Tuesday, October 25, 2016

GANDINGAN RAZALEIGH - MUSA - MALAYSIA BOLEH CAPAI NEGARA MAJU SEAWAL 2000...

 

Bayangkan sekiranya regu Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah mentadbir negara dari 1988 dan jika Tun Dr Mahathir Muhamad, kalah dalam pemilihan UMNO 1967.

Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ‘Presiden UMNO’ akan menjadi Perdana Menteri sementara Musa Hitam yang menewaskan Tun Ghafar Baba,  menjadi ‘Timbalan Perdana Menteri’.

Kedua-duanya adalah regu mantap yang akan membolehkan Malaysia mencapai status negara maju lebih cepat daripada Wawasan 2020.

Malaysia mungkin capai status negara maju pada tahun 2000 atau lebih awal.

Namun sayang sekali kita terlepas peluang itu (apabila Dr Mahathir terus menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum menyerahkannya kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi).

“It is a pity. If I had been defeated by T.R., we would be able to see the close friendly relation between T.R. and Musa in the Government. The country would probably become fully developed by 2000 or earlier. We missed a great opportunity.”

Itu bukan saya kata. Dr Mahathir yang kata melalui catatanya melalui blognya chedet.cc semalam.


Dr Mahathir secara sinis menggambarkan betapa kedua-dua boleh menjadi regu yang baik kerana mereka memang pasangan cocok  yang akan dapat bekerjasama dan saling ‘sayang-meyayangi’.

Sindiran Dr Mahathir itu dibuat pada ketika beliau menyiarkan dua surat bekas timbalannya, untuk menepis pandangan Musa yang mendakwa beliau  meletak jawatan daripada Kabinet Dr Mahathir selepas Perdana Menteri itu membuat tuduhan beliau cuba menyingkirkan Dr Mahathir.

Musa sebelum ini menyatakan perkara itu dalam memoirnya bertajuk  'Frankly Speaking'.

Melalui pendedahan ini, Dr Mahathir memberitahu apa sebenarnya berlaku dengan Musa – perletakan jawatannya kononnya kerana ketidak-kepercayaan Perdana Menteri atau kerana sebab beliau sendiri yang minta berhenti.

Dr Mahathir turut mengulas mengenai panggilan Hitler terhadapnya.


Dr Mahathir menyatakan hakikat sebenar melalui dua surat Musa yang dianggap rahsia selama ini.

Menurut Dr Mahathir, Musa meletakkan jawatan  kerana membantah tindakan Perdana Menteri ketika itu  yang menawarkan kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu jawatan Menteri Perdangangan dan Industri pada susunan semula Kabinet 1984.

Untuk menilai sejauh mana ikhlas cerita Musa mengenai dirinya, Dr Mahathir menyiarkan dua surat Musa. “Bandingkanlah...”kata Dr Mahathir.

"Untuk melihat bagaimana berterus terangnya cerita Musa tentang dirinya, sila baca kedua-dua suratnya. Salinan asal sukar dibaca, jadi saya menulis semula kandungan. Anda boleh membuat perbandingan," katanya.

Surat asal tidak disiarkan sepenuhnya di blog itu tetapi Dr Mahathir melampirkan salinan apa yang ditulis Musa.



Dr Mahathir juga berkata dengan menyiarkan surat berkenaan beliau tidak dapat mengekalkan keinginan Musa untuk merahsiakan surat berkenaan kerana memoir bekas timbalannya itu membayangkan tiada apa yang ingin disembunyikan.

Surat pertama bertarikh 5 Julai 1984 memaparkan perkataan Top Secret (Rahsia Besar) di atasnya, manakala surat kedua bertarikh 31 Julai 1984.


Pada surat pertama Musa menyenaraikan sebab-sebab mengapa beliau membantah tindakan Dr Mahathir memberikan meletakkan kementerian perdaganan dan perindustrian kepada Tengku Razaleigh.

"Tetapi MTI (kementerian perdagangan dan perindustrian) akan memberi beliau akses secara langsung dengan pengundi Umno dalam cara paling meluas. Sila ingat beliau bukan anda, Hussein Onn, Tun Dr Ismail, Hamzah atau Tengku Din yang pernah menjadi menteri di situ. Sama seperti di (kementerian) Kewangan, beliau akan mempolitikkan kementerian bagi kepentingan peribadinya.


