Monday, November 17, 2008

TERIMA KASIH ZIN, TERIMA KASIH PLUS!

Antara perkara yang dijadikan ‘peluru’ untuk menghentam kerajaan ialah kenaikan tol dan keengganan syarikat konsesi lebih raya menurunkan kadar tol ketika rakyat menghadapi ancaman kenaikan harga barang kesan kenaikan harga bahan api.

Berikutan itu kerajaan perlu mencari jalan sesuai membolehkan syarikat-syarikat yang menjadi pemegang konsesi lebih raya utama supaya berbakti kepada rakyat dan memulangkan ‘sedikit keuntungan’, agar kerajaan tidak dituduh menjadi punca kepada kenaikan kos hidup rakyat yang sudah terhimpit itu.

Kerajaan perlu terus mengadakan rundingan dengan semua syarikat pemegang konsesi, termasuk Plus Expressways Berhad (PLUS) bagi menilai semula bayaran tol lebuh raya di seluruh negara kerana ia ‘perjuangan untuk rakyat’.

Usaha yang dilakukan oleh Menteri Kerjaraya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed bagi merundingkan isu tol ini sangat sesuai dengan kehendak rakyat agar syarikat-syarikat berkenaan turut memikirkan masalah rakyat.

Keengganan pemegang konsesi seperti Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menurunkan kadar tol, walaupun sudah mencacat keuntungan besar wajar dikesali.

Memang sepatutnya Ir. Mohd Zin kesal dengan keputusan LDP kerana kerajaan sehingga kini sudah membayar pampasan tunai RM630.5 juta kepada LDP bagi pengurangan dan penyusunan semula kadar tol antara 1999 hingga 2007.

Kutipan tol sejak tempoh konsesi bermula pada 31 Disember 1996 pula mencecah RM1.28 bilion.
Berikutan itu, menurut Ir. Mohd Zin, LDP adalah lebuh raya yang merekodkan keuntungan dan sewajarnya meringankan sedikit beban pengguna kerana tempoh konsesi mereka hanya berakhir pada 31 Disember 2029.

Beliau juga dipetik Berita Harian berkata, mutu perkhidmatan lebuh raya berkenaan sudah merosot hingga ke tahap 'F' di Plaza Tol Petaling dan Penchala serta tahap 'D' di Plaza Tol Puchong Barat dan Puchong Selatan, manakala lokasinya pula tidak menyediakan laluan alternatif yang munasabah.

Pada 1 Januari lalu, kadar tol di enam lebuh raya iaitu Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh raya Kulim-Butterworth, Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, dinaikkan antara 30 sen hingga RM10.70.

Bagi lebuh raya yang dikendalikan Plus Expressways Berhad (PLUS), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh raya Bertingkat Ampang-Ulu Klang (Prolintas) serta Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint)-Kerinchi dan Damansara Link, kadar tol tidak dinaikkan.

Kali terakhir Plus menaikkan kadar tol di lebuh raya kendaliannya ialah pada 2005.
Sesuatu yang menggembirakan ialah apabila PLUS dijangka menurunkan kadar tol di lebuh raya kendaliannya.

Walaupun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu, tetapi Ir. Mohd Zin menjelaskan persetujuan berkenaan dicapai selepas kerajaan mengadakan rundingan dengan semua syarikat pemegang konsesi, termasuk Plus bagi menilai semula bayaran tol lebuh raya di seluruh negara, sejak beberapa bulan lalu.

“Saya yakin pengumuman berkenaan akan memberi khabar gembira kepada sebahagian besar pengguna lebuh raya di negara ini," katanya kelmarin.

Rakyat perlu menunggu hingga esok (Selasa) apabila pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat oleh syarikat berkenaan.
Terima kasih daun keladi!

Sunday, November 16, 2008

MESEJ PENTING DARIPADA NAJIB

Ahli UMNO kini berdepan dengan tiga pilihan dalam menghadapi ujian memilih pemimpin bagi masa depan UMNO.

Ia terpakai dalam semua bidang pemilihan, sama ada peringkat tertinggi parti atau juga bahagian.

Tiga pilihan itu membabitkan ‘kawanku’, ‘poketku’ atau ‘negaraku’.

