Thursday, January 8, 2009

SIDANG PARLIMEN KHAS MENGENAI PALESTIN

Kabinet semalam memutuskan memanggil satu Sidang Parlimen Khas pada Isnin ini bagi mengeluarkan resolusi berhubung langkah-langkah penyelesaian yang perlu disegerakan dunia untuk menamatkan kekejaman Israel yang kini bermaharajalela di bumi Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, persidangan akan diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan disertai semua ketua parti politik kerajaan dan pembangkang serta para duta asing termasuk Duta Palestin ke Malaysia, Abd. Elaziz Abu Ghoush.

Kata beliau, persidangan yang dijadual bermula pukul 2.30 petang itu akan mengutuk serangan kejam tentera Israel ke atas Genting Gaza yang setakat ini mengorbankan hampir 600 penduduk Palestin serta mencederakan ribuan yang lain.

“Perdana Menteri akan memberikan ucapan manakala Menteri Luar akan membuat penggulungan. Sesi ini mungkin berlanjutan tetapi pada hari itu (Isnin) adalah sesi khas.

“(Persidangan) Ini bersesuaian dengan hasrat kolektif dunia untuk menangani kekejaman Israel dan Malaysia menyalurkannya menerusi badan tertinggi legislatifnya iaitu Dewan Rakyat,” kata beliau.

Desakan Malaysia supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan isu kekejaman Israel di Palestin mendapat sokongan pemimpin Asean dan negara Islam.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau sudah menerima maklum balas daripada Setiausaha Agung Asean, Dr Surin Pitsuwan dan Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda, yang menyatakan sokongan terhadap cadangan itu.

Perdana Menteri Syria, Mohammed Naji OtriSyria, yang kini dalam lawatan ke negara ini turut menghargai usaha Malaysia.

"Ia petanda awal bahawa pendirian Malaysia yang cepat bertindak terhadap isu berkaitan kekejaman rejim Yahudi itu, mendapat perhatian pemimpin dunia," kata Dr Rais selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan kementeriannya di Wisma Putra, semalam.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata Malaysia akan menggerakkan usaha bagi mendesak PBB mengadakan sidang khas itu menerusi permuafakatan dalam Kumpulan Hubungan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Sokongan pemimpin negara NAM, OIC dan Asean berupaya membentuk desakan kuat untuk meneruskan sidang tergempar di PBB itu. Daripada 192 negara anggota PBB, negara OIC mewakili 57 ahli dalam pertubuhan dunia itu, NAM (114) dan Asean (10).

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pergerakan itu akan mewujudkan gerakan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap pencabulan dan keganasan Israel di Semenanjung Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 500 penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak.

"Gerakan massa secara besar-besaran oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia melalui NGO telah diambil maklum dan dipersetujui oleh Kabinet dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata, keangkuhan dan kezaliman berterusan rejim Zionis menuntut seluruh rakyat tanpa mengira usia, kaum dan agama untuk sama-sama berganding bahu menggerakkan tentangan besar-besaran.

"Kita akan membabitkan semua pihak, termasuk setiap sekolah dan golongan masyarakat bagi menjayakan inisiatif keamanan ini dengan berkesan sehingga kezaliman ini dihentikan," katanya.

TIDAK WAJAR SAMAKAN BN DENGAN ISREAL

Tidak hairan dan tidak pelik.

Untuk menang, Pakatan Rakyat menuduh Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia selama lebih 50 tahun dengan aman, sejahtera dan harmoni seperti Isreal.

Ini semua gara-gara untuk mendapatkan kuasa. Bagi individu tertentu pula cara ini adalah ‘halal’ untuk mendapat jawatan – termasuk Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya.

Rakyat di seluruh negara – bukan Kuala Terengganu sahaja - perlu memikir, menilai dan membuat keputusan sama ada tuduhan pembangkang itu benar atau sebaliknya.

Juga fikirkan kenapa tuduhan sedemikian dibuat.?

Strategi Pakatan Rakyat – pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) – secara senada menyamakan BN dengan Israel.

Strategi ini jalan pintas. Ia mudah dilakukan begitu kerana suasana semasa ialah Israel sedang ‘menggayang’ orang Arab dan Palestin di Semenanjung Gaza.

Kalaupun tidak suka BN, janganlah samakan BN dengan Israel.

Cara pembangkang sama sahaja - kira-kira 10 tahun dahulu, kerana marahkan Tun Dr Mahathir Mohamad mereka menggelarnya sebagai Mahazalim dan Mahafiraun.

Kini kerana mahu dapatkan kuasa secara mudah, BN dilambangkan pelbagai dan kata-kata ‘Isreal’ itu akan menyebabkan kemarahan banyak pihak.

Memang wajar sekali jika Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kesal dan kecewa dengan tuduhan tidak berasas parti pembangkang yang semakin melampaui batas itu.

Persoalannya apakah BN atau kerajaan Pusat yang ada sekarang sama dengan Israel yang bertindak kejam kepada rakyat Palestin dan rakyat Arab di bawah pemerintahannya?

Apakah BN membunuh rakyat sesuka hati?

Apakah BN menyekat pergerakan rakyatnya?

