Showing posts with label KICKDEFELLA. Show all posts
Showing posts with label KICKDEFELLA. Show all posts

Wednesday, September 21, 2011

KICKDEFELLA MENENTANG HUSAM YANG HIPOKRIT & PENIPU?

"Hipokrasi Husam juga amat ketara dan sepanjang tempoh perkhidmatan apabila berapa kali diajak oleh beliau ke premis-premis yang tidak sesuai untuk beliau kunjungi sebagai pimpinan sebuah parti Islam. Malah lebih daripada itu terpaksa menyaksikan gelagat-gelagat beliau di tempat awam yang tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin tinggi sebuah parti Islam..." - Syed Azidi Syed Abdul Aziz

Sebelum ini Mohd Sayuti Omar (MSO) yang begitu rapat dengan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ‘melarikan diri’ daripada beliau.

Antara pendedahan yang menarik dibuat MSO mengenai Husam ialah projek Jamnapari yang lingkup serta Husam membiayai dengan mewah isteri keduanya berbangsa Cina di Kuala Lumpur.

Kini giliran Syed Azidi Bin Syed Abdul Aziz atau Kickdefella pula ‘melarikan diri’ dari Husam.

Beza antara kedua-dua mereka – MSM dan Kickdefella – tidak banyak. Sama-sama pernah 'berkhidmat' dengan Husam, memuji Husam pada mulanya akhirnya terpaksa berpisah.

MSO lebih hebat. Husam bagai kawan dan rakan!

Namun saya tidak tahu sama ada Husam dan MSO sudah ‘bercium molot’ atau sebaliknya.
Kickdefella berkata beliau berkhidmat hampir tiga tahun dibawah Husam dan menulis lebih 100 artikel berhubung beliau.

Berbanding dengan MSO yang menerbitkan pelbagai artikel mengenai ‘kelemahan’ dan ‘keburukan’ Husam, Kickdefella menerima saman tetapi MSO sehingga kini tidak kena apa-apa tindakan Husam.

Husam Musa memfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap blogger Kickdefella berhubung penyiaran tiga artikel didakwa memfitnah Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu. Writ saman terhadap Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz, 41, itu difailkan peguam Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi, di Kota Bharu pada jam 2.30 petang, kelmarin.

Di dalam writ saman itu, Husam selaku plaintif menuntut Syed Azizi selaku defendan membayar ganti rugi RM5 juta bagi perbuatan fitnah yang disiarkan di blognya. Defendan juga dituntut memohon maaf secara bertulis kepada plaintif yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan itu tanpa syarat dan diiklankan di akhbar.

Menghairankan Husam hanya menyaman Kickdefella terhadap 3 artikel daripada 100 artikel dan pertanyaan Kickdefella ialah pakah ini bermakna pemimpin penting Kelantan itu bersetuju bahawa lebihan artikel yang ditulis oleh beliau tentang Husam adalah betul.

Apakah ini bermakna Husam bersetuju bahawa pengakuan Kickdefella menerima wang pampasan bernilai RM350,000 dan wang berjumlah lebih RM4 juta untuk pilihanraya umum 2008 adalah betul?

Kerana itu bagi Kickdefella, Husam adalah seorang yang hipokrit dan penipu berlandaskan pengalaman saya dan fakta-fakta serta bukti yang terkumpul sepanjang perkhidmatan dengannya.

Apa yang Husam suruh Kickdefella selama bertugas dengan beliau?

1. Menulis dan menggunakan kreativiti untuk memburuk-burukan musuh politik beliau termasuklah yang berada di dalam parti politik yang sama dengan beliau;

2. Menyakinkan Kickdefalla tanpa mengemukakan bukti bahawa terdapat korupsi di kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kelantan dan pimpinan tertinggi partinya ketika itu;

3. Menegur terhadap tulisan yang mempunyai kepentingan awam tetapi mengkritik rakan politik beliau seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


Kata Kickdefella, hipokrasi Husam juga amat ketara dan sepanjang tempoh perkhidmatan apabila berapa kali diajak oleh beliau ke premis-premis yang tidak sesuai untuk beliau kunjungi sebagai pimpinan sebuah parti Islam. Malah lebih daripada itu Kickdefella terpaksa menyaksikan gelagat-gelagat beliau di tempat awam yang tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin tinggi sebuah parti Islam.

Kickdefella percaya kes ini turut akan membawa banyak faedah kepada orang awam dan rakyat Negeri Kelantan khasnya dan kerana itu mengalu-alukan bantuan guaman daripada pengamal-pengamal perundangan bagi membantu beliau mempertahankan hak dan kepentingan awam ini.

Malah beliau merayu kepada rakyat Negeri Kelantan yang rindukan perubahan untuk bersama-sama dengan beliau di dalam kes saman ini bukan untuk kemenangan dirinya tetapi untuk perubahan kepada Negeri Kelantan yang tercinta.

Menarik sekali apa yang diperkatakan Kickdefella dan sama-samalah kita menyokong demi perubahan untuk kebaikan di Kelantan!

Saya juga akan mengulas mengenai Husam selepas ini.

Apapun, baca dulu kenyataan rasmi Kickdefalla berhubung dakwaan saman oleh Husam untuk mengetahui kenapa blogger ini sanggup berdepan dengan bekas bosnya.

Friday, June 3, 2011

BANYAKNYA DUIT HUSAM - BOLEH BAYAR RM350,000 BEGITU SAHAJA!

Waktu CIUM MOLOT antara Husam & Kickdefella tetapi kini tidak lagi dengan penulis blog berkenaan. Kesian Kickdefella, habis manis sepah dibuang!

Hmmm berpeluh Datuk Husam Musa dibuatnya.

