Monday, July 25, 2016

SINGKIR NAJIB - GERAKAN DALAMAN UMNO SOKONG DR M, PARTI BAHARU?


"Di kalangan yang akan beralih angin itu adalah pemimpin UMNO kanan, anggota Kabinet dan pemimpin parti komponen BN yang cuba melepaskan diri daripada ‘perbuatan Najib’ sambil melihat peluang sedang terbuka luas di hadapan  mereka."

Mana ada, tak dengar pun...karut-marut dan tidak masuk akal.

Benarkah wujud gerakan untuk menyingkirkan Najib sedang berlaku dalam UMNO?

Siapa yang akan lakukan lakukan? Berani mereka berbuat demikian dan apakah sanggup mereka berkorban pangkat, kedudukan dan keistimewaan?

Tidak mungkin akan ada gerakan singkir Najib dari dalam UMNO sendiri. Dari luar perkara biasa, malah dari luar negara pun!

Lagipun amat meragukan jika ada pihak akan melakukan sedemikian dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) langsung tidak menjejaskan UMNO.

Jangan percaya dengan laporan media asing. Percayakan dengan cakap pemimpin UMNO dan kerajaan agar tidak terpengaruh, termasuk dalam isu membabitkan 1MDB.

Pemimpin UMNO lebih tahu. Yang dari luar itu ‘putar-belit’ dan sengaja mahu menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri.

Ada pihak meramalkan beberapa pemimpin tertinggi UMNO akan beralih kepada pembangkang ekoran tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas berbilion-bilion aset yang didakwa disalah gunakan daripada dana pelaburan negara 1MDB.

Dikatakan juga, di kalangan yang akan beralih angin itu adalah pemimpin dan ahli UMNO kanan, anggota-anggota Kabinet dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional.

Mereka cuba melepaskan diri daripada kemelut kepimpinan dan parti akibat ‘perbuatan Najib’ sambil melihat peluang sedang terbuka luas di harapan mereka.

Ini berikutan pengumuman bekas Perdana Menteri mengumumkan penubuhan parti politik baru yang akan membawa agenda 'Selamatkan Malaysia' dan menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan ahli veteran Umno akhirnya keluar parti itu pada bulan Februari yang lalu di mana penubuhan parti itu akan menarik mereka yang mungkin tidak menyokong parti-parti pembangkang sedia ada.

Kelmarin (23 Julai 2016), akhbar South China Morning Post (SCMP) mengatakan beberapa menteri Kabinet serta mereka yang berada pada kepimpinan tinggi sedang melakukan gerakan  menyingkir Najib.

Mereka dikatakan akan bersama pembangkang selepas pendedahan DOJ Amerika Syarikat Rabu lalu untuk merampas harta yang dikaitkan dengan Kementerian Kewangan yang memiliki 1MDB.

“Saya tidak kata semuanya, tetapi Majlis Tertinggi UMNO akan tetap menyokong Najib, kata sumber dalaman UMNO.

Bekas editor kanan New Straits Times, Firdaus Abdullah dipetik oleh akhbar itu menyebut, Umno dalam keadaan gundah-gulana. “Beberapa pemimpin kanan parti itu telah mula 'berbincang' dengan Mahathir," ujar Firdaus, memetik laporan yang sama.

Laporan  memetik Firdaus sebagai berkata, para pemimpin Umno itu telahpun memulakan perbincangan dengan Dr Mahathir.

Malaysia Dateline, portal rasmi AMANAH yang turut memetik SCMP, bagaimanapun tidak membuat sebarang ulasan.

Pada Khamis lalu,Najib berkata kerajaan memberitahu ia akan bekerjasama dengan AS dalam siasatan, tetapi menegaskan bahawa agensi kawal selia tempatan telah menjelaskan bahawa Najib tidak terlibat dalam sebarang salah laku dalam kes 1MDB.

Pada Rabu, DOJ memfailkan saman sivil untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB.

Seorang individu yang dinamakan dalam aduan rasmi oleh pendakwa raya AS adalah Riza Aziz yang juga anak tiri Najib. Nama-nama lain dikaitkan dalam saman itu termasuk ahli perniagaan terkemuka negara, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai 'Jho Low'.