Tengku Razaleigh yang juga anggota parlimen Gua Musang berkhidmat sebagai menteri perdagangan dan perindustrian antara 1984 hingga 1987 manakala Musa adalah timbalan perdana menteri antara 18 Julai 1981 hingga 16 Mac 1986.

Pada 1987 Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir dalam pemilihan Umno untuk merebut jawatan presiden parti berkenaan. Dr Mahathir memenangi pemilihan itu namun ia membawa kepada perpecahan serta pengharaman Umno.


Hasil daripada perpecahan itu wujud Parti Semangat 46 sehingga membawa kemenangan kepada ganding PAS –S46 menewaskan Barisan Nasional di Kelantan.

Namun, enam tahun kemudian Tengku Razaleigh kembali ke pangkuan UMNO dan S46 dibubarkan.
  
Selain itu melalui blognya itu Dr Mahathir turut menjawab dakwaan bahawa beliau seorang diktator ketika menjadi perdana menteri keempat.

Seperti biasa melalui sindiran tajam, seperti yang sering dilakukannya beliau mengatakan ber setuju sepenuhnya dengan apa yang orang kata pada beliau.

“Sudah tentu saya jadi diktator selama 22 tahun, yang mahu orang lain setia secara mutlak pada saya.”

Menyifatkan ahli Majlis Tertinggi Umno dan Kabinet kononnya agak dungu dan hanya beliau seorang saja yang bercakap. “Mereka hanya angguk kepada dan kata ya,” sindirnya.

Dr Mahathir turut  membandingkan dirinya dengan diktator-diktator dunia seperti pemimpin Nazi Adolf Hitler, pemimpin fasis Itali Benito Mussolini dan pemimpin Kesatuan Soviet Joseph Stalin.
“Kebetulan saya hendak sebut bahawa semua diktator, Hitler, Mussolini dan Stalin, letak jawatan secara sukarela seperti saya.

“Misterinya bagaimana saya berjaya dipilih lima kali. Tetapi kini kita tahu bahawa perdana menteri yang dipilih juga boleh jadi diktator,” katanya.

Mahathir meletakkan jawatan pada 2003 dan memberi laluan kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau kemudian bertukar pendirian dan mengakui membuat pilihan salah.

Kemudian, Dr Mahathir lantang pula mempersoalkan pentadbiran perdana menteri sehingga sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Sumber - Malaysiakini, FMT & chedet,cc

Saturday, October 22, 2016

TRANSFORMASI NASIONAL 2050 GANTI WAWASAN 2020 SEBAGAI PENGHAPUSAN LEGASI?


“Memperkenalkan visi baru  adalah biasa dan perlu demi kekuatan dan survival politik dan negara di masa hadapan...Tetapi menghapuskan legasi melalui visi baru tanpa mengambil kira kebaikan dan sumbangan pemimpin sebelumnya TIDAK WAJAR dan KEJAM."

Mungkin Transformasi Nasional 2050 (T50) menjadi senjata paling ampuh ‘membunuh Wawasan 2020’.

Legasi lama itu harus diganti dengan yang baru demi masa depan Malaysia yang diharapkan dicapai pada 2050.

Visi T50 itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam pada ucapan Bajet 2017 yang dilihat sebagai serangan berani dan terbesar terhadap legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejauh ini.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menghapuskan legasi DR Mahathir untuk menjadikan UMNO kuat.

Najib semalam membuktikan bahawa cara paling baik menghapuskan legasi Perdana Menteri Malaysia 22 tahun itu ialah memperkenalkan gagasan baru.

Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau dan kepimpinannya merangka hala tuju negara berdasarkan visi baharu yang dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050 atau TN50.

Bagi Najib, T50 adalah ‘azimat kerajaan dan rakyat’ untuk masa depan bagi tempoh 30 tahun akan datang.

“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui," tegas Najib.

Petikan kata-kata Perdana Menteri yang diterbitkan pada Februari 2013 oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara. Sekarang sudah bagaimana?
Sebelum ini, rancangan pembangunan negara berdasarkan Wawasan 2020 hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ada menyebut Wawasan 2020 diperkenalkan ketika pembentangan Rancangan Malaysia Keenam pada 1991 dan ada yang menyebutnya lahir hasil daripada  kertas kerja bertajuk “Malaysia-Melangkah ke Hadapan” yang dibentangkan di Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991.

