Hari ini Selasa.
Bukan hari untuk menyaman sesiapa. Cuma menunggu apa jadi
dengan cakap-cakap Najib Razak akan menyaman tetapi tidak menjadi sehingga kini.
Hari ini Selasa.
Masih menunggu keputusan Pendaftar
Pertubuhan (ROS) untuk memberikan jawapan kepada permohonan Parti Pribumi
Bersatu (PPBM) mengenai pendaftaran parti itu. Diluluskan atau dibatalkan pendaftaran parti itu.
Juga apakah logo PPBM boleh digunakan pada pilihan raya
umum akan datang walaupun ada cakap-cakap bahawa semua parti Pakatan Harapan
(HARAPAN) terpaksa menggunakan logo PKR.
Ada pemimpin dan penyokong PPBM melenting dan marah jika
disebut HARAPAN terpaksa gunakan logo parti lain selain PPBM.
Namun realitinya?
PPBM sudah memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan RoS pada
Khamis lalu bagi menyerahkan semua dokumen berkaitan yang diminta olehnya.
Walaupun penantian ini dirasakan lama dan apa sahaja
kemungkinan akan berlaku, harapan tetap tinggi agar PPBM dan Logo PPBM dapat
digunakan pada pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan dalam masa terdekat.
RoS menghantar notis mengancam PPBM menghadapi risiko
dibatalkan pendaftaran bertarikh 28
Februari lalu, RoS juga memberi syarat
PPBM menyerahkan minit mesyuarat dan dokumen kewangan dalam masa 30 hari
daripada tarikh berkenaan.
Sebelum ini, pada lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, sudah mengakui parti itu tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan
perkara dituntut RoS menerusi notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan
1996 yang berkuat kuasa sejak 28 Februari lalu.
Dua tuntutan yang mungkin tidak boleh dipenuhi PPBM itu,
membabitkan laporan berkaitan perjalanan mesyuarat bahagian dan cawangan parti
itu seperti diarahkan menerusi notis terbabit.
Namun, usaha tetap dilakukan. Pemimpin dan penyokong PPBM
tidak pernah kalah dalam konteks semangat perjuangannya.
Selain itu, biarpun PPBM berpendirian bahawa tarikh akhir
melakukan perkara itu sepatutnya pada 9 April, iaitu tarikh surat diterima
dan bukan pada 29 Mac, PPBM tetap melakukannya.
Harapan ahli dan penyokong PPBM begitu menyala-nyala,
juga rakyat yang menentang rejim Najib Razak mahukan PPBM dibenarkan bertanding
atas logo dan parti PPBM yang dilihat mempunyai banyak kelebihan berbanding
UMNO dan PAS.
Dengan kekuatan sokongan sekutu PPBM - PKR, AMANAH dan
DAP – peperangan di ‘padang yang sama rata’, tanpa adanya tekanan dan halangan
dllihat akan memudah dan memberikan ruang adil kepada rakyat untuk menentukan
siapa kerajaan baharu yang sepatutnya memerintah Malaysia.
Dikira sejak Khamis, hari ini Selasa (3 April 2018), bermakna kini masuk hari lima
PPBM sudah memenuhi tuntutan notis RosS yang dikeluarkan di bawah Seksyen 14
(2) Akta Pertubuhan 1966.
Selepas semua dokumen sudah dihantar dan jika RoS masih
dengan sikapnya untuk tidak melepaskan PPBM agar boleh bertanding pilihan raya
dan menggunakan logonya sendiri, maka
akan terjawab dan terserlah syak wasangka dan punca sebenar kenapa PPBM
dihalang.
Dengan kata lain ia ibarat ‘ramalan benar belaka’.
Pertama, amat jelas kerajaan pimpinan Barisan Nasional
(BN)/UMNO sangat takut kepada perkembangan parti PPBM yang semakin mendapat
sokongan ramai. Ini tidak termasuk yang tidak ‘mendedahkan identiti mereka’.
Kedua, tindakan RoS menggambarkan kerajaan BN/UMNO mahu
mempertahankan Najib sebagai Perdana Menteri melalui apa cara sekali pun,
walaupun terpaksa melanggar lunas-lunas demokrasi;
Ketiga, menjadikan PPBM parti yang tidak diluluskan
merupakan usaha kerajaan BN/UMNO menimbulkan berbagai ‘salah faham’ dan
kepercayaan palsu bahawa PPBM sebagai penyebab gagalnya pendaftaran HARAPAN, termasuk menggunakan logo HARAPAN.
Keadaan ini sedikit sebanyak akan menyebabkan timbulnya
perasaan tidak puas hati di kalangan tertentu dalam komponen HARAPAN terhadap PPBM kerana masalah yang diakibatkan oleh
kehadirannya yang tidak mendapat kelulusan RoS, dan pailing penting
Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PPBM cuba
ditonjolkan sebagai ‘pemimpin gagal’ walaupun di peringkat partinya sendiri –
PPBM – kerana tidak mampu mentadbir parti seperti yang disyaratkan oleh RoS.
Dengan kegagalalan mentadbir PPBM, dengan sengaja
diajukan persoalan - bagaimana mungkin Dr Mahathir boleh mentadbir HARAPAN dan seterunya mentadbir negara?
Semua ini adalah helah dan permainan politik kerajaan
BN/UMNO bersama-sama RoS untuk menekan pembangkang, khususnya PPBM yang
menyebabkan HARAPAN terpalit sama.
Sehingga RoS dapat memberi atau menjelaskan apa, di mana
dan kedudukan sebenar kelemahan dokumen tambahaN yang diserahkan oleh PPBM kepada
mereka Khamis lalu, selagi itulah RoS dilihat sebagai dipergunakan sepenuhnya
oleh BN/UMNO.
Dokumen tambahan itu yang diserahkan oleh setiausaha
penganjur PPBM, Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya pada petang Khamis dirasakan
boleh memenuhi semua perkara yang dituntut oleh RoS.
Bagi PPBM, mereka merasakan telah mematuhi apa yang diperlukan oleh ROS. Menurut
seorang peguam yang enggan namanya didedahkan, PPBM dianggap sudah mematuhi
sepenuhnya syarat ROS dan berharap dibolehkan secara sah bertanding pada
Pilihan Raya Umum ke-14.
Rakyat memerhati semua peristiwa ini.
Malah, tidak keterlaluan jika dianggap RoS sebagai sebauh
agensi kerajaan sebenarnya sudah melakukan tindakan ‘kejam’ kepada parti
politik yang mendapat sokongan ramai.
Akan semakin ramai membenci RoS dan akan merugikan
kerajaan. Perbuatan mereka memang dianggap dan dilihat jahat dan kejam di mata
rakyat.
Sedangkan dalam surat bertarikh 30 Mac 2018, PPBM sudah menyatakan
harapannya agar ROS bersikap adil dan memberikan jawapan dalam tempoh dua hari
selepas ia diserahkan.
Dengan kata lain, surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PPBM, Datuk
Shaharuddin Md Salleh itu sudah menyatakan bahawa oleh kerana semua syarat dalam notis itu telah dipatuhi, RoS
tidak mempunyai sebab untuk tidak mendaftarkan HARAPAN.
Namun, harpan tinggal harapan.
Apakah dokumen tambahan terbaru yang diserahkan kepada
RoS itu juga akan hanya menjadi suatu
harapan?