SCMP turut memetik kenyataan bekas menteri persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang berkata, Umno kini semakin tertekan tetapi ahli-ahli mungkin mengambil sedikit masa untuk melompat parti.

“(Ahli UMNO) jenis  malu-malu (timid). Ia akan berlaku tetapi perlahan-lahan. Saya rasa Najib akan didakwa oleh Amerika Syarikat, dan kemudian kamu akan lihat orang melompat parti," jelas Zaid.


Ketua UMNO  Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (gambar atas) hari ini menganggap laporan kononnya pemimpin kanan Umno dan menteri kabinet akan berpaling tadah berikutan saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika ke atas aset berkaitan 1MDB sebagai karut dan tidak masuk akal.

“Ini berita karut, provokasi dan propaganda pihak tertentu untuk mengabui mata rakyat khususnya ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi, tulisnya dalam blog hari ini.

Beliau juga menyifatkan dakwaan ada kalangan pemimpin UMNO ‘telah berbincang’ dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai amat meragukan dan menafikan bahawa skandal 1MDB telah melemahkan UMNO.

Syed Ali menggesa ahli-ahli parti tidak terpedaya dengan laporan South China Morning Post mengenai perkara itu dan menaruh keyakinan bersama pemimpin mereka.

Satu himpunan  yang dijadual berlangsung pada 30 Julai ini, yang dilihat desakan untuk menyuruh Najib turun, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, undang-undang negara ini membenarkan rakyat berhimpun secara aman tetapi ia perlu mematuhi peraturan selagi jika ia tidak melanggar undang-undang.


Katanya pada Jumaat, polis akan  membantu mempermudahkan perhimpunan bantahan terhadap perdana menteri oleh rakyat tetapi katanya, negara ini  ada undang-undang, “PDRM melaksanakan undang-undang, kalau undang-undang memberi hak untuk berkumpul secara aman dengan memenuhi syarat-syarat ditetapkan, kita PDRM tiada masalah. Kalau ikut peraturan, kita akan bantu (memudahkan perhimpunan), tetapi jangan pula dia (pembangkang) kata tidak mahu ikut peraturan,” katanya.

Pakatan Harapan mahu mengadakan protes pada akhir bulan ini jika Perdana Menteri gagal memenuhi tiga tuntutan mereka, susulan saman DOJ itu.

Tuntutan pertama ialah Najib perlu mengambil cuti sebagai perdana menteri dengan segera kerana wujud persepsi beliau mempunyai kuasa dan pengaruh ke atas agensi utama kerajaan, termasuk Pejabat Peguam Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tuntutan kedua ialah Kabinet perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terdiri daripada individu tiada kaitan dengan mereka yang didakwa terbabit dalam isu itu.

Tuntutan terakhir ialah sidang tergempar Parlimen perlu diadakan segera supaya Najib boleh memberi penjelasan terperinci mengenai isu itu kepada wakil rakyat.

Sementara itu akhbar TheStraits Times Singapura pula melaporkan yang berbeza dengan mengatakan kedudukan politik Najib tidak tergugat walaupun saman sivil Doj itu.

Ia berkata, DOJ mendakwa mengaitkan dana 1MDB, bagaimanapun, tidak akan melemahkan pentadbiran di bawah pemerintahan Najib, kerana beliau mempunyai kedudukan yang teguh dalam Umno dan kawalan ke atas institusi Malaysia yang utama seperti agensi keselamatan.

Laporan The Straits Times semalam  itu memetik pandangan firma penyelidikan sebagai berkata bagaimana pembangkang di negara ini telah berpecah-belah.

"Keselamatan Najib adalah kerana penentang di kalangan Pembangkang dan Umno tidak dapat bersama-sama untuk menyampaikan mesej yang koheren dan alternatif boleh dipercayai," kata Pengarah Pusat Merdeka, Ibrahim Suffian.

Dalam tempoh terdekat, tumpuan Najib adalah untuk mengukuhkan lagi kepimpinannya di negara ini, menurut laporan itu sambil menambah bahawa beliau dijangka meneruskan strategi 'stubborn ignorance' berhubung kejatuhan akibat kegagalan 1MDB.

