Showing posts with label Mahfuz. Show all posts
Showing posts with label Mahfuz. Show all posts

Tuesday, November 21, 2017

ISU KOS SARA HIDUP – WAKIL RAKYAT PENTING PAS TIDAK PEDULI?



"Menjadi sejarah bagaimana dalam soal ‘kos kehidupan rakyat’ pun orang politik boleh mempermainkan nasib rakyat. Apakah rakyat boleh tahan dengan sikap dan gelagat wakil rakyat seperti ini?"

"Kita kalah satu undi. Rakyat akan fikir bahawa dua wakil rakyat Parlimen (MP) yang berkecuali daripada mengundi ini menyebabkan kekalahan kita."

Kekalahan apa itu?

Ia membabitkan isu kos sara hidup yang dibincangkan di Dewan Rakyat semalam.
Kesimpulan di atas dibuat oleh wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar mengenai keputusan usul Pakatan Harapan (PH) yang membuat pengundian blok (belah bahagian) menolak  Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2018 untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pada pengundian dalam suasana kecoh di Dewan Rakyat semalam, usul PH yang turut disokong oleh beberapa wakil rakyat (MP) PAS tewas tipis satu undi -  51-52.

Lalu timbul persoalan, apakah kos sara hidup tidak sepenting cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) atau Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) bagi pemimpin PAS?

Atau apakah isu mempertahankan tuduhan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima RM90 juta ‘segala-galanya’ berbanding isu kos sara hidup yang sedang menghimpit kebanyakan rakyat sekarang?

Dan untuk dua orang wakil rakyat yang berkecuali itu, ucaplah tahniah kepada mereka kerana menyelamatkan kerajaan ddaripada dimalukan.

Apakah akan ada ‘habuan menarik’ untuk penyelamat ini?


Namun di pihak rakyat -  masih ada beberapa ‘wakil rakyat PAS’ – penulis ulangi - wakil rakyat PAS yang disebut oleh Mahfuz sebagai tetap ‘menjiwai kesulitan rakyat’ apabila mengundi mengundi menolak Bajet 2018 di Dewan Rakyat semalam.

Enam Ahli Parlimen (MP) PAS yang mengundi menolak Bajet 2018 ialah Mahfuz (Pokok Sena), Ahmad Marzuk Shaary (Bachok), Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh), Izani Husin (Pengkalan Chepa) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian).

Mereka mengundi menyokong usul Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat pengundian blok (belah bahagian) malam semalam selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyimpulkan bahagian Bajet 2018 semasa peringkat jawatankuasa.

Mahfuz memberitahu Malaysiakini, “mereka beritau saya ini kali undi tolak sebab ini melibat soal kos kehidupan."

Tidak diketahui sama ada sudah dijangka atau tanpa disangka, dua wakil rakyat PAS iaitu MP Bukit Gantang Idris Ahmad dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang) berkecuali daripada mengundi.

Perlu diulangi, pada pengundian belah bahagian (blok) terhadap Bajet 2018 peringkat polisi sebelum ini,11 orang MP PAS kecuali Mahfuz berkecuali daripada mengundi.

Taktik berkecuali ini menjadi amalan PAS ketika membuat undian belanjawan persekutuan, sejak ia berpisah dengan PKR dan DAP.

Wakil rakyat PAS yang tidak hadir ketika pengundian semalm ialah Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) dan pemimpin utama Datuk Takiyuddin Hassan, Nasrudin Hassan, Nik Abduk Nik Aziz (Pasir Mas) , Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) serta ketua kelab penyokong parti Che Rosli Che Mat (Hulu Langat)  juga tidak hadir.

Tidak diketahui di mana dan kenapa tetapi sikap wakil rakyat PAS - , selain enam yang dianggp sebagai ‘cakna dengan soal kos kehidupan’ rakyat - jelas tidak jauh bezanya dengan kumpulan sesetangah wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Penulis mengatakan demikian kerana BN yang menang hanya satu undi dalam undi belah bahagi seperti diminta oleh G Manivannan (PKR-Kaparyang diadakan selepas Menteri Datuk Seri Hamzah Zainudin selesaiu menggulung ucapan untuk kementeriannya.


