Monday, October 12, 2009

ISA SAMAD - TUAH AYAM NAMPAK DI KAKI…

Bolehkah kita katakan bahawa provokasi penyokong parti yang bertanding menyebabkan sasaran Suruhanjaya Pilihanraya agar 90 peratus keluar mengundi di Bagan Pinang tidak berhasil?


Atau apakah penduduk di kawasan itu sudah yakin dengan kejayaan yang mungkin dicapai oleh Tan Sri Mohd Isa Samad dan tidak perlu membuang undi?

Semalam, seramai 11,157 atau 81.65 peratus daripada 13,664 pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu sehingga pengundian ditutup jam 5 petang tadi.

Walaupun ia meningkat sedikit berbanding 10,911 atau 81.59 peratus pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu, namun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, kecewa kerana sasaran keluar mengundi kali ini tidak tercapai.

"Saya agak kecewa dengan peratusan ini, saya harapkan peratusan hampir ke 90 peratus, saya tidak tahu apa sebabnya peratusan ini tidak meningkat walaupun hari mengundi diadakan pada hari cuti hujung minggu," katanya.

Beliau berkata, SPR akan melakukan analisis mengapa peratusan itu tidak meningkat sebagaimana yang diharapkan.

Ternyata calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad, bukan tandingan calon PAS apabila menang besar dengan majoriti 5,435 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Wilayah Persekutuan itu memperoleh 8,013 undi berbanding calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar, yang mendapat 2,578 undi.

Secara mudah undi yang didapati oleh PAS (pakatan pembangkang hanya 21 peratus) berbanding undi yang dimiliki BN.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi apabila memperoleh 6,430 undi manakala calon PAS, Ramli Ismail, mendapat 4,097 undi.

Merosotnya undi PAS begitu banyak, hampir sekali ganda dan pertambahan undi kepada BN daripada 6.430 kepada 8.013 menggambarkan bahawa BN dan UMNO ‘bukan teruk sangat’.

Cuma sebelum ini, ruang untuk BN mengetengahkan calon ‘sebaik Mohd Isa’ tidak muncul. Mungkin juga sebelum ini BN membuat keputusan salah mengenai calon.

Bagi saya untuk kali pertamanya isu calon tidak menjadi ‘isu utama’ di kalangan BN atau UMNO. Untuk kali pertamanya juga rakyat tempatan tidak mempersoalkan ‘diri calon’ dan sangat sukar untuk mereka menolak Mohd Isa tidak seperti pada pilihan raya kecil yang lain.

Memanglah bagi PAS dan pakatan rakyat, mereka akan merasa terkilan, bukan sahaja kerana kalah tetapi kempen kononnya mereka bersih daripada BN dan UMNO tidak berjaya memutarkan fakta.

Ternyata Mohd Isa sudah diterima kembali dan seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Mohd Isa sudah menjalani ‘hukumannya’.

Dalam soal ini, nampaknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa peka dan menerima reality bahawa rakyat di Bagan Pinang mahukan Mohd Isa walau dalam keadaan apa sekali pun!

Sementara PAS yang sering berburuk sangka kepada orang lain, khususnya orang UMNO melemparkan komtentar yang bunyinya bagaikan ‘anggur masam’.

Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, kemenangan Mohd Isa dianggap suatu kegagalan kepada misi integriti nasional.

Katanya dalam kedudukan PAS menghormati keputusan rakyat atas prinsip demokratik, PAS (beliau?) malu dengan sikap UMNO yang tidak akan membawa rakyat kepada kehidupan yang lebih baik kerana gagal memerangi rasuah.

"UMNO memang menang dalam pilihanraya, tapi ternyata kalah dalam memerangi rasuah,"kata dalam sidang media yang diadakan selepas PAS di isytiharkan tewas dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang semalam.

Tidak apalah, PAS tidak akan melihat kelemahan dirinya tetapi akan terus mempersalahkan orang lain. Itu perangai dan tingkah lakunya.

Bagi BN dan UMNO, pengajaran kes pilihan raya kecil ini penting kerana jika calon tepat, kemenangan tidak sukar untuknya.

Calon yang diterima rakyat tempatan dan berjasa amat penting – bukan kerana dia muda atau pelajaran tinggi. Yang penting rakyat sayangkan diri calon berkenaan, UMNO akan menang.

