Monday, May 4, 2009

DR ZAMBRY, BN GUNA BOMOH?

Nak cakap pun susah, tak nak cakap pun susah.

Memalu dan mencemarkan Islam. Membimbangkan, jika belasah teruk, ‘Cina-Islam’ akan terasa!

Kenapa pula Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Barisan Nasional (BN) dituduh menggunakan ‘bomoh’?

Apakah ini taktik PAS untuk menyatakan yang ia bersih dan Dr Zambry dan BN mengamalkan taktik kotor dan melanggar ajaran Islam?

Apa peranan ulamak dan pemimpin kanan parti PAS mendisiplinkan wakil rakyatnya supaya mengelakkan kenyataan yang boleh menyebabkan terjejasnya maruah Islam?

Amat tidak wajar ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim mengatakan Menteri Besar Perak itu membenarkan bangunan Dewan Undangan Negeri dimasuki oleh 'bomoh' untuk menjampi kerusi Speaker DUN.

Memburukkan keadaan beliau mengheret dengan mendesak Mufti Perak supaya mengeluarkan fatwa berhubung perkara berkenaan.

Berikutan itu, dilaporkan Dr Zambry berkata beliau telah membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di balai polis Kampung Rapat, Ipoh.

Sewajarnya wakil rakyat Titi Serong yang beragama Islam tidak menuduh seorang lagi ‘sahabat Islamnya’ melakukan perkara syirik yang dimurkai Allah.

Kerana itu wajar sekali Dr Zambry menyifatkan tindakan itu berniat jahat dan cuba menanam serta mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap beliau dan BN dalam keadaan di mana DUN akan bersidang Khamis ini.

"Penipuan ini tidak boleh dibiarkan. Saya telah banyak bersabar termasuk dengan ceramah-ceramah yang dijalankan mereka yang melemparkan fitnah dan tuduhan tidak berasas tetapi kenyataan media pagi tadi satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap ADUN tersebut yang turut mengheret Mufti Perak yang sebelum ini dihina oleh pembangkang dalam entri berkenaan.

Memang wajar kalau Menteri Besar Perak itu membuat laporan polis dan berniat mengambil tindakan undang-undang terhadap Khalil Idham Lim yang didakwa membuat tuduhan melampau kepada beliau dan BN.

Dr Zambry berkata tuduhan melampau dan keterlaluan itu turut disiarkan dalam laman blog milik Khalil Idham di idhamlim.blogspot.com, lapor Bernama.
Beliau menulis dalam blognya itu dengan tajuk 'Saya ada bukti bomoh ke DUN Perak' dengan mengatakan:

“Seorang wakil rakyat PAS – yang mendakwa menteri besar BN membawa masuk bomoh ke DUN sebelum persidangan penting, Khamis ini – berkata beliau mempunyai “bukti” berhubung dakwaannya itu.

ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim menambah, beliau bersedia memberikan keterangan berhubung kenyataannya itu yang diadukan kepada polis oleh Datuk Zambry Abd Kadir semalam.

"Mustahil saya tidak bersedia memberikan keterangan. Saya keluarkan fakta, takkan saya hendak lari daripada memberikan keterangan.

"Kita ada bukti yang diberitahu (oleh) sumber tertentu. Maka saya buat kenyataan (kepada media)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bagi Dr Zamri, tindakanitu menjijikkan, memualkan dan tidak mempunyai prinsip agama dengan membuat tuduhan keterlaluan dan melampau.

Kata Dr Zambry, "Saya tidak boleh bertolak ansur dan tindakan ini sangat tidak bertanggungjawab kerana dia (Khalil Idham) juga merupakan seseorang yang memegang 'Yang Berhormat' ditambah lagi 'orang agama' yang sepatutnya tahu hukum-hakam agama," kata Zambry.

Persoalannya, apakah Khalil Idham sanggup melakukan apa sahaja, termasuk agama untuk memburukkan pemimpin lawan?

Jika inilah caranya, maka Islam sudah diperguna dan lebih buruk menjatuhkan maruah Islam dan penganutnya hanya kerana memenuhi agenda politik.

Rakyat biasa – Islam dan bukan Islam – sewajarnya menolak orang politik seperti ini, termasuk parti yang diwakilinya kerana orang yang sanggup mempermainkan agamanya sudah pasti sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan kedudukan politiknya.

Sunday, May 3, 2009

SEGERA DAKWA PENGHANTAR SMS UGUT BUNUH

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu memohon pihak Polis Di Raja Malaysia
( PDRM ) supaya dengan segera menahan dan mendakwa individu yang terbabit dalam kes ugutan bunuh melalui Sistem Pesanan Ringkas ( SMS ) terhadap tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) UMNO / BN .

Seharusnya suara daripada Pemuda UMNO Terengganu juga patut kedengaran kerana kes ugut itu menyebabkan ‘berkocaknya politik Terengganu” walaupun sementara.

Selain laporan polis terhadap sebuah blog, nampaknya Pemuda UMNO Terengganu seakan membisu dan ‘keliru’ dengan kejadian yang menimpa.

Menurut sebuah laman web dengan posting bertajuk “Kes Ugut Bunuh Melalui SMS - Polis Diminta Percepatkan Siasatan”, hari ini, “Rakyat Terengganu masih menunggu-nunggu keputusan hasil siasatan tindakan jenayah tersebut”.

AMK hairan mengapa kes SMS ugut bunuh yang berlaku lebih dua minggu lalu tidak dapat diselesaikan dengan segara.

“PDRM memiliki teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih, boleh menyiasat kes-kes melibatkan teknologi maklumat seperti blog dan email, “ katanya.

Laporan yang memetik Ketua AMK, Fariz Musa hari ini, berkata, “Dalam kes penghinaan terhadap Sultan Perak melalui laman web baru-baru ini PDRM boleh menyelesaikannya dengan cepat dan segera, takkan kes SMS lambat,”.

Beliau menganggap kes ugut tersebut adalah sangat serius dan memohon pihak PDRM bertindak profesional dalam melakukan penyiasatan dan tidak terpengaruh dalam permainan politik mana-mana pihak.

Justeru sepatutnya SMS ugut bunuh itu, katanya, boleh dikesan dengan melihat rekod penghantaran SMS tersebut melalui pusat SMS.

Katanya, walaupun mungkin kes dikategorikan sebagai kes berprofil tinggi yang melibatkan individu-individu penting dalam UMNO / BN Negeri Terengganu, beliau memohon agar PDRM bertindak telus dan profesional tanpa dipengaruhi dan campurtangan politik mana-mana pihak.

“Baru-baru ini pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mendedahkan kepada umum penahanan seorang kerani syarikat swasta untuk membantu penyiasatan, difahamkan bahawa kerani syarikat swasta tersebut telah pun dibebaskan,”ujarnya

Beliau yakin dan percaya terdapat "dalang utama" disebalik penghantaran SMS berbentuk ugutan bunuh itu.

Katanya beliau turut yakin individu tersebut sudah pasti sedar bahawa tindakan beliau adalah berisiko tinggi , boleh dikesan , serius dan akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Dengan keadaan begitu, saya berpendapat, individu tersebut tidak akan berani bertindak sedemikian, tanpa diarah dan dijanjikan dengan jaminan keselamatan beliau,”katanya yang ditemui Buletinonline samalam.

Menurutnya, PDRM yang mempunyai kecekapan dan kehebatan serta mempunyai teknologi yang canggih sepatutnya berupaya menyelesaikan kes tersebut dengan segera.

BLOGGER TERENGGANU DISIASAT POLIS

Jeng jeng jenggg…ada blog di Terengganu yang dikatakan memburukkan pemimpin parti (UMNO) kini disiasat polis. Blok siapa ya?

Yang membuat laporan itu ialah Pemuda UMNO Bahagian Kemaman. Ketua Penerangannya, Halim Sulong di Balai Polis Kemaman pada pukul 10.30 pagi 29 April lalu.

Saya tidak kesempatan membaca laporan itu dalam akhbar Utusan Malaysia tetapi membacanya melalui blog jaranganakmelayu ( saya menyebut nama blog ini bukan untuk tolong promo tetapi mempunyai sebab tersendiri. Penggendalinya jangan berasa seronok pula!)

Menurut blog berkenaan:

KHAMIS, APRIL 30, 2009 YANG DILAPORKAN (3) …Pemuda UMNO buat laporan terhadap artikel laman blog

KEMAMAN 29 April - Pemuda UMNO Bahagian Kemaman membuat laporan polis berhubung satu artikel dalam sebuah laman blog yang memburukkan kepimpinan parti. Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangannya, Halim Sulong di Balai Polis Kemaman pada pukul 10.30 pagi.

Halim berkata, Pemuda UMNO Kemaman meminta pihak berkuasa membuat penyiasatan terperinci berhubung artikel tersebut yang turut menghina Istana Terengganu.

''Mereka yang bertanggungjawab perlu dikenakan hukuman setimpal kerana artikel itu berbau hasutan,''' ujarnya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berkenaan. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes itu kini dalam siasatan polis.

Saya berusaha mendapatkan salinan laporan polis tetapi masih gagal dan mungkin sehari dua lagi bolehlah melihat sendiri laporan berkenaan dan kepada siapa laporan berkenaan ditujukan.

Saya nak tulis banyak-banyak bimbang kerana “hari ini hari orang, mungkin esok hari saya pula”.

Saya tidak mahu cerita panjang mengenai laporan polis kerana ia akan menjejaskan siasatan jika saya panjang-panjang bercerita.

Apa pun, ingin memetik semula tulisan blog jaranganakmelayu mengenai saya yang disiarkan pada hari akhir tahun 2008 lalu. Ikuti tulisan dalam blog berkenaan:

RABU, DISEMBER 31, 2008

YANG DILANTIK : TAHNIAH

Selamat tahun baru.

Esok 1 Januari 2009. Esok juga (terpengaruh dengan majlis PAS esok) Menteri Besar Terengganu akan melancarkan ‘pusat media’ sebagai penyelaras kepada gerakan media sepanjang pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu.

Orang yang akan menerajui pusat media yang akan beroperasi kurang lebih 17 hari ini sudah dikenal pasti. Asalnya dari Kelantan. Jawatannya entahlah, Cuma boleh diletakkan mungkin sebagai Pengarah Operasi Pusat Media PRK P36 Kuala Terengganu (kemaskini : Pengarah Jawatankuasa Media di Pejabat MB).

Dia akan dibantu oleh beberapa orang lagi yang juga telah dikenal pasti oleh Pengarah Operasi itu sendiri. Salah seorangnya dipinjamkan daripada agensi kerajaan persekutuan dan pernah menjadi Pengarah agensi berkenaan di negeri Terengganu (juga asalnya dari Kelantan).


Hal ini patut amat kita rakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar dan tahniah kepada yang telah dilantik, terutamanya tahniah yang sebesar-besarnya kepada saudara Hambali Abd Latiff yang dipilih MB sebagai ‘Pengarah Operasi’. Seramai itu manusia media di atas bumi bertuah ni, saudara Hambali juga menjadi pilihan.

Rezeki. Rezeki kan di tangan Tuhan.
Memang pun Hambali bukan orang baru dalam media. Sebelumnya beliau pernah menjadi pensyarah dan wartawan, pengarang berita serta pengarang akhbar dan TV sepenuh masa. Pernah bekerja di Berita Harian, Harian Metro, Harian Watan, NTV7 & RTM. Pernah menang anugerah Kajai 1983 dan Anugerah Karya Bangsa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 1984. Sejak tahun 1998, Hambali bekerja sendiri. Hambali lahir pada 14 Oktober 1954 di Pasir Puteh, Kelantan. Membesar dan bersekolah rendah dan menengah di Besut, Terengganu (kira orang Terengganulah tu). Beliau adalah lulusan sains politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Sekarang menetap di Selangor.

Kerana kehebatan Hambali itulah MB melantik beliau. Ditambah MB seorang pemimpin yang memang mengenang budi. Hambali khabarnya pernah menjadi pensyarah/tutor kepada MB semasa belajar di USM. Sekaranglah masanya membalas budi gurunya itu. MB telah bertindak bijak. Berfikiran terbuka, walaupun khabarnya pernah disarankan untuk tidak mewujudkan pusat media seumpama ini kerana Kuala Terengganu sudah menjadi pejabat utama semua media massa dan elektronik.

Semua surat khabar besar dan kecil, termasuklah surat khabar rasmi PAS, Harakah ada pejabat cawangannya di Kuala Terengganu. Selain itu, banyak lagi sebab mengapa tidak perlunya pusat media seperti yang dicadangkan itu, termasuk yang utama dan jelasnya, akan terselamatlah duit rakyat.

Namun suara siapa yang kerdil itu untuk mencadangkan kepada MB?
MB cukup terbuka. Tidak taksub kenegerian. Beliau tak kesah orang mana yang hendak dilantik, asalkan orang itu, baginya boleh bekerja. Bukan Hambali seorang orang bukan anak negeri yang dilantik MB. Sebelum ini pun dah ramai.

MB juga bukan tidak ambil hal soal pengorbanan dan jasa orang. Beliau amat prihatin. Kerana itu beliau melantik sesiapa saja termasuk Hambali untuk pegang jawatan-jawatan penting walaupun mereka itu ‘tidak ada sesen saham’ pun kepada politik negeri Terengganu.
MB amat kenal yang mana kaca yang mana permata.

Anak Terengganu atau yang sudah lama terlibat dengan media di Terengganu tidak sehebat Hambali. Semuanya cap ayam. Ramai yang sekolahnya pun tamat SPM saja, tapi lagak saja lebih. Setakat boleh anugerah Kawat tu tak payah nak berlagaklah, Hambali dapat anugerah Kajai lagi. Lagi pun kerja jaga pusat media nin bukannya senang, lebih susah daripada kerja tampal poster dan panjat tiang pasang poster lagi. Alang-alang orang jangan nak cuba buat kerja nin.

Wartawan tua, wartawan pencen atau wartawan yang ada di Terengganu hari nin, seorang pun tak layak. Mereka hanya layak jadi gurkha jaga markas pos pilihan raya saja.
Kelab Wartawan Terengganu pun khabarnya tidak dilibatkan dengan pusat media nin. Betul dan tepat keputusan tu. Apa benda Kawat tu? Kawat duri ke? Kalau kawat duri memang patut pun tak dilibatkan kerana menyusahkan orang saja. Nanti tercucuk situ tercucuk sini, tak senang duduk sesetengah orang. Tak ada Kawat pun tak jadi kudis gatalnya. Siapa orang-orang dalam Kawat?

Daripada Presidennya kepada AJK, semua terdiri daripada orang-orang yang tak boleh dipakai. Menyusahkan dan menghabiskan beras sahaja. Kawat dan wartawan tempatan hanya boleh minta tolong masa kerajaan susah saja. Masa senang dan ada peluang 'masyuk' begini, kenalah jemput orang/wartawan/media luar untuk membantu.
Lagi pun belanja untuk mewujudkan, beroperasinya dan gaji/elaun tenaga kerja di pusat media ini tidaklah tinggi. Cuma sekadar berbelas-belas ribu RM sehari.

Tidaklah besar sangat belanjanya, cuma boleh buat sebuah banglo atau 10 buah rumah murah sahaja. Kecil je tu. Duit royalti kan banyak. Kalau nak dibandingkan belanja operasi pusat media nin dengan jumlah RM seperti tercatat pada replika cek yang Datuk Najib bagi hari tu, baru nilainya sekadar 'di celah gigi’ saja.


Operasinya juga tidak susah-susah nak menyewa ruang premis yang mahal dan ekslusif sangat. Pusat media ini sanggup merendah diri menumpang di pejabat salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu (di hadapan Unit Komunikasi). Sudah jimat belanja sewa premis. Tak jadi hal sebab kerja untuk politik nin bukan atas pejabat kerajaan, cuma pejabat anak syarikat kerajaan sahaja.

Cuma nanti bila dah mula dan berjalan dengan lancar pusat media tu, kalau dirasakan keadaan pejabat tu agak sempit dan rimas, boleh minta keizinan MB untuk guna dewan-dewan besar yang banyak di Wisma Darul Iman. Di situ lebih selesa. Mesti boleh punya. Tak kan Dewan baru di Chukai dan Stadium Negeri Kuala Terengganu MB boleh luluskan untuk digunakan oleh PAS, dewan Wisma Darul Iman nak digunakan oleh pusat media kerajaan, tak boleh. Tak masuk di akal.
Berkait dengan saudara Hambali juga, ada cerita lain yang seronok juga didengar.