"Ia merupakan strategi sejak awal dan ia berjalan dengan baik. Tiada sebab untuk berubah," kata seorang penyelidik kanan daripada sebuah badan yang menyediakan khidmat nasihat dan pandangan.

Najib memulakan 1MDB sejurus selepas menjadi perdana menteri pada April 2009 untuk melaksanakan pelaburan strategik di luar negara.

Bagaimanapun, menurut DOJ, seorang pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan yang rapat dengan Perdana Menteri menggunakan dana tersebut sejak awal, menurut laporan itu.

Najib menafikan sebarang salah laku. Beliau menolak liputan media antarabangsa mengenai salah urus tadbir dan dakwaan penggubahan wang haram melalui dana 1MDB.

Thursday, July 21, 2016

JABATAN KEADILAN AS FAIL TINDAKAN RAMPAS HARTA 1MDB BERNILAI RM14 BILION...

Khadem, Jho Low dan Riza Aziz
"Pendakwa AS berkata dana disalahgunakan daripada 1MDB dipindah kepada mereka yang menubuhkan Petrosaudi, iaitu syarikat yang menjalankan usaha sama dengan 1MDB. Kemudian dana dipindahkan semula kepada pegawai tinggi kerajaan Malaysia yang dikenali sebagai "Malaysian Official One"."

SAH SUDAH...

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pagi ini (Rabu, waktu tempatan di Los Angeles) memfailkan tindakan undang-undang, bertujuan merampas berpuluh-puluh hartanah yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB).

Menurut dokumen difailkan itu ia bernilai lebih AS$3.5 bilion (RM14,00 Juta) dikatakan disalahguna daripada institusi berkenaan.

Reuters melaporkan tindakan undang-undang tersebut yang difailkan di Los Angeles itu pagi ini (kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan) bertujuan membuat rampasan aset yang 'terlibat dalam dan boleh dikesan berhubung konspirasi antarabangsa untuk menggubal wang haram disalah gunakan dari 1MDB'.

Menurut dokumen pendakwaan berkenaan, kesalahan itu dilakukan dalam tempoh empat tahun dan melibatkan beberapa individu termasuk para pegawai Malaysia dan rakan sekutunya.

Mereka berkomplot untuk menipu bagi memindahkan berbilion daripada 1MDB.


Bagaimanapun, daripada tindakan undang-undang tersebut, tiada satu pun  menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Namun, tindakan tersebut menamakan mereka yang rapat dengan Najib, termasuk anak tiri Perdana Menteri iaitu Riza Aziz sebagai 'individu berkaitan' dalam kes itu.

Mereka juga menamakan pembiaya Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al- Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al- Husseiny.

Sebelum ini New York Times (NYT) menyebut, Khadem Al Qubaisi, ialah bekas eksekutif syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE), International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pendakwa Amerika Syarikat berkata dana disalahgunakan daripada 1MDB dipindah kepada mereka yang menubuhkan Petrosaudi, iaitu syarikat yang menjalankan usaha sama dengan 1MDB

Selepas itu dana kemudian dipindahkan semula kepada seseorang atau pegawai tinggi dalam kerajaan Malaysia yang hanya dikenali sebagai "Malaysian Official One".

Aset di kenal pasti membabitkan penthouse, kediaman mewah, hasil seni dan lukisan, malah juga jet peribadi.

Salah satu hartanah di Los Angeles yang menjadi sasaran Jabatan Keadilan AS.
“Penyelewengan itu itu dilakukan dalam beberapa fasa dalam tempoh beberapa tahun,” menurut pendakwa berkenaan.

Dana yang disalahguna itu membeli Aset Defenden, selain membiayai kehidupan mewah mereka yang turut dibabitkan, seperti membeli barang kemas dan lukisan mahal serta membeli hartanah mewah.

Juga digunakan untuk tujuan berjudi, membayar sewa ahli muzik dan selebriti bagi menghadiri parti dan majlis-majlis mewah anjuran mereka.

Kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini dilapor merancang menyita aset bernilai lebih AS$1 bilion yang dibeli oleh pihak-pihak rapat dengan Najib dan dikatakan datang daripada 1MDB.


Aset-aset itu dilapor dalam bentuk harta tanah serta barangan mewah dan seni. Ia dikatakan kes terbesar dibawa oleh Jabatan Kehakiman AS.

Walaupun bahagian itu biasanya hanya menyita aset dan bukan mendakwa individu, laporan itu menyebut aduan berkaitan aset tidak menghalang pertuduhan jenayah yang mungkin.

NYT berkata pihaknya gagal mendapatkan reaksi segera Riza, Jho Low atau Khadem.

Akhbar berpengaruh New York itu melaporkan, pembelian AS$150 juta kediaman di bandar itu dan Los Angeles, serta beberapa karya seni, dibuat melalui syarikat tidak aktif.

Sebelum ini, The Wall Street Journal melaporkan bahawa Jabatan Keadilan AS dijangka menyita aset-aset yang dikaitkan dengan 1MDB – yang dirujuk sebagai sitaan terbesar dalam sejarah AS.

Sehingga kini, 1MDB belum memberikan sebarang reaksi berhubung perkara itu.

Wednesday, July 20, 2016

BENARKAH AMERIKA SYARIKAT AKAN SITA ASET RM3.4BILION BERKAITAN 1MDB?


Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dijangka menyita aset yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), demikian menurut laporan sebuah media antarabangsa negara itu  

Skala sitaan akan menjadi yang terbesar dalam sejarah negara kuasa besar dunia ituyang dianggarkan AS850 juta (RM3,400 juta), lapor The Wall Street Journal (WSJ) hari ini.

Memetik sumber, WSJ melaporkan, inisiatif bahagian aset Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dijangka memfailkan saman sivil untuk mendapatkan kebenaran menyita aset-aset itu pada pagi ini (Rabu, waktu Amerika Syarikat).


Akhbar kewangan antarabangsa itu melaporkan sitaan akan melibatkan harta tanah dan aset lain yang dibeli dengan “wang yang didakwa disalah guna daripada dana Malaysia”.

Menurut laporan Malaysiakini, pihaknya sedang cuba mendapatkan reaksi 1MDB bagi mengesahkan laporan itu.

Akhbar itu  sebelum ini melaporkan, mereka yang dikaitkan dengan dana ini melabur berjuta-juta dolar dalam hartanah dan perniagaan di Amerika Syarikat.

Ejen daripada unit rasuah antarabangsa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sudahpun menjalankan  pelbagai siasatan secara meluas membabitkan jenayah terhadap individu serta institusi yang terbabit dengan  1MDB,  iaitu tabung yang ditubuhkan pada 2009.

Ia bertujuan memacukan ekonomi negara, sebaliknya menjadi sebuah syarikat yang dibebani pelbagai skandal kewangan dan hutang.

Penyitaan aset ini boleh dianggap sebagai langkah permulaan terhadap 1MDB oleh kerajaan Amerika Syarikat dalam konteks siasatan.

Belum diketahui jenis aset yang akan disita. Namun tindakan dijangka melepasi saman sivil yang dimulakan sejak 2015 bertujuan merampas aset bernilai kira-kira AS$850 juta (RM3.6b) membabitkan tiga syarikat telekom, menurut mereka yang mahir dengan kes seperti ini.

Mereka mengatakan siasatan masih berterusan.

Langkah menyita  aset oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat terikat dengan tabung pelaburan oleh kerajaan negara asing,  dilihat sebagai tindakan mempergiatkan usaha global di pihak Washington bagi menentang penyelewengan dan rasuah.

Ia juga bertujuan menyekat kegiatan mendapatkan dana secara tidak sah (haram) melalui sistem kewangan dunia.

Tindakan oleh Amerika Syarikat ini dijangka akan menggugat hubungan baik antara Washington dan Kuala Lumpur – negara Islam sederhana – yang menjadi sekutu Amerika Syarikat begitu lama di Asia Tenggara.

Malaysia dikatakan amat rapat dengan Asia Barat selain dijadikan sebagai  penghadang (bulwark) dengan China yang dilihat semakin mencengkam kuasanya di Asia.

Presiden Barrack Obama memperteguhkan hubungan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak apabila bermain golf bersama di Hawaii pada cuti Krismas 2014.

Penyitaan aset yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman melalui satu inisiatif yang di namakan sebagai Kleptocracy Asset Recovery Initiative yang ditubuhkan pada 2010 bertujuan menyasarkan kes-kes berkaitan rasuah di luar negara.

Kes terbesar olehnya ialah penyitaan bernilai AS$850 juta aset yang dikaitkan dengan rasuah oleh tiga kumpulan syarikat telekom global yang dikaitkan dengan anak perempuan Presiden Uzbekistan.

Kes berkenaan masih di peringkat timbangtara.

Tuesday, July 19, 2016

SEPATUTNYA DIDESAK KERAJAAN PAS KELANTAN HAPUSKAN BUDAYA HEDONISME...


"Lagu-lagu dangdut serta dikir barat yang menampilkan gadis-gadis seksi dibiarkan menjalar dengan begitu mudah di Kelantan...seolah-olah maksiat dan kemungkaran itu ‘dibenarkan’ oleh kerajaan PAS Kelantan yang kononnya memperjuangkan Islam."

Pemuda PAS semalam  menyuarakan bantahan terhadap penganjuran konsert penyanyi, Selena Gomez yang dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal.

Lajnah Dakwah Pemuda PAS, terkilan kerana pihak berkuasa memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan konsert tersebut yang dijadual berlangsung pada 25 Julai di Stadium Malawati, Shah Alam.

Pengerusinya, Hafez Sabri menyuarakan harapan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menyatakan bantahan secara rasmi bagi menyekat kehadiran penyanyi 'Same Old Love' itu. Sekiranya konsert 'Selena Gomez The Revival Tour' itu diteruskan, ia dipercayai boleh merosakkan akidah, ibadah dan umat Islam khususnya generasi muda, jelasnya.

Tidak dinafikan ada kebenaran kepada apa disuarakan oleh Pemuda PAS ini.


Namun, pada ketika yang sama Pemuda PAS jangan bersikap ‘kuman di seberang lautan boleh nampak tetapi gajah di depan mata mereka boleh terlanggar’ apabila bercakap mengenai isu ‘sisi gelap indutsri muzik’ di negeri berkenaan.

Jangan hanya memperkatakan mengenai kemunculan artis kelahiran Amerika yang sinonim dengan penampilan seksi sahaja  boleh  dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal yang masih diraikan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam.

Bagaimana dengan ‘dangdut’ dan dikir barat di Kelantan? Ia bukan hanya pada Shawal tetapi sepanjang hari, bulan dan tahun.

Apakah Pemuda PAS, termasuk Pemuda PAS Kelantan ada menegur kerajaan negeri yang memerintah Kelantan sudah kesekian lama mengenai isu sisi gelap industri muzik di Kelantan?

Laporan blog KijangJantan dengan tajuk  Sisi Gelap Industri Muzik Cemarkan ‘Negeri Serambi Mekah’ menggambarkan segala-galanya.

Blog berkenaan mengemukakan beberapa pertanyaan:

1.      Apakah dilakukan oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri  dan kerajaan Pusat untuk membanteras kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik di Kelantan? Kerajaan negeri nampaknya hanya berminat dengan pakaian wanita tetapi tanpa sedari budaya lucah sudah diserapkan kepada golongan belia, khususnya remaja sejak lebih sedekad yang lalu.

2.      Apa tindakan kerajaan negeri khususnya Exco yang banyak bercakap mengenai aurat dalam isu dangdut dan dikir barat seksi ini?

3.      Apakah aurat hanya dari segi pakaian terdedah sahaja? Bagaimana dengan aurat melalui suara dan pendengaran? Lebih dahsyat ialah wujudnya  budaya lucah dan pengeksploitan terhadap wanita yang disalurkan melalui lagu dan video yang berleluasa di jual di Kelantan dan Pantai Timur? Ada kerajaan PAS Kelantan ambil kesah?


Blog berkenaan membandingkan sikap  Pemuda PAS Kelantan, dalam isu anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang dikatakan menghina umat Islam yang menyamakan dedak dengan duit raya, beliau lantang menuntut supaya memohon maaf terhadap umat Islam berhubung entri di laman sosial Facebooknya itu.

