Showing posts with label Pilihan raya. Show all posts
Showing posts with label Pilihan raya. Show all posts

Thursday, November 29, 2012

UMNO SUDAH BERUBAH, BERSEDIA HADAPI PILIHAN RAYA...

 "Semenjak lebih 50 tahun lalu, parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali temali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif," 
- Datuk Seri Mohd Najib Razak


Umno, parti yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak sejak Mac 2009, sudah mengalami perubahan sepenuhnya.

Ia kini bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang akan diadakan tahun depan.


Mesej Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri disambut dengan laungan perwakilan parti agar Parlimen dibubar sekarang bagi mendapatkan mandat rakyat.

 "Umno sudah berubah (sepenuhnya)," kata Presiden Umno dan Perdana Menteri ini memulakan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (AGM) 2012 di Dewan Merdeka hari ini.

Ketika Najib mengajukan soalan sudah bersedia tiga kali, perwakilan dan pemerhati yang membanjiri Dewan Merdeka melaungkan, "bubar, bubar, bubar..."

Dengan senyuman Najib menjawab,"sudah bersedia? Sudah bersedia? Sudah bersedia? Disambut perwakilan "sudah". “Bila? Esok? Tahun depan?," tambah Najib.

Beliau mahu dan yakin Umno akan kembali bersidang di Dewan Merdeka tahun depan dengan membentuk kerajaan.


Pesanan penting Najib ialah pemimpin parti itu yang bakal dinamakan sebagai calon pada pilihan raya akan datang supaya tidak menjadi 'pemimpin bermusim'.

Ini bermakna calon yang dipilih itu hendaklah sentiasa bersikap rendah diri, berwibawa dan bersifat pemimpin sejati.

"Rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihan raya.


"Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Kuala Lumpur, hari ini.


Menurut Najib lagi, pemimpin Umno perlu sentiasa ikhlas dan bekerja keras demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.


Presiden  UMNO itu juga berpesan, jangan cuba-cuba mahu bereksperimen untuk menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana Barisan Nasional (BN) merupakan parti yang terbukti relevan sepanjang zaman sebagai pilihan utama.

"Semenjak lebih 50 tahun lalu, parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali temali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno ke-66 di Dewan Merdeka.

Menurut Najib, BN sebagai parti pemerintah pada hari ini sentiasa bergerak ke hadapan dengan pelbagai kaedah demi memenuhi kehendak rakyat.

"Pokoknya kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya," ujar Najib.

Meskipun katanya, jarum-jarum politik pembangkang mencucuk rakyat untuk memberi peluang kepada pembangkang, "ini adalah risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji."

Datuk Seri Najib Razak memberi amaran kepada pembangkang supaya berhenti menggunakan agama untuk memperdaya rakyat dan berjanji UMNO akan terus memperjuangkan Islam di Malaysia.

Dalam pada itu, Presiden UMNO berkata, parti itu sentiasa tegar dalam memperjuangkan Islam di negara ini.

"Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi Persekutuan.

"Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan  mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

"Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Najib kemudian menyindir pembangkang yang menabur pelbagai janji manis dalam misi merampas tampuk pemerintahan.

"Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut," kata Najib.

"Kita akan kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat dan kita akan kembali berhimpun di dewan ini tahun depan dengan membentuk kerajaan," kata beliau lagi.

"Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan.

"Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu.

"Beringatlah, Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik Umno dan Barisan Nasional," kata beliau.

Kata Najib, "apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha."

Mandat Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April depan.

Ketika berucap pada sesi Taklimat Presiden kelmarin, Najib dikatakan mengesahkan PRU13, yang sebelum ini.

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sebagai "ibu segala pilihan raya", tidak akan diadakan bulan depan.

AGM Umno tahun ini dilihat akan memberi tumpuan dan fokus mendalam ketika seluruh negara bersiap sedia untuk menghadapi PRU13. BN dan Umno, pada tahun 2008, diketuai oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saturday, June 23, 2012

APAKAH PILIHAN RAYA DI SINGAPURA LEBIH BERSIH, DEMOKRATIK DARIPADA KITA?

Kita tidak kacau mereka tetapi mereka macam sakit hati dengan kita.

Apakah pilihan raya di Singapura bersih, demokratik dan lebih baik daripada kita?
 
Apakah pembangkang di Singapura mendapat layanan seperti di Malaysia?