Malah, sewaktu loceng untuk undi belah bahagi dibunyikan, kelihatan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kebanyakannya tidak berada di dalam Dewan Rakyat.
Walaupun deringan loceng yang berbunyi selama dua minit sudah tamat, masih ada Ahli Parlimen BN berlari masuk ke dalam Dewan Rakyat untuk mengundi.
Apa erti semua ini? Tidakkah sikap mereka membuktikan ramai yang tidak peduli dengan ‘perkara yang dibincang dan digulung’ di Dewan Rakyat.
Berikutan itu, Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkora) menggesa pintu masuk Dewan Rakyat ditutup agar tidak ada lagi wakil rakyat  dapat masuk selepas deringan loceng tamat.
Antara wakil rakyat yang didakwa pembangkang lewat masuk namun dibenarkan mengundi adalah Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).
Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) dalam keadaan marah meminta BN berhenti “menipu” dan meminta pengundian dilakukan secara jujur, sementara Mahfuz mendakwa ada “konspirasi” ketika undi belah bahagi dilakukan.

Tidak keterlaluan jika Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut), Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) menjerit “tipu” pada Ronald.Kiandee.
 “Kita mahu senarai nama itu disemak semula. Kenapa ini berlaku, satu dunia melihat kejadian ini. Mereka ini hanya menang dengan 1 undi sahaja,” kata Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).
Ronald menjawab kritikan pembangkang berkaitan kekecohan yang berlaku hampir 15 minit itu berkata tiada peraturan menyatakan undi wakil rakyat yang lambat masuk tidak boleh dikira.
Tidak usah fikirlah dengan sikap wakil rakyat BN. Ia sangat mudah difahami.
Tetapi bayangkkan jika dua wakil rakyat PAS yang berkecuali itu
mengundi usul PH demi ‘kos kehidupan’ rakyat., apa akan jadi?

Namun kini ia menjadi sejarah bagaimana dalam soal ‘kos kehidupan rakyat’ pun orang politik boleh mempermainkan nasib rakyat.

Apakah rakyat boleh tahan dengan sikap dan gelagat wakil rakyat seperti  ini?

Tuesday, April 2, 2013

MAHFUZ PERTAHAN ORANG 'HINA RASULULLAH' HANYA KERANA MARAHKAN UMNO

Pelik sungguh manusia bernama Mahfuz Omar ini…

Pada ketika Yang Dipertua PAS Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani menganggap kenyataan yang dibuat Penolong Setiausaha I Dewan Pemuda PAS, Khairol Fahmi Mat Som Khairol Fahmi menerusi akaun Twitternya itu dianggap sesuatu yang tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku, Mahfuz mempertahankannya.

Mahfuz dah jadi macam Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika ada dengar atau nampak saja UMNO, dia akan cepat jadi ‘meroyan’.

Apa yang dia nak marah sangat dengan UMNO?

Sedangkan Mahfuz sendiri pernah menerima duit orang UMNO pada suatu ketika dan pada suatu tempat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Sebagai kawan, orang UMNO ini sedia bantu Mahfuz dan kalau Mahfuz yang kini Ahli Parlimen memang benci UMNO, dia tidak akan terima pemberian itu…benar daripada kawan, tapi bukan daripada kawan PAS atau PKR atau DAP tapi daripada UMNO!

Mahfuz yang bergelar Datuk, Naib Presiden PAS, mempertahankan Khairol Fahmi terhadap apa yang dikecam oleh pelbagai pihak kerana dianggap menghina Rasulullah SAW dalam kenyataan Twitternya.

Khairol Fahmi menerusi akaun Twitternya menyebut, “Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun Umno akan keluarkan... jahanam Umno” pada 27 Mac lalu.

Tindakannya itu kemudian mendapat kecaman hebat daripada semua pihak termasuklah beberapa pihak yang membuat laporan polis.

