Thursday, March 23, 2017

PERTELINGKAHAN RUU 355 – SENJATA MAKAN TUAN DI PIHAK NAJIB, HADI…


"Apakah jika dipaksa, parti komponen BN akan bersedia untuk mematuhi sahaja dalam kedudukan mereka tahu akan ditentang dan dibantah pengundi mereka dan pastinya menghukum mereka pada PRU14?"

Apakah nasib pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355?

Apakah ia akan tersadai di Dewan Rakyat walaupun sebelum ini  Barisan Nasional (BN), khususnya Timbalan Perdana Menteri mengatakan ia akan dibentangkan oleh kerajaan?

Kini tiada siapa yang tahu apa akan terjadi selepas Perdana Menteri semalam mengadakan pertemuan secara berasingan dengan pemimpin parti komponen BN berhubung isu berkenaan, demikian jika menurut laporan Oriental Daily semalam.

Apakah usaha PAS melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hanya menjadi ‘permainan politik’ UMNO untuk memerangkap PAS.

Ketidakyakinan Hadi kepada draf RUU355 yang akan dibentangkan Barisan Nasional (BN) ditunjukkan melalui kenyataannya bahawa PAS menganggap hasrat BN untuk membentangkan sendiri di Parlimen sebagai keputusan tidak muktamad.

Apakah ia akan menjadi cabaran besar kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan BN akan mngambil alih pembentangannya.

Hadi berkata, PAS memilih untuk melihat terlebih dahulu isi kandungan RUU355 dan berharap agar ia tidak menjejaskan kepentingan semua pihak.

“Kita tidak anggap itu muktamad. Kita hendak lihat drafnya dahulu. Kalau lain dari yang kita mahukan, itu sudah tidak betul. Kita tidak mahu bertindih, “tegasnya.

Jika demikian, berapa lama pula ‘ding-dong’ akan berlaku dan sabarkan penyokong PAS menunggunya?

 PAS yang menjadikan RUU355 sebagai wadah penting perjuangannya hinggakan menjadikan  sokongan terhadap perkara itu sebagai prasyarat sebarang rundingan dengan parti pembangkang lain untuk bekerjasama, turut terperangkap.


Kesian kepada yang datang ke Padang Merbok dengan penuh harapan agar RUU355 disegerakan kini tertanya-tanya sejauh mana berkesannya Presiden mereka dalam hubungan atau meminta sokongan UMNO.

Oriental Daily yang memetik satu sumber sebagai berkata bahawa parti-parti komponen BN, terutamanya dari Sarawak, menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan pindaan RUU355 itu.

Ekoran bantahan tersebut, tiada keputusan dibuat, dan meletakkan Datuk Seri Najib Abdul Razak Najib dalam dilema, kata sumber itu.

Bukan dilema semata-mata tetapi kinii jelas Najib tidak dapat mengawal parti lain selain UMNO dalam BN yang akan berdepan Pakatan Pembangkang – PKR, PPBM, AMANAH dan DAP – dalam pilihan raya umum akan datang.

Kedudukan PAS kini terumbang-ambing dan ada mengatakan ia akan bertanding bersendirian, sementara ada pula yang meramalkan akan bergabung dengan BN.

Malaysiakini melaporkan, diramalkan Najib pada mulanya merancang untuk membentangkan pindaan di Parlimen pada 6 April, hari terakhir sesi parlimen kali ini, tetapi kini dijangka menangguhkannya.

Akhbar harian itu membuat spekulasi bahawa persidangan Dewan Rakyat mungkin dilanjutkan hingga 10 April, untuk memudahkan perbincangan mengenai perkara itu semasa permukiman pemimpin BN yang dijadualkan antara 7 April dan 9 April.

Setiausaha kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, memberitahu akhbar itu bahawa sesi Parlimen sekarang mungkin dilanjutkan.
Cadangan pindaan Akta 355 itu pada mulanya dibawa oleh Presiden PAS itu.

Ia bertujuan untuk meningkatkan hukuman maksimum yang dikenakan oleh mahkamah Syariah kepada penjara 30 tahun, 100 sebatan dan denda RM100,000.


Sekiranya Akta 355 gagal dibentangkan segera dan kalah pada undian di Dewan Rakyat, di mana muka Hadi dan Najib akan disorokkan?

Penyokong PAS pastinya akan marah dan mungkin Akta 355 akan menjadi penghalang besar ke arah kerjasama dengan BN dan UMNO.

Selesakah PAS bekerjasama dengan BN jika banyak parti komponen atau semua parti komponen lain, kecuali UMNO menentang  RUU355?

Menurut akhbar berbahasa Cina itu, isu ini  mungkin dibangkitkan lagi dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing mengesahkan pertemuan dengan Najib itu kepada Borneo Post tetapi enggan mendedahkan apa yang berlaku.

Jelas sekali usaha BN khususnya UMNO dan Najib sendiri menggunakan RUU355 untuk merapatkan UMNO dan PAS bagi tujuan politik semakin kelam-kabut.

Benarlah ramalan dan telahan selama ini bahawa Akta 355 memang untuk laba politik UMNO-PAS namun sudah memakan diri sendiri.



Apakah jika dipaksa, parti komponen BN akan bersedia atau mematuhi sahaja dalam kedudukan mereka tahu akan ditentang dan dibantah pengundi mereka dan pastinya menghukum mereka pada PRU14 akan datang?

Atau apakah akan ada perpecahan di kalangan BN gara-gara isu ini, apalagi jika UMNO bekerjasama dengan PAS yang dilihat parti-parti komponen BN selain usaha UMNO ini sebagai usaha ‘penyatuan Melayu dan Islam’ untuk menjayