Monday, March 20, 2017

RISIKO APA MENANTI UMNO, BN SELEPAS DAPAT `TEMAN BARU'???


Pada Jumaat lalu (17 Mac 017) diumumkan secara rasmi di Kuala Terengganu bahawa UMNO akan mendapat teman baru.

UMNO menyifatkan ia mendapat teman baru hasil doanya yang mahu menyatukan orang Melayu.

Ia disifatkan berlaku di sebalik kehilangan segelintir kawan sementara kawan baru itu adalah kumpulan yang lebih besar daripada kawan yang meninggalkan UMNO.

Pada ketika UMNO menyambut baik kedatangan kawan barunya, pembangkang juga bersorak gembira dengan pemergian kawan mereka ke pangkuan UMNO.

Kedua-duanya kumpulan bersorak gembira kerana sebab masing-masing. Ia berkaitan dengan kesan jangka panjang dan kesan dalam pilihan raya umum akan datang - Pilihan  Raya Umum ke-14 (PRU14),

Malah kesan kedatangan dan pemergian yang disifatkan sebagai ‘kawan ‘ itu akan pastinya terjawab pada PRU14 nanti.

“InsyaAllah, dengan doa untuk kita menyatukan orang Melayu, biar kita kehilangan kawan segelintir,

InsyaAllah kita akan mendapat kawan baru yang akan bersama-sama dengan kita yang kumpulannya lebih besar daripada yang telah keluar itu.”

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  berucap sempena Perasmian Kelompok Persidangan Agung UMNO Cawangan dan  Sayap-Sayap Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, Jumaat lalu.


Kehadirannya sehari selepas 3M – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Munyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai program `Bicara Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad - `BERANI BERUBAH’ DI Ajil pada malam Khamis.

Program itu dianjurkan oleh Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Terengganu secara solo dan dihadiri lebih 3,500 orang.

Walaupun tidak disebut oleh Dr Ahmad Zahid siapa kawan baru itu, ia tidak mungkin PKR atau AMANAH, sebaliknya yang dimaksudkan ialah PAS.

Memang ketika ini PAS dilihat kuat apabila memiliki 14 kerusi Parlimen (selepas 6 menyeberang ke  AMANAH dan seorang ke PKR) selain memerintah Kelantan (32 kerusi selepas seorang dipecat), serta mempunyai 13                                                                                                                                              (daripada 15 kerusi  Dewan Undangan Negeri)di Selangor dan 14 kerusi DUN di Terengganu.

PAS juga ada kerusi DUN di Kedah (8 daripada 9), Perak (5) Pulau Pinang (1), Melaka (1), Perlis (1), Pahang ( daripada 3) dan Johor (3 daripada 4).

Sementara itu siapa pula kawan segelintir yang kini tidak lagi menjadi kawan UMNO dan BN?

Sudah tentu ia dirujuk kepada PPBM  yang mana kini menjadi pesaing paling kuat kepada UMNO.

Ia juga mungkin akan menjadi pesaing yang hebat kepada BN walaupun ketika ini hanya mempunyai  satu kerusi Parlimen (Johor) dan dua kerusi DUN sahaja (Kedah dan Johor).

Di Terengganu pula PPBM kini sudah mempunyai lapan Ketua Bahagian dan jenteranya mulai aktif sejak dua bulan lalu.

Dr Ahmad Zahid pada Perasmian Kelompok Persidangan Agung UMNO Cawangan dan  Sayap-Sayap Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, Jumaat.
Dr Ahmad Zahid menegaskan, orang Melayu masih memerlukan UMNO dan BN  kerana pada PRU13, daripada  5.2 juta pengundi Melayu  4.1 juta daripadanya mengundi BN.


Baginya, perkembangan positif  itu membuktikan terdapat kira-kira 78.7 peratus orang Melayu masih sayangkan UMNO dan BN.

Malah menurutnya, iaitu sasaran UMNO dan inilah simpanan tetap politik UMNO, sebaliknya ada yang cuba memecahkan kekuatan orang Melayu yang berasal daripada organisasi kita, tetapi `ketam-ketam batu’ ini UMNO ketepikan.

Namun, beliau seakan lupa bahawa itu sebelum wujudnya berbagai isu yang berkisar sekitar Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden UMNO (memangku) itu lupa bahawa senario politik sudah banyak berubah sejak dua tahun kebelakangan ini.

Dengan isu seperti hutang, kehilangan dana, kecurian, penyelwengan, pecah amanah dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu kegelisahan rakyat kerana kenaikan harga barang, GST, pengagguran, pembaziran kerajaan dan sebagainya, BN kini benar-benar tertekan.

Dengan bernostalgia dengan sokongan hasil PRU13, Dr Ahmad Zahid lupa bahawa BN kini semakin terancam kedudukannya, malah keputusan PRU13 sebenarnya lebih buruk daripada keputusan PRU12.

