Thursday, October 10, 2013

BANTAI MB & EXCO - HUSAM KECEWA ATAU DIKECEWAKAN…

 "Jangan sampai saya dedahkan banyak perkara lagi di dewan ini." - Husam Musa
Membaca laporan mengenai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sejak beberapa hari ini, terutamanya semalam, mengingatkan saya kepada kejadian Ahli Dewan Undangan (ADUN) Paloh yang kini ketua pembangkang Datuk Nozula Mat Diah mahu menyepak salah seorang ADUN PAS akhir November 2007.

Nozula marah kerana Exco ketika itu, Zulkifli Mamat bagai mempermainkan beliau dan tidak menjawab soalan yang ditanya.

Saya ada pada sidang berkenaan kerana ketika itu menjadi penyelidik kepada UMNO Kelantan, khususnya untuk Tan Sri Annuar Musa (ketika itu Datuk Seri) yang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan Ketua Pembangkang di DUN Kelantan.

Semalam perkara yang seakan sama berlaku kepada ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang pada suatu peringkat kerana tidak berpuas hati dengan jawapan anggota Exco kemudiannya bangun sambil berkata: "Jangan sampai saya dedahkan banyak perkara lagi di dewan ini".

Ia bukan sekadar pernyataan tidak puas hati tetapi pada peringkat mengugut tetapi tidaklah sampai ke peringkat seperti Norzulah mahu menyepak ADUN PAS.


Kejadian PAS lawan PAS ini meningatkan saya kepada kejadian pada sidang DUN Terengganu pada 2009 dan 2010 apabila beberapa ADUN UMNO ‘bertembung’ dengan Menteri Besar Terengganu yang turut membabit 'ugutan'.

Jika di DUN Kelantan semalam Husam mengugut dengan kata-kata tetapi di DUN Terengganu berlaku ‘SMS Ugut Bunuh’ yang kesanya berlarutan hingga har ini.

Bagi saya, kini masanya Kerajaan PAS Kelantan pula yang berdepan dengan masalah menjaga ADUN mereka seperti yang berlaku di Terengganu pada 2009 dan 2010.

Puncanya besarnya adalah kerana pelantikan Menteri Besar baru, Datuk Ahmad Yakob seperti juga kes di Terengganu apabila Datuk Seri Ahmad Said dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

Perasaan tidak puas hati dilemparkan ke khalayak politik dengan alasan ‘sayangkan parti dan kerajaan’ tanpa menjaga air muka Menteri Besar yang baru dilantik.

Seperti kata Husam di luar dewan bahawa segala tegurannya adalah kerana sayangkan Kelantan dan mahu melihat negeri itu jauh lebih maju. "Kerajaan baharu ini masih jauh lagi dan apa yang saya sebutkan ini bukanlah salah kepimpinan," katanya.

Berbalik kepada sidang DUN Kelantan yang memasuki hari ketiga semalam, suasana tegang apabila Husam, bekas anggota Exco kanan yang pernah suatu ketika diramalkan akan menjadi Menteri Besar bertegang urat dengan beberapa anggota Exco negeri ketika sesi penggulungan

Husam yang terkenal kerana melakukan persediaan (kerja rumah) sejak beliau menjadi Ahli Parlimen lagi sebenarnya tidak berpuas hati dalam beberapa perkara:

1. Beliau memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai pemberian kawasan balak seluas 3500 ekar di hutan simpan Chabang Tongkat Hulu Sat Machang;

2. Husam membidas tindakan kerajaan negeri terhadap kepincangan pengurusan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB);

3. Penamatan kontrak syarikat Korea Selatan untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat; dan

4. Hukum syariah di negeri itu. 

Mengenai kenaikan tarif air, Husam berkata, jika AKSB diurus dengan lebih amanah, kenaikan itu sepatutnya boleh dielak.

Yang nyata AKSB sebenarnya telah gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf. Husam memberi contoh naik taraf Loji Rawatan Air Jeli bertujuan mencapai 10 juta liter (JLH) air sehari dengan kos RM21 juta, namun hanya mencapai 6.6 JLH.

