Thursday, August 5, 2010

Zaid Gagal Batalkan Kemenangan Kamalanathan Di Hulu Selangor

P. Kamalanathan (dua kiri) bersama para peguamnya, Firoz Hussein (kiri), Syed Faisal Abdullah (kanan) dan Datuk Mohd Hafizam Haron meraikan kegembiraan selepas kemenangan beliau pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor April lalu disahkan oleh Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur, 5 Ogos. - Utusan

Hasrat Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat yang tewas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lepas, membatalkan kemenangan lawannya daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu terbantut lagi.

Hari ini dia gagal mendapatkan pengisytiharan mahkamah supaya keputusan pilihan raya itu terbatal dan tidak sah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, memutuskan untuk membenarkan permohonan anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan daripada Barisan Nasional, untuk membatalkan petisyen yang difailkan Zaid.

Selain gagal membatalkan kemenangan Kamalanathan, amat jelas apa juga tuduhan Zaid terhadap kerajaan atau juga sebarang bentuk rasuah tidak berasas sama sekali.

Menurut seorang daripada peguam Kamalanathan, Mohd Hafarizam Harun, penghakiman hari ini membuktikan bantuan kepada sekolah dan RM160,000 kepada peneroka Felda bukan rasuah tetapi sebagai pembangunan di kawasan berkenaan.

Peguam Azhar Azizan Harun yang mewakili Zaid berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

Katanya, beliau juga mempunyai senarai nama-nama penerima rasuah berkenaan tetapi berpendapat untuk mendedahkannya apabila perkara itu dibawa ke perbicaraan sepenuhnya.

Zaid, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan, memfailkan petisyen itu pada 24 Mei lepas dengan menamakan Kamalanathan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan Parlimen Hulu Selangor Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Zaid, yang tewas pada pilihan raya 25 April itu dengan majoriti 1,725 undi kepada Kamalanathan, memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu batal dan tidak sah kerana mendakwa terdapat perbuatan rasuah dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri memfailkan petisyen berkenaan pada 24 Mei lalu mendakwa terdapat bentuk sogokan dan janji kepada pengundi oleh pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada pengundi sekiranya mereka menyokong Kamalanathan.

Petisyen terhdap Kamalanathan difailkan di bawah Seksyen 10(a), 10(c) dan 10(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.

Mengulas keputusan itu, Kamalanathan berkata beliau bersyukur kepada Tuhan kerana mahkamah telah memutuskannya sebagai ahli parlimen yah sah.

"Saya P Kamalanathan, dan saya adalah MP bagi Hulu Selangor," katanya, sambil berikrar akan bekhidmat dengan gigih di kerusi parlimen yang diwakilinya.

Pada 23 Julai lalu, Mahkamah Pilihan Raya akan memutuskan hari ini sama ada membenarkan permohonan Kamalanathan bagi membatalkan petisyen yang difailkan oleh Zaid.

Hakim Azahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam-peguam yang mewakili Zaid, Kamalanathan dan pegawai daripada Pejabat Peguam Negara yang bertindak bagi pihak pegawai pilihan raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya pilihan Raya Malaysia.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Zaid berkata mahkamah mempunyai peluang menjadikannya satu polisi dengan tidak membenarkan permohonan itu agar perkara berkenaan dapat dibicarakan.

Sebelum ini, hampir 90 peratus petisyen pilihan raya ditolak tanpa sebarang perbicaraan.

"Mahkamah ini boleh menjadikannya sebagai polisi bagi kes-kes petisyen pilihan raya akan datang.

"Tiada sesiapa boleh campur tangan dengan proses pilihan raya yang sepatutnya merupakan proses demokrasi yang sebenar dan menghampakan harapan pengundi yang mahu melihat keadilan ditegakkan,” hujah Malik.

Katanya, mahkamah tidak sepatutnya menumpukan perhatian terhadap kes petisyen pilihan raya yang telah dibatalkan ketika mendengar permohonan itu, tetapi perlu menetapkan satu dasar dalam menolak permohonan sedemikian dengan terus mendengar keterangan serta bukti melalui satu perbicaraan penuh.

Sementara itu, peguam Kamalanathan - Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin hanya mengemukakan alasan teknikal bagi petisyen itu ditolak.

Katanya, pmpetisyen gagal menunjukkan dalam afidavitnya elemen janji dan tawaran yang menyebabkan pengundi Hulu Selangor mengubah fikiran mereka untuk tidak mengundi beliau.

