianjurkan Dr Kamaruddin, di sebalik kedudukan postif hasil dasar diperkenalkan oleh BNM, adalah amat penting bagi pihak kerajaan melaksanakan dasar yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang sentiasa mapan.

Melaluinya, sekali gus dapat menterjemahkan keuntungan syarikat sama ada kecil mahupun yang besar.

Menurutnya,  kerajaan mungkin boleh menimbang semula strategi konsolidasi fiskal tatkala sentimen di pihak swasta yang lemah.

Memperbaiki kedudukan dan memulihkan nilai Ringgit perlu dijadikan antara keutamaan kerajaan kerana amat nyata ia sangat membimbangkan.

Ternyata pasaran yang memulakan dagangan hari pertama 2017 kelmarin tetap dalam dagangan lemah berbanding Dolar AS .


Realitinya ialah kedudukan Dolar berbanding Ringgit meningkat 0.0055 atau  0.12 peratus kepada  4.4900 kelmarin berbanding 4.4845 pada dagangan terakhirnya pada 2016. Ringgit pernah mencecah pada kedudukan 4.71 pada Januari 1998 dan rekod terendahnya pada 2.10 pada Oktober 1978.

Dan semalam, Ringgit ditutup rendah lagi apabila minat pelabur beralih kepada Dolar susulan data sektor perkilangan AS yang kukuh. Pada jam 6 petang, unit tempatan didagangkan pada 4.4960/4990 berbanding Dolar AS daripada 4.4900/4950 sebelumnya.

Peniaga berkata, pelabur juga bimbang berhubung unjuran kenaikan kadar faedah AS tahun ini.

Malah perkembangan mutakhir dan jika keadaan politik dan persepsi tidak berubah, kedudukan Ringgit dijangka didagangkan 4.52 pada akhir suku pertama dan menurut penganalisis di Trading Economics menjangkakan ia berada pada  4.66 dalam tempoh 12 bulan akan datang.
  
Sengan faktor luaran dan dalaman yang tidak menentu akan terus mempengaruhi pergerakan Ringgit sekali lagi tahun ini, cadangan penganalisis luar dan punca kejatuhan Ringgit yang disebut mereka jangan dipandang sebelah mata.


Jika kerajaan berdegil, rakyat perlu mendesak kerajaan melakukan tindakan sewajarnya bagi memperbetulkan persepsi mengenai suasana politik dan ekonomi Malaysia kerana kejatuhan nilai Ringgit yang berterusan akan memburukkan lagi kesusahan rakyat kebanyakan di negara ini.

Tuesday, November 22, 2016

NIKMAT TURUNNYA NILAI RINGGIT – KOS HAJI, UMRAH NAIK...


Tidak hairanpun kalau harga kos menunaikan haji dan umrah naik.

Inilah antara NIKMATNYA penurunan nilai Ringgit.

Bukan sahaja akan lebih ramai pelancong datang ke Malaysia, kos urusan menunaikan haji dan umrah di Arab Saudi juga meningkat.

Sudah pasti semakin ramai rakyat Malaysia akan berebut-rebut untuk menunaikan haji dan umrah, bimbang tahun 2018 dan seterusnya menjadi semakin mahal.

Kan bagus nilai Ringgit jatuh – lebih banyak wang perlu disediakan untuk ke Arab Saudi? Dan apabila kembali, akan berkuranganlah barang yang dibawa balik berbanding tahun sebelum ini.

Dalam keadaan sekarang ok juga kerana boleh bawa wang banyak atau lebih sedikit daripada biasa. Itu bagi yang mampu...yang tidak dan kurang mampu bagaimana?

Ini belum cerita nanti apa akan jadi kepada barangan seperti kurma, air zam-zam atau makanan lain yang diimport dari Asia Barat yang menjadi makanan dan pakaian ‘ kebanyakan orang Malaysia’.

Tak apa, DON’T WORRY.  Kerajaan akan tambah subsidi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengakui kos menunaikan haji dijangka terus meningkat disebabkan kos penginapan, pengangkutan, makan-minum dan lain-lain perkhidmatan turut bertambah.


Beliau berkata peningkatan kos haji berlaku setiap tahun dan pada musim Haji1437 Hijrah (H)/2016 yang baru selesai, ia sudah mencecah RM18,890 seorang.

Untuk tahun hadapan berapa agarnya? Kalau tidak naik, bermakna kerajaan boleh tambah subsidi gara-gara mata wang Ringgit jatuh.

Boleh bagi tahu rakyat bagaimana 'baiknya hati dan budi kerajaan'!

Amaran mengenai kemungkinan naiknya harga pakej-pakej pelancongan ke luar negara termasuk pakej ibadah haji dan umrah yang dikendalikan agensi-agensi swasta sudah dilaporkan 18 Ogos lalu.

Ketika itu mungkin ramai tidak ambil peduli kerana Donald Trump belum menang pilihan raya presiden Amerika Syarikat. Kejatuhan mendadak nilai Ringgit sejak tarikh kemenangan Trump itu (9 November 2016) membuka mata rakyat bahawa kini bukan masa yang ‘selesa’.