Jiran tetangga kita yang sepatutnya membantu kita untuk lebih mengamankan negara sebaliknya bermain 'talam dua muka'.


Kalau mahu sokong pembangkang nyatakan sahaja dengan terus terang...

Berikutan itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura Ong Keng Yong dipanggil ke Wisma Putra semalam berhubung penglibatan tiga diplomat dari Suruhanjaya Tinggi itu dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lepas.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, beliau telah memanggil Keng Yong ke pejabatnya petang semalam untuk menyampaikan rasa tidak senang kerajaan Malaysia berhubung penyertaan ketiga-tiga diplomatnya dalam perhimpunan itu.

Beliau berkata, kementerian telah menerima laporan-laporan daripada pihak berkuasa Malaysia yang menjelaskan tentang penglibatan ketiga-tiga diplomat Singapura berkenaan.

"Sebagai Menteri Luar Negeri, saya amat memandang serius perkara ini," katanya. Dalam pertemuannya itu, Anifah berkata, beliau menjelaskan pendirian kerajaan Malaysia mengenai penyertaan secara langsung oleh diplomat dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 sebagai satu langkah yang sama sekali tidak wajar.

"Langkah yang tidak wajar ini sememangnya telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura walaupun pada hakikatnya hubungan antara dua negara jiran ini dan rakan baik Asean kini kian berkembang," katanya.

 Dalam pertemuannya dengan Ketua-Ketua Perwakilan Asean di ibu negara pada 11 Jun lepas, beliau membangkitkan isu penglibatan diplomat asing dalam perhimpunan Bersih 3.0 di mana penglibatan sedemikian dilihat sebagai aktiviti di luar batasan yang boleh memberi persepsi negatif kepada hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dengan negara-negara mereka.

Anifah berkata, beliau turut menegaskan kepada Keng Yong bahawa Kementerian Luar tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas terhadap diplomat yang didapati telah melanggar batasan norma-norma diplomasi yang terpakai mengikut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 dan undang-undang negara.

Anifah berkata, beliau juga telah berhubung dengan rakan sejawatannya K.Shanmugan bagi memaklumkan mengenai pertemuan dengan Keng Yong itu.

"Semasa perbualan telefon yang positif tersebut, Menteri Luar Negeri Singapura dan saya bersetuju untuk terus menggerakkan usaha-usaha konstruktif bagi mempererat lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura," katanya.

Anifah berkata, kementerian memahami tanggungjawab Perwakilan Diplomatik yang ada di Malaysia untuk memantau perkembangan di negara ini dan melaporkannya kepada kerajaan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, para diplomat tetap perlu memberi perhatian kepada sensitiviti bagi menghormati negara tuan rumah dan cara bagaimana negara-negara di rantau ini menjamin hubungan baik antara satu sama lain dapat dijaga demi manfaat bersama.

"Saya juga yakin para diplomat tidak perlu terlibat secara langsung dalam perarakan semasa perhimpunan haram tersebut," katanya dipetik Bernama.

Sunday, August 21, 2011

BENARKAH BN SUDAH BERSEDIA HADAPI PILIHAN RAYA UMUM KE-13?

Jangan cakap besar, angkuh dan hanya melihat dan mengukur kekuatan kawasan sendiri sahaja.

Ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) mengatakan parti itu sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 pada bila-bila sama sahaja.

Atas asas apa mereka mengatakannya?

Apakah sudah ada calon yang boleh memenangkan parti? Sudah dikenalpastikah? Apakah dasar-dasar BN sudah meresap di hati sanubari rakyat?

Apakah rakyat sudah menerima penjelasan BN dalam isu-isu tertentu yang dikaitkan dengan pemimpin atau juga kerajaan?

Apakah BN sudah bersedia dengan bajet pilihan raya dan negeri-negeri juga bersedia dengannya?

Kebanyakan pemimpin BN, khususnya UMNO mengumumkan sudah bersedia mungkin merasakan kawasan mereka sudah bersedia. Selamat katakan…

Tetapi bagaimana kawasan lain, apakah mereka benar-benar bersedia dan yakin menang?
Apakah negeri-negeri seperti Kelantan sudah benar-benar bersedia?

Bagaimana dengan Terengganu? Bagaimana dengan Johor dan Perak?

Semalam Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata BN sudah bersedia.