Kemenangan Najib pada PRU13 adalah sokongan semua pihak, termasuk Dr Mahathir Mohamad.

Namun dengan pemecatan beberapa pemimpin penting UMNO -Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi – selain beberapa yang lain, apakah senario selepas PRU13 masih serupa?

Tidakkan ‘ketam-ketam’ batu itu akan merubah pantai dan laut yang kian bergelora?

Berbalik kepada kawan baru yang sangat dinanti dann dialu-alukan oleh Dr Ahmad Zahid itu, apakah mereka rakan sepermainan UMNO sebelum ini?

Memanglah PAS pernah menjadi rakan BN ketika ia mula dibentuk sekitar 1973 dan sama-sama bertanding menggunakan logo dacing pada PRU 1974. Namun hubungan tidak kekal lama kerana pada 1977-1978, PAS terpaksa tinggalkan UMNO dan BN.

Selepas lebih 40 tahun, kepimpinan PAS kini seolah-olah berbaik semula dengan BN, itupun selepas kematian pemimpin PAS yang ‘keras’ seperti Datuk Fadzil Nor, Datuk Yusuf Rawa dan Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat.

Kenapa tiba-tiba Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba-tiba berlembut dengan UMNO?

Apakah semata-mata kerana UMNO sokong pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) atau kerana sebab lain?

Ketua Pemuda Pas Pusat Nik Mohd Abduh Nik Aziz berkata, tiada salahnya parti itu bersatu dengan Umno bagi menyokong pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 jika MCA dan DAP bersatu menentang akta tersebut.

Di sebalik punca penyatuan, persoalan penting ialah, bagaimana pemimpin UMNO dan penyokong UMNO di bawah akan menyesuaikan diri menerima kalangan pemimpin dan penyokong PAS?

Sudah berdekad musuh UMNO adalah PAS dan sebaliknya, apakah boleh dicuci dalam tempoh beberapa bulan sebelum PRU14?

Menarik untuk melihat garis pertemuan antara mereka yang selama ini musuh ketat terutamanya dalam isu Islam.

Bagaimana reaksi orang UMNO kepada `AMANAT HADI’yang sebelum ini menghukum orang sebagai KAFIR. Ini tidak termasuk meletakkan hukum seperti haram memakan daging binatang yang disembelih oleh orang UMNO, pernikahan oleh kadi UMNO tidak sah dan tidak sah solat berimamkan imam UMNO yang membawa kepada solat berasingan (dua imam).

Di Terengganu, amalan ini masih dilakukan walaupun dalam kumpulan amaat kecil. Bersediakah Hadi menarik balik atau mengakui kesilapannya kerana amanat di Banggol Peradong itu?

Dr Ahmad Zahid menjelaskan kawan baru itu adalah kalangan musuh politik UMNO tetapi mereka telah `tabayyun’, memahami dan mampu menyelesaikan permasalahan untuk ditangani bersama.

Persoalannya jika penyatuan dua kawan ini menjadi, apakah kekuatan sebenar yang menjadi ikatan antara mereka?

Apakah hanya kerana faktor Melayu dan Islam semata-mata atau kerana kepentingan politik untuk mempertahankan dua manusia – kedua-dua ketua parti yang dilihat sangat erat dan meempunyai kepentingan bersama – Datuk Seri Najib Razak dan Hadi?


Juga apakah penyatuan ini akan berkekalan dengan  tidak berlaku seperti perpecahan sebelum ini yang kesannya sangat menyedihkan umat Islam, khususnya di Pantai Timur yang menyebabkan solat dua imam dan so;at berasingan di surau serta masjid PAS dan kerajaan?

Apakah kelak akan berlaku di mana surau dan masjid yang digunakan oleh PAS untuk ‘mencaci, menempelak serta mengutuk’ pemimpin dan pengikut UMNO selama ini dibubar atau dikosongkan?

Dan jika digunakan, akan tiada laagi caci hamun seperti sebelum ini? Penyokong PAS dan UMNO saling bermaafan seperti kaum Ansar dan Muhajirin di Madinah?

Juga apakah akan ada kerajaan campuran dengan PAS dan bagaimana rakan parti BN lain melihat penyatuan ini?

Pemimpin PAS, MCA, MIC serta Gerakan dan parti lain di Sarawak dan Sabah akan turut gembira dengan langkah yang diusahakan oleh UMNO ini?

Kenapa  pemimpin seperti Dr Ahmad Zahid sanggup mengambil risiko di atas usaha ini dan jika ia tidak berlaku seperti dijangkakan apakah UMNO sanggup menerima kesannya?

PAS walaupun ‘Parti Islam’ tetapi politiknya tiada beza dengan parti lain. Pemimpin atasannya mungkin boleh berkorban tetapi tidaak semua akan mendapat tempat dalam kerajaan campuran.

Apakah penyokong  boleh berkorban jika pemimpin mereka tidak mendapat tempat dalam kerajaan Pusat dan negeri seperti diharapkan?

Juga apakah pemimpin UMNO juga sanggup mengorbankan umpamanya kerusi pilihan raya, jawatan penting dalam kerajaan dan sebagainya?

Apakah PAS akan menjadi lebih ‘lembut’ dalam konteks hubungannya dengan bukan Islam dan menghentikan serangannya terhadap bukan Islam dalam DAP?

Suasana akan jauh berbeza apabila berada di samping UMNO dalam BN kerana parti komponen BN seperti MCA, MIC serta Gerakan di samping parti bukan Melayu dan bukan Islam di Sarawak dan Sabah juga mempunyai sensitiviti masing-masing dan kadangkala bersikap lebih daripada DAP.

Bersesuaian dengan usaha merapatkan saf dua kawan baru ini, Dr Ahmad Zahid meminta supaya tanpa mengetepikan agama lain, semua ahli UMNO dan BN bersama-sama dengan PAS menegakkan perundangan RUU 355.

Dr Ahmad Zahid pernah menegaskan perkara ini yang bertujuan menjaga kepentingan orang Islam supaya orang Islam terus menjadi kumpulan yang tahu menghormati dirinya dengan perundangan.

Bagaimana jika parti komponen BN, termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bwesatu di Sarawak (PPB) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) RUU355, apakah PAS boleh bertolak ansur dengan memejam mata dan memekakkan telinga?

Dr Ahmad Zahid terlalu yakin akan kehadiran kawan baru ini.

Bagaimana jika usahanya gagal, sanggupkah beliau mengikut jejak langkah Dato’ Onn Jaafar yang mengambil tindakan meletakkan jawatannya dalam UMNO?

Untuk rekod, Datuk Onn sebagai presiden UMNO pada persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 hingga 26 Ogos 1951 mengundurkan diri akibat gagal memujuk orang Melayu menerima bukan Melayu.

Juga apakah Hadi akan meletakkan jawatan ataau dipaksa meletakkan jawatan jika usahanya memujuk ahli bersatu dengan UMNO tetapi tiba-tiba tidak berlaku seperti dirancang.

Atau, kalaupun bekerjasama, hasrat dan matlamat mereka tidak tercapai.

Lebih buruk jika PAS kecundang teruk pada pilihan raya akibat penyokong mereka protes keputusan Hadi melalui PRU14.


Memalukaan lagi jika kerusi di Dewan Rakyat yang diharapkan sebanyak 40 tidak mencapai sasaran dan Kelantan jatuh akibat kerjasama dengan UMNO yang menyaksikan pakatan AMANAH, PKR dan PPBM menewaskan mereka!!!

Thursday, March 16, 2017

KERJASAMA DENGAN PPBM - SIAPA MOHD AMAR BUAT KEPUTUSAN UNTUK PAS?


Suara siapa jadi penentu dalam PAS ketika ini?

PAS sudah bagaikan tiada nakhoda apabila ramai yang berebut-rebut untuk membuat ulasan dalam konteks kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Apakah nakhoda kapal PAS – Datuk Seri Abdul Hadi Awang – kini tidak ada lagi kuasa untuk mengemudikan partinya?

Atau beliau lebih pening memikirkan soal RUU 355 dan saman RM90 juta terhadap Sarawak Report berbanding isu kerjasama dengan PPBM dalam menumbangkan Barisan Nasional (BN) khususnya di Kelantan dan Terengganu?

Apakah kapal PAS kini benar-benar terumbang ambing di lautan dan hanya menunggu masa untuk tenggelam? 

Reaksi spontan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam menggambarkan suasana ini.

Mohd Amar dilihat memotong kuasa Hadi apabila memberikan reaksi cepat mengenai kenyataan PPBM sebelumnya.

Kenapa wujud kegairahan sedemikian? Bolehkah kenyataan Mohd Amar menggambarkan akan tertutup sama sekali pintu rundingan ke arah kerjasama PAS-PPBM yang diusahakan sebelum ini?

Mohd Amar ‘melompat sepantas kilat’ terhadap kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai hasrat PPBM akan menyertai PH.


Mohd Amar menegaskan PAS tidak lagi berminat berada sepentas dengan PPBM.

Anehnya, Mohd  Amar hanya Naib Presiden dan Timbalan Menteri Besar Kelantan. Namun beliau  membuat keputusan rasmi itu seolah-olah mempunyai kata pemutus apabila mengatakan PAS tidak lagi ada hubungan dengan parti berkenaan.

