Wednesday, April 28, 2010
ZAID BAWA KEKALAHANNYA KE MAHKAMAH?
Ada sebuah blog mengatakan Zaid Ibrahim kemungkinan akan membantah keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor Sabtu lalu di mahkamah. Kemudian perkara itu disahkan oleh Suara Keadilan online.
Bagi saya ia bukan sesuatu yang pelik. Bukan sesuatu yang bersifat hairan bin ajaib.
Bukan sahaja kerana Zaid memang seorang peguam terkenal.
Dalam pilihan itu Zaid kalah ditangan P Kamalananthan dengan kekurangan undi sebanyak 1,725. Beliau mendapat 23,272 undi manakala Kamalanathan mendapat 24,997. Sebanyak 731 undi yang ditolak
Bukan Zaid sahaja tidak puas hati, malah seluruh tenaga kerja Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS, DAP dan sesetengahnya yang tidak berparti juga merasakan demikian.
Apa tidaknya. Kumpulan penyelidik yang buat kerja untuk pembangkang, terutamanya PAS meramalkan pembangkang akan menang.
Sehari sebelum pembuangan undi Zentrum Future Studies membut anggaran bahawa kemenangan ada di pihak pakatan pembangkang dengan kelebihan 56.2 daripada 63,701 pengundi Hulu Selangor.
Dengan penuh keyakinan pusat kajian itu meramalkan pakatan pembangkang akan menang apabila pengundi membuang undi di 48 pusat pengundian yang menyediakan 136 saluran mengundi di 47 buah sekolah bermula jam 8.00 Sabtu lalu.
Dengan kata lain hasil kajian itu seolah-olah Zaid mendahului dengan 56%.
Apakah taktik membawa penganalisis bebas untuk buat survey sebagai usaha memujuk atau mempengaruhi pengundi seolah-olah pembangkang sedang mendahului?
Berdasarkan keyakinan 56 peratus itu, majlis di stadium mini Kuala Kubu Baru yang dihadiri Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan lain-lain pemimpin pembangkang bagaikan majlis meraikan kemenangan sedangkan hakikatnya ramalan 56 peratus itu adalah kepercayaan palsu.
Kajian itu ternyata ‘menipu’penyokong pembangkang, yang dikatakan seramai 20,000 khususnya daripada PAS dan Nik Aziz yang meminta pengundi mengundi Zaid, rupa-rupanya turut tertipu dengan ramalan itu.
Zentrum pimpinan Dr Abu Hassan Hasbullah yang dilaporkan membuat kajian lapangan secara agresif dikatakan mengeluarkan laporan setiap jam dua hari sebelum hari mengundi.
Ia bermula dengan kemenangan berpihak kepada pakatan pembangkang diwaktu pagi, BN menang di waktu tengahari tetapi berakhir dengan kemenangan bergaya di pihak PR pada akhir malam menjelang hari mengundi iaitu 56.2 peratus untuk PR dan 43.8 peratus untuk BN.
Berikut antara statistik yang diberikan oleh Zentrum.
Bilik gerakan PAS menjangka, calon PR akan menang. "Jika keluar mengundi 75 peratus, kami jangka akan menang sekitar 556 undi," kata Pengarah Operasi jentera pilihanraya PAS, Jamaliddin Elias kepada Harakahdaily dua hari sebelum mengundi.
Ternyata, Zaid dan bosnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mampu menerima kekalahan sebelas merasakan mereka akan menang dengan majorti lebih baik kali ini.
Kata Zaid, dia kalah kerana permainan kotor BN. Zaid kata lagi, Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri telah menghabiskan RM64 juta untuk menang majoriti 1725 undi di Hulu Selangor. Kata Zaid, gerombolan penjahatnya kalah kerana permainan kotor Kerajaan Pusat yang didominasi oleh UMNO.
Zaid mendakwa sistem pilihan raya di negara ini tidak adil dan bersih.
Bekas menteri yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu mendakwa, BN menang kerana membeli sokongan pengundi di kawasan itu.
Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali berkata, ketika ini Zaid yang juga seorang peguam terkemuka sedang membuat penyelidikan dan pengumpulan bahan bukti secara teliti sebelum tindakan tersebut diambil berikutan beberapa kejadian pembelian undi dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh berkempen.
Menurutnya, perbuatan itu juga akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dilaporkan Zaid bersama-sama peguam-peguam terkenal sudah mencadangkan untuk menyelidik hal ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap rasuah yang telah berlaku.
Menurut blog berkenaan, dilaporkan juga satu panel terdiri dari kalangan peguam terkemuka akan dibentuk untuk merangka satu memorandum untuk dihantar NGO hak asasi manusia dan pencinta demokrasi tulen di seluruh dunia. Memorandum itu menjelaskan kepincangan berhubung proses perjalanan pilihan raya di negara ini yang dikatakan berat sebelah, tidak ada dan memperalatkan jentera kerajaan.
Memorandum ini bakal menjadi dokumen baru untuk digunakan oleh para pendokong demokrasi tulen bagi mengkritik perjalanan pilihan raya di negara ini. Ia juga nanti akan digunakan oleh Bersih - sebuah badan bertindak dan memperjuangkan pilihan raya bersih dan telus yang pernah berarak menggegarkan negara beberapa tahun lalu.
Sekiranya memoranum ini menjadi kenyataan inilah tindakan pertama secara profesional diambil bagi mempersoalkan kepincangan perjalanan pilihan raya dan demokrasi di negara ini yang dikatakan pincang dan tidak berlaku adil kepada parti pembangkang.
Berikutan itu, Dr Syed juga berkata, UMNO dan Barisan Nasional tidak perlu berseronok dengan kemenangan yang diperolehi kerana calon Pakatan Rakyat tidak mengalami kemerosotan undi malah Pakatan Rakyat bertekad untuk meneruskan kemenangan pada pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment