Friday, March 9, 2012

KHALWAT - SANDIWARA 'TENGKU MAHKOTA PAHANG' DENGAN 'USTAZ' BADROLAMIN?


 Hairan sungguh dengan Dr Badrolamin Bahron.

Sehingga hari ini tidak mengakui kesilapan dan meminta maaf kerana menggunakan nama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam kes khalwatnya.

Beginikah sikap ‘Ustaz PKR’ ini yang melabelkan Datuk Seri Anwar Ibrahim setaraf ‘Imam Mahdi’?


Sudahlah tidak wajar mengaitkan nama Tengku Abdullah untuk membersih dan menafikan perbuatannya, Badrolamin terus berdiam diri, sedangkan Tengku Abdullah sudah kali kedua menafikan beliau terbabit dalam kes ini.

Pastinya mesti ada sesuatu yang tidak kena kenapa Tengku Mahkota Pahang itu mengulangi mahu supaya semua pihak berhenti daripada mengaitkan nama baginda dengan kes khalwat yang dihadapi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu.

Apakah masih ada pihak yang cuba menagih simpati dan mengharapkan agar kes ini kononnya mendapat perlindungan ‘istana’?

Yang paling tidak enak, seperti dilaporkan blog ini pada 28 Februari lalu, Badrolamin sendiri mendakwa bahawa beliau ‘rapat’ dengan Tengku Abdullah.

Apakah dengan mengatakan demikian, Tengku Abdullah ‘bersimpati’ dan mengharapkan simpati Tengku Mahkota Pahang itu?

Sudah pasti kenyataan mengaitkan Baginda dengan kes itu, apalagi dinyatakan oleh Badrolamin di khalayak ramai ketika berceramah mengundang pelbagai pertanyaan.

Dipihak Tengku Abdullah pula kenyataan itu sesuatu yang mengejutkan Baginda kerana tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak apatah lagi terlibat dalam kes itu.

Lagipun, Tengku Abdullah mengakui baginda tidak boleh mencampuri perkara itu kerana ia adalah masalah peribadi pemimpin terbabit. Pastinya dalam perkara seperti ini, tengku Abdullah tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak.

Yang paling penting – bukan sahaja Tengku Abdullah - biarlah pihak berkuasa yang melakukan siasatan sehingga kes itu selesai.

Tengku Abdullah bertitah, kenyataan Badrolamin dan beberapa buah blog yang mengaitkan nama baginda sebagai kononnya akan campur tangan dalam kes tersebut adalah satu perkara yang tidak benar dan mengejutkan.

“Saya tidak berada di dalam negara pada ketika itu. Saya harap hentikanlah mengaitkan nama saya. Saya tidak pernah terlibat dalam hal ini dan saya hanya ingin tahu siapa yang terlibat, tidak lebih daripada itu,” titah baginda kepada pemberita semalam selepas melawat persiapan stadium menjelang Sukan Malaysia Pahang yang bakal berlangsung Julai ini.

Tengku Abdullah bertitah demikian semasa diminta mengulas kenyataan Badrolamin yang mendakwa baginda akan campur tangan dalam kes khalwat pemimpin PKR itu bersama seorang wanita berstatus isteri orang di sebuah bilik hotel di Pantai Balok di Kuantan pada 25 Februari lalu kira-kira pukul 3 pagi.

Badrolamin tidak wajar membiarkan persepsi salah terus berlegar di kalangan orang ramai mengenai kaitan ini.

Jangan sampai ada pula yang akan membuat andaian Tengku Mahkota Pahang sedang melakonkan adegan 'sandiwara antara Badrolamin dengan Tengku Abdullah!

MAS - DARI 'TRADISIONAL KLASIK' KEPADA 'PREMIUM KONTEMPORARI'

MAS A380 terbang KL-London mulai 1 Julai PESAWAT A380 akan menjadi model terbaharu dan utama MAS bagi menawarkan tahap perkhidmatan yang lebih tinggi bagi penerbangan jarak jauh.

Walau apa juga usaha dilakukan oleh syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) termasuk menukar warna tradisinya termasuk lambang wau merah biru,  kita berharap ia akan kembali teguh dan tidak menjadi syarikat yang berpanjangan 'sakit'

Dilaporkan MAS sedang melakukan pelaburan untuk teknologi, gaya futuristik dan reka bentuk inovatif serta keselesaan kabin pada pesawatnya merupakan inisiatif syarikat penerbangan itu unuk memastikan pelanggan sentiasa mengalami pengalaman yang amat selesa di samping menggunakan kemudahan yang baharu.

Identiti baru ini akan memberi anjakan kepada MAS daripada gaya 'tradisional klasik' sebelum ini kepada 'premium kontemporari' dalam usaha untuk meletakkan MAS sebagai syarikat penerbangan premium pilihan.