Beliau juga berhujah mengenai alasan teknikal dan pentadbiran iaitu bagaimana petisyen itu diserahkan dan difailkan, yang menurutnya adalah cacat kerana tidak mematuhi keperluan mandatori mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.

Tuesday, August 3, 2010

KELU APABILA RAKAN MATI DITEMBAK

Anggota polis mengangkat mayat bekas ADUN Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd. Nor yang mati ditembak bersama pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Tanjung Karang, di Km 445.7 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sungai Buluh, Selangor, 3 Ogos. – Gambar Utusan

Saya menjadi kelu dan terkejut. Seakan tidak percaya apa yang saya baca!

Kerana itu saya menjenguk beberapa laman dan portal berita yang menyiarkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Selangor, Datuk Abd. Aziz Mohd. Noor, 63, dan pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, 43, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di kepala dalam sebuah kereta di Kilometer 445, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sungai Buloh hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, kereta Toyota Caldina dinaiki kedua-dua mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Kereta yang dinaiki mereka dikatakan merempuh pembahagi jalan. Polis menemui sepucuk pistol milik Abd. Aziz dalam kereta tersebut.

Saya terkejut besar kerana Aziz adalah rakan lama dan bekas pelajar saya ketika di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1980an.

Kami berkawan kembali selepas terpisah seketika apabila saya meninggalkankan USM untuk bekerja dengan Berita Harian, khususnya ketika Allahyarham bekerja dengan Menteri Kebajikan Masyarakat, Datuk Seri Abu Hassan Omar yang kemudian menjadi Menteri Besar Selangor.

Ketika beliau menjadi Setiusaha Menteri Besar Selangor, saya sudahpun bekerja di ntv7 sementara ketika Abu Hassan menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, saya bekerja di Berita Harian.

Aziz seorang yang peramah dan mudah didekati.

Menurut polis, kejadian berlaku di KM476 Lebuhraya Utara-Selatan pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat kesan tembakan di kepala kedua-dua mangsa.

"Siasatan juga mendapati tembakan dilepaskan dari bahagian dalam kenderaan yg dinaiki mangsa, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya yang dipetik melalui status Facebook yang dikemaskini kira-kira pukul 1.30 petang, hari ini.

Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh. Tambah Khalid, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.

"Kita tidak menolak kemungkinan ini adalah satu kes pembunuhan dan bunuh diri, lain-lain butiran kita tak boleh beri setakat ini... biarlah polis siasat dahulu," katanya.

Katanya lagi, hasil maklumat saksi mengesahkan tiada individu lain dalam kereta mangsa ketika kejadian.

Abdul Aziz mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Permatang selama sepenggal sehingga 2008 sebelum digugurkan pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu dan digantikan dengan muka baru, Sulaiman Abdul Razak.

Monday, August 2, 2010

APABILA KU LI DAKWA TOK PA TAK CAKAP BENAR…


"....Pelabur asing juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS. ..Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain.'' - Dr Mahathir Mohamad

Banyak pihak – penganalisis ekonomi - menganggap berita paling hangat masa kini ialah kejatuhan 81 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) negara untuk 2009 seperti yang diterbitkan oleh Laporan Pelaburan Dunia (World Investment Report UNCTD) pada 22 Julai lalu.

Malaysia mencatat kejatuhan FDI tahun lalu kepada AS$1.38 bilion (RM4.22 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.39) pada 2008.
Ini merupakan rekod terburuk yang dialami Malaysia sejak 15 tahun lalu.

Apa yang merisaukan ialah negara kita yang mengalami kejatuhan yang paling tinggi berbanding lain-lain negara dalam ASEAN. Vietnam mengalami kejatuhan sebanyak 44 peratus, Thailand jatuh sebanyak 31 peratus, Indonesia jatuh 48 peratus, Filipina jatuh 26 peratus dan Singapura meningkat 45 peratus.

Bagaimanapun, kita difahamkan bahawa untuk penggal pertama 2010 kita telah mencapai keseluruhan jumlah pelaburan untuk tahun lepas. Ertinya keadaan merudum pelaburan itu tidaklah berterusan hingga ke tahun ini.