“Ini kerana PAS sejak awal lagi memaklumkan tidak akan sertai PH,” katanya seperti dilapor Harakahdaily semalam.

‘Kelancangan’ Mohd Amar dibuat pada ketika PPBM dalam keadaan bakal mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai PH dengan harapan ada beberapa aspek perlu diubah suai, termasuk nama pakatan itu serta logo.

Tindakan Mohd Amar kini menyerlahkan lagi betapa PAS menegaskan pendiriannya untuk tidak akan bekerjasama sama sekali dengan DAP dan AMANAH.

Persoalannya apakah Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man bersetuju dengan pendirian Mohd Amar bahawa PAS beranggapan tidak perlu lagi ada sebarang perbincangan untuk bersama-sama menghadapi pilihan raya diadakan di antara parti berkenaan dengan PPBM?

Apa pendirian pemimpin PAS lain dalam isu ini?

Apakah Hadi akan akur dengan kenyataan Mohd Amar ini yang menggambarkan mana-mana pemimpin PAS kini boleh membuat kenyataan apa sahaja, walaupun ia menampakkan ciri-ciri kenegerian yang amat sangat.

Ceramah PH di Kota Bharu semalam.
Apakah Mohd Amar membuat kenyataan itu berasaskan kepentingan kerjasama PAS dengan PPBM umpamanya di Terengganu dan Selangor?

Apakah Mohd Amar hanya menunjukkan kebimbangannya yang amat sangat mengenai kedudukan PAS dalam kerajaan Kelantan yang disifatkan dalam keadaan ‘ telur di hujung tanduk’ akibat asakan UMNO Kelantan dan AMANAH?

Mohd Amar merajuk kerana melihat PPBM kini mesra dengan ‘musuh no 1’ PAS iaitu AMANAH di Kelantan yang dilihat sangat bertenaga melalui kepimpinan Datuk Husam Musa?

Bagaimana pula di Terengganu? Apakah PAS boleh bersendirian untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN)?

Kenyataan Mohd Amar sudah pasti dilihat tidak sesuai dan tidak menyelesakan PAS Terengganu. Ini kerana usaha untuk bekerjasama dengan PPBM yang dilihat paling kuat berbanding PKR dan AMANAH di Terengganu akan membawa untung kepada PAS.

Apakah dengan mengatakan putus hubungan itu PAS akan membuat pusingan U untuk bekerjasama dengan UMNO di Kelantan dan Terengganu?

Apa jaminan UMNO akan memberikan kerjasama dan jika dibentuk kerajaan, apa jaminan PAS akan diberikan jawatan Menteri Besar dan EXCO kanan pada pentadbiran di dua negeri Pantai Timur itu?

Jadi apa perjuangan PAS ketika ini dan di mana Hadi sebagai nakhoda kapal PAS yang hanyut di lautan bagai tidak berkemudi?

Di pihak PPBM, yang nyata ialah, PPBM tetap membuka pintu kepada PAS untuk bekerjasama biarpun ia berhasrat menyertai PPBM.

Dr Mahathir Mohamad berkata di Kota Bharu semalam, PPBM sudah berada dalam sistem politik negara dan PPBM  hanya menyertai untuk melengkapi blok pembangkang itu.

Dengan kedudukan di mana PH sudah ada, wajar untuk PPBM bersatu dengan menyertai pakatan supaya menjadi satu posisi yang sama dan jika PAS menolak kerjasama, PPBM tidak boleh berkata apa-apa.

“... bagaimanapun pintu kita terbuka, bukan sahaja PAS tetapi mana-mana parti yang mahu menyertai PH dialu-alukan.

Di Gemas kelmarin, bekas Perdana Menteri itu, sudah memberi amaran BN berjaya memenangi setiap pilihanraya sehingga membentuk sebuah kerajaan disebabkan pihak pembangkang tidak pernah bersatu.


Dr Mahathir meningatkan parti pembangkang berlawan dengan BN dalam setiap pilihanraya sebagai parti masing-masing, menggunakan simbol masing-masing dan tidak mempunyai perpaduan yang rapat antara mereka.

Mungkin Hadi atau pemimpin PAS lain akan membuat kenyataan mengenai pendirian sebenar PAS hari ini.

Malah, ketika berada di Terengganu pada siang dan mala mini, Dr Mahathir akan turut mendengar pandangan pemimpin PPBM negeri mengenai kemungkinan bekerjasama dengan PAS di Terengganu untuk menumbangkan BN.


Dari jauh kedengaran bahawa kenyataan Mohd Amar itu mungkin hanya dalam konteks Kelantan semata-mata tetapi tidak di Terengganu.

Monday, March 13, 2017

BAGAIMANA ANCAMAN LUAR MEMENANGKAN PARTI PEMERINTAH MALAYSIA???