Wawasan 2020 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 dengan acuan tersendiri. Ia adalah kesinambungan daripada usaha pemimpin negara terdahulu bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju dalam segenap aspek kehidupan meliputi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Untuk yang mahu mengetahui dengan jelas dan mudah, baca dokumen ‘KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN JAYAKAN WAWASAN 2020’ oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia (Februari 2013) melalui carian di internet.

Selepas diragui wawasan itu akan mencapai sasarannya dengan pengenalan berbagai dasar baru sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang diteruskan Najib sejak 2008, ia menjadi hambar.

Malah Dr Mahathir sendiri meragui untukm dicapai kerana pentabiran selepasnya dilihat seolah-olah ‘lepas tangan’.

Dalam pembentangan Bajet 2017 di Parlimen semalam, Najib berkata, sejak 2010, Malaysia berada di atas landasan visi Dasar Transformasi Negara (DTN).
 
Tanpa menyebut sepatah pun perkataan Wawasan 2020, Najib mengatakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Allahyarham Tun Abdul Razak untuk generasi baharu berjaya mencapai sasaran dalam tempoh 30 tahun.

Kerana itu, TN50 juga dijangka mengambil tempoh sama untuk proses dan gerak kerja.

Apakah dengan tidak menyebut Wawasan 2020 itu bermakna gagasan atau visi pembangunan sebelum ini, khususnya di era Dr Mahathir tidak membawa sebarang kemajuan kepada rakyat dan negara?

Apakah DEB yang dijadikan asas pembangunan sejak Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pentadbiran pada 1982 dengan berbagai dasar untuk Bumiputera perlu dilupakan begitu sahaja?

Apakah Najib hanya melihat legasi bapanya tanpa menyebut legasi Tunku Abdul Rahman serta Tun Hussein Onn?

Kenapa melihat visi pembangunan DEB yang mempunyai dua matlamat – membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat yang diteruskan Dr Mahathir sehingga 1990-an sahaja, sedangkan negara mulai mengalami proses industrialisasi  dan ekonomi berteraskan maklumat turut berkembang selepas Multimedia Super Corridor (MSC)  diperkenalkan?

Memperkenalkan  dasar atau visi baru oleh pemimpin adalah biasa dan mungkin perlu demi kekuatan dan survival politik dan negara di masa hadapan.

Tetapi tujuan menghapuskan legasi melalui pengenalan visi baru tanpa mengambil kira kebaikan dan sumbangan besar visi pemimpin sebelumnya TIDAK WAJAR dan KEJAM sama sekali.

Apakah Dr Mahathir pernah cuba menghapuskan legasi pemimpin sebelumnya?

Tun Dr Mahathir sebut dalam pengenalan Wawasan 2020 bahawa ia adalah kesinambungan daripada usaha pemimpin negara terdahulu.
Najib dengan bangganya mengatakan: "Biarlah TN50 jadi saksi, kita adalah bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab mewariskan (masa depan) yang terbaik dan terhebat kepada generasi hari muka (akan datang).”

"Kalau Dasar Ekonomi Baru dulu, Allahyarham Tun Razak rencanakan untuk menyediakan Generasi Baharu yang berjaya dalam tempoh 30 tahun, begitulah TN50 ini akan menjangkau tiga dekad proses dan gerak kerjanya, bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence," katanya.

Najib berkata TN50 akan dimulakan oleh generasi muda yang terdiri daripada kalangan semua kaum melalui wacana-wacana nasional.

"Biarlah TN50 ini menjadi saksi dan berkalamlah tawarikh bahawa, Kita adalah bapa-bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab, mahu mewariskan yang terbaik dan terhebat, diperturunkan kepada generasi hari muka," katanya.

Sepatutnya dalam memperkenalkan visi baru, Najib atau Kerajaan BN bersikap ‘yang baik kena katakan baik’ dan jangan kerana marah dan dendam kita cuba pendam dan lupakan jasa dan visi sebelumnya.
   
Bukan mudah untuk menenggelamkan Wawasan 2020 kerana ia sudah terpahat sebagai sejarah.