Datuk Seri Dr Abdullah Md Zain, Penasihat Agama Perdana Menteri, semalam meminta PAS mengambil tindakan terhadap Khairol Fahmi kerana menghina Rasullullah SAW.

Katanya tindakan itu jelas keterlaluan dan biadap sehingga mengguris hati umat Islam dengan mengaitkan Nabi, hanya kerana marah terhadap Umno.

Bagaimana boleh Nabi sebagai insan yang mulia dan sempurna ini dibandingkan oleh Khairol Fahmi dengan manusia biasa yang pastinya satu perkara yang tidak betul, kata Abdullah.

"Amat jelas baginya, PAS sudah terlalu jauh menyeleweng dan terpesong seperti yang pernah dikatakan oleh bekas timbalan presiden PAS Nasaruddin Md Isa sebelum ini. Saya harap pemimpin PAS balik ke pangkal jalan dengan tidak terus menerus berjuang dan mengeluarkan kenyataan berlandaskan emosi dan nafsu hingga akhirnya menjadikan Islam itu terlalu ekstrim dan tidak dihormati oleh bangsa lain di dunia ini,” katanya semalam.

Sebaliknya bagi Mahfuz, apa yang cuba dinyatakan Khairol Fahmi dalam Twitternya itu hanya perumpamaan untuk menggambarkan 'kejahatan' Umno, bukan bertujuan menghina Rasulullah SAW.

"Umno saja perbesar isu. Dia (Khairol Fahmi) nak beritahu macam mana jahatnya Umno sampai tahap itu, bukan dia nak kata Nabi Muhammad buat benda tak elok. Dia nak gambarkan, kalau Nabi Muhammad lawan Umno, Nabi juga akan jadi mangsa fitnah Umno. Itu tujuan dia, bukan nak kata Nabi tu jahat," katanya pada sidang media semalam.

Ditanya tidakkah dengan menggunakan nama Rasulullah SAW boleh dianggap keterlaluan kerana kedudukan Baginda yang begitu dimuliakan dalam Islam, Mahfuz berkata, perkara itu dilihat begitu kerana ramai yang menyalah tafsir maksud sebenar yang cuba disampaikan Khairol Fahmi.

“Apa yang keterlaluannya? Dia bukan kata kat Nabi Muhammad, dia kata kat Umno. Kena faham bahasa, Umno ni sampai satu peringkat macam... kenyataan Tok Guru Nik Aziz (Datuk Nik Aziz Nik Mat) mengenai BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), bagi anak ayam makan, itu perumpamaan saja. "Kalau perumpamaan tidak boleh pakai, Dewan Bahasa Pustaka, pusat-pusat bahasa di universiti kena buang semua perumpamaan yang ada binatang,” katanya.

Sebaliknya, Mohamad Taufek menganggap kecaman demi kecaman yang diterima oleh Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairol Fahmi Mat Som sebagai satu pengajaran berguna buat dirinya.

Malah dia berharapkan dengan kejadian ia boleh dijadikan sebagai pengajaran berguna untuk beliau (Khairol Fahmi) agar tidak melakukan perkara yang sama pada masa akan datang. “Saya yakin, pimpinan PAS akan meneliti setiap apa yang berlaku dari semua aspek termasuklah dari sudut Islam terhadap apa dilakukan beliau.

Sekiranya kita dapati kenyataan itu adalah sesuatu yang tidak wajar, maka beliau harus dikenakan tindakan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Mohamad Taufek berkata, bagaimanapun, keadaan ini tidak seharusnya diperbesarkan mahu pun dipolitikkan kerana dikhuatiri akan menimbulkan polemik yang lebih serius dalam kalangan masyarakat.

Beliau berharap isu ini tidak perlu diperbesarkan atau dipolitikkan demi meraih perhatian masyarakat, cukuplah sekadar memberi teguran terhadap tindakan beliau itu.

Malah dia pasti pimpinan PAS sendiri akan mengambil tindakan untuk memperbetulkannya.

Yang pasti, pemimpin PAS tidak akan berbuat apa-apa. Mungkin hanya peringatan dan kejadian menghina Nabi kita akan terus dilakukan oleh pemimpin yang mendakwa mereka Islam.