Berusaha bersilat, kiri dan kanan. Terpaksa menepis dan menyatakan tidak rapat dengan Kickdefella.

Itulah manusia. Bila tiba diri tersepit, orang yang rapat pun kata tidak rapat.

Tetapi satu yang menarik bagi saya apabila timbul isu ‘wang’ dan penulis blog Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz ialah, bagaimana Husam ada dukit sebanyak itu?

Dengan kata lain, Husam boleh boleh beri RM350,000 begitu sahaja kepada Kickdefella.
Banyak sungguh duit Husam. Dia siapa? Menteri Besar? Pelabur?

Husam pula terpaksa menafikan semuanya gara-gara kenyataan Kickdefella semalam yang mengaku pernah menerima RM350,000 daripada Husam sebagai pampasan setelah ditamatkan kontraknya dengan Permodalan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dua tahun lepas.

Syed Azidi berkata wang tersebut ialah sebagai pampasan selepas kontraknya sebagai pegawai perhubungan awam di PMBK ditamatkan pada 10 November 2009.

Husam menafikan bahawa beliau memberikan sejumlah wang tersebut kepada Azidi pada 2009.
Husam juga hairan dengan tindakan Azidi yang mengeluarkan dakwaan tersebut menjelang pemilihan parti PAS esok.

Katanya dakwaan Azidi mengenai perhubungan mereka melalui telefon adalah palsu.

"Saya menafikannya. Saya juga tidak ada pembantu. Kalau dia diberhentikan oleh PMBK, itu hal dia, mengapa pula saya mahu bagi dia wang pampasan? Saya bukan majikannya," katanya
.
Dalam satu kenyataan melalui SMS kepada Bernama Husam juga menafikan ada menpunyai wang sebanyak itu.

"Sampai hari ini saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun saya dan adalah bodoh untuk saya menyedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat saya," katanya.

Kickdefella pula menafikan laporan beberapa laman web kebelakangan ini bahawa beliau telah dibayar oleh Husam, yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan calon naib presiden PAS pada pemilihan parti minggu ini, untuk membantunya berkempen, beliau berkata fakta dan tempoh waktu kejadian telah diputar belit.

"Dakwaan bahawa saya telah bertemu dan menerima wang sejumlah RM300,000 di China daripada Husam baru-baru ini adalah tidak benar," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

"Semenjak 9 Nov 2009, Datuk Husam dan saya tidak pernah bertemu, melainkan berbual di telefon dan bertukar-tukar pesanan rigkas," katanya.

Syed Azidi berkata selepas diberhentikan kerja di PMBK berikutan perselisihan faham dengan Ketua Eksekutif PMBK, pada 18 November 2009, beliau telah bertemu dengan seorang pembantu Husam yang menawarkan RM350,000 dan beliau telah bersetuju.

Beliau menjelaskan wang tersebut telah diberikan sebagai bayaran kos tertunggak bernilai RM50,000 manakala selebihnya sebagai pemberian "ihsan dan simpati", dan bukannya bayaran menutup mulut.

"Wang tersebut telah diberikan secara tunai oleh individu tersebut secara berperingkat-peringkat dalam tempoh tiga bulan dari November 2009," katanya sambil enggan menamakan individu tersebut.

Syed Azidi yang menganggap Husam sebagai sahabat istimewa berkata beliau juga tidak tahu sama ada wang tersebut adalah wang peribadi Husam.

Katanya kali terakhir beliau melawat China ialah pada Disember 2009.

"Saya yakin maklumat inilah yang telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu dan diolah menjadi satu cerita hebat...kononnya saya

Katanya beliau juga percaya orang yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat ini ialah seorang individu yang juga berkait rapat dengan salah seorang calon naib presiden PAS.
Apapun, rasanya dalam soal diri Husam ini, seorang lagi yang boleh menceritakan mengenai Husam ialah Mohd Sayuti Omar atau MSO yang suatu ketika dulu ‘bercium molot’ dengan Husam!

Tuesday, July 20, 2010

PAS SANGGUP 'MELACUR' DEMI DAP

Aiii...Tok Guru kena pulas tangan kat Karpal ke?

Saya sangat tertarik dengan ulasan Kickdefella mengenai kedudukan PAS yang disifatkan oleh beliau amat tertekan. Ia bagaikan amaran beliau kepada PAS!

Apa yang dilihat olehnya sebagai tertekan? Ia berlandaskan kepada kenyataan Ahli Parlimen PAS Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bertentangan di antara satu sama lain.

Kenyataan itu berkaitan sasaran untuk merebut kerusi Parlimen bagi menjadikan PAS sebagai sebuah parti dominan.

Firdaus menyatakan PAS mensasarkan 60 kerusi Parlimen, supaya ia akan muncul sebagai Parti yang dominan di dalam Pakatan Rakyat. Lebih dari itu, PAS akan muncul sebagai Parti Politik teras orang-orang Melayu.

Pada pandangan Kickdefella, pada ketika memperolehi 55 peratus undi Melayu pun PAS hanya mendapat 27 kerusi Parlimen. Malah, berdasarkan rumusan daripada keseluruhan pilihanraya kecil yang telah PAS lalui, undi Melayu terhadap PAS telah mencatatkan kemerosotan.

Selain itu, ulasan Kickdefella juga mengatakan berasaskan undi bukan Melayu terhadap PAS telah meningkat dengan mendadak dan di dalam PRU Bukit Gantang (ada pihak di dalam PAS mengakui PAS menerima hampir 84 peratus undi Cina), PAS mensasarkan untuk memperolehi 60 kerusi Parlimen dengan melacurkan PAS kepada pengundi bukan Melayu.

Kata Kickdefella, 'Melacurkan’ adalah suatu perkataan yang keras buat sebuah Parti Islam.

