Friday, May 13, 2016

KEPELBAGAIAN SUMBER PERTUMBUHAN RANGSANG TRAJEKTORI EKONOMI M'SIA


"Di sebalik kebimbangan terhadap liabiliti luar jangka disebabkan laporan bersifat negatif berkaitan dana pelaburan strategik negara 1MDB, yang akan menjejaskan keyakinan dalam jangka pendek dan sederhana, unjuran keseluruhan Malaysia mampu meningkat..."



Oleh Christine Lim

Di sebalik suasana ekonomi global yang mencabar, kepelbagian sumber pertumbuhan yang dinikmati Malaysia mampu merangsang trajektori pertumbuhan negara pada masa depan.

Negara ini terus mencatat kesinambungan tarikan pelaburan asing dalam sektor pembuatan khususnya dalam industri elektrik dan elektronik serta industri berteknologi tinggi lain.

Sektor pembinaan serta projek infrastruktur mega lain, sudah tentu akan memacu pertumbuhan dalam keadaan penggunaan domestik yang sederhana.

Suku pertama tahun ini menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.2 peratus, dengan sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan mendorong pencapaian tersebut.

Walaupun keadaan ketidaktentuan masih menyelubungi kadar pertumbuhan rakan dagangan utama Malaysia, terutama China yang terus mengalami proses transformasi ekonomi, kebangkitan semula ekonomi berpotensi dari pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), akan terus melonjak perdagangan dan pelaburan.

AS mempamerkan beberapa petanda peningkatan ekonomi yang jelas, dengan unjuran perolehan korporat dan pasaran pekerjaan lebih menyakinkan.

Institusi kewangan Malaysia yang kukuh dan kecairan domestik yang lebih daripada mencukupi terus memberi sokongan padu untuk kegiatan ekonomi, manakala imbangan akaun pembayaran juga berada dalam prestasi lebihan.

Dalam memberi penekanan terhadap aspek ini, kecairan telah mencatat peningkatan sejak pengurangan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) berkuat kuasa 1 Feb, 2016 yang membawa kepada pelepasan meluas mudah tunai dalam sistem perbankan.

Syarikat diunjur mampu melunaskan hutang memandangkan kira-kira 76 peratus pinjaman perniagaan Malaysia dibiayai secara domestik.

Malaysia sudah tentu akan memantau perkembangan harga minyak mentah, yang kini stabil pada sekitar US$45 setong.


Di sebalik kebimbangan terhadap liabiliti luar jangka disebabkan laporan bersifat negatif berkaitan dana pelaburan strategik negara 1MDB, yang akan menjejaskan keyakinan dalam jangka pendek dan sederhana, unjuran keseluruhan Malaysia mampu meningkat seiring pengukuhan harga minyak mentah, di samping usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan.

Ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai pertumbuhan 4 hingga 4.5 peratus pada 2016 berbanding lima peratus pada tahun lepas.

Pertumbuhan itu mampu meningkat pada separuh pertama 2016 selepas jangkaan pertumbuhan lemah pada separuh pertama.

Kapasiti pembuatan yang lebih tinggi, peningkatan pengeluaran komoditi serta pendapatan tinggi sudah pasti akan mempercepatkan pertumbuhan pada separuh kedua 2016 dan seterusnya melangkah ke 2017.

Kesimpulannya, asas-asas daya tahan yang kukuh dan petunjuk pertumbuhan berpotensi mampu mengekang ekonomi daripada terjerumus ke dalam krisis kewangan.
Ia akan menyokong sasaran defisit fiskal pada 3.1 peratus tahun ini.

Thursday, May 12, 2016

UMNO TIDAK DIBENCI TETAPI YANG RASUAH, SALAH LAKU & ANGKUH JADI SASARAN...


Buruk sangatkah imej UMNO yang dipaparkan oleh wartawan internet?

Jika demikian, kenapa membiarkan ia berterusan?

Bukankah UMNO memiliki ‘panglima perang’, tentera siber, facebookers dan pelbagai jentera siber lain untuk mempertahankan UMNO?

Naib Presiden UMNO,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semalam, 87 peratus daripada maklumat "kumpulan wartawan Internet" itu membuat tulisan begitu hanya untuk mempengaruhi masyarakat.

Tujuannya adalah untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap UMNO.

“Apabila pemikiran sudah dipengaruhi, ia menimbulkan persepsi. Apabila persepsi tidak diuruskan, ia akan menyebabkan pembuat keputusan membuat keputusan berdasarkan pengaruh,” katanya.


Namun, menurut Dr Ahmad Zahid, soal kredibiliti sesuatu maklumat daripada media sosial termasuk portal berita, kini sudah mula dipertikaikan.

“Kita tahu berita mereka berdasarkan agenda media dan kita tahu agenda mereka tidak difahami ramai orang,” katanya.

