Thursday, June 2, 2016

NAK BERBUDI DENGAN PAS KONON – ISLAM KINI TERDEDAH KUTUKAN


UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang  ambil langkah salah perlu bertanggungjawab. Lihat apa sudah jadi dengan cercaan terhadap RUU 355 dan Hudud.

Jika Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) atau RUU 335 tersangat penting, kenapa pula beri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk mengusulkannya di Dewan Rakyat?

Sedangkan hakikatnya, usaha meminda Akta 355 itu adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh UMNO untuk memperkasakan bidang perundangan Syariah sedia ada.

Ia diharap akan berubah  kepada sistem yang selari dengan perkembangan semasa dan berakar kukuh kepada sumber-sumber perundangan syariah yang diiktiraf di dalam Islam.

Usaha ini wajar disokong dan sudah pasti selain menegakkan Islam, ia membawa kelebihan atau milage kepada UMNO selepas menjelaskan tujuan murni itu kepada parti komponen Barisan Nasional.


Sebaliknya, kenapa pula UMNO mahu menghadiahkan milage itu kepada PAS dan Hadi?

Umno bukan sahaja terlepas peluang baik sebaliknya menghulurkan lehernya untuk dijerut dan disembelih,  bukan sahaja oleh parti komponen BN, sebaliknya juga oleh PAS.

Politik baik hati, berbudi dan bekerjasama konon! Dalam ungkapan orang kampung, disebut ‘bodoh tak habis-habis’.

Untuk rekod, usul mengenai RUU itu dibacakan buat kali pertama selepas dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Melalui cadangan pindaan usul persendirian itu, ia hanya terpakai kepada orang-orang Islam di negara ini dan tidak memberi kesan langsung kepada golongan bukan Islam, selagi hak beragama yang diamalkan bersikap aman dan damai terhadap Islam.

Ia juga tidak ada kena mengena dengan Enakmen Jenayah Syariah II Negeri Kelantan yang pernah dicadangkan di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri mengakui usaha ini. Pindaan ini akan meningkatkan jumlah hukuman di Mahkamah Syariah yang telah begitu lama tidak dipertingkatkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap usul itu akan dapat memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman jenayah mengikut ketetapan syariah dan tidak sesekali melangkaui bidang kuasa Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Usul itu adalah untuk dibahas dan dipinda bagi membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman berkaitan dengan zina, qazaf, minum arak dan murtad melebihi kuasa sedia ada sebelum ini.

Usul berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Jika demikian, bukankah pelik apabila Hadi yang memang ‘berwajah Hudud’ diberikan ruang untuk membentangkan usul berkenaan, apalagi ia bukanlah  bertujuan untuk mewujudkan undang-undang baharu berkaitan Hudud.

Tidak ada Menteri dalam kerajaan yang berupaya membentangkan usul ini? Di atas nasihat siapakah boleh Perdana Menteri atau pemimpin tertinggi kerajaan bersetuju dengan cadangan ini?

Kerananya, timbul berbagai  tuduhan, termasuk oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga peguam terkenal Datuk Zaid Ibrahim bahawa Presiden PAS itu mengubah suai undang-undang hudud bagi memenuhi keperluan politiknya, sebahagiannya untuk mengekalkan sokongan pengundi Cina.

"Hudud, versi asal undang-undang Allah Taala, pastinya meliputi semua orang dan jika hukuman membawa kepada kematian, biarlah. Itu hukum Allah, tetapi Abdul Hadi mengubah suai untuk memenuhi agenda politiknya. Beliau hanya menjadikan undang-undang itu tertakluk kepada orang Islam, jadi beliau boleh kekalkan undi Cina," kata bekas menteri  baru-baru ini.

Gara-gara Hadi membentangkan usul itu, pelbagai kekecohan dan keributan berlaku, malah Hadi sendiripun ‘sudah menghukum’ pihak-pihak tertentu sebagai ‘anti-islam’ dan sebagainya.
  
