Monday, August 15, 2011

PAS - AKIDAH DIKETEPI DEMI KUASA, PUTRAJAYA?

Akidah adalah soal masa depan ummah yang akan dihisab di akhirat kelak. Kerana itu ia perlu ditangani oleh seluruh umat Islam di negara ini, khususnya yang diamanahkan menjadi pemimpin.

Apakah pemimpin PAS Pusat tidak lagi beramanah?

Apakah pemimpin PAS sudah tidak takut dihisab di akhirat?

Dilema apa ada dalam diri pemimpin besar PAS seperti Presiden, Musyridul Am PAS, TImbalan Presiden dan Naib-Naib Presidennya?

Siapa diharap menjadi banteng umat Islam bagi memastikan umat Islam tidak terus dimurtadkan?

Dewan Pemuda PAS Pusat pimpinan Nasrudin Hassan semalam berikrar untuk menjadi benteng mempertahankan akidah umat Islam.

Namun mampukah beliau pada ketika PAS Pusat membuat pendirian yang berbeza khususnya dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memalukan seluruh umat Islam di Malaysia?

Pemimpin seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Abdul Aziz serta pucuk pimpinan Pas sehingga sekarang gagal menyatakan pendirian menyokong tindakan JAIS yang memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama yang dikatakan cuba memurtadkan 12 individu Islam.

Malah, jika PAS Pusat sudah enggan melakukannya, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sedia mengambil alih tugas PAS untuk menjadi benteng mempertahankan kesucian agama Islam.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata semalam, keputusan tersebut terpaksa dibuat walaupun badan itu bukan pertubuhan politik kerana PAS yang selama ini mendakwa parti Islam dan pernah bercita-cita mahu menubuhkan negara Islam, gagal berbuat demikian.

Menurut Ibrahim, sejak bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas tidak lagi mementingkan soal agama, sebaliknya apa yang dikejar oleh parti itu adalah undi, sehingga sanggup membisu dan menghalalkan apa sahaja perbuatan yang dilakukan oleh musuh Islam.

Hakikatnya parti PAS amat maklum bahawa murtad kini menjadi ancaman serius kepada kemuliaan agama Islam di Malaysia.

Namun, PAS bagaikan meletakkan isu ini ke tepi untuk sementara waktu demi bekerjasama dengan puak-puak bukan Islam untuk kepentingan politik dan kuasa.

Bagi PAS hari ini, mendapatkan kuasa dan berkongsi kuasa dengan kafir harbi lebih utama dalam menundukkan UMNO yang juga memperjuangkan Islam.

Dengan data Mahkamah Syariah menunjukkan seramai 863 individu Islam telah memohon untuk menukar status agama mereka sejak 2000 hingga tahun lalu, PAS tidak melihat isu ini sebagai mendesak.

Kerana itu PAS tidak berani membuat pendirian sedangkan Nasrudin begitu bimbang dengan masalah murtad ini kerana masalah murtad adalah isu akidah yang melepasi sempadan politik.

Berikutan itu Dewan Pemuda Pas Pusat sekali lagi mendesak pucuk pimpinan parti itu supaya membuat pendirian rasmi berhubung isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Malah bagi memastikan masalah murtad tidak menjadi barah kepada umat Islam pada masa hadapan, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu mendesak agar kerajaan meluluskan Akta Murtad dengan segera dan menjadikan mata pelajaran Pengajian Islam sebagai subjek wajib lulus.

Beliau mengulangi pendirian Dewan Pemuda Pas Pusat menyokong penuh tindakan JAIS memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat terdapat cubaan memurtadkan 12 individu Islam walaupun dikecam pihak tertentu dalam parti berkenaan.

Nasrudin menjadi mangsa terbaru selepas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dikecam pemimpin Pas pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beberapa hari lalu, kerana beliau mengeluarkan kenyataan keras mahu mempertahankan akidah umat Islam sekalipun dengan darah dan nyawa.

Namun beliau tidak berganjak daripada pendirian terdahulu yang tegas tidak mahu menggadaikan maruah Islam hanya kerana kepentingan politik.

