Friday, July 5, 2013
SURAT ORANG POLITIK PAS KEPADA BAKAL ORANG POLITIK UMNO!
(PRK Kuala Besut 1)
Membaca surat terbuka seorang kawan baik Pegawai Agama Daerah Dungun, Nik Zulhaiza Ismail, iaitu Dr Azman Ibrahim yang juga AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, yang berupa nasihat, saya kagumi dengan nasihat-nasihat yang dilontarkan.
Namun di sebalik kekaguman itu, saya tertanya-tanya apakah sipengirim mempraktikkan apa yang disarankan? Selain itu apakah sipengirim pernah menasihati rakan-rakannya mempraktikkan apa yang diperkatakan oleh beliau kerana banyak perkara yang disebut dalam surat itu bagai ‘menepuk air di dulang, terpecik ke muka sendiri’.
Apapun, apakah surat ini merupakan kebimbangan atau usaha mencegah Nik Zulhaiza agar menarik diri awal-awal.
Apakah surat ini satu strategi dan usaha PAS yang takut dengan kehadiran Nik Zulhaiza jika dipilih sebagai calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut?
Strategi PAS ini hanya berkesan jika Nik Zulhaiza menolak untuk dicalonkan atau tidak terpilih?
Yang pasti, sekiranya beliau tetap mahu bertanding, surat ini akan memakan diri PAS.
Baca dulu surat yang dimaksudkan:
Surat Terbuka Untuk Bakal Calon PRK N01 Kuala Besut
Wednesday, 03 July 2013
Written By Dr Azman Ibrahim
Sahabatku Ustaz Nik Zulhaiza yang dihormati,
Pilihanraya Kecil Kuala Besut adalah suatu catatan sejarah penting bagi Negeri Terengganu khususnya dan politik Malaysia amnya. Di saat margin perbezaan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu terlalu hampir, takdir Allah mengatasi segalanya.
Semoga Allah mengampuni arwah yang telah pergi dan kita yang tinggal perlu terus menggalas tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah.
Sahabatku,
Melihat laporan media, nama saudara antara yang tersenarai sebagai bakal calon mewakili BN dalam PRK nanti, tentunya saya sebagai sahabat yang paling awal akan mengutuskan ucapan tahniah. Tentunya kenangan kita bersama di Sekolah Menengah Agama Maarif, Kampung Raja sekitar tahun 1988-1989 dulu masih segar diingatan.
Tinggal bersama di Asrama Yayasan Terengganu, bersama bermandi peluh mewakili sekolah dalam pasukan bolasepak, bersama mewakili sekolah dalam ‘musabaqah’, saudara sebagai qari, saya sebagai pemidato. Kebolehan saudara dalam mengalunkan ayat-ayat suci al Quran sangat saya hormati. Walaupun kita sekarang berbeza lapangan, saudara sebagai Qadhi, saya sebagai pengamal perubatan tetapi saya yakin, kita sama-sama bekerja untuk meninggikan syariat Allah yang tertulis di dalam al Quran tersebut. Al Quran ini jugalah yang diletakkan oleh parti dokongan saya, PAS! sebagai sumber rujukan tertinggi.
Sahabatku Nik Zulhaiza,
Sejujurnya, saya tidak memaklumi sekiranya saudara ada memegang apa-apa posisi jawatan di dalam Umno walaupun saudara tentunya memaklumi bahawa saya adalah salah seorang pimpinan PAS Terengganu yang pernah bertanding mewakili parti di dalam Pilihanraya Umum. Perbezaan pandangan politik ini diharap tidak menghalang kita untuk kekal saling menghormati dan menghargai.
Sahabatku,
Sebagai Qadhi, sahabat tentu lebih memaklumi bahawa menjadi calon pilihanraya untuk memikul amanah kepimpinan adalah suatu ‘tragedi’ bagi mereka yang memaklumi beratnya persoalan yang akan ditanggung di hadapan Allah di ‘yaumul hisab’ nanti. Kerana itulah, ucapan tahniah saya sekiranya saudara dipilih adalah bersyarat supaya saudara memikirkan sehalusnya beberapa perkara berikut;
Yang pertama, saya memberikan pesanan kepada saudara supaya bertaqwa kepada Allah kerana ketaqwaan kepadanya akan memberikan jalan keluar bagi setiap masalah yang kita hadapi.
Yang kedua, saya mengingatkan diri saya dan saudara bahawa dengan amanah kepimpinan yang dipegang, kita wajib untuk kita menyebarkan kebaikan dengan semampunya dan mencegah kemungkaran dengan sehabis daya. Apatah lagi apabila kita adalah sebahagian dari kerajaan yang memerintah.
Yang ketiga, sekiranya kita tidak mampu melakukan kebaikan, hendaklah kita memberikan pertunjuk dan membantu orang lain yang ingin melakukan kebaikan. Jangan sekali-kali dengan kuasa yang kita ada, kita menjadi penghalang kepada orang lain yang ingin melakukan kebaikan.
Yang keempat, keharmonian masyarakat perlu dipelihara dan jangan sekali-kali sebagai pemimpin kita menjadi pencetus suasana tidak sihat dalam masyarakat. Hendaklah berusaha keras untuk menolak apa sahaja yang tidak membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.
