Showing posts with label BR1M. Show all posts
Showing posts with label BR1M. Show all posts

Sunday, January 15, 2017

BR1M – APA YANG KONTROVERSI DAN BERCANGGAHNYA KENYATAAN DR MAHATHIR?


Hanya untuk menampilkan buruknya perangai dan tidak konsistennya Tun Dr Mahathir Mohamad,  kenyataannya mengenai Bantuan 1 Rakyat Malaysia (BR1M) malam semalam dilaporkan begini:

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), memberi bayangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan jika parti campuran itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan kontroversi menyatakan bantuan tersebut kononnya sebagai rasuah kerajaan, berkata, BR1M akan dikekalkan jika bantuan itu didapati penting buat rakyat.”

Kenyataan di atas ialah oleh mStar Online sementara BeritaHarian Online (BH Online) pula menyebut, Dr Mahathir memberi bayangan BR1M akan diteruskan jika parti campuran itu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. “Kenyataan itu jelas bercanggah dengan dakwaan beliau baru-baru ini yang melabelkan BR1M kononnya rasuah yang diberi oleh kerajaan.”

Kedua-duanya menggunakan perkataan bayangan pada perenggan intro, dikira ‘ok lah’.

Bagaimanapun, dengan memasukkan perkataan ‘kenyataan kontoversi’ oleh mStar dan Berita Harian pula menggunakan ‘bercanggah dengan dakwaan’ ia memberikan gambaran seolah-olah Dr Mahathir menolak bantuan untuk rakyat

Apakah tujuan mereka untuk menunjukkan Dr Mahathir jenis pemimpin yang ‘klu-klek’ atau istiqamah dengan kenyataan dan pendiriannya?

Apakah untuk menggambarkan Dr Mahathir tidak menghargai bantuan untuk rakyat?

Sedangkan yang ditolak oleh Dr Mahathir mengenai BR1M sebelum ini ialah apabila ia dijadilan ‘alat politik untuk meraih sokongan’ umpamanya mengapa mesti pemimpin UMNO perlu menyampaikan bantuan itu untuk fasa pertama.

Kerajaan bersetuju dengannya mungkin hasil desakan melalui Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang baru lalu.

Sepatutnya, fahami apa yang diucapkan oleh Dr Mahathir dan tidak membuat laporan mengelirukan melalui interpretasi sendiri demi mengulas apa yang dimaksudkan BR1M oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Kata Dr Mahathir pada perasmian PPBM semalam: “Sesungguhnya yang miskin dan daif akan diberi bantuan supaya mereka ​boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau tidak parti campuran ​pembangkang tidak akan diambilkira dalam bantuan yang akan diberi.

Kita akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan ​diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat sokongan ​dalam pilihan raya.”

Penting di sini – yang miskin dan daif akan diberikan bantuan. Rasuah berbentuk wang atau barangan tidak akan diberi kepada pengundi untuk sokongan dalam pilihan raya.

Malah, kata Dr Mahathir, jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai ​Kerajaan.

BR1M juga tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto ​mana-mana parti.

Penting di sini – jika BR1M mustahak akan diagih oleh pegawai kerajaan. Tidak boleh dijadikan manifesto pilihan raya.

Apa yang dibayangkan oleh Dr Mahathir ialah, jika ditakdirkan pembangkang memerintah, ia akan menilai sama ada ia perlu atau mustahak atau sebaliknya.

Malah BR!M boleh dijenama atau dinamakan dengan panggilan lain tetapi tetap bantuan untuk rakyat.

Dr Mahathir juga meletakkan syarat bahawa,  BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ​ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa, jika ia dipersetujui oleh rakyat.

Perdana Menteri tidak ​boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya.

Penting di sini – Bantuan BR1M adalah bantuan ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa. Perdana Menteri tidak ada kuasa tentukan pemberian, jumlah atau cara penyampaian. Inipun jika dipersetujui oleh rakyat.

Tolong dengar, baca, teliti dan faham ucapan beliau.