"Naik taraf loji rawatan air Bukit Remah, Tanah Merah dengan kos RM16.4 juta bagi meningkatkan pengeluaran kepada 42 JLH tetapi pencapaian 36.6 JLH. Naik taraf loji rawatan air Pintu Geng membabitkan kos RM52 juta dengan sasaran 30 JLH namun dengan kos sebesar itu hanya mengeluarkan 12.5 JLH. Demikian juga beberapa loji yang lain," katanya.

Untuk mengurangkan kebocoran paip, AKSB membelanjakan RM130 juta setakat Julai tahun ini, namun kadar air tanpa hasil masih 52 peratus, bererti gagal sama sekali, katanya. Bekas anggota Exco itu kemudiannya mahu satu lawatan kesemua Loji Rawatan Air diadakan segera bagi membuktikan kebenaran dakwaannya.

Husam turut meminta agar AKSB diaudit oleh satu badan bebas.

Menyentuh isu pembalakan itu, Husam kelmarin meminta kerajaan negeri tidak meluluskanpermohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutansimpan berkenaan.

Ini kerana menurutnya, ketika Kelantan diteraju Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, satu keputusan sudah dicapai agar semua permohonan baharu di kawasan hutan simpan itu mesti ditolak.

"Seingat saya, kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz), Hutan Ulu Sat dan Cabang Tongkat adalah paru-paru untuk mengeluarkan udara segar dan bersih bagi penduduk Kelantan. Biarlah ia kekal untuk anak cucu kita," kata Husam yang juga bekasPengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan.

Husam mendakwa syarikat berkenaan bakal menerima kawasan tersebut tanpa membuat sebarang tender.

"Ia sangat meragukan sekali. Seingat saya, semasa pentadbiran YAB Tok Guru dahulu, tidak ada kawasan seluas itu diberikan kepada mana-mana individu. Adakah hanya dengan permohanan ringkas dua muka surat, serta-merta permohonan ini akan ditimbangkan?," katanya.

Mengenai kelulusan mengambil balak di hutan simpan kekal Hulu Sat itu, Ahmad Yakob menjelaskan kelulusan belum diberikan kepada mana-mana pihak dan berkemungkinan ia tidak akan diluluskan kerana di kawasan berkenaan terdapat tadahan air serta kaya dengan kepelbagaian hayat.

Dilaporkan, pada satu ketika Husam kelihatan berang apabila beberapa anggota Exco berkenaan menafikan berlakunya penyelewengan dan salah tadbir.

Anggota Exco berkenaan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Hanifa dan Mohd Nassuruddin mendakwa segala keputusan menimbulkan dakwaan Husam itu telah dijelaskan dalam beberapa mesyuarat yang turut sama menjemput Husam menyertainya.

Mereka menyifatkan segala dakwaan Husam itu sangat serius dan tidak benar sama sekali.

"Yang Berhormat Salor (Husam) tidak hadir dalam mesyuarat bersama Ahli Yang Berhormat dalam beberapa mesyuarat itu," kata Hanifa sewaktu penggulungan itu.

Husam bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya berkata walaupun ketiadaannya, wakil dirinya telah hadir namun perkara berkenaan tidak diperbincangkan.

Husam yang kecewa dengan serangan itu beberapa kali bangun untuk mempertahankan kenyataannya itu.

Pertelingkahan antara ADUN PAS dengan Exco PAS ini sangat menarik kerana sebelum ini seboleh-bolehnya Exco PAS dan ADUN cuba menutup ‘kelemahan’ dan ‘salah laku’ antara mereka.

Malah, bukan sekadar yang ditimbulkan Husam itu sahaja.


Banyak persoalan lain yang wajar dijawab oleh Kerajaan Kelantan. Ini termasuk peruntukan pembinaan lebuh raya dan stadium serta peruntukan untuk menjayakan projek kambing jamnapari dan padi organik.

Husam kecewa apabila kerajaan negeri yang baharu ini menamatkan kontrak dengan kontraktor dari Korea Selatan untuk membina Lebuh Raya Rakyat yang diasaskan olehnya kira-kira dua tahun lepas.