Tetapi itulah hakikatnya yang cuba dibuat oleh segelintir pimpinan di dalam PAS dan itulah sebabnya sebahagian besar ulama di dalam PAS berasa tidak selesa dan mahukan PAS bersatu dengan UMNO.”

Kickdefella mendedahkan sebahagian besar ulamak di dalam PAS mempertikaikan konsesi yang terlalu banyak diberikan kepada DAP ini. “
Mengapa mereka harus bersama DAP dan berkorban begitu banyak, jika mereka ada pilihan untuk bersama UMNO dan menekankan perlaksanaan apa yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengangkat Islam sebagai Agama Persekutuan?
tanya beliau.

Berikutan itu Kickdefella mencadangkan:
Di dalam kata lain, kalau PAS sanggup gugurkan tuntutan menubuhkan Negara Islam kerana DAP, mengapa tidak boleh PAS terus berjuang ke arah menubuhkan Negara Islam dengan UMNO? Negara Islam yang progresif. Asalkan bukan Islam ala Taliban, sudah pasti UMNO juga mahu menuju ke arah itu.”

Untuk lebih jelas baca ulasan Kickdefella berikut (saya mohon maaf kepada Kickdefella kerana memetik tanpa menghubungi beliau terlebih dahulu).


Tergamakkah PAS Anjakkan Lagi Pintu Gol Mereka?

15 07 2010

Saya membaca dua berita yang diterbitkan di HarakahDaily dengan penuh minat dan penuh insaf. Berita pertama berbunyi, Sasaran 60 Kerusi Parlimen Cerah dan berita keduanya bertajuk, Retreat Sahkan Sokongan Melayu Kekal Kepada PAS.

Berita pertama memetik kenyataan Ahli Parlimen PAS Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.
Antara kandungannya ialah berhubung sasaran PAS untuk
merampas 37 kerusi Parlimen daripada UMNO pada Pilihanraya Umum ke 13, selain mempertahankan 23 kerusi yang sedia ada.

“Sasaran kita yang sebenar adalah 60 Parlimen ke Putrajaya, janganlah main isu lain,” kata Mohd Firdaus yang juga Pangarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat.

Di dalam berita kedua pula, memetik kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena yang rumusannya menegaskan undi teras Melayu terhadap PAS tidak merosot seperti di dakwa oleh sesetengah pihak.

“Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet,” Harakahdaily memetik Mahfuz sebagai berkata demikian.

Kemudian Mahfuz dilaporkan menambah, “Pada PRU 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus.”

Di dalam laporan HarakahDaily turut tertulis berikut, ‘Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar menjadi calon.’

Saya gabungkan kedua-dua berita ini sebagai kononnya maklumat yang keluar daripada hasil pemukiman PAS di Port Dickson baru-baru ini.
Saya melihatnya sebagai tanda PAS sedang dalam satu keadaan yang tertekan. Kenyataan Firdaus dan Mahfuz bertentangan diantara satu sama lain.

Firdaus menyatakan PAS mensasarkan 60 kerusi Parlimen, supaya ia akan muncul sebagai Parti yang dominan di dalam Pakatan Rakyat. Lebih dari itu, PAS akan muncul sebagai Parti Politik teras orang-orang Melayu.

Apakah Mohd Firdaus sedar kenyataan yang dibuat oleh Mahfuz? Biar saya jawab kenyataan Mohd Firdaus berdasarkan hujah Mahfuz:

1. Kata Mahfuz, di dalam PRU 1995, PAS mendapat sekitar 38 hingga 40% undi Melayu. Itu diterjemahkan dalam Pilihanraya Parlimen bagi PAS di dalam PRU 1995 ialah PAS memenangi sebanyak 7 kerusi atau 3.8% dari jumlah keseluruhan kerusi yang dipertandingkan. Kerusi itu ialah 6 di Kelantan dan 1 di Kedah. Harus di ingat, kesemuanya di menangi hasil gabungan dengan Parti Melayu Semangat 46 di dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

2. Kata Mahfuz, pada PRU 1999, PAS memperolehi 55 peratus undi Melayu disebabkan faktor Anwar Ibrahim. Itu diterjemahkan dalam PRU 1999 dengan melihat PAS mendapat sejumlah 27 kerusi Parlimen atau 13.99 peratus dari kerusi di pertandingkan. PAS menang 8 kerusi di Kedah, 10 kerusi di Kelantan, 7 di Terengganu dan 2 di Perak. Ketika ini PAS bergabung di bawah platform longgar Barisan Alternatif.

3. Kata Mahfuz, dalam PRU 2008 PAS mendapat 42 hingga 46 peratus undi Melayu. Itu diterjemahkan didalam PRU 12 sebagai PAS memperolehi 23 kerusi Parlimen atau sebanyak 10.36 peratus kerusi yang dipertandingkan.

4. Kata Mahfuz dalam Pilihanraya Kecil Bukit Gantang, PAS memperolehi 45 peratus undi Melayu. Jadi adakah bersandarkan kepada 45 peratus undi Melayu ini Mohd Firdaus merasakan PAS boleh menang 60 kerusi Parlimen? Sedangkan ketika memperolehi 55 peratus undi Melayu pun PAS hanya mendapat 27 kerusi Parlimen?

5.Sebenarnya, walaupun Mahfuz cuba berkias, tetapi hakikat semasa berdasarkan rumusan daripada keseluruhan pilihanraya kecil yang telah kita lalui, undi Melayu terhadap PAS telah mencatatkan kemerosotan.

Apa yang Mahfuz dan Mohd Firdaus tidak jelaskan di dalam kedua-dua berita itu ialah undi bukan Melayu terhadap PAS telah meningkat dengan mendadak dan di dalam PRU Bukit Gantang, ada pihak di dalam PAS mengakui PAS menerima hampir 84 peratus undi Cina.