Kini heboh diperkatakan mengenai Korea Utara (KU) yang seolah-olah mengancam rakyat dan negara ini.

Apakah keamanan dan kedaulatan negara kita tergugat akibat kes pembunuhan rakyat Korea yang dikaitkan dengan pemimpin negara itu di KLIA2?

Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Mac lalu berkata kekuatan sesebuah negara boleh diukur dengan melihat kepada kebersatuan rakyat ketika menghadapi krisis atau ancaman dari luar.

"Sekiranya kita bersatu-padu ketika menghadapi sebarang masalah atau ancaman, musuh dari luar tidak akan mampu meruntuhkan segala yang kita bina selama ini," katanya menerusi entri terbaru blog najibrazak.com.

Malah, tersangat kelakarlah apabila Datuk Ibrahim Mat Zin (bomoh) bersama pengikutnya mengadakan upacara untuk melindungi Malaysia daripada ancaman negara asing, khususnya KU. Antara peralatan berkenaan berupa buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh.

Apakah ancaman KU lebih hebat daripada ancaman China yang membina pangkalan tentera dan kehadiran berpuluh-puluh kapal selam di Laut China Selatan yang lebih dekat dengan sempadan negara?

Kapal selam KU sudah hampir dengan perairan kita?
Pemimpin kerajaan menggambarkan ancaman KU ini sangat dibimbangi dan boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

Benarkah demikian?

Apakah ini suatu taktik menakut-nakutkan rakyat ketika pilihan raya umum (PRU) semakin hampir? Bukankah ‘ancaman KU’ mahu dijadikan faktor ke arah ‘penyatuan’ rakyat menggunakan external threats?

Sama ada ancaman luar ini asli atau dibuat-buat tetapi ia akan tetap menjadi suatu strategi penting dan propaganda yang akan menjadikan rakyat, terutamanya yang tidak tahu kejadian sebenar untuk membuta tuli menyokong kerajaan.

Lebih hebat, apabila solat sunat diadakan di seluruh negara yang menggambarkan betapa negara sedang dalam kedudukan ‘bahaya digugat dari luar’ dan rakyat perlu menyokong kerajaan mempertahankan negara.

Penulis tidak mengatakan solat sunat itu tidak baik tetapi apakah ancaman KU seperti ancaman bah, kemarau, banjir atau tekanan ekonomi yang memerlukan yang memang menggugat kesejahteraan, keamanan dan kestabilan negara?

Ada ulasan menarik mengenai Konfrontasi.
Apakah Barisan Nasional (BN) boleh menggunakan isu ini dengan berkesan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang?

Lantas penulis teringat kepada kejadian pada 1964 di mana Konfrontasi adalah kejadian sebenar - bukan yang diada-adakan -  malah  mampu memberikan kemenangan besar kepada Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) ketika itu.

Peristiwa sejarah ini perlu kita toleh kembali di mana pada ketika PRU 1964 ini diadakan, negara sedang diancam oleh Indonesia dan kerajaan mengenakan undang-undang darurat yang membolehkan penangkapan pemimpin pembangkang tanpa bicara.

Peristiwa ini digarapkan dalam beberapa buku antaranya oleh Allahyarham Asri Muda (bekas Presiden PAS) iaitu ‘Memoir POLITIK ASRI, Meniti Arus (UKM 1993).

Tan Sri Asri melalui memoirnya itu mengakui bahawa konfrontasi menjadi ‘faktor penting’ membantu Perikatan memenangni PRU1964.

Malah, Gordon P Means, melalui bukunya MALAYSIAN POLITICS, Hodder and Stroughton Limited, London (1970) pada mukasurat 335-338 turut memperkatakan mengenai faktor Konfrontasi dalam perkara Malaysian Eelections of 1964.

Soal Konfrontasi yang turut mempengaruhi pilihan raya 1964 turut diperkatakan oleh Harold Crouch melalui bukunya GOVERNMENT & SOCIETY IN MALAYSIA, Cornell University Press (1996).

Sebagai rekod, PRU 1964 merupakan pilihan raya umum yang pertama selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dan dengan menggunakan isu Konmfrontasi, Parti Perikatan menang besar.

Isu ancaman luar daripada Insonesia membolehkan Perikatan berjaya mengekalkan majority besar di Dewan rakyat yang ketika itu bilangan kerusi keseluruhannya 104.

Parti Perikatan memenangi 89 kerusi dalam Dewan Rakyat yang merupakan  majoriti sebanyak 85.6% walaupun parti campuran ini hanya memperoleh 58.5% daripada jumlah undi.

Ia kenaikan  yang amat besar, iaitu sebanyak 20.3% berbanding PRU 1959. Pencapaian 85.6% ini melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan oleh Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk kerajaan.