Saturday, December 24, 2011

PERBALAHAN KEPIMPINAN PAS – CAWAN KOPI & PIRING AKAN MELETUP!

“Yang jelas adalah perjuangan saya mempertahankan Islam, bangsa Melayu dan institusi raja-raja. Bagi saya ketiga-tiga ini merupakan landasan yang sangat penting dari dulu sampai sekarang...Saya akan bersama apa jua gerakan berunsur politik atau tidak yang dapat mempertahankan Islam, orang Melayu dan institusi raja.” - Datuk Dr Hasan Ali

Pagi ini bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali akan menjawab tuduhan Setiausaha Agung parti Datuk Mustafa Ali yang mengaitkan beliau dengan agenda UMNO.

Mustafa mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Dr Hasan dengan agenda UMNO.

Mustafa dipetik sebagai berkata ia merujuk kepada satu pertemuan antara Dr Hasan, bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan tiga individu lain di sebuah hotel di ibu negara pada bulan Ramadan lepas.

"Nanti saya akan jelaskan. Esoklah. Saya akan buat sidang akhbar esok di rumah saya pukul 11 pagi," kata Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu semalam.

Dalam program Soal Jawab TV3 malam kelmarin, Dr Hasan berkata sebagai menegakkan prinsip perjuangannya, beliau tidak kisah jika digugurkan daripada jawatan tersebut serta tidak dipilih semula untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya.

Ia merupakan temu bual pertama bersama stesen televisyen milik Umno itu sejak beliau mengecam PAS secara terbuka sejak kebelakangan ini.

Menurutnya: “Yang jelas adalah perjuangan saya mempertahankan Islam, bangsa Melayu dan institusi raja-raja. Bagi saya ketiga-tiga ini merupakan landasan yang sangat penting dari dulu sampai sekarang.”

Kerana pendiriannya itu, Dr Hasan dianggap sudah mula mengisytiharkan perang ke atas partinya sendiri terutamanya apabila mula mempersoalkan keputusan dan dasar parti.

Ditanya sama ada beliau akan meninggalkan PAS berikutan perubahan ini, Hasan berkata: “Saya akan bersama apa jua gerakan berunsur politik atau tidak yang dapat mempertahankan Islam, orang Melayu dan institusi raja.”

Rasanya bertambah hangatlah perbahasan antara pemimpin atas PAS dengan Dr Hasan selepas ini. ‘Ribut dalam secawan kopi’ rasanya bukan sekadar menyebabkan cawan retak tetapi kemungkinan CAWAN DAN PRIRING AKAN MELETUP!

Pertelingkahan dalam PAS ini terserlah lebih kepada pendirian politik dan kepartian, bukan kerana Dr Hasan kecewa tidak dilantik semula dan sebagainya.

Walaupun nampak ada pertelingkahan peribadi antara pemimpin tertentu yang bercirikan kem profesional dengan berpendirian agama, namun cabar mencabar agar Dr Hasan dan Nasharuddin meninggalkan parti itu mengeruhkan keadaan.

Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Harun Taib bermain kata-kata bahawa apa yang berlaku dalam PAS Dr dan bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa umpama kacau air di dalam cawan hingga air itu berkocak.

Katanya : “Biasalah, kita kena letak gula atau susu sebelum kacau air itu hingga berkocak. Apabila letak gula dan susu, baru air itu sedap untuk diminum dan begitu juga dengan apa yang berlaku dalam PAS sekarang.”

Mungkin kepada sesetengah pihak gelora yang berlaku sekarang sedap untuk dibincang dan didengar tetapi apakah kemelut yang melanda parti itu sekarang akan mudah diselesaikan?

Apakah ia tidak meninggalkan kesan lama sebaliknya hanya perkara biasa dalam mana-mana parti politik?

Ramai yang melihat isu ini hanya berkaitan dua individu yang diserang hebat oleh pemimpin tertinggi PAS tetapi kini jelas perang dalam PAS semakin ‘membuka pekong di dada’.