Beliau menyatakannya berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa PRU ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan kenyataan itu perlu dilihat sebagai sesuatu yang serius dan bukan satu pesanan yang kosong.

Memang benar negara sedang melalui satu perubahan dari segi pentadbiran, sikap dan transformasi ekonomi di bawah kepimpinan Najib, namun apakah ia petanda BN bersedia?

Belajarlah pengalaman pilihan raya umum 2008.

Saya tidak pasti di negeri lain tetapi di Kelantan pada 2008, boleh dikatakan BN negeri itu terperangkap dengan pengumuman bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saya masih ingat dengan jelas bagaimana Tan Sri Anuar Musa yang ketika itu Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek terpinga-pinga dengan pengumuman itu.

Ketika itu kedua-duanya menghadiri satu majlis gerak kerja pilihan raya dewan undangan negeri dalam Parlimen Bachok yang diadakan di Hotel Perdana Kota Bharu.

Majlis itu sebagai menyediakan kumpulan gerak kerja untuk pilihan raya. Maknanya, pada ketika itu UMNO Bachok belum bersedia dan begitulah beberapa Bahagian lain di Kelantan.

Pengumuman oleh Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri itu dibuat hanya beberapa minit Anuar memberitahu jentera pilihan raya Bachok bahawa pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh kira-kira tiga bukan kerana ‘pengesahan’ itu sudah dibuat oleh Abdullah pada pertemuan dengan UMNO Kelantan di Kuala Lumpur.

Saya diberitahu, beberapa negeri lain pun menghadapi situasi yang sama dan pengumuman Pengerusi BN ketika itu bagaikan ‘bom yang dipasang sendiri’.

Kita tidak mahu sejarah berulang.

Apabila disebut BN bersedia, BN mana yang bersedia?

Rais berkata “dengan perubahan ini...kita sudah bersedia, malah kita sudah diberi amaran dan gesaan supaya jawatankuasa piliharaya ditubuhkan dalam DUN dan kawasan Parlimen masing-masing."

Amat jelas, Rais mendedahkan bahawa sebagai anggota Parlimen Jelebu, jentera pilihan raya di kawasannya sudah digerakkan, malah pelbagai program telah direncanakan selepas Aidilfitri nanti, bagi menguji kekuatan parti dan memberi kebajikan kepada rakyat.

Sekadar bermain psikologi tidak akan menggerunkan pembangkang. Yang penting sejauh mana dasar-dasar yang dirancang BN sudah menyentuh hati rakyat?

Malah, masih banyak negeri yang belum menjalankan ‘pilihan raya olok-olok’. Kelantan umpamanya akan menjalankan simulasi pilihan raya dari 16 hingga 30 September depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebagai persediaan, pihaknya kini mengadakan taklimat secara berperingkat kepada semua ketua peti undi dan cawangan parti itu.

Simulasi pilihan raya itu adalah susulan daripada arahan UMNO pusat selepas Majlis Tertinggi parti pada 27 Mei memutuskan langkah tersebut perlu sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Monday, June 27, 2011

BERSIH 2.0 UNTUK GULING NAJIB, BUKAN KERANA PILIHAN RAYA!

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perhimpunan haram 9 Julai ini sebenarnya digerakkan oleh pihak yang tidak sabar untuk berkuasa dan bukannya kerana pilihan raya di negara ini tidak bersih.

Tepat dan benar. Sebenarnya mereka mahu menggulingkan Perdana Menteri melalui cara jalanan bukan pilihan raya.

Niat mereka untuk menjamin Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Betapa hinanya cara mereka. Betul kata Perdana Menteri, jika pilihan raya di negara ini tidak bersih, tentunya pembangkang tidak akan dapat berkuasa di lima negeri pada pilihan raya umum yang lepas.

Kata Najib pada perasmian Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) ke-58 di sini, Ahad.: "Kalau kita boleh manipulasi semua pilihan raya ini, baik semua negeri dikuasai oleh Barisan Nasional (BN). Kita bukan orang yang manipulasi pilihan raya. Kita tidak rela berkuasa melainkan kita didokong oleh rakyat. Itu Barisan Nasional. Kita hanya rela berkuasa kalau rakyat bersama kita, tetapi janganlah buat sesuatu yang menimbulkan huru-hara dalam negara semata-mata mereka hendakkan kuasa politik," katanya.