Jika tahu semuanya, eloklah sekiranya UMNO memberikan penjelasan. Namun kenapa persepsi tidak dapat dihapuskan?

Benar sekali kata-kata Dr Ahmad Zahid bahawa UMNO  tidak 'sekotor' dakwaan sesetengah pengguna Internet atau wartawan atas talian.

Rasanya dalam isu UMNO diserang ini, ia mempunyai pelbagai bidang dan tafsiran.

“Umno tidak sekotor sebagaimana persepsi tulisan wartawan yang (menulis secara) tidak beretika di luar media konvensional seperti dalam Facebook, WhatsApp, YouTube serta Telegram," kata Dr Ahmad Zahid dalam temu bual bersama BH sempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO.

Temu bual itu disiarkan semalam.

Hakikatnya UMNO tidak diserang secara parti.

Masyarakat Malaysia tahu, termasuk wartawan siber bahawa UMNO banyak menyumbang kebaikan kepada negara.

Namun, pendapat Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri bahawa 'wartawan Internet' tidak mempunyai asas untuk menuduh atau membuat pandangan dengan sewenang-wenangnya mengenai parti berkenaan sehingga membawa tanggapan negatif umum, boleh dipersoalkan.

Bagaimana dengan tiga perkara berikut?.

1.  Sesetengah pemimpin UMNO diserang kerana moral dan tingkahlaku mereka yang tidak menyenangkan rakyat dalam isu-isu tertentu;

2.  Sesetengah pemimpin UMNO ‘yang bodoh’ sudah pasti mendedahkan diri mereka untuk diserang khususnya yang cuba mempertahankan seseorang, walaupun sudah diketahui umum orang berkenaan ada masalah moral, kepimpinan, pentadbiran atau menyusahkan rakyat;

3.  Ada sesetengah pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan ‘bodoh’ yang menyebabkan rakyat merasa dihina hanya kerana mahu melepaskan tanggungjawabnya atau kerana kononnya mempertahankan pemimpin serta kerajaan; dan

4.  Sesetengah pemimpin UMNO yang ternyata terpalit dengan pelbagai salah laku rasuah, salah guna kuasa, samseng dan tidak sensitif dengan kehendak rakyat.

Jadi, apa pilihan yang wartawan siber ada?

Menurut anggota parlimen Barisan Nasional (BN) Bagan Datoh itu, pengguna Internet dan sesetengah wartawan atas talian cuma mengeluarkan pendapat masing-masing dan ia kemudian mewujudkan pengikut.

Selepas itu persepsi berkenaan disebarkan dan menurut Dr Ahmad Zahid, "memang mudah" untuk seseorang menyatakan pendapat tanpa berasaskan penulisan beretika dalam bidang kewartawanan.

Benarkah wartawan dalam talian tidak terlatih dan tidak beretika dalam bidang kewartawanan?

Belum tentu. Mungkin ada tetapi tidak semuanya.

Sewajarnya Naib Presiden UMNO yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri melihat ‘serangan’ dalam pelbagai konteks.

Ada yang memberikan pendapat berbeza mengenai UMNO dan kepimpinan. Mereka ini tetap sayangkan UMNO.

Ada yang nampak ‘garang’ mengkritik UMNO tetapi hakikatnya tidak terlintas pun di hati mereka mahu meninggalkan UMNO namun disebabkan meluat dengasesetengah pemimpin dan keadaan yang berlaku, mereka menulis dan menyatakan pendapat.

Ada yang menghentam terus menerus UMNO dan sanggup meninggalkan parti. Namun kes seperti ini perlu juga diselidiki.

Apa yang tidak kena dengan mereka? Apakah pemimpin UMNO mendekati mereka ini untuk mengetahui kenapa mereka ‘marah’ kepada UMNO?

Apakah mereka ini tidak penting lagi kepada UMNO?

Dr Ahmad Zahid kena ingat bahawa soal penting bukan ‘penentangan’ terhadap UMNO dan pemimpinnya,  tetapi apakah mereka mengundi UMNO ketika pilihan raya?

Belum tentu yang menyokong dan menjadi ‘langau’ bertaburan di sektar pemimpin UMNO itu mengundi UMNO dan BN.

Dengan usia 70 tahun, UMNO dan pemimpinnya perlu matang.

Jangan melihat kritikan dan ‘second opinion’ terhadap sesuatu isu membabitkan UMNO sebagai sikap membenci UMNO seratus peratus oleh seseorang. Selagi ada yang bercakap mengkritik, memberi pendapat lain atau mengusulkan sesuatu yang ‘walaupun sukar diterima’, ia menandakan masih ada yang sayangkan UMNO.

Namun apabila mereka ini berdiam diri atau sudah tidak pedulikan UMNO, keadaan itu ditahap bahaya.