Zaid berkata, menerusi RUU itu, Presiden PAS mahu mahkamah syariah diberikan kuasa tanpa had dalam mengenakan hukuman. Ini adalah sebahagian daripada helah penipuan oleh Abdul Hadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan UMNO.

Berikutan itu, adalah baik untuk meneliti dan menilai cadangan oleh IKRAM Malaysia (IKRAM) yang berpendirian bahawa pihak kerajaan perlu melihat kembali cara pindaan undang-undang ini dikendalikan dan membuat pembetulan dengan kerajaan sendiri mengambil inisiatif melalui proses dan tatacara yang sepatutnya dalam meminda mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan Agama Islam.

"Ini adalah usaha bagi kepentingan Agama Islam dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak," kata IKRAM.

Malah IKRAM berharap agar semua pihak bertindak secara rasional, objektif dan tidak mengikut emosi dalam membincangkan perkara ini serta mengelakkan daripada menjatuhkan sebarang hukum terhadap golongan yang berbeza pendapat.

Ambillah pengajaran ini agar apa sahaja berkaitan Islam, kerajaan hendaklah mengambil inisiatif utama sesuai dengan kuasa dan fungsinya menjamin Islam dimartabatkan dan tidak diperlekehkan sesuka hati.

Baca kenyataan Presiden IKRAM Presiden Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad seperti berikut:


31 Mei 2016


Akibat kerajaan membenarkan cara luarbiasa iaitu dikemukakan pembangkang dalam mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) di Parlimen maka terjadilah kutukan dan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk daripada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri.

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata kerajaan adalah pihak yang lebih wajar mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) di Parlimen bagi mendapatkan kelulusan.

"Berkenaan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan, IKRAM katanya pernah menyatakan pandangan mengenainya pada 11 Mei 2014, yang antara lain menyarankan empat langkah awal bagi menjamin perlaksanaan enakmen ini dapat mencapai matlamatnya, demi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat, yang merupakan maqasid penting dalam perlaksanaan undang-undang Islam itu sendiri.

"Dalam kenyataan tersebut juga, IKRAM mengalu-alaukan penubuhan Jawatankuasa teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan enakmen ini bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ia dari dipolitikkan," katanya.

Pada ketika itu juga menurut beliau, IKRAM mengalu-alukan keputusan Presiden PAS untuk menangguhkan dan tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian dalam Persidangan Dewan Rakyat bulan Jun 2014 kerana ia memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.

Beliau percaya bahawa Jawatankuasa Teknikal ini telah bekerja keras bagi membuat kajian dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi memastikan perlaksanaan undang-undang syariat dapat dilaksanakan secara efektif dan mencapai maqasidnya.

"Kita berpandangan bahawa jawatankuasa ini yang seharusnya berperanan menasihati kerajaan tentang isu berkaitan pindaan Akta 355 ini sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan kuasa Mahkamah Syariah. Kerajaan sepatutnya mengurus pindaan ini dengan membawa kepada kabinet, berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dan akhirnya membawa kepada Majlis Raja-raja bagi mendapatkan perkenan sebelum dibawa ke Parlimen," katanya.

Beliau berpendapat, jika ini dapat dilakukan dan semua agensi kerajaan termasuk IKIM, IKSIM, para mufti, jabatan-jabatan agama, NGO-NGO dan universiti-universiti berperanan untuk berbincang, mengemukakan pandangan dan memberi penjelasan kepada rakyat, maka salah faham yang timbul pada hari ini berkaitan RUU 355 ini dapat diminimumkan.

"Oleh kerana proses perundingan ini tidak berjalan dengan baik dan perkenan Majlis Raja-raja juga tidak diperolehi, maka kita lihat bantahan daripada pelbagai pihak sedang berlaku termasuk daripada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional," katanya.