Sebenarnya PAS mensasarkan untuk memperolehi 60 kerusi Parlimen dengan melacurkan PAS kepada pengundi bukan Melayu.

‘Melacurkan’ adalah suatu perkataan yang keras buat sebuah Parti Islam. Tetapi itulah hakikatnya yang cuba dibuat oleh segelintir pimpinan di dalam PAS dan itulah sebabnya sebahagian besar ulama di dalam PAS berasa tidak selesa dan mahukan PAS bersatu dengan UMNO.

Mengapa saya memilih perkatan melacur?

Jika dilihat perhubungan PAS dengan DAP dan dirujuk segala insiden yang berlaku ternyata DAP adalah sebuah Parti yang teguh dan seincipun tidak berganjak ideologi mereka di dalam perhubungan mereka dengan PAS.

DAP menolak Penubuhan Negara Islam kerana menurut Karpal, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Di atas dasar itu, pada tahun 1990, ketika DAP bersama Parti Melayu Semangat 46 dan PBS di dalam Gagasan Rakyat, Karpal berkata, “Langkah mayat saya dulu…”

Dan tiga minggu lepas, Karpal sekali lagi berkata, “Langkah mayat saya dulu…”

Tetapi PAS yang sejak awal penubuhannya mahu menubuhkan Negara Islam hari ini sudah menggugurkan cadangannya itu. Bukan kerana mereka tidak berani untuk melangkah mayat Karpal Singh, tetapi kerana mereka melihat menggugurkan cadangan menubuhkan Negara Islam adalah lebih baik untuk masa depan mereka untuk memenangi undi pemilih Cina.

Sebahagian besar Ulamak di dalam PAS mempertikaikan konsesi yang terlalu banyak diberikan kepada DAP ini. Mengapa mereka harus bersama DAP dan berkorban begitu banyak, jika mereka ada pilihan untuk bersama UMNO dan menekankan perlaksanaan apa yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengangkat Islam sebagai Agama Persekutuan.

Di dalam kata lain, kalau PAS sanggup gugurkan tuntutan menubuhkan Negara Islam kerana DAP, mengapa tidak boleh PAS terus berjuang ke arah menubuhkan Negara Islam dengan UMNO? Negara Islam yang progresif. Asalkan bukan Islam ala Taliban, sudah pasti UMNO juga mahu menuju ke arah itu.

Lihat turutan konsesi yang terpaksa di buat oleh PAS menerusi kenyataan – kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS sendiri.

“Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram.” Hukum Dewan Ulama PAS Kelantan, Ogos 1993.

“Jika ada parti lain yang menentang kepimpinan PAS yang menjalankan pemerintahan cara Islam, ia adalah haram.” Harakah, 23 April 1994.

“Menentang PAS adalah haram mengikut Al Quran.” Berita Minggu, 24 April 1994.

Begitulah tegasnya Nik Aziz dan begitulah juga tegasnya pimpinan-pimpinan PAS lain di dalam menentang kerjasama dengan Parti-Parti Politik Bukan Islam.

Bahkan, kita tentu masih ingat laungan di tahun-tahun lapan puluhan dan awal sembilan puluhan bahawa, PAS menentang UMNO bukan sebab namanya UMNO, tetapi sebab UMNO itu kafir, Perlembagaan UMNO adalah kafir dan UMNO berkerjasama dengan Parti-Parti Politik Kafir.

Di atas ketegasan PAS pada waktu itu jugalah, PAS tidak boleh bergabung di bawah Gagasan Rakyat di dalam pilihanraya 1990. Sebaliknya terpaksa ditubuhkan sebuah platform lain, bernama Angkatan Perpaduan Ummah untuk PAS bergabung dengan Semangat 46.

Di dalam kempen pilihanraya 1990 itu jugalah, Karpal Singh telah mengeluarkan kata-kata keramat, “… langkah mayat saya dulu.”

Tetapi bermula dengan pemecatan Anwar Ibrahim dari UMNO dan melihat kepada peluang yang ada bagi PAS untuk menunggang arus perubahan politik tempatan akibat insiden itu, PAS mula mengendurkan layarnya dalam pelayaran ke arah penubuhan sebuah Negara Islam.

Renungi kenyataan-kenyataan Nik Aziz berikut, “Kita bersyukur dengan pendirian DAP sekarang, kerana mereka sudah berubah sikap dan sanggup bekerjasama dengan PAS, asalkan tidak mendirikan Negara Islam.” Berita Harian, 12 Mei 1999.

DAP yang berubah sikap atau PAS? Bukankah Nik Aziz mengakui bahawa ‘asalkan PAS tidak mendirikan Negara Islam’ sebagai alasan kesanggupan DAP.

Lebih sepuluh tahun selepas kenyataan Nik Aziz di atas, Karpal masih berpegang kepada kenyataannya pada tahun 1990, “… langkah mayat saya dulu”.

Berikut adalah di antara kenyataan Karpal Singh seperti yang diterjemahkan dari berita yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider pada 28 Jun 2010.

Adalah mustahil bagi DAP untuk berkompromi dalam soal itu (Penubuhan Negara Islam). Kita tidak boleh kompromi untuk menjadikan Negara ini Negara Islam (sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Persekutuan.)”

“Di dalam tahun 1990, semasa ceramah di Sungai Pinang, akhbar telah memetik saya sebagai berkata, “Islamic state over my dead body.”

“Mereka (wartawan) tidak melaporkan konteks kenyataan saya itu. (Konteks) Kenyataan saya adalah berdasarkan Perlembagaan. Tetapi pendirian saya waktu itu, sama seperti pendirian saya sekarang.”