Jumlah FDI dalam tempoh tersebut dikatakan meningkat RM5.06 bilion iaitu hampir yang dicatat sepanjang 2009 sebanyak RM5.66 bilion. Meskipun aliran FDI merosot pada 2009, namun Malaysia masih tersenarai sebagai salah satu daripada 15 negara utama FDI bagi 2010 hingga 2012.

Namun, seorang penganalisis ekonomi berkata beberapa hari lalu , sekiranya tiada tindakan drastik untuk memperbaiki kemasukan FDI, ekonomi Malaysia akan terperangkap selama-lamanya.

Ini kerana negara-negara jiran terutama Vietnam dan Indonesia, begitu agresif meningkatkan pertumbuhan ekonomi masing-masing dengan pendekatan yang holistik.

Dengan kata lain, menurutnya, Malaysia tidak boleh hanya berpeluk tubuh dengan mengharapkan limpahan ekonomi negara-negara jiran untuk merasai tempiasnya kerana ia tidak akan berlaku.”Sudah tentu kita tidak mahu melihat generasi muda pada masa depan pula mencari kerja di Indonesia dan Vietnam, mencari sesuap nasi,” kata pengnalisis tersebut.

Berikutan itu, Tok Pa (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri – MITI - Datuk Mustapa Mohamed) dan MITI seakan tertekan sehingga terpaksa membuat dua kali kenyataan kepada media.

Tok Pa dan MITI dikritik oleh banyak pihak yang mempersoalkan kewibawaan kementerian itu yang diterajui olehnya sehinggakan ada kenyataan-kenyataan pedih yang dilemparkan terhadap kementerian itu. Namun apakah Tok Pa dan seluruh kakitangan sudah lemah semangat dengan kritikan dan kecaman sedemikian.

Terbaru, Tok diserang hebat akibat angka kejatuhan FDI itu, termasuk oleh bekas Menteri Kewangan yang kemudian menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Menurut Malaysiakini kelmarin, Ku Li mengecam Tok Pa yang dikatakan tidak memberitahu perkara yang sebenar berhubung sebab utama tentang kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 81 peratus pada 2009.

Beliau mengatakan Tok Pa tidak bercakap benar dan berpusing-pusing memberikan alasan remeh. Ku Li menegaskan soal asas ialah tidak ada keyakinan, bukan kerana faktor lain.

Persoalannya, jangan Tok Pa sahaja disalahkan. Apakah kerana beliau baru mengambil alih kementerian itu, beliau wajar dipersalahkan? Kementerian ini sebelum ini diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sejak Mac 2008. Bagaimanapun, kementerian itu lama berada di bawah Datuk Seri Rafidah Aziz.

Kita perlu adil dan melihat juga bagaimana pendekatan MITI sebelum 2008 dan apa perancangan kerajaan ketika itu?

Tok Pa dalam kenyataan akhbar pada 26 Julai lalu memberi alasan aliran masuk FDI menjunam akibat terkena tempias krisis ekonomi global yang menyebabkan ramai pelabur berhati-hati sebelum membuat sesuatu keputusan perniagaan. Sayangnya, kenyataan itu dikatakan tidak boleh diterima kerana berdasarkan data tahap kompetitif Malaysia semakin jauh ketinggalan.

Dengan mengambil contoh Thailand, meskipun mengalami krisis politik yang sukar sehingga mengheret rakyatnya berdemonstrasi selama berbulan-bulan, negara gajah putih itu masih mampu merekod FDI lebih tinggi iaitu sebanyak AS$5.94 bilion (RM19 bilion) berbanding Malaysia, sebuah negara yang aman damai.

Tok Pa menyatakan satu sebab kemerosotan aliran masuk pelaburan kerana Malaysia dalam proses transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Perkara ini sekali lagi ditegaskan oleh beliau pada majlis makan malam dan taklimat ‘Daya Saing Dunia Sebagai Elemen Penting Dalam pembentukan Model Baru Ekonomi Negara” anjuran bersama Kerajaan Negeri Terengganu, MITI dan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) yang turut melibatkan Terengganu Development Institutr (TDI) .

"Beliau (Tok Pa) tidak bercakap benar, berpusing-pusing beri alasan remeh," katanya kepada Malaysiakini di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar kelmarin. Ku Li mengulas alasan menteri itu bahawa Malaysia hanya berjaya menarik FDI sangat sedikit berbanding ekonomi negara jiran kerana ia melibatkan skala pembangunan pada tahap berbeza, justeru tidak boleh menarik pelaburan infrastuktur.