Sementara parti pembangkang pada keseluruhannya memperoleh 41.5% daripada jumlah undi, mereka hanya memenangi 15 kerusi yang tinggal, berbanding 30 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya 1959.

Selepas 35 tahun, pada PRU 1999, sekali lagi faktor luaran menjadi pembantu kepada parti pemerintah untuk menang dengan selesa.

Ancaman terhadap ekonomi negara selain Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ yang digugat oleh serangan spekulator mata wang dan negara maju yang cuba meranapkan saingan terhadap mereka dari negara Asia, Malaysia turut terjerumus dan kancah ‘krisis mata wang Asia 1997’.

Jika pada 1964, ancaman luar bersifat politik dan dplomasi, ancaman pada 1999 lebih kepada ekonomi dan kewangan negara.

PRU pada 29 November 1999 itu berdepan bantahan rakyat yang besar kesan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet . PRU ini menyaksikan untuk kali pertamanya  di Malaysia di mana ebuah parti campuran pembangkang menentang keunggulan Barisan Nasional. Barisan Alternatif - iaitu parti campuran daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan mencabar BN.

BN mampertahankan pengaruhnya dengan isu  skandal Anwar, ancaman penyangat mata wang dunia George Soros, peranan Yahudi dalam mengamcam kedaulatan negara selain peranan beberapa negara jiran membantu Reformasi, memberikan kemenangan kepada BN, walaupun dianggap pencapaian paling rendah sejak kemerdekaan negara  kecuali pada PRU 1969.

BN mendapat 148 kerusi Parlimen daripada 193 kerusi dipertandingkan, iaitu jatuh 8.6% berbanding 162 kerusi yang diperoleh pada tahun 1995. Pencapaian ini jauh lebih tinggi berbanding 129 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh satu majoriti dua pertiga.

Selain itu, BN juga memenangi semua pilihan raya negeri, kecuali Kelantan dan Terengganu.

Walaupun PAS mencapai prestasi yang amat baik, selain mengekalkan negeri Kelantan dan menang di Terengganu dan menambahkan kerusinya dari 7 kerusi (1995) kepada 27 kerusi kali ini, keputusan tidak begitu baik bagi DAP.

Keadilan menang lima (5) kerusi dan Parti Bersatu Sabah sebanyak tiga (3)  kerusi yang menjadikan pembangkang ada 42 kerusi di Dewan Rakyat. Dua pemimpin pentying DAP - Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas di tengah-tengah kemenangan 10 kerusi Parlimen, bertambah satu berbanding PRU 1995.

Selain faktor luaran, kemenangan BN pada tahun 1999 merupakan sokongan terhadap arah pembangunan negara dan kegigihan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) dalam menangani Krisis Kewangan Asia 1957.

Satu lagi ancaman terhadap negara pada ketika hampir PRU ialah pencerobohan di Lahad Datu 2013 -  insiden diplomatik yang berlaku di antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 orang Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kg. Tanduo, Daerah Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013.

Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara yang dihantar oleh Jamalul Kriam III iaitu salah seorang dari pihak-pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu ialah menuntut kembali wilayah mereka di bahagian timur Sabah iaitu (wilayah bekas Borneo Utara).

The Manila Times menyebut bahawa pencerobohan tersebut berlaku selepas pemimpin pembangkang Datuk Seri  Anwar Ibrahim mengatakan Malaysia akan kehilangan Sabah tidak lama lagi di dalam salah satu ceramah politik yang diadakan oleh parti beliau, Parti Keadilan Rakyat.

Selain Anwar, pemimpin pembangkang lain turut dikaitkan ialah Tian Chua, Naib Presiden PKR dan anak sendiri yang dikaitkan dengan Jacel Kiram, puteri Jamalul Kiram III.


Apa kesannya kepada PRU13?

PRU yang diadakan pada 5 Mei 2013 iaitu tiga bulan selepas ‘ancaman luar’ itu menyaksikan BN menang walaupun mulanya dilihat akan tewas. ‘Ini kalilah’ tidak menjadi kepada pembangkang pada ada awal pagi 6 Mei, BN secara muktamad diumumkan kekal berkuasa.

Biarpun majoriti berkurangan, BN merampas kembali negeri Kedah daripada Pakatan Rakyat. BN mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen di mana kerusi yang selebihnya jatuh kepada gabungan Pakatan Rakyat iaitu sebanyak 89 kerusi.

Persoalan kini ialah, apakah isu KU kali ini akan mampu membantu BN mencapai kemenangan selepas parti dan pemimpinnya diasak dengan berbagai isu keperitan rakyat akibat kenaikan harga barangan keperluan, GST dan sebagainya?

Apakah kerajaan boleh menutup isu 1Malaysia Development Bank (1MDB), ‘rompakan wang negara’, penyelewengan dan pemindahan wang haram, negara kleptokrasi, penyalahgunaan kuasa dan hutang negara menggunakan isu KU ini?

Mungkin PAS terpengaruh apabila diminta sama-sama solat hajat untuk keamanan negara.

Persoalannya apakah kedudukan negara kini seperti ‘telur di hujung tanduk’ seperti ancaman Konfrontasi pada 1964 dan serangan penyangak mata wang dan krisis Negara Asia 1997 pada PRU 1999?

Juga dengan menggunakan isu KU ini apakah BN berharap untuk mendapat majoriti 2/4 di Dewan Rakyat selain mengekalkan kuasanya di negeri-negeri yang sedia ada, selain menawan kembali Selangor dan Kelantan?

Bagaimana jika rakyat tidak mempercayai propaganda kerajaan dan 'solat hajat' yang diadakan itu hanya mainan politik BN dan PAS semata-mata?


Siapa yang akan terkena tembakan peluru berpandu KU pada Pru14???

Friday, March 10, 2017

SPR SUKARKAN PEMBANGKANG, AKAN MENANGKAN BN DI TERENGGANU...

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pada satu majlis di Kuala Terengganu kelmarin (8 Mac 2017).

"...kebimbangan PAS bahawa ia akan terjejas teruk di Terengganu kini semakin menjadi kenyataan apabila parti itu dijangka akan kehilangan banyak kerusi termasuk di DUN dalam kawasan Parlimen Marang diwakili Datuk Seri Abdul Hadi Awang."
Akhirnya Badan Perhubungan UMNO Terengganu juga yang boleh menarik nafas lega apabila mendapat habuan daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Bendera Barisan Nasional (BN) akan berkibar megah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana SPR membantu mereka.

Semua pihak boleh menyemak pelan bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri selain  boleh disemak mulai kelmarin (8 Mac 2017)  hingga 7 April ini di Pejabat Daerah/Pihak Berkuasa Tempatan/Pejabat SPR/Pejabat Tanah dan Jajahan serta dewan serbaguna atau pejabat kerajaan yang disahkan.

Memanglah SPR memberikan ruang untuk sebarang representasi kepada syor-syor yang dicadangkan olehnya dikemukakan kepada SPR dalam masa satu bulan selepas notis ini dipamerkan mulai semalam. 

Namun apakah bantahan akan berjaya?

Kelak, segala bantahan pembangkang TETAP TIDAK AKAN menjadi penghalang untuk SPR ‘memenangkan Barisan Nasional (BN) Terengganu’ pada pilihan raya umum akan datang.

UMNO yang ketika ini tiada kuasa majority  2/3 di DUN dan amat tahu akan kalah pada PRU14 nanti, akan berusaha berusaha bersunguh-sungguh bagi menggunakan kuasa SPR bagi mengubah sempadan DUN-DUN yang dimenangi oleh pembangkang, khususnya PAS dengan sebegitu rupa.

SPR memaklumkan sebelum ini, cadangan persempadanan semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Memanglah BN khususnya UMNO Terengganu turut membuat bantahan terhadap cadangan persempadanan semula membabitkan beberapa kawasan sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu di negeri ini.

Namun ia hanya wayang semata-mata dan pastinya Pengerusi BN yang juga Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman kini tersenyum panjang apabila SPR tidak melayan bantahan pembangkang.

Penolakan UMNO negeri mengenai  cadangan penamaan semula kawasan pilihan raya seperti Telemong kepada Sekayu dan Teluk Pasu kepada Buluh Gading bukan isu besar.

Walaupun Ahmad Razif mengatakan bantahan BN itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak terutama pembangkang bahawa cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPRM akan untungkan BN, yang pasti Menteri Besar Terengganulah yang memiliki ‘the last laugh’.

"Di Terengganu banyak juga kawasan yang terbabit dengan cadangan persempadanan semula dan kita akan buat bantahan antaranya termasuk penukaran nama dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Telemong dan Teluk Pasu.

Sedangkan kebimbangan PAS bahawa ia akan terjejas teruk di Terengganu kini semakin menjadi kenyataan apabila parti itu dijangka akan kehilangan banyak kerusi termasuk di DUN dalam kawasan Parlimen Marang diwakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Contohnya bagi DUN Alor Limbat dalam Parlimen Marang yang diwakili Hadi, melalui persempadanan baru peti undi Gelugor di Alor Limbat yang sebelum ini dimenangi PAS dipindahkan ke DUN Wakaf Krai yang memang PAS sudah memang besar.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata Oktober lalu, Langkah itu dipercayai akan menyebabkan PAS hanya memenangi satu sahaja kerusi di salah satu kawasan berkenaan, dan tidak seperti sebelumnya pada pilihan raya 2013 di mana PAS mendapat majoriti besar di kedua-dua kawasan itu.