‘Kawanku’ bermaksud seseorang ahli memilih kerana dia melihat seseorang calon itu rapat atau baik dengannya. Dengan kata lain dia boleh ‘terjah’ bila-bila masa.

‘Poketku’ bermakna ahli memilih pemimpin kerana sebab-sebab ‘ada kira-kira’, wang dan kedudukan atau lebih tepat habuan; dan
“Negaraku’ bermaksud ahli UMNO menolak kedua-dua di atas dan memilih pemimpin yang mampu memberikan sumbangan untuk negara tanpa mengira sama ada ia kenal serta mendapat habuan daripada pemimpin berkenaan.

Masalah politik wang yang diperkatakan sekarang hanya melihatkan ahli dan pemimpin yang memilih kepentingan ‘poketku’.

Dalam Islam disebut bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima tetapi dalam politik pertandingan, tangan yang member itu sebenarnya lebih hina daripada yang menadah.

Ini kerana kadangkala, tiada pun ada yang menadah tetapi tangan yang member pula bersikap ‘over’ untuk mendapatkan pencalonan dan sokongan.

Bercakap mengenai tiga pilihan ahli ini saya merasakan wajar sekali kita semua merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak kelmarin bahawa, “Tidak ada gunanya kita menang jadi ketua bahagian tetapi semua kerusi DUN dan Parlimen kita tersungkur” hendaklah dijadikan iktibar.

Najib tidak merujuk kepada sesiapa atau bahagian mana tetapi mesejnya jelas bahawa kemenangan merebut jawatan ketua UMNO bahagian tidak berguna jika parti tewas dan terlepas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri juga menekankan bahawa kedudukan sebagai pemimpin atasan tidak akan membawa sebarang makna jika parti tidak mempunyai kuasa untuk memerintah.
Jelas sekali kenyataan ini juga boleh diterima pakai untuk perebutan jawatan tinggi parti yang akan berlangsung pada pemilihan Mac 2009 akan datang.

Tegas Najib: “Tidak ada maknanya kita jadi pemimpin atasan parti kalau parti kita tidak berkuasa.”

Beliau menyatakan perkara ini pada Perhimpunan Agung Tahunan Kedua Veteran UMNO Malaysia Ipoh malam kelmarin Najib menegaskan, jika UMNO mahu mengembalikan kekuatan dan bangkit daripada kekalahan seperti di Perak, semua pihak mesti kembali kepada asas perjuangan - parti lebih penting daripada perjuangan peribadi.

Tahniah kepada Najib yang berusaha memberikan peringatan itu dalam kedudukan di mana UMNO kini dikatakan parah kerana politik wang dan perkara-perkara berkaitan penyalahgunaan kuasa serta pilih kasih.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perjuangan jujur dan ikhlas sebagaimana yang diamalkan oleh veteran UMNO membawa maksud amat mendalam kerana ia langsung tidak melibatkan sebarang ‘kira-kira’.

Tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan perjuangan orang dulu adalah suci kerana sanggup berkorban apa saja untuk kepentingan parti manakala kepentingan diri ditolak ke tepi.
‘‘Jauh sekali pemimpin terdahulu minta apa-apa... yang ada cuma salam perjuangan. Tidak ada istilah salam kosong atau salam bersisi.

‘‘Dulu, tudung Wanita UMNO yang berwarna merah itulah yang dijadikan tempat untuk menadah sumbangan demi perjuangan parti,” ujar beliau.

Kata Najib, walaupun masa dan keadaan sekarang sudah jauh berubah, namun ahli parti mesti terus menghayati nilai perjuangan murni golongan veteran itu demi kebaikan UMNO.
Jelas sekali bahawa pilihan yang ada di tangan ahli UMNO kini hanya ‘negaraku’ dan menolak ‘kawanku’ apalagi ‘poketku’.

Hanya dengan nasihat, berpesan dan menggambarkan betapa hodohnya politik wang oleh pemimpin UMNO dapat menerapkan budaya ‘tolak politik wang’.