Salahudin Ayub cuba membodohkan dirinya dengan mengatakan bahawa kenyataan Karpal itu adalah kenyataan peribadi.

Utusan Malaysia yang menghubungi Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS melaporkan pada 3 Julai 2010 kata-kata Salahudin seperti berikut, “Ia adalah pandangan peribadi Karpal. Tidak semestinya apa yang keluar dari mulut beliau akan menjadi pandangan rasmi pembangkang.”

Satu-satunya pandangan peribadi Karpal hanyalah ungkapan ‘langkah mayat saya dulu.’ Tetapi jelas dari terjemahan di atas, penolakan penubuhan Negara Islam adalah pendirian rasmi DAP.

Jadi atas sebab pendirian tegas DAP yang tidak berubah itulah, PAS dipaksa untuk terus kendurkan lagi layarnya ke arah penubuhan Negara Islam sehingga akhirnya, layar itu dilipat dan disimpan.

Utusan Malaysia melaporkan pada 4 Ogos 2001 kenyataan Nik Aziz seperti berikut,
“Bukan sahaja dalam manifesto PAS, dalam Perlembagaan PAS sendiri memang tidak mengandungi satu perkataan pun untuk menubuhkan sebuah Negara Islam.”

Akhir sekali, PAS dipaksa melacurkan dirinya ke tahap paling hina bila pada 12 Ogos 2009, Nik Aziz di laporkan oleh Utusan Malaysia sebagai berkata, “DAP kalau nak hina Islam (tidak apa) pasal dia bukan Islam.”

Pada 30 Jun 2010, HarakahDaily melaporkan Nik Aziz sebagai berkata, “You (Karpal) sebut Islam tak betul dengan hujah yang tak pasti, tetapi selagi you tak boleh menyebut Islam ini tak betul sama ada dari segi akidah, muamalah, saya nak tinggal Islam pun tak boleh…”

Dan lebih memeranjatkan lagi ialah apabila New Straits Time melaporkan pada 9 Julai 2010 kenyataan Nik Aziz yang saya terjemahkan seperti berikut, “Saya sudah sebut banyak kali. Kalau mereka yang tak boleh terima polisi kita boleh tunjukan saya bukti terdapat kesilapan dengan Islam, saya sendiri akan tolak Islam. Kalau tidak kamu tidak boleh bagi bukti, maka saya tidak ada alasan untuk meninggalkan Islam, (kenyataan asal, I have mentioned this many times. If those who cannot accept our policies can show me what is wrong with Islam, then I personally will reject Islam. If you cannot give proof, the I have no reason to leave my religion,”

Sudah tentulah DAP, sama ada Karpal Singh atau Lim Kit Siang merasakan mereka ada bukti bahawa ada yang tidak kena dengan Islam, jika tidak sudah tentu mereka sudah memeluk agama Islam apalagi Lim Guan Eng yang tidak habis-habis dengan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Tetapi ini adalah soal kepercayaan. Islam adalah agama dan agama adalah isu kepercayaan.

Apapun yang Karpal Singh dan Lim Kit Siang kata tentang kelemahan Islam, tidak boleh menyebabkan kita meminda aqidah kita. Islam itu tetap sempurna, itu kepercayaan kita.
Bagaimanapun, saya yakin UMNO tidak akan mengatakan Islam itu tidak sempurna atau mencari kesilapan di dalam polisi Islam.

Cuma UMNO adalah sama dengan PAS hari ini, hanya sekadar sebuah Parti Politik. Segala keputusan dan perubahan di dalam dasar-dasar yang hendak dilaksanakan hendaklah di ambil kira pelbagai pertimbangan politik dan daya tahan politik.

Melihat begitu banyak yang telah terpaksa PAS korbankan sedangkan DAP terus teguh dengan pendirian mereka, maka kenyataan Mahfuz dan Mohd Firdaus yang menjadi teras penulisan saya ini, begitu mengganggu saya.

Saya tidak mahu mempertikaikan sama ada PAS mampu atau tidak menang 60 kerusi Parlimen. Itu adalah persoalan lain. Tetapi saya masa melihat bagaimana kedudukan PAS dalam PRU ke 13 berdasarkan hujah-hujah kedua-dua mereka.

Pada Jun 2009, saya telah diarahkan untuk menyiapkan satu analisa bagi kerusi-kerusi Parlimen yang PAS tewas di dalam PRU 2008 lalu. Analisa itu dibuat bersempena Muktamar PAS pada tahun tersebut. Kenyataan Mohd Firdaus tidak bercanggah dengan analisa yang saya buat ketika itu.

Tetapi berdasarkan analisa itu, kesimpulannya ialah jika PAS mahu memenangi kerusi-kerusi Parlimen yang PAS tewas di dalam 2008:

1.Mempertahankan sokongan pengundi Melayu yang diterima di dalam PRU 12.
2.PAS harus mengaut sokongan daripada pengundi-pengundi Cina.
3.Memperlengkapkan jentera di kawasan-kawasan Parlimen tersebut.

Bagaimanapun, ianya datang dengan risiko yang besar. Ini kerana di dalam menambah sokongan pengundi Cina, PAS perlu memberi lebih banyak konsesi kepada mereka. Konsesi yang dimaksukan ialah untuk menggugurkan lebih banyak elemen-elemen perjuangan Islam di dalam PAS.

Jika ini berlaku, PAS berkemungkinan besar akan kehilangan pula pengundi teras mereka yang menyokong PAS kerana PAS memperjuangkan Islam. Ini akan menjadikan PAS hanya satu lagi replika kepada Parti Keadilan Rakyat yang berjuang untuk menentang apa yang lihat mereka sebagai ketidak adilan.