Malah, peningkatan itu bukan sedikit, dijangkakan sehingga 30 peratus tahun ini.

Ketua Biro Umrah dan Haji Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera (Bumitra) Malaysia, Ayob Mat Aris berkata, peningkatan harga pakej tersebut berikutan kejatuhan nilai ringgit yang dialami negara kini.

Kenaikan harga itu  terpaksa dilakukan bagi membantu agensi-agensi pengendali pelancongan menampung peningkatan kos mendadak yang kebanyakannya kini ditanggung sendiri oleh pihak agensi.

Malah, amaran juga diberikan bahawa jika keadaan ini berterusan, ba­nyak agensi pe­lan­congan tidak mampu bertahan lama dan membatalkan pakej se­dia ada kerana terpaksa menanggung sendiri kos yang semakin meningkat terutama bagi pelanggan yang telah membuat pembayaran awal.

Kerana itu pihaknya memohon kepada para pelanggan dan jemaah agar memberikan kerjasama dengan syarikat-syarikat pelancongan yang ingin membincangkan semula kos pakej mengikut nilai mata wang dan keadaan semasa.

Kesan juga ialah  banyak di antara agensi pelancongan mengalami kemerosotan tempahan hampir 50 peratus walaupun pada musim cuti.

Jamil Khir berkata Tabung Haji (TH) dengan sokongan kerajaan, sehingga ini masih dapat mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang jemaah haji 'Muasassah' sejak tahun 2009.

Pada musim yang lalu sahaja, jumlah keseluruhan subsidi haji yang ditanggung oleh TH adalah melebihi RM160 juta.

Soal kos yang meningkat satu hal lain ialah cakap-cakap mata wang Malaysia kini tidak diterima lagi di Arab Saudi pun satu hal juga.

Perkara ini ada dilaporkan pada Ogos lalu tetapi cepat-cepat dinafikan oleh Tabung Haji.

Malah, tinjauan berita IKIMfm di sekitar bandar Mekah pada 28 Ogos lalu mengatakan dakwaan Ringgit tidak laku di luar negara termasuk Arab Saudi,  adalah tidak benar.

Sebaliknya, matawang tersebut diterima secara meluas. Jemaah haji tidak mempunyai sebarang masalah untuk menukar matawang tersebut.

Kini ‘berita angin itu tersebar lagi’.  sama ada cakap-cakap atau di Facebook, ia sudah diviralkan.


Benar atau tidak benar mengenai perkara ini bukan perkara besar kerana sudah banyak nasihat diberikan agar menukar Ringgir kepada Riyal sebelum ke Mekah atau Madinah.

Tepai yang besar ialah ringgit semakin mengecil dan untuk memenuhi keperluan di sana kini, oleh kerana Ringgit sudah jatuh, jumlahnya adalah lebih besar diperlukan berbanding sebelum ini, walaupun dibandingkan dengan Julai  lalu.

Memetik kadar pertukaran umum (1 Riyal (SAR) kepada Ringgit (MYR)) ia adalah seperti berikut:
 
Jumaat  27/05/2016 Berbanding Ahad 20/11/2016

Paling Tinggi : 1.1777 MYR pada  20 Nov 2016.
Purata : 1.095 MYR sepanjang tempoh ini.
Paling Rendah : 1.0517 MYR pada 14 Jul 2016.

KINI pada purata 1 SAR = 1.1769 MYR


Demikianlah adanya riwayat Ringgit kita.

Ini satu contoh nikmatnya nilai mata wang Ringgit jatuh!!!! 

Thursday, September 17, 2015

PENYUSUTAN RINGGIT MEMBIMBANGKAN, BUKAN UNIK KEPADA MALAYSIA SAHAJA


Malaysia bakal bankrap berikutan kejatuhan nilai ringgit dan penurunan harga minyak?

Apakah Malaysia sahaja yang merasai kemerosotan nilai mata wang dan ekonomi terjejas kerananya?

Ringgit susut melepasi RM4 berbanding dolar Amerika (AS) dan sudah pasti menjejaskan isi rumah akibat kenaikan harga makanan dan lain-lain.

Sehingga 11.50 pagi ini (17 September 2015), ringgit didagangkan pada 4.2540/2630 berbanding dolar AS.

Sejauh ini hutang isi rumah masih stabil manakala kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) pula rendah iaitu 1.5 peratus.

Pertumbuhan hutang tidak bercagar juga telah menyederhana manakala penilaian mengenai pengaliran pendapatan turut diutamakan.

Ekonomi negara ketika ini masih berkembang kukuh pada kadar melebihi lima peratus dan sudah pasti kerajaan akan memperkenalkan pelbagai pembaharuan bagi memastikan kerajaan terus berbelanja secara berhemah.

Kalangan pakar ekonomi turut menyifatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua (Q2) 2015 adalah lebih baik berbanding jangkaan biarpun negara berdepan penyusutan nilai ringgit.

Ekonomi Malaysia tumbuh sederhana sebanyak 4.9 peratus bagi tempoh Q2 2015 berbanding 5.6 peratus pada suku pertama (Q1) 2015, yang sebahagian besarnya dipacu permintaan sektor swasta. 

