Monday, October 25, 2010

BILAKAH BULAN PAS AKAN JATUH KE RIBA?


Semangat Setiakawan? Kesian dengan YB PAS yang perjuangkan parti 'anti Negara Islam' dan rasis. Ada ke pemimpin DAP menaikkan bendera banting PAS? Fikirkan wahai Orang Kelantan!

Nak kerja untuk rakyat bukannya nak jadi pensyarah universiti atau nak jadi doktor.

Yang penting seseorang itu dapat menjalankan tugas dengan cemerlang.

Ada kelulusan perubatan pun tapi kalau dok jadi abdi DAP seperti Dr Hatta Ramli tu buat apa?

Macam mana orang di Kuala Krai boleh undi dia jadi Ahli Parlimen pun kita tak faham. Apakah orang Kuala Krai yang pilih Hatta Ramli berfikiran macam wakil rakyatnya juga yang boleh diperkudakan oleh DAP.

Taukan DAP tu apa? Ia parti yang menentang HUDUD dan NEGARA ISLAM.

Kadang-kadang kesian dengan pemimpin PAS yang ada kelulusan tetapi 'tidak menggunakan otak dan kepakaran Islam yang mereka ada'.

Atas kepentingan inilah mungkin Timbalan pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Abdul Aziz Yusof yang diletakkan sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil DUN Galas akan dapat menandingi calon PAS Dr Zulkefli Mohamad walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pagi ini penamaan calon akan dilangsungkan ketika PAS dikatakan mula berbelah bahagi dengan calonnya yang diumumkan lebih awal kerana sebab-sebab peribadi beliau.

Kata Muhyiddin, beliau tidak merasakan perkara itu akan menjadi isu dalam pilihan raya kecil kali ini kerana masyarakat perlu menilai Abdul Aziz secara keseluruhan. Hakikatnya, Abdul Aziz mewakili parti BN yang mempunyai keupayaan sumber yang besar berbanding PAS yang membentuk kerajaan di Kelantan.

Abdul Aziz yang berkhidmat di kawasan itu sejak 1983 bukan muka baru malah hampir setiap ceruk beliau sanggup mencurahkan baktinya ketika berkhidmat dengan Kesedar.

“Beliau dipilih oleh Perdana Menteri selepas berbincang dengan kepemimpinan UMNO bahagian dan Badan Perhubungan Kelantan. Kita berharap pengundi Galas dapat memberi mesej yang kuat, yang rakyat masih mahukan pembangunan untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Hakikatnya, pembangunan duniawi yang dilaksanakan BN adalah sebahagian tuntutan agama.

"Daripada profil DUN Galas yang mempunyai pengundi Melayu, Cina, India dan Orang Asli, ia memberi gambaran DUN Galas sebagai contoh 1Malaysia. Dalam hal ini, hanya kerajaan BN lebih mampu dan berupaya memenuhi kehendak rakyat," katanya pada majlis pengumuman calon BN di Balai Rakyat Bukit Chekati, Gua Musang kelmarin.

“Atas nama beliau sendiri tak mungkin boleh (menang) tapi kerana dia mewakili parti. Maka parti lebih berupaya. Hari ini kita buktikan melalui flat yang dibangunkan itu,” katanya.

Beliau merujuk kepada satu Projek Perumahan Rakyat yang dilancarkannya kelmarin. Projek pembinaan sebanyak 1,500 unit rumah itu dibina dengan peruntukan sebanyak RM180 juta dan disasarkan kepada sebanyak 10,000 rakyat miskin di kawasan itu.

Sebanyak 18 blok rumah pangsa lima tingkat yang diumumkan di Taman Wangi, sebuah kawasan perumahan di dalam kawasan DUN Galas.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru supaya pengundi di situ memilih Abdul Aziz sebagai wakil yang mampu menyuarakan tuntuan mereka. “Kalau ada tuntutan yang beliau perlu sampaikan kepada kerajaan, ini akan diberi layanan dengan saksama,” katanya lagi.