Kenyataan Mahfuz pula walaupun bertujuan untuk menyatakan bahawa undi Melayu terhadap PAS tidak merosot, tetapi sebenarnya Mahfuz telah mendedahkan bahawa undi Melayu terhadap PAS sudah merosot hampir 10 peratus dari tahun 1999. Kenyataan Mahfuz juga secara tidak langsung mendedahkan undi Melayu yang diterima PAS juga telah merosot hari ini berbanding dengan semasa PRU 2008.

Perlu diingat sewaktu berdepan dengan PRU 2008, PAS dan DAP tidak diikat oleh mana-mana gandingan politik melainkan memperjuangkan isu-isu bersama. Selepas PRU 2008 barulah PAS memeterai satu pakatan politik bersama DAP.

Apakah ini yang mengakibatkan kemerosotan dari segi peratusan undi Melayu yang PAS terima?

Pengikut PAS harus sedar, jika benar PAS memperolehi hanya 45 peratus undi Melayu seperti yang dinyatakan oleh Mahfuz, tidak mustahil tragedi PRU 2004 akan berulang.

Jika hanya 45% pengundi Melayu memilih PAS pada hari ini, PAS akan berdepan dengan masalah bagi konstituensi-konstituensi dimana komposisi pengundi Melayunya melebihi 88 peratus. PAS juga akan bermasalah di konstituensi-konstituensi dimana pengundi Cinanya kurang daripada 18 peratus.

Ini bererti, PAS boleh kehilangan minimum 10 kerusi Parlimennya sekarang. Ini bagaimanapun tidak termasuk kerusi tradisi mereka di Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian serta Marang. Bagaimanapun harus diingat, PAS pernah terlucut Marang dalam PRU 2004.

Kerusi-kerusi yang PAS akan kehilangan ialah:

1. P007 Padang Terap.
2. P011 Pendang.
3. P012 Jerai.
4. P013 Sik.
5. P016 Baling.

Kesemua kerusi di atas adalah di Kedah dan pada 2004, kerusi-kerusi tersebut dimenangi oleh BN UMNO melainkan Pendang dimana PAS pertahankannya dengan hanya 50 undi. Pada 1999 PAS menang Pendang dengan majoriti 2,939 undi atau 6.91 peratus. Pada Pilihanraya Kecil 2002, BN UMNO merampas Pendang dengan majoriti, 283 undi atau 0.62 peratus.

PAS juga akan kehilangan kerusi-kerusi berikut:

6. P019 Tumpat.
7.P023 Rantau Panjang.
8. P025 Bachok
9. P028 Pasir Puteh
10. P031 Kuala Krai.

Pada tahun 2004, PAS kehilangan Kuala Krai dengan majoriti 2,416 undi, Pasir Puteh dengan 3,810 undi dan Bachok dengan 6,272 undi. Bagaimanapun Rantau Panjang di menangi PAS dengan majoriti 723 undi dan Tumpat dengan majoriti 1,820 undi.

Jika benar PAS menikmati 45 peratus undi Melayu dan kekal menikmati lebih 80 peratus undi pemilih Cina, PAS seharusnya tidak bermasalah untuk mempertahankan kerusi-kerusi berikut:

1. P008 Pokok Sena.
2. P021 Kota Bharu.
3. P036 Kuala Terengganu.
4. P057 Parit Buntar.
5. P059 Bukit Gantang.
6. P096 Kuala Selangor.
7. P101 Hulu Langat.
8. P108 Shah Alam.
9. P111 Kota Raja.
10. P119 Titiwangsa.

Daripada jumlah 43 buah kerusi Parlimen yang PAS tewas dalam PRU 2008, saya mendapati PAS hanya mempunyai peluang untuk menawan 9 buah kerusi Parlimen sahaja. Konstituensi tersebut ialah:

1. P081 Jerantut.
2. P067 Kuala Kangsar.
3. P042 Tasek Gelugor.
4. P090 Bera.
5. P095 Tanjung Karang.
6. P093 Sungai Besar.
7. P001 Padang Besar.
8. P079 Lipis.
9. P059 Lenggong.

Peluang PAS ini bagaimanapun banyak bergantung kepada calon yang akan diletakan oleh BN UMNO serta keupayaannya mendapatkan sekurang-kurangnya 45 peratus undi pemilih Melayu.

Bagi konstituensi seperti Arau, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Jerlun, walaupun PAS menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam PRU 2008, tetapi PAS akan menemui laluan sukar kerana mereka perlu memenangi lebih dari 50 peratus undi Melayu untuk menang di sini.

Walaupun PAS mensasarkan untuk bertapak di beberapa kawasan Parlimen di Negeri Sembilan dan Johor di mana pengundi Melayu kurang daripada 80% dan jumlah pemilih Cina adalah tinggi, namun pengikut PAS harus sedar, secara realitinya ia adalah amat sukar. Ini kerana PAS tidak mempunyai jentera yang besar di negeri-negeri tersebut bagi menawan kerusi-kerusi Parlimen.

Di dalam pilihanraya kecil di mana jentera PAS dari Kelantan dan Terengganu menumpu sepenuh perhatian pun, PAS masih menghadapi kesukaran apa lagi di dalam Pilihanraya Umum.

Sebenar-benarnya, PAS telah mengganjakkan pintu gol mereka untuk memudahkan DAP menjaringkan gol. Tetapi di dalam berbuat begitu, PAS telah menimbulkan kekeliruan kepada barisan pertahanan mereka.

Impak dari tindakkannya itu juga, PAS berpotensi untuk kehilangan kerusi-kerusi tradisinya kesan dari kemuncupan sokongan pengundi Melayu akibat keghairahan segelintir dari pimpinan PAS menari mengikut gendang perang oleh masyarakat Cina.