"Kerajaan baharu tidak boleh dengan mudah memutuskan hubungan dengan kotraktor yang dikira berkebolehan yang telah dipilih lebih awal dan datang dengan cadangan baharu yang pada hemat saya meragukan," katanya.

Seperti disebutkan di atas, yang paling sensitif dan banyak diperkatakan ialah tentang kenaikan tarif air sehingga 39% mengikut tahap tertentu penggunaan air, yang tidak diumumkan.

Persoalannya betulkan tarif air naik? Kalau betul naik, kenapa tidak diumumkan?

Hairan juga kenapa Husam boleh melenting begitu rupa sedangkan kerajaan PAS yang memerintah sekarang hanya berusia lima bulan lima hari ( Tarikh Pilihan Raya Umum ialah 5 Mei 2013).

Bukanlah Ahmad Yakob memerintah Kelantan dengan mengambil alih ‘legasi Nik Aziz' yang lebih 20 tahun memerintah Kelantan?

Juga bukankah Ahmad Yakob menyusun dan mengubahsuai dasar-dasar yang kebanyakkan dirangka oleh Husam sendiri yang berselindung di sebalik ‘jubah Nik Aziz’ sejak berdekad lalu?

Kalau ditakdirkan baru-baru ini Husam menjadi Menteri Besar, apakah beberapa perkara ini dilondehkan sedemikian rupa?

Sidang masih diteruskan hari ini dan apakah mungkin akan terus panas seperti kelmarin dan semalam?

Tuesday, October 8, 2013

DAP MELAKA SEMAKIN PARAH...GARA-GARA ISRID HARON DIPUJI

Leong San....letak jawatan.
Hari ini anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong daripada DAP Goh Leong San meletakkan jawatan ketua pembangkang negeri.

Selain beliau, ADUN Bachang Lim Jak Wong turut meletakkan jawatan sebagai ketua whip pembangkang sebagai tanda sokongan terhadap langkah Goh. Lim menjelaskan, beliau juga tidak dapat bekerjasasama dengan ADUN DAP lain.

Leong San membuat keputusan itu ekoran kekesalannya terhadap tindakan rakan-rakan dalam parti yang mempersoalkan pujiannya terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron baru-baru ini.


Wakil rakyat yang dikatakan tidak berpuas hati itu ialah Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Lai Kuen Ban (Kota Laksamana). Leong San  mendakwa situasi memaksanya meletakkan jawatan kerana tidak lagi dapat mewakili pembangkang.

ADUN Duyong itu mendakwa, dua wakil rakyat itu - yang beliau tidak menamakannya - berpunca daripada ucapan usul terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Berita Harian pada 3 Oktober lalu.

Laporan menyebut Leong San yang menjadi  ADUN Duyong sejak 1995 itu menyifatkan Idris berpengetahuan luas, banyak membaca dan sistematik

Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi dan pengerusi UMNO Melaka mempunyai misi amat jelas membangunkan rakyat dan negeri itu selaras dengan wawasan Melaka Maju Fasa Kedua.

"Di Dewan yang mulia ini, saya memuji kebijaksanaan dan kematangan Ketua Menteri baru yang dapat menerima pandangan dan cadangan pihak kerajaan atau pembangkang.

"Dengan kefasihan berbahasa Inggeris, Arab dan Jepun, saya penuh yakin Melaka di bawah kepemimpinan Idris akan mencapai wawasannya tercapai,"Leong San dipetik sebagai berkata.

Monday, October 7, 2013

PENYELEWENGAN DANA DAP - ORANG MELAKA, TUNGGU APA LAGI?

Leong Sun( dua dari kanan) mendapat kritikan hebat...
Apabila Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San mengugut untuk mendedahkan perbuatan salah laku beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, ia membuktikan ada perbuatan sedemikian dalam parti berkenaan.

Benar sekali parti itu kini berdepan kemelut perpecahan di Melaka tetapi ia bukan yang sesuatu yang mahu tahu atau ambil peduli.