Yang sebenarnya 'Tok Dalang' himpunan itu bimbang mereka akan kalah dalam pilihan raya akan datang. Kalau kalah, usahkan nak ke Putrajaya, ke kampung pun ditolak rakyat.

Kenapa saya katakan demikian?

1. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin hilang pengaruh dan keyakinan rakyat kerana kes liwatnya sukar untuk beliau pertahankan;

2. Isu video seks semakin kusut untuk beliau tepis, apalagi gambar dan laporan oleh pakar membuktikan 99.9 peratus, beliau adalah pelakonnya;

3. Kedudukan pembangkang semakin bercelaru apabila PAS mengubah perjuangannya dari negara Islam kepada negara kebajikan kerana parti itu tidak ada bezanya dengan perjuangan DAP dan PKR apabila menolak negara Islam;

4. Kejayaan Barisan Nasional membela dan membawa keyakinan kepada rakyat melalui dasar-dasarnya menyukarkan pembangkang; dan

5. Kekuatan Najib secara individu dan dasar-dasarnya menjadikan pembangkang hilang arah dan sukar menggugat dasar 'mendahului rakyat' oleh kerajaan.

Amat jelas jika pembangkang dan penyokongnya mempunyai keberanian, mereka patut bertanding dalam pilihan raya daripada menganjurkan perhimpunan haram yang akan mewujudkan huru hara di dalam negara.

Najib, yang juga Pengerusi BN berkata tindakan kumpulan pengacau itu mengadakan perhimpunan haram itu adalah untuk mendapatkan kembali sokongan yang mereka dapat semasa pilihan raya umum 2008 memandangkan kini momentum sokongan rakyat kembali berpihak kepada BN.

Amat jelas, seperti kata Najib, momentum politik berada di pihak BN dengan kemenangan dalam pilihan raya demi pilihan raya kecil yang mana BN sudah ubah rekod itu berbanding selepas pilihan raya (umum) 2008. Malah, BN juga menang pada pilihan raya negeri di Sarawak.

Benar kata Najib bahawa untuk mendapatkan kuasa ia tidak boleh selesai di jalanan kerana kuasa politik ditentukan rakyat dan jika mereka benar-benar mempunyai keberanian ingin berjuang untuk rakyat, mereka perlu bertanding dalam pilihan raya.

Monday, May 9, 2011

PILIHAN RAYA OH PILIHAN RAYA...JANGAN 11.11.11

Sebahagian daripada 500 wakil daripada pelbagai NGO yang berhimpun membantah agenda untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini di perkarangan Masjid Hadhari, Besut, Terengganu. 8 Mei 2011. Gambar Utusan.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan pandangannya semalam bahawa Datuk Seri Najib Razak hanya wajar mengadakan pilihan raya umum tergempar tahun depan.

Ini bermakna tahun ini tidak sesuai. Sama ada dalam masa terdekat atau tarikh keramat 11 November 2011 tidak memungkinkan. Itu pendapat Dr Mahathir.

“Ia (pilihan raya umum) tidak harus diadakan tahun. Bagaimanapun terpulang kepada Perdana Menteri, kadangkala saya terlupa bahawa saya bukan lagi Perdana Menteri,” kata beliau kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Dr Mahathir berpendapat, pilihan raya umum wajar diadakan tahun depan kerana perpecahan kaum di negara ini semakin tebal.

Dalam ucapannya kepada Umno Selangor, Najib baru-baru ini membayangkan pilihan raya umum semakin hampir.

Hari ini kata bekas Perdana Menteri itu, persekitaran semasa - perpecahan kaum tidak pernah berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Saya merasakan rakyat berpecah, perpecahan kaum berada di kemuncak.Pada masa lalu, kaum Cina tiada masalah dengan BN, pada 1999, meskpun (insiden) mata lebam Anwar, pembangkang mendapat sokongan Melayu, tetapi rakyat Cina menyokong BN. Kita masih ada dua pertiga ketika itu,” katanya.

Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan kekalahan terburuk dalam sejarah pilihan rayanya tiga tahun lalu dengan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tambahan empat negeri.

Bekas perdana menteri ini berkata, beliau risau dengan perpecahan di kalangan rakyat buat masa ini yang teruk berbanding masa-masa lalu.

Katanya, kerajaan mempunyai masa. “Saya fikir ia boleh berlanjutan sehingga 2012,” katanya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula meramalkan pilihan raya umum kemungkinan diadakan sebelum Ramadan ini.