Tiada siapa dapat menafikan bahawa, berkemungkinan PRU ke 13 akan menjadi medan bagi pemilih Melayu menentukan hidup mati Ketuanan Melayu di bumi yang satu ketika dahulu di panggil Tanah Melayu.

Jika ini benar berlaku, ia akan menyaksikan pengundian berdasarkan garisan perkauman dan PAS berkemungkinan akan tersepit di dalam pertembungan itu.

Friday, July 9, 2010

AGENDA MELAYU JAHANAMKAN MELAYU-ISLAM

Daripada www.kijang-jantan.blogspot.com (FRIDAY, JULY 9, 2010)
(Tajuk asal ‘MELAYU YANG MEMERANGI MELAYU-ISLAM’)

Saya amat tertarik dengan entri terbaru blogger Kickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang menimbulkan persoalan ‘Agenda Melayu: Menang Sorak, Semenanjung Tergadai.

Kickdefella yang rapat dengan pemimpin PAS dan beberapa pemimpin pembangkang lain tentunya mempunyai fakta ‘dari dalam’ mengenai jumlah yang dikumpul oleh pemimpin pembangkang bagi tujuan ‘menjatuhkan Melayu’.

Seperti dipetik Utusan Malaysia dengan tajuk ‘Berapa bilion berperang sesama Melayu?’ hari ini, persoalan utama yang dikemukakan oleh Kicikdefella ialah berapa bilionkah yang akan dihabiskan supaya calon Melayu boleh menewaskan calon Melayu pada pilihan raya umum akan datang?

Kickdefella turut mempersoalkan berapa banyak wang, masa dan tenaga orang-orang Melayu yang akan dihabiskan untuk tujuan berperang sesama Melayu.

Persoalan saya hasil entri Kickdefella ini, dari mana dan bagaimana wang itu dapat dikumpulkan?

Persoalannya:
1. Kaya sangatkah pemimpin Melayu dari PAS dan Parti Keadilan Rakyat?
2. Sanggupkah penyokong PAS dan Keadilan mengeluarkan wang sebegitu banyak?
3. Kalau tidak mampu, siapakah yang membiayai mereka ini?


Perkara lain ialah jika benar inilah yang diusahakan oleh pemimpin Melayu dan Islam, khususnya PAS, sedarkah mereka sebenarnya mereka cuba menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam berpaksikan Barisan Nasional yang sama-sama ditegakkan oleh bukan-Melayu.

Apa jaminan PAS dapat daripada pemimpin bukan-Melayu dan bukan-Islam apabila menegakkan kerajaan baru dalam konteks memulihara dan menegakkan Islam?

Apakah Melayu dan Islam bertambah baik di Pulau Pinang dan Selangor?

Apakah orang Melayu dan Islam dilindungi seperti dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini berbanding di Pulau Pinang?

Menurut Kickdefella, ''Exco Kanan Kelantan, Datuk Husam Musa dalam ceramah terbukanya di Taman Guru tidak lama dulu berkata, dia akan cari RM20 juta untuk memerangi UMNO supaya parti itu tumbang.


"Saya sendiri pernah menulis bahawa Husam memberitahu saya dia perlu dapatkan RM200 juta untuk bawa PAS ke Putrajaya. Kalau seorang ekonomis seperti Husam menyasarkan jumlah itu, bagaimana pula puluhan ekonomis di dalam UMNO?".

Katanya, perebutan orang Melayu Islam di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum akan datang melibatkan 109 kerusi Parlimen.

Katanya, perebutan itu akan melibatkan 65 kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO dan 23 yang dimenangi PAS.

Parti Keadilan Rakyat pada suatu ketika memiliki 20 kerusi yang dimenangi oleh calon Melayu Islamnya dan Bebas satu kerusi, yang dimenangi oleh Datuk Ibrahim Ali atas nama PAS.

"PAS sekarang memiliki 23 kerusi di Dewan Rakyat manakala UMNO pula memiliki 65 buah kerusi yang dimenanginya di Semenanjung Malaysia. Jadi PAS ada peluang untuk bertanding lebih banyak kerusi dan ada kemungkinan untuk menang lebih besar dari DAP dan PKR.

"Untuk memperoleh kerusi lebih banyak, PAS perlu menyandarkan nasibnya kepada pemilih bukan Melayu dan bukan Islam serta pada waktu yang sama berusaha menyedapkan hati orang-orang Islam dengan menjemput beberapa kerat orang Cina dan India untuk membaca sepatah dua al-Quran kepada orang-orang Islam," katanya.

Syed Azidi bagaimanapun menyoal, adakah PAS yakin bahawa pemilih-pemilih bukan Melayu akan membiarkan parti itu menunggangi mereka untuk menjadikan Parti Islam Se-Malaysia sebagai parti tunjang pakatan pembangkang.

Beliau memberitahu, agenda Melayu sukar dilaksanakan kerana komposisi ahli Parlimen Melayu dan Islam yang berada di dalam kerajaan Pusat hanyalah 39 peratus.

"Sedangkan daripada 222 ahli Parlimen, jumlah keseluruhan ahli Parlimen dari keturunan Melayu dan beragama Islam ialah ialah 58 peratus daripada keseluruhan ahli Dewan.

"Ini bererti hampir 19 peratus ahli Parlimen Melayu dan bumiputera Islam lain berada di luar kerajaan manakala 17 peratus ahli Parlimen bukan Melayu, bukan bumiputera dan bukan Islam membentuk sebuah pakatan yang akhirnya menambah sukarnya agenda Melayu dilaksanakan," katanya.