UMNO dapat melihat bagai pembangkang menang di Kuala Terengganu, Permatang Pasir, Manek Urai atau juga sebelum ini di Permatang Pasir.

Selain itu BN perlu juga menjaga tata susila dan mengelakkan provokasi kerana rakyat akan menilai siapa sebenarnya yang membuat kekacauan dan cuba cari pasal tidak tentu hala.

Rakyat Malaysia cintakan keamanan. Sebarang kekerasan atau pertelingkahan bukan pilihan mereka. UMNO dan BN kena amalkan ‘keamanan’ dan kestabilan sama ada ketika berkempen atau hari membuang undi.

Selain itu, Presiden dan pemimpin tertinggi BN perlu bekerja satu hati dalam memenangkan parti komponen, bukan UMNO, MCA. MIC atau Gerakan dan parti-parti komponen lain bertanding secara berasingan. Bersatu hati untuk kemenangan.

Serangan dan pertahanan terhadap lawan umpamanya dalam konteks pemimpin utama mereka perlu tersusun dan jangan ada pihak yang mahu mengambil kredit atau keuntungan peribadi daripadanya.

Ternyata Penasihat Parti Keadilan Rakyat – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama PAS gagal menambat hati rakyat di Bagan Pinang.

Kepada rakyat di Bagan Pinang, tahniah kerana tidak terpegaruh dengan dakyah pembangkang dan melontar jauh-jauh sokongan anda.

Pemimpin pembangkang pasti akan ‘terkejut beruk’ dengan undi kecil yang diterima oleh mereka.

Walaupun ada menganggap Mohd Isa sebagai ‘calon kitar semula’, pembangkang lupa bahawa calon ‘kitar semula’ milik mereka lebih teruk kerana sudah beberapa kali kalah dalam pilihan raya. Sedangkan Mohd Isa tidak pernah kalah pun dalam pilihan raya – sama ada kerusi DUN mahupun Parlimen.

Itulah, Anwar pun boleh lupa fakta dan ini hanya permulaan. Banyak lagi Anwar akan lupa fakta selepas ini kerana beliau perlu mengumpul fakta mengenai dirinya sendiri bagi mempertahankan maruah dan identitinya sendiri – sama ada di mahkamah atau juga pentas politik.

Kepada Mohd Isa, ingatlah janji-janji kerana daripada rakyat kita datang dan rakyat juga boleh menentukan sama ada kita kekal atau ditendang jauh-jauh, jika gagal berbakti!


AZEEZ (PUTERA UMNO) PEMBOHONG?

Kalau tidak benar saman sahaja. Apa ditunggu lagi.

Ini soal maruh. Ada Masters kata tiada dan macam-macam lagi.

Ahli Majlis Tertinggi, Abdul Azeez Rahim perlu bertanggungjawab atas maruah dirinya. Tak kan hendak biarkan orang mengatakan beliau ‘pembohong’ dan ‘penipu’.

Saya hairan kenapa perkara lama dikitar semula. Apakah kerana gara-gara Azeez Rahim dakwa dia kena belasah pada hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang?

Saya tidak merujuk kepada kenyataan Salahuddin Ayub mengenai ‘pembohongan Azeez’ baru-baru ini tetapi entri Roslan SMS melalui blognya pada 8 Oktober 2009 bertajuk “WAWANCARA BERSAMA TERAJU PUTERA UMNO BANYAK YANG BOLEH DIPERTIKAIKAN”.

Entri ini sebenarnya yang dikitar semula dan pernah disiarkan pada 21 Jun 2005 dan 4 Ogos 2005.

Baca entri berkenaan melalui blog Roslan SMS Corner:

WAWANCARA BERSAMA TERAJU PUTERA UMNO BANYAK YANG BOLEH DIPERTIKAIKAN

Dalam laman web Agendadaily di http://www.agendadaily.com dimuatkan wawancara eksklusif bersama Ketua Putera Umno yang baru ditubuhkan iaitu Abdul Azeez Abdul Rahim. Putera Umno, iaitu Biro dari Pergerakan Pemuda Umno ini diberikan tugas menawan anak-anak muda sekitar 18 hingga 25 tahun dan mereka ini mahu dilatih dan diberikan pendedahan agar menjadi instrument kearah mencapai cita-cita Malaysia maju pada tahun 2020.


Menurut seorang sumber yang menghubungi kami sebahagian besar dari jawapan Azeez terhadap wawancara ini adalah bohong dan palsu belaka. Menurut sumber tadi sesiapa yang tidak mempercayainya bolehlah melakukan siasatan sendiri samada melalui pendaftar syarikat ataupun mana-mana pihak yang berkaitan.

Beliau memberi contoh Azeez ada berkata:

Itulah mulanya saya berjaya sehinggalah saya dapat jual kereta pada mat salleh dan saya ada 7 showroom . Saya ada di tapak Giant Kelana Jaya sekarang, jalan Kelang Lama dan dalam Subang Parade, itu ada jual kereta mewah.

Di dalam Subang Parade tidak ada showroom kereta. Kalau ada pun berkala pada musim-musim tertentu, tidak ada showroom yang kekal. Takkanlah Azeez nak mendakwa showroom seumpama itu sebagai sebahagian dari kononnya 7 showroomnya itu.

Satu lagi pembohongan yang lebih serius (dalam wawancara itu) adalah:

Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri

Menurut sumber syarikat tersebut bukannya milik Almarhum Sultan Selangor, tidak masuk akal Almarhum Tuanku memiliki sebuah syarikat sedemikian rupa. Barangkali pemilik lesennya adalah kerabat di raja Selangor tetapi BUKAN Almarhum Sultan, mengapa Azeez menjual nama Almarhum dalam hal ini? Dan Azeez tidak pula memberitahu yang syarikat itu kemudiannya telah beliau jual dan kini pemiliknya bukan lagi beliau!

Dan lebih serius lagi Azeez mendakwa:

Sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di Amerika

Menurut sumber Azeez tidak pernah memasuki mana-mana universiti di Amerika apalagi berjaya mendapatkan ijazah sarjana di sana.

Dalam wawancara ini Azeez turut berkata:

Sesuatu yang salah tetap saya kata salah, haram tetap haram halal tetap halal prinsip saya jelas, saya tidak mahu kerana kawan saya nak pusing cakap, itu saya tak mahu! Bagi saya apa mak cakap adalah benar belaka.

Dan dalam hal ini berdasarkan kenyataan sumber sebagaimana yang telah dinyatakan, tidaklah salah kalau kita mula meragui kenyataan Azeez di atas. Kalau yang salah itu benar-benar salah, maka banyak yang perlu diperbetulkan oleh Azeez dan sedih melihatkan Umno akan menyerahkan nasib anak-anak muda kepada seorang yang kredibilitinya sangat-sangat dipertikaikan.

Kesimpulannya renunglah apa lagi kata Azeez dalam wawancara itu:

Pak Lah ke sana sini menyebut Islam Hadhari, yang faham siapa, ketua bahagian pun ada yang tak faham, apatah lagi akar umbi, jadi peluang yang berikan pada saya ini akan dipergunakan dengan sebaik-baiknya, saya akan pergi ke akar umbi untuk menterjemahkan apa itu mari bekerja bersama saya bukan untuk saya.

Posted by roslan sms at 11:05:00 PM 0 comments


Atas permintaan ramai dan sempena PRK Bagan Pinang, berikut saya terbitkan kembali posting saya bertarikh 4 Ogos 2005: (http://n32.blogspot.com/2005/08/ketua-putera-umno-bukan-samseng.html)
Ketua Putera Umno bukan samseng jalanan tetapi .......

Pada 21 Jun lalu saya ada memuatkan dalam blog saya (http://n32.blogspot.com/) ulasan berkenaan temuramah Ketua Putera Umno Azeez Abdul Rahim dalam Agendadaily (http://www.agendadaily.com/). Dalam ulasan saya itu saya mengenengahkan maklumat yang diterima dari sumber yang boleh dipercayai berkenaan jawapan dan ulasan Azeez dalam temuramah itu.

Menurut sumber tadi kebanyakan maklumat yang diberikan Azeez dalam temuramah itu samada telah diselewengkan atau palsu ataupun pembohongan.

Saya terbitkan kembali ulasan saya itu:

Menurut seorang sumber yang menghubungi kami sebahagian besar dari jawapan Azeez terhadap wawancara ini adalah bohong dan palsu belaka. Menurut sumber tadi sesiapa yang tidak mempercayainya bolehlah melakukan siasatan sendiri samada melalui pendaftar syarikat ataupun mana-mana pihak yang berkaitan.

Satu lagi pembohongan yang lebih serius (dalam wawancara itu) adalah:Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri.

Menurut sumber syarikat tersebut bukannya milik Almarhum Sultan Selangor, tidak masuk akal Almarhum Tuanku memiliki sebuah syarikat sedemikian rupa. Barangkali pemilik lesennya adalah kerabat di raja Selangor tetapi BUKAN Almarhum Sultan, mengapa Azeez menjual nama Almarhum dalam hal ini? Dan Azeez tidak pula memberitahu yang syarikat itu kemudiannya telah beliau jual dan kini pemiliknya bukan lagi beliau!


Dan lebih serius lagi Azeez mendakwa:sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di AmerikaMenurut sumber Azeez tidak pernah memasuki mana-mana universiti di Amerika apalagi berjaya mendapatkan ijazah sarjana di sana.

Pihak Agendadaily telah membuat temuramah susulan dengan Azeez barangkali ekoran perkembangan ini (atau barangkali agendadaily pun menerima maklumat yang sama). Jelas kenyataan Azeez kali ini semakin mengeruhkan keadaan malah hampir mengesahkan maklumat yang diperolehi dari sumber itu dan banyak lagi yang masuk setelah berita Azeez ini dibawa kepengetahuan umum.

Azeez tidak menafikan yang beliau banyak terlibat dengan kes-kes di mahkamah yang ada diantaranya masih belum diputuskan apabila beliau berkata dalam temuramah kali ini:

Dalam bab ada orang dakwa saya ada kes mahkamah …memang betul. Siapa saja yang berminat nak tahu sangat betul tak betul boleh pergi check kat mahkamah..memang dulu waktu zaman saya mula berniaga.. memang ada unsur-unsur dalam perniagaan… kata saya nak tembak orang dan sebagainya.

Selain itu dalam penjelasan beliau kepada Agendadaily Azeez tidak menyentuh langsung berkenaan syarikat Wilayah Arms yang didakwanya dibeli dari Almarhum Sultan Selangor (dalam temuramah pertama). Berdasarkan rekod Almarhum Tuanku memang TIDAK PERNAH memiliki mana-mana lesen mengedar ataupun menjual senjat api!

Manakala berkenaan ijazah Masters yang didakwanya diperolehi beliau di Amerika Syarikat (yang dinafikan oleh kenalan-kenalan rapat beliau) Azeez berkata dalam temuramah baru ini:

Pasal ada orang bawa mulut kata saya tak ada kelulusan universiti luar negara kata saya temberang dan sebagainya.

Itu terpulanglah..kalau saya tak ada mana mungkin saya berani nak bubuh kelulusan itu dalam biodata saya.

Universiti saya belajar bukan universiti yang kolot..itu antara universiti tertua di Amerika iaitu Preston University di Wyoming,Amerika Syarikat.

Tak kan saya masuk universiti balik kosong, mustahil, lainlah kalau universiti negara-negara kita tak percaya kesahihhannya, ini semua ada rekod.

Tak mungkin saya nak bohong, apa tujuan saya nak bohong.

Akan tetapi penjelasan ini sahaja sudah merupakan satu pembohongan baru!

Jeff Ooi pemilik blog SCREENSHOTS (http://www.jeffooi.com/) telah membuat kajian berkenaan Preston University ini sebagaimana yang didakwa Azeez dan Jeff mendapati:

Preston University of Wyoming - which was established in 1994, and held its first graduation ceremony in 1997 - is ONE OF THE OLDEST UNIVERSITIES IN THE US?

Bagaimana Universiti yang ditubuhkan pada tahun 1994 (baru 11 tahun) itu boleh dikatakan oleh Azeez sebagai ANTARA UNIVERSITI TERTUA DI AMERIKA SYARIKAT!

Apa pun penjelasan Azeez ini makin menimbulkan pelbagai lagi kecelaruan dan kesangsian terhadap kewibawaan dan status beliau sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya memimpin golongan muda, genarasi pelapis dalam Umno. Kemungkinan Azeez bukan lah samseng jalanan (sebagaimana tajuk temuramah susulan beliau dalam agendadaily), kerana hanya seorang samseng profesional sahaja sebenarnya yang mampu melakukan semua yang diatas!

Selamatkanlah anak-anak anda dari terjebak di dalam Putera Umno ini.

Sunday, October 11, 2009

ADAKAH PERATURAN BARU ELAK PROVOKASI?