Najib dan pemimpin UMNO jangan bermain sentimen yang akan kelak menyebabkan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu mempertikaikan kewibawaannya.

Generasi yang menduduki bangku sekolah dan universiti pada 1990-an dan awal tahun 2000 sudah kenal dengan visi berkenaan sama ada di sekolah atau universiti.


Memang ada kelemahan dan kekurangan tetapi lihat juga kepada sumbangan Wawasan 2020. Baca semula jika sudah lupa atau cuba melupakannya.

Soalan – bilakah Menteri Komunikasi dan Multimedia akan menghapuskan PERSPEKTIF WAWASAN 2020 daripada terus berada di laman web Jabatan Penerangan atau NITC agar rakyat tidak terus mengingatinya atau terus membiarkan ia menjadi legasi?

Menerusi pengumuman itu juga, kata Najib yang juga Menteri Kewangan, kerajaan akan melancarkan siri dialog nasional bagi menjelaskan wacana nasional baharu itu.

Cuma yang aneh, kenapa visi ini dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui  naungan beliau sendiri.

Visi yang besar seperti ini walaupun ditujukan kepada generasi muda sepatutnya membabitkan semua pihak – semua kementerian – kerana ia dasar dan wawasan negara.

Apakah KBS akan menjadi pusat pembentukan dasar dan pelaksana T50?

Dengan menjadikan kementerian dan menteri KBS begitu penting bagi T50 dengan dibantu oleh beliau memberikan suatu persepsi atau tanggapan baru bahawa sesiapa juga yang menggendalikan kementerian ini adalah orang kanan Perdana Menteri.

Apakah ini juga bermakna menteri ini dipersiapkan untuk menjadi pemimpin penting negara di masa hadapan?

Thursday, October 20, 2016

SIAPA KENA ' IKAT PERUT', SIAPA PULA YANG KENYANG & BOROI?


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz semalam menempelak Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membidas Bajet 2017 sebagai tidak bermakna kerana kerajaan tidak mempunyai wang.

Mengulas tulisan Dr Mahathir di blognya, pemimpin UMNO itu yang sering menempelak Dr Mahathir dengan kenyataan pedasnya berkata seharusnya bekas Perdana Menteri itu mendiamkan dirinya daripada membuat dirinya kelihatan bodoh.

"Jika kerajaan tidak ada wang bagaimana kita mahu mentadbir negara tahun depan?" soal Nazri ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen, semalam.

"Tolong beritahu dia supaya diam. Lebih baik untuk beliau berdiam diri dan bagi orang ramai berfikir dia adalah bodoh daripada dia membuka mulut dan mengesahkan bahawa dia benar-benar bodoh," katanya.

Dengan mengatakan demikian, Nazri amat yakin bahawa kerajaan mempunyai wang yang cukup untuk dibelanjakan tahun hadapan ketika banyak pihak meragui kedudukan kewangan negara ini.

Malah, banyak pihak termasuk Perdana Menteri sendiri sudah bercakap mengenai ‘ikat perut’. Sama ada ia bertujuan untuk berjimat atau kerajaan memang kekurangan sumber kewangan untuk tahun hadapan tidaklah diketahui, apa lagi oleh rakyat biasa.

Semalam juga bekas rakan di New Straits Times (bertaraf Pengarang), Mustapha Kamil menulis di Facebooknya dengan mengatakan: “apabila dah nak tersepit begini barulah kita diberitahu supaya kita kenalah ikat perut sedangkan baru minggu lepas rasanya ada yang kata ekonomi kita ini kuat laksana Badang.”

Sungguh tak bertanggungjawab kenyataan itu, kata Mustapha.

Sebaliknya, “apabila ada badan penarafan antarabangsa kata ekonomi kita ini ok hasil dari kira-kira yang mereka jalankan dengan angka-angka yang tak siapa tahu kebenarannya, kita besar-besarkanlah dalam media.

Dan bila kita besar-besarkan itu kita mesti akan nyatakan bahawa penarafan oleh badan antarabangsa ini 'menunjukan pemerintah telah berjaya bla...bla...bla'.”

Beliau turut mengemukakan beberapa soalan:

1.    Anda sudah semakin biasa dengar orang merungut harga barang keperluan harian sekarang semakin mahal?

2.    Anda biasa dengar orang kata susah sekarang ini sebab projek tak ada? Atau jika ada pun pembayaran amat lambat?

3.    Atau adakah anda semakin biasa dengar siswazah menghadapi kesukaran untuk dapat perkerjaan dan jika dapat pun tak ada kena mengena dengan apa yang mereka pelajari?


Mustapha menegaskan,  anda tidak akan dengar semua ini di media perdana. Mereka tidak dibenarkan menyiarkan kegusaran rakyat ini. Bukan kerana apa, tapi takut sokongan politik akan menurun.

Kenyataan Mustapha ini dibuat pada ketika ada mengatakan  Bajet 2017 akan berteraskan kepada rakyat, dan 2017 dijangka untuk melaksanakan langkah berhemat yang lebih kukuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2017 di Parlimen Jumaat (21 Oktober ini).

Rakyat dan pemerhati politik tertanya-tanya sama ada ini adalah belanjawan pilihan raya memandangkan spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya mengejut semakin hampir.

Di kalangan rakyat pula, seperti biasa mereka akan menunggu buah, sama ada akan ranum dan gugur atau buah berkenaan terus memburuk di dahan – tidak akan gugur sama sekali.

Antara yang penting diberikan perhatian oleh kerajaan ialah kumpulan kategori M40 dan B40.

Apakah kerajaan mempunyai keberanian politik untuk menyediakan insentif untuk isi rumah kedua-dua kumpulan ini menangani kenaikan kos sara hidup.

Kategori M40 terdiri daripada kumpulan berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 sebulan sementara kategori B40 merupakan kumpulan dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

Insentif oleh kerajaan itu mungkin perlu pada kitaran jangka pendek, berikutan penting untuk mempelajari daripada pelaksanaan insentif lalu untuk menentukan keberkesanan dan mengurangkan pembaziran.


Dalam konteks bajet kerajaan ini mungkin kita boleh merenung sejenak apa yang berlaku dua tahun lalu, iaitu pada 8 Oktober 2014, apabila Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan gaji Ahli Parlimen perlu dinaikkan kerana sering ‘ikat perut’.

Beliau menyatakan ‘perubahan’ gaji bagi 222 Ahli Parlimen wajar dilakukan ekoran perubahan ekonomi yang berlaku di negara. Ketika itu gaji bagi semua Ahli Parlimen adalah sebanyak RM6,500. Kali terakhir Ahli Parlimen menikmati kenaikan gaji ialah pada 2004 iaitu 11 tahun lalu.

Gaji Ahli Parlimen pada masa itu telah diguna pakai sejak 1 Januari 2004. Gaji bulanan mereka ialah RM6,500 tetapi mencecah kira-kira RM13,000 jika ditambah dengan gaji.

Kini, tidak lagi. Hanya mereka yang tahu berapa pendapatan mereka. Malah yang gemok dan boroi mungkin daripada kalangan Ahli Parlimen.

Rakyat pula semakin merasa kesempitan hidup yang tidak perlu dinyatakan apa sebabnya kerana ia ia adalah pengetahuan umum yang diperkatakan setiap hari.

Cuma kadangkala ada sesuatu yang aneh apabila elaun bekas tentera diterima lambat, tiada lagi bayaran lebihan masa bekerja di kalangan penjawat awam  atau pelajar matrikulasi lambat menerima elaun makan mereka.

Rakyat pula merungut semuanya naik, kecuali ‘hujan sahaja yang turun yang menyebabkan banjir kilat’.

Apa petandanya?

Dua hari lalu, kita diberitahu oleh Perdana Menteri bahawa masa ini ialah masa untuk 'ikat perut'.

Walapupun Datuk Seri Najib Abdul Razak merujuk ‘ikat perut’ itu sebagai  arahan agar  menteri bersedia menghadapi masa terkehadapan yang mencabar namun pastinya kesan akan menjunam terus kepada rakyat.

Jika peruntukan kementerian dan agensi dipotong lagi dan amalan  'mengikat perut' dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan kewangan kementerian masing-masing, pastinya banyak perkara yang merisaukan rakyat akan berlaku.

Sebagai bekas Perdana Menteri 22  tahun dan turut menjadi Menteri Kewangan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bajet akan datang, pelan fiskal kewangan kelapan di bawah Najib sebagai tidak bermakna, memandangkan tabung kerajaan kini menghadapi kemarau kewangan.

