Thursday, January 14, 2010

WAN AHAMAD MENYOROK DI TERENGGANU?

(WAN AHMAD DALAM PENTADBIRAN & POLITIK TERENGGANU - Bahagian Keempat)

Wan Ahamad Wan Muda – Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar tidak pergi mengikuti kursus tiga bulan di London?

Banyak suara mengatakan demikian dan anehnya ada seseorang yang berpangkat amat tinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri turut menyatakan demikian.

Hairan sungguh dengan orang ini yang kebetulan perkhidmatannya tidaklah sehebat mana dan dianggap sering çuba menggagalkan program dan rancangan Menteri Besar.

Dengan menggunakan Wan Ahamad sebagai punca orang ini mencari apa sahaja celah untuk kondem Menteri Besar dengan mengaitkan Wan Ahamad puncanya.

Malah orang ini bukan sekadar memuji bekas Menteri Besar lalu tetapi dalam beberapa perkara tidak mematuhi arahan Menteri Besar.

Malah, dia konconya mengatakan Wan Ahamad sebenarnya bukan pergi belajar ke London tetapi sedang bermain ‘wayang kulit’di Terengganu.

Menurut mereka ini, Wan Ahamad sering berulang alik Kuala Terengganu – London – Kuala Terengganu untuk terus menjadi ‘tangan ghaib’kepada Menteri Besar.

Malah, menurut mereka ini, Wan Ahamad terus berkuasa dan ‘menggangu’urusan Menteri Besar dan menyukarkan banyak pihak.

Sedangkan hakikatnya, jawatan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) adalah juga pegawai kerajaan dan seorang Menteri Besar ‘tidak pandang’pun kepada seorang kakitangan kerajaan seperti beliau.

Jawatan SUSK adalah bertaraf N48 dan jika pun beliau dibayar gaji bertaraf JUSA, itu bukan kerana apa tetapi memang jawatan itu telah lama wujud di situ dan Wan Ahamad dianggap layak.

Tanyalah pandtadbiran sebelum ini kenapa mewujudkan kedudukan sedemikian. Salah Wan Ahamadkah kalau beliau dilantik pada pangkat sedemikian walaupun sarangnya N48.

Selain itu, dalam konteks politik dan pentadbiran, Setiausaha Politik dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) lebih berkuasa.

Namun, balik-balik Wan Ahamad yang jadi mangsa.

Persoalannya apa?

Mungkin juga Wan Ahamad berjaya menyekat kumpulan ‘penyamun tarbus’daripada mendekati Ahamad Said dengan pelbagai projek kononnya untuk rakyat sesuai dengan dasar kerajaan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Kumpulan ‘penyamun tarbus’ini mahu ‘main langgar’sahaja dalam mendapatkan projek, malah sesetengahnya bijak memanipulasikan keadaan dan membuatkan Datuk Ahmad Said percaya.

Mereka datang dengan matlamat menggunakan ‘Wang Ehsan’ untuk projek-projek tertentu sedangkan banyak projek bertujuan membangunkan rakyat khususnya di kawasan yang masih ketinggalan.

Jadi apa tugas penasihat Menteri Besar seperti Wan Ahamad yang dikenali Menteri Besar sekian lama?

Pokok pangkalnya, Wan Ahamad ada latar pentadbiran dan undang-undang yang mampu memberikan sesuatu yang bersifat alternative kepada Menteri Besar.

Wan Ahamad dibantu oleh beberapa orang lain sama ada dari Pejabat Menteri Besar sendiri atau institusi lain.

Wan Ahamad tidak menyorok dan tidak pulang pun ke Terengganu.

Beliau dijangka pulang akhir Januari ini dan cakap-cakap mengatakan beliau tidak akan duduk di kerusi lamanya.

Itu cakap-cakap ketika ini!

Ke mana Wan Ahamad selepas ini?

Seperti tajuk entri saya sebelum ini bahawa ‘Wan Ahamad bukan pilihan MB’, Wan Ahmad mungkin kembali berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam Terengganu (TCS).

Tidak perlu gusar di mana Wan Ahamad akan ditempatkan kerana sehari dua ini, kerajaan Terengganu dijangka akan mengumumkan rombakan pentadbiran yang akan menyaksikan beberapa kejutan.

Namun perlu diingat, sejauh mana pun Wan Ahamad akan ditempatkan, hubungan istimewa beliau dengan Ahamad Said bukan baru.

Dalam hubungan politik dan perniagaan hari ini, ikatan bukan diasaskan kepada ‘know how’ semata-mata tetapi juga KNOW WHO.

Kesimpulannya, walaupun Wan Ahamad mungkin tidak lagi menjadi SUSK, beliau tetap akan terus ‘akrab’dengan Ahmad Said!

Dengan kata lain, ‘penyamun tarbus’ berhati-hatilah.

(Ikuti Bahagian Kelima)

AHMAD SAID TIDAK AKAN ‘SOROK SAMPAH DI BAWAH PERMAIDANI’

Ikrar Menteri Besar Terengganu: "Kita tidak mahu sembunyikan sampah di bawah permaidani. Jika kita terima kertas siasatan berkenaan, kita akan dedahkan. Kita mahu tahu puncanya dan kita tidak akan sembunyikan segala fakta.

"Ini kerana kelemahan-kelemahan itu perlu didedahkan untuk kebaikan masa depan, supaya semua pihak ambil iktibar ke atas apa yang berlaku," kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Beliau menyatakan perkara ini mengulas laporan kertas siasatan berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada 2 Jun lepas.

Katanya, kerajaan negeri Terengganu akan mendedahkan segalanya dan tidak satupun akan disembunyikan.

Beliau menyatakannya selepas mendengar taklimat di Pejabat Tanah dan Galian sempena Pelancaran Program Pendaftaran Urusniaga dan Bukan urusniaga Dalam Masa Satu Hari di Kuala Terengganu semalam.

Pada 7 Januari lalu, Kementerian Kerja Raya menyatakan ia mengenal pasti tiga punca utama yang menyebabkan berlakunya kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak itu.

Tiga punca itu ialah reka bentuk bahagian bumbung yang tidak mengikut spesifikasi bangunan, kualiti bahan-bahan binaan yang digunakan serta pengawasan yang lemah ketika stadium itu dibina.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, laporan punca kejadian bumbung runtuh itu telah disediakan oleh 10 penyiasat bebas daripada agensi kerajaan dan badan profesional yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR).

Berikutan iu, arkitek prinsipal Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Senibahri Arkitek, mencadangkan pihak berkuasa menyiarkan laporan penuh berhubung bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM280 juta yang runtuh itu.

Pemiliknya, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, selagi laporan penuh tidak dikemukakan, selagi itulah rakyat akan tertanya-tanya tentang pihak manakah yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.

''Laporan yang disiarkan akhbar baru-baru ini tidak sepenuhnya dan selagi tidak didedahkan kepada umum, selama itulah aspek integriti dipersoalkan," katanya mengulas laporan akhbar Jumaat lalu yang menyebut Kementerian Kerja Raya mengenal pasti tiga punca utama yang menyebabkan berlakunya kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.


Mengulas lanjut Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, disebabkan pengumuman kurang lengkap mengenainya, ia menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada menjawab isu tersebut.

Katanya, walaupun menjadi perunding arkitek dan jurutera projek, namun mereka tidak diberikan tanggungjawab di dalam kerja-kerja pengawasan dan pemantauan sepanjang proses pembinaan.

''Kami juga tidak dilantik sebagai pegawai penguasa untuk projek tersebut. Kami ingin membuat kenyataan ini demi memenuhi tanggungjawab kami dan memelihara integriti kami sebagai profesional dalam isu pengawasan pembinaan bumbung tersebut," katanya.

Raja Kamarul Bahrin Shah menambah, pihaknya telah melapor dan menjelaskan peranannya kepada pihak Lembaga Arkitek Malaysia dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Jun tahun lalu.