IKRAM katanya, tetap dengan pendirian pihak kerajaan perlu melihat kembali cara pindaan undang-undang ini dikendalikan dan membuat pembetulan dengan kerajaan sendiri mengambil inisiatif melalui proses dan tatacara yang sepatutnya dalam meminda mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan Agama Islam.

"Ini adalah usaha bagi kepentingan Agama Islam dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak," katanya.

Beliaumenyeru agar semua pihak bertindak secara rasional, objektif dan tidak mengikut emosi dalam membincangkan perkara ini serta mengelakkan daripada menjatuhkan sebarang hukum terhadap golongan yang berbeza pendapat.

Kenyataan beliau diakhiri dengan terjemahan dua ayat berikut:

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama." (al-Hajj: 78)

"Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan." (Taha: 2)


Monday, May 30, 2016

USUL RUU AKAN GAGAL KERANA ‘ALLAH TIDAK MEREDAKANNYA' ?


"...bantahan bukan Islam terhadap usu ini akan menyebabkan kepimpinan tinggi BN perlu menilai semula pelan kerjasama mereka dengan PAS. Tembelang sudah terbongkar dan PAS pun terperangkap dengan mainan Hadi dan konco-koconya. Harapan kerjasama UMNO-PAS kantoi..."

Ahli Dewan Undangan Salor serta bekas Naib Presiden PAS yang dipecat daripada partinya, Datuk Husam Musa diminta mengulas mengenai kekecohan membantah Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan PAS.berkata, “Allah lebih tahu niat kita sebagai manusia...”

Apabila Islam dipolitikkan dengan tujuan untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa serta menjayakan  cita-cita politik , Allah tidak meredakannya sama sekali, tegasnya.

Husam yang dihubungi petang semalam, berkata apa yang dilakukan oleh PAS dalam konteks rang undang-undang itu boleh dipersoalkan kerana ‘Hudud’ yang diperjuangkan oleh PAS bukan ‘Hudud Islam yang sebenarnya’ tetapi adalah versi PAS.

Bukan mahu mengiakan apa yang dikatakan oleh Husam namun perbuatan tergesa-gesa semua pihak, Speaker Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta UMNO yang kononnya mahu bekerjasama dengan PAS demi dua pilihan raya kecil (PRK) Sungai besar dan Kuala Kangsar ibarat ‘menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’.


Soal kerjasama PAS-UMNO ini turut didedahkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden AMANAH Datuk  Dr Mujahid Yusof Rawa apabila mengatakan bil persendirian diizinkan untuk dibentang dalam hal undang-undang syariah seksyen 355 tanpa bahas boleh terdedah kepada berbagai manupulasi.

Yang menentang akan jadikan ini sebagai muqaddimah pada Hudud manakala yang menyokong akan menjadikan isu ini sebagai bahan kempen PRK dan untuk konsumsi ahli parti. Manakala yang betul-betul mahu melihat perincian dan penjelasan tidak dapat membuat apa-apa rumusan kerana proses ini masih tergantung.


Sebelum ini PAS menjaja ke setiap ceruk kampung dan bandar bahawa rang undang-undang itu sebagai ‘Hudud’ demi mendapatkan sokongan rakyat, khususnya beragama Islam.

Malah, pemimpin PAS sanggup sehingga ke hari ini memaki hamun sesiapa juga, khususnya pemimpin DAP kononnya mereka biadap dan  anti-Islam.

Tapi realitinya? Presiden PAS jawab sendiri : Apa yang dibentangkannya bukan undang-undang hudud tetapi pindaan yang menjurus ke arah pemerkasaan sistem hukuman yang tertakluk di bawah Mahkamah Syariah Kelantan.

"Sepatutnya orang bukan Islam tidak campur tangan dalam urusan (rang undang-undang) ini. Saya lihat MIC dan MCA lebih faham dan DAP pula tidak faham, ia sangat mendukacitakan. AMANAH (Parti Amanah Negara) yang ditubuh dengan begitu rupa tidak tahu sempadan orang Islam. Ini bukan permainan politik, ini tanggungjawab agama,” kata Hadi .

Selain itu, Ketua Pemuda Pas Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan bahawa, parti Islam itu akan menggunakan usul persendirian Akta 355 pada dua pilihan raya kecil akan datang. Beliau juga mengaku perbentangan itu adalah hasil kerjasama antara Pas dengan Umno.

"(Kerjasama PAS dan Umno) bukan dakwaan. Kerjasama itu wujud tetapi hanya perkara-perkara untuk kepentingan bersama. Itu kita dah jelaskan cuma ada orang lihat sekiranya kerjasama dengan kerajaan itu tak boleh.

"Inilah antara kerjasama yang PAS maksudkan. Kita berterima kasih pada Speaker dan kerajaan yang berani pertama kali benarkan usul persendirian ini," katanya.

Jika tidak Hudud kenapa ada maki hamun sedemikian rupa oleh Presiden PAS itu? Apakah ini cara PAS berdakwah?

Juga apakah pemimpin PAS ini boleh dipercayai dalam isu memperjuangkan Hudud dengan pendedahan Hadi itu?

Bukan pemimpin PAS sahaja yang menghentam tetapi juga kalangan veteran UMNO yang sepatutnya lebih peka dan bersangka baik dengan parti komponen BN.

Setiausaha Kelab Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakubmengatakan mereka tidak ada hak untuk komen RUU itu kerana ia membabitkan orang Islam. Menurutnya, sebagai rakan kongsi BN, MCA sepatutnya menjelaskan kekeliruan orang Cina yang bukan Islam terhadap RUU itu dan bukannya menjadi batu api.

Jangan salahkan orang bukan Islam kerana Mustapha sendiri sudah menyebut ia rang undang-undang, sedangkan Hadi hanya membawa usul, belum lagi dipersetujui di Dewan Rakyat untuk mdijadikan rang undang-undang.

Ditolak atau diterima belum pasti.

Yang nyata kini bukan PAS sahaja yang kena percikan air tetapi lebih teruk UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Kesian dengan calon BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak semena-mena menghadapi serangan yang tidak dijangka dan akan menyulitkan mereka.

Tolak ketepi Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP yang mempertikaikan cara usul dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi kemarahan sekutu BN semakin menyala-nyala.

Kini, MCA, MIC, Gerakan, SUPP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagai tidak boleh diredakan kemarahan mereka, biarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak cuba ‘mendinginkan suhu kehangatan politik negara’ akibat usul ini semalam.

Ini kenyataan mereka:

1.   Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai: “Saya cuba untuk menghentikannya. Saya cuba mendapatkan semua parti komponen untuk menghentikannya. Saya menggesa kedua-dua belah pihak agar bersama menyekat Rang Undang-Undang ini. Jadi, jika kita tidak boleh melakukannya, kita perlu berkorban. Saya akan letak jawatan.” (28 Mei 2019)

2.  Presiden MIC, Datuk S Subramaniam : "Jika selepas semua usaha kami hudud masih dilaksanakan, saya akan meletakkan jawatan dalam kerajaan...rang undang-undang itu akan membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan, yang kemudian mungkin merebak ke negeri-negeri lain." (29 Mei 2019);

 

3.  Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong: “Gerakan juga akan melakukan segala-galanya dalam kuasanya untuk menyekat RUU hudud walaupun ia bermakna melepaskan jawatan dalam kerajaan...Keputusan ini masih tidak berubah," (28 Mei 2015).

4.  Presiden Parti Berstu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan: “Pas' Private Members Bill on Syariah amendment should not have been allowed in Parliamen...This is stipulated in our Constitution. “I would dare say some of the penalties are inhumane. Do we want to go into this?”

Semalam Presiden MCA terus  merayu kepada semua Ahli Parlimen untuk mengundi bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan PAS.