Apakah BN mendiskriminasi rakyatnya seperti dilakukan Isreal terhadap rakyat berbangsa Arabnya?

Apakah BN menyekat melakukan ibadah seperti Isreal memengenakan larangan orang Islam dan Kristian di negara itu?

Ahmad Said yang juga Pengerusi BN negeri menyifatkan tuduhan pembangkang terutama ketika berkempen untuk meraih simpati serta sokongan rakyat, membuktikan rendahnya keperibadian pemimpin pembangkang yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan.

“Ini tuduhan liar yang keterlaluan. Adakah apa yang kita lakukan macam Israel, bom sana, bunuh sini. Ini menggambarkan sikap dan peribadi orang yang bercakap itu. Sebagai orang Islam, kita tidak harus melemparkan fitnah tidak berasas seperti ini. Apakah itu tindakan berhemah? Ini jelas tindakan tidak bertanggungjawab dan berasaskan emosi yang menggambarkan sikap serta pemikiran mereka (pembangkang),” katanya selepas perasmian penutup Seminar Penubuhan Yayasan Masjid Semalaysia dan penyampaian imbuhan imam dan bilal di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin menyamakan penderitaan dalam perjuangan memilih dasar atas prinsip rakyat seperti yang dilakukan Pakatan Rakyat dihalang oleh Umno dan BN seperti yang berlaku di Gaza, Palestin yang dihukum Isreal kerana memilih Hamas.

Berikutan itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir semalam, turut menyelar pemimpin Pas yang menyamakan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini sebagai peperangan Israel dan Hamas di Palestin.

Beliau berkata, kepemimpinan Pas dan Pakatan Rakyat perlu memantau penceramah parti itu yang membuat andaian sedemikian.

Sehubungan itu, beliau mahu Pas memastikan kesengsaraan penduduk Palestin tidak dijadikan bahan kempen, sedangkan kerajaan tegas memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis itu.

Sebagai contoh, katanya, kesediaan kerajaan meluluskan rangkaian televisyen dan radio milik Media Prima menyiarkan slot khas kemanusiaan di Semenanjung Gaza bertujuan meningkatkan kutipan tabung The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP untuk Gaza, membuktikan keikhlasan kerajaan dan kesepakatan rakyat negara ini menentang kekejaman Israel.

Seperti kata Mukhriz, jangan jadikan kezaliman Israel sebagai modal meraih sokongan pengundi.
“Kita minta pemimpin pembangkang menasihatkan penceramahnya tidak mengulangi kenyataan yang menyamakan pertandingan antara BN dan Pas pada 17 Januari ini sebagai peperangan Hamas dan Israel,” katanya selepas perjumpaan dengan jentera pilihan raya peti undi Kampung Nibung.

Tuesday, January 6, 2009

ROYALTI MINYAK JADI ISU PAS

Nampaknya isu wang royalti minyak akan dijadikan isu oleh PAS pada pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu.

Daripada ceramah dan gaya percakapan calon PAS, jelas perkara ini akan menjadi ibu kepada segala isu yang akan ditimbulkan pembangkang.

“Saya akan dedahkan 'pengkhianatan' Umno” kata calon PAS pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut.

Mohd Wahid yang juga ADUN Wakaf Mempelam nampaknya berminat dengan isu ini yang dianggapnya sebagai ‘rampasan’.

Beliau berjanji akan mengumpulkan semua ucapannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama ini bagi mendedahkan segala kepincangan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Sementara laporan sebuah akhbar tabloid yang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tersalah pilih calon turut dijadikan bualan beberapa hari terakhir ini untuk ‘meremehkan’ Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh.

Apa yang saya lihat dalam konteks calon ini, ia adalah spin kepada persoalan dalam PAS sendiri yang lambat untuk mengumumkan calon dan tukang spin mahu mengalih pandangan selepas PAS sebenarnya gagal memilih calon sesuai untuk meletakkannya bertembung dengan Wan Farid.

Jelas kononnya Pak Lah mahu menukar Wan Farid dengan calon lain tidak menjadi. Malah, dalam isu ini nampaknya BN sudah menang 1-0.

Dalam konteks isu Erdogan ini, PAS nampaknya tidak mampu meyakinkan pengundi bahawa mereka tidak berselisih.

Bukan sekadar pada majlis memperkenalkan calon 1 Januari lalu isu Erdogan + Klon vs ulama diperkatakan tetapi pada penamaan calon pagi ini di Stadium Negeri, jelas kumpulan Erdogan – Datuk Husam Musa – tidak jelas peranannya dan Husam pun nampak bagaikan mahu menyorokkan diri.
Mana Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)? Tidak nampak pun?

Suasana penamaan calon pagi ini jelas tidak seperti di Permatang Pauh bagi PAS. Kalau sebelum ini Nik Aziz sanggup bertongkat untuk memenangkan ‘kepala Erdogan’ – Datuk Seri Anwar Ibrahim- kali ini, Nik Aziz tidak datang.

Nik Aziz akan hanya muncul pada ceramah dijangkakan diadakan malam ini.

