Wednesday, February 25, 2009

PEMUDA UMNO CELAKA

Mana maruah dan keberanian Pemuda UMNO?

Mana pemimpin yang menghunus keris dan melaungkan “Hidup Melayu”?

Pengerusi DAP, Karpal Singh sudah melaungkan “Pemuda Umno ini celaka” dan apa pemimpin Pemuda UMNO mahu melakukan terhadapnya?

Menggelarkan dirinya Raja, “Singh is King”, Karpal kini berani merendahkan Pemuda UMNO ke darjat paling jijik pernah dibuat oleh seseorang pemimpin pembangkang.

Dua calon Ketua Pemuda UMNO – Khairy Jamaluddin dan Datuk Mukhriz Mahathir adalah dua anggota Dewan Rakyat di mana Karpal mengeluarkan kata-katanya.

Ketua Pemuda UMNO yang akan melepaskan jawatannya – Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga Ahli Parlimen.

Sementara calon Naib Ketua – Datuk Razali Ibrahim juga adalah Ahli Parlimen. Setiausaha Kerja Pemuda UMNO juga anggota Dewan Rakyat.

Walaupun Karpal tarik balik itu setelah dipaksa.

Di mana pemimpin Pemuda ini mahu letak muka? Tidak malu?

Saya mahu lihat apa dibuat oleh Pemuda UMNO. Mungkinkah akan ada perhimpunan seperti pada 1988 di Stadium TPCA?

Hari ini di Dewan Rakyat, Pengerusi DAP Karpal Singh terpaksa menarik balik perkataan “celaka” yang ditujukan kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih bagi titah ucapan Yang di-Pertuan Agong hari ini, wakil rakyat Bukit Gelugor itu pada mulanya menyentuh mengenai 100 laporan polis yang dibuat terhadapnya selepas beliau membuat kenyataan mahu menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung krisis politik di Perak.

“Barangkali ini jadi satu rekod dalam dunia,” katanya.

Selain laporan polis terhadapnya itu, Karpal juga menerima ugutan apabila dua butir peluru ditemui dalam satu sampul surat di kediamannya di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Dua peluru Tuan Speaker. Dalam Seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri, jika seseorang memiliki satu peluru dan didapati bersalah hukumannya mandatori maut. Saya mahu tahu di mana celaka Pemuda Umno ini mendapat dua peluru ini.”

Kata-kata Karpal itu menyebabkan Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) segera bangun meminta supaya beliau menarik balik kenyataan itu dan menyatakan Karpal tidak boleh menyatakan sedemikian tanpa bukti.

“Pemuda Umno ini celaka. Jangan ganggu saya,” katanya meneruskan perbahasan sebelum keadaan menjadi riuh rendah, mendorong Wan Junaidi menegur Karpal agar tidak menggunakan perkataan itu lagi.

“Bukit Gelugor boleh teruskan ucapan tapi jangan cakap celaka. Ini sepatutnya tidak dipakai YB,” kata Wan Junaidi.

Karpal sekali lagi berkata beliau tidak mahu diganggu dan mengulangi kenyataan yang sama terhadap Pemuda Umno tetapi kemudiannya menarik balik perkataan itu selepas diarah oleh Wan Junaidi.

“Kalau Speaker tak suka saya boleh tarik balik, tak ada masalah. Sudah tarik balik. Saya beri amaran kepada Pemuda Umno jangan main-main dengan saya. Singh Is King,” kata Karpal mungkin merujuk kepada judul sebuah filem Hindi.

Tuesday, February 24, 2009

PERSAHABATAN SIBER TERPUTUS JUGA AKHIRNYA

Terima kasih Saudara Mohd Sayuti Omar (MSO) kerana membenarkan saya menempel alamat blog saya melalui LINK di blog saudara - MERAHTINTA (http://msomelayu.blogspot.com/) - selama kira-kira empat bulan.

Banyak faedahnya menumpang di blog saudara tetapi dari awal saya sudah menjangkakan apa akhirnya. Ini kerana sebelum saya ada juga blog lain yang menumpang dan terpaksa menerima nasib seperti saya.

Kelmarin saya melihat link itu (Hambali Latif) sudah tidak kelihatan lagi.

Saya faham, berapa lama saya harus bertenggek. Saya juga faham kenapa saudara terpaksa memansuhkan link berkenaan daripada blog saudara.

Di pihak saya, saya akan mengekalkan alamat MERAH TINTA di blog saya kerana bagi saya sekali bersahabat, akan bersahabat selama-lamanya.

Namun, jelas persahabatan siber antara saya dan Mohd Sayuti Omar ‘putus terpaksa’.

Cuma ada beberapa persoalan yang saya ingin kemukakan di sini yang rasanya tidak ada orang lain selain Mohd Sayuti Omar sendiri yang boleh menjawab.

1. Adakah Mohd Sayuti Omar sebagai ‘sahabat siber’ meletakkan kepentingan parti yang disokongnya – PAS – mengatasi segala-gala, termasuk persahabatan dengan saya apabila membersihkan alamat blog saya?

2. Apakah Mohd Sayuti Omar memang seorang yang suka melupakan kawan? Bukan orang tidak tahu bagaimana akrabnya Mohd Sayuti Omar dengan Datuk Husam Musa pada suatu ketika. Malah, dia banyak membantu Husam, termasuklah projek Kambing Jamnapari yang hebat diperkatakan pada 2007. Kenapakah Mohd Sayuti tinggalkan Husam, atau sebaliknya? Apakah kerana Husam tidak memberikan habuan untuknya?

3. Mohd Sayuti Omar juga sangat rapat dengan Datuk Ibrahim Ali. Dia ‘memperkenalkan’ Ibrahim kepada Husam yang kemudiannyan dikatakan bertanggungjawab memberikan kerusi Parlimen Pasir Mas kepada Ibrahim. Mungkin betul, mungkin silap pendapat saya ini. Persoalannya kenapa kini Mohd Sayuti Omar ‘membelasah Ibrahim secukup-cukupnya’?

Apakah beliau marah kerana tidak mendapat sebarang habuan daripada Ibrahim?
Saya tidak boleh memberikan apa-apa kepada beliau ketika menumpang meletakkan alamat blog selama empat bulan.

Kalau mengharapkan wang ringgit memang saya tidak ada. Yang ada hanyalah ‘persahabatan siber’ dan itupun sudah tidak wujud lagi selepas Mohd Sayuti Omar membersihkan alamat blog saya daripada blognya.

Apapun terima kasih di atas kebaikan saudara selama ini!

Monday, February 23, 2009

PPSMI – DAP DAN PKR BANTAH JUGA?

Sebenarnya isu melindungi atau untuk kepentingan Bahasa Melayu tidak besar.
Ia lebih kepada rangkaian politik tajaan pembangkang dengan puak-puak yang nampak diperalatkan.

Jelas sekali bantahan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) tidak mungkin menjadi ‘isu negara’ kalau ntidak kerana ada pihak yang ‘menyalakan api bantahan’.

Pengakuan bekas Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin bahawa ada tindakan saman dilakukan oleh anaknya terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan kerana telah melanggar Perlembagaan negara yang memelihara Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, mula ‘menyelakkan rahsia’ matlamat sebenar.

Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar Jamaluddin, 10 dinyatakan oleh bapanya pernah menyaman kerajaan pada tahun 2006 beserta beberapa pelajar sekolah yang lain kerana melaksanakan dasar yang menyebabkan sebilangan besar pelajar khususnya kaum Melayu tercicir dalam mencapai kejayaan di kedua-dua mata pelajaran itu.

Saman ini pun dilakukan hanya selepas tiga tahun PPSMI dilaksanakan. Ini bermakna anak Mohammad Nizar belum menduduki peperiksaan dan belum pasti keberkesanan yang sebenar.
Perkara mengenai saman oleh anaknya dinyatakan Nizar dalam ceramahnya di Felcra Kg Serigala, dekat Slim River malam semalam.

"Kita dalam Pakatan Rakyat sudah lama membantah PPSMI dan memperjuangkan bahasa rasmi yang juga ingin dilenyapkan oleh Umno seperti mana yang berlaku ke atas tulisan jawi.
"Anak saya dan beberapa yang lain telah bertindak menyaman kerajaan kerana mencabuli perlembagaan negara yang melindungi bahasa ibunda," katanya yang turut dibantu dan diwakili oleh tujuh peguam antaranya Hanipa Maidin dan Amiruddin.