Jelasnya, pendekatan itu merupakan salah satu pendekatan “inklusif” BN bagi memenangi hati masyarakat pelbagai kaum seperti di dalam DUN Galas.

Kerana itu Muhyiddin mengatakan PAS tidak boleh diharap apa-apa pun. “Kalau hendak harapkan PAS, (seperti) menunggu bulan jatuh ke riba. Tapi bukan kita cakap sebab begitu dengan bongkak atau sombong tapi nak cakap dengan realitinya memang kita berupaya,” katanya selepas pengumuman calon berkenaan di Gua Musang semalam.

PAS seakan-akan tiada orang lain untuk diketengahkan lagi apabila memilih meletakkan pengamal perubatan Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku yang dipertua parti itu di Gua Musang, sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil 4 November itu. Lulusan Universiti Malaya itu mempunyai kliniknya di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang. Beliau adalah anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Guchil pada 1974, iaitu Mohamed Awang.

Berbeza dengan calon BN, beliau adalah muka lama yang terpaksa dikitar semula kerana pernah bertanding di Parlimen Gua Musang sebanyak dua kali, iaitu dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008,- kedua-duanya tewas di tangan Tengku Razaleigh.

Kononnya berdasarkan faktor Dr Dzulkefli pernah ‘mengalahkan’ Ketua Umno Gua Musang di DUN Galas pada 2008 dengan kelebihan 317 undi Dr Zulkefli dipilih.

BN memilih Abdul Aziz, 49, iaitu pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan, yang dirintis ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ketika menjadi menteri kewangan.

Anak kelahiran Kampung Bertam Baru, dekat Paloh, mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai Kesedar sejak 1983, biarpun berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN, sekaligus menjadikan Abdul Aziz sebagai muka baru yang diberi mandat oleh kepimpinan Umno. Abdul Aziz - Setiausaha Umno bahagian Gua Musang – rela melepaskan jawatannya dalam Kesedar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Yang pasti Abdul Aziz adalah calon 1 Malaysia yang memperjuangkan masyarakat adil dan saksama di negara ini.

BAGAIMANA PEDAGANG CINA, INDIA BANTU TEWASKAN MELAKA

Askar Sultan Ahmad dan Mahmud mampu mengalahkan askar Portugis ketika mula mendarat di pantai Melaka pada 25 Julai 1511. Tetapi selepas itu?

"...kekalahan sebenar Melaka bermula apabila Alburquerque mendapat bantuan daripada lima buah jong Cina dan beberapa buah kapal dagang India. Anak-anak kapal daripada kelima-lima buah jong yang berlabuh di Pelabuhan Melaka itulah yang memberikan maklumat penting tentang Melaka kepada penjarah-penjarah Portugis itu. Mereka yang memberitahu kepada Portugis tentang jumlah anggota tentera Melaka dan persenjataannya. Malahan mereka juga yang memecahkan rahsia tentang bekalan makanan yang sangat besar dari Jawa yang tersimpan di tengah-tengah kota Melaka."

Blog theflyingkick memperkatakan Zahid Hamidi dan sejarah kejatuhan Melaka.

Ini entri menarik tetapi saya edit untuk bahagian sejarah kejatuhan Melaka sahaja kerana pendapat theflyingkick mengenai Zahid adalah pendapat peribadi blog berkenaan (saya tidak mahu masuk campur).

Sesuatu yang menarik apabila Zahid dalam ucapannya pada penggulungan Perhimpunan Agung UMNO petang Sabtu lalu ialah menceritakan bagaimana Kerajaan Melaka pada waktu itu ketinggalan dalam serba-serbi, bersenjatakan hanya keris, parang, kapak dan tombak berbanding Portugis yang menggunakan senjata api. Sekaligus menyebabkan Melaka kalah kepada Portugis.

Yang saya amat minat ialah pendapat theflyingkick mengenai faktor kejatuhan Melaka oleh Portugis.

Baca pendapat theflyingkick ini:

"Menurut Relazione del primo viaggio intorno al-mondo (Report on the first voyage around the world) karangan Antonio Pigafetta, kekuatan Melaka pada waktu itu adalah 20,000 orang tentera yang terdiri daripada tentera tempatan selain tentera upahan dari Jawa, Parsi dan beberapa negeri Islam yang lain.

Kelengkapan senjata Melaka adalah 3,000 artileri (meriam) dan 20 gajah perang serta senjata api seperti istinggar (senapang kuno yang berasal dari Turki) serta meriam-meriam kecil.

Manakala menurut Malacca History karangan Haji Buyong Adil yang memetik daripada Sejarah Melayu, kelengkapan pertahanan Melaka juga tidaklah sekuno seperti yang digambarkan oleh Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, kekalahan sebenar Melaka bermula apabila Alburquerque mendapat bantuan daripada lima buah jong Cina dan beberapa buah kapal dagang India.

Anak-anak kapal daripada kelima-lima buah jong yang berlabuh di Pelabuhan Melaka itulah yang memberikan maklumat penting tentang Melaka kepada penjarah-penjarah Portugis itu. Mereka yang memberitahu kepada Portugis tentang jumlah anggota tentera Melaka dan persenjataannya. Malahan mereka juga yang memecahkan rahsia tentang bekalan makanan yang sangat besar dari Jawa yang tersimpan di tengah-tengah kota Melaka.

Cina-Cina tersebut mempersoalkan kekuatan Portugis untuk berhadapan dengan tentera-tentera Melaka dan mengalahkan negeri Melayu itu kecuali dengan menyekat bekalan makanan yang datangnya dari Jawa daripada sampai ke Melaka.

Alburquerque kemudiannya meminjam beberapa buah jong besar daripada angkatan dagang China dan memberikan sebuah galleon besar serta tinggi kepada mereka sebagai tempat menonton aksi pertempuran antara Portugis dan Melaka.

Itu sejarahnya yang tercatat....

Barangkali Zahid Hamidi 'segan' hendak berterus-terang tentang sejarah penaklukan Melaka kerana ia membabitkan pengkhianatan pedagang-pedagang Cina dan India yang sebenarnya diberikan tempat serta kedudukan yang tinggi di dalam Kerajaan Melayu Melaka, terutama bermula dari zaman Sultan Mansur Syah.

Begitu juga dengan kerapuhan pertahanan darat Melaka apabila para penyokong Mundeliar yang tidak berpuas hati kerana Mundeliar dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan Mahmud Syah, membuka pintu kota sekaligus memudahkan pasukan Portugis yang mendarat di dua tempat menawan bahagian selatan dan utara Melaka dengan agak mudah sebelum menawan Jambatan Melaka yang terletak di tengah-tengah Kota Melaka, iaitu di kaki Bukit Melaka pada 25 Julai 1511.

Tidak sahaja pengkhianatan Mundeliar, saudagar dari India yang diberikan pangkat sebagai Syahbandar Pelabuhan Melaka, Melaka turut menerima pengkhianatan Nina Katu, sekutu kuat Mundeliar. Nina Katu bagaimanapun, dibunuh oleh Alburquerque selepas Melaka berjaya ditawan oleh Portugis.

Komen saya: Portugis mungkin sukar kalahkan Melaka kalau tidak kerana bantuan pedagang asing dan tali barut di Melaka sendiri. BELAJARLAH SEJARAH INI!

Sunday, October 24, 2010

UMNO, NAJIB & MESEJ PERHIMPUNAN

Segala keresahan bahawa UMNO sudah lesu agenda Melayu dan bumiputera kerana terlalu berhati-hati dalam landskap politik terkini, terjawab. Ia sama sekali menyangkal persepsi bahawa kepimpinan UMNO tidak lagi ke hadapan untuk membela kepentingan kaumnya. Dalam perhimpunan tersebut, seruan agar UMNO terus memperjuangkan untung nasib bangsa, masih kuat bergema dan dominan. - Awang Selamat

Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam meninggalkan kesan yang bukan kecil kepada parti itu bahkan kepada masyarakat Melayu.

