Showing posts with label Lajim. Show all posts
Showing posts with label Lajim. Show all posts

Tuesday, October 4, 2016

LOMPAT SI LAJIM LOMPAT – LOMPAT BIAR BERGONCANG POLITIK SABAH...


“Apa yang menarik ialah Lajim yakin lompatannya ini akan menggoncang politik Sabah dengan mengambil kira situasi yang memerlukan orang Sabah  memikirkan semula hala tuju politik negeri.”

Datuk Seri Lajim Ukin tidak marah kepada saya ketika memberitahunya bahawa saya ada menulis dalam Utusan Malaysia pada 30 Julai 2012 muka surat 12 dengan tajuk "Berjayakah Lajim bersama SRF?" dengan menganggap beliau sebagai ‘KATAKBESAR’.

Bukan itu sahaja, melalui blog ini saya turut menulis satu ponting dengan tajuk “LAJIM 'KATAK BESAR' AKAN MELOMPAT JIKA DIRASAKAN PERLU MELOMPAT...”
  
Dia tertawa. Saya amat memahami perangainya  kerana sering minum dan bertukar fikiran bersamanya sama ada di Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu sebelum ini.

Malah, kata-kata nista terhadapnya seperti 'gunting dalam lipatan' atau 'biawak hidup' dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini beliau anggap sebagai asam garam politik.

Baginya, yang penting  mengatur langkah untuk bergerak lebih jauh.


Pada  satu temu bual dengan Utusan Malaysia yang disiarkan pada 22 Januari 2010, Datuk Seri Lajim Ukin pernah berkata rakyat Sabah boleh menukar pemikiran mereka dalam tempoh 24 jam untuk sokong sesebuah parti.

Contohnya USNO kalah pada 1975 pun disebabkan ramai ahli USNO masuk parti Berjaya. Dan Berjaya tewas pada 1985 pun disebabkan ahli Berjaya masuk PBS.

“Itulah uniknya rakyat Sabah, kalau nak tukar baju, dia nekad tukar,” demikian tegas Lajim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias ittu yang pernah 'melompat' dari Parti Bersatu Sabah (PBS) ke UMNO pada 1994, adalah antara penyumbang penting kepada bertapaknya UMNO di Sabah.

Sejarah melakarkan Lajim membuat lompatan katak paling besar dan begitu berjasa kepada UMNO pada tahun 1994 apabila menjadi katak pertama yang melompat ke UMNO.

Sumbanannya itu membawa kepada tumbangnya kerajaan negeri yang dibentuk oleh Parti Bersatu Sabah walaupun berkuasa dengan majoriti dua kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah ketika itu.

Sejarah juga melakarkan, kerana lompatan Lajimlah jalan terbuka untuk beberapa pemimpin mendapat tempat penting dalam kerajaan Sabah dan Persekutuan. Tan Sri Sankaran Dandai, Datuk Seri Osu Sukam, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Seri Shafie Afdal serta Datuk Seri Hanifah Aman tidak boleh menafikan betapa 'lorong' yang dibuka oleh lompatan penting Lajim itu mendatangkan peluang politik dan kedudukan dalam parti untuk mereka.

Sumbangan Lajim yang dikaitkan dengan usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu dikatakan menjadi 'dalang' kepada usaha menumbangkan PBS mempunyai sesuatu yang tersirat hingga kini khususnya hubungan Lajim dan Anwar.

Pemimpin muda yang ada dalam UMNO Sabah ketika ini sebenarnya ‘masih berhingus’ ketika itu  dan tanpa mereka sedari, kalau bukan kerana tindakan Lajim itu, mereka tidak akan berada di tempat mereka sekarang.

Kemudian Lajim melompat lagi.


Pada pertengahan Januari 2010, Lajim membuat lompatan kecil sahaja dengan mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Lajim yang ketika itu  masih Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan tindakannya yang diputuskan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukanlah sesuatu yang mengejutkan, jika mengikut politik ala-Sabah.