Tok Pa sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia tidak berminat menarik pelaburan dalam sektor pulangan rendah seperti yang melanda ekonomi kawasan lain. Tok Pa menjelaskan, kita ini kita banyak menekankan kepada buruh murah yang berpengetahuan rendah dan dibantu oleh pekerja Malaysia yang ramai pada peringkat perkeranian dan am, Malaysia sukar untuk bersaing dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang turut menawarkan kos buruh yang murah.

Tok Pa mengakui pasaran Malaysia kini sudah tepu dan negara perlu merubah untuk menjamin pekerja-pekerjanya lebih berkemahiran dan mula mencipta pekerja yang ‘berbakat ‘ (talent) dalam bidang masing-masing, bukan sekadar pekerja am.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulas isu ini semalam berkata kemerosotan FDI disebabkan pelabur asing seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak mempunyai wang untuk dilaburkan.

Menurutnya, pelabur terbabit juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS. Katanya: “Keadaan ekonomi Eropah dan AS amat terjejas berikutan krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan.

Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain.''

Berikutan itu beliau meminta kerajaan mengkaji bagi meningkatkan pelaburan dalam negeri seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain.

Tok Pa pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis-majlis Perniagaan baru-baru ini berkata, MITI yakin negara mampu menarik pelaburan swasta sebanyak RM115 bilion setahun di bawah RMK-10. Dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi pastinya iklim ekonomi negara mampu berubah ke arah yang lebih baik. Walaupun ia adalah sasaran yang tinggi tetapi kita perlu meletakkan sasaran yang sebegitu

Tambahnya, tumpuan untuk mendapatkan pelaburan bukan hanya melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) tetapi ia turut membabitkan pelaburan langsung domestik. Ia meliputi semua sektor termasuk pembuatan, minyak dan gas, pengangkutan, hartanah dan perkhidmatan, katanya.

Sebagai latar belakang, kita perlu menyedari bahawa aliran FDI boleh berubah secara mendadak dari tahun ke tahun. Sebagai contoh pada 2001, FDI Malaysia hanyalah bernilai AS$0.5 bilion tetapi pada 2002, nilainya melonjak sebanyak 540 peratus kepada AS$3.2 bilion. Negara-negara lain juga turut mengalami laluan yang serupa.

Sedangkan Aliran FDI Singapura menurun sebanyak 70 peratus pada 2008 tetapi meningkat semula sebanyak 54 peratus pada 2009.

Jadi turun naik aliran FDI ini adalah lumrah alam.

Berdasarkan kemeruapan yang tinggi dari tahun ke tahun, lebih tepat jika kita melihat FDI dari sudut jangka panjang. Dari perspektif ini, aliran masuk FDI ke Malaysia meningkat meskipun tidaklah sehebat negara-negara lain. Dari 2000 ke 2009, aliran FDI tahunan negara meningkat sebanyak 4.2 peratus manakala negara-negara lain di rantau ini mencatatkan pertumbuhan dua digit. Ini bermakna, kita perlu berusaha mempertingkatkan lagi aliran masuk FDI.

Satu perkara yang saya yakin, Tok Pa tidak akan berdiam diri. Sebagai orang yang kuat bekerja, Tok Pa akan berusaha lebih gigih dengan kakitangannya untuk mencari pendekatan baru.

Lagipun, rekod perkhidmatan Tok Pa sebelum ini menyatakan segalanya!

Saya yakin MITI dan Tok Pa akan mampun mencari pendekatakan sewajarnya bagi menjamin daya saing Malaysia akan terus maju bagi menjayakan Model Baru Ekonomi Negara berada pada tahap yang sebaik-baiknya!

Wednesday, July 28, 2010

ISU PERPADUAN MELAYU-ISLAM – PAS DI ASAK KE PENJURU GELANGGANG

"Apabila di spin isu perpaduan Melayu, mereka cuba menggambarkan bahawa PAS dalam keadaan serba salah. Seolah-olah enggan kepada perpaduan sesama bangsa dan takutkan kepada orang Cina khususnya DAP. Jadi merekalah juara Melayu. Ia menimbulkan tanda-tanya terhadap rakyat dan masyarakat majoriti Melayu tentang apa sikap PAS. Hendak disambut bimbang takut isu perpaduan dicanang semula. Hendak diam begitu sahaja seolah-olah PAS lebih suka kepada perpecahan dan enggan perpaduan. Mereka memalu gendang ‘silat pulut’ sedang PAS bersedia dengan memakai sut ‘tomoi’. Jadi Nampak tak serba tak kena."