Pedulikan sesetengah pemimpin yang enggan bercakap mengenainya kerana mereka berat untuk mengatakannya kerana ‘mengamalkannya’ tetapi yang lain hendaklah tidak henti-henti ‘tarbiyah; kepada ahli UMNO mengenai bahayanya politik wang kepada UMNO.

Juga, tidak salah kalau menggunakan veteran UMNO untuk lebih kehadapan dalam mendidik dan menasihat ahli UMNO menolak politik wang kerana hanya ahli UMNO dapat membersihkan UMNO daripada karat politik wang.

RAMASAMY SENGAJA CARI PASAL

Jangan terjerat dengan kritikan Prof. P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang mendakwa UMNO punca berlakunya ketidakseimbangan dalam pengambilan kakitangan kerajaan.

Dia sebenarnya hanya ingin membuka jalan supaya perdebatan dibuat dengan memburukkan UMNO dan kononnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dipengaruhi UMNO.

Ramasamy sebagai bekas pensyarah pasti tahu punca sebenar tetapi dia tidak bodoh seperti yang diakatakan oleh Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Beliau hanya mahu membuka gelanggang supaya JPA atau apa sahaja agensi kerajaan yang berkaitan pengambilan kakitangan supaya ‘terbuka’ dan dengan mengatakan UMNO terbabit adalah taktik biasa parti lawan.

Dia cari pasal bersebab – supaya UMNO diperlekehkan kerana di Pulau Pinang, musuh sebenar Pakatan Rakyat, khususnya DAP bukan lagi Gerakan atau MCA tetapi UMNO.

Orang UMNO Pulau Pinang kena bijak berpolitik.

Hakikatnya, ‘orang politik’ tidak pernah dipedulikan oleh kakitangan kerajaan, malah amat sukar untuk seseorang memohon kerja jika membawa surat sokongan daripada parti khususnya UMNO.

Biarlah kalau beliau mahu mengkritik ketidakseimbangan dalam pengambilan kakitangan kerajaan kerana matlamatnya bukan ikhlas tetapi bermotifkan politik.

Mungkin kita boleh bertanya beliau, bagaimana perkhidmatan polis dan tentera?

Kenapa tidak ramai orang bukan Melayu berkhidmat dengannya?
Kenapa Melayu sahaja menyertai perkhidmatan berkenaan?

Dengan kedudukan sedemikian, bolehkah kita membua andaian membuta tuli bahawa orang bukan Melayu, khususnya kalangan anak muda tidak menyertai polis dan tentera kerana enggan berbakti mempertahankan Malaysia?

Dengan kata lain mereka tidak setia dan tiada semangat cintakan negara?
Apakah orang bukan Melayu tidak kecil hati atau tersinggung kalau kita tegaskan sedemikian?

Apa pulalah komen Ramasamy nanti?

Pemimpin UMNO jangan cepat melatah dan kalau mahu menjawab pun biarlah dengan fakta supaya boleh menjelaskan kepada seluruh rakyat bahawa bukan-Melayu bukan berminat sangat dengan perkhidmatan awam.

Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kelmarin, beliau yang juga Exco Pendidikan & Sumber Manusia, Sains, Teknologi & Inovasi memang sengaja mahu mencetuskan rasa tidak puas hati daripada wakil-wakil pembangkang Barisan Nasional (BN) apabila megatakan kerajaan pakatan pembangkang berhasrat untuk melihat semua kaum mendapat hak dan peluang yang sama untuk menyertai sektor awam di negeri itu agar wujud taburan peluang pekerjaan yang seimbang bagi semua kaum.

Ramasamy bukan melakukannya untuk memperjuangkan bukan-Melayu memasuki perkhidmatan awam tetapi lebih kepada bagaimana meletakkan UMNO dalam keadaan serba salah dan boleh terjerut dengan kenyataannya.

Bagi saya ulasan Pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman yang berkata masalah kekurangan orang bukan Melayu dalam sektor awam berpunca daripada masalah skim gaji yang tidak menarik, lebih jelas.

Malah sektor kerajaan juga tidak membayar bonus sebanyak sektor swasta dan faktor ini turut menyebabkan orang bukan Melayu tidak berminat untuk berkhidmat dalam kerajaan walaupun kehadiran mereka amat dialu-alukan, katanya.