(Sembang Ahad)

Tidak bolehkah kalau tidak ada provokasi dalam pilihan raya?

Tiada maknanya pada hari penamaan calon, ketika kempen dan pada hari pembuangan undi, penyokong parti dibenarkan berada berhampiran pusat-pusat berkenaan tetapi sebaliknya berlaku pergaduhan.

Menyedih dan memalukan kerana ia berlaku sesama Melayu dan sesama saudara seIslam. Tidak tahulah kalau PAS menganggap penyokong UMNO bukan-Islam.

Kita masih ingat pada dan 1980an ada yang mati dihentak dengan batu jokong dan tidak kurang pula yang berdarah dan bengkak-bengkak kerana sepak terang dan sebagainya.

Jadi adalah baik kalau kerajaan memikirkan mengadakan peraturan baru menyekat perhimpunan sedemikian untuk mengelakkan provoksi berlaku.

Pilihan raya bukan untuk menyebabkan orang luka dan berdarah. Pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.

Biarlah ia berlaku dengan aman dan tenteram. Namun ternyata pilihan raya kecil Bagan Pinang penuh dengan provokasi – sejak hari penamaan calon lagi.

Provokasi ini kebanyakannya dilakukan oleh penyokong PAS. Buktinya? Menurut laporan media;

1. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta penulis portal Malaysian Insider dan Harakah Daily diminta beri keterangan tentang dakwaan mengelirukan kononnya penyokong parti itu cedera diserang ahli UMNO.

2. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, gambar mangsa yang ditunjukkan Salahuddin dan disiarkan dalam portal berbeza dengan orang yang membuat laporan polis.

3. Tiada siapa yang tampil membuat laporan polis mengatakan cedera teruk ditetak ‘pedang samurai’.

4. Salahuddin semalam gagal tunjukkan bukti salinan laporan polis atau nama lelaki yang ‘cedera’ ditetak.

5. Ia hanya satu salinan laporan polis seorang penyokong PAS yang mendakwa keretanya dihalang oleh petugas BN.

6. Laman web Harakah sendiri telah menarik balik berita itu.

Jika diteliti kembali, ada tiga perkara mengenai Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Bagan Pinang, Salahudin Ayub.

Pertama dialah yang mendakwa kononnya Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim bohong;

Kedua, dia mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah; dan

Ketiga, dia mengaku menyebarkan gambar petugas PAS sebagai untuk menyatakan ia ‘benar-benar berlaku dan bukan direka-reka’.


Salahuddin juga menegaskan pihaknya bertanggungjawab penuh dengan kenyataan mereka dalam sidang media yang mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah.

"Saya bertanggungjawab penuh dengan penyebaran gambar itu dan memang ia benar-benar berlaku bukan direka-reka," kata Salahudin kepada Harakahdaily semalam.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin telah memberikan keterangan di bawah seksyen 112 (keterangan saksi) di Balai Polis IPD Port Dickson jam 6.45 petang semalam.

Polis meminta Naib Presiden Pas itu, serta penulis portal berita Malaysian Insider dan Harakah Daily tampil memberi keterangan berhubung dakwaan yang mengelirukan kononnya penyokong parti itu dikasari dan diserang oleh ahli UMNO hingga cedera.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, dalam blog berkenaan Salahuddin telah memegang sekeping gambar berkaitan kejadian itu dengan gambaran kecederaan yang teruk ke atas mangsa.

Tetapi kata beliau, gambar mangsa cedera yang ditunjukkan oleh Salahuddin dan disiarkan dalam kedua-dua portal berita itu berbeza dengan orang yang dilaporkan kepada polis.

''Pihak polis telah pun membuat siasatan awal dan setakat ini tiada siapa yang datang mengatakan beliau telah dipukul begitu teruk keadaannya.

''Polis ada menerima laporan dan membuka siasatan dan pihak polis sendiri telah menghantar mangsa ke hospital dan beliau telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Tak ada kesan darah pun. Hanya lebam-lebam saja. Orang itu juga orang lain, bukan yang dalam gambar itu.

"Nama yang disebut sama tetapi gambar memang berbeza. Kalau betul orang itu ada, datanglah buat laporan," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal (Martek) PDRM semalam.

Osman berkata, kenyataan yang dibuat itu mengelirukan orang ramai dan mereka terdorong untuk mempercayainya.

Katanya, polis telah berhubung dengan Salahuddin tetapi sehingga hari ini pemimpin Pas itu gagal berbuat demikian.

Polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 111 Kanun Perkara Jenayah.
Beliau juga mengesahkan gambar yang disiar oleh Harakah Daily itu tidak sama dengan individu yang terlibat, hanya nama sahaja yang sama.

Osman turut menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengelirukan orang ramai dan mencetuskan keadaan huru-hara.

''Polis akan mengesan individu yang memulakan SMS ini dan akan mengambil tindakan. Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai," katanya.

Pada sidang akhbar sama, polis memberi amaran supaya mana-mana parti tidak membina struktur seperti khemah yang digunakan untuk meraih undi.

''Kita akan ambil tindakan jika ada pihak yang cuba menakutkan pengundi pada 11 Oktober ini dan menghalang mana-mana pengundi yang layak.

''Pihak polis akan memeriksa kenderaan yang memasuki laluan di Bagan Pinang ini dan menahan mana-mana pihak yang membawa senjata berbahaya," kata Osman.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zaki Masroh berkata, pihaknya menerima 66 laporan sepanjang pilihan raya kecil ini berlangsung.

''Daripada jumlah itu, 22 sedang disiasat dan tiada tangkapan dibuat. Baki 44 laporan itu, polis sedang meneliti dan ada yang tidak diambil tindakan contohnya bendera hilang tetapi kemudian ditemui semula," katanya.

Beliau memberitahu, tiada kes yang dilaporkan itu disiasat di bawah Akta Hasutan tetapi di bawah Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Mesin Cetak.

''Daripada 22 laporan itu, 10 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Seremban untuk mendapatkan nasihat," jelasnya.

ISA SAMAD MEMANG LAYAK

Mengenai Tan Sri Mohd Isa Samad ini, saya tidak perlu memperkatakan banyak untuk beliau.
Namun, saya ingin mengajak pembaca kepada satu kenyataan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO DI Paris pada 4 Oktober lalu iaitu Mohd Isa telah menjalani hukuman berat di atas kesalahannya dalam parti.

Dan dia dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang kerana beliau mampu memenangi kerusi itu serta popular di kalangan masyarakat kawasan itu.

Itulah tiga faktor besar. Saya ulangi – beliau sudah menjalani hukuman, popular di kalangan penduduk serta mampu menang.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata pertimbangan pilihan raya kecil, parti akan memilih calon yang mampu berkhidmat di satu-satu kawasan dengan berkesan, popular, diterima masyarakat serta kepimpinannya dikehendaki.

Jadi bohonglah mereka yang menuduh kononnya pemimpin tertinggi menolak Mohd Isa, malah Pengerusi BN dan Presiden Umno mengatakan Mohd Isa telah dikenakan tindakan di atas kesalahannya termasuk kehilangan jawatan Menteri dan Naib Presiden namun masih setia kepada parti serta bekerja keras untuk parti walaupun tidak berjawatan.

Jelas Mohd Isa hanya melakukan kesalahan teknikal parti dan bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara.

Sebaliknya ada orang sudah mencemarkan maruah negara serta bersalah di mahkamah tetapi tetap menjadi pujaan pembangkang.

Jelas, Mohd Isa wajar diterima rakyat dan dia mampu memberikan sepenuh khidmat! Tiada orang lain selain Mohd Isa untuk Bagan Pinang.

Tan Sri Isa Samad Untuk Bagan Pinang!

Oleh dukeofmontecristo (mykmu.net)

Beliau di dapati bersalah. Beliau akur. Beliau digantung keahlian 3 tahun. Beliau akur. Beliau dicemuh, dihina dan diumpat, pun beliau akur. Beliau "berehat" dan menerima hukuman dunia dan masyarakat dengan sikap zuhud dan insaf.

Beliau tidak pun cuba untuk menonjolkan diri sepanjang tempoh "rehat"nya. Namun begitu, beliau tetap aktif sebagai insan yang berpegang kuat pada semangat dan jiwa UMNO yang tebal di dalam dirinya.
Beliau tidak cepat "melatah" atau "merajuk" melompat ke arah parti lain, jauh sekali menubuhkan parti lain ataupun "memijak" bendera UMNO. Beliau tetap kukuh berjiwa UMNO, demi Islam, bangsa dan tanahair.