Jelas bagi PAS, mereka sudah kena ‘penangan’ kumpulan Erdogan kerana jika kumpulan ulama tidak hadir pada penamaan calon Anwar di Permatang Pauh, hari ini, kumpulan ulama bagaikan diboikot oleh pemimpin PAS sendiri daripada kumpulan yang menyokong Anwar.

Bagi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak member jaminan BN bersedia menjelas dan menjawab segala isu yang akan dibangkitkan pembangkang pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN tidak menjangkakan banyak isu akan ditimbulkan pada pilihan raya kecil itu, yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN, PAS dan Bebas.

Beliau berkata pada masa ini, pembangkang semakin terdesak menggunakan isu-isu nasional dan keadaan itu menunjukkan bahawa mereka sudah ketandusan isu.
“Pada pilihan raya kecil ini, isu yang mungkin menjadi tumpuan ialah isu tempatan. Bagaimanapun, jika ada isu nasional, BN sedia jawab,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri di Kuala Terengganu pagi ini.

Pilihan raya kecil P036 menyaksikan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ditentang calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.
Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas. Pada pilihan raya umum Mac lepas, Razali menang dengan majoriti 628 undi.

Dalam konteks royalti ini, Mohd Wahid ada menyatakan bahawa dari tahun 2000 sehingga 2005 sebanyak RM 200.34 juta wang royalti kerajaan Terengganu telah diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain, ia meningkat sebanyak RM 600 juta lagi sehingga tahun 2008.

Pada ceramah pengenalan calon di Gong Pauh baru-baru ini, Mohd Wahid menegaskan akan menyenaraikan segala penyelewengan dan pengkhianatan yang dilakukan oleh Umno-BN.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam berkata, beliau pernah membangkitkan beberapa usul dan sidang DUN termasuk hal yang berkaitan royalti minyak.
Namun hasrat baiknya meminta kerajaan mendedahkan secara terperinci ke mana wang royalti tersebut ‘lesap’ dan tidak menjadi realiti kerana usul beliau ditolak oleh Sidang DUN.
Hakikatnya, Kerajaan Terengganu menerima wang royalti minyak secara langsung daripada kerajaan Pusat sejak 2000, berjumlah RM6.218 bilion.

Jumlah itu, termasuk RM408.6 juta yang dibayar pada majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan baru-baru ini dan setakat ini, Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain.

Beliau berkata RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain.
Ahmad Said berkata, kerajaan Pusat telah bersetuju menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dan rundingan untuk menyelesaikan beberapa perkara masih dijalankan.

Dan kerana inilah, sehingga kini kita belum menarik balik saman kerajaan Terengganu terhadap kerajaan Pusat,” katanya menjawab soalan pada persidangan DUN baru-baru ini.
Saman terhadap kerajaan Pusat berhubung isu wang royalti tersebut difailkan di mahkamah oleh PAS pada 2000 ketika memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

GELANGGANG P036 SUDAH DIBUKA


(Berita awal)
KUALA TERENGGANU: Medan sudah dibuka. ‘Perang’ sudah bermula.

Parlimen Kuala Terengganu (P036) menjadi medan pertarungan UMNO dan PAS. Yang lain tu hanya tempelan sahaja.

Setelah proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima kertas penamaan bagi tiga orang.

Pada kertas penamaan yang dipamerkan untuk proses bantahan, tiga calon tersebut ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat, 45.

Sementara itu, dua lagi calon yang disebut-sebut sebelum ini untuk bertanding pada pilihan raya itu iaitu calon Bebas, Isma Airsath dan Maimun Yusuf tidak kelihatan sehingga tamat proses penamaan calon itu.

Wan Farid antara yang terawal sampai di pusat penamaan calon di stadium negeri, jam 9.05 minit pagi.

Beliau diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN tiba di perkarangan stadium sebelum masuk ke stadium tertutup bagi urusan pendaftaran calon yang mulai dibuka jam 9.00 sehingga 10.00 pagi ini.

Najib tiba di perkarangan Stadium Sultan Mahmud jam 8.35 pagi dan ketibaannya oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dan Wan Farid serta penyokong Umno, termasuk parti komponen BN.
Perarakan yang diketuai Najib bersama bendera dan sepanduk parti bergerak sejauh kira-kira setengah kilometer ke pusat penamaan calon di stadium negeri.

Mohd Wahid pula tiba kira-kira lima belas minit kemudian dengan diiringi kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat.

Calon Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun @ Ab. Rahman Mohamad tidak bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

Walaupun turut tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.20 pagi tetapi pada saat-saat terakhir membatalkan hasratnya untuk bertanding apabila tidak menyerahkan borang pencalonan.

Beliau tidak memberi alasan spesifik tetapi beliau akan menyokong calon Pas pada pilihan raya ini.

Keadaan di sekitar bandar raya, terutama jalan menuju ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri, tenang setakat jam 7.30 pagi ini.

Orang ramai mulai berkumpul di pekarangan jalan menuju ke stadium bagi menyertai perarakan calon yang bertanding kira-kira jam 9 pagi ini.

Pasukan keselamatan terutama polis dilihat berkawal di jalan utama ke pusat penamaan calon bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar.