Monday, April 21, 2014
GANTI 2 MB – AWANG SELAMAT HANYA MEMBUAT SPEKULASI?
Saya fikir kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat tahu siapa Menteri Besar yang akan ditukarkan.
Beliau tidak menyebut secara khusus mungkin kerana dua sebab.
Pertama, menghormati Perdana Menteri dan kedua, tidak mahu mendahului pengumuman oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.
Maksudnya, sebarang pengumuman seperti ini perlu dibuat oleh Perdana Menteri sendiri, walaupun selalunya jurnalis tahu mengenai sesuatu perkara.
Saya berpengalaman ketika menjadi wartawan Berita Harian, mengetahui Datuk Musa Hitam (Tan Sri) pada 1980-an akan meletakkan jawatan tetapi tidak beliau iaitu Shahrir Samad untuk memperkatakanya.
Seharian saya menunggu Shahrir di rumahnya (ketika itu di Petaling Jaya, tidak jauh dari pintu belakang Universiti Malaya) untuk mendapatkan pengesahan (dulu tidak ada handphone dan panggilan melalui telefon biasa tidak dilayan).
Menerusi ruangan pojoknya, Bisik-Bisik Awang Selamat, kolumnis itu mendakwa pentadbiran UMNO-Barisan (BN) yang ditadbir oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bakal membuat pertukaran dua menteri besar tidak lama lagi.
Walaupun tidak menyebut bila, ada sumber mmengatakan majlis angkat sumpah Menteri Besar baru itu dijangka pada 11 Mei depan, iaitu cukup setahun tempoh pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) lalu.
Malah, menurut sumber itu, dua menteri besar yang dikaitkan dengan isu ini sebenarnya sudahpun diketahui oleh pihak-pihak tertentu dan tuan diri menteri besar berkenaan.
Dikatakan….saya ulangi dikatakan, kedua-dua Menteri Besar tersebut ada menandatangani satu dokumen seperti surat perjanjian.
Perjanjian mengenai apa tidak diketahui tetapi dikaitkan dengan jawatan yang dipegang oleh dua menteri berkenaan.
Dikatakan juga…surat itu ditandatangani oleh dua menteri besar berkenaan. Awang Selamat bermain selamat apabila dalam kolumnya itu, tidak menamakan menteri besar mana dan dari negeri mana yang dimaksudkan.
"Khabarnya dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai.
"Tidak perlulah Awang sebut siapa menteri besar berkenaan pada peringkat ini, biarlah ia terus menjadi desas-desus," tulis Awang Selamat sepertimana yang disiarkan Mingguan Malaysia semalam.
Kolum yang menjadi tarikan ramai pembaca itu sudah pasti turut mengundang akhbar dalam talian seperti Malaysiakini serta blog-blog terkenal turut menyiarkan berita itu.
SinarHarian Online, memetik ulasan Awang Selamat itu dengan tajuk “Dua menteri besar bakal ditukar?”
Menurut blog kedahkekl pula, perkara ini juga tersebar hingga ke kedai-kedai kopi dan warung-warung nasi lemak tepi jalan. Tak terkecuali di media sosial. Dalam perbincangan diantara nada serius dan tak berapa nak serius, hanya 4 nama Menteri Besar yang naik. Adnan Yaakub, Md Said, Mat Hassan dan Zambry. Tak dengar pulak nama Mukhriz, Azlan, Khalid dan lain-lain MB. Menurut blog berkenaan,
“Pelbagailah hujah yang Mc dengar dari pakar-pakar politik tanah air samaada di kedai kopi atau di facebook yang menghalalkan 4 menteri besar ini ditukar. Namun, bagi Mc MB Negeri Sembilan Mat Hassan dah menjalankan tugasnya dengan bagus. Beliau memang tegas, tetapi itu perkara wajib tugas sebagai ketua dinegeri. Hanya satu kaum saja yang tak suka Mat Hassan, kaum yang tak undi BN masa PRU ke 13 yang lepas.”
Cerita nak tukar MB ini pernah bertiup kencang sebelum PRU-13 lalu apabila ada pihak mengatakan Tiga Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri akan di ganti dalam sehari dua.
Pada 29 Oktober 2012, sebuah blog mengatakan sumber yang rapat dengan timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin memaklumkan, perdana menteri, Najib Razak akan mengadakan satu pertemuan rahsia antara semua pakar strategisnya dalam beberapa hari akan datang.
Agenda pertemuan yang akan dibincangkan adalah pertukaran beberapa menteri besar dan ketua menteri yang tidak sehaulan dengan Najib Razak.
Antara nama-nama yang akan bertukar antaranya menteri besar Terengganu, Ahmad Said, menteri besar Perak, Zambry Kadir dan ketua menteri Melaka, Ali Rustam.
Selain itu ia akan turut membincangkan pengganti menteri besar Johor, Abdul Ghani Othman yang akan melepaskan jawatannya bagi memberi peluang sama ada ahli parlimen Pasir Gudang, Khaled Nordin atau ahli parlimen Batu Pahat, Puad Zakarshi menggantikannya.
Ahmad Said dikatakan akan diganti dengan pemimpin Umno bukan bertaraf ketua bahagian manakala Ali Rustam pula yang akan bertanding di parlimen Jasin akan diambil alih jawatannya oleh sama ada kroninya yang juga ahli parlimen Bukit Katil, Md Sirat Abu atau ahli parlimen Jasin sekarang, Ahmad Hamzah. Itu sekadar ramalan.
Namun apakah yang disebut oleh Awang Selamat ini juga ramalan
Kita lihat nanti sejauh mana ramalan itu akan menjadi kenyataan atau benar belaka.
Dalam pada itu, Awang Selamat turut menyatakan sokongan terhadap usaha berkenaan kerana baginya, perubahan tersebut mampu menyuntik kesegaran dalam pentadbiran negeri.
"Awang berpendapat memang perlu ada peralihan bagi menyuntik kesegaran dalam tampuk pentadbiran negeri tertentu.
"Tentu terdapat tokoh yang boleh dijadikan sandaran, yang Awang percaya Najib sudah ada bayangan calon-calonnya. Kita tunggu," katanya.
Untuk rekod, Umno-BN kini menguasai pentadbiran di tujuh negeri dengan menteri besar dari parti tersebut iaitu dari Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.
Persoalan lain, kalau tidak ada asas kukuh, masakan Awang Selamat berani membuat ramalan sedemikian.
Ini kerana ini bukan ramalan sembarangan. Ia ramalan berprofil tinggi dan menjejaskan kerajaan jika tidak berlaku…
No comments:
Post a Comment