Bukan ulas melalui persepsi sendiri Fahami secara mendalam apa yang diperkatakan oleh beliau bukan dengan tanggapan yang berkepentingan.

Akibat tindakan sedemikian maka gegar gempitalah  berita media perdana dengan tajuk seperti “BR1M Akan Diteruskan Jika Pembangkang Menang - Tun M” oleh mStar juga “BR1M mungkin diteruskan parti campuran” oleh Berita Harian.


Sebaliknya laporan akhbar berbahasa Inggeris The Star lebih jelas apabila mengatakan, “Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) has indicated that it will maintain the 1Malaysia People’s Aid (BR1M) if it wins in the next general election. Its chairman Tun Dr Mahathir Mohamad said BR1M would be maintained if it was found to be essential, but would have to be made into a statutory aid determined by law and the budget.”

Amat nyata cara penyiaran berita akhbar Melayu dan Inggeris amat berbeza, termasuk antara mStar dan The Star sendiri.

Sama ada ia untuk kepentingan pembaca atau parti tidaklah diketahui. Namun, perbezaan ayat yang cukup jelas itu mengambarkan betapa penggunaan perkataan dan pengolahan ayat itu membawa makna berbeza.

mStar meletakkan perkataan namun yang menjelaskan kenyataan sebenar Dr Mahathir di perenggan ketiga dan begitu jugalah dengan Berita Harian.

Ia berkait dengan (“BR1M itu perlu dijadikan sebagai bantuan berkanun berlandaskan undang-undang dan bajet. Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti (campuran)}.

Jika disebut bahawa laporan Malaysiakini lebih baik, akan ada pula yang akan menuduh sebagai memuji media yang kononnya menyokong pembangkang.

Namun laporan oleh Malaysiakini sangat mudah difahami dan berciri straight forward reporting apabila menyebut: “Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersikap terbuka untuk mengekalkan bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya pembangkang, bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil alih kuasa.

Mahathir, yang juga pengerusi BERSATU, berkata BR1M akan dikekalkan jika dasar itu didapati perlu.Bagaimanapun, beliau berkata sebarang usaha untuk menggunakan dasar itu bagi memancing undi akan dihapuskan.”

Portal FMT juga jelas dalam laporannya dengan melaporkan: “Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dikekalkan oleh kerajaan pembangkang sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bagaimanapun berkata, BR1M tidak boleh dimasukkan ke dalam manifesto mana-mana parti.”


Apakah dengan melaporkan yang benar itu bermakna mereka menyokong pembangkang?

Pada ketika banyak portal dan media sosial ditakrifkan sebagai menyokong pembangkang, media rasmi yang jelas prokerajaan -  janganlah membuat laporan ‘menyeleweng’ dan terlalu mendedahkan ia untuk kepentingan parti pemerintah  atau individu tertentu.

Pada ketika media perdana sedang menghadapi ujian ditolak oleh sesetengah pengikut lamanya, selain gagal menarik pembaca baru, laporan atau pemberitaan jangan terlalu terkongkong dengan kepentingan keterlaluan oleh pihak tertentu.

Biar rakyat atau pembaca menilai kejujuran atau pembohongan sesuatu kenyataan pemimpin melalui laporan yang tepat dan jelas.

Bola di kaki  anda. Tetapi jika tangan sudah diikat atau pisau sudah di letakkan di leher, pertimbangkanlah sendiri apa yang wajar dilakukan.

Cuma jika masih memilih spin berlebihan, ia  akan merosakkan imej akhbar atau pertubuhan media itu sendiri.

Ini kerana kebanyakan rakyat di Malaysia kini, khususnya golongan muda,  sudah bijak dan jemu dengan pemberitaan yang dikawal.

Pemberitaan di dekad ini tidak sama lagi dengan dekad 70-an, 80-an dan 90-an.


Rakyat atau pengikut media sebenarnya sudah mampu membandingkan antara laporan atau pemberitaan yang baik atau yang berpihak, tidak kira yang dihidangkan di dalam negera atau yang datang dari sumber luar negara.