Menurut laporan laman web rasmi sebuah parti pembangkang, Lajnah Pendidikan PAS Pusat akan turut menganjurkan 'Himpunan dan Ikrar : Mansuhkan PPSMI' hari ini, 23 Februari 2009 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor jam 9.00 malam.

Program ini akan dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat antaranya, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi GMP, Dato' Hassan Ahmad, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid; Penggiat Teater, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Ahmad Lutfi Othman dan Wakil-Wakil NGO.
PPSMI dianggap pembangkang membawa kesan yang negatif ke atas pencapaian keputusan peperiksaan pelajar-pelajar Melayu khususnya di luar bandar.

Persoalannya, benarkah Pakatan Rakyat menentang PPSMI?

Mana wakil DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lain? Apakah mereka turut menentang kerajaan kerana mahu ‘mengagungkan Bahasa Melayu”?

Kenapa nampak majlis ini diwakili Melayu sahaja?

Apakah isu PPSMI ini hanya membabitkan kepentingan pelajar Melayu sahaja?

Ada beberapa perkara di sini yang saya rasa Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran perlu berterus terang melalui kajian menyeluruh dan tidak membiarkan bantahan menjadi ‘politik’.

1. Apakah kelemahan diakibatkan oleh kegagalan guru-guru yang mengajar dua subjek dalam Bahasa Inggeris;

2. Apakah persediaan Kementerian Pelajaran melatih guru-guru bagi mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?

3. Apa persediaan ibu bapa untuk menerima pengajaran PPSMI?

4. Benarkah ‘bala’ PPSMI hanya jatuh kepada pelajar Melayu?; dan

5. Benarkah benar keputusan PPSMI semakin meningkat dan menyeluruh untuk bandar dan luar bandar?

Hakikatnya, saya tidak nampak begini:

1. Masalah hanya bagi sekolah di luar bandar;

2. Masalah hanya bagi sekolah yang tidak mempunyai guru berkelayakan; dan

3. Masalah hanya bagi ibu bapa yang tidak menyokong usaha ‘menerapkan’ satu lagi bahasa tambahan untuk anak-anak.

Jawapan kepada semua ini saya tidak pasti.

Hanya satu yang pasti, anak saya yang mengambil mata pelajaran sains dan matematik pada peperiksaan UPSR 2008 mendapat A bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan dengan pengantar bahasa Inggeris dan Cina.

Kenapa sekolah Cina tidak bising?

Kerana itu apabila memikirkan wujud bantahan dan kebanyakannya di kalangan orang Melayu, sementara Gapena pula membuat laporan polis, tertanya saya kepada diri sendiri, kenapa orang Melayu menolak dan tidak bersedia?

Dan malang sekali, kemarahan diluahkan melalui saluran pembangkang, bukan seperti bantahan-bantahan mengenai bahasa yang dilakukan pada 1960an dan 1970an melalui badan-badan yang memperjuangkan bahasa.

Kerajaan dan Kementerian Pelajaran jangan menyalahkan pembangkang kerana terbabit dalam isu ini kerana mereka akan menggunakan apa juga saluran untuk mendapatkan kuasa.

Yang penting, umumkan kedudukan sebenar dan buatlah kajian menyeluruh agar pihak yang menentang dapat diredakan.

Soal pembangkang untuk ‘tumpang sekaki’ tidak boleh apa-apa. Itu kerja dia.
Yang penting apa juga kebaikan untuk anak-anak dan generasi kita perlu diteruskan. Atau jika benar merugikan, hentikan!

Sunday, February 22, 2009

APABILA PKR KENA SERANG

(Sembang Ahad)

Majlis makan malam ulang tahun pertama kemenangan Pakatan Rakyat, yang sepatutnya diadakan dalam suasana kemesraan dan ceria bertukar menjadi medan melepaskan geram dan kemarahan.

Pemimpin utama mereka ‘naik angin’ dan padang berdepan dengan bangunan Amcorp Mall, Petaling Jaya, malam semalam menjadi medan ceramah ‘mempertahankan diri’ dan ‘silat-menyilat’.

Seronok melihat air muka pemimpin PKR yang selama ini hidung tinggi dan melihat orang lain sahaja yang salah.

Suasan ini menunjukkan kini Pakatan Rakyat khususnya PKR mulai merasan bahan ‘serangan’ dan terpaksa mempertahankan diri.