Sunday, August 14, 2011

PAS SEBENARNYA ‘MENGATA DULANG, PAKU SERPIH’

Pembangkang, khususnya PAS bukan sahaja melakukan pembohongan, tuduhan palsu dan mencemarkan nama UMNO , Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan (SPR) tetapi lebih jauh sengaja memperkecil dan merendahkan martabat rakyat Malaysia sendiri apabila meletakkan mereka yang sudah diiktiraf kerakyatan sebagai ‘pendatang asing’.

Apa perasaan kita sebagai rakyat Malaysia jika ada mengatakan kita tidak layak mengundi kerana bukan berasal dari negara ini sebaliknya masih rakyat Indonesia, India, China, Iran, Saudi atau sebagainya?

Tidak berkecil hatikah kita? Tidak marahkah kita?

Jadi tidakkah layak warganegara Malaysia sendiri mengundi?

Tanpa PAS sedari atau sengaja ‘bangang’, beberapa pemimpin PAS sendiri amat tahu yang ramai anggota dan pengundi PAS pada kedudukan yang sama. Mereka bagaikan ‘buta dan tuli’ terhadap apa yang sudah mereka sendiri lakukan.

Mengata dulang, paku serpih, mengata orang, sebenarnya PAS yang lebih…

PAS sengaja menimbulkan perkara tersebut kerana terdesak demi mendapatkan undi orang Melayu, Islam dan bukan Melayu kerana bimbang perjuangan baru mereka – negara kebajikan tidak mendapat sambutan.

PAS yang silap menukar perjuangan dan lebih buruk apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan negara Islam tidak ada dalam al-Quran, mereka semakin gelabah dan berusaha menutup kelemahan.

Perjuangannya yang bertukar daripada mahu mewujudkan negara Islam kepada negara berkebajikan kerana tahu DAP dan sekutu bukan Melayu dan bukan Islam sedang mengasak mereka, menyebabkan ada sahaja perkara yang cuba mengelirukan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut berkata, seramai 5,006 bangsa asing kebanyakannya keturunan Myanmar didapati tersenarai sebagai pengundi iaitu 1,239 di Dun Kijal dan 529 di Air Putih termasuk 43 daripadanya dikesan tiada rekod dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sebaliknya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan pada hakikatnya yang menipu rakyat adalah PAS.

Ahmad Said berkata, buktinya pada 1995, PAS membawa masuk seramai 979 pengundi dari kawasan lain (termasuk dari Dewan Undangan Negeri (Dun Kemasik) ke Dun Kijal.
Berdasarkan semakan terdapat kira-kira 1,200 pemilih di Rusila, Marang adalah pengundi luar iaitu dari Johor, Selangor dan Pahang.

“Saya ada bukti PAS membawa masuk pengundi luar di DUN Kijal pada 1995 kerana waktu itu saya jadi penolong pegawai daerah dan saya jaga pemilih, jadi PAS jangan nak kelirukan rakyat,” katanya.

Ahmad Said turut mempersoalkan mengapa perkara mengenai pengundi bangsa asing tidak dibangkitkan pada pilihan raya umum terdahulu seolah-olah pembangkang ketandusan isu.

“Kalau undi tidak adil bagaimana PAS dapat menang dalam pilihan raya umum pada 1999 di Terengganu, di Kelantan pembangkang berjaya kekalkan kemenangan hingga 20 tahun, selain menang di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pada pilihan raya umum lalu,?” tanya beliau.

“Kebajikan apa yang mereka mahu buat? Semua kebajikan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah lakukan jadi sekarang mereka sengaja cari salah orang lain (Kerajaan Umno dan BN) kononnya undi tidak bersih dan pengundi bukan warganegaralah.

“Sebenarnya mereka (pengundi yang didakwa warga asing) sudah berada di negeri ini lebih 20 tahun, malah sebelum saya menjadi wakil rakyat lagi mereka sudah mengundi.

“Memang kita ada beri kerakyatan kepada orang Rohingya, Kemboja, Myanmar menjadi pelarian yang asalnya orang Malaysia dikerah membuat jambatan maut waktu zaman British dan pendudukan Jepun di negara ini dulu.

Mereka ini semua kita bawa balik dan beri kerakyatan, memang kebanyakan mereka dari Kedah,” katanya di Kemaman, semalam.

Berikutan itu beliau menyangkal pendedahan PAS Terengganu yang mengesan ribuan warga asing memiliki kad pengenalan mendaftar sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri itu.

Malah, tuduhan PAS itu disanggah oleh Pengarah Pilihan raya negeri, Mohd Noor Daud apabila meminta PAS kemukakan bukti dakwaan.

Hakikatnya, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) bersedia memotong nama mana-mana rakyat asing yang dikatakan tersenarai sebagai pengundi di negeri ini. Kerana itu PAS tidak wajar menuduh sembarangan, sebaliknya mengemukakan bukti kukuh, bagi membolehkan SPR bertindak dan menyemak bagi melihat kebenarannya.

Hakikatnya, ramai yang tersilap dan menganggap semua bangsa asing sebagai ‘orang luar’ sedangkan ramai antara mereka sudah lama menetap dan menjadi warganegara Malaysia.

“Kita hanya menerima warganegara Malaysia sebagai pengundi. Mungkin dulu mereka warganegara Myanmar, India, China dan sebagainya tetapi hanya setelah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa mereka ini sudah menjadi pemastautin dan warganegara, barulah mereka diterima.

“Kebanyakan mereka (warga asing) yang sedia ada di negeri ini sudah lama, malah ada yang menetap sejak tahun 1970-an lagi. Jadi saya tidak melihatnya sebagai isu kerana mereka sudah menjadi warganegara,” katanya kelmarin.

Yang nyata seperti kata Ahmad Said, PAS kini tertekan sehingga membangkitkan isu pengundi warga asing di negeri ini sedangkan pengundi warga Myanmar yang dimaksudkan sebenarnya asal dari Malaysia yang menjadi pelarian ketika zaman British puluhan tahun lalu.

Beliau berkata, isu ini bukan baru tetapi disedapkan halwa telinga kerana semakin dekat dengan pilihanraya.

Sebab lain ialah PAS terperangkap dengan strategi silapnya akibat taksub dengan keinginan untuk ke Putrajaya bersama sekutu bukan Melayu dan bukan Islamnya!

Friday, August 12, 2011

PROMOSI DAGING BABI PADA SUPLEMEN RAMADAN...BAGUSNYA THE STAR



Keratan akhbar The Star kelmarin.

Memang patut Ketua Pengarang akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dipanggil Kementerian Dalam Negeri.

Akhbar itu ternyata bagaikan sengaja menghina Islam secara halus dan apa pun alasannya, perbuatan akhbar itu bersifat biadab dan langsung tidak sensitif dengan agama rasmi negara ini.

Jika akhbar Melayu yang melakukan perkara sedemikian, ia pastinya dilabel sebagai tidak sensitif dan sengaja memainkan isu perkauman.

Sesiapa pun yang beragama Islam akan marah apabila suplemen mengenai juadah Ramadan memuatkan gambar masakan daging khinzir.

Ia sangat tidak wajar dan mempersendakan umat Islam dan Ramadan.

Kerana itu amat wajar sekali jika pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam membidas tindakan akhbar The Star yang mempromosi daging babi pada suplemen berkenaan.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia umpamanya, amat kesal dengan penyiaran tersebut kerana ia telah mencemari kesucian Ramadan dan menyinggung perasaan orang Islam.

Ia perbuatan amat menghina orang Islam kerana tidak mungkin orang bukan Islam negara ini tidak mengetahui orang Islam tidak boleh memakan daging babi.

Amat jelas bahawa keadaan The Star ‘menambah api’ yang sedang membara di hati orang Islam ketika ini selepas kes pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja baru-baru ini,disalahsetikan.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam akhbar itu kerana langsung tidak memahami sensitiviti agama Islam lebih-lebih lagi ketika Ramadan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia pula menyifatkan isu tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana ia langsung tidak menghormati sensitiviti orang Islam di negara ini.

