Showing posts with label 2020. Show all posts
Showing posts with label 2020. Show all posts

Wednesday, April 27, 2016

M’SIA MAMPU CAPAI STATUS NEGARA MAJU SEPENUHNYA MENJELANG 2020


Program Transformasi Nega­ra (NTP) yang dilaksanakan kerajaan sejak lima tahun la­lu melalui Program Transformasi Ke­rajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah membuahkan kejayaan cemerlang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun berdepan dengan kemelut ekonomi global, GTP dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) hampir sempurna iaitu 99 peratus.

Hal yang sama jelas beliau, berlaku dalam ETP apabila Bidang Ekonomi Utama Negara mencapai 111 peratus KPI, manakala Inisiatif Keberhasilan Utama Negara pula mencapai 99 peratus KPI penyampaiannya.

Membentangkan Laporan Tahunan NTP di Angkasapuri di Kuala Lumpur malam semalam, Perdana Menteri berkata pencapaian cemerlang itu bukan sekadar untuk menyedapkan halwa telinga tetapi boleh diukur menerusi lima petunjuk besar kejayaan NTP sehingga meletakkan ekonomi Malaysia pada trajektori yang tepat dan berdaya tahan.

1.    Dari sudut Kelua­ran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Meskipun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, Malaysia dengan perancangan rapi serta pemantauan berterusan mencatat pertumbuhan purata KDNK 5.6 peratus sejak 2010.  Dengan kadar purata 5.6 peratus ini, ekonomi Malaysia dalam keadaan sihat. Ertinya hasrat kita untuk menjadi negara maju bukan sekadar impian tetapi dengan momentum yang ada, insya-Allah akan menjadi kenyataan.

2.    Disiplin fiskal - dicapai hasil kebijaksanaan kerajaan mengendalikan hutang negara sehingga berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada serendah 3.2 peratus pada 2015. Hasil disiplin fiskal yang baik, kos pinjaman negara ada­lah rendah, sekali gus merangsang keyakinan pasaran terhadap kedudukan kredit Malaysia untuk terus berada pada tahap yang tinggi.

3.   Pendapatan Negara Kasar Perkapita, jumlah Pendapatan Negara Kasar Perkapita sekitar RM28,000 pada 2010 telah meningkat 30 peratus menjadi lebih RM35,000 pada tahun lalu,” katanya.

4.   Lebihan dagangan selama 220 bulan berturut-turut sejak November 1997, membuktikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun hanya sebuah negara kecil; dan

5.    Pengukuran hasil penarafan diterima Malaysia daripada badan serta agensi penarafan antarabangsa sejak 2010 yang menyaksikan ‘rating’ negara terus meningkat di mata dunia. Terbaharu, Malaysia satu-satunya negara pasaran baharu yang tersenarai dalam 10 terbaik bagi Pembangunan Pasaran Kewangan Global.

Tegas Najib yang juga Menteri Kewangan, kejayaan ini tidak boleh disangkal oleh sesiapa kerana telah dipersahih, diperaku dan diiktiraf oleh sekian banyak penaraf berwibawa.


Berikutan itu, Perdana Menteri menyuarakan keyakinan beliau bahawa Malaysia mampu merealisasikan status negara maju sebenarnya menjelang 2020 menerusi ETP.

Namun, beliau mengakui bahawa ia merupakan tugas yang berat, yang memerlukan ketekunan dan sokongan tidak berbelah bahagi oleh sektor awam dan swasta, juga daripada rakyat.

Beliau juga mengingatkan bahawa sikap ambil mudah boleh menjejaskan matlamat 2020 berikutan persaingan sengit dalam menarik pelaburan, selain peraturan perdagangan baharu yang jelas menunjukkan bahawa hanya yang kuat akan berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi dunia yang sukar ini.

Meskipun GTP  menyumbang 'keputusan besar dan pantas' dalam penyampaian perkhidmatan awam sejak tiga tahun lepas, selain ETP yang mendorong penyertaan sektor swasta dalam ekonomi, banyak lagi cabaran yang perlu ditangani, kata Perdana Menteri.

"Kejayaan ini tidak bermakna kita boleh merasa selesa. Kita harus akur bahawa persaingan untuk meraih pelaburan terbaik dan keinginan untuk berjaya adalah matlamat setiap negara.

"Dengan peraturan yang senantiasa berubah dan perjanjian perdagangan baharu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), lima tahun yang akan datang ini merupakan satu cabaran yang amat besar.

"Namun Malaysia boleh menghadapi cabaran ini melalui usaha dan dedikasi yang sama yang telah membawa kejayaan kepada kita sepanjang enam tahun ini," kata Najib.

Perdana Menteri juga memuji usaha sektor awam dan swasta dan gabungan sokongan rakyat dalam merealisasikan matlamat NTP.

"Dengan memanfaatkan langkah-langkah terangkum dan mampan, program di bawah GTP kini berada dalam pelbagai peringkat kemajuan ke arah merealisasikan matlamat diperlukan untuk menuju ambang 2020.