Dalam keadaan sedemikian, mereka mungkin sudah melupakan UMNO dan tidak lagi mengundi UMNO dan BN pada pilihan raya.

Jadi jangan menganggap yang mengkritik UMNO atau sesetengah pemimpin itu sebagai yang itdk sayangkan UMNO.


Lebih baik bersuara daripada diam. Sekurang-kurang mereka berhujah, bukannya taat membabi buta!!!

Monday, May 9, 2016

DIMURKAI SULTAN TERENGGANU - AHMAD RAZIF BERKORBAN DEMI PERDANA MENTERI?


BERKORBAN APA SAHAJA...sebuah lagu P Ramlee dalam filem Hang Tuah. Demi Sultan Melaka yang mahukan Tun Teja.

Lagu ini sesuai untuk Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu yang membiarkan ‘belakangnya dipukul’ demi berkorban untuk seseorang.

Dalam isu di Terengganu ini, ia bukan seperti isu melarikan Tun Teja. Tidak ada kena mengena dengan Sultan Mizan Zainal Abidin langsung. Namun ada perkara lain yang hanya tiga pihak mengetahuinya (saya terpaksa rahsiakan).

Apalah nasib  Ahmad Razif yang baru menjadi Menteri Besar selama dua tahun dan kini menerima desakan supaya beliau berhenti.

Semalam, Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Terengganu HajiYahaya Ali berkata, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu itu sepatutnya melepaskan jawatannya sekiranya beliau mempunyai ‘moral’.

Kalau Menteri Besar(MB) ada moral, beliau perlu letak jawatan, kerana sudah jelas pelucutan pingat dan darjah kebesaran yang diberikan sultan, adalah ‘signal’/

“Sultan sudah tidak boleh menerima beliau lagi,”ujarnya

Sekurang-kurangnya dua pemimpin Terengganu – Ketua Bahagian UMNO Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail - sudah menyebut mengenai Fasa 30.

Ia merujuk kepada Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu fasal 30(i),(ii) dan (iii), Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Terengganu boleh membatalkan pengurniaan darjah atau kebesaran kepada sesiapa jua atas mana-mana satu alasan yang berikut.

“(I) Jika orang itu telah disabitkan atas satu kesalahan yang melibatkan tipuan, kecurangan atau buruk akhlak,

(II) Jika seorang itu dilucutkan kewarganegaraannya,dan

 (III) Jika DYMM berpuas hati dengan kelakuan atau watak orang itu bahawa orang ini tidak lagi patut dikurniakan darjah atau kebesaran tersebut atau tidak patut dianugerahkan bintang atau pingat penghormatan atau kebesaran tersebut.


Dan melalui fasa inilah dikatakan yang membolehkan Tuanku Sultan Terengganu menarik balik pingat

Namun, kenapakah Ahmad Razif bersedia untuk berkorban begitu sekali?

Apakah Ahmad Razif terlalu berterimakasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak kerana melantiknya menjadi Perdana Menteri?

Apa janjinya atau komitmen untuk ditunaikan sekiranya dilantik menjadi Menteri Besar?

Apakah Ahmad Razif diminta sebagai balasan untuk melakukan sesuatu demi orang yang melantiknya, sedangkan Sultan Terengganu juga mempunyai peranan, iaitu ‘memoperkenankan’.

Dalam soal yang amat rumit dari segi pelantikan dan pentadbiran, sudah pasti Ahmad Razif tetap kena menjawab kepada Sultan Terengganu dan Perdana Menteri.

Namun, pada zaman moden ini, mungkin Ahmad Razif sedikit keliru dengan menganggap Najib sebagai ‘Sultan Melaka’. Dia mendahulukan Perdana Menteri, sedangkan sebagai ‘Bendahara Melaka’ atau ‘Hang Tuah’, Razif tidak boleh membelakangkan Sultan.

Lihat sahaja apa jadi kepada Hang Tuah, walaupun sudah banyak jasa dan korbannya, akhirnya dia meletakkan jawatannya dan katanya lari ke hulu sungai dan membuang kerisnya, Taming Sari.

Sultan Melaka tidak berupaya menyelamat Hang Tuah, dan kalau pun diselamat,  tiada gunanya. Melaka sudahpun jatuh ke tangan Portugis pada 1511.

Epic Hang Tuah ini tidaklah bermakna jasa Ahmad Razif kepada Sultan Terengganu begitu besar tetapi mungkin ‘Sultan’ bagi Ahmad Razif adalah Najib.

Mungkin komitmen Ahmad Razif kepada Najib ini menyebabkan Istana Terengganu begitu ‘murka’ kepada Menteri Besar.

Dengan kedudukan sekarang, Najiblah yang sepatutnya menyelamat Razif. Jangan biarkan belakangnya terus dipukul, di sepak dan diterajang.

Pandai-pandailah Najib membawa Ahmad Razif lari dari ‘kepanasan politik Terengganu’. Juga anugerahkanlah sesuatu untuknya.