Sama ada cerita palsu atau khabar-khabar angin saja, tak tahulah. Tu kena tanya orang lain, bukan saya.
Cerita ‘orang lain’ itu, Hambali mungkin akan dilantik menjadi Pengarah Unit Komunikasi negeri selepas ini. Khabarnya juga, kawan kita yang dah lama memangku Pengarah di situ, yang jatuh bangun dengan unit tu, sampai hari ini belum lagi terima surat sambung kontrak sebagai Timbalan Pengarah. Sedangkan tarikh tamat kontraknya di situ ialah pada hari ini, 31 Disember 2008.

Entah-entah ‘cukup sampai di sini sayang….’
Kalau betul cerita tu molek sangatlah. Hambali memang sesuai dan layak duduk di kerusi tu. Cuma kesian kat kawan kita tu lah. Bertambah reneklah kawan kita tu. Soal gaji Hambali tak perlu bimbang. Kalau orang lain dilantik kontrak dan gajinya dikira mengikut kelulusan dan standard perjawatan jabatan kerajaan, kepada Hambali boleh diurus.

Boleh dilantik ke gred yang tinggi. Jusa B atau C ke misalnya. Mesti kena sama atau hampir sama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri. Baru ada kelas. Tu perkara kecil je. Lagi yang besar daripada itu, MB boleh selesaikan. Bukan MB nak aniaya kawan dan gurunya.
Apa-apa pun, selamat bertugas, selamat beroperasi dan sekali lagi tahniah kepada semua yang terlibat dengan pusat media ini. Semoga wujudnya pusat ini, akan banyak membantu memenangkan sahabat kita Wan Farid. Cuma harap-harapnya, ini bukan kerja ‘budak tingkat 16’ lagi.

DISEDIAKAN OLEH ABDUL MUBIN ISMAIL @ 11:42 PM


Saturday, May 2, 2009

TAHNIAH DATUK RAUF

Tahniah kepada Setiausaha Kerja Umno yang baru, Datuk Abd. Rauf Yusoh.

Memang tanggungjawab yang harus dipikul cukup mencabar terutama selepas tsunami politik yang melanda negara pada pilihan raya umum Mac 2008.
Tetapi oleh kerana Rauf sudah ‘membina rumah di tepi pantai’, beliau tidak boleh lagi takut kepada ombak atau juga gelombang.
Amat jelas, Rauf terpilih untuk membuat pembaharuan, bukan undur (ke belakang).

Banyak pihak menganggap Brigedier Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim terlalu ‘keras’ dan tidak sesuai menggendalikan pentadbiran Ibu Pejabat UMN O.

Menjadi tugas Rauf untuk memulihkan semula hubungan Ibu Pejabat dengan bahagian-bahagian.

Mungkin antara tugas pentingnya ialah menjamin kes-kes tertunggak di bahagian, perlu diatasi segera, walaupun turut membabitkan Lembaga Disiplin dan Jawatankuasa Pengurusan.

Berkuat kuasa Isnin lalu Rauf diberikan tugas mentadbir agar ahli, cawangan, bahagian dan perhubungan selesa dan mesra apabila berhubung dengan Ibu Pejabat UMNO.

Bagi saya UMNO tidak perlu kembali menghayati perjuangan asal bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Ini kerana citarasa dan matlamat perjuangan UMNO seudah banyak berubah. Jika dahulu UMNO hanya dianggotai oleh orang Melayu-Islam, kini sudah ada bukan Melayu dan bukan-Islam.

Selain itu jika dahulu dasar parti dan kerajaan adalah mirip 100 peratus Melayu dan Bumiputera, melalui slogan baru 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, UMNO perlu menyesuaikannya dengan tema baru ini.

Bagaimanapun saya bersetuju dengan Rauf mengenai UMNO sebagai parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, harus berada di landasan perjuangan yang sebenar jika ingin memastikan parti itu terus kekal relevan.

Tepat sekali jika Rauf mengatakan “Kita kena balik kepada rakyat, kita perlu tahu apa yang diinginkan oleh rakyat."

Selain itu jika dahulu dasar parti dan kerajaan adalah mirip 100 peratus Melayu dan Bumiputera, melalui slogan baru 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, UMNO perlu menyesuaikannya dengan tema baru ini.

Bagaimanapun saya bersetuju dengan Rauf mengenai UMNO sebagai parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, harus berada di landasan perjuangan yang sebenar jika ingin memastikan parti itu terus kekal relevan.

Tepat sekali jika Rauf mengatakan “Kita kena balik kepada rakyat, kita perlu tahu apa yang diinginkan oleh rakyat."