Saya fikir apa yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam adalah jelas apabila beliau mengatakan pelantikan penjawat awam di peringkat Pusat dan negeri dijalankan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang bebas daripada sebarang campur tangan termasuk politik.

Suruhanjaya yang terlibat dengan pengambilan penjawat awam seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-Undang, Suruhanjaya Perkhidmatan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan di setiap negeri adalah badan yang bebas daripada politik.

Kerana itu, menurut beliau, isu ketidakseimbangan kaum yang dikatakan berlaku dalam sektor awam termasuk di Pulau Pinang bukan berpunca daripada dasar kerajaan atau campur tangan politik.

Namun beliau tidak menolak ketidakseimbangan itu mungkin disebabkan kekurangan permohonan daripada kaum bukan bumiputera. Kalau bilangan pemohon jawatan awam adalah lebih banyak di kalangan satu-satu kaum, maka kebarangkalian untuk kaum itu menyertai sektor awam sudah semestinya lebih tinggi berbanding kaum lain.

'Ketidakseimbangan kaum dalam sektor awam mungkin disebabkan kekurangan permohonan daripada kaum bukan bumiputera,” seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Ismail menegaskan, penilaian terhadap seseorang calon yang memohon jawatan awam adalah berdasarkan merit dan pelantikan yang dijalankan juga tidak mempunyai kaitan dengan unsur politik.

''Merit merupakan kriteria yang diutamakan untuk menilai seseorang calon yang memohon jawatan awam dan bukannya mengenai politik.

Setiausaha SPA, Datuk Lamien Sawiyo pula berkata, SPA akan menjalankan kajian berasaskan data saintifik dan akademik bagi mengenal pasti punca kurangnya permohonan daripada kaum bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam.

Kajian seumpama itu penting memandangkan pandangan banyak pihak berhubung masalah itu hanya berdasarkan persepsi.

“Sebenarnya, kita di SPA telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meningkatkan penyertaan kaum bukan Melayu dalam Perkhidmatan Awam dan jawatankuasa ini dipengerusikan oleh timbalan pengerusi SPA.

“Salah satu langkah yang telah dikenal pasti ialah untuk menjalankan kajian persepsi psikologi dan kita telah berunding dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk melaksanakan kajian ini,’’ katanya.

Katanya, pada masa ini, SPA sedang menyediakan terma-terma kajian yang bakal digunakan untuk dibincangkan dengan EPU sebelum kajian itu dijalankan yang mungkin siap dalam masa setahun dan dilaksanakan oleh pihak berkecuali termasuk pihak universiti.

Saturday, November 15, 2008

BENARKAH JAMALUDDIN SERANG IMAM?

Dua blog semalam menuduh (saya menggunakan menuduh kerana tidak berada di tempat kejadian) Ahli Parlimen, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis bertindak ala samseng dengan ‘mengamuk dan menyerang imam’ yang mengimamkan solat Jumaat dimana beliau sendiri menjadi makmumnya ketika.

Beliau dikatakan melakukan perkara itu terhadap Imam Solat Jumaat di Masjid Felda Keratong 4 di Kratong, Pahang.

Jamaluddin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebaliknya mengatakan beliau hanya ‘menegur’ tindakan imam terbabit yang menggunakan mimbar masjid untuk kepentingan politik partinya.

Ekoran teguran tersebut, kata Jamaluddin, imam tersebut bertindak memburukkan dirinya sebagai pemimpin UMNO menerusi sebuah laman blog.

Laman web menyokong pembangkang yang memetik dua blog yang menyiarkan laporan yang sama berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada "sakit hati" JJ terhadap Iman Solat Jumaat terbabit yang membuat khutbah perihal soal "Keadilan Dalam Islam".

Iman yang mengendalikan khutbah tersebut ialah Ustaz Suhaimi Saad yang juga merupakan Timbalan Yang Di Pertua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Menurut Ustaz Suhaimi, ketika membaca khutbah beliau menyentuh tentang keadilan yang dituntut dalam Islam secara menyeluruh. "Ini termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan akta zalim (ISA) yang dilihat tidak adil dalam Islam" katanya.