Awang bersyukur kerana perhimpunan tersebut memperlihatkan UMNO semakin kukuh. Rata-rata perwakilan pulang dengan semangat dan keyakinan baru. Sama ada disedari atau tidak, perpaduan dan penyatuan UMNO kian kental.

Itulah mesej utama daripada perhimpunan kali ini biarpun ketika banyak pihak terutama pembangkang terus mengasak UMNO.

Awang ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak, timbalannya, Muhyiddin Yassin dan para pemimpin serta seluruh perwakilan kerana dapat menjana keyakinan masyarakat Melayu terhadap parti tersebut.

Segala keresahan bahawa UMNO sudah lesu agenda Melayu dan bumiputera kerana terlalu berhati-hati dalam landskap politik terkini, terjawab. Ia sama sekali menyangkal persepsi bahawa kepimpinan UMNO tidak lagi ke hadapan untuk membela kepentingan kaumnya.

Dalam perhimpunan tersebut, seruan agar UMNO terus memperjuangkan untung nasib bangsa, masih kuat bergema dan dominan. Ramai pembahas tidak teragak-agak menyentuh hal tersebut meskipun beberapa kerat pemimpin UMNO mula terikut rentak pembangkang - takut dilabel rasis kononnya.

Yang menjadi kemuncak ialah amanat Presiden. Ramai yang melihat ucapan beliau pada perhimpunan kali ini, terbaik. Beliau dengan lantang dan hujah konkrit, membuktikan komitmen sebagai peneraju UMNO untuk terus membela kepentingan bumiputera.

Jika ada yang menjangka Najib akan mengambil jalan tengah, mereka tersilap. Sebaliknya, beliau telah memberi ledakan untuk membuka mata semua pihak bahawa anak mantan Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussein itu jangan diambil mudah.

Naik mendadak semangat Awang. Ucapannya yang menyentuh Perlembagaan, mengejutkan banyak pihak. Beliau memberi peringatan tegas agar semua kaum tidak mempersoalkan hak dan kedudukan orang Melayu. Kedudukan istimewa itu sudah terkunci kemas dan tidak boleh diubah. Mana-mana pihak yang mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen tidak mampu mengubah hak Melayu tanpa kebenaran Majlis Raja- Raja Melayu. Begitu juga kedudukan bukan Melayu termasuk status kerakyatan, sudah terpelihara.

Langkah Najib membangkitkan isu itu adalah suatu keberanian. Nada tegas dan lantang menekankan perkara itu dalam ucapannya turut mencerminkan beliau serius. Ia memberikan mesej yang jelas kepada Melayu supaya jangan terlalu bimbang.

Kepada kaum lain pula, berhentilah mempersoal kontrak sosial.

Awang berharap peringatan Presiden UMNO berhubung Perlembagaan itu setidak-tidaknya meredakan polemik mengenainya. Malah ia tamparan hebat kepada gerakan yang diatur oleh pembangkang dan pihak tertentu untuk menulis semula Perlembagaan.

Seperti biasa, pembangkang bingkas bertindak mengelirukan pemikiran ramai kononnya Najib telah memberikan isyarat yang salah. Hujah yang digunakan ialah jika kedudukan Melayu sudah terjamin maka tiada salahnya orang Melayu menyokong pembangkang dan UMNO tidak lagi relevan.

Pada Awang, jawapannya mudah. Melayu mesti terus menyokong BN terutama UMNO yang berpaksikan Perlembagaan negara kerana kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu akan lebih terjamin. Setakat ini, UMNO sahaja yang terbukti paling komited untuk mempertahan dan menterjemahkannya dalam semua keadaan.

Sedangkan pembangkang terutama DAP dan PKR telah melakukan pelbagai usaha untuk menafikan kepentingan ketiga-tiga tunjang itu dalam Perlembagaan. Untuk apa menyokong parti politik yang matlamat akhirnya diketahui untuk menjadikan Malaysia sebuah negara republik suatu hari nanti.

Awang tidak terkejut dengan apa sahaja putar belit yang dimainkan oleh pembangkang. Itu memang budaya mereka. (Seperti kata wakil Kelantan, Md. Alwi Che Ahmad (gambar kiri) , usaha pembangkang untuk menumbangkan BN yang diterajui oleh UMNO umpama sejarah Perang Ahzab apabila Nabi Muhammad SAW diperangi satu pakatan besar-besaran dan dahsyat, yang diketuai musyrikin Quraisy.)

Lebih-lebih lagi pembangkang takut UMNO akan memperhebatkan agenda Melayu. Selagi UMNO kental dalam perjuangan untuk orang Melayu, selagi itulah ia sukar digugat kerana akan terus menjadi sandaran utama.

Awang lega sesungguhnya para pemimpin utama UMNO dalam perhimpunan kali ini responsif kepada suara orang Melayu dan ahli UMNO di akar umbi. Agenda Melayu tetap subur biarpun parti itu perlu lebih bijak mengurus aspirasi kaum lain dalam landskap politik lebih mencabar. Ucapan Muhyiddin pada perasmian persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri juga cukup baik dan sendat dengan mesej. (Cuma anehnya, buat pertama kali, ucapan Timbalan Presiden tidak mendapat liputan siaran langsung daripada RTM)

Sebarang kelesuan UMNO dalam pembelaan Melayu akan dihukum oleh orang Melayu. UMNO tidak boleh terperangkap dengan muslihat politik parti pembangkang dan komponen lain dalam BN menerusi konsep sama rata dan keadilan tafsiran politik mereka. Mengapakah UMNO tidak boleh mempertahankan kepentingan Melayu sedangkan parti-parti lain makin agresif melonjakkan perjuangan kaum masing-masing. Untuk kaum Cina sahaja, setidak-tidaknya ada tiga parti utama yang sedang berlumba-lumba iaitu DAP, MCA dan Gerakan.

Maka UMNO mesti menjadi pergerakan politik yang menyakinkan dalam apa keadaan sekalipun. Keyakinan itu semakin dirasakan di bawah kepimpinan Najib. Dalam ucapan penggulungannya semalam, nada Najib lebih pedas dan tajam yang menyerlahkan lagi karisma beliau. Namun Najib perlukan masa dan sudah tentu juga lebih pengertian, untuk memberi impak lebih besar. Janganlah hanya membaca yang tersurat daripada segala tutur kata dan gerak tindaknya. Banyak juga yang tersirat perlu diamati. Awang sentiasa yakin Najib ada cara untuk memperkasa UMNO sambil melakar keharmonian untuk semua kaum. Sejak dulu lagi, UMNO atas sifat kemurahan hati Melayu menjadi penaung yang baik dan selamat buat bukan Melayu. Malah kaum Cina terus menguasai ekonomi negara di bawah kepimpinan UMNO.

Apa pun, percayalah UMNO mempunyai keupayaan untuk terus berkuasa asalkan orang Melayu bersatu dan UMNO terus kuat. Inilah tuntutan sebenar UMNO apatah lagi pada era kritikal ini. Seperti kata Dato' Onn Jaafar pada Kongres Melayu pertama, 4 Mac, 1946. ''Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha'.' Perhimpunan Agung UMNO 2010 sudah memberikan petunjuk dan semboyannya termasuk mempertahankan kerajaan pusat. Ayuh, apa lagi ...

Awang Selamat (Utusan Malaysia)

Saturday, October 23, 2010

MTAB PENYELAMAT EKONOMI MELAYU, BUMIPUTERA?

Dua perkara yang berkait rapat antara satu sama lain menjadi tarikan saya kepada pembentangan usul ekonomi dan sosial oleh Wakil UMNO Kelantan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin pada Perhimpunan Agung UMNO petang semalam.

Perkara pertama ialah Pelan Induk Pembangunan Bumiputera dan satu lagi ialah penubuhan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB). Kedua-duanya saling kait mengait bagi tujuan panduan dalam pelaksanaan dasar kerajaan terutamanya dalam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) yang inklusif.

Pelan itu juga akan memantau dan menyelaras Agenda Bumiputera agar bersesuaian dengan pelaksanaan model ekonomi tersebut.

