Monday, May 10, 2010
KE MANA BERAKHIRNYA KEMELUT ISTANA KELANTAN?
Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra petang semalam sudah berangkat balik ke Istana Mahkotam selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian Selasa lalu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Tuanku Ismail Petra dibawa pulang ke Istana Mahkota selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu semalam. –Gambar Utusan
Namun, kes istana Kelantan semakin rumit dan tidak akan terhenti di sini.
Kepulangan Sultan Kelantan itu sehari sebelum Mahkamah Khas dijadual bersidang hari ini untuk mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga putera ketiga baginda bagi pihak Sultan Kelantan supaya baginda dibawa keluar dari hospital itu.
Permohonan ini akan mula didengar di Mahkamah Khas di Putrajaya Isnin ini, dengan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.
Peguam Gobind Singh Deo mengesahkan kepulangan Sultan Kelantan itu semalam dan berkata beliau akan berbincang dengan pasangan diraja itu sebelum memutuskan tindakan udang-undang selanjutnya.
Gobind adalah salah seorang daripada enam peguam yang memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Khas Putrajaya Jumaat lalu untuk "membebaskan" sultan dan membolehkan baginda mendapatkan rawatan perubatan pilihannya.
Gobind menafikan laporan media bahawa Sultan Kelantan dalam keadaan kurang upaya.Setahu kami baginda masih sedar, waras dan mengetahui apa yang berlaku,” kata Gobind.
Kemelut istana Kelantan kini semakin bercelaru apabila ada tuduhan kononnya Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid didakwa menggunakan bomoh untuk 'merawat' Sultan Kelantan - Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra.
Keraguan ini timbul apabila "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda ketika dirawat di Singapura.
Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto) mendakwa semalam ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa Raja Perempuan telah menggunakan bomoh untuk 'merawat' sultan dengan "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda di Singapura.
Beliau menyatakan demikian bercakap dalam satu sidang akhbar di Rumah Kelantan di ibunegara semalam bersama adiknya Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto).
Laporan Malaysiakini menyebut, kedua-dua mereka mendakwa bahawa Raja Perempuan, Tengku Anis yang mengawal ketat sultan.
Mereka mendakwa, Tengku Anis yang mengawal siapa yang boleh menziarahi sultan, dan polis, doktor serta kakitangan hospital menjadi sasaran gangguan pembantunya.
Rabu lalu, Tengku Anis mendakwa beliau terpaksa 'mendapatkan perlindungan' di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, malam Selasa lalu kerana kuathir ditangkap polis dan supaya berada di samping suaminya.
Menurut laporan The Malay Mail, Tengku Anis juga mendakwa Sultan Kelantan ditahan tanpa kerelaan baginda dan polis mengabaikan perintah baginda supaya dibawa ke istana.
Akhbar The Malay Mail memetik Tengku Anis sebagai berkata “polis mengheretnya seperti lembu” dalam usaha memaksanya ke balai polis.
Bagaimanapun, petang semalam Tengku Anis menemani Sultan Kelantan yang memakai baju batik berwarna coklat muda berangkat kira-kira pukul 5 petang dengan kawalan ketat polis dan tiba di Istana Mahkota 10 minit kemudian.
Tuanku Ismail Petra kelihatan berada dalam keadaan sihat ketika disorong dengan kerusi roda menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Hamid Hamad berkata, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra telah memperkenankan supaya ayahanda baginda dibawa pulang ke Istana Mahkota.
Juga menarik ialah apabila doktor peribadi Sultan Kelantan, Dr Amir Ramli menegaskan, penilaian tahap kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang dilakukan oleh panel perubatan dikuatiri tidak tepat kerana ia dijalankan dalam keadaan tertekan.
Beliau mempertikaikan kewibawaan 10 pakar perubatan yang menggotai panel itu berkata, ini kerana pemeriksaan berkenaan dilakukan secara mengejut selepas beberapa insiden yang berlaku sejak Selasa lalu.
Panel terdiri 10 pakar perubatan dilantik Kerajaan Negeri Kelantan dengan perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra buat pertama kali berpeluang melakukan pemeriksaan kelmarin terhadap kesihatan Sultan Kelantan sejak dibawa pulang ke negeri ini pada 4 Mac lalu.
"Pemeriksaan yang dibuat secara mengejut itu tidak kena pada masanya ketika baginda masih berada dalam trauma.
"Dari segi etika memang tidak boleh buat laporan perubatan tanpa kerelaan dan keadaan pesakit yang tertekan, saya dapat tahu baginda tidak dapat rehat yang cukup sejak dua tiga hari lalu," kata Dr Ramli.
Selain itu Dr. Amir yang juga pakar perubatan dalaman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pada masa ini tahap kesihatan Sultan Kelantan semakin menurun jika dibandingkan sebelum ini iaitu sejak pulang pulang menjalani rawatan di Singapura.