Apakah kesan nyata yang akan berlaku keadaan ini wujud akibat persempadanan baru oleh SPR ini?

1.      DUN Alor Limbat (Parlimen Marang)  -  UPU Gelugur sebelum ini berada dalam DUN Alur Limbat, telah dialihkan ke DUN Wakaf Mempelam (Parlimen Kuala Terengganu). UPU Gelugur yang mempunyai lebih 5,000 orang pengundi, diketahui sebagai kubu PAS, dialihkan kerana BN/UMNO mahu merampas Alur Limbat.

Dengan menambah undi PAS di Wakaf Mempelam, ia tidak membawa apa-apa makna kerana sememangnya Wakaf Mempelam adalah turun temurun kepunyaaan PAS dengan ribuan majoriti.

2.      Di Teluk Pasu (kini Buluh Gading – Parlimen Kuala Nerus) - PAS menang dengan majoriti 109 undi. SPR telah menukar nama daripada Teluk Pasu kepada Buluh Gading kerana telah menolak UPU Teluk Pasu yang majoriti menyokong PAS, masuk ke Manir.

Maka, hampir pasti BN akan menang Dun Buluh Gading kerana UPU Teluk Pasu tidak dapat membantu. BN kekalkan Manir kepada PAS dan cuba rampas Buluh Gading (sekarang Teluk Pasu).

3.      DUN  Tepoh (Parlimen Kuala Nerus) – DUN ini dicadangkan oleh SPR dipecahkan di mana sebahagiannya masuk ke Batu Rakit, dan sebahagian daripada UPU Batu Rakit sebelum ini seperti UPU Bukit Wan iaitu UPU deposit Umno, ditolak masuk ke Dun Tepoh.

Dengan sendirinya Tepoh yang PAS  menang sengan majority  229 undi juga dalam bahaya.

Hanya Bukit Tunggal yang agak sukar bagi mereka merampasnya, mungkin kerana tiada UPU kuat UMNO di sekelilingnya, maka BN/UMNO  tidak mampu berbuat apa-apa.

Kesan ini juga akan dirasakan bagi pengundian untuk kerusi Parlimen Kuala Nerus yang PAS menang hanya 641 undi sahaja.

4.      DUN Jabi (Parlimen Setiu)  - Antara DUN harapan pembangkang untuk menang, telah ditambah UPU Gong Batu yang memang milik UMNO.

PAS yang hanya kalah 782 undi, tetapi dengan kemasukan Gong Batu ini, maka hampir pasti Jabi akan dimiliki terus oleh BN.

5.      DUN Kuala Berang (Parlimen Hulu Terengganu) yang mana UMNO hanya menang 449 undi.

PAS dilihat berpotensi untuk menang dan  SPR telah melebarkan kawasan DUN itu sehingga ke Kuala Telemong yang sememangnya sudah diketahui sebagai kubu kuat UMNO.

Atas sebab Kuala Telemong telah diambil Kuala Berang, maka DUN Telemong telah diubah kepada DUN Sekayu.

6.      DUN Chukai (Parlimen Kemaman) - Chukai yang berada di tengah Bandar Kemaman, telah dihadiahkan UPU Bandar Baru Cheneh yang kedudukannya hampir dengan Jabor di hujung daerah Kemaman. Ia mempunyai pengundi yang majoritinya UMNO seramai 2,822 orang.

7.      Di DUN Ladang (Parlimen Kuala Terengganu) - UPU Bukit Depu yang majoriti pengundinya PAS, telah dilonggokkan ke dalam DUN Batu Burok yang sememangnya kerusi tradisi PAS.

Kerana itu, UMNO dilihat berpotensi menang di Ladang yang PAS mempunyai majoriti hanya 924 undi.

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata sebelum ini menganggap usaha SPR ini sebagai satu konspirasi yang sengaja dilakukan.

“Kita merasakan ada tangan-tangan ghaib dibelakang, yang sengaja mahu DUN-DUN yang dimenangi PAS kalah,” tegasnya.

Yang nyata tangan ghaib itu sangat berkuasa dan persempadanan semula itu sudah diluluskan.

Apakah daya PAS untuk melawannya?

Jalan yang ada ialah mempertahankan kerusi yang tidak terbabit dengan usaha SPR memenangkan BN ini melalui undi rakyat yang menentang ‘penipuan’.

Sedarkan rakyat bahawa BN/UMNO akan melakukan apa sahaja, termasuk menggunakan SPR yang sepatutnya bertindak BEBAS dan TIDAK MENGIKUT ARAHAN BN/UMNO.

Namun, itulah hakikat dan Terengganu yang didiami ramai rakyat Melayu dan Islam turut dimanipulasikan oleh BN/UMNO yang rakus mempertahankan kuasa.