Iklan yang ingin disiarkan perlu diteliti terlebih dahulu faktanya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu agama. Jadi, tindakan akhbar tersebut hanya akan menunjukkan kebodohan mereka sendiri,” katanya.

Sebelum ini, iklan Ramadan yang disiarkan stesen televisyen 8TV ditarik balik penyiarannya berikutan kononnya pengumuman khidmat masyarakat (PSA) tersebut berbaur rasis.

Dalam tiga klip iklan yang disiarkan, iklan tersebut memaparkan seorang perempuan Cina yang tidak menghormati bulan puasa dan dia digambarkan memakai pakaian seksi, tamak serta tidak beradab ketika mengunjungi bazar Ramadan.

Iklan tersebut turut menyiarkan adab yang sepatutnya dilakukan oleh penganut agama lain bagi menghormati Ramadan.

Jadi tidak hairanlah jika KDN memanggil Chun Wai bagi menyatakan kesalahan akhbar itu berikutan tindakannya yang tidak sensitif kerana penyiaran artikel terbabit.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, kementeriannya memandang serius kesalahan itu terutamanya kerana sisipan bertajuk Ramadan Delights itu merupakan ruangan khas bagi memberi panduan dan pilihan kepada umat Islam mengenai restoran untuk berbuka puasa," , bukannya mempromosikan daging babi.

Walaupun meminta maaf melalui akhbar The Star hari ini tetapi hiruk pikuk sudah berlaku dan akhbat The Star yang sudah beberapa kali 'melukakan hati orang Melayu dan Islam' perlu berhati-hati pada masa hadapan.

Apa lagi akhbar itu dikawal MCA, komponen Barisan Nasional.

Thursday, August 11, 2011

KETEGANGAN MUSLIM-KRISTIAN DI MALAYSIA MEMUNCAK?

Malaysia menyekat kebebasan beragama?

Tak tahukah apa lagi yang akan diperkatakan mengenai negara kita.

Tiba-tiba sahaja, apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan satu penyisatan ke atas sebuah gereja di Damansara Utama yang mendapat perhatian di negara ini sekarang, satu laporan dikeluarkan oleh sebuah portal memetik satu kajian yang menuduh Malaysia sebagai negara yang mengenakan ‘halangan atau sekatan ’ kepada amalan beragama.

Laporan yang disediakan The Pew Research Center’s Forum on Religion and Public Life berpengkalan di Amerika Syarikat itu mengatakan Malaysia sama seperti Mesir, Iran, China, Myanmar dan Indonesia begitu keras mengenakan sekatan.

Malah, laporan bertajuk “Rising Restrictions on Religion” , Malaysia dikatakan antara 10 negara daripada 198 yang dikaji pada pertengahan 2009 mengenakan sekatan berbanding negara yang lebih moderat seperti Singapura, Thailand dan Filipina.

Tambah laporan berkenaan, ketegangan agama di negara ini semakin menjadi-jadi selepas ada rumah ibadat dibakar dan penggunaan kalimah Allah yang belum diselesaikan.

Malah, menurut laporan itu lagi ketegangan antara penganut Islam dan Kristian diperkuatkan lagi apabila minggu lalu JIAS menyiasat sebuah gereja di Petaling Jaya berkaitan 12 penganut Islam yang terbabit dengan majlis yang didakwa mahu mengkristiankan mereka.

Malah, laporan itu juga menyebut kerajaan sedang mengawasi dan cuba menghadkan gerakan Syiah dan Wahabi apabila Majlis Keselamatan Negara dikatakan meminta pihak berkuasa agama negeri mengawasi dan bertindak terhadap beberapa cendikiawan berfaham Syiah dan Wahhabi di negara ini.

Masanya sudah tiba bagi kementerian dan jabatan yang berkaitan dengan agama Islam memperbetulkan sebarang persepsi buruk mengenai kebebasan beragama di Malaysia.

Kita tidak mahu Malaysia yang dilihat sebagai negara Islam yang dinamik dan membenarkan kebebasan beragama di negara ini dicemari oleh laporan-laporan sebegini