Showing posts with label GST. Show all posts
Showing posts with label GST. Show all posts

Thursday, April 27, 2017

FIKIRKAN…GST SANGAT PENTING, PENYELAMAT BUAT NAJIB, KERAJAAN BN???


"Apakah UMNO/BN kini sebuah parti yang menekan rakyat, khususnya rakyat Melayu dan Islam gara-gara GST..dan kenapa pemimpin UMNO/BN 'tuli dan buta' terhadap isu yang dianggap sebagai menzalimi rakyat ketika inii?"

Kenyataan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  sangat penting bagi kerajaan Barisan Nasional (BN) menyerlahkan bahawa ia sama sekali tidak akan dimansuhkan.

Bermakna kerajaan yang ada hari ini akan terus menyusah dan menyeksa rakyat.

Walaupun tidak dinyatakan kemungkinan akan ada pertambahan peratusannya (daripada 6 peratus ketika ini) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti tetapi nyata sudah, rakyat akan menanggungnya secara berterusan.

Malah memandangkan GST terlalu penting buat Datuk Seri Najib Razak, UMNO dan BN, ia mungkin akan menjadi manifesto UMNO/BN untuk pilihan raya umum akan datang.

Sedangkan, pembangkang sudah menegaskan berulang kali bahawa rakyat tidak akan dibebani GST jika Pakatan Harapan (PH) menewaskan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), AMANAH, PKR dan DAP sudah jelas bahawa mereka semuanya menolak GST.

Dengan kata lain, jika PH memerintah,  GST akan berada di tahap ‘sifat (0) peratus’. Dan rakyat perlu faham apa diaksudkan PH mengenai GST berkadar sifar .

Ertinya ialah, rakyat atau pengguna tidak perlu membayar sebarang cukai ke atas barangan atau perkhidmatan.

Ia juga bererti tidak ada cukai dikenakan ke atas harga akhir yang terhasil daripada sebarang cukai yang dibayar perniagaan dan pengeluar.

Ini kerana perniagaan dan pengeluar boleh menuntut balik sebarang GST yang dibayar untuk aset, pembelian atau perbelanjaan perniagaan mereka, daripada kerajaan sebagai input kredit cukai.

Pada 14 Januari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa pembaharuan yang akan dilakukan jika parti campuran pembangkang memenangi PRU14.

Pengerusi PPBM  itu berkata, antara perkara utama adalah menghapuskan GST secara beransur-ansur dan menggantikannya dengan cukai jualan mengikut selera rakyat.

Selain itu, nilai mata wang ringgit akan dipertahankan tanpa menjual dolar Amerika dalam simpanan negara, katanya ketika melancarkan parti itu secara rasmi di Stadium Malawati Shah Alam..

Semalam pula Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjelaskan, PH sepakat untuk memansuhkan GST sekiranya mereka membentuk kerajaan baharu.

“Saya sudah mengatakan perkara ini berulang kali. Kami akan ambil jalan berkadar sifar. Malah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan PH dan PKR  akan lakukannya apabila PH ambil alih kerajaan.

“Saya tak tahu mengapa BN tak faham ilmu hisab. Tak tahu sifar itu apa? Sifar ertinya kosong, ‘ling su’ dan ‘suzhiyam’,” kata Guan Eng pada sidang media di Komtar semalam.


Kelmarin, Nurul Izzah menjelaskan PH akan menghapuskan GST dengan menjadikannya berkadar sifar.

Beliau  berkata GST yang dikumpulan oleh BN itu turut  digunakan untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad, kerana persamaan antara hasil RM39 bilion dengan jumlah kerugian syarikat itu begitu menakjubkan.

Jadi malam semalam apabila Perdana Menteri mengatakan cukai  yang membebankan rakyat itu  sebagai cara dan alat terbaik untuknya berfungsi ‘membantu rakyat’, adalah sesuatu yang menghairan dan wajar dipersoalkann.

Amatlah malang sekiranya Najib  mengatakan kerajaan BN  tidak boleh berfungsi dengan baik untuk berkhidmat kepada rakyat sekiranya GST dibatal atau tidak dilaksanakan.