Menurutnya, di atas kertas, tidak dinafikan sejumlah besar wang akan diperuntukkan kepada kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

Parlimen pasti akan meluluskan bajet itu kerana ia adalah bajet yang dibentangkan oleh pihak kerajaan yang mempunyai majoriti di Parlimen.

Namun di pihak rakyat bagaimana?

"...rakyat tahu bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan. Mereka tahu sejak dua tahun lalu, kementerian telah diberitahu bahawa tidak ada wang dan oleh itu mereka perlu membelanjakan kurang daripada apa yang diperuntukkan.

"Bajet itu sebenarnya tidak bermakna kerana kerajaan tahu ia tidak mempunyai wang," katanya dalam blog post pagi ini.

Berikutan itu, Dr Mahathir mendakwa kerajaan kekurangan dana kerana kewangan negara tidak digunakan untuk tadbir urus yang baik, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Ini kerana wang yang ada sedang digunakan untuk memenangi populariti bagi perdana menteri sebaliknya. Dengan kata lain, kerajaan tidak membelanjakan wang untuk rakyat, tetapi sebaliknya, untuk meningkatkan populariti Najib.


Sejauh mana benar dakwaan Tun Dr Mahathir itu tidaklah dapat dipastikan namun, menurut laporan The Star Online  kelmarin (18 Oktober 2016), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed telah bertemu dengan Perdana Menteri pada minggu lepas bagi membincangkan cadangan kementerian itu untuk mengukuhkan ekonomi.

"MITI meminta peruntukan tambahan. Kami memahami keadaan tetapi kami berharap agar dapat sokongan bagi pelaburan dan promosi perdagangan. Kami dimaklumkan bahawa keadaan adalah sukar tetapi adalah penting bagi kerajaan dan Perbendaharaan memutuskan apa yang menjadi keutamaan.

"Ada yang anda dapati terpaksa dilepaskan. Anda dapat sedikit, anda terlepas sedikit," beliau dipetik sebagai berkata.

Jika anda dapat sedikit dan terlepas sedikit tidak apa, berbaloi juga.

Tetapi apakah rakyat juga akan menikmati seperti sedemikian?

Seperti kata Mustapha (bukan Mustapa).“Ramai yang sudah lama tahu keadaan kita ini tak lah seperti yang digambarkan sebenarnya. Ramai yang bercakap melalui pengalaman mereka sendiri dimana kenyataan seperti kadar inflasi masih 2 % itu langsung tak ada maknanya pada mereka.

Mana mungkin semuanya ok? Dengan melihat rendahnya harga minyak dipasaran antarabangsa itu sahaja kita tahu yang wang kita tak sebanyak dulu lagi. Dengan munculnya berita-berita bahawa beberapa pembayaran terpaksa ditangguhkan itu menambah syak orangramai bahawa ada yang tak kena dengan keadaan kita ini.”

Oleh kerana amaran sudah  dikeluarkan rakyat pastinya keluh kesah dan berada dalam kerisauan?

Sebaliknya apakah “pemerintah mahu terus menunjukkan mereka kelihatan handal dan betul sentiasa”?
Apakah pertanyaan ini dirujukkan oleh Mustapha terhadap kenyataan yang ‘membela kerajaan’ seperti yang disebutkan oleh Nazri?
.
Apa yang nyata, Najib kini berdepan dengan ujian dan cabaran sebenar bahawa pada ketika beliau  menteri berjimat cermat dan "mengikat perut", perkara itu perlulah dibuktikan olehnya terlebih dahulu, termasuk Bajet 2017 untuk Jabatan Perdana Menteri.

Malah, jika Bajet 2017 adalah bajet pilihan raya, sudah pasti kerajaan perlu menunjukkan memang ia berkemampuan untuk menunjukkan kepada rakyat mengapa kerajaan Barisan Nasional perlu terus memerintah selepas pilihan raya umum akan datang.

Persoalannya, apakah perbelanjaan kurang penting umpamanya  ‘memberi makan’  kepada penasihat kerajaan yang entah apa-apa itu akan dinilai semula.