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata RUU itu tiada kaitan dengan hudud, Liow menegaskan bahawa jika ia diluluskan, skop itu lebih luas dengan memberi kuasa kepada PAS di Kelantan untuk menuntut pelaksanaan hukuman hudud.

Menurut Liow, Kerajaan Kelantan kemudiannya boleh melaksanakan apa sahaja hukuman kesalahan yang termasuk dalam undang-undang jenayah hudud.

Pindaan ini juga akan memberikan mahkamah Syariah di Kelantan kuasa yang sama dengan sistem mahkamah Persekutuan.

Najib semalam mengakui terdapat "salah faham" di kalangan parti-parti komponen BN mengenai rang undang-undang ahli persendirian yang dibentangkan oleh Presiden PAS itu.

Katanya, apa yang dibentangkan bukan undang-undang hudud tetapi pindaan yang menjurus ke arah pemerkasaan sistem hukuman yang tertakluk di bawah Mahkamah Syariah.

Kenapa ada salah faham?

Kerana wujudnya ‘hubungan komunikasi yang terputus’ antara pemimpin komponen BN.

Kenapa tidak ada penjelasan kepada pemimpin komponen BN walaupun ini sudah kali ketiga percubaan Hadi?

Kepada tidak dijelaskan kepada pemimpin bukan Islam dalam BN terlebih dahulu mengenai peruntukan untuk mempertingkatkan fungsi Mahkamah Syariah?

Kenapa biarkan ia difahami sebagai yang berkaitan Hudud. Salah pemimpin parti komponen?

Mana Menteri agama atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ‘pakar’ dalam mundang-undang yang selama ini menganggap orang lain bodoh mengenai perkara ini dan khususnya Hudud?

Bagi MCA itu: “Kami mahu sokongan dari kedua-dua parti komponen untuk bersama-sama menghentikan RUU ini kerana ia bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan," katanya semalam.

"Malaysia kemudian akan mempunyai dua sistem undang-undang yang sama. Ini akan menimbulkan konflik kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi yang diguna pakai di negara kita.

"Menurut Artikel 8, semua rakyat Malaysia harus tertakluk kepada satu sistem undang-undang dan adalah sama mengikut undang-undang," kata Liow.

Ketika ditanya sama ada pendirian MCA bertentangan dengan UMNO yang menyokong RUU yang dibentangkan PAS, Liow berkata kedua-dua parti harus kembali kepada semangat konsensus Barisan Nasional.

"Sejak membentuk kerajaan semasa merdeka, kita menggunakan semangat BN iaitu konsensus. Dalam apa jua pindaan (kepada Akta sedia ada) kita perlu memastikan kita mempunyai konsensus dari semua parti komponen.

Yang nyata, bantahan bukan Melayu dan bukan Islam dalam atau luar BN terhadap usul ini akan menyebabkan kepimpinan tinggi BN perlu menilai semula pelan kerjasama mereka dengan PAS.

Tembelang sudah terbongkar dan PAS pun terperangkap dengan mainan Hadi dan konco-koconya.

Harapan kerjasama yang kantoi ini terpaksa dibatalkan atau dibaikpulih melalui cara lain untuk beberapa ketika akan datang sebelum pilihan raya umum dijangka dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Berjayakah mereka?

BN sendiri pula perlu memperkemaskan rumahnya sendiri kerana walaupun ada mengatakan tidak memerlukan undi bukan Melayu dalam pilihan raya umum, hakikatnya jika ada tsunami kedua undi bukan Melayu kepada pembangkang, BN boleh lingkup dan UMNO mungkin terpaksa menagih simpati parti lawan untuk bentuk kerajaan.

Namun, ada satu pertanyaan yang menarik dibuat melalui  FB saya oleh Syed Azizi Aziz:

Saturday, May 28, 2016

PRESIDEN MCA AKAN LETAK JAWATAN – BN SEDANG BERGOLAK GARA-GARA RUU

"Saya cuba untuk menghentikannya. Saya cuba mendapatkan semua parti komponen untuk menghentikannya...jika kita tidak boleh melakukannya, kita perlu berkorban. Saya akan letak jawatan.”