Ahmad Razif pernah menyatakan untuk ‘berhenti’ daripada  menjadi  Menteri Besar tetapi diminta supaya ‘berkorban’ untuknya bagi tempoh sementara.

Ahmad Razif sudah dan sedang melakukannya.


 Ahmad Razif boleh dilantik ke Pusat sebagai Senator. Setidak-tidaknya jawatan Timbalan Menteri. Pengorbanan Ahmad Razif terlalu besar dan perlu dibalas oleh Najib.

Kasihan dia! 

Saturday, May 7, 2016

HORMATI KELUARGA MANGSA, JANGAN BERSIKAP ‘OTAK DAH ROSAK’

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah lain menyempurnakan solat jenazah mangsa tragedi helikopter, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon di Surau Al-Jahirah, Pangkalan Udara Kuching malam semalam.  Turut sama menunaikan solat jenazah timbalan menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota keluarga Noriah. Jenazah kemudian diterbangkan ke Pangkalan Udara Subang, Selangor menggunakan pesawat tentera.
Tindakan segelintir pihak yang 'bercakap-cakap' dan mempermainkan isu insiden nahas helikopter AS350 di Sarawak, petang kelmarin, melalui laman sosial merupakan satu tindakan tidak wajar.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini menghormati perasaan anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai memberi teguran kepadapengguna Internet  (netizen) yang memberi komen negatif mengenai insiden helikopter itu dengan ada dalam kalangan mereka yang menyifatkan kemalangan itu sebagai wayang.


"Ia tidak ada kena mengena dengan apa-apa peristiwa pun. Sesiapa yang telah sampai ajalnya akan mati tanpa sebab atau dengan pelbagai sebab yang tidak diduga. Ajal dan maut di tangan tuhan dan semua pihak perlu menerima dengan reda tanpa ada cakap-cakap," katanya.

Helikopter berkenaan berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching dan kali terakhir berhubung dengan menara kawalan pada 4.15 petang, setelah tiga minit berlepas.

Serpihan helikopter yang dinaiki enam orang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohamad Khairil.    


Mayat Noriah dijumpai pasukan penyelamat mencari helikopter di tebing sungai Batang Lupar, tengah hari semalam.

Noriah merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang semalam.

Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih mengenai nahas helikopter di Sarawak, petang kelmarin.

Beliau berkata ini demi menghormati perasaan anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas itu.

"Kejadian seperti ini merupakan satu tempoh yang amat sukar bagi mereka dan memerlukan semua pihak menjadi lebih prihatin terhadap perkara yang berlaku," katanya dalam kenyataan di Ipoh, semalam.

Sementara itu, sebuah portal, Mykmu.net turut membidas  orang ramai yang membuat catatan negatif dan menyebarkan imej palsu mengenai nahas helikopter, yang meragut nyawa seorang timbalan menteri manakala lima yang lain masih hilang.


Dalam artikel bertajuk “Nahas Helikopter: Buruk Perangai Orang Pakatan Terserlah”, portalMykmu.net berkata otak penyokong pembangkang ramai yang sekarang ini rosak akibat pembohongan berterusan pemimpin mereka.

“Buktinya bila kejadian helikopter terhempas malam semalam, perdana menteri pula yang didoakannya berada dalam helikopter tu, gila dah ke?

“Ajal maut tangan Tuhan, bukan tangan Facebooker pembangkang,” katanya.

Menurut portal itu, terdapat juga gambar palsu yang menunjukkan duit berkoyan-koyan yang kononnya ditemui bersama bangkai helikopter berkenaan yang didakwa untuk diagihkan kepada pengundi di rumah panjang.

Komen dan gambar seumpama itu, menurutMykmu membuktikan keadaan mental penyokong pembangkang.

Walau bagaimanapun, portal ini mengakui bahawa tidak semua "beruk" yang menyokong pembangkang berkelakuan dengan cara itu, tetapi menambah bahawa ramai di kalangan mereka berperangai demikian.

“Itu belum lagi kita ambik contoh bila helikopter itu baru saja hilang malam tadi, pembangkang dah sibuk sibuk cerita pasal nak buat persiapan pilihanraya kecil.

“Mentang-mentang bukan mak ayah dia atas helikopter malang tu. Kalau tidak, pasti tahu bagaimana perasaannya,” kata portal berkenaan.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon berikutan nahas helikopter di Sarawak sebagai kehilangan besar kepada negara.

Perdana Menteri dalam catatan di laman Facebook berkata Allahyarham adalah individu yang sentiasa komited di dalam tugasnya dan masih setia berkhidmat sehingga ke hembusan nafas terakhir.

Perdana menteri berkata usaha mencari dan menyelamat mereka yang masih hilang sedang diteruskan.