Siapa yang tidak melakukan kesalahan atau kesilapan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Namun, Allah juga punya sifat Maha Pengampun kesilapan dan kesalahan hambaNya. Di dalam Islam juga punya perkataan "taubat", tanda penyesalan dan berazam tidak mengulanginya kesilapan yang lampau. Tan Sri Isa Samad. Insan inilah yang dimaksudkan.

Teguh sungguh jiwanya kepada perjuangan "alif, ba, ta" UMNO. Dikala dia di dalam tempoh "cuti"nya, dirinya tetap sebok berjuang dan berkhidmat kepada masyarakat setempat. Di atas keikhlasan dan jasa juangnya kepada masyarakatlah, maka beliau disukai dan dipuji oleh masyarakat sekitarnya.

Penduduk tempatan di Teluk Kemang pastinya terkilan jika "wakil rakyat tidak rasmi"nya ini tidak terpilih untuk menjadi calon "wakil rakyat rasmi" di Bagan Pinang. Sehubungan itulah maka mereka sebulat suara mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagi calon pilihan mereka.


Itulah kehendak rakyat setempat di Teluk Kemang, khususnya Bagan Pinang. Dikhabarkan bahawa, beliau bukan sahaja menjadi pilihan ahli-ahli UMNO di Bahagian Teluk Kemang, malah Tan Sri Isa juga menjadi pilihan rakyat "atas pagar", bahkan pengundi pembangkang juga secara diam-diam "meminati" Tan Sri Isa. Itulah pilihan rakyat setempat.


Tidak dinafikan bahawa ada juga pandangan dan suara dari luar Bagan Pinang yang tidak "favor" kepada pencalonan Tan Sri Isa Samad. Malah ada juga pemimpin UMNO, bekas pemimpin UMNO dan blogger-blogger pro-UMNO yang tidak bersetuju dengan pencalonan Tan Sri Isa.
Saya berterima kasih banyak kepada pandangan mereka mengenai isu ini.

Memang benarlah pandangan mereka itu. Namun mereka tidak boleh menghukum seseorang itu hanya keran melihat sesuatu kesalahan yang pernah dilakukan oleh individu tersebut.
Individu itu telah menerima hukuman setimpal dan beliau juga sudah insaf.

Tiadakah tempat untuk seseorang seperti itu untuk menjadi pemimpin? Bukankah Saiyidina Umar Al-Khattab juga asalnya kafir dan pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup ke perut bumi sehingga mati.

Jika benar tiada tempat untuk insan yang pernah berdosa besar seperti itu untuk berperanan sebagai pemimpin, mengapa beliau diangkat sebagai salah seorang Khulafa' Ar-Rashidin yang dijamin syurga.
Apakah Tan Sri Isa tidak boleh diterima sebagai pemimpin walaupun beliau sudah bertaubat dan insaf? Saya menerima khabar bahawa sebelum disahkan pencalonan calon untuk Bagan Pinang oleh UMNO, Tan Sri Isa Samad begitu aktif turun ke lapangan akar umbi di seluruh Bagan Pinang.

Beliau meminta dan merayu supaya semua ahli UMNO dan rakyat setempat tanpa mengira parti agar memilih calon pilihan UMNO/BN sebagai wakil rakyat mereka. Beliau ketika itu langsung tidak menyentuh mengenai pencalonan dirinya.
Beliau sendiri secara peribadinya tidak sedikit pun melobi untuk menjadi calon.

Malah menggesa agar semua penyokong BN agar menerima calon pilihan Presiden UMNO dan MT kerana pastinya pucuk pimpinan akan memilih calon yang "mengutamakan rakyat" dan "mementingkan prestasi KPI perkhidmatannya kepada rakyat". Beliau begitu ikhlas dan tulus berjuang demi Parti "sebenar" yang menjadi "Pembela Rakyat" ini.


Saya faham. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan dan tulisan saya kali ini. Saya hormati pandangan yang bertentangan, namun saya yakin dengan pilihan saya kali ini. Saya yakin dengan pandangan saya sebagai insan yang tidak terlepas dari salah dan silap.

Saya yakin dengan pilihan saya kerana saya tahu bahawa manusia juga mampu berubah kepada sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya.

Dan saya yakin dengan pilihan saya kerana pilihan ini adalah pilihan rakyat pengundi-pengundi di Bagan Pinang dan bukan pengundi dari "luar kawasan" yang hanya "suka komen itu tak betul, ini tak betul". Apa-apa pun, fikir-fikirkanlah...