Sunday, November 9, 2008

LARUT YANG BERLARUTAN

Datuk Seri Raja Ahmad Zainudin Raja Omar dikatakan tidak lagi mengharapkan orang penting Ibu Pejabat UMNO mengatasi masalah di bahagiannya.

Beliau sudah tidak yakin Setiausaha Agung UMNO dapat menyelesaikan masalahnya.
Raja Ahmad berharap Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Mesyuarat Pengurusan UMNO membantu mengatasi kemelut di Bahagian UMNO Larut yang berlarutan.

Difahamkan, Mesyuarat Pengurusan UMNO akan diadakan Rabu ini.

Oleh kerana masalahnya begitu meruncing Raja Ahmad melihat masalah-masalah di Bahagian UMNO lain umpamanya Bahagian UMNO Tanah Merah dan Tenom juga perlu diselesaikan sebaik-baiknya.

“Saya akan berusaha bertemu Datuk Seri Najib,” katanya.

Ketika merasmikan beberapa mesyuarat perwakilan wanita, pemuda dan puteri semalam, Raja Ahmad menimbulkan tiga cerita yang dua daripadanya pernah diperkatakan oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pencari buah keranji dan angsa telur emas melalui blog bekas Perdana Menteri itu.

Cerita ketiga ialah cerita dari Asia Barat bagaimana seekor unta yang akibat kesejukan tidur di luar khemah meminta ikhsan tuannya iaitu mulanya memasukkan kepala sahaja ke dalam khemah tetapi kemudian badan dan akhirnya kakinya pula.

Akhirnya tuannya yang baik budi itu ditolak keluar oleh unta berkenaan tidur dalam kesejukan di luar khemah. Ia ada persamaan dengan perumpamaan ‘Belanda Minta Tanah’.

Sementara di Kuala Kurau semalam, Raja Ahmad berkata keputusan bersama jawatankuasa UMNO Bahagian Larut menolak pencalonan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding jawatan ketua UMNO bahagian itu ternyata tidak disenangi pihak tertentu.
Raja Ahmad berkata, berikutan tindakan itu pada 2 November lalu, banyak surat layang dan kempen memburuk-burukkan beliau dilakukan.

''Orang yang buat surat layang ini pengecut, kalau anak jantan, cakap depan-depan dan bukannya baling batu sembunyi tangan," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda Larut semalam.

UMNO Bahagian Larut sebelum ini secara sepakat menolak pencalonan Hamzah untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian itu setelah mendapati Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan oleh ibupejabat parti.

Ekoran itu, UMNO Larut memohon penangguhan persidangan perwakilan UMNO bahagian itu yang sepatutnya diadakan esok ke tarikh baru yang akan ditetapkan kemudian sehingga masalah keahlian Hamzah diselesaikan.

Hamzah diterima baik ketika bertanding sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum lalu di Parlimen Larut dan selepas berpindah dari Bahagian UMNO Ipoh Barat pada April lalu.

Dalam satu posting blog http://kijang-jantan.blogspot.com pada 5 November lalu bertajuk ‘Raja Ahmad Boleh Dikenakan Tindakan’ menyebut bahawa pada 4 November 2008, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor member amaran, Raja Ahmad boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November 2009.

Setiausaha Agung UMNO itu menjelaskan, Hamzah boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO.

Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

Tengku Adnan berkata demikian kepada sebagai mengulas keputusan Bahagian Larut batalkan pencalonan Hamzah.

RAJA AHMAD BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN?
http://kijang-jantan.blogspot.com
(Wednesday, November 5, 2008)

UMNO Bahagian Larut tiba-tiba menjadi perhatian ramai Ahad lalu apabila ia menolak pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainudin yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat untuk bertanding jawatan ketua bahagian itu.

Ketua UMNO Bahagian Larut Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata keputusan itu diambil kerana Hamzah yang juga anggota Parlimen Larut baru menjadi anggota bahagian itu pada April lalu.

Sedangkan pekeliling UMNO mengesahkan hanya anggota yang membayar yuran dan berdaftar sebelum 31 Dis 2007 digunakan untuk mesyuarat kali ini.
"Mesyuarat bahagian yang diadakan kelmarin secara konsensus menolak pencalonan beliau...ini soal keadilan, prinsip," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bahagian itu Ahad lalu.

Raja Ahmad yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah berkata mesyuarat itu memutuskan untuk memohon penangguhan bagi persidangan perwakilan bahagian itu yang dijadualkan pada Ahad depan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Sebelum UMNO Bahagian Larut mematuhi dan bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu. Alasan kukuh penolakan Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling, mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat.

Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.

Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, 21 September lalu.
"Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor," katanya.

Bagaimanapun, hari ini (4 November 2008) Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan Hamzah Zainuddin boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO.

Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

Agendadaily memetik Tengku Adnan berkata demikian kepada sebagai mengulas keputusan Bahagian Larut batalkan pencalonan Hamzah. Menurut Tengku Adnan Ketua UMNO bahagian itu, Raja Ahmad Zainuddin boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November 2009 Jawapan ini semakin pening sebenarnya.

Mana satu mahu dipakai – sama ada pekeliling UMNO mengesahkan hanya anggota yang membayar yuran dan berdaftar sebelum 31 Dis 2007 atau berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO iaitu seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih? Memanglah Perkara 6.3 yang dibaca dengan 6.3.8 itu membenarkan Hamzah bertanding tetapi bagaimana dengan Pekeliling mengenai pembayaran yuran berkenaan? Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata UMNO Perak menyerahkan kepada MT dan Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan berhubung isu itu.

Perkara itu telah dibincangkan oleh UMNO Perak yang memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada MT untuk diputuskan. Pada mesyuarat Umno Bahagian Larut kali ini, Raja Ahmad menghadapi saingan Timbalannya, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama dan Hamzah yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Ipoh Barat pada mesyuarat bahagian itu, 19 Oktober lalu.

Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.

Bahagian berkenaan mempunyai 97 cawangan tetapi pencalonan daripada 14 cawangan telah ditolak kerana mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan bahagian. Menjadi tanggungjawab Ibu Pejabat menyelesaikan kemelut di Larut ketika ini secara sebaik-baiknya kerana pertikaian dua ‘gajah’ ini boleh melarat kepada perkara-perkara lain yang akan merugikan UMNO! POSTED BY

KIJANGJANTAN AT 1:37 AM 0 COMMENTS

PILIH PEMIMPIN BERSIH DEMI KEUTUHAN UMNO

Selamatkan UMNO, banteras politik wang.

Kelmarin Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran.

Ia berikutan berleluasanya politik wang yang disifatkan paling serius dengan 900 aduan seumpamanya diterima.

Hasrat Tengku Ahmad Rithauddeen yang ingin bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam membanteras isu politik wang dialu-alukan tetapi keberkesanannya patut ditekankan.

Adalah sangat wajar dan bertepatan jika anggota Umno yang terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti Mac tahun depan tidak diberi tempat dalam kepimpinan parti.

Bukan sekadar itu sahaja malah mereka patut dicemuh dan diletakkan pada kedudukan yang serendah-rendahnya, selain digantung keahlian dan dilarang bertanding untuk jangka masa panjang di masa akan datang.

Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan pandangan sedemikian sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin selain bersetuju berasa kecewa dan menyifatkannya amat buruk dan memalukan.

Muhyiddin berasaskan kata-katanya berdasarkan peningkatan jumlah aduan rasuah dan salah guna kuasa diterima Lembaga Disiplin parti sepanjang kempen pemilihan kali ini.

Bukan Najib sahaja malah seluruh ahli UMNO mengharapkan pemimpin dipilih adalah bersih untuk mengangkat perjuangan parti bangsa Melayu itu ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Najib memberi amaran, perbuatan dan amalan politik wang akan menjejaskan parti Umno dari dua segi, satu dari segi imej parti kepada orang luar, bermakna mereka akan lihat proses pemilihan dalam parti kita ini tidak bersih, kedua, akan menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya diangkat untuk sesuatu jawatan itu terpilih kerana sokongannya berdasarkan mainan politik wang, mungkin kita akan mempunyai barisan pemimpin yang tidak dapat mengangkat perjuangan Umno yang lebih tinggi lagi dan merosakkan kredibiliti Umno kerana (mempunyai) pemimpin itu kurang kredibel,"

Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu, jika mereka yang terbabit dalam mainan politik wang tetap diberikan tempat, akhirnya ia akan merosakkan kredibiliti Umno itu sendiri.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pula bimbang gejala buruk itu akan menyebabkan anggota parti beralih arah dalam memilih pucuk pimpinan parti daripada calon berwibawa kepada mereka yang hanya mampu menawarkan habuan wang ringgit besar sahaja.

“Saya cukup bimbang apabila membaca kenyataan Lembaga Disiplin parti semalam bahawa bilangan aduan tentang politik wang yang diterima begitu banyak, malah lebih tinggi daripada pemilihan sebelum ini.

“Saya malu kerana pendedahan ini seolah-olah menunjukkan kita (UMNO) gagal menangani politik wang dan ahli-ahli kita lebih mementingkan soal perut, wang, ongkos dan sogokan dalam memilih pemimpin,” katanya.