Yang kelima, memikul amanah kepimpinan bermakna memikul tugas khilafah di atas muka bumi. Khalifah bermakna penganti. Menganti dengan makna kita perlu mentadbir muka bumi ini sebagaimana yang dikehendaki oleh tuan punya bumi ini, Allah!
Yang keenam, berhati-hatilah dengan kenikmatan duniawi yang selalu akan datang mengiringi ‘anugerah’ jawatan dan kepimpinan. Akibat buruknya telah banyak merosakkan ramai manusia dan keperibadian insan.
Akhir sekali, saya berdoa semoga Allah melimpahkan rahmat kepada saudara dan keluarga. Ingatlah misi utama sebagai pemimpin adalah untuk menjaga kemurnian agama dan memimpin dunia dengannya. Islam adalah agama yang memiliki batasan-batasannya, ketentuan-ketentuan. Sesiapa yang dapat melaksanakan dengan sempurna maka sempurnalah imannya dan sesiapa yang belum dapat melaksanakan dengan baik, belum sempurnalah imannya.
Dr Azman Ibrahim AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.
Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
Sebenarnya PAS masih boleh menggunakan surat ini sebagai strategi untuk ‘membunuh watak’ Nik Zulhaiza.
Mereka boleh berkempen kononnya nasihat sudah diberikan tetapi sebagai ‘orang beragama’, Nik Zulhaiza akan dikatakan mementingkan jawatan daripada ilmu yang ada pada dirinya.
Penceramah PAS dan aktivis mereka akan mengatakan walaupun dinasihati oleh rakan baiknya yang sama bersekolah dan sebagainya, Nik Zulhaiza tetap mahu berdampingan dengan UMNO yang dianggap sebagai parti secular yang bukan menunjukkan ‘jalan ke syurga’!
Pas tetap boleh cuba membunuh karier politik awal Nik Zulhaiza dengan mengatakan beliau membelakangkan ilmu agamanya demi jawatan yang mementingkan keuntungan dunia dan usaha membantu pentadbiran Kerajaan Terengganu dalam konteks Islam tidak akan ke mana-mana.
Bijak strategi ini dan pemimpin UMNO wajar memeranginya dengan mengalu-alukan kehadiran Nik Zulhaiza demi imej dan kekuatan parti bekenaan.
Nik Zulhaiza ketika dihubungi Sinar Harian kelmarin berkata, sebagai kakitangan awam berkhidmat dengan kerajaan, beliau akur apa sahaja keputusan dibuat pucuk pimpinan.
"Jika saya diberi mandat untuk bertanding, saya akur dengan keputusan itu tetapi ia bukanlah matlamat asal saya. Apa yang penting, pengetahuan dan pengalaman yang ada pada saya dapat dicurahkan kepada masyarakat, lebih-lebih lagi di tempat sendiri," katanya.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Setiu, Besut dan Kuala Terengganu sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Agama Daerah Besut sebelum bertukar ke Dungun.
Selain beliau, nama lain disebut-sebut ialah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Besut, Zahanapi Sagaf dari Kampung Pangkalan Sentul, Mukim Bukit Puteri, Kuala Besut.
Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun itu dikatakan antara calon selain muka baru anak veteran Umno Kuala Besut iaitu bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang kini jurutera JPS di Putrajaya.
Beliau yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, USM dikatakan antara nama yang disenarai pendek dan dihantar untuk pemilihan pucuk pimpinan parti. Tengku Zaihan adalah anak jati Kampung Seri Seratus, Mukim Kuala Besut sebelum ini dikatakan mesra Umno dan mempunyai ciri menjadi pemimpin.
Tidak terkecuali, pensyarah Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan, Mohamad Mat Kadir dari Kampung Alor Peroi, Mukim Kuala Besut. Walaupun tidak mempunyai jawatan dalam parti tetapi golongan veteran menyukainya.
Ternyata Nik Zulhaiza tidak menolak jika dicalonkan, malah beliau bersedia untuk menyumbangkan bakti melalui UMNO dan BN.
Apakah dengan jawapan itu PAS akan berhenti memujuknya?
Kita tunggu apa pula strategi PAS Besut selepas ini….
Musuh bukan dari luar. Ia berada dalam diri orang Islam sendiri! Menasihati orang lain untuk melakukan yang terbaik sedangkan diri sendiri yang perasan berada dikalangan puak yang mengaku dari kalangan baik-baik, tidak pun melakukan yang terbaik untuk rakyat!Kelemahan ada dimana-mana, dalam keluarga dan anak sendiri pun kerap wujud suasana serupa. Kadang-kadang ibu bapa cepat sangat menghukum anak yang pada matanya tidak berjaya atau tidak baik atau tidak akan mampu memberi mereka apa-apa pulangan setelah membelanya. Dan tidak kurang pula dalam hal sebegini anak yang tidak dijangka itulah yang akan membantunya pada hari tua, itulah juga anak yang akan menampung kepala di ribanya pada masa nazaknya! PAS janganlah berasa dia sahaja yang memperjuangkan agama Islam sedangkan tiada apa pun yang terserlah atas nama PAS untuk dijulang sebagai sumbangan hebat dalam negara! Janganlah PAS tidak tahu kadang-kadang PAS itu hanya lebih KULIT dari ISI!
ReplyDelete