Tidak Serius Ker Ni?

Mahu nafi, nafilah. Tetapi Barisan Nasional (BN) kini memang sedang bergolak.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau akan meletakkan jawatan jika Rang Undang-Undang Persendiraan PAS (RUU) diluluskan.

Sikap MCA ini amat jelas. Mereka tidak berganjak selain konsisten dengan keputusan semalam.

Apakah ini memberi isyarat bahawa RUU berdepan masalah untuk diluluskan dan kegembiraan PAS sehari dua ini akan menjadi duka menjelang beberapa buan akan datang?

Ternyata sokongan Putrajaya kepada Presiden PAS dalam pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian mengenai hudud di Parlimen telah menghangatkan suhu politik negara.

Walaupun hanya empat daripada parti BN yang hadir menentang RUU semalam ekoran ketergesaan dalam memanggil sidang akhbar tersebut, namun, usaha-usaha untuk mengembleng tenaga di kalangan parti-parti lain dalam BN bagi menentang hudud telah berjalan.

"Ini bukan hanya MCA, kami berpakat dengan komponen parti lain untuk menyatakan pendirian (menentang hudud)," katanya.

Bagaimana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh kata memuji MCA yang dikatakan lebih baik daripada DAP?


Malam semalam dalam sidang media selepas mengumumkan calon pilihan raya kecil Sungai Besar di Markaz PAS Simpang 5, Sungai Besar, Selangor, Hadi menyatakan rasa kecewanya terhadap DAP apabila parti itu bertindak mengkritik rang undang-undang persendirian yang dibentangkannya di Dewan Rakyat, kelmarin (26 Mei 2016).

Sebaliknya, Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang itu mendakwa MCA dan MIC  - dua parti komponen BN yang didominasi bukan Islam - lebih faham akan undang-undang tersebut.

"Sepatutnya orang bukan Islam tidak campur tangan dalam urusan (rang undang-undang) ini. Saya lihat MIC dan MCA lebih faham dan DAP pula tidak faham, ia sangat mendukacitakan. AMANAH (Parti Amanah Negara) yang ditubuh dengan begitu rupa tidak tahu sempadan orang Islam."Ini bukan permainan politik, ini tanggungjawab agama," kata Hadi.

Kenyataan Liow hari ini nyata sekali menggambarkan bahawa apa yang cuba diperjelaskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah ‘tidak boleh mempengaruhi’ atau ‘dimakan’ oleh MCA.

Semalam Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).meminta supaya parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak salah faham mengenai RUU  berkaitan hudud yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober nanti.


Perdana Menteri berkata, peruntukan yang akan dibentangkan Presiden PAS itu bukan pindaan undang-undang hudud.

"Kita sudah beritahu rakan-rakan dalam Barisan Nasional, ada salah faham besar bila Datuk Seri Hadi Awang bawakan RUU Persendirian itu mereka pandang bahawa dia bawa undang-undang hudud. Label dan kaitan itu terlalu rapat dengan soal hudud, bila dia (Abdul Hadi) bangkit tu kira automatik hudud. Saya nak terangkan bahawa pindaan tersebut tidak merupakan undang-undang hudud," katanya.

Bagaimana dengan tindakan selanjutnya oleh MIC, Gerakan dan SUPP selepas ini?  Kita tunggu pandangan mereka.

Liow menegaskan hari ini, beliau akan letak jawatan daripada Kabinet jika RRU (PAS) diluluskan di Parlimen. (Beliau menyebut RUU PAS)

Malah beliau bertegas: "Saya cuba untuk menghentikannya. Saya cuba mendapatkan semua parti komponen untuk menghentikannya. Saya menggesa kedua-dua belah pihak agar bersama menyekat Rang Undang-Undang ini."

Malah menurutnya, sekiranya gagal menyekat RUU diluluskan, beliau akan berkorban.