Apabila Najib membuka mulut mengenai perkara ini kepada pemberita selepas merasmikan mesyurat Umno bahagian Pekan di Pekan semalam, nasihat dan pandangannya dilihat lebih ‘bebas’ daripada Muhyiddin.

Faktornya ialah Najib menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO dan sejauh ini beliau membolot kesemua pencalonan kecuali satu bahagian- Gua Musang.
Tetapi tidak bagi Muhyiddin.

Pemerhati politik membaca kenyataan Muhyiddin mempunyai makna tersirat apabila Datuk Seri Mohd Ali Rustam layak dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dijangka tidak sukar untuk menjadikan pertandingan Timbalan Presiden tiga penjuru.

Apapun, ia sekadar andaian dan Muhyiddin tidak pun menuduh pencabar beliau atau yang bertanding jawatan lain bermain duit.

Adalah sukar untuk menuduh Muhyiddin bersikap demikian kerana jelas beliau bersikap terbuka apabila mengucapkan tahniah kepada Mohd. Ali yang berjaya melepasi kuota tersebut dan Muhammad yang menghampiri kelayakan itu.

Berikutan kejayaan Mohd. Ali semalam bermakna untuk julung-julung kalinya dalam tempoh hampir 20 tahun, bakal menyaksikan perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden. Jika Muhammad layak inilah kali pertama perebutan itu menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Kali terakhir jawatan berkenaan dipertandingkan ialah pada 1987 apabila Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mencabar penyandang jawatan, Tun Musa Hitam. Allahyarham Ghafar menang dengan kelebihan 40 undi. Pada 1993, pertandingan hampir menjadi kenyataan antara Ghafar dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun Anwar menang tanpa bertanding selepas Ghafar menarik diri.

Kejayaan Ketua Menteri Melaka, semalam yang menjadi calon kedua melepasi kuota kelayakan dengan memperolehi sembilan lagi pencalonan menjadikan jumlah keseluruhan 41 pencalonan untuknya.

Bahagian-bahagian yang memberikan pencalonan kepada kepada Mohd Ali semalam iala Ketereh, Tumpat, Pendang, Pasir Salak, Sandakan, Sungai Petani, Sepanggar, Pasir Puteh dan Kubang Kerian.

Muhammad mengekori dekat dengan mengumpul 37 pencalonan memerlukan hanya hanya dua lagi pencalonan hari ini. Kuota kelayakan bagi jawatan Timbalan Presiden ialah 39 pencalonan.

Muhyiddin menjadi calon pertama layak bertanding sejak 19 Oktober lalu menambah lima lagi pencalonan bagi membolehkan beliau mengumpulkan 84 pencalonan dengan pencalonan daripada Kuala Nerus, Wangsa Maju, Kangar, Jerai dan Bukit Bintang.

Bagi Muhammad pula, beliau perlu menanti sehingga esok iaitu hari terakhir mesyuarat bagi menentukan sama ada akan mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding atau tidak.

Muhammad sebelum ini mengumpul sebanyak 30 pencalonan semalam menambah tujuh lagi pencalonan daripada bahagian Kuala Krai, Hulu Langat, Baling, Sik, Sungai Besar, Pensiangan dan Petaling Jaya Selatan.

Berbalik kepada politik wang, pendapat Muhyiddin yang hampir sama dengan Najib bermakna pemimpin tertinggi UMNO mahukan pemimpin yang di bawah mereka kredibel dan berwibawa dalam parti sebab UMNO dinilai oleh rakyat teramai, rakyat jelata akan membuat penilaian dan perhitungan terhadap Umno melalui pemimpin yang diketengahkan Umno.

Wajar sekali seharusnya tidak ada tempat (bagi mereka yang terbabit politik wang) tapi akhirnya terpulang kepada ahli Umno sendiri untuk menyokong pemimpin yang bersih, dan juga bergantung kepada keberkesanan penguatkuasaan seperti perangkap laju, ada yang terlepas, ada yang kena.

Sewajarnya, ‘perangkap laju’ juga dipasang pada peringkat pertandingan Majlis Tertinggi kerana mereka ini juga kumpulan penting yang akan dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan penggendali agensi-agensi penting kerajaan.

Sejarah sebelum ini menunjukkan tumpuan perangkap hanya di peringkat Naib Presiden sahaja dan sudah sampai masanya mereka yang di bahagian-bahagian juga patut disaring.