Jika sebelum ini PKR juara membuat serangan terhadap UMNO dan BN, ia kini bagaikan sudah terhimpit ke dinding.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar, beliau bersama dengan pemimpin Pakatan Rakyat tidak akan menyerah kalah dengan serangan dan gangguan daripada kerajaan BN.

"Kamu boleh mengganggu kami, tetapi tidak sesekali untuk kami mengaku kalah," katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.

Jelas apabila mula terkena batang hidung sendiri, pemimpin Pakatan Rakyat yang ‘disanjung’, Anwar jadi ‘hilang akal’ dan marah-marah.

Kerana tidak ada modal mempertahankan diri Anwar membuat kenyataanb: “Mereka merompak wang anda. Mereka rampas tanah anda. Mereka mencuri kontrak-kontrak. Tetapi apabila kita beri lembu kepada orang miskin, mereka mahu mendakwa kita.”

Itulah kata-kata dengan nada marah pada majlis makan malam berkenaan. Kenapa jadi marah?

Mana senyum Anwar yang sering berucap buat kelakar sambil menyindir dan menjatuhkan air muka dan maruah pemimpin UMNO dan BN?

Kenapa tiba-tiba jadi takut dan begitu defensif?

Siasat pun tidak boleh? Apakah pemimpin PKR ‘malaikat’ yang tidak pernah melakukan walau setitik kesilapan?

Apakah pemimpin UMNO sahaja yang berdosa dan buat perkara jahat dan maksiat?

Anwar marah kerana SPRM segera mengambil tindakan terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa menyalahgunakan kuasanya menggunakan wang kerajaan untuk penyelenggaraan kereta miliknya selain menggunakan wang kerajaan Selangor untuk membeli 46 ekor lembu untuk diserahkan kepada penduduk di Bandar Tun Razak.

Pengerusi SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan semalam mendakwa suruhanjaya itu, mempunyai bukti yang kukuh bahawa menteri besar Selangor menyelewang wang kerajaan negeri.

Mengulas dakwaan tersebut, Khalid menyifatkan BN cemburu dan dengki dengan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang mentadbir dengan baik dengan program merakyatkan ekonomi rakyat.

"Pentadbiran PR lebih baik BN yang sudah memerintah negara selama 51 tahun. Kita bekerja dengan baik daripada meraka (BN). Kita lebih baik daripada mereka," katanya.

Katanya, BN hanya bermimpi untuk menguasai Selangor kerana mimpi mereka itu "hanya satu igauan atau tinggal mimpi sahaja".

"Apa ingat rakyat ini lembu?" kata Anwar - yang memakai baju batik merah - dengan nada marah pada ,majlis makan malam semalam.

Persoalannya, apabila SPRM mahu menyiasat kes ini bermakna ia tidak mahu rakyat jadi lembu dan terima sahaja apa yang diberikan oleh Kerajaan Selangor. Jika ada unsur salahguna kuasa atau rasuah, rakyat perlu dielakkan menerima habuan sedemikian di masa hadapan.

Lantas Anwar mendakwa tiada siasatan lanjutan terhadap penerimaan komisen pembelian kapal selam yang didakwanya membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan siasatan terhadap bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Bukan sekadar itu saja, malah Anwar turut menempelak Umno dan BN yang menjuarai untuk bercakap soal moral.

"Poorah!... Bagi wakil rakyat yang menipu rakyat, ingat hari ini kamu selamat, (suatu hari) nanti rakyat akan tanam dan kuburkan kamu," katanya

Bukan itu sahaja, Anwar, Khalid dan Tian Chua juga menyalahkan BN kerana isu gambar bogel Elizabeth Wong.
Hmm...apabila meneliti kesemua ini, amat jelas, banyak perkara yang perlu dijawab boleh PKR yang selama ini mendakwa merekalah pemimpin bersih, parti bersih dan adil untuk semua.
Tetapi jelas kini, apabila berkuasa mereka jadi pelahap malah mementing penyokong sendiri sahaja.

Malah, dalam banyak perkara, kepentingan siapakah PKR jaga?

Juga siapa sebenarnya yang dapat untung daripada kerajaan PKR Selangor?

Apabila marah dan menuduh BN mahu menjatuhkannya dan kerajaan Pakatan Rakyat, khususnya PKR , demi kepentingan siapa Anwar cuba pertahankan?

Nota- terima kasih kepada Malaysiakini kerana gambar-gambarnya.