Tetapi yang penting ialah pengakuan Leong San yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong pada 4 Oktober lalu ialah berlaku perbuatan salah laku beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Kini sah sudah bahawa DAP yang sering menuduh kerajaan khususnya Barisan Nasional (BN) ‘tidak bersih’ sebenarnya tindakannya untuk menutup kelemahannya sendiri.

Yang pasti hasil kenyataan Leong San itu, berlakunya penyelewengan berkaitan dengan dana parti itu. 

Walaupun Leong San mendedahkan perkara itu sebagai reaksi kerana beliau semakin hilang sabar dengan pemimpin Pusat DAP kerana campur tangan dalam hal ehwal parti itu di Melaka tetapi amat nyata, perbuatan itu pastinya berlaku bukan sahaja di Melaka.

Malah ugutan Pengerusi DAP Melaka bahawa beliau akan mendedahkan beberapa dokumen penting berhubung pemilihan calon dalam PRU-13 lalu jika pucuk pimpinan parti itu masih gagal menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi sekarang, membuktikan parti itu juga tidak demokratik kerana ada ‘campur tangan’ pihak tertentu dalam parti berkenaan.

""Saya bersedia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika pemimpin Pusat parti gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi…Saya tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mendedahkan sesuatu jika ada pihak yang terus mendesak saya untuk melepaskan jawatan tanpa alasan yang konkrit," katanya dalam sidang akhbar di Melaka 4 Oktober lalu.

Jadi orang Melaka tak kan mahu berdiam diri.

Ambillah tindakan yang sesuai untuk membolehkan SPRM menyiasat mengenai penyelewengan dengan dana DAP Melaka berkenaan.

Dedahkan sifat dan amalan buruk pemimpin DAP biar orang Cina Melaka tahu bahawa parti yang mereka sokong atau beri undi pada pilihan raya umum lalu sebenarnya tidak bersih.

Jika berdiam diri bermakna kita membenarkan amalan penyelewengan selain membiarkan DAP mencaci BN berterusan sedangkan mereka lebih teruk seperti didedahkan oleh Leong San itu.

Kita tidak peduli DAP negeri itu hendak berpecah kepada dua atau berapa pun.

Kita juga tidak peduli dengan beberapa ADUN tidak menghormati Pengerusi negeri dan Jawatankuasa Perhubungan parti kerana tiada usaha pucuk pimpinan untuk memulihkannya.

Dengan mendedahkan penyelewengan itu juga kita membantu ADUN berkenaan yang kini dikritik hebat ekoran kenyataannya memuji pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dalam sidang DUN kelmarin.

Leong San patut dibantu daripada terus menjadi bahan kritikan ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong dan ADUN Kota Laksamana, Lai Keun Ban.

Badan Bukan Kerajaan, UMNO serta pihak-pihak tertentu sewajarnya tidak melepaskan peluang yang terdedah ini apalagi yang mendedahkannya pemimpin kuat DAP di Melaka sendiri.

Saturday, October 5, 2013

SESI PENGENALAN CALON MT, EXCO SAYAP UMNO TERLALU PADAT, MEMBOSANKAN?

Calon Naib Presiden UMNO Datuk Mukhriz Mahathir diperkenalkan kepada perwakilan pada sesi pengenalan calon Majlis Tertinggi dan exco sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang diadakan di Stadium Indera Mulia di Ipoh, semalam.
Daripada teganuku

Selepas sesi pengenalan di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan semalam, sesi berikutnya diadakan di Kelantan, Terengganu dan Pahang, esok.

Ini bermakna perwakilan UMNO di Terengganu akan dapat mengenali lebih dekat calon yang akan bertanding untuk Peringkat Pusat yang dijangka akan diadakan pada sebelah petang

Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO yang bertanding bagi beberapa jawatan termasuk Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti 19 Oktober ini mahu beberapa penambahbaikan dilakukan dalam sesi pengenalan calon.

Sambil menyifatkannya sebagai platform yang baik dan wajar digunakan sepenuhnya, mereka berkata penambahbaikan itu perlu bagi membolehkan mereka mengatur jadual untuk bertemu perwakilan.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden UMNO berkata sesi pengenalan ini sangat berguna tetapi jadual sesi pengenalan begitu padat dengan tiga negeri setiap hari menyebabkan pemimpin serta perwakilan berdepan kekangan masa untuk menghadirinya.