Beliau berkata GTP telah menjadi pemangkin dalam memainkan peranan penting dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui GTP dan membentuk semula kerjasama sektor awam-swasta melalui ETP.

ETP, melalui Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), berjaya mewujudkan persekitaran perniagaan yang baik untuk pertumbuhan perniagaan.

Sektor awam, berganding bahu dengan penggiat sektor swasta terus menyelesaikan sasaran komitmen menerusi pemantauan rapat petunjuk prestasi utama dan pendekatan penyelesaian masalah," katanya.

Selain pertumbuhan 5.0 peratus tahun lepas, satu lagi pencapaian yang patut dipuji ialah kejayaan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang walaupun wujud keraguan, 'terbukti tepat pada masanya dalam mewujudkan penampan kewangan untuk negara ketika kejatuhan harga minyak yang menjejaskan tabungan negara, katanya merujuk harga minyak dunia yang merosot ke paras terendah dalam sejarah kepada US$30 setong beberapa bulan lepas.

Harga kini telah meningkat kepada US$45 dengan sentimen keyakinan yang semakin tinggi bahawa lebihan bekalan dunia mungkin berkurangan.

Najib berkata kerajaan juga peka terhadap kebajikan rakyat, terutama kos sara hidup yang meningkat, yang mejurus kepada pelaksanaan beberapa program bantuan kepada rakyat.

Ia termasuk bantuan tunai bersasaran menerusi BR1M (skim bantuan rakyat 1Malaysia), BB1M (Baucar buku 1Malaysia), serta BKAP1M untuk pelajar.

Sumber - Utusan & Bernama


Wednesday, July 1, 2009

WAWASAN 2020 TIDAK MUSTAHIL

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia masih boleh mencapai Wawasan 2020 yang diilhamkannya pada 1991 sekiranya ia berubah daripada sebuah negara berorientasikan eksport kos rendah kepada ekonomi kos tinggi yang berasaskan kepada aktiviti ekonomi domestik.

Wawasan 2020 bertujuan meletakkan Malaysia mencapai status sebuah ekonomi maju dan matang menjelang 2020.

Bekas Perdana Menteri itu berkata dengan memulakan "pemikiran yang di luar kebiasaan" ini, kapasiti kuasa beli rakyat juga akan meningkat seperti di kebanyakan negara Eropah yang mempunyai kos ekonomi tinggi namun merupakan sebuah negara maju.

Menurutnya, Malaysia sejak sekian lama bergantung kepada pertumbuhan berorientasikan eksport di mana ia mengeluarkan barangan murah untuk dijual di pasaran dunia.

"Sudah sampai masanya untuk membangunkan negara kita daripada aktiviti perniagaan dalaman. Kita boleh melakukannya sekiranya kerajaan dan sektor swasta bekerjasama membangunkan sebuah ekonomi baharu yang berasaskan kepada pertumbuhan domestik dan kurang bergantung kepada eksport," katanya.

"Oleh itu ada harapan untuk mencapai wawasan 2020 sekiranya kita semua berganding bahu," katanya dalam ucap tama beliau bertajuk "Vision 2020, is it a mission possible? 1Malaysia, is it the driving force", di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, Dr Mahathir juga melancarkan Siri Syarahan Tun Dr Mahathir-The BrandLaureate Asia Pacific Brands Foundation (APBF).

Siri Syarahan The BrandLaureate itu menampilkan personaliti jenama -- tokoh terkemuka dari Malaysia dan antarabangsa yang dianugerahkan BrandLaureate Hall of Fame Award dan BrandLaureate Brand Personality Award.

Dalam ucapan beliau, Dr Mahathir menjelaskan kebanyakan negara Eropah merupakan negara kos tinggi namun sebuah negara maju dengan pendapatan perkapita yang lebih tinggi.

Dalam kes Jepun, beliau berkata kuasa ekonomi besar itu merupakan sebuah negara dengan kos yang sangat tinggi tetapi berkembang maju.

"Kita perlu membangunkan kapasiti kuasa beli rakyat kita dan mengembangkan ekonomi kita menerusi aktiviti ekonomi domestik," katanya.

Dr Mahathir berkata dalam sebuah ekonomi berorientasikan domestik kos tinggi, margin keuntungan tinggi kerana lebih ramai orang boleh membeli barangan dan perkhidmatan dan kuasa beli rakyat juga tinggi.

Semasa menjawab soalan daripada para peserta kemudiannya, Dr Mahathir berkata Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengetahuan dan penemuan-penemuan baharu juga mustahak untuk membantu negara mencapai Wawasan 2020.

"Dengan Belajar Bahasa Inggeris tidak bermakna anda akan menjadi orang Inggeris," katanya.

Pada majlis hari ini, Dr Mahathir dianugerahkan "The Father of Vision 2020" oleh APBF.