Wednesday, December 31, 2008

MANIKAVASAGAM SEKADAR BUAT KECOH?

Tidak akan ada teka teki lagi hari ini bagi ‘Mike’, Ahli Parlimen Kapar.

Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya akan menjadi tempat perbincangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada sebelah pagi dan disusuli sidang akhbar pada pukul 3 petang.
Selepas dua kali mengugut untuk keluar daripada PKR iaitu komponen Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam akan membuat keputusan.

Namun, ada pihak meramalkan Manikavasagam tidak akan keluar PKR dan sekadar membuat kecoh sahaja.

Jawatan yang dipegangnya sekarang adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, Timbalan Perhubungan Negeri Selangor, Naib Ketua Bahagian Kapar dan Ketua PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa.

Apa pun, bukan sekadar Manikavasagam sahaja tetapi lebih 50 pemimpin India sebelum ini mengugut akan keluar daripada Pakatan Rakyat dan tubuh parti sendiri.
Pemimpin India peringkat nasional dalam Pakatan Rakyat, khususnya dalam PKR bertemu di hotel berkenaan hari ini - pertemuan terbesar sejak pilihan raya umum Mac lalu - bagi menentukan hala tuju kedudukan dan sokongan mereka dalam ikatan pembangkang itu.
Dianggarkan 150,000 ahli parti komponen Pakatan Rakyat merupakan masyarakat India.

PKR adalah anggota komponen Pakatan Rakyat yang memerintah lima negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Malah hari ini, mesyuarat Biro Politik PKR iaitu badan tertinggi penentu dasar politik parti itu akan membincangkan semua perkara yang berkaitan dan mencari penyelesaian.

Ia akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali kerana Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar ibu negara sehingga 6 Januari ini.

Pertemuan yang dilihat sebagai “amat penting” akan membincangkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan ekoran dakwaan bahawa masyarakat India juga terus ‘didiskriminasi dan dipinggirkan’ oleh kepimpinan ikatan pembangkang itu.

Menurut mstar, forum hari ini yang berpusatkan isu Manikavasagam, yang telah mengumumkan hasrat untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) - akan membincangkan beberapa opsyen.

Antara opsyen ialah keluar beramai-ramai daripada Pakatan Rakyat dan menubuhkan parti sendiri yang bagi mewakili kepentingan masyarakat India ataupun kekal dalam Pakatan Rakyat dengan terus mendesak agar tuntutan masyarakat India dibela dengan adil dan lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pertemuan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat India.Ketika dihubungi mStar Online lewat petang kelmarin, Pengerusinya, P. Jenapala berkata, “kami mengadakan pertemuan ini untuk mencapai satu pendirian kukuh sama ada mahu kekal dalam PKR, Pakatan ataupun sebaliknya.”

“Jika mahu kekal, kami akan kekal bersama dan jika mahu keluar, kami akan keluar bersama,” kata beliau sambil menegaskan, pertemuan esok sebagai adalah amat penting bagi menentukan nasib masyarakat India selepas sembilan bulan pilihan raya umum ke-12 berlalu.

Jenapala merupakan Timbalan Setiausaha Agung PKR dan telah menyatakan hasrat untuk keluar PKR minggu lalu.Sambil mengakui sudah wujud perasaan tidak puas hati di kalangan sebahagian besar ahli dan pemimpin India dalam Pakatan Rakyat, Jenapala memberitahu, pihaknya mahu mengambil satu pendirian bersama diambil bagi memastikan kepentingan masyarakat India di negara ini terus dipertahankan dalam Pakatan Rakyat.

“Sejak kebelakangan ini banyak pemimpin dan wakil rakyat India dalam Pakatan Rakyat menyatakan pendirian masing-masing, satu persatu satu tentang rasa tidak puas hati mereka.”Jadi kami hendak mendengar semua pandangan bersama dan membuat satu pendirian bersama,” kata beliau.

Beliau menambah, ramai di kalangan pemimpin India dalam Pakatan Rakyat khususnya dalam PKR menyedari bahawa “mereka tidak boleh kembali kepada Barisan Nasional.”
“Kami mahu tubuhkan satu badan di bawah satu payung iaitu mempunyai satu parti sendiri,” katanya.

Justeru, katanya, perlu membuat pendirian tegas untuk menentukan hala tuju masa depan dengan kemungkinan memikirkan menubuhkan sebuah parti baru bagi masyarakat India.

Jelas beliau, rasa tidak puas hati timbul sekitar isu pelantikan pemimpin India untuk memegang jawatan sebagai ahli majlis kerajaan tempatan serta memegang jawatan dalam agensi-agensi hubung kait kerajaan (GLC) dan dalam jawatankuasa kampung.

Pertemuan itu diadakan lima hari selepas Manikavasagam menyatakan hasrat untuk keluar PKR.

Pendirian Manikavasagam itu juga berkisar pada perkembangan dalam Pakatan Rakyat dan juga PKR, salah satu komponen ikatan pembangkang itu.Pakatan Rakyat dibentuk selepas prestasi pembangkang dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Manikavasagam juga dijadual mengumumkan pendiriannya selepas pertemuan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, semalam Manikavasagam membayangkan mungkin tidak akan meninggalkan parti tersebut.

''Kemungkinan besar yang akan saya umumkan esok ialah untuk melepaskan jawatan sebagai MPT atau Timbalan Perhubungan Negeri.

''Apa pun tunggulah petang esok kerana sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas pertemuan dan perbincangan dengan lebih 50 pemimpin India PKR peringkat nasional.
''Saya juga ingin jelaskan yang sebarang keputusan yang saya buat akan dituruti oleh mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ditanya sama ada beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kapar, beliau memberitahu, ia akan diputuskan selepas pulang daripada menghadiri satu persidangan di India yang bermula minggu depan.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Manikavasagam akan menemui pemimpin pertubuhan haram Hindraf yang berada di luar negara, P. Waythamoorthy.

Sementara itu mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat India, P. Jenapala yang disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Manikavasagam mengesahkan dakwaan itu adalah benar dan beliau memang mengetahuinya.
''Sebab itu saya kata tunggu esok kerana keputusan hanya akan diputuskan esok," katanya semalam.

No comments:

Post a Comment