Selama ini busuk yang sedang membusung cuba diselindungi dengan serangan terhadap UMNO dan pemimpinya, selain menggambarkan kerjasamanya dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat berada dalam keadaan yang stabil dan tidak ada masalah.

Namun kini ternyata, apa yang difikirkan semua OK, tidak Ok. Dan PAS sebenarnya sedang berkrisis.

Pada 20 Disember lalu, Dr Hasan mengatakan beliau bukan “duri dalam daging” bagi PAS tetapi mahu PAS kembali ke landasan asal penubuhan supaya perjuangannya terus konsisten dengan usaha memartabatkan Islam yang sebenar.

Ini kerana PAS sekarang seperti tergelincir dari landasan asal perjuangan akibat kekurangan golongan ulama dalam barisan kepimpinannya.

Berikutan PAS sekarang sudah dipenuhi dengan golongan profesional dan akademik yang bersifat sekular berbanding sebelum ini yang menyaksikan parti ini dikuasai golongan ulama, PAS hilang arah!

Ketika ini, menurut Dr Hasan, jawatankuasa pusat parti itu kini lebih ramai dianggotai oleh profesional iaitu sebanyak 65 peratus berbanding golongan ulama yang kini hanya 35 peratus.

Untuk itu beliau berharap anggota parti dapat meletakkan kembali kedudukan ulama sebagai barisan kepimpinan parti kerana hanya golongan ulama sahaja mampu membawa PAS kembali ke landasan perjuangan berdasarkan prinsip Islam.

Bagi Dr Hasan, perjuangannya memastikan matlamat PAS diletakkan kembali di landasan asalnya bagi memastikan semangat perjuangan Islam itu kembali menjadi teras dalam perjuangan PAS.

Jelas Dr Hasan, beliau menghormati peranan golongan profesional dalam parti, tetapi adalah lebih baik sekiranya mereka turut sama berjuang mengembalikan parti kepada matlamat asal perjuangan menegakkan teras Islam.

Beliau bagaikan menyalahkan penyertaan PAS ke dalam Pakatan Rakyat bersama-sama PKR dan DAP menjadi punca perubahan polisi parti daripada perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Namun itu bukanlah faktor utama kerana terdapat lagi faktor lain yang mempengaruhi perubahan tersebut walaupun tidak pernah mencadangkan PAS perlu keluar dari Pakatan untuk kembali kepada matlamat perjuangan asalnya.

Kenyataannya itu mendapat reaksi keras Mustafa dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar yang menganggap beliau sebagai memberikan pandangan yang begitu negatif dan mengandungi niat jahat terhadap dirinya.

“Datuk Mustafa terus menyerang saya dengan nada yang agak personal, di mana beliau menimbulkan isu-isu yang tidak berkaitan dengan isu pokok, bahkan memberi gambaran kedudukan saya dalam parti tidak bertahan lama,” kata Dr Hasan yang menyuarakan kekecewaannya.

Kelmarin, Mustaffa berkata beliau mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan Dr Hasan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor dengan agenda UMNO.

Malah Hasan turut menjadi sasaran Mahfuz yang menyifatkan tindakan beliau (Dr Hasan) menyentuh dasar perjuangan Pas sebagai pengisytiharan perang terhadap parti itu dan beliau dinasihatkan agar ‘angkat kaki’.

Nasharuddin pula kelmarin menyelar tindakan pihak tertentu dalam parti itu yang cepat melatah dan menuduh tindakannya menyuarakan pandangan berbeza daripada pucuk pimpinan sebagai terperangkap dalam agenda UMNO.

Sunday, July 25, 2010

HARUSSANI MELAKUKAN PEMBOHONGAN MEMALUKAN - MAHFUZ

Bukan sekadar mengatakan Harussani melakukan pembohongan, Mahfuz berkata Harussani sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perak kerana beliau pernah menyatakan, sebagai mufti beliau tidak berbohong..

Apa yang tidak kena dengan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar?