“Saya akan letak jawatan. Kamu tahu, tidak ada gunanya saya berada di sini. Saya perlu memastikan perkara ini.  Saya terlintas untuk memberitahu perkara ini pada sidang media semalam (Jumaat), " jelas Liow kepada The Star.

Menteri Pengangkutan itu berharap ia mendapat sokongan daripada kedua-dua parti untuk tidak mengundi RUU seperti yang diusulkan oleh Hadi.

Semalam, Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong meletak jawatan daripada parti itu sebagai bantahan susulan usul persendirian Rang Undang-Undang (RUU) mengenai hudud dibentangkan di Parlimen.

"Saya mengumumkan bahawa saya keluar daripada MCA sehingga isu ini berubah haluan," kata Dr Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun pada sidang akhbar di Sungai Petani semalam.

Beliau menyerahkan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk membuat keputusan mengenai kedudukan sebagai exco.

Mengenai kedudukan MCA dalam Barisan jika RUU dibahas dan diluluskan, Liow yakin pihak parti akan kekal dengan apa yang ditetapkan.

"Saya belum berbincang lagi mengenainya (MCA dalam Barisan). Kita perlu berbincang berdasarkan semangat Barisan dan menggunakannya untuk menyekat RUU ini.

Bagi Liow, apa pun beliau berharap MCA perlu terus (dalam Barisan). Tetapi beliau bersedia untuk meninggalkan Kabinet.


“Saya tidak bimbang dengan apa yang saya katakan ini," kata Liow. 

BN JAHAT, UMNO RASUAH, BERI LALUAN PAS GANTI UMNO...


UMNO berusaha memperlihatkan ia baik dan boleh bekerjasama dengan sesiapa, apalagi PAS yang asasnya Melayu dan Islam.

Sama ada demi kepentingan survival politik atau kepentingan pemimpin tertinggi individu tertentu, UMNO berusaha bebaik-baik dengan PAS dalam segenap cara.

Kepimpinan PAS digalakkan menyertai program UMNO dan Barisan Nasional (BN), malah kini duduk semeja seolah-olah ada persefahaman baik di kalangan pemimpin tertinggi.

Puji memuji antara pemimpin dibuat di khalayak untuk membuktikan Melayu-Islam UMNO dan Islam-Melayu PAS kini benar-benar ‘rapat’.

Malah Presiden PAS kini menganggap ia parti yang menyumbang sebagai penasihat BN/UMNO dalam konteks pentadbiran. PAS kini bebas menegur BN/UMNO dari pelbagai segi dasar dan pelaksaan atas kapasiti sebagai ‘tuan dan rakan penasihat’.

Di Terengganu, PAS menjadi ‘rakan pentadbiran’ kerajaan negeri dan dialu-alukan nasihat mereka oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Di Kelantan, pemimpin UMNO menitiskan air mata menyokong Hudud pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Terbaru, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berterima kasih kepada kerajaan (BN) kerana membenarkan beliau membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Namun di sebalik semua itu, PAS bukan sahaja menolak pakatan pembangkang tetapi sebenarnya menentang UMNO habis-habisan.

Bagi PAS, “Orang Melayu memang sedar BN ini jahat. UMNO rasuah. Jahanamkan negara.”

Pemimpin UMNO juga dikata sebagai “...yang melakukan kesalahan, rasuah, seleweng, salahguna kuasa dan boros.”

PAS melihat bahawa: “Bagi sebahagian orang Melayu, nilai dan harga keselamatan agama dan bangsa lebih besar dan penting dari RM42 Billion wang 1MDB atau derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Datuk Seri Mohd Najib Razak."

Apakah pemimpin UMNO, khususnya Presiden UMNO serta Timbalannya atau sesiapa juga sedar atau buat-buat tidak penting mengenai perkara ini?

Atau deperado sangatkah sokongan daripada PAS sehingga kadang kala menyebabkan rakan komponen BN lain terguris hati?

Apakah penyokong PAS akan mengundi UMNO berbanding bukan-Melayu pada pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum?

Baca di sini, apa kata PAS:


HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat
Ditulis pada: Thu, May 26th, 2016

Tiada orang Islam yg benar benar beriman dan tahu realiti yang berlaku akan mempertahankan mereka yang melakukan kesalahan, rasuah, seleweng, salahguna kuasa dan boros.

Kerana sikap begitu akan menyebabkan orang bukan Islam memandang serong kepada agama Islam.

Seolah olah dikeranakan sikap orang Islam yang masih mahu mempertahankan BN yang korupsi, maka Islam dianggap mengajar tidak apa apa kalau rasuah. Zalim, boros dan menyeleweng itu bukan kesalahan.

Dilema sebenar adanya pada orang orang Melayu yang membentuk populasi terbesar umat Islam yang menjadi majoriti penduduk negara ini. Kemiskinan, ketinggalan serba serbi ekonomi, ekuiti, nisbah golongan profesional, saintis. Satu satu perkara yang orang melayu masih boleh merasa lega adalah kerana tunjang yang menjadi teras kuasa dalam negara masih lagi dikawal orang Islam.

Kita masih ada Kepercayaan kepada Tuhan dan Raja Berpelembagaan sebagai 2 Rukun tertinggi dalam RUKUN NEGARA. Kita ada Yang Di Pertuan Agong dan Sultan sultan sebagai ketua negara dan ketua negeri negeri. Kita masih ada struktur politik yang mengawal halatuju negara dipimpin oleh mereka yang masih dilihat melayu dan Islam.

Ini dilihat jaminan penting kepada orang orang Islam. Yang terlalu berharga untuk dicuba cuba bereksperimen dengan menggantikan dengan struktur baru yang berbeza dengan membawa idealisma keterbukaan, liberal, pluralisme dan sekularisme.

Orang melayu memang sedar BN ini jahat. UMNO rasuah. Jahanamkan negara.

Mereka mahu tolak UMNO. Tapi berikanlah mereka pilihan yang tidak merisikokan agama dan bangsa.
PAS selaku parti yang telah lama dalam sepak terajang politik melayu arif sangat sentimen dikalangan orang melayu ini.

Kerana itu Presiden PAS tegaskan berkali kali, mesti faham negara ini masyarakatnya bersifat majmuk, berbilang kaum. Tak cukup semata mata faham istilah majmuk. Kena faham majmuknya sifat bagaimana?

Kerana itu PAS menolak berada dlm pakatan yang memberi mesej dan persepsi berada dibawah kawalan DAP. DAP pula parti yang telah tertanam persepsi dikalangan orang melayu sebagai rasis, chauvinist, dan melampau batas dalam memasuki sempadan urusan orang Islam dan melayu.

Gelombang pengundi melayu tidak akan terbentuk melainkan ada semacam jaminan bahawa kepimpinan politik baru yang mahu menggantikan BN UMNO, boleh diharap, berprinsip dalam soal agama dan bangsa.

Ini rintangan yang perlu kita kenalpasti dan terjemahkan dalam kerangka tindakan.

Pakatan Harapan dengan strukturnya sekarang hanya menempah kegagalan.

Melainkan dengan PAS sama sama diberi sokongan bulat sebagai lawan setara yang perlu dibantu serba serbi untuk tewaskan UMNO.

Menggagalkan usaha PAS menentang UMNO adalah sebenarnya sabotaj yang besar dalam menjayakan agenda menumbangkan BN yang sudah terlalu rosak.

Bagi sebahagian orang melayu, nilai dan harga keselamatan agama dan bangsa lebih besar dan penting dari RM42 Billion wang 1MDB atau derma RM2.6 Billion yang masuk ke akaun peribadi DS Najib.

Nak tewaskan UMNO kita kena bersatu pada strategi yang betul. Pedulikan mereka yang mahu membantu UMNO dengan memecahkan undi.