Katanya, dengan adanya penjelasan tersebut ia diharap dapat mengelak salah anggapan dan salah faham tentang peranan arkitek yang terbatas di dalam pembinaan projek tersebut.

Katanya, pihaknya menunggu lapan bulan laporan dan hasil siasatan yang disediakan oleh 10 penyiasat bebas daripada agensi kerajaan dan badan profesional yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR), namun laporan yang disiarkan tidak menyeluruh.

"Laporan tersebut tidak menunjukkan siapa atau pihak mana yang perlu bertanggungjawab terhadap runtuhan tersebut secara menyeluruh sehingga menyebabkan kami yang tidak sepatutnya terlibat perlu menerima tohmahan dan andaian 'nakal' banyak pihak," katanya.

Ahmad Said berkata semalam, pendedahan itu dilakukan perlu bagi menjaga imej kerajaan negeri dan masa depan negara.

Bagaimanapun, sehingga ini kerajaan negeri masih belum menerima sebarang laporan rasmi kertas siasatan berhubung kejadian itu.

Katanya, ini kerana banyak lagi projek-projek yang berskala besar dan kecil yang akan dilaksanakan pada masa depan di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak perlu berhati-hati dan bertanggugjawab agar segala perancangan yang dibuat tidak menimbulkan masalah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan gesaan arkitek prinsipal Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Seni Bahri Arkitek Raja Datuk Kamrul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah yang mahukan pihak berkuasa menyiarkan laporan penuh berhubung kejadian bumbung stadium itu runtuh.

Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM280 juta di Gong Badak runtuh pada 2 Jun lepas setelah setahun siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) pada 31 Mei 2008.

Sunday, January 10, 2010

PADAMKAN SEGERA API KEMARAHAN...

Ada pihak sengaja mempersendakan nasihat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.


Yang di-Pertuan Agong semalam menitahkan semua pihak supaya sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Ini nasihat daripada ‘penjaga’ kesucian agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

Tuanku Mizan juga menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat-tempat ibadah tanpa mengira kaum.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Seri Paduka memandang serius isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu, baru-baru ini juga meminta rakyat menghormati tempat ibadat agama masing-masing tanpa mengira kaum.

Namun apakah pihak-pihak tertentu menghormati nasihat Yang di-Pertuan Agong itu? Apakah dengan melanggar nasihat itu menunjukkan pihak tertentu daripada jenis ekstrem atau sengaja mahu merosakkan hubungan umat Islam dengan penganut agama Kristian?

Pihak berkuasa jangan melihat nasihat yang di-Pertuan Agong sebagai remeh dan bertindaklah sewajarnya kepada pihak yang membakar gereja tidak jauh dari ibukota.

Ini berikuatan pada pagi semalam, tiga buah gereja dibaling dengan bom buatan sendiri. Tiga buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer serta Gereja Life Tabernacle, kedua-duanya di Petaling Jaya.

Dilaporkan sebuah lagi gereja, Good Sheperd Lutheran di Jalan Othman di sini dilaporkan turut menjadi

sasaran pihak tidak bertanggungjawab apabila dilempar bom petrol. Kejadian itu hanya disedari seorang paderi di gereja terbabit pada pukul 2 petang semalam.

Insiden pertama berlaku pada kira-kira jam 12.30 malam di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati apabila dipercayai seorang lelaki bermotosikal membaling topi keledar berisi bom petrol melalui tingkap gereja tersebut.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam mengumumkan geran bantuan berjumlah RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernancle bagi menempatkan semula gereja berkenaan.
Isunya bukan sekadar membayar ganti rugi. Namun yang penting ialah bagaimana menghapuskan syak-wasangka di kalangan orang Islam dan Kristian.

Jangan biarkan sampai api kemarahan memuncak dan pertelingkahan kaum bermula. Sukar memadam dan

menghapuskannya.

Janganlah asyik memberi amaran tanpa tindakan sejawarnya. Jika ada orang Islam yang melampau dan boleh menggugat kestabilan, bertindaklah!