Memanglah angka lebih 900 aduan diterima lembaga itu bukan sahaja memalukan UMNO tetapi menjatuhkan maruah anggota Umno serta menimbulkan pandangan negatif masyarakat luar terhadap parti.

Yang jelas, mereka yang terlibat sebagai sanggup menggadaikan maruah parti semata-mata untuk memenuhi matlamat peribadi, dan memang wajar jika Muhyiddin mahu gejala tidak sihat itu ditangani segera.

Saturday, November 8, 2008

PERTANDINGAN MAJLIS TERTINGGI SEMAKIN MERIAH

Apa nasib mereka yang tidak memegang jawatan penting kerajaan dan agensinya tetapi bertanding kerusi Majlis Tertinggi UMNO (MT)?

Mampukah di kalangan mereka yang tidak berjawatan memenangi atau mempertahankan kedudukan mereka sebagai ahli MT?

Sejarah sebelum ini menunjukkan ada di kalangan mereka yang memenangi jawatan MT biarpun tidak memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri atau Pusat.

Pada pemilihan 2004, mereka ialah Tan Sri Annuar Musa yang menang tempat ke lapan, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (14) dan Dato Dr. Norraesah Haji Mohamad (20). Annuar tidak bertanding kali ini sementara Rahim dan Dr Norraesah mempertahankan jawatan.

Pada pemilihan kali ini, mereka yang tidak berjawatan penting dalam kerajaan perlu berdepan dengan hampir 30 orang termasuk sembilan menteri, sembilan timbalan menteri, serta enam menteri besar dan ketua menteri, telah memperolehi pencalonan yang mencukupi untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan.

Mungkin ada lagi yang akan layak dengan mesyuarat Bahagian berlangsung lagi hari ini dengan esok.

Malah beberapa bahagian yang bermesyuarat selepas 9 November (esok) juga boleh membuat pencalonan.

Kali ini antara mereka yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri tetapi mempertahankan jawatan ialah, bekas Timbalan Menteri yang juga Pengerusi PNS Datuk Dr. Awang Adek Hussin ( 56 pencalonan), bekas Menteri Besar Terengganu dan kini Pengerusi Mara, Datuk Idris Jusoh ( 44), bekas Menteri, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis ( 23), bekas Timbalan Menteri, Datuk Abdul Rahman Bakar ( 23), bekas Menteri, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin ( 22), serta (yang turut hadir pada mesyuarat MT) iaitu bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahdzir Khalid ( 74 pencalonan).

Kalangan mereka yang langsung tidak memegang jawatan agensi kerajaan dan turut layak ialah Ahli mParlimen Batu Pahat, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi ( 72 pencalonan) bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ( 49), Seantor Datuk Syed Ali Alhabshee ( 32), Datuk Radzi Manan (19) dan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar ( 19). Yang lainnya ialah bekas Exco Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir ( 53) dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir ( 53), bekas Timbalan Menteri, Datuk Anifah Aman (45) serta Datuk Abdul Latif Mirasa ( 35).

Sementara Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Alwi Che Mat ( 34), Datuk Dr Hilmi Yahya (34), dan Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ( 30) turut layak.

Turut layak bertanding ialah Penasihat Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman (106), Pengerusi SPNB, Datuk Azian Osman ( 99), Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ( 98), dan ahli MT dilantik, Datuk Mohamad Norza Zakaria ( 55).
Turut mendapat pencalonan yang mencukupi ialah Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Bung Moktar Radin yang mendapat 27 pencalonan.

Selebihnya adalah mereka yang menjawat jawatan penting dalam kerajaan Pusat dan negeri. Mereka termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar ( 125 pencalonan), diikuti Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman (117); Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed ( 112); Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed (111); Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ( 107); Pengerusi SPNB, Datuk Azian Osman ( 99); Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ( 98); Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob ( 98) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob yang memperolehi 89 pencalonan.

Menteri yang turut layak bertanding MT ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad ( 80); Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ( 65); Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique ( 59); dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikas, Datuk Shaziman Abu Mansor (49).

Turut layak bertanding ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad yang memperolehi 85 pencalonan); Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainudin ( 77); Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Husni Ahmad Hanadzlah ( 71); Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron ( 56); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom ( 55); Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah ( 51); Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Lajim Ukin (49), dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasan Malek ( 24).

Calon wanita pula ialah Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said ( 89), Datuk Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Sumber Manusia (71), Ketua Wanita Umno Johor, exco Wanita Umno, Datuk Dr Noraesah Mohamad (29) dan Datuk Halimah Mohd Sadique yang mendapat 20 pencalonan. Turut mendapat pencalonan ialah Naib Ketua Wanita Pusat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil (22),

TIDAK WAJAR JADIKAN 3 HAKIM JUTAWAN SEGERA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengelirukan Parlimen?
Demikian menurut Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh yang menyifatkan kenyataan Nazri bahawa hakim-hakim yang terlibat dalam krisis Kehakiman 1988 tidak dipecat tetapi diminta bersara awal, sebagai mengelirukan.