Dalam kedudukan ramai pemimpin atasan PAS begitu tidak gemar dengan perpaduan Melayu dan Islam, pemimpin bawahan Islam ada yang mengatakan ia sesuatu yang sepatutnya dimulakan oleh PAS.

Lebih jauh mereka melihat PAS kini tertekan dengan isu perpaduan Melayu dan Islam ini kerana orang Melayu dan Islam mula bersimpati dengan UMNO.

Malah, serangan yang dilakukan terhadap Maufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dilihat akan merugikan PAS dan menguntungkan UMNO dan jika berterusan, ia adalah tindakan tidak bijak pemimpin atasan PAS.

Terus terang, walaupun ada tulisan Ustaz Saiful Bahari (bekas ADUN Paka – 2004-2008 dan masih Penasihat Majlis Tindakan DUN Paka sejak 2004), yang saya tidak gemar membacanya tetapi beberapa tulisannya baik untuk direnungi.

Pandangannya jauh lebih bernas berbanding Naib Presiden PAS seperti Datuk Mahfuz Omar atau juga Salehuddin Ayob, apa lagi Khalid Samad.

Saya melihat banyak tulisannya agak seimbang dan wajar didalami. Lagipun Ustaz Saiful berkelulusan Ijazah Sarjana Universiti Malaya selain pernah mendapat diploma ketika pengajiannya di Mesir.

Menurut Ustaz Saiful, “Dalam menanggani isu perpaduan melayu, PAS dilihat lambat bertindak. PAS seolah-olah duduk dipenjuru gelanggang apabila loceng pertarungan dibunyikan. PAS diasak oleh UMNO dan dilihat berjaya menjuarai isu ini. PAS seolah-olah bertahan dalam isu ini.”

Malah dengan tegas beliau berpendapat menyerang Mufti Perak itu sebagai tindakan tidak bijak.

Menurutnya, sedikit sebanyak serangan itu menaruh simpati rakyat terhadap beliau dan secara langsung rakyat akan turut bersimpati terhadap UMNO.

Bagi Ustaz Saiful, PAS tak perlu menari mengikut rentak UMNO tetapi PAS perlu selangkah kehadapan. Sepatutnya inilah masa dan saatnya PAS menjuarai perpaduan Islam.

Katanya, perpaduan yang meletakkan UMNO di penjuru gelanggang. PAS perlu mengambil kesempatan awal dengan menganjurkan satu "Perhimpunan Rakyat atau Konvensyen Perpaduan Islam Se Malaysia” yang melibatkan semua pertubuhan, NGO dan lapisan rakyat.

“Inilah sebaik-baik alternative setelah UMNO gagal membina perpaduan berasaskan kebangsaan sempit mereka.”

Berikutan entri ini melalui blognya terdapat satu ulasan oleh Fakhrul ar (July 26, 2010 2:38 PM)
yang seakan mengingatkan Ustaz Saiful, bimbang pemimpin PAS akan menyerang beliau pula.

Menurut ulasan itu, di Selangor, orang PAS dok hentam Datuk Dr Hassan Ali dan kerja itu bukan dilakukan oleh orang UMNO.

Saya petik keseluruhan ulasan terkenaan “Assalamualaikum Ust, maaf deh ana nok komen sket nih.. statment ust nih bahaye sebenarnye..isu UG dok habis2 lagi dicanang2..oleh saper oleh org PAS sendiri..yg dok fhm bukang org awam je,ust2,hok berpndidikan hok pimpinan pun ade jugok..duk main2 isu sendiri..org UMNO duk cucuk jer org kite jugok hok bodo duk baloh sesama sendiri..Dok reti nok royak ust. ana kat selangor pun skrg bukang main lg org2 PAS duk hentam Dato Hassan sebab gaper sebab jmpe ngn Harunsani bukang bncng gaper pun habis org2 kite pecoh lagi..saper sebor tuh? org PAS jugok..Nie statment Ust Din hok tulis kat blog..bukang tulis nk gabung ngn UMNO pung habis kne jugok..sumbak parok awok2 kite hok terlebih tarbiyah nih..punoh jd ahli2 PAS..duk care politik saje surau bala dok gie,org ngajo kite tembo dulu lg..PAStu duk main attack pimpinan je..sedih jugok kadang2 Bimbng jugok Statment Ust pulok kang kne attack lepah nih..dlm muktamar lePAS pun kita state doh kang jgn bangkit lg isu UG n perpaduan dan bersame perkukuhkan pakatan..Ana hok baru blajo nih harap kite pakat kukuhkan tarbiyah puok2 kite..makin kite nok menang making teruk puok2 kite..rapatkan saff,perkasakan tarbiyah,same2 kite menuju ke putrajaya..allahuakhbar!!!”