Di sebalik kata-kata dan anggapan bahawa Lajim bagaikan 'gunting dalam lipatan' atau 'biawak hidup' dalam UMNO dan BN serta pelbagai lagi, Lajim ternyata mengatur langkah untuk bergerak lebh jauh.

Jika sebelum ini Lajim membuat 'lompatan katak' selepas pilihan raya tetapi beliau tidak sabar lagi untuk melakukan lompatan ketiganya yang beliau yakin mampu  mencipta sesuatu yang baik untuk 'dirinya dan rakyat Sabah'.

Lajim yang menang kerusi Parlimen Beaufort  pada PRU12  (2009) gagal mempertahankannya pada PRU13. Bertanding atas tiket PKR pada PRU13 beliau hanya mampu menang di kerusi DUN Klias dan dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Ternyata lompatannya itu tidak menyebabkan lemas walaupun terjatuh di dalam Laut China Selatan. Beliau berupaya berenang ke tepian.


Kini beliau membuat lompatan kali ketiga yang agak besar. Kali ini juga dibiat sebagai persediaan menghadapi PRU14.

Kelmarin, Lajim dengan semangat dan perjuangan baru mengumumkan meninggalkan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Sabah bersama=sama dengan beberapa pemimpin lain.

Lajim mengetuai lompatan yang disertai sama oleh ADUN  Moyog daripada PKR, Terrance Siambun; Setiausaha PKR Sabah, Datuk Majjol Mahap dan Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani.

Selain pemimpin PKR, turut bersama beliau ialah ADUN Likas daripada DAP, Junz Wong; Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Goh; Naib Pengerusi DAP Sabah, George Hiew dan tujuh lagi Exco DAP Sabah turut meninggalkan parti dan menyatakan soko­ngan kepada Lajim.

Lajim menjelaskan beliau dan pemimpin yang ber­samanya akan memberi fokus kepada parti politik tempatan baharu yang akan ditubuhkan nanti.

Nyata sekali beliau dan rakan-rakannya kini hilang keyakinan terhadap kemampuan PKR dan DAP untuk mendapat sokongan rakyat Sabah dalam pilihan raya umum akan datang.

Beberapa ketua cabang PKR dikatakan turut menyertai beliau iaitu dari Kota Marudu, Papar, Tuaran, Putatan, Kimanis, Sipitang, Keningau, Beluran, Batu Sapi dan Silam.

Beliau turut mengessahkan  permohonan pada 19 September lalu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang akan disertai oleh pemimpin ber­kenaan serta penyokong mereka.

Parti tersebut akan mencari jalan untuk bekerjasama dengan parti politik tempatan yang lain bagi menewaskan BN  dalam pilihan raya umum akan datang.

Pada PRU13 lalu, BN memenangi 48 kerusi DUN daripada 60 yang dipertandingkan, PKR 7, DAP 4 dan satu kerusi STAR.

Bagi Parlimen, BN memenangi 21 kerusi daripada 25 yang dipertandingkan, DAP 2 dan satu kerusi masing-masing dimenangi PKR dan Bebas.

Beliau mengakui sudah  berbincang dengan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (bekas Naib Presiden UMNO) berhubung kerjasama itu tetapi masih belum ada kata putus dibuat sehingga kini.

Apa yang menarik ialah Lajim yakin  lompatannya ini akan menggoncang politik Sabah dengan mengambil kira situasi yang memerlukan orang Sabah  memikirkan semula hala tuju politik negeri.

“Saya dan rakan-rakan telah berjumpa dengan segenap lapisan rak­yat Sabah terdiri daripada kakitangan kerajaan, petani, nelayan, peniaga dan banyak lagi yang me­nyuarakan hasrat untuk melihat parti-parti tempatan Sabah bergabung,” katanya ketika membuat pengumuman tersebut di Kota Kinabalu, kelmarin.


Bagi Lajim, Sabah perlu dibebaskan daripada belenggu 'simpanan tetap' kepada mana-mana kuasa politik yang "hanya mahukan sokongan rakyat Sabah untuk ke Putrajaya" tanpa menghormati sepenuhnya kedudukan negeri itu sebagai wilayah yang setaraf dengan negeri lain dalam Malaysia. 