Selain perkara yang dibentangkan begitu menarik, sesuatu yang istimewa diperkatakan mengenai pembentangan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini ialah inilah kali pertama Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Malaysia diberikan peluang untuk menyatakan pendapat dan pendiriannya mengenai ekonomi Melayu dan Bumiputera secara khusus.

Biarpun ia tidak mewakili Ahli Majlis Tertinggi (MT) keseluruhannya tetapi pembentangan oleh Dr Awang ini memberikan satu keyakinan baru bahawa Majlis Tertinggi mempunyai pakarnya sendiri untuk membentang atau menyediakan usul penting seperti ini.

Sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Dr Awang pastinya dapat memahami dan mampu melaksanakan wawasan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Menteri Kewangan.

Selama ini pembentangan usul ekonomi dibuat oleh sama ada pemimpin Bahagian atau wakil negeri yang dianggap ‘bijak’ dalam perkara ini tetapi kali ini dengan pembentangan oleh Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Malaysia sendiri, ia sesuatu yang begitu serius dan lebih menjurus mencari model perancangan dan pelaksanaannya.

Dr Awang yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan – anak nelayan dari Bachok – mengemukakan suatu gagasan yang dikira amat penting pada ketika orang Melayu semakin bimbang dengan kedatangan 2020 yang akan menjadikan Malaysia negara maju.

Ada dua perkara penting mengenai pelan induk dan MTAB ini. Pertamanya ialah kerangka pelan dalam konteks perancangan dan perlaksanaan, pun begitu dengan MTAB.

Kali ini MTAB bukan sekadar dipengerusikan oleh Perdana Menteri bagi mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera yang Berjaya tetapi lebih daripada itu, ia turut membabitkan pengawasan, iaitu sesuatu yang selalunya terlepas pandang.

"Kita benar-benar berharap dengan pengawasan rapi terhadap agenda membantu Bumiputera di semua kementerian dan jabatan, ekonomi Bumiputera dapat ditransformasikan menjadi ekonomi yang moden dan kompetitif, selaras dengan MBE yang inklusif," katanya Dr Awang ketika membentangkan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 semalam.

Apa yang pasti, secara sengaja atau paksa, telinga kita kini diterjah dengan kata-kata bahawa kita akan menjadi sebuah negara maju dan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Ini bermakna dalam tempoh 9 tahun lagi sebagai orang Melayu saya, anak saya dan cucu saya perlu bersiap sedia untuk menghadapi zaman atau era itu dengan penuh persediaan dan menghadapi apa juga keadaan serta cabaran mendatang.


Amat jelas bahawa realiti politik dan ekonomi yang dihadapi kini dan akan datang amat memerlukan kami mengejar kemajuan yang dicapai oleh negeri-negeri yang maju seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Tahniah kerana MELAKA DIISYTIHARKAN SEBAGAI NEGERI MAJU. Inilah negeri yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) yang boleh dianggap maju. Yang saya sebutkan maju – Selangor dan Pulau Pinang - tadi adalah di bawah pembangkang. Jika berasaskan kepada kedudukan politik ,amat jelas bahawa rakyat yang memilih pembangkang untuk memerintah – Selangor, Pulau Pinang dan sebelum ini Perak – adalah mereka yang berada dalam kategori ‘rakyat kaya’ kerana berada di Negara maju. Mungkin ‘pengundi yang tidak kaya’ hanya ada di Kedah dan Kelantan yang juga negeri miskin seperti Terengganu.

Berkait dengan usul oleh Dr Awang itu, persoalan kepada latar belakang masyarakay Melayu kini ialah apakah Melayu yang menganggotai UMNO di Selangor, Pulau Pinang atau Kedah dan Kelantan itu Melayu yang kaya, stabil dan mampu bersaing jika Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020? Juga apakah Bumiputera di Sabah yang menyokong UMNO adalah mereka yang dikategorikan sebagai kaya?