Dua blog berkenaan seterusnya menyebut: “Apakah manusia seperti ini boleh dilantik dan dikekalkan sebagai pemimpin umat Islam. Maka diharap dengan peristiwa ini, ia dapat memberi kesedaran kepada rakyat di Rompin agar menolak beliau dalam pilihan raya umum akan datang.”

Selain melaporkan kejadian, seperti biasalah laman web dan blog pro-pembangkang akan memaparkan soal peribadi Jamaluddin dan dikaitkan sedikit dengan Timbalan Perdana Menteri.
Jamaludddin seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini sebaliknya meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyiasat seorang imam di Kratong yang dipercayai menggunakan khutbah Jumaat untuk menghentam kerajaan.

Beliau mendakwa seorang imam yang dipercayai tidak bertauliah menggunakan khutbah Jumaat untuk memburuk-burukkan kerajaan. Imam terbabit juga dipercayai tidak menggunakan teks yang disediakan oleh JAIP ketika menyampaikan khutbahnya di masjid tersebut.
Jamaluddin berkata: “Kejadian berlaku ketika saya sendiri bersembahyang Jumaat di masjid itu hari ini. (semalam)”.

Lebih jauh, laporan itu menyebut kononnya makmum yang ‘geram dan penuh emosi’ (penyokong UMNO) berniat ‘membelasah’ imam berkenaan tetapi kerana imam tidak meninggalkan masjid sehingga kumpulan itu beredar, kejadian tidak diingini itu tidak berlaku seperti dijangkakan.

Sehubungan itu, Jamaluddin meminta kerajaan negeri mengambil tindakan jika terbukti imam terbabit menyalahgunakan mimbar masjid untuk kepentingan politik.

''Kerajaan negeri juga perlu mengambil tindakan terhadap pihak pengurusan masjid terbabit kerana kita hairan bagaimana imam yang tidak bertauliah itu dibenarkan membaca khutbah," tegasnya.

Menurut beliau, masjid tidak sepatutnya dijadikan medan untuk menyebarkan ideologi politik yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam.

Selain pusat ibadat ujarnya, masjid merupakan institusi yang menjadi tempat perpaduan ummah dan meningkatkan ilmu pengetahuan, katanya.

Ikuti apa yang dilaporkan melalui sebuah laman web dan dua blog pro-pembangkang semalam. Satu membawa tajuk ‘Biadapnya Jamaluddin Jarjis Ala Samseng’ dan satu lagi dengan tajuk ‘Menteri Raba-Raba Mengamuk Selepas Solat Jumaat’.


KERATONG: [4.00 pm] Satu berita gempar telah terjadi selepas solat Jumaat sebentar tadi. Ia berkaitan dengan "amukan" Ahli Parlimen Rompin Jamaluddin Jarjis terhadap Imam Solat Jumaat di Masjid Felda Keratong 4 dekat sini. Kejadian dipercayai berpunca daripada "sakit hati" JJ terhadap Iman Solat Jumaat terbabit yang membuat khutbah perihal soal "Keadilan Dalam Islam".

Iman yang mengendalikan khutbah tersebut ialah Ustaz Suhaimi Saad (foto) , yang juga merupakan Timbalan Yang Di Pertua Dewan Pemuda PAS Pahang. Menurut Ustaz Suhaimi, ketika membaca khutbah beliau menyentuh tentang keadilan yang dituntut dalam Islam secara menyeluruh. "Ini termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan akta zalim (ISA) yang dilihat tidak adil dalam Islam" katanya.

Menurutnya selepas selesai mengimami solat, beliau telah didatangi oleh Ahli Parlimen Rompin itu dalam keadaan yang penuh dengan emosi dan muka yang bengis. "Saya tidak menyedari bahawa Ahli Parlimen Rompin itu turut menjadi jemaah solat Jumaat yang saya imamkan" katanya. Ahli Parlimen Rompin itu telah mengherdik Ustaz Suhaimi yang membaca khutbah berbaur politik katanya. Namun beliau menjawab "Khutbah yang saya baca itu adalah secara umum berkaitan Islam dan tidak bertujuan politik".