Tuesday, January 1, 2013

PRU13 - BR1M JADI ‘POLONG’ KEPADA PEMBANGKANG, KELEBIHAN KEPADA BN?

 
  "Penerima (BR1M) iaitu golongan miskin tegar dan miskin bandar sudah pasti ia akan memberi undi kepada BN. Impaknya besar...Perdana Menteri sedar pilihan raya akan dilaksankan dalam tempoh tiga bulan selepas BR1M 2.0 dan kesan positif BR1M tidak akan habis."
 - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua

Mengejutkan apabila pakatan pembangkang pun tahu takut terhadap Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Jika sebelum ini mereka dengan yakin mengatakan akan turun ke padang (Pilihan Raya Umum ke 13) tetapi kini makin banyak suara kebimbangan mengenai kekuatan Barisan Nasional (BN) hasil BR1M ini. Seperti orang takut kepada ‘polong’, begitulah takutnya pakatan pembangkang kepada BR1M.

Lebih 2.3 juta permohonan diterima untuk BR1M 2.0 pada 17 Disember, dengan lebih 1.6 juta untuk penerima bujang dan 720,000 isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan layak menerima RM500 wang tunai.

Bagi penerima bujang, mereka di bawah umur 21 tahun dan berpendapatan bawah RM2,000 sebulan layak menerima RM250 wang tunai.


BR1M 2.0 dijangka akan memberikan manfaat kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 kumpulan bujang berbanding 4.2 juta penerima BR1M pertama tahun lalu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengakui penerima iaitu golongan miskin tegar dan miskin bandar sudah pasti ia akan memberiundi kepada BN “Impaknya besar, terutamanya mengekalkan pengundi “tradisional” mereka di luar bandar, itu sebabnya kenapa (Perdana Menteri) menangguhkan pilihan raya,” kata Pua.

“Beliau sedar pilihan raya akan dilaksankan dalam tempoh tiga bulan selepas BR1M 2.0 jadi kesan positif BR1M tidak akan habis,” kata Pua lagi.

PR jelas Pua tidak memiliki dana sekukuh BN, terutamanya di negeri-negeri yang bukan di bawah bidang kuasa mereka seperti di Johor, Pahang, dan Perak, dan itu menyukarkan mereka untuk mendapatkan sokongan masyarakat luar bandar.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata semalam, sebanyak 2,684,916 permohonan baharu untuk BR1M 2.0 telah diterima sehingga hari ini di mana ia melibatkan 1,823,039 individu bujang manakala baki 861,877 diterima daripada isi rumah (keluarga).

"Kerajaan menggalakkan lebih ramai individu bujang memohon untuk mendapatkan BR1M 2.0. Pendaftaran akan terus dibuka sehingga satu tarikh yang diumumkan kelak," katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad turut menyokong kenyataan Pua, namun mengingatkan BN BR1M hanya mengukuhkan sokongan penyokong tegar mereka, bukannya kumpulan pengundi muda yang merangkumi sekitar 30 peratus daftar pemilih.

“Sementara sekelompok rakyat yang tidak dapat akses kepada media alternatif, mereka semakin yakin untuk menyokong BN. “Namun kelompok 30 peratus yang menjadi rebutan BN dan PR adalah kelompok yang tidak dapat dikelabui mata dan pendirian mereka, kumpulan pengundi baru,” katanya dan menegaskan, kumpulan pengundi itu sedar, sejumlah RM3 bilion untuk BR1M 2.0 adalah dana kutipan cukai daripada rakyat.

“Kelompok 30 peratus itu adalah kelompok penentu dalam pilihan raya umum,” tegasnya. Peruntukan untuk BR1M 2.0 meningkat 40 peratus daripada BR1M sebelumnya, yang hanya menelan perbelanjaan RM2.1 bilion.

Penganalisis politik turut mengakui faktor BR1M akan memancing undi untuk golongan pengundi luar bandar, serta mengukuhkan sokongan pengundi tetap BN. Malah hasil pemberian itu BN dijangka akan menerima sokongan pengundi yang tinggi dalam pilihan raya tahun ini, memandangkan Putrajaya akan mula mengedarkan BR1M bermula Febuari depan.