Namun, perkara mungkar yang berlaku di depan mata, ada di kedai menjual kaset dan video serta pasar-pasar malam di merata negeri berkenaan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan tidak pun mendesak pihak berkuasa kerajaan negeri bertindak.

Isu ini bukan baru, malah sudah lebih satu dekad, namun, di negeri PAS perintah iaitu Kelantan, budaya hedonisme yang merebak sejak bertahun-tahun kebelakangan ini kenapa tidak dibendung?

Lagu-lagu dangdut serta dikir barat yang menampilkan gadis-gadis seksi dibiarkan menjalar dengan begitu mudah dan  tidakpun diberikan perhatian sama ada oleh PAS Pusatt atau PAS Kelantan, khususnya di kalangan pemudanya.

Menghairankan, pada muktamar atau perhimpunan parti PAS di Kelantan, tidak pernah pun kedengaran isu ini dibangkitkan. Seolah-olah maksiat dan kemungkaran itu ‘dibenarkan’ oleh kerajaan PAS Kelantan yang kononnya memperjuangkan Islam.

Memalukan juga apabila video ‘maksiat’ ini dijual beriringan dengan video ceramah agama dan ceramah politik oleh pemimpin PAS Kelantan di kedai-kedai atau di kaki lima atau pasar-pasar malam.

Kenapa boleh diperbuat sedemikian?

Ada pula kanak-kanak yang bersiul-siul lagu berkenaan dan apa yang terfikir di benak mereka sukar kita fikirkan.

Namun jika dilihat video dan didengar CD yang diterbitkan oleh mereka yang mahu mengaut untung dengan mudah, kita akan memahami segala-galanya!

Pada laporan Utusan Malaysia 13 Julai lalu, ada menyebut bahawa industri muzik Kelantan tidak terlepas daripada terpalit kontroversi dengan kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik.

Bagaikan barah, penghasilan lagu-lagu tersebut dikatakan bertambah saban tahun.

Malah di YouTube, berlaku lambakan klip-klip video memaparkan wanita seksi Kelantan dengan aksi mengghairahkan. Klip itu bebas ditonton sesiapa sahaja.

Menurut Utusan Malaysia, situasi tersebut sedikit sebanyak mencemarkan nama baik Kelantan yang mendapat jolokan Negeri Serambi Mekah.

Kerana itu, jika Pemuda PAS mahu menggesa kerajaan atau pihak berkuasa untuk mengambil langkah tegas dan sewajarnya dalam meluluskan penganjuran konsert yang dikhuatiri tidak mendatangkan faedah untuk anak muda - tidak terkecuali kerajaan Kelantan.

Jika Pemuda PAS boleh menyeru Kerajaan Pusat, kenapa tidak kepada Kerajaan PAS Kelantan?

Sila rujuk dan peraturan menguat kuasakan Garis Panduan Hiburan atau apa sahaja berkaitan Majlis Agama Islam Kelantan, kerana yang penting bukan dalam konteks konsert sahaja tetapi juga penjualan VCD yang bersepah di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur.

Konsert hanya sehari dua tetapi VCD dan CD dengan gambar dan senikata lucah boleh diulang-ulang dan boleh berlaku setiap hari, sepanjang hari atau juga setiap jam?

Kenapa tutup sebelah mata?

Takut anak muda marah? Takut hilang undi?

Pemuda PAS sila bantah dan tunjukkan keutamaan dan tanggungjawab anda dalam memastikan tidak wujud unsur-unsur dan gejala hedonisme yang boleh mempengaruhi dan merosakkan generasi muda di Kelantan dan di Malaysia khususnya.

Gejala berbahaya ini jelas bukan sahaja diakibatkan oleh yang diimport dan datang sekali sekala sebaliknya di Kelantan, ia dihasilkan sendiri di dalam negeri oleh sebilangan rakyat di ‘Negeri Serambi Mekah’ yang dibangga-banggakan oleh PAS Kelantan.

Kesannya gejala hedonism ini turut merebak dengan  meluas di Terengganu dan Pahang.


Apakah ia bukan satu dosa???