Untuk lebih jelas entri Kickdefella, ikuti tulisannya:


Agenda Melayu: Menang Sorak, Semenanjung Tergadai

8 07 2010


“Orang Melayu pernah tinggalkan Dato’ Onn dalam usaha membawa kemerdekaan, bukannya kerana orang Melayu tidak sayangkan beliau ataupun menyisihkan beliau,” katanya sambil menambah, jika perlu meninggalkan beberapa orang demi perpaduan “kita kena memikirkan perkara ini.”

“Tetapi lebih manis kalau Datuk Nik Aziz boleh dibawa bersama, tetapi tengok sejarah ada tokoh-tokoh yang baik, kita kena tinggalkan,” kata beliau. – Di petik dari artikel Perpaduan Melayu: Kickdefellanikaziz idea nakal, tak wajar sisih Nik Aziz oleh G Manimaran, The Malaysian Insider.

Sudah tiba masanya saya bercakap soal Perpaduan Melayu. Tidak! Saya tidak mahu bercakap soal menyelamatkan UMNO atau satu dua pemimpin yang ditolak massa. Dulu kita sebenarnya tidak bercakap soal Perpaduan Melayu, sebab agenda sebenarnya ialah untuk menyelamatkan kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO.

Kemudian kita bercakap soal Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Tanpa Pembangkang. Itu bukan agenda Melayu. Itu adalah agenda mengekalkan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah beliau ‘dipaksa’ berundur sebagai Presiden UMNO.

Bagaimana agenda mempertahankan Yang Amat Berhormat Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap agenda Perpaduan Melayu?

Bagaimana agenda yang hanya memanfaatkan Kamaluddin Abdullah dan YB Khairy Jamaluddin boleh di anggap membela Melayu?

Tetapi agenda Melayu hendaklah di lihat dari sudut-sudut lain. Daripada 222 orang Ahli Dewan Rakyat yang dipilih dalam Pilihanraya Umum Ke 12, komposisi Melayu dan Islam yang berada di dalam Kerajaan Pusat hanyalah 39% sahaja.

Sedangkan jumlah keseluruhan Ahli Dewan Rakyat dari keturunan Melayu dan yang beragama Islam ialah 58% dari keseluruhan ahli dewan. Ini beerti hampir 19% Ahli Dewan Rakyat Melayu dan lain-lain Bumiputera Islam berada di luar Kerajaan bersama 17% Ahli Dewan Rakyat Bukan Melayu, Bukan Bumiputera dan Bukan Islam membentuk sebuah Pakatan yang akhirnya menambah sukarnya agenda Melayu dilaksanakan.

Dari segi matematiknya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diyakinkan bahawa, paling banyak DAP dan PKR boleh menambah kerusi Dewan Rakyat di dalam PRU akan datang ialah 20 sahaja, iaitu 15 kerusi dari MCA, 3 kerusi dari MIC dan 2 kerusi dari GERAKAN. Ini kerana DAP sudah meramPAS 26 kerusi majoriti pengundi Bukan Melayu di Semenanjung Malaysia dan calon Bukan Melayu PKR pula sudah meramPAS 10 kerusi campuran.

PAS sekarang memiliki 23 kerusi di Dewan Rakyat. UMNO pula memiliki 65 buah kerusi Dewan Rakyat yang dimenanginya di Semenanjung Malaysia. Jadi PAS ada peluang untuk bertanding lebih banyak kerusi dan ada kemungkinan untuk menang lebih besar dari DAP dan PKR. Tetapi itu adalah hanya kemungkinan.

Untuk memperolehi kerusi lebih banyak, PAS perlu menyandarkan nasibnya kepada pemilih Bukan Melayu dan Bukan Islam serta pada waktu yang sama berusaha menyedapkan hati orang-orang Islam dengan menjemput beberapa kerat orang Cina dan India untuk membaca sepatah dua Al Quran kepada orang-orang Islam. Serta beberapa kerat ini menyelitkan pula satu dua nama pemimpin besar Islam dalam penjelasan polisi mereka. Tetapi yakinkah PAS bahawa pemilih-pemilih bukan Melayu akan membiarkan PAS menunggangi mereka untuk menjadikan Parti Islam SeMalaysia sebagai parti tunjang Pakatan Rakyat?

Selain 65 buah kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi UMNO dan 23 yang dimenangi PAS, PKR pada suatu ketika memiliki 20 kerusi yang dimenangi oleh calon Melayu Islamnya dan Bebas satu kerusi, yang dimenangi oleh Ibrahim Ali atas nama PAS. Ini beerti terdapat 109 buah kerusi yang akan menjadi perebutan orang-orang Melayu Islam di Semenanjung Malaysia.

Bayangkan betapa banyak wang, masa dan tenaga orang-orang Melayu yang akan dihabiskan untuk tujuan berperang sesama Melayu. YB Husam Musa berkata dalam ceramah terbukanya di Taman Guru tidak lama dulu bahawa dia akan cari RM20 juta untuk memerangi UMNO supaya parti itu tumbang.

Saya sendiri pernah menulis bahawa Husam memberitahu saya dia perlu dapatkan RM200 juta untuk bawa PAS ke Putrajaya. Kalau seorang ekonomis seperti Husam mensasarkan jumlah itu, bagaimana pula puluhan ekonomis di dalam UMNO?

Berapa billionkah yang akan dihabiskan supaya calon Melayu boleh lawan calon Melayu dan tewaskan calon Melayu?

Saya ingin berhenti di sini dahulu buat kali ini. Isu ini sungguh menyayat hati untuk diteruskan penulisannya.

(Nota: Situasi semasa di Dewan Rakyat, GERAKAN 2, LDP 1, MCA 15, MIC 4, PBB 14, PBRS 1, PBS 3, PRS 6, SPDP 4, SUPP 5, UMNO 78, UPKO 4, DAP 29, PAS 23, PKR 24, PSM 1 dan BEBAS 8).