 “BR1M akan memberikan impak berganda, bukan sahaja kepada ekonomi, tetapi turut diistilahkan di dalam undi,” kata pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Asri Salleh.

 Apapun, ternyata seperti diakui Phua, BR1M untuk kumpulan miskin khususnya di bandar yang menderita akibat tekanan harga barang dan keperluan harian. Namun BR1M bukan segala-galanya kerana banyak dasar lain yang membela rakyat dan ini adalah pemberian kali kedua dan tidak boleh dijadikan perkara yang pautut dinyatakan dalam manifesto BN, walaupun tetap ditakuti pembangkang.

Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali, tidak melihat BR1M sebagai “rasuah” politik BN, sebaliknya ia adalah manifestasi BN dalam menepati janji mereka. “Jika benar BR1M untuk pilihan raya, kenapa kerajaan telah memulakannya sejak tahun lepas?

“Ia bukan kerana BN, ia manifestasi kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Professor Dr Jayum Jawan, penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata beliau tidak terkejut jika BR1M akan berupaya menarik undi rakyat menyokong BN, namun mengkritik tindakan itu kerana apa yang utama adalah polisi ekonomi untuk jangka panjang. “BR1M hanya one-off ... rakyat sedar ia untuk pilihan raya,” tambahnya.

“Jika BN mahu menawan hati pengundi, mereka perlu mengemukakan pelan jangka panjang ekonomi yang komprehensif dan merangkumi keseluruhan masyarakat,” kata Jayum.

Namun , apa pun kata mereka yang bimbang dengan BR1M, hakikatnya golongan berpendapatan rendah dapat mengurangkan beban kehidupan mereka dengan bantuan itu.

Tetapi bukan sekadar BR1M yang meringankan beban rakyat. Pelbagai bantuan dan insentif lain bakal dinikmati segenap lapisan masyarakat di negara ini pada tahun depan hasil daripada pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 28 September lalu.

Paling menarik ialah sebahagian besar peruntukan yang dibentangkan dalam bajet tersebut akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat sama ada dalam bentuk wang tunai atau rebat cukai.

Selain 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang yang akan mendapat manfaat BR1M , Skim Rumah Pertamaku, penurunan kadar cukai pendapatan individu, bonus satu bulan gaji kepada 1.3 juta penjawat awam serta bantuan wang tunai kepada 5.4 juta pelajar sekolah.

Manfaat itu tidak termasuk bantuan dan insentif lain seperti elaun bantuan sara hidup nelayan, peningkatan pencen minimum, sumbangan kepada bekas tentera, rebat pembelian telefon mudah alih pintar 3G dan Baucar Buku 1Malaysia.

Insentif dan bantuan yang disebut itu dianggarkan melibatkan peruntukan bernilai kira-kira RM10 bilion oleh kerajaan untuk rakyat melalui Bajet 2013.

Semua ini pastinya akan menghantui pembangkang dan ketakutan kepada BR1M itu hanya sebahagian sahaja!

Sumber - The Malaysian Insider & Bernama

Thursday, December 15, 2011

BR1M - PEMBANGKANG MUNGKIN DAPAT KUTIP RM150 JUTA DARIPADA RAKYAT MISKIN

Orang ramai beratur panjang mendapatkan borang BR1M pada satu majlis di Pengkalan Berangan, marang kelmarin.

Sungguh memalukan jika benar ada khidmat pesanan ringkas (sms) yang meminta anggota parti pembangkang yang menerima wang RM500 di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) supaya menderma RM100 kepada parti.

Saya yakin Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan tidak berbohong dalam perkara ini kerana jika berbohong, risiko besar akan beliau dan UMNO tanggung.

Sungguh tidak diduga ada parti politik begitu terdesak dan sanggup menagih kasihan daripada orang yang memang ‘terdesak dan kurang bernasib baik dalam hidup mereka’.