Menariknya, Ustaz Saiful berkata “الحرب خدعةdan kepimpinan itu bukan untuk diquduskan. Mcm dibina Tok Pekong atau dijadikan mcm Raja2 Melayu kini.

Kebanyakan Khalifah ar-Rasyidin dibunuh kecuali Abu Bakr. Kebanyak ulama di penjara. Mereka tetap suarakan kebenaran.”

يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Itulah kurniaan Allah. Kalau betul mendpt 20 ganjaran. Kalau salah dpt 10, i'Allah. Amat jelas kini.

Untuk lebih jelas, saya perturunkan entri Ustaz Saiful.

Kenapa PAS lambat?
Posted by Saiful at 26 July 2010 - 8:35 AM

Dalam menanggani isu perpaduan melayu, PAS dilihat lambat bertindak. PAS seolah-olah duduk dipenjuru gelanggang apabila loceng pertarungan dibunyikan. PAS diasak oleh UMNO dan dilihat berjaya menjuarai isu ini. PAS seolah-olah bertahan dalam isu ini. Menyerang mufti Harussani dilihat sebagai tindakan tidak bijak. Sedikit sebanyak akan menaruh simpati rakyat terhadap beliau dan secara langsung rakyat akan turut bersimpati terhadap UMNO.

Umno sendiri bukannya benar-benar hendakkan perpaduan bersama PAS maupun perpaduan melayu. Memang dikala ini mereka amat tersepit tetapi mereka hanya berhasrat untuk menjuarai undi orang-orang Mlayu. Mereka sendiri tahu bahawa sebahagian besar pengundi melayu menyokong PAS. Kebanyakan pertembungan kerusi juga adalah diantara PAS dan Umno.

Apabila di spin isu perpaduan Melayu, mereka cuba menggambarkan bahawa PAS dalam keadaan serba salah. Seolah-olah enggan kepada perpaduan sesama bangsa dan takutkan kepada orang cina khususnya DAP. Jadi merekalah juara Melayu.

Ia menimbulkan tanda-tanya terhadap rakyat dan masyarakat majoriti melayu tentang apa sikap PAS. Hendak disambut bimbang takut isu perpaduan dicanang semula. Hendak diam begitu sahaja seolah-olah PAS lebih suka kepada perpecahan dan enggan perpaduan. Mereka memalu gendang ‘silat pulut’ sedang PAS bersedia dengan memakai sut ‘tomoi’. Jadi Nampak tak serba tak kena.

Sebenarnya PAS tak perlu menari mengikut rentak UMNO tetapi PAS perlu selangkah kehadapan. Sepatutnya inilah masa dan saatnya PAS menjuarai perpaduan Islam. Perpaduan yang meletakkan UMNO di penjuru gelanggang. PAS perlu mengambil kesempatan awal dengan menganjurkan satu "Perhimpunan Rakyat atau Konvensyen Perpaduan Islam Se Malaysia” yang melibatkan semua pertubuhan, Ngo dan lapisan rakyat. Inilah sebaik-baik alternative setelah UMNO gagal membina perpaduan berasaskan kebangsaan sempit mereka. Jadikan firman Allah Swt dalam surah al-Imran ayat 103 sebagai asas

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu Telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

Undang dan jemput semua organisasi dan juga mereka yang mencintai perpaduan dan Islam. Jangan lupa mengundang UMNO dan PERKASA. PAS sebagai parti Islam terbesar di Malaysia dilihat mampu menganjurkannya.

Pakatan perlu menjuarai ke hadapan dan kita boleh lihat apakah UMNO benar-benar bersedia untuk sebuah perpaduan. Kita cukup berkeyakinan resolusi “Islam sebagai asas perpaduan” PAS akan diterima oleh semua umat Islam di Malaysia yang benar-benar mencintai perpaduan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan bahasa.