Apabila timbul isu kemungkinan beberapa ADUN pembangkang di Selangor akan melompat ke Barisan Nasional (BN), ramai daripada mereka jadi gelabah.
Ada yang sudah tidak boleh duduk diam dan mula membayangkan siapa-siapakah yang akan menjadi katak.
Dengan berasaskan ramalan buta dan hearsay, wujud pelbagai teori bodoh yang menyebabkan antara mereka mengata dan memgesyaki satu sama lain. Paling sedapnya tuduh menuduh ini langsung tidak dikaitkan dengan UMNO atau parti komponen BN yang lain. Ia hanya antara sesama mereka – PAS, DAP dan PKR.
Persoalan pokok di sini ialah antara sesama mereka kini sudah ada syak-wasangka dan masing-masing memerhati antara satu sama lain. Dengan kata lain mereka mula melupakan pesaing mereka dari UMNO dan parti komponen yang lain. Yang menjadi renungan dan jelingan ialah sesame mereka.
Maka mulalah ada rating umpamanya ADUN yang ‘berisiko tinggi’ (yang dijangka mudah melompat) dan sebagainya.
Dalam satu entri Merdeka Review, bertajuk “Rampasan kuasa Selangor: Perancangan 16 September berulang?” bertarikh 2 September lalu, penulis Wong Shu Qi menyebut, desas-desus bahawa Perdana Menteri, Najib bakal merampas kuasa kerajaan negeri Selangor daripada pakatan pembangkang pada September tahun ini, mungkin berakhir seperti perancangan 16 September, tahun lalu.
Siapakah tokoh yang diwar-warkan sebagai berada pada tahap risiko tinggi?
Exco paling controversial disebut ialah, Datuk Hasan Mohd Ali juga Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor.
Selepas tsunami politik 8 Mac 2008, Hasan Ali dikatakan pernah ditawarkan jawatan Menteri Besar, diberi laluan oleh Datuk Seri Mohd Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor) sebagai langkah untuk memastikan UMNO terus berkuasa di Selangor. Itupun menurut seorang pemimpin PAS.
Hasan Ali bagaimanapun dikatakan terpaksa akur dengan keputusan PAS Pusat, untuk bersama dengan pakatan pembangkang.
Berikutan itu gerak-geri Hasan Ali kebelakangan ini dibaca sebagai desakan untuk menuntut lebih sumber daripada kerajaan pakatan pembangkang.
Walaupun pemimpin DAP Selangor, Teresa Kok tetap menolak kemungkinan rakan sekerjanya untuk melompat parti, berasaskan kenyataan bahawa PAS tidak mungkin menarik diri dari kerajaan negeri PR, tetapi Hasan Ali boleh melompat secara individu.
Pemimpin DAP itu walaupun yakin Hassan Ali tidak akan melakukan sedemikian tetapi menganggap desas-desus rampasan kuasa serta lompat parti tetap akan menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kerajaan PR Selangor.
Selain Hassan Ali, Amirudin Shaari juga diperhatikan kerana beliau dikatakan juga yang berisiko tinggi. Dengan acara lompat menggunakan formula 3-2-3, iaitu tiga dari PAS, dua dari DAP dan tiga dari PKR, Merdekareview dimaklumkan hanya lima orang ADUN yang berkemungkinan melompat parti, iaitu dua dari PKR dan tiga dari PAS.
Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim pula meramalkan maksimanya empat orang yang berkemungkinan lompat parti, tanpa menamakan siapa mereka.
ADUN Batu Caves, Amirudin dan ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafei, adalah seorang lagi yang tersenarai dalam "golongan berisiko". Amirudin pernah rapat dengan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd.Ezam Mohd.Nor. Amirudin pernah menjadi AJK ketika Ezam menerajui AMK, dan Mat Suhaimi Shafei pula adalah ahli ketika Ezam menjawat Ketua Bahagian Shah Alam. Ezam meninggalkan PKR sebelum PRU ke-12, dan menyertai semula UMNO selepas PRU ke-12.
Badrul Hisham Abdullah yang "gagal dihubungi" juga disenaraikan sebagai "golongan berisiko tinggi". Kerajaan PR Selangor dan PKR telah menuntut beliau untuk memberi perjelasan dalam minggu ini.
Pengalaman kedua-dua orang ADUN PKR di Perak, Jamaluddin Radzi dan Osman Mohd. Jailu menghilangkan diri sebelum muncul di depan kamera dalam sidang media bersama Najib, masih segar dalam ingatan. Lompatan kedua-dua orang ini, ditambah pula ADUN DAP Hee Yit Foong yang berakhir dengan kejatuhan Perak ke tangan BN, telah dijadikan sebagai pengajaran untuk pakatan rakyat.
Menurut Merdekareview, Teresa Kok berpendapat, UMNO tidak bersedia menjatuhkan kerajaan kerajaan pakatan pembangkang Selangor melalui lompat parti tetapi ia lebih cenderung untuk menggunakan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Di Perak, Jamaluddin Radzi dan Osman Mohd. Jailu dituduh rasuah terlebih dahulu, berakhir dengan kedua-dua orang mengambil pendirian pro-UMNO, dan tuduhan awal itu "lenyap" setelah mereka menyebelahi BN. Maka, apa yang berlaku ke atas Exco Selangor, Ronnie Liew mengundang pertikaian.
Ronnie Liew yang memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan menafikan kemungkinan lompat parti, malah dengan tegas menyatakan, "Siapa yang menyebut 'lompat parti' kepada saya, saya akan laporkan!"
Analisis Merdekareview ini mendapat kritikan dan perhatian PAS Selangor khususnya Ketua Penerangan / Pengerusi Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.
Menurut Roslan: “Saya sendiri semalam ditanya oleh seorang pemberita akhbar Cina tentang khabar angin ini. Bagaimana dengan ADUN-ADUN PAS tanya beliau? Saya nyatakan kesemua lapan ADUN PAS Selangor sedang sibuk bekerja di bulan Ramadhan ini, padat dengan program yang disusun parti selain aturcara masing-masing sebagai EXCO dan ADUN. Mereka tidak lari dan tidak menyembunyikan diri (satu tindakan biasa bagi ADUN yang mahu lompat).
Saya nyatakan bahawa saya sungguh yakin insyallah tidak ada seorang pun ADUN PAS yang tergamak untuk melompat apalagi menyumbang ke arah kejatuhan kerajaan ini.”
Cara beliau yang defensif menggambarkan betapa PAS Selangor kurang gemar dengan komen pemimpin DAP mengenai lompat melompat ini. Selain itu kebimbangan tetap terpancar pada PAS sendiri bahawa kemungkinan akan timbul kekecewaan di kalangan pemimpin mereka bukan sesuatu yang boleh disembunyikan lagi.
Kata Roslan: “PAS mungkin ada berbeza pandangan dalam hal-hal tertentu dalam mentadbir Selangor, tetapi semuanya ditangani melalui musyawarah. Pimpinan PAS Selangor sentiasa rapat dengan pimpinan PAS di semua peringkat, tidak terasing atau berjalan sendiri-sendiri.
Di peringkat Selangor forum politik tertinggi iaitu Majlis Pakatan Rakyat berjalan lancar, menemukan 6 pimpinan tertinggi masing-masing parti setiap dua minggu sekali secara konsisten dan insyallah esok adalah mesyuarat seterusnya.
Ringkasnya bagi PAS, perjuangan lebih 50 tahun di bumi politik Selangor yang sungguh gersang ini kini membuahkan hasil dengan menjadi sebahagian dari kerajaan yang memerintah bumi bertuah ini. Doa, pengorbanan dan airmata yang ditumpahkan oleh para pejuang yang awal insyallah tidak akan dipersia-siakan apalagi mandat yang diberikan rakyat pada PRU 12 lalu...
Kesimpulannya saya percaya kerajaan negeri ini akan mampu bertahan sehingga tamat penggalnya. Jika ada pun yang mahu melompat, ia tindakan orang yang kecewa dan menggadaikan amanah rakyat. PAS insyallah akan kekal 8 walau apa berlaku. Sejarah daya tahan dan kekuatan dalaman wakil-wakilrakyat PAS telah lama terbukti. Kali terakhir wakil rakyat PAS meninggalkan parti adalah lebih 30 tahun lalu apabila berlaku krisis politik Kelantan sehingga lahirnya Berjasa dan Hamim.”
Di sebalik itu, Roslan menganggap tuduhan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor oleh Wong sangat jahat, lebih-lebih lagi tiada ruang diberikan untuk Hasan Ali membela diri atau sekurang-kurangnya pimpinan kanan PAS Selangor diminta pandangan.
Menurut Roslan, biarlah Umno dan BN Selangor bersedap-sedap menunggu 16 September bersama Wong, kerana mereka dari PAS Selangor dan kerajaan pakatan pembangkang Selangor ada banyak tugas dan kerja yang perlu dilaku dan dibereskan.
Apa pun Roslan menunggu reaksi Wong pada 17 September nanti.
No comments:
Post a Comment