Sunday, January 18, 2009

PILIHAN RAYA KECIL WAKAF MEMPELAM PULA?

Kini pertanyaan bermain di kepala, apakah akan ada pilihan raya kecil di DUN Wakaf Mempelam?

Cakap-cakap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut ketika kempen ialah beliau akan meletak jawatan sekiranya menang dalam pilihan raya kecil semalam (17 Januari 2009) bagi P036.

Difahamkan, jentera UMNO Terengganu khususnya, bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan jika dilangsungkan.

Sebenarnya, ada opsyen bagi BN iaitu tidak bertanding untuk tidak terperangkap dengan taktik PAS.

Bertanding memerlukan wang dan tenaga. Jika kalah akan lebih menjatuhkan moral UMNO dan BN.

Sebelum ini pendapat supaya tidak bertanding di Permatang Pauh tidak dipedulikan. Sekiranya tidak berlaku sesuatu yang menguntungkan UMNO dan BN di Wakaf Mempelam, akan semakin punahlah imej UMNO dan BN.

BN tidak rugi apa-apa kalau tidak bertanding di Permatang Pauh dan Wakaf Mempelam dalam konteks kerusi dan moral. Kekalahan akan menjatuhkan lagi imej UMNO dan BN di mata rakyat.

Ketika ini BN menguasai 24 kerusi DUN dan PAS, lapan.

Sumber PAS berkata, parti itu bersetuju dengan cadangan Wahid Endut sebagai usaha memperbanyakkan pemimpin negeri sebagai persediaan PAS menawan Terengganu.

Walaupun ia tidak memberi sebarang kesan kepada Barisan Nasional (BN) negeri yang membentuk kerajaan tetapi kemenangan moral bagi PAS memberikan kesan baik kepada parti itu.

Di Parlimen, BN kehilangan satu lagi kerusi Parlimen apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh semalam gagal memenangi kerusi Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil yang diadakan hari ini.

Sebelum ini, BN kehilangan dua kerusi Parlimen apabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil tindakan keluar dari gabungan tersebut.

Dengan itu, BN kini mempunyai 137 kerusi di Parlimen. Ekoran kemenangan hari ini, PAS pula kini mempunyai 23 kerusi Parlimen.
Dalam pilihanraya kecil semalam, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi.

Beliau mendapat 32,883 undi manakala Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Dengan itu, pembangkang kini mempunyai 82 kerusi Parlimen dan tiga calon bebas - Datuk Ibrahim Ali dan dua ahli Parlimen SAPP.

Selepas pilihanraya umum lalu, BN memenangi 140 kerusi Parlimen, PKR (31 termasuk kerusi PSM), DAP (28) dan PAS (22).

Segala-galanya dah terjawab

Kemenangan calon Pas Mohd Abdul Wahid Endut pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan memperolehi 32,883 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meraih 30,252 undi selepas kesemua 144 peti undi dikira membuktikan ia pilihan tepat.

Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi termasuk 838 pengundi pos. Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di situ adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, di Stadium Negeri jam 9.30 malam tadi.

Sebanyak 144 saluran di 36 pusat pembuangan undi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup jam 5 petang bagi membolehkan 80,229 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki (IAB), Genting Highlands, 28 November lalu.

Jadi jelas keputusan kumpulan ulama meletakkan Wahid Endut tepat.

Malah, kemenangan ini akan memperkuatkan kedudukan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang selepas cakap-cakap kononnya beliau membelakangkan pandangan dan permintaan kumpulan Erdogan supaya meletak calon mereka.

Calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam pula hanya memperolehi 193 undi.
Bagi BN, apa lagi yang boleh dikatakan.

BN terpaksa menerima kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan hati terbuka kerana menghormati pilihan rakyat selaras dengan sistem demokrasi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai sebuah parti yang percaya kepada prinsip demokrasi, BN akur dengan keputusan itu kerana “suara rakyat adalah suara keramat”.

“Ini bukan bererti kita akan hentikan iltizam dan semangat BN untuk terus memberi khidmat
kepada rakyat. Kita akan terus berkhidmat berlipat kali ganda untuk rakyat,” katanya di kediaman Menteri Besar Terengganu di Seri Iman di Kuala Terengganu malam ini.

Menurut laporan Bernama, Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Setiausaha Agung Umno dan BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Najib. Ahmad Said dan Wan Farid tetap memberikan senyuman walaupun tewas pada pilihan ini.

Najib berkata BN akan melaksanakan setiap perkara yang perlu dilakukan bagi menyusun semula imej parti dan apa jua dasar supaya dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu.

"Saya masih amat yakin bahawa kesudahannya rakyat yakin BN tetap parti terbaik untuk memimpin negara kita," katanya.

Mengenai majoriti lebih besar yang diperoleh calon PAS itu, Najib berkata BN tidak boleh membuat kesimpulan terhadap perkara itu walaupun ia memberikan tamparan terhadap Umno dan BN.

"Ini pilihan raya kecil...banyak faktor yang boleh tentukan keputusan dan faktor tempatan tidak boleh dibaca sebagai pertimbangan politik peringkat nasional," katanya.

Sedikit musykil ialah, kenapa hanya 79.9 peratus atau 63,993 pengundi keluar mengundi hari ini sedangkan cuaca begitu baik. Undi rosak hanya sebanyak 665 undi manakala peratusan keluar mengundi ialah 79.9 peratus .

Apakah yang tidak keluar mengundi adalah mereka yang memprotes pemilihan Wan Farid atau sebab-sebab lain?

Hanya BN boleh menjawab soalan itu dan di peti undi mana, pengundi enggan mengundi.
Jawapan bagi soalan ini hanya ada kepada pengundi sendiri.

Saturday, January 17, 2009

WAN FARID UNTUK REALITI BUKAN FANTASI










Pagi ini cuaca terang sekali.

Sudah pasti di pusat mengundi segala-galanya berjalan lancar.
Kalau mengikut tinjauan umum dan ramalan awal, calon PAS mendahului dan laman web dan blog pro-pembangkang mengatakan PAS berpeluang cerah dan ‘bulan terang’.

Seorang penganalisis pungutan pendapat mengatakan PAS akan menang dengan majority 7,000. Berita ini dilepaskan oleh Malaysiakini pukul 8.01 pagi ini.

Tinjauan akhbar Berita Harian bertarikh 14 Januari 2009 melalui laman webnya: http://www.bharian.com.my/klikkhas/kterengganu, calon PAS memang mendahului sebagai calon pilihan di Kuala Terengganu.

Menurut harakahdaily pula, sehingga jam 12 tengah malam tadi, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat undian sebanyak 73.3 peratus manakala Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 23.3 peratus, dan Saudara Azharuddin Mamat @ Adam (bebas) sebanyak 3.3 peratus
Walaupun dari tinjauan ini rata-rata pengundinya bukannya pengundi sebenar dari Kuala Terengganu, namun begitu, ia menggambarkan pilihan orang ramai terhadap calon yang bakal dipilih nanti, kata harakahdaily.

Kebanyakkan pembaca laman web Berita Harian lebih yakin dengan calon PAS walaupun akhbar itu sendiri memberi gambaran berat sebelah terhadap beliau.
Sebelum ini undian seperti itu dibuat oleh laman web terkenal yahoo.com.my.

Peratusannya juga mendapati pengundi lebih memihak kepada calon PAS iaitu sebanyak 58 peratus menyaingi calon BN dengan peratusan 22. Calon bebas pula mendapat dua peratus manakala lebih 19 peratus pembacanya tidak tahu atau tidak kisah perihal perjalanan pilihanraya kecil ini.

Saya berusaha mendapatkan pandangan beberapa individu yang rapat dengan UMNO dan calon BN.

Mereka tetap merasakan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mempunyai sedikit kelebihan akhir-akhir ini, apabila selepas ditolak-campur, pengundi Terengganu mengharapkan pembelaan kehidupan seharian mereka.

BN membuktikan ia benar-benar mahukan Kuala Terengganu maju, bersih dan bergerak maju kea rah menjadikan bandar raya ini setanding setidak-tidaknya Pulau Pinang dan Melaka.
Mereka memerhatikan bagaimana bandar Kota Bharu yang tetap tidak banyak berubah sejak 20 tahun lalu dan dilabel ‘kotor’ oleh pemimpin PAS Kelantan sendiri.
Persoalannya, apa yang mereka buat?

Kegagalan Tahun Melawat Kelantan 2008 sebahagiannya kerana orang luar tidak berminat melawat Kota Bharu. Yang ditonjolkan kononnya pemerintahan Islam dan menggelarkan Kota Bharu dengan Bandaraya Islam.

Namun , jika bercirikan Islam kenapa tidak tersusun, kotor dan tidak terurus.
Penduduk Kuala Terengganu jauh ke depan daripada konteks kehidupan yang lebih tersusun dan lebih bersih.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut member jaminan kerajaan akan memastikan pelan pembangunan yang dirancang di Terengganu diteruskan tanpa gangguan supaya impian rakyat menikmati kemajuan ketika menolak pentadbiran Pas pada pilihan raya umum 2004 menjadi kenyataan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu memastikan Terengganu mendapat kemajuan seimbang dalam pelbagai bidang merangkumi kemudahan kesihatan dan perubatan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Abdullah berkata, sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pas pada 2004, banyak projek berimpak besar yang dirancangkan dan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

Perdana Menteri berkata, kerjasama baik antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang berlangsung sekarang harus meliputi semua lapisan, termasuk peringkat wakil rakyat bagi memudahkan pelaksanaan setiap projek dirancang.

Abdullah berkata, sejak BN mengambil alih pentadbiran negeri pada 2004, pelbagai projek untuk rakyat sudah dilaksana, termasuk penubuhan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lebuhraya Pantai Barat (LPT) Fasa II.

Beliau berkata, pembangunan ilmu pengetahuan untuk memacu kecemerlangan ummah hanya dapat dijana dan disuburkan lagi jika rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan bermutu. Selain itu, kesihatan yang baik juga adalah asas kepada kesempurnaan ibadat.

Abdullah berkata, sejak BN mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pas pada 2004, tahap kemiskinan negeri ini juga berjaya dikurangkan dari 15.4 peratus kepada 6.5 peratus sekarang. Selain itu katanya, Terengganu juga berada di tempat paling atas daripada segi pencapaian dalam peperiksaan awam yang kejayaan itu tidak mudah dicabar pelajar di negeri lain.

Juga dengan janji Kerajaan Negeri dan Pusat mahu mempertingkatkan imej dan peranan Bandaraya Warisan Pesisir Pantai ini, pengundi seramai 80,229 termasuk 838 pengundi pos, mampu membuat pilihan tepat.

Memilih calon dan parti yang hanya membawa janji-janji kosong yang bersifat fantasi atau memilih calon dan parti memperjuangkan realiti – ke arah kehidupan lebih makmur, sejahtera dan harmoni!

Friday, January 16, 2009

BN ADA SEDIKIT KELEBIHAN

Barisan Nasional dan PAS diramal mempunyai peluang sama rata untuk menang.
Malah mini, kelebihan adalah kepada Barisan Nasional (BN) berikutan beberapa pengumuman penting kerajaan membantu rakyat.

Yang menang dikatakan akan mendapati majoriti kecil dan ada meramalkan majoriti yang akan didapati oleh parti yang menang tidak akan melebihi 400 undi.

Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi termasuk 838 pengundi pos. Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di situ adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Sebanyak 36 pusat mengundi akan dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang esok.

Sejak penamaan calon 6 Januari lepas, tumpuan pertandingan adalah antara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada BN dan Mohd Abdul Wahid Endut daripada PAS. Turut bertanding calon Bebas, Azharudin Mamat.

Keputusan pilihan raya kecil itu dijangka diketahui sekitar 10 malam.Tidak harianlah sehingga petang ini, jentera kedua-dua parti masih meneruskan kempen sebagai usaha terakhir mendapatkan sokongan pengundi sebelum tempoh kempen tamat 12 tengah malam.

BN ada kelebihan sedikit dengan pengumuman terbaru, khususnya program membabitkan bantuan kepada penduduk tempatan.

Walaupun cuba dipersoalkan pembangkang mengenai royalti minyak tetapi penduduk di Terengganu dapat menerima dengan baik pemulangan royalti minyak itu ke pangkuan rakyat Terengganu menerusi cek bernilai RM408 juta yang saya serahkan iaitu baki bagi tahun 2007/2008.

Diharapkan dengan duit royalti dikembalikan kepada kerajaan Terengganu, prestasi pembangunan akan lebih rancak lagi. Ini sedikit sebanyak rakyat Kuala Terengganu boleh memberi mesej dan isyarat bahawa mereka memilih BN kerana mereka yakin BN boleh membuat perubahan yang besar kepada negeri dan rakyat.

Selain itu penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) umpamanya bertujuan menjaga kepentingan generasi Terengganu akan datang, hasil daripada kutipan royalti yang akan dilaburkan semula.

Apapun, ia tidak berkisar sekitar wang royalti semata-mata tetapi juga pendekatan baru Barisan Nasional (BN) yang merakyatkan pembangunan.

Apa buktinya?

Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperuntukkan RM138 juta tahun ini bagi menaiktaraf mutu pendidikan Terengganu selain membantu meringankan beban ibu bapa.

Daripada jumlah itu, Parlimen Kuala Terengganu menerima RM13.2 juta yang bakal diagihkan secara berperingkat ke setiap sekolah

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Alimuddin Mohd Dom, berkata minggu lalu, bagi sekolah di bawah KPM, sejumlah RM3.39 bilion diperuntukkan khusus untuk bantuan pelajar dan murid miskin.

“Peruntukan itu diagihkan melalui 17 saluran termasuk bantuan makanan asrama sebanyak RM1 billion, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (RM4 Juta), Rancangan Makanan Tambahan (RM270.4), Biasiswa Kecil Persekutuan (RM238 Juta), Skim Bantuan Tuisyen (RM180 Juta) dan Bantuan geran Perkapita (RM740 juta).

“Bantuan yang disalurkan itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjamin mutu pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib dan beberapa menteri sudah menyatakan beberapa projek besar Kerajaan Pusat sudah dirancang untuk rakyat Terengganu.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Kementerian Pelajaran sedang mengadakan perundingan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan beberapa buah kerajaan negeri bagi membolehkan 101 sekolah agama mendaftar sebagai sekolah yang mendapat bantuan kerajaan (SABK).
Angka itu tidak termasuk 27 sekolah agama di Johor yang telah menyampaikan hasrat untuk mendaftar di bawah kementerian.

Hishammuddin berkata, setakat ini sebanyak 154 buah sekolah agama telah berdaftar dengan kementerian. Katanya, daripada angka tersebut di negeri Perlis (6), Kedah (14), Pulau Pinang (11), Perak (25), Selangor (23), Johor (3), Melaka (14), Pahang (5), Kelantan (22), Negeri Sembilan (15), Terengganu (14) dan Sabah dua buah.

Ini bermakna sekolah agama di Terengganu sebanyak 14 buah itu akan turut terlibat apabila kerajaan mengagihkan sebanyak RM454 juta kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri (SAN) dalam tempoh tahun 2005 hingga akhir tahun lalu.

Angka itu tidak termasuk tambahan peruntukan sebanyak RM200 juta sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 4 November lalu.

Daripada RM200 juta itu, SABK akan menerima RM50 juta yang akan digunakan untuk pelbagai kegunaan termasuk pembelian aset dan modal dan naik taraf bangunan sekolah.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM206.3 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) untuk melaksanakan 10 projek bekalan air di Terengganu.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata kelamrin, selain itu, di bawah wang Dana Khas pula sebanyak RM813 juta telah diperuntukkan yang melibatkan pelaksanaan sebanyak 12 projek.

''Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk melaksanakan projek-projek bekalan air di negeri Terengganu sebanyak RM1.012 bilion. Semua itu menunjukkan kegigihan dan komitmen yang tinggi kerajaaan Pusat dan negeri untuk melaksanakan projek itu yang bertujuaan memberi manfaat kepada setiap lapisan rakyat di negeri ini," katanya.

Shaziman berkata, pada masa ini semua projek di bawah RMK-9 sedang rancak berjalan, manakala bagi projek yang sedang dilaksanakan di bawah peruntukan Wang Dana Khas pula, daripada 12 projek, 6 daripadanya telah disiapkan sepenuhnya yang memberi banyak manfaat kepada penduduk di negeri Terengganu.

Selain itu kerajaan semalam turut mengumumkan penubuhan Tabung Kecemasan Nelayan dengan dana permulaan berjumlah RM1 juta bertujuan membantu nelayan yang ditimpa musibah.
Najib berkata tabung ini perlu memandangkan nelayan berdepan dengan pelbagai cabaran dan risiko yang amat tinggi ketika keluar mencari rezeki.

