Sunday, June 28, 2009
PENGURUS LAWAN PEMBORONG IKAN DI MANEK URAI
Sumber: Bernama/Berita Harian
Barisan Nasional (BN) memilih Pengurus Bahagian Pemantauan Projek Kesedar Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Tuan Aziz, 39, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, pada satu majlis yang diadakan di Kampung Sok Luar, Manek Urai, di sini.
Turut hadir, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai Datuk Mustapa Mohamed, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri Datuk Rosnah Rashid Shirlin, pimpinan Umno dan parti komponen tempatan.
Tuan Aziz berjanji akan membantu membangunkan Manik Urai jika dipilih pengundi untuk mewakili kawasan itu.
Anak kelahiran Kuala Krai dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata beliau yang dibesarkan di Kuala Krai memahami kehendak penduduk di situ yang mahu sesuatu dilakukan bagi membangun kawasan tersebut.
Beliau yang bertugas sebagai Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu mahu memanfaatkan pengalamannya yang pernah bekerja di sektor swasta dan kerajaan untuk tujuan tersebut.
"Saya sudah biasa dengan permasalahan rakyat di sini dan amanah untuk mewakili BN akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh," katanya.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada Pas, Ismail Yaakob, akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon manakala 14 Julai sebagai hari pengundian.
PAS mengumumkan calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Bahagian Kuala Krai pada malam Jumaat lepas.
Pilihan raya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung. Hari penamaan calon pilihan raya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.
Muhyiddin ketika membuat pengumuman itu berkata pemilihan Tuan Aziz direstui dan mendapat sokongan padu pimpinan parti termasuk Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga semua peringkat Umno selain diterima baik anggota akar umbi.
Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihan raya yang diketuai Mustapa, dapat menebus kekalahan BN di kerusi itu pada pilihan raya Umum 8 Mac tahun lalu.
Muhyiddin menolak dakwaan berlakunya "cah keting" (cantas mencantas) dalam proses pemilihan calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai seperti dakwaan Pas adalah tidak benar.
"Itu anggapan Pas sahaja berlakunya cah keting dan ia tidak pernah berlaku dalam pemilihan sebaliknya calon ini mendapat sokongan semua pihak.
Muhyiddin yang mengumumkan calon BN itu di Kampung Sok Luar hari ini berkata Tuan Aziz ini bukan sahaja mampu menarik sokongan golongan muda tetapi berdasarkan sokongan yang diterima, BN yakin semua golongan akan menerimanya dengan baik.
Pilihan raya kecil DUN Manek Urai akan diadakan pada 14 Julai ini.
Pas sebelum ini mengumumkan Mohd Fauzi Abdullah, 50, sebagai calon mereka bagi mempertahankan kerusi DUN itu.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno mengulangi bahawa Tuan Aziz adalah calon terbaik BN dan jika menang pada pilihan raya kecil itu, kerajaan pusat akan melaksanakan program pembangunan di kawasan itu.
"Kita akan laksana pembangunan tidak kira siapa pun yang menguasainya seperti sekarang walaupun Pas yang menguasainya," katanya.
Beliau berkata, apa yang lebih penting semua pihak dalam Umno dan BN perlu bersatu padu dan bekerja keras untuk menjamin kemenangan.
Katanya, BN mempunyai strategi tersendiri bagi menarik sokongan rakyat terhadap BN dan mengulangi bahawa parti itu adalah serius untuk membangunkan kawasan tersebut.
"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sinidan berkelulusan tinggi.
"Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng," katanya.
"Mengikut perlembagaan parti, jika ada kerusi yang kosong dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan adanya pilihan raya, kita perlu runding untuk pilih calon, runding dengan (Umno) Negeri, bahagian.
"Kita beri peluang semua untuk kemuka pandangan. Susahnya kita di Manek Urai ini (untuk pilih calon), kerana ada ramai tokoh yang layak. Bagaimanapun, kita timbang secara halus, kita letakkan calon yang diterima pengundi," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manek Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.
Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat."Dia calon BN. Saya sendiri akan bantu jadikan Manek Urai simbol kebangkitan semula Umno dan BN. Dalam masa yang sama, kita akan lihat bagaimana kawasan ini boleh dimajukan," katanya.
Katanya sejak dari awal penubuhannya, BN yang ditunjangi Umno terbukti mampu membela nasib rakyat seluruh negara dan tradisi itu akan tetap diteruskan.
"Kita akan teruskan perjuangan pemimpin terdahulu, untuk bangunkan negara dengan dasar yang jelas, iaitu setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan adil dan saksama.
"Niat kita jelas, pembelaan rakyat diteruskan di bawah payung Umno dan BN. Jadi kita mahu Manek Urai dikuasi sekali lagi oleh Umno dan BN," katanya.
No comments:
Post a Comment