Namun itulah yang disebut oleh Najib yang menurutnya,  negara tiada sumber hasil yang kukuh untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Apakah dengan berkurangnya hasil petroleum, kerajaan BN sudah mati akal untuk mencari sumber baru kepada pendapatan negara, apalagi untuk membayar hutang negara yang semakin bertimbun?

Malang sekali jika mempunyai kerajaan yang mengharapkan ‘titik peluh dan keringat rakyat’ untuk membolehkannya berfungsi.

Pada ketika rakyat menolak GST yang membebankan, Perdana Menteri menganggap GST sebagai penyelamat dan kerana itulah puncanya kerajaan BN mempertahankan GST  habis-habisan..

Najib menganggap GST segala-galanya kerana menurutnya  jika tidak ada sumber hasil yang kukuhm iaitu GST, kerajaan tidak akan mampu membina sekolah, menjalankan perkhidmatan kesihatan, mengawal keselamatan melibatkan polis dan tentera, memberi biasiswa (kepada pelajar) juga bayar pencen kepada 1.6 juta penjawat awam.

“Ini semua memerlukan sumber kewangan. Kalau kita tolak GST, ini bermakna kita menolak lebih RM50 bilion setahun. Kalau kita tolak RM50 bilion daripada bajet, maka kerajaan tidak boleh berfungsi sebenarnya dan banyak perkhidmatan yang hari ini kita beri kepada rakyat tidak boleh dilaksanakan," kata Najib yang juga Presiden UMNO.


Tdiak peliklah jika Najib dan BN beria-ia mempertahankan GST yang berbeza sekali dengan pembangkang  yang mahu ia dihapus sama sekali kerana banyak cara atau langkah lain boleh diperkenalkan untuk mendatangkan sumber kepada kerajaan.

Kenyataan Najib mempertahankan GST ini dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, malam semalam.

Najib berkata kenyataan pembangkang menolak GST nyata sekali tidak berasas tanpa berlandaskan fakta berbanding kerajaan BN yang melihat GST tersangat penting untuknya.


Dengan kedudukan di mana pengumuman Najib mempertahankan GST selepas mesyuarat penting UMNO bermakna UMNO parti yang menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam mempertahankan dasar percukaian yang dianggap sebagai menzalimi rakyat.

Apakah UMNO/BN kini sebuah parti yang menekan rakyat, khususnya rakyat Melayu dan Islam gara-gara GST yang rata-rata disuarakan oleh rakyat, termasuk di luar bandar sebagai menekan dan membebankan rakyat?

Kenapa pemimpin UMNO/BN 'tuli dn buta' terhadap isu yang dianggap sebagai menekan dan menzalimi rakyat ketika inii?

Sedangkan di pihak PH, kadar GST lebih wajar diturunkan ke paras 0% daripada 6% memandangkan sistem GST sudah dilaksanakan dan perniagaan sudah mengeluarkan belanja untuk melaksanakan sistem percukaian itu,


Menjadikan GST berkadar sifar sama kesannya seperti memansuhkan GST dan pastinya akan meringankan beban rakyat yang terpaksa ditanggung akibat dasar pentadbiran Najib, UMNO dan BN yang nyata menekan dan menjadikan rakyat sebagai 'penyelamat' kepada negara bermasalah ketika ini.


Friday, December 30, 2016

GST – BILA LAGI JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN MAHU TENTUKAN SYARAKNYA?

Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin...pertimbangan bebas
"Pertimbangan hukum yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hendaklah bebas daripada parti politik sebaliknya berasaskan kepentingan rakyat serta penemuan intensif pakar syariah dan ekonomi tempatan."
Apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan, antara perkara yang dijanji ialah untuk mengkaji sama ada ia mematuhui hukum syara atau sebaliknya.

Menurut rekod kerajaan, ada sebanyak 200,000 syarikat daripada 430,000 syarikat yang mendaftar GST di seluruh negara.

Apa yang jelas kini ialah kerajaan hanya mementingkan soal duit masuk kantong mereka semata-mata apabila menekankan berapa banyak yang berjaya dan akan dikutip,  selain tindakan terhadap  mereka yang ingkar.

Janji lain seperti harga barangan akan menjadi lebih murah, rakyat akan mendapat pulangan setimpal dan hasil untuk membangunkan negara, atau kadar GST akan diilai semula tidak lagi diperkatakan dalam menilai dan mengkaji tuntutan rakyat.

Kerajaan mengatakan apa yang dilaksanakan melalui GST ketika ini akan kekal kerana ia menjadi pendapatan penting kerajaan sebagai pengganti kepada hasil gas dan petroleum akibat kejatuhan harga bahan itu di pasaran dunia.

Dengan kata lain, rakyat dan syarikat kini menjadi penyelamat kepada kerajaan untuk mendapatkan hasil sedangkan sumbangan baik daripada hasil itu kepada rakyat tidak diperincikan.

Apakah langkah ini wajar dan bertepatan dengan tuntutan agama?

Bagaimana dengan janji untuk mengkajinya kedudukan enam parameter syarak yang perlu dirujuk dalam pelaksanaan GST?

Enam perkara itu membabitkan:

1.      Komitmen kerajaan dalam melaksanakan syariat Islam;
2.      Sumber kewangan;
3.      Cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;
4.      Bebanan cukai dikutip secara adil;
5.      Cukai dibelanjakan untuk maslahah ummah dan bukan untuk maksiat; serta
6.      Agihan cukai perlu bertepatan dengan ijithad ulama semasa dan setempat.

Sejauh ini  ulama memberikan pendapat yang berbeza semasa perbincangan yang dibuat mengenai pelaksanaan cukai itu, sama ada haram atau harus. Bagaimanapun selepas perbincangan tersebut, ulama sebulat suara menyatakan pelaksanaan GST harus dilaksanakan tetapi dengan berpandukan enam syarak yang ditetapkan.

Harapkan ulama PAS untuk memperkatakan isu GST? Pendirian mereka semakin tidak jelas walaupun mulanya menentang tetapi malah ada mengatakan mereka menyokong pelaksanaan GST walaupun tahu keadaan ketika ini sangat terkesan kepada rakyat.

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April 2015 terus diperkatakan rakyat biasa dan akan menjadi  salah satu isu dalam pilihan raya akan datang. Yang pasti, rakyat ternyata tidak berpuas hati dengan pelaksanaan dan pengagihannya.

Banyak pendapat diluahkan, malah ada mengatakan GST zalim dan menekan rakyat. Di pihak kerajaan, ia baik untuk mereka dan pendapatan negara.

Yang pasti, berkaitan GST dan hubungannya dengan  Majlis Fatwa Kebangsaan, tempoh selama setahun diberikan dalam pelaksanaan GST  agar dikaji - apakah ia mematuhi hukum syarak yang ditetapkan - sudah matang tempohnya.

Namun sehingga kini kajian mengenai kedudukannya dari segi syarak dan apakah adil untuk masyarakat, berlalu begitu sahaja.

Di mana ciri-ciri Wasatiyyah yang menekankan kesederhanaan dalam perlaksanaan GST ini?

Tidakkah kesederhanaan ini bermaksud tidak menekan rakyat dan tidak pula membelanjakan pendapatan untuk tujuan lain tetapi dikembalikan hasilnya untuk kesejahteraan dan kebaikan rakyat?

Dengan kata lain, kalau terdesak mahu melaksanakannya biarlah kadarnya bersesuaian dan hasilnya dipulangkan kepada rakyat dengan seadil-adilnya.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 19 Oktober 2016, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kutipan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM dari Januari hingga Oktober 2016 ialah RM29.34 bilion.

Johari...kutipan GST meningkat
Ia meningkat sebanyak RM1.41 bilion berbanding sembilan bulan tahun lalu yang berjaya meraih RM27.93 bilion.

Katanya, walaupun kerajaan menetapkan kadar GST sebanyak enam peratus, namun jumlah barangan dan perkhidmatan yang efektif dikenakan cukai tersebut hanya pada kadar 3.6 peratus.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula kelmarin berkata pihaknya menyasarkan kutipan tambahan lebih RM3 bilion melalui pendekatan operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) yang lebih bersifat pematuhan pendidikan pada tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk T. Subromaniam berkata, sasaran itu berdasarkan kutipan tambahan RM1 bilion yang berjaya dikutip dalam tempoh empat bulan selepas Ops CBOS dilaksanakan.    

Menurutnya pendekatakan yang dilaksanakan sebelum ini lebih kepada bentuk penguatkuasaan yang dilihat kurang berkesan. Kerana itu strategi diubah yang lebih bersifat mesra pelanggan dan berteraskan pendidikan dalam usaha memberi tunjuk ajar kepada peniaga yang masih keliru dan kurang faham tentang GST.

Walaupun sudah dilaksanakan lebih 18 bulan, masih ramai peniaga tidak faham mengenai GSTselain ada da juga yang tidak membayar GST dengan betul, malah ada yang mengikrarkan GST lebih rendah daripada kadar ditetapkan, selain yang mengutip tetapi tidak membayar kepada JKDM.

Sejak GST dilaksanakan sebanyak 4,000 kertas siasatan dibuka dengan 400 syarikat sudah didakwa di mahkamah membabitkan kesalahan seperti tidak menghantar penyata GST, menghantar penyata tetapi tidak membayar, tidak mendaftar GST dan penipuan GST.    

Melalui usaha ini, JKDM yakin dapat mencapai sasaran kutipan GST yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM40 bilion pada tahun 2017 iaitu peningkatan RM1 bilion berbanding sasaran pada tahun ini sebanyak RM39 bilion.    

Bolehkah dipericikan di mana wang yang dikutip sejauh ini akan datang iaitu RM40 bilion dibelanjakan? Jangan hanya sebit BR1M dan pembangunan melalui duit GST.

Mufti Perak....Harussani
Ini kerana GST yang dikutip adalah melalui tabungan khusus, bukan pendapatan bercampur dan mudah untuk dijelaskan ke mana ia disalurkan.

Bolehkah kerajaan menyatakannya dengan telus?

Apakah benar ia akan digunakan untuk membayar hutang kerajaan daripada cukai yang dikenakan terhadap rakyat dan syarikat-syarikat di negara ini?

Wajahkah ia dibelanjakan bagi tujuan berkenaan? Juga benarkah ia juga digunakan untuk menampung pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang didakwa?

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin, pada 20 April 2015 berkata pada ketika itu, terlalu awal untuk membuat sebarang tafsiran berhubung sistem percukaian yang mula dikuatkuasa pada awal  April tahun lalu.

Kita bersetuju memang ia terlalu awal pada ketika itu. Namun kini? Kenapa jawatankuasa itu masih membisu?.

Jawatankuasa itu sebelum ini mengatakan pihaknya memberi masa sekurang-kurangnya setahun untuk melihat sama ada pelaksanaan GST ini mengikut hukum syarak atau tidak.

Kini tempoh setahun sudah melepasi waktunya dan apakah majlis itu kini sudah bersedia menilainya?

Sewajarnya dalam menyokong kerajaan dalam berbagai polimik, alim ulama termasuk mufti-mufti, termasuk Mufti Perak,Tan Sri Hurussani Zakaria atau Mufti Pahang, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang lantang dan sering menyokong kerajaan’ turut memperkatakan isu yang dilihat ‘menekan rakyat’ ini.

Mereka yang arif mengenai agama sewajarnya melihat masalah rakyat sebagai keutamaan, selain isu-isu seperti tempat duduk berasingan dalam bas atau isu mengejar Pokemon.

Mufti Pahang...Dr Abdul Rahman
Alim ulama berperanan untuk memperkatakan isu masyarakat, bukan sahaja dalam isu ibadah, kepercayaan, soal salah laku dan sebagainya yang membabitkan fardu ain tetapi juga dalam konteks GST yang rata-ratanya dirasai sangat menyusahkan rakyat. Apalagi kini dalam kedudukan harga barangan yang semakin naik, selain kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan harga barangan keperluan meningkat dan menggugat kehidupan harian rakyat Malaysia?

Apakah ulama Malaysia hanya layak  bercakap soal fardu ain dan tidak fardu kifayah yang ada kena mengena dengan kehidupan seharian majoriti rakyat biasa berbanding mempertahankan pendapat dan pendirian orang politik dan pemimpin kerajaan semata-mata?

Yang diharapkan, seperti janji Abdul Shukor sebelum ini,  pertimbangan hukum yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah ia tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Malah, keputusan hendaklah dibuat selepas mengambil kira laporan intensif yang disediakan penyelidik di kalangan pakar syariah dan ekonomi dari universiti tempatan.