Kelmarin Parlimen Pokok Sena itu menuntut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memohon maaf secara terbuka kepada PAS dan seluruh orang Melayu Islam berikutan penjelasan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang menunjukkan mufti itu berbohong.

Sambil menyifatkan Harussani melakukan pembohongan yang memalukan, Mahfuz berkata, pengakuan Dr Hassan yang menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Harussani tidak ada agenda khusus membincangkan penyatuan Umno dan PAS.

Ini sekaligus mendedahkan kedudukan dan peranan Harussani sebagai alat dan pencacai Umno, katanya dipetik oleh Harakahdaily Online. Hari ini kenyataan ini diulang lagi melalui mStar Online.

Bukan sekadar mengatakan Harussani melakukan pembohongan, Mahfuz berkata Harussani sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perak kerana beliau pernah menyatakan, sebagai mufti beliau tidak berbohong.

Sedangkan kata Mahfuz, pendedahan Dr Hassan memperjelaskan pembohongan Harussani," katanya.

Dr Hassan semalam mengesahkan beliau ada menemui Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kira-kira dua bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menafikan ia bertujuan membincangkan penyatuan antara UMNO dan PAS sebaliknya persiapan bagi menghadiri Mesyuarat Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Pertemuan itu dilakukan atas kedudukan saya sebagai Exco yang bertanggungjawab Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu dan ia dilakukan secara terbuka bukannya sulit seperti yang didakwa. Ia dilakukan bagi meraih kebaikan bersama demi kemajuan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini memandangkan Harussani memiliki ilmu dan pengalaman yang begitu luas dalam hal ehwal agama," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Hassan mengulas khabar angin yang mendakwa beliau antara pemimpin PAS yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Harussani mengenai usaha perpaduan antara kedua-dua parti itu.

Menurut Dr Hassan, Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyekat Exconya daripada mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak tanpa mengira agama dan fahaman politik jika ia bertujuan meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi dan nilai profesional.

Selain itu, beliau menegaskan tidak pernah diberi mandat oleh PAS untuk membincangkan isu perpaduan dengan UMNO.

Apa yang pasti, sehingga hari ini Harussani tidak pernah mendedahkan identity pemimpin PAS atau UMNO yang bertemu beliau.
Kedudukan itu menunjukkan bahawa bukan Hassan sahaja bertemu Harussani.

Kenyataan Hassan adalah untuk membela dirinya daripada dibelasah oleh pemimpin PAS yang lain.

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Abdul Samad, kelmarin turut menegaskan sekiranya ada pihak atau pemimpin tertentu dalam PAS yang menemui Muft Perak bagi tujuan bekerjasama, mereka perlu dihukum.

Ini kerana tindakan pemimpin terbabit secara tidak langsung telah menlanggar keputusan Muktamar PAS sebelum ini yang menolak sebarang kerjasama dengan parti pemerintah itu.

Pertemuan tersebut juga menunjukkan pemimpin terbabit tidak faham dengan perjuangan sebenar PAS, kata Khalid.
Hassan perlu membuat kenyataan itu kerana beliau terus dirundung kontroversi kerana sekali lagi dikaitkan dikaitkan lagi dengan isu kerjasama Umno-PAS.

Selepas selamat daripada diheret ke muktamar khas seperti cadangan awal Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat tahun lalu, tersebar pula khabar angin Dr Hassan menemui Harussani yang menawarkan diri sebagai pengantara bagi membincangkan perkara itu.

Nama Dr Hassan dikaitkan oleh oleh blog Malaysia Waves dengan terang-terang mendakwa pemimpin yang dimaksudkan Harussani itu ialah Dr Hassan. "Seperti saya kata sebelum ini, ada video yang diambil perjumpaan Harussani dengan Dr Hassan (dan mungkin Khairuddin Othman sekali)," katanya penulisnya Abdul Rahman Talib.

Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai 'Tulang Besi' bagaimanapun berkata beliau bersangka baik dan "kemungkinan Dr Hassan cuma mahu berjumpa untuk mendapat maklumat sahaja".

Tetapi apakah ada orang lain selain Hassan yang bertemu Harussani?