Perdana Menteri juga perlu jujur kepada dirinya sendiri dengan sedia untuk "mengikat perut" dengan melalui keutamaan peruntukan kepada rakyat ramai yang berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup yang tinggi dan tekanan-tekanan seperti kenaikan harga barang dan pelaksanaan GST masih tidak dikawal dengan baik.

Bersediakan Perdana Menteri, menteri, pemimpin kerajaan serta mereka yang berpengaruh di kalangan masyarakat menunjukkan bahawa mereka serius dan istiqamah untuk sama-sama ‘mengikat perut’ bersama rakyat?


Atau hanya rakyat serta isi rumah mereka yang perlu ‘ikat perut’ tetapi pemimpin  kenyang dan boroi bersama keluarga.

Wednesday, October 19, 2016

BIMBANG TAK BERTEMPAT - APA SUDAH JADI DENGAN MEDIA PROKERAJAAN?

 

Stesen televisyen swasta tempatan, TV3 dibelasah lagi.

Saya tertarik dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Pemuda PAS hari ini iaitu ‘Sampai bila mahu fitnah Abdul Hadi?’

Ia ekoran siaran berita oleh TV3 yang didakwa salah tafsir kenyataan sebenar Presiden PAS di Dewan Rakyat semalam.

Apakah corak pemberitaan dan pengeditan pemberitaan oleh media swasta yang prokerajaan akan melakukan apa sahaja, termasuk ‘mengkhinati rakan’ demi mempertahankan parti yang memerintah?

Apakah cara ini ‘halal’ demi mempertahankan parti pemerintah, bimbang mereka juga akan turur ‘berkubur’ sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkubur?

Kerana itu tidak peliklah jika rakyat kini semakin menolak media prokerajaan dan jumlah penonton atau pembaca semakin berkurangan.


Saya tidak mahu menyebut gelaran untuk TV3 dan media prokerajaan lain yang tidak sedap didengar kerana sedikit sebanyak masih ada nostalgia terhadap media berkenaan.

Apalagi masih ada rakan dan anak buah di situ yang kini sudah menjadi orang penting dan ramai sudah berpangkat ‘Datuk’ dan sebagainya. Saya yakin mereka sudah ‘dewasa’ dan ‘tahu menilai apa yang sepatutnya’.

Namun?

Amat nyata insiden ini menggambarkan, jika ‘mereka yang akrab dengan UMNO dan Perdana Menteri’ pun boleh digodam dan dikhianati, apa lagi pemimpin dan parti yang terang-terang menentang UMNO, BN dan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Sebenarnya, bukan TV3 sahaja mealaporkan pertanyaan’ yang dijadikan ‘kenyataan’ Hadi semalam tetapi juga Utusan Online.

Saya turut membaca berita di New Straits Times, The Star, The Sun dan The Malay Mail untuk mengetahui sama ada ada laporan mengatakan Hadi puji GST, namun mereka hanya menyiarkan soalan yang dikemukakan.

Naib Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata hari ini, tindakan stesen televisyen itu yang memberi laporan salah terhadap Abdul Hadi dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah membelakangkan prinsip asas pemberitaan yang mementingkan kebenaran dan kebertanggungjawaban.


Amat malang sekali apabila stesen televisyen itu telah memanipulasi pertanyaan Abdul Hadi dengan hanya menyiarkan sekerat sahaja tanpa menyiarkan sepenuhnya soalan tersebut dengan niat untuk menggambarkan kononnya GST disokong oleh Abdul Hadi.

Utusan Online semalam melaporkan: “Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan pada 1 April 2015 sebagai cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Justeru menurut Ahli Parlimen Marang itu, kerajaan perlu memastikan tiada peniaga yang boleh lari daripada membayar cukai ber­kenaan seperti yang berlaku ketika pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara. Adakah kerajaan mempunyai kaedah untuk mengesan peniaga yang cuba lari daripada membayar cukai ini atau mungkin kerajaan ada alternatif lain bagi menggantikan GST,” katanya ketika melontarkan soalan tambahan berkaitan GST kepada Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada sidang Dewan Rakyat hari ini (semalam).”

Berikutan itu Pemuda PAS hari ini mengutuk keras pemberitaan stesen televisyen tempatan itu.