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, malah sedia menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menghalangnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula berkata kawalan keselamatan di gereja di seluruh negara dipertingkatkan dengan polis mengadakan rondaan yang lebih kerap.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata adalah “Haram memusnahkan rumah ibadat agama lain.” Beliau berkata, kerajaan harus bertindak tegas terhadap pihak yang membangkitkan isu ini sebelum ia menjadi bertambah kritikal.

“Tindakan seperti melucutkan hak kerakyatan patut dikenakan ke atas mereka yang cuba mengganggu-gugat keamanan dengan mencetuskan ketegangan seperti ini.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Islam melarang perbuatan merosakkan rumah ibadat seperti yang berlaku semalam. Beliau percaya, perbuatan tersebut dilakukan oleh individu yang tidak memahami ajaran Islam dan mengikut nafsu amarah.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Perak pula berharap tidak ada pihak cuba menangguk di air yang keruh atau membuat provokasi.

Semalam, Tuanku Mizan menitahkan semua pihak terutamanya umat Islam agar bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Seri Paduka menzahirkan harapan itu memandangkan kerajaan sedang mengambillangkah-langkah yang perlu berikutan keputusan mahkamah itu dan semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Tuanku Mizan memandang serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rabu lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katholik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara.

Penangguhan ini berjaya diambil berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri serta Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia demi kepentingan rakyat dan negara.

Friday, January 8, 2010

PUNCA STADIUM RUNTUH – APA TINDAKAN SELANJUTNYA?


Kerajaan negeri Terengganu dijangka akan menerima laporan jawatankuasa siasatan yang mengkaji punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan satu lagi salinan dikemukakan kepada pejabat peguam negara.

Laporan itu menyebut beberapa faktor menyebabkan keruntuhan stadium berkenaan pada 2 Jun tahun lepas.

Antara puncanya ialah:


1. Bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi;
2. Faktor reka bentuk yang tidak memadai;
3. Bumbung yang tidak dibina dengan sempurna;
4. Kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek;
5. Pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan; selain
6. Kerja dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium.

Laporan Benama menyebut, bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi dikenal pasti antara punca utama struktur bumbung kerangka Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, runtuh Jun tahun lepas.

Menurut laporan jawatankuasa siasatan kejadian itu, faktor reka bentuk yang tidak memadai, bumbung yang tidak dibina dengan sempurna dan kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek turut menyumbang kepada kejadian tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor yang mendedahkan laporan jawatankuasa siasatan itu hari ini berkata, siasatan juga mendapati pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan selain dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium berkenaan.

Mengulas perkara itu, Shaziman berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang juga bersetuju supaya laporan itu diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu, manakala satu lagi salinan dikemukakan kepada pejabat peguam negara, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Shaziman, yang ditemui ketika mengadakan lawatan kerja ke Hubungan Kerinchi Arah Utara Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dekat sini, berharap kerajaan negeri Terengganu dapat menggunakan hasil laporan itu untuk mengambil langkah susulan.

"JKR juga telah memaklumkan kepada kerajaan Terengganu supaya kerja-kerja mengubah runtuhan yang ada di kawasan stadium itu boleh dilakukan dan kerja-kerja pembaikan boleh dimulakan," katanya.

Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lepas, bumbung stadium berkenaan di Gong Badak yang berharga RM300 juta dan siap dibina pada Mei tahun yang sama untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh secara tiba-tiba.

Ekoran kejadian itu, sebuah jawatankuasa siasatan terdiri daripada 10 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan profesional berkaitan diberi masa enam bulan untuk melaksanakan penyiasatan dan menyiapkan laporan akhir ekoran kejadian keruntuhan bumbung utama stadium berkenaan.

Jawatankuasa itu dipertanggungjawab antara lain untuk mengenal pasti punca kejadian, mengesyorkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian itu berulang dan mengemukakan cadangan pembinaan semula stadium.

Setelah mengetahui puncanya, apakah tindakan lanjut terhadap pihak-pihak yang terbabit yang bertanggungjawab terhadap masalah itu?

Berapa lama lagikah stadium akan dibiarkan sedemikian atau akan dibaiki segera?