Apakah Dr Hassan seorang sahaja dimaksudkan oleh Harussani?

Mahfuz dan Khalid jangan cepat melenting. Bukan sahaja tujuan Mufti Perak itu baik tetapi juga boleh mengurangkan sengketa antara orang Islam dan Melayu sendiri.

Apakah Mahfuz dan Khalid jenis yang tidak percaya dan gembira jika Melayu dan Islam bertaut?

Apakah kedua-duanya jenis pemimpin yang gemarkan perpecahan berterusan Melayu dan Islam di Malaysia?

Bukan Harussani sahaja yang ingin melihat perpaduan Islam-Melayu ini.

Sebelum ini, tokoh akademik Islam, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid pernah menawarkan diri bagi menyediakan 'forum yang lebih selesa' kepada tiga ulama yang sedang menghadapi polemik berhubung perpaduan PAS-UMNO ini.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu pada 10 Mac 2010 lalu berkata ini member ruang kepada Mufti Perak, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang untuk bersemuka dan berbincang.

"Ketiga-tiga pihak itu sedang 'membuka budu di padang', budu kalau sudah dibuka berbau busuk walaupun ia sedap dimakan. "Jadi, hentikan sahaja polemik itu, tiada lagi susulan dibuat sebaliknya mereka perlu berbincang kerana ketiga-tiganya adalah ulama. Oleh itu saya tawarkan diri untuk sediakan forum lebih selesa, tidak perlu lagi mencari publisiti di dada akhbar," katanya.

Nik Aziz sebelum ini menggelarkan Harussani sebagai ejen UMNO apabila mufti itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di Perak.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussein menyifatkan kenyataan Harussani itu bukan atas dasar politik kepartian kerana perkara utama yang dilihat oleh beliau ialah perpaduan umat Islam.

"Saya setuju dengan Harussani kerana isu yang dibawa pada ketika itu tentang kedudukan orang Melayu dan Islam. Beliau mufti yang celik, bukan mufti baju pagoda, beliau lebih mementingkan soal Islam daripada politik di bawah.

Mohd. Yusoff yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, sekiranya PAS tidak bersetuju dengan cadangan bekerjasama dengan UMNO, mereka tidak sewajarnya bersikap sombong dan menghina orang lain.

Apa yang jelas Harussani tidak melakukan apa-apa kesalahan bila mengajak ke arah perpaduan bukan seperti Mahfuz dan Khalid yang bagaikan mahu menghukum hanya kerana Mufti Perak itu mengajak kea rah perpaduan.

Jelas kewibawaan Harussani bukan mufti bisu dan ‘buta’, selain mengajak PAS secara terbuka.

Yang penting, cuba Mahfuz dan Khalid buktikan di mana ayat al-Quran menyuruh orang Islam, tidak kiralah bangsa Melayu atau bangsa apa sekali pun.

Yang ada adalah perintah berpegang teguh dengan tali Allah (hablillah).

Dan dengan menuduh Harussani berbohong atau marahkan seseorang sama ada pemimpin PAS atau UMNO menemui Harussani adalah perbuatan yang menentang mereka yang cuba menyambung dan berpegang dengan hablillah


Wednesday, July 21, 2010

"TAKKANLAH SAYA NAK MEMBOHONG...” - HARUSSANI

"Saya seorang mufti takkanlah saya nak membohong, cuma saya tak nak sebut nama orang yang bertemu dengan saya itu....jadi saya tidak membohong. Dia nak tuduh saya membohong itu dia punya pasal. Yang penting dia seorang Islam atau tidak... berjuang atas nama Islam atau tidak, kenapa nak bersekongkol dengan yang lainnya." - TAN SRI HARUSSANI


Untuk Tan Sri Harussani - Jangan hairanlah dengan dua pemimpin PAS yang ini – Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Memang kerja dua Naib Presiden PAS ini menyerang apa juga usaha merapatkan PAS dan UMNO. Mereka adalah daripada sekutu kumpulan Erdogan yang tidak mahu langsung mendengar perkataan perpaduan Melayu dan Islam.

Mereka berketuakan pemimpin PAS yang bencikan perpaduan kerana bimbang hilang ‘kerusi’ yang mereka impikan – ke Putrajaya.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam menegaskan sekali lagi bahawa ada pemimpin PAS dan UMNO menemuinya bagi mendapatkan pandangan.

Apa salahnya kalau mereka merujuk kepada mufti. Apakah ilmu Salahuddin dan Mahfuz lebih tinggi dariapada Harussani?

Kedua-dua Naib Presiden PAS iaitu Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar semalam dilaporkan menuduh Harussani membuat fitnah serta melakukan pembohongan besar bahawa terdapat pemimpin PAS dan UMNO yang menemuinya untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan kedua-dua parti itu.

Mereka dilaporkan sebagai berkata, selama ini pimpinan PAS tidak pernah mengeluarkan arahan rasmi khususnya di dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi parti supaya menemui Harussani untuk membincangkan isu tersebut.

'Kita tidak pernah keluarkan satu arahan atau ada diminitkan bahawa kita mahu melantik orang tengah apatah lagi dalam urusan untuk bekerjasama dengan UMNO, tidak pernah sama sekali. Itu merupakan satu fitnah dan satu pembohongan besar yang ditimbulkan oleh mereka,'' kata Salahuddin pada sidang media di ibu pejabat Pas kelmarin.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, isu kerjasama UMNO dan Pas tidak lagi berbangkit dan ia boleh dianggap sudah tutup buku.

Selain mereka berdua, Mufti Perak yang berusaha menyatukan orang Melayu menjadi sasaran kritikan pemimpin PAS lain, termasuk pada ceramah yang diadakan di Kampung Pasir Putih Tambahan di Ipoh, malam kelmarin.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad menuduh Harussani mahu mencampuri urusan politik sedangkan beliau adalah mufti yang bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berkaitan agama.

"Mufti ini pelik bercakap pasal Melayu, bukannya bercakap mengenai Islam. Kalau nak bersatu, UMNO kena bersatu dulu. Dalam parti dia berpecah-belah. Tengok apa berlaku di Sungai Petani dan Setiu," kata Idris.

Menurut Idris, Harussani tidak perlu menjadi orang tengah kerana Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dan mendakwa dasar parti itu bukannya berasaskan Islam. Sebaliknya, katanya, Pas mahu terus bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana mereka mempunyai persamaan menentang rasuah dan memperjuangkan keadilan rakyat.

Berucap di hadapan kira-kira 100 penyokong, Idris menegaskan, Pas tidak akan bersatu dengan UMNO secara politik kerana kepemimpinan parti tersebut telah menyatakan akan terus komited dengan pakatan pembangkang.

Mufti Perak itu menafikan dakwaan dua naib presiden PAS bahawa kononnya beliau membuat fitnah serta melakukan satu pembohongan berhubung adanya pemimpin PAS dan UMNO yang menemuinya untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan kedua-dua parti itu.

"Saya seorang mufti takkanlah saya nak membohong, cuma saya tak nak sebut nama orang yang bertemu dengan saya itu....jadi saya tidak membohong. Dia nak tuduh saya membohong itu dia punya pasal.

"Yang penting dia seorang Islam atau tidak... berjuang atas nama Islam atau tidak, kenapa nak bersekongkol dengan yang lainnya," katanya selepas pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam di Putrajaya semalam.

Harussani berkata pertemuan itu memang berlaku, walaupun wakil yang datang bertemu dengannya itu bukan dihantar oleh PAS secara rasmi.

Katanya pemimpin PAS yang datang itu bertaraf tinggi dan ada juga pemimpin UMNO yang bertaraf tinggi juga datang berjumpa beliau.

"Saya pun tidak faham.. pertemuan itu semata-mata untuk pertahankan Islam dan orang Melayu, kenapa sampai nak tuduh macam-macam dan yang marah sangat kenapa," katanya.

Harussani berkata beliau bercakap untuk kepentingan orang Melayu dan Islam kerana jika orang Melayu berpecah, Islam juga akan hancur.