Malaysia sudah mempelbagaikan sumber pendapatan negara untuk tidak terlalu bergantung kepada kepada hasil minyak dan gas.


Kini 80 peratus sumbangan adalah perkhidmatan dan ini akan terus menyokong ekonomi. Malaysia juga mempunyai asas ekonomi kukuh hasil langkah yang dijalankan selama ini termasuk mempunyai simpanan rizab mencukupi bagi berdepan persekitaran tidak menentu.

Sudah tentu rizab menurun apabila ringgit disokong namun kerajaan kembali berusaha meningkatkan jumlah rizab, dan ia dilakukan sejak krisis 1998.

Juga menarik, Malaysia mempunyai sistem kewangan yang kukuh termasuk pengantaraan wang yang kukuh untuk menyokong aktiviti ekonomi termasuk akses luas kepada pembiayaan perniagaan.

Kerana itu, Bank Negara itu amat yakin, kelemahan ringgit yang disebabkan faktor sentimen domestik dan luaran hanya sementara seperti yang pernah disaksikan sewaktu Amerika Syarikat mengumumkan penghentian program pembelian bon.

Biarpun demikian, dengan masalah ekonomi dan ketidakstabilan politik yang berlaku serentak, sudah pasti kerajaan Barisan Nassional (BN) berhadapan dengan cabaran yang amat besar ketika ini. 


Kedudukan hari ini mengingatkan kita semua bahawa sebelum ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara berlaku masalah politik, ekonomi dan kejatuhan ringgit serentak namun itulah hakikat hari ini.

Sudah pasti banyak yang perlu disesesaikan.

Dalam konteks ringgit, penyusutan semasa mata wang Malaysia itu bukan sesuatu yang unik memandangkan lebih daripada 120 mata wang dunia susut berbanding dolar AS.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bercakap dalam temubual eksklusif dengan New Straits Times yang diterbitkan hari ini (17 September 2015) berkata fenomena itu lebih menjejaskan pengeluar minyak dan komoditi berikutan mata wang mereka susut lebih rendah berbanding dolar US daripada kumpulan lain.

Bagi kes Malaysia, Zeti berkata beberapa isu dalaman turut menjejaskan sentimen selain keyakinan, dan perlu diselesaikan.

Menjadi harapan kita agar penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar mampu meperkenalkan seebahagian langkah kerajaan bagi mengatasi krisis ekonomi negara.

Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan turut mengumumkan langkah yang perlu dilakukan berdasarkan cadangan daripada jawatankuasa itu tidak lama lagi selain pengumuman Bajet 2016 pada 23 Oktober depan.

Yang pasti, selain Malaysia, banyak negara yang bergantung kepada ekonomi berasaskan komoditi seperti Australia, Rusia dan Brazil mengalami kejatuhan nilai mata wang yang lebih teruk berikutan penurunan harga minyak dunia dan pengukuhan dolar Amerika.

Malah,  cadangaan Zeti agar orang ramai perlu diberi peluang untuk mengikuti latihan atau latihan semula untuk memulakan perniagaan sendiri, sesuatu yang perlu diberikan perhatian.Usaha seperti itu pernah dilakukan pada 2000 apabila kira-kira 4,000 orang meninggalkan sektor perbankan berikutan pelaksanaan langkah pengukuhan dan penggabungan.

Apapun, bagi Zeti – “untuk mengatakan cabaran kini bukan tempoh yang mencabar merupakan satu penafian, dan sebahagian besarnya adalah di luar kawalan kita.”

Hakikat bahawa dolar AS mengukuh berbanding 120 mata wang lain menjelaskan segala-galanya. 

Beliau berkata rakyat Malaysia wajar berusaha mengurus diri semasa tempoh yang mencabar ini. "Rekod baik kita menunjukkan bahawa setiap kali kita berhadapan masalah, setiap kali kita kembali bangkit. Sudah lebih daripada sekali. Kita bangkit dan bangkit dengan cepat."

Dengan kata lain semua pihak, rakyat dan kerajaan mesti menyesuaikan kehidupan dengan kemampuan dan mengkaji semua opsyen yang ada.

Perniagaan juga perlu melakukan yang sama. Sebelum ini, Zeti mengatakan Bank Negara tidak akan menambat nilai ringgit seperti yang pernah dilakukan sewaktu krisis kewangan Asia 1997/98 yang lalu.

Ini kerana Malaysia mempunyai regim tukaran asing yang fleksibel bagi memudahkan penyelarasan ekonomi mengikut perubahan global.

Menurutnya, fokus kini adalah meningkatkan eksport yang sepatutnya menikmati kesan positif ekoran kelemahan ringgit sekaligus memberikan lebihan akaun semasa kepada ekonomi yang menjadi antara faktor terpenting.

Apapun, ekonomi negara tetap berkembang malah lebih kukuh berbanding krisis kewangan 1997/1998 di mana perkembangan ekonomi negara ketika itu adalah negatif.

Itulah jaminan yang ditegaskan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah minggu lalu untuk meyakinkan kita bahawa negara boleh berdepan dengan krisis kejatuhan ringgit walaupun banyak rakyat yang semakin perit!