Tuesday, June 12, 2012

LAJIM 'KATAK BESAR' AKAN MELOMPAT JIKA DIRASAKAN PERLU MELOMPAT...


Di kalangan pemimpin veteran UMNO Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin saya sifatkan sebagai ‘katak paling besar’.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak marah pun kepada saya jika berkata demikian.

Malah beliau yang saya kenali sejak 1980-an, mengakui ‘sifat katak’ pada dirinya lebih hebat daripada ‘katak-katak lain’ umpamanya Datuk Ibrahim Ali dan sekutu-sekutunya!

Apa tidaknya, Lajim bukan sahaja berani ‘melompat’ tetapi dia antara yang pertama melompat, termasuk beberapa kali melompat sebelum lompatan perdananya ke dalam UMNO. Jadi lompat melompat ini bukan sesuatu yang baru dan Lajim tidak teragak-agak melompat kalau dia merasakan perlu untuk melompat.

Namun ramalan kelmarin tidak menjadi dan Lajim masih dalam UMNO dan Barisan Nasional.

Semalam beliau menyangkal spekulasi pada hujung minggu lalu tentang lompat parti menyertai PKR, tetapi menegaskan 'apa saja boleh berlaku' dalam politik.

Bagi beliau ia hanya hanya spekulasi yang disensasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Lajim mengakui beliau adalah seorang ahli politik kanan, tetapi menegaskan apa saja boleh berlaku.

Ini kerana pengundinya mahu beliau berbuat demikian maka "beliau akan lakukan apa yang mereka mahu beliau lakukan."

 "Saya tidak pernah beritahu saya akan tinggalkan Barisan Nasional. Ini (berita tersebut) cuma andaian kerana apabila saya bercakap seolah-olah macam pembangkang. Saya hanya bawa suara orang Sabah. Rakyat Sabah mahukan penambahbaikan," katanya.

Lajim berkata, tindakannya yang lantang bersuara tidak semestinya menggambarkan beliau mahu meninggalkan Umno dan BN.

Namun ditanya sama ada jawapannya itu muktamad, Lajim seolah-olah berteka-teki apabila menegaskan ianya belum muktamad. "Dalam politik macam-macam boleh jadi," katanya.

Malah dalam politik Sabah, Lajim tidak hairan.

Dia berani menyuarakan kebimbangan rakyat yang diwakilinya. Lajim tidak hairan dikatakan gelagatnya seperti pembangkang.

Yang penting melakukan terbaik untuk pengundinya. Maknanya Lajim membuat keputusan selepas berunding dengan pengundinya.

Baginya pengundi di Parlimen Beaufort penting buatnya. Lajim berterus terang mengatakan beliau pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang di Sabah.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan pemimpin pembangkang Lajim berkata melalui perbincangan seumpama itu pelbagai perkara penting berkaitan masalah dan kebajikan rakyat Sabah dapat diketahui.

"Rakyat meletakkan harapan yang besar kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam menangani apa juga masalah dihadapi mereka contohnya di peringkat saya seperti masalah air dan banjir yang tidak sudah-sudah dialami rakyat...ini semua saya suarakan demi rakyat," katanya.

Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno menjelaskan : “"Saya bercakap begitu (berjumpa dengan pemimpin lain di Sabah) supaya ada penambahbaikan, ada jaminan dan ada perubahan dari segi kepimpinan di peringkat negeri dari segi pendekatan dan harapan rakyat sebelum pilihanraya umum ke-13 ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.


Laporan portal berita mengatakan bahawa beliau dan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Bumburing akan menyertai majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR),sekaligus menyertai pembangkang

Bagi saya, jangan perkecilkan perkembangan ini kerana Lajim 'boleh melompat' ketika suasana tenang dan pandai-pandailah mendekati dia supaya tidak melakukan lompatan sekali lagi.

Lajim ada pengaruh dan pengikut.

Jangan melihat Lajim sebelah mata kerana kebanyakan pemimpin UMNO di Sabah sekarang adalah lebih 'junior' daripada Lajim yang sesetengahnya belum masak dengan suasana politik Sabah sebenarnya!!!