Tabung kecemasan sebagai bantuan kepada nelayan yang ditimpa musibah, sekiranya mereka meninggal dunia atau bot tenggelam, rumah terbakar dan sebagainya.

“Banyak faktor luar kawalan yang dihadapi mereka, cuaca tak menentu dan sebagainya. Dengan risiko yang dihadapi ini amat sesuailah diwujudkan satu tabung bagi membantu mereka dengan dana RM1 juta sebagai permulaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama Nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering.

Selain itu, Majlis Peletakan Batu Asas Kompleks Pakar Materniti dan Kompleks Psikiatri Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) turut dilakukan.

Kompleks lima tingkat bernilai RM115 juta itu akan memberi kemudahan rawatan bayi, ibu hamil dan ibu bersalin yang lebih baik yang diharapkan dapat mengurangkan kadar kematian bayi dan ibu di negeri ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, banyak lagi program pembangunan sedang dirancang untuk Terengganu dan kesemuanya hanya boleh dilaksanakan dengan memastikan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bernaung di bawah parti yang sama iaitu BN.

Selain itu, kini terbukti terdapat persefahaman antara dua kerajaan apabila Kementerian Penerangan meluluskan serta-merta pertukaran kegunaan tanah untuk kerajaan negeri menjalankan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Katanya, Menteri Penerangan (Dato’ Ahmad Shabery Cheek) meluluskan permohonan itu serta merta apabila Dato’ Ahmad Said (Menteri Besar) meminta tanah milik Kerajaan Pusat untuk dimajukan dengan projek PPR.

“Oleh kerana yang diminta itu Menteri Besar Barisan Nasional (BN) yang diluluskan itu Menteri Penerangan BN, maka tiada hal (masalah) untuk dilulus dengan serta merta.

Bagaimana dengan kepentingan orang Cina di Kuala Terengganu?

Dalam konteks orang Cina, sejarah masyarakat Cina di Kuala Terengganu, mereka tidak pernah diberi kerusi Bandar Kuala Terengganu itu dan dilantik sebagai exco. PAS tidak pernah dalam konteks di Terengganu memberi kerusi kepada bukan Melayu. Begitu juga dengan pemberian royalti minyak yang mana orang Melayu pun dapat dan orang Cina pun dapat.

Dalam konteks ini semua dapat dan inilah ciri-ciri merakyatkan pembangunan. Kalau melihat dari diskriminasi, apa yang dilakukan oleh PAS kepada orang Cina di Kuala Terengganu sebenarnya lebih teruk. Sebagai contoh, apa yang berlaku kepada sebuah tokong bersejarah berusia 113 tahun di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu yang begitu penting dan memberi makna kepada orang Cina.

Sewaktu PAS memerintah, mereka mengeluarkan notis untuk mengambil tokong itu tetapi terpaksa dibatalkan selepas masyarakat Cina membantah.

Kaum Cina di Terengganu juga akan mendapat manfaat daripada pengumuan Najib bahawa kerajaan akan menyalurkan terus bantuan kewangan berjumlah RM200 juta kepada empat kategori sekolah bantuan kerajaan (SBK) melalui pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan pada sesi Parlimen tahun lepas.

“Kerajaan yakin melalui pemberian dana ini, ia memberikan lebih kepuasan dalam sistem pendidikan negara dan memajukan lagi tahap pendidikan untuk ke peringkat antarabangsa,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Kewangan kepada SJK (C) di SJK (C) Chee Yen, Subang Jaya baru-baru ini.

Pada majlis tersebut sebanyak 237 sekolah Jenis Kebangsaan Cina seluruh negara menerima bantuan kewangan berjumlah RM27 juta yang disalurkan terus kepada setiap lembaga pengelola sekolah SJKC. Keseluruhan bantuan kewangan itu akan diagih-agihkan kepada keempat-empat kategori sekolah tersebut dalam masa terdekat untuk digunakan tahun ini juga.

Terlalu banyak senarai projek yang diumumkan ,termasuk oleh kerajaan negeri. Kerana itu, rakyat Terengganu berfikirlah!

Undi anda menentukan nasib anda dan masa depan generasi anda.

Jangan mengundi kerana rancangan fantasi tetapi undilah parti yang bercakap berasaskan realiti!