Jika dilihat kepada kebanyakan ahli UMNO, apakah mereka l’kaya’ atau ‘berkedudukan baik’ berbanding perwakilan yang datang ke Perhimpunan Agung UMNO kalin ini? Secara umum rasanya ahli UMNO di luar Dewan Merdeka adalah lebih yang lebih kurang bernasib baik dan pangkat, kedudukan dan juga peluang mereka jauh lebih rendah daripada yang berada di dalam Dewan Merdeka.

Ini bermakna jika yang membahaskan usul ekonomi itu menyatakan bimbang atau takut menghadapi Era 2020 rasanya mereka di luar sana mungkin lebih takut daripada kita dan mengharapkan pembelaan daripada kita semua – pemimpin UMNO.

Secara psikologi orang Melayu dimomokkan dengan kata-kata Melayu Lemah, Dulu pada 1960-1970, kita dimomokkan dengan kata-kata Melayu Malas. Kita lawan nista itu dengan usaha kita melalu Dasar Ekonomi Baru. The Myth of The Lazy Native oleh Prof Syed Hussein al-Attas jelas menidakkan mitos Melayu Malas dan berketurunan malas!

Kini di era menuju 2020, orang Melayu cuba dikatakan sebagai bangsa subsidi, berharap kepada kerajaan dan memerlukan tongkat. Bagi kita biarlah apa orang nak cerca tetapi realitinya, hanya tongkat UMNO sahaja yang mampu menjaga kepentingan Melayu. Menghadapkan PAS? Tidak sama sekali. Ia parti yang sanggup menggadai dan mencemarkan Islam untuk sampai ke Putrajaya. Mengharapkan Parti Keadilan Rakyat? Itu parti orang kecewa dan UMNO sudah menendang mereka keluar atau mereka menendang diri mereka sendiri untuk bersekongkol dengan beberapa pengkhianat negara di dalamnya.

Biarlah pemimpin PAS dan PKR terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan.

Namun ada yang tidak boleh kita biarkan. Siapa mereka? Mereka yang menghina bangsa, keturunan dan agama kita. Saya sedih kerana ada beberapa kes yang terang-terangan kita dihina, dinesta, Raja Kita DiCerca dan DiSumpah Seranah sementara Islam dicemari dan dinodai tetapi mereka terus bebas melakukannya.

Sedangkan pemimpin kita daripada UMNO hanya mampu melihat, membiar dan TIDAK BERANI bertindak kerana bimbang penyokong kita di kalangan mereka akan lari atau tidak mahu bersama kita. Realitinya, apakah kita memerlukan penyokong yang bersekongkol dengan mereka yang menghina keturunan, bangsa dan agama Islam? Kita Berkuasa, Kita Memegang Kuasa tetapi Kita Sendiri Seperti Kehilangan Kuasa. Apakah ini cirri-ciri UMNO KETIKA INI?

Berbalik kepada usul ekonomi oleh Dr Awang, sebagai orang Melayu penulis menyokong penuh dasar dan langkah-langkah ekonomi yang diambil oleh kerajaan dalam Belanjawan 2011, Rancangan Malaysia ke-10, Model Baru Ekonomi serta Program Transformasi Ekonomi (NETP) sebagai pemacu dan peta tuju (roadmap), tidak lain dan tidak bukan bertujuan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Tetapi pada ketika yang sama penulis ingin bertanya apakah UMNO sudah bersedia dan sanggup menjadi peneraju untuk merancang dan melangsungkan dengan berani agenda Bumiputera? Juga apakah UMNO akan mengawasi perlaksanaanya memenuhi matlamat?


Tujuannya apa? Ia bertujuan agar kita semua dapat memainkan peranan berkesan (mengikut kedudukan kita dalam masyarakat) untuk menjamin MEB dan NETP, terutamanya melalui pendekatan baru untuk peningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar dilaksanakan dengan jayanya.

Sebagai orang luar bandar, sudah pasti saya mahu jurang pendapatan kita dan mereka di luar bandar tidak ketinggalan jauh berbanding penduduk bandar. Kita maju jurang itu dirapatkan SEGERA dan TIDAK MENUNGGU HINGGA 2020.

Apa yang sangat diharapkan ialah dengan Penubuhan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB), kedudukan kita lebih terbela.

Bersambung Esok