"Sebelum ini Tuanku okay, rasional, sentiasa senyum dan gelak.
"Sekarang pasukan pakar perubatan di Istana Mahkota mengajar tuanku untuk bangun dan berjalan, boleh saya katakan perubahan dalam peringkat 80 peratus," kata doktor peribadi Sultan Kelantan sejak baginda pulang dari Hospital Mount Elizabeth.
Menurut Dr. Amir, sebelum Sultan Kelantan dirawat di HUSM, seramai tujuh pakar perubatan menjalankan pemantauan kesihatan baginda.
Jelas beliau, empat daripada mereka ialah pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) manakala selebihnya daripada Kuala Lumpur.
"Pemeriksaan pakar-pakar itu dilakukan seminggu sekali tetapi dalam keadaan kes-kes tertentu mereka akan dihubungi pada bila-bila masa.
"Bukan itu sahaja, pakar terbabit juga dibantu oleh lapan orang doktor perubatan lain yang bertugas secara bergilir selama 24 jam di Istana Mahkota, malah sebuah ambulan disediakan oleh HRPZ II" katanya.
Katanya lagi, rawatan yang dilakukan di Istana Mahkota adalah lebih baik dan tersusun jika dibandingkan dengan HUSM.
"Ia dilakukan dalam persekitaran yang relaks dan tenteram, ia lebih baik untuk proses penyembuhan Tuanku," katanya.
Jumaat lalu, Sultan Kelantan memfailkan satu writ habeas corpus berhubung penahanan yang didakwa dialami oleh baginda. Ia difailkan pada kira-kira jam 11.45 pagi ini melalui enam peguam mewakili baginda.
Permohonan itu merupakan kes pertama seumpamanya yang akan didengar di Mahkamah Khas sejak ditubuhkan pada 1993.
Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan peguam berkenaan berkata, permohonan hanya dapat difailkan setelah mereka berjaya mendapatkan arahan daripada ahli keluarga diraja itu.
Lima pihak yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu termasuk Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah HUSM Kubang Kerian.
Juga dinamakan ialah Ketua Pengarah Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan juga Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, kerajaan juga dituntut supaya membuat penjelasan berhubung layanan yang diberikan ke atas Sultan Kelantan yang didakwa telah dinafikan hak dan kebebasannya.
Ditanya sama ada Pemangku Raja,Tengku Muhammad Faris Petra akan dinamakan sebagai reponden, peguam kanan Raja Aziz Addruze menolaknya dan menuding tanggungjawab itu ke atas kerajaan persekutuan dan polis, beliau berkata: "Bagi kami, Pemangku Raja tidak relevan dalam perkara ini.
Pihak yang aktif adalah polis dan kerajaan persekutuan - mereka adalah pihak yang menghalang sultan,” katanya.
Peguam Param Cumaraswamy, yang juga hadir pada sidang media itu berkata kerajaan persekutuan perlu menjawab banyak soalan.
Pada sidang media sama, seorang lagi peguam, Datuk Param Cumaraswamy berkata pihak polis perlu membuat penjelasan segera dalam isu melibatkan penahanan baginda tuanku.
"Kedua-dua ketua polis negeri Kelantan dan ketua polis negara ada banyak penjelasan yang perlu dibuat, mengapa sultan diperlakukan sebegitu rupa. Mereka bertanggungjawab (untuk jelaskan) kepada rakyat dan perlu bertanggungjawab atas segala tindakan yang telah diambil," katanya lagi.
Amat jelas kini kemelut istana Kelantan tidak berkisar dalam istana semata-mata kerana ia kini menjadi kes yang dibicarakan di mahkamah.
Apakah kesan kemelut ini terhadap Kerajaan Persekutuan dan tuduhan bahawa Tengku Anis turut menjadi punca utama dalam kemelut ini selain perebutan takhta yang belum ada penamatnya?
Terimakasih kerana memaparkan banyak peristiwa
ReplyDeleteyg berlaku,ada tanggapan2,andaian2,tafsiran2,soalan2 yg semua nya, boleh di pertikaikan.tetapi semua benda yg negitif buleh di hindar jika semua pihak berpegang dan patuh kpd undang undang tuboh kera
jaan negeri kelantan,juga nampak campor aduk kenpentingan peribadi dan perselisihan dlm mengandali rawatan tuanku al sultan.nampak nya
alsultan menjadi mangsa kpd pertikaian kepentingan dlm keluarga di raja, yg seolah2 berpecah kpd dua kumpolan di samping satu group
berkecuali menanti siapa yg menang dlm pertikian ini. semuga allah menyembuhkan alsultan dari kegeringan dan keadaan akan kembali setabil.dan cerita2 ala holiwood in akan berakhir dgn baik.
Sebagai Negara yang Beraja, perkara sedemikian rupa tidak harus berlaku, kerana Raja harus di sembah.
ReplyDelete