“Bukankah ini adalah fitnah yang nyata bagaikan seterang cahaya mentari dengan menyiarkan berita yang dikerat dan digubah sesuka hati bagi memenuhi citarasa tuan empunya mereka?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen pada pagi semalam, Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang bertanya soalan kepada Menteri Kewangan tentang sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat.

Difahamkan, setelah soalan asal dijawab oleh menteri, Abdul Hadi berdiri pada sidang Dewan Rakyat yang sama sekali lagi untuk mengemukakan soalan tambahan.

Jelas Khairil lagi, Abdul Hadi sebenarnya bersuara memperjuangkan isu rakyat di Parlimen dengan mendesak kerajaan agar menilai kembali pelaksanaan GST yang begitu membebankan rakyat di semua peringkat dan bukannya menyokong GST seperti yang didakwa oleh stesen penyiaran berkenaan.

“Kami menuntut permohonan maaf daripada  pihak berkenaan kepada Abdul Hadi atas berita fitnah yang telah mencemarkan imej dan reputasi beliau di mata rakyat.

“Kami juga menyeru pihak berkenaan bertaubatlah daripada meneruskan kerja penyebaran adu domba dan fitnah ini,” katanya lagi.

Datuk Johari Abdul Ghani menjawab soalan Hadi Dewan Rakyat semalam.
Di wall Facebook Presiden PAS itu pula sebuah artikel bertajuk ‘BULETIN TV3: MASIH AMAL PEMBERITAAN KUNO?’ oleh Izwan Abdul Halim turut mengkritik TV3 mnyebut, “..masih ada pihak yang mungkin merasa juara dapat melakukan manipulasi, persepsi atau sensasi ke atas maklumat atau pihak tertentu. Ia sengaja dilakukan untuk menimbulkan salah tanggapan, kekeliruan dan polemik sebagai adu domba, mengampu atau keuntungan untuk pihak tertentu.”

Katanya, kaedah negatif seperti itu rupanya belum dibebaskan daripada  profesionalisme pemberitaan oleh stesen TV3. “Dalam siaran Buletin Utama jam 8:00 malam tadi (Selasa, 18 Oktober 2016) melaporkan kononnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang telah mengakui keberkesanan GST.”

Menurutnya, stesen media elektronik itu dalam siaran tersebut memetik sebutan Ahli Parlimen Marang iaitu _*“GST merupakan percukaian murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan”*_ bersama _‘tagline’_ bertulis “GST: Terbukti Berkesan – Presiden PAS”.

“Mustahil Unit Berita TV3 tidak memahami perkara yang dilaporkan itu melainkan mempunyai motif untuk mencemarkan. Laporan diutarakan seolah-olah ayat disebut Presiden PAS itu sebagai satu _*‘penyataan’*_ sedangkan hakikat sebenar ianya adalah _*‘pertanyaan’*_.

“Perkara tersebut berlangsung pada sesi Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-Pertanyaan, Dewan Rakyat, Parlimen Ketiga Belas, penggal Keempat, Mesyuarat Ketiga, pagi Selasa 18 Oktober 2016. Berikut perincian dari pertanyaan bertulis dikemukakan serta pertanyaan lisan tersebut: Presiden PAS selaku Ahli Parlimen Marang bangun dan menyebut “Tan Sri Yang Dipertua, soalan saya yang kedua”.”

Menurut Izwan, ini jelas ia dalam rangka _*‘pertanyaan’*_ di mana ungkapan yang dipetik TV3 adalah dirujuk kepentingan atau keuntungannya kepada pihak Kerajaan.

Ia bukan *'penyataan’*_ atau perakuan oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS sebagai pendirian mengesahkan GST diterima atau dituntut kelangsungan pelaksanaannya.

Jika demikian, mengapa tidak TV3 mengambil pertanyaan yang menyebut “membatalkan” sebagai penyataan?

Maka, secara nyata, TV3 sebenarnya telah melapor secara konteks yang salah dengan sengaja membawa kepada maksud dan motif tertentu.

Masih tidak terlambat untuk membuat pembetulan dan ralat, katanya.

Mengaku dan membuat pembetulan?

Mana mungkin? Dan kalau mungkin pun apabila mahjatuhkan hukuman bahawa mereka membuat khilaf dan fitnah.


Denda terpaksa dibayar dengan permohonan maaf sekali. Baru BEREH.