Sinar Harian yang membawa tajuk “3 bekas Hakim Jadi Jutawan” (jutawan segera?) semalam melaporkan, ketika menjawab soalan soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) sama ada hakim berkenaan dipecat atau diarahkan berhenti lebih awal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Azizi berkata, tidak pernah ada tribunal ditubuhkan di mahkamah yang memutuskan memecat mereka.

“Tidak pernah panel dipanggil dan dibentuk untuk memecat...soal pemecatan itu satu hukuman, soal syor berhenti awal juga satu hukuman...tidak ada tribunal dibentuk untuk memecat (mereka),” katanya.

Karpal berkata Nazri mesti menjelaskan mengapa beliau membuat kenyataan secara terbuka di Parlimen yang memberi tafsiran bahawa nama-nama hakim itu telah dibersihkan oleh tribunal, bertentangan dengan hasil siasatan dua buah tribunal berkenaan.

Karpal merujuk kepada Malayan Law Journal (MLJ) bertarikh 28 Okt 1988 yang melaporkan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan hakim-hakim Mahkamah Agung Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal mendapati mereka bersalah kerana salah laku.

Mereka bagaimanapun, menerima pencen penuh.

Tiga hakim lain, Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh telah digantung tugas tetapi dikembalikan jawatan mereka.

Bagi Karpal, ketika membuat kenyataan di Istana Kehakiman di Kuala Lumpur semalam katanya, bagi mengembalikan penghormatan dan digniti hakim-hakim yang dipecat itu, Kerajaan sepatutnya telah menubuhkan dua tribunal untuk membersihkan mereka daripada tindakan yang telah diambil terhadap mereka dan bukan memberikan bayaran ex-gratia.

"Apa yang sepatutnya telah dilakukan ialah bukan membayar ex-gratia kepada hakim-hakim itu tetapi mengadakan sebuah lagi tribunal bagi membersihkan nama mereka.

Ini masih boleh dilakukan. Membayar ex-gratia kepada mereka tidak membersihkan mereka daripada didapati bersalah kerana salah laku," kata beliau.

Karpal berkata bayaran ex-gratia itu malahan bererti yang Kerajaan berpendapat bahawa mereka (hakim-hakim itu) sebenarnya tidak bersalah.

Karpal berkata beliau akan membawa usul mengemukakan Nazri di bawah Peraturan Tetap 36 (12) kerana mengelirukan Parlimen Isnin lalu dimana beliau kemudian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa untuk tindakan diambil.

Jadi daripada apa yang dikatakan oleh Karpal itu, menjadikan tiga bekas hakim itu sebagai jutawan (jutawan segera) tidak wajar?

Apakah ini bermakna ‘buta-buta’ sahaja hakim-hakim berkenaan mendapat sejumlah RM10.5 juta itu?

Wang siapa itu? Jika Karpal berpendapat tidak perlu membayar untuk membersihkan kesemua mereka, cukup dengan ditubuhkan dua tribunal membersihkan nama mereka, kenapa keputusan ‘memberi duit’ berkenaan dibuat?

Bagaimana kerajaan boleh memilih cara ‘membayar ex-gratia’ berbanding tribunal yang lebih telus?

Siapa mahu bertanggungjawab kepada soal ini? Datuk Zaid Ibrahim sudah berhenti menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mungkin Nazri terpaksa pikul beban ini?

Kerajaan baru-baru ini membayar ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas dan lima lagi bekas Hakim Kanan.

Bayaran kepada Mohd Salleh melibatkan RM5 juta, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh (RM2 juta) dan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng juga RM2 juta.

Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin pula masing-masing menerima bayaran berjumlah RM500,000, katanya.

Nazri berkata, keputusan secara dasar telah dibuat Jemaah Menteri sama ada untuk membayar atau tidak ex-gratia kepada hakim berkenaan.

“Kita memutuskan untuk membayar dan soal menentukan berapa, perkara itu dilakukan oleh pihak ibu pejabat kewangan untuk tentukan berapa nilainya.

Kita cuma berikan bayaran ex-gratia tapi jumlahnya ditentukan (diluluskan) oleh Kabinet,” kata Nazri ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Selain bayaran ex-gratia, beliau berkata, lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Mohd Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6,508.59) dan Azmi (RM5,916.90).