"Sambil kita buat peraturan ini (tidak dibenarkan berucap kepada perwakilan)dengan niat untuk mengelak gejala yang tidak diingini, dalam masa yang sama jangan sesekali mengekang peluang calon baharu untuk berjumpa dengan perwakilan, mesti ada imbangan dalam dua perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pengenalan calon di Stadium Indera Mulia di Ipoh, semalam.

Presiden Majlis Belia 4B Malaysia Mua'amar Ghadafi Jamaluddin yang sependapat dengan Mukhriz berkata ruang penambahbaikan perlu dilakukan bagi memberi peluang kepada mereka yang menawarkan diri bertanding pada masa depan bertemu perwakilan.

Beliau yang menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda berkata penambahbaikan itu perlu disesuaikan dengan usaha UMNO yang sedang melaksanakan transformasi dalam pelbagai aspek termasuk pada pemilihan parti.

"Perlu ada ruang untuk penambahbaikan, supaya ada ruang yang lebih luas buat mereka yang menawarkan diri bertanding untuk berjumpa serta menyatakan hasrat mereka kepada para perwakilan pada masa depan," katanya.

Ada laporan menyebut siri jelajah seluruh negara untuk memperkenalkan calon-calon untuk pemilihan UMNO yang bermula di Ipoh semalam dianggap satu perkara yang membosankan kecuali sorakan untuk calon naib presiden iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.


"Saya rasa tidak berbaloi datang dari jauh, hanya untuk menunjukkan muka dan kemudian pulang," kata Ketua Pemuda Selayang Datuk Sohaimi Shahadan, yang bertanding untuk kerusi majlis tertinggi.

Kira-kira 100 yang bertanding untuk pelbagai jawatan penting dalam majlis tertinggi, sayap Pemuda, Wanita dan Puteri menghadiri acara di Stadium Indera Mulia di Ipoh, semalam.

Beberapa calon mengadu mereka hanya berdiri di atas pentas apabila nama mereka dipanggil untuk keluar. 

Mereka merasakan penganjur sekurang-kurangnya boleh membenarkan perwakilan bersemuka dengan calon-calon dan diberi peluang berucap, terutama kepada muka-muka baharu.

Sohaimi berkata, adalah lebih baik jika "sedikit " biodata calon diberikan.

Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin , yang bersaing untuk kerusi exco Wanita berkata walaupun sesi ini adalah cara yang baik untuk perwakilan untuk mengenali calon-calon, sepatutnya aterdapat beberapa kelonggaran untuk kedua-dua belah pihak untuk bertemu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron, bagaimanapun berkata, adalah mustahil untuk semua calon yang memberi ucapan.

Katanya, sudah cukup baik apabila calon-calon berdiri dan menunjukkan muka mereka kepada perwakilan," katanya.

Semalam, kira-kira 2,000 perwakilan UMNO Perak hadir dalam sesi memperkenalkan calon bagi pemilihan peringkat tertinggi parti yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, di Ipoh. Mereka diperkenalkan kepada calon naib presiden, angota Majlis Tertinggi (MT) dan juga exco untuk ketiga-tiga sayap oleh Ketua Penerangan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad.


Antara calon yang hadir ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang bertanding untuk jawatan naib presiden.

Selain itu 29 calon MT serta lima wakil calon turut kelihatan antaranya Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Bung Moktar Radin, Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah, Datuk Dr Norraesah Mohamad dan Datuk Seri Azalina Othman.

Tidak ketinggalan Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Hasan Malek serta Datuk Idris Haron selain Menteri Besar Perlis Azlan Man.

Turut kelihatan calon ketua Wanita Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman.

Di Perak, sebanyak 8,600 perwakilan UMNO Perak layak mengundi untuk pemilihan peringkat tertinggi.Pemilihan bagi exco ketiga-tiga sayap dijadualkan 12 Oktober dan MT pula pada 19 Oktober.

Sumber mStar