Isu kerugian oleh MAS yang diperkatakan banyak pihak, termasuk pembangkang yang  mempersoalkan  pengurusan sedikit sebanyak turut mempersalahkan kerajaan dan dikaitkan dalam sebarang masalah yang dihadapi oleh syarikat GLC itu.

Mungkin ada baiknya jika MAS mengambil perhatian terhadap saranan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa MAS supaya mengkaji langkah-langkah pengurangan kos dan struktur pengurusan AirAsia bagi membolehkannya kembali mencatat keuntungan.

Kini merupakan peluang terbaik untuk mengkaji dan melihat mengapa syarikat penerbangan nasional itu terjerumus ke dalam krisis fiskal sedangkan syarikat penerbangan tambang rendah itu dapat membuat keuntungan.

MAS mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.52 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011, terbesar dalam sejarah korporatnya, berdasarkan hasil sebanyak RM13.9 bilion.

Sementara  AirAsia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM564.1 juta daripada hasil berjumlah RM4.47 bilion.

"Memandangkan kedua-dua syarikat penerbangan ini beroperasi dari negara yang sama, tidak ada sebab bagi MAS gagal. Mereka perlu bekerjasama dengan AirAsia...AirAsia meraih keuntungan yang banyak. Mereka membuat keuntungan walaupun tambang mereka sangat rendah. Jadi ada sesuatu yang MAS boleh pelajari daripada AirAsia dari segi pengurusan, mengurangkan kos dan oleh itu, mendapat keuntungan," kata beliau.

Dan dengan engan ramalan bahawa MAS merekodkan kerugian bersih RM1.28 bilion pada suku keempat tahun lepas, memperoleh pendapatan sederhana pada tahun kewangan 2013, semua pihak perlu bekerja keras.

MIDF Research berkata masalah yang dihadapi oleh MAS ialah berikutan peruntukan rugi akibat susut nilai dalam penyerahan semula pesawat serta stok usang. MAS mampu memperbaik keadaan jika ia melakukan pengurangan laluan yang tidak menguntungkan serta usaha sama dengan AirAsia menerusi rasionalisasi laluan. Dengan kata lain, "MAS perlu bekerja keras untuk kembali mencatat untung," kata firma itu.
Pada masa yang sama, MAS tetap akan berdepan dengan tambahan kos bahan api yang tinggi serta perjalanan udara yang lemah tu untuk merekodkan keuntungan.

 Sebuah lagi firma penyelidik, HwangDBS Vickers Research turut menjangkakan 2012 merupakan tahun yang mencabar untuk MAS memandangkan kumpulan itu terus menghadapi kos bahan api jet yang tinggi.

Walaupun MAS telah melaksanakan sebahagian daripada pelan perniagaannya, namun memerlukan lebih banyak masa untuk memulihkan operasinya. Firma itu juga bimbang mengenai baki tunai MAS yang rendah, sebanyak RM1.1 bilion, sehingga akhir 2011, berbanding RM2.2 bilion pada akhir 2010.

Gearan (nisbah hutang pada ekuiti) mungkin melepasi paras 4.4 kali semasa memandangkan MAS terus berusaha mencari pembiayaan untuk perbelanjaan modal yang besar sebanyak RM6 bilion bagi tahun 2012 dan RM3.5 bilion pada 2013 untuk menerima pesawat baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya  berkata mulai 1 Julai MAS bakal memulakan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan Kuala Lumpur ke London menggunakan pesawat baharu, Airbus A380-800.

Pesasawat kedua A380 pula akan diperkenalkan pada laluan yang sama menjelang akhir Ogos ini dengan beroperasi dua kali sehari. Pesawat ketiga akan digunakan bagi laluan Kuala Lumpur ke Sydney.

Ahmad Jauhari mempunyai tugas berat dan amanah yang diserahkan kepada beliau diharapkan mampu mengeluarkan MAS daripada kemelut kerugian berpanjangan dan kembali bersaing sebagai syaraikat yang disegani daripada segi keuntungan dan perkhidmatan yang ditawarkan olehnya.

Thursday, March 8, 2012

PENAMBAHBAIKAN SSM LEBIH ADIL UNTUK PENJAWAT AWAM


Nampak gayanya, Cuepacs terpaksa mengemukakan beberapa perkara baru melalui Skim Saraan Malaysia (SSM) yang dikembalikan dengan penambahbaikan.

Najib mengakui sepanjang tempoh tiga bulan SBPA diperkenalkan, kerajaan menerima hampir 1,000 aduan dan memorandum, termasuk cadangan daripada 23 persatuan berkaitan.