Jenis pemimpin dan parti politik apakah ini? Sedangkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang dikemudikan UMNO berusaha keras untuk menjamin adanya dana sedemikian.

Pada ketika sebuah parti politik tidak mahu RM500 itu dijadikan umpan Pilihan Raya Umum ke 13 oleh, Umno-BN, ada parti politik yang berharap golongan penerima BR1M itu menderma untuk mereka.

Amat jelas, parti politik seperti ini sanggup menangguk di air keruh dan mempergunakan rakyat yang kurang bernasib baik untuk memenuhi cita-cita mereka untuk ke Putrajaya.

Bayangkanlah kalau penerima hanya satu juta, katakan 30 peratus penyokong pembangkang - dan mereka bersetuju menderma, pembangkang akan dapat kutip ‘wang percuma daripada BN dan UMNO’ sebanyak RM30 juta.

Sebaliknya Kementerian Kewangan menganggarkan seramai 5.2 juta berhak menerima dana ini. Jadi jumlahnya kali 5 kali, bermakna RM150 juta. Banyak tuuuuu....

Dengan jumlah itu pastinya pembangkang akan lebih ‘buka dada’ dan mampu menggunakannya untuk pelbagai tujuan kempen. Lagipun wang itu bukan hasil usaha keras mereka – WANG PERCUMA!

Yang pasti, permintaan oleh sebuah parti terhadap penyokongnya berbuat demikian adalah permintaan yang amat tidak sesuai kerana BR1M bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan bukan untuk tujuan lain.

Apabila dana ini diwujudkan melalui Bajet 2012, wang itu sepatutnya digunakan untuk memperbaiki kehidupan, untuk membeli keperluan rumah bukannya untuk didermakan kembali kepada parti politik mereka.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, walaupun perkara itu "terpulang kepada penerima untuk dermakan ke mana, tetapi dari segi moral mereka tidak menghargai bantuan kerajaan kerana sudah dapat bantuan, mereka nak beri derma pula pada parti."

Senator Ezam Mohd Nor pula menyifatkan sms itu satu tindakan tidak bertanggungjawab. Ia perbuatan mengambil hak rakyat miskin yang memerlukan untuk tujuan politik parti.

Sedangkan kelmarin PAS mengingatkan BN khususnya UMNO bahawa peruntukan RM500 bukan datang dari mana-mana parti pemerintah ataupun pembangkang (hakikatnya kalau tidak dimasukkan dalam Bajet 2012, dana itu tidak akan wujud) tetapi merupakan dana belanjawan negara untuk kepentingan rakyat.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mahu isu pemberian RM500 tidak dijadikan bahan politik dengan menjadikan pemberian itu sebagai umpan pilihan raya kerana rakyat berhak menerima peruntukan itu.

Apapun alasan PAS, hakikat yang nyata ialah, bantuan RM500 adalah peruntukan yang telah dibuat dalam Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri, dibahas dan diluluskan oleh semua ahli Parlimen dari pembangkang dan kerajaan.

Yang pasti, sms itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana wang tersebut diberikan untuk meringankan beban rakyat.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar, sudah menafikan PAS ada menghantar sms itu dan berkata parti pakatan pembangkang sudah mempunyai dana yang mencukupi untuk menghadapi pilihan raya umum itu.

Tetapi siapa pula yang menyebarkan sms itu?

Orang UMNO dan BN minta dana dari rakyat? Tidak pernah berlaku kejadian seperti itu.
Cara meminta sumbangan sepertu yang disebarkan melalui sms itu adalah tindakan yang lebih mirip dengan pembangkang, khususnya PAS.

Kita berharap penerima BR1M tidak akan terpengaruh kerana jika mereka melayani permintaan sedemikian mereka ini mengkhianati diri sendiri dan keluarga.

Jangan dilayan dengan perbuatan yang tidak amanah seperti ini, selain membiarkan pemimpin dan parti politik yang desperate ini mengambil keselempatan di atas pemberian ikhlas kerajaan.