Namun JJ nampak marah dan tidak berpuas hati dengan berkata "Andainya khutbah seperti itu dibaca, saya pun boleh membawa khutbah". Lalu Ustaz Suhaimi menyahut "Jika Dato' fikir, boleh membaca khutbah apa salahnya. Elok Dato' baca khutbah minggu depan" . Kenyataan Ustaz Suhaimi itu amat menyiksakan jiwa Ahli Parlimen Rompin berkenaan. Di mana akhirnya beliau mencabar supaya Ustaz Suhaimi keluar masjid.

Mungkin cabar itu dibuat bagi "membelasah" Ustaz Suhaimi. Kerana kami difahamkan terdapat ramai puak-puak UMNO karat dan kroni Jamaluddin Jarjis sedang menunggu diluar. (Foto: Lihat gambaran JJ menjadi Imam Solat Jumaat) Melihat keadaan itu, beberapa orang jemaah dan sahabat beliau menasihat agar tidak keluar masjid bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Maka akhirnya Ustaz Suhaimi menjawap pelawaan JJ itu dengan berkata "Elok kita berbicara dalam masjid Dato'.. kerana ini rumah Allah dan lebih afdal dari diluar".

Ketika itu JJ dan kuncu-kuncunya telah menunggu dengan "geram" dan "penuh emosi" diluar. Mungkin bagi mereka, sekejap lagi Ustaz Suhaimi iaitu Imam yang membaca khutbah dan menjadi Imam solat Jumaat di Keratong 4 itu akan dibelasah cukup-cukup agaknya. Namun dek kerana beliau tidak keluar, akhirnya kumpulan Ahli Parlimen terbabit beredar dari masjid dengan perasaan yang amat kecewa. Mujurlah kejadian itu tidak berakhir dengan insiden yang lebih buruk lagi. Jika tidak sudah pasti satu peristiwa gempar akan berlaku di Masjid Keratong 4 siang tadi.

Peristiwa yang berlaku ini jelas sekali mencerminkan betapa buruknya keperibadian Ahli Parlimen Rompin itu. Maka sahlah keputusan Pak Lah untuk tidak melantik beliau kekal dalam kabinet barunya adalah tepat sekali. JJ sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa insiden yang amat memalukan termasuk kes "Raba Punggung" di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan sebelum ini namanya juga dikaitkan dengan kes "Norrita Samsuddin" hingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup siasatan kes tersebut dengan keputusan "tiada pembunuh sebenar". Bahkan lebih aneh lagi pihak polis menyatakan bahawa " terdapat dua lembaga yang tidak dikenalpasti telah membunuh pragawati itu".

Hingga sekarang ianya masih menjadi misteri. Apapun, ramai yang mengaitkan nama JJ dalam kes tersebut, samalah dengan TPM Najib yang dikaitkan dengan kes Altantunya selama ini. Sikap panas baran yang ditunjukkan oleh beliau itu, jelas sekali tidak menghormati kesucian "rumah Allah". Beliau tergamak menyerang Imam yang mengimami solat Jumaat dimana beliau sendiri menjadi makmumnya ketika itu. Apakah manusia seperti ini boleh dilantik dan dikekalkan sebagai pemimpin umat Islam.

Maka diharap dengan peristiwa ini, ia dapat memberi kesedaran kepada rakyat di Rompin agar menolak beliau dalam pilihanraya umum akan datang.

[Nampaknya kes ini bakal menjatuhkan resputasi JJ yang khabarnya sedang menginta untuk menjatuhkan Adnan Yaakob sebagai Menteri Besar Pahang tidak lama lagi. Kami difahamkan JJ sedang membina kekuatannya, kerana beliau tahu bila Najib Razak menjadi Perdana Menteri nanti sudah pastilah namanya akan naik sebagai calon yang paling sesuai ke jawatan MB Pahang itu.

Team Adnan harus berhati-jati dengan kelibat dan gerakan "grass root" yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Rompin yang paling biadap ini. Jika tidak negeri Pahang akan berada dalam "kegelapan" kerana ditadbir oleh kaki "raba punggung" dan "kaki skandal seks" seperti beliau itu].