Malah dikatakan Barisan Nasional (BN) turut terancam dengan skim SBPA yang hanya menguntungkan segelintir penjawat awam, sedangkan jumlah 1.4 juta penjawat awam dikatakan majority adalah penyokong BN.

 "Saya harap semua pihak reda dan tak ada lagi yang tak puas hati di semua peringkat. Saya doakan ini jadi penyelesaian terbaik," katanya.

Najib pada perhimpunan dengan ribuan penjawat awam di Putrajaya pagi ini juga mengumumkan pembentukan Suruhanjaya yang dianggotai pihak berkepentingan, seperti kementerian kewangan dan Cuepacs bagi mengkaji tuntutan-tuntutan lain penjawat awam.

Ternyata kerajaan responsif kepada rintihan penjawat awam yang tidak berpuas hati dengan SBPA. Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, beliau akan membangkitkan beberapa perkara yang belum diputuskan dalam suruhanjaya yang dibentuk itu.

"Kita rasa lega sikitlah dengan adanya suruhanjaya. Kalau tak, kita kena buat jawatankuasa itu, jawatankuasa ini…kenaikan gaji yang diberikan tidak diikuti dengan kenaikan harga barangan yang boleh membebankan pengguna,” katanya.

SSM yang mengadakan pelarasan membuat keputusan berikut:

1. Kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga gred 54.

2. Kenaikan 9 peratus untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A.

3. Kenaikan 8 peratus untuk turus 3 dan 2. 

4. Kenaikan 7 peratus untuk turus 1 dan Ketua Setiausaha. 


Pengumuman ini meredakan ‘kemarahan’ pihak tertentu dalam perkhidmatan awam apabila Ketua Setiausaha Negara hanya akan menerima kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus, berbanding sistem SBPA yang menyaksikan pendapatan ketua penjawat awam itu mencecah RM60,000 sebulan.

Kadar bayaran terhadap KSU itu telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pekerja gred bawahan yang hanya diberi kenaikan serendah RM1.70, dan menerima bantahan daripada kebanyakan 1.4 juta kakitangan awam.

 Ada pihak mendakwa dengan penambahbaikan SSM ini, ia merupakan tawaran terbaik kepada penjawat awam untuk kembali menyokong BN.

Apa yang diharapkan dengan penambahbaikan SSM ini selain penubuhan Suruhanjaya akan dapat membuat cadangan dan menyelesaikan pertikaian antara pekerja dengan kerajaan secara lebih harmoni.

NAJIB UMUM SBPA UNTUK 1.4 JUTA PENJAWAT AWAM HARI INI?

Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak semalam dibanjiri oleh penjawat awam dari seluruh negara.

Mereka adalah antara kira-kira 1.4 juta penjawat awam yang menunggu dengan penuh debaran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hari ini.


Semalam ketika mencari beberapa kakitangan Pejabat Menteri Besar Terengganu di Tingkat 15 dan 16, jawapan penuh senyuman diberikan ialah ‘Mereka ke Kuala Lumpur…SBPA…”

Apa tidaknya, Perdana Menteri dijadual berucap pada perhimpunan khas yang dihadiri ketua-ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun serta pegawai kanan perkhidmatan awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari  ini.

Najib mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan skim gaji yang lebih baik bagi penjawat awam ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober tahun lepas.

Kerajaan memperuntukkan RM64.1 bilion untuk gaji dan pencen kakitangan kerajaan di bawah Belanjawan 2012 tetapi semakan boleh bermakna gaji yang lebih tinggi.

SBPA sepatutnya dilaksanakan 1 Januari lalu tetapi Perdana Menteri mengumumkan ia ditangguhkan selepas Cuepacs membantah terhadap kewujudan perbezaan gaji yang begitu ketara antara mereka yang menduduki gred JUSA dan Premier berjumlah kira-kira 2,600 pegawai dan mereka yang berada dalam Gred 54 dan ke bawah. 

Berikutan keadaan yang tidak seimbang, Najib melakukan tindakan yang amat wajar iaitu meminta supaya skim itu disemak semula.

Walaupun, pasukan petugas diberi tempoh sehingga 16 April untuk menyelesaikan tugasnya, tetapi ia berjaya mencapai kata sepakat dan pastinya ini mendatangkan kelegaan kepada kakitangan yang terjejas.

Kita mengharapkan SBPA bukanlah sesuatu yang hanya menjadi ‘durian runtuh’ tetapi permulaan kepada sistem yang akan mentransformasikan perkhidmatan awam negara menjadi sesuatu yang dinamik dengan budaya berpretasi tinggi yang cekap. 

Dan akhirnya ia menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program transformasi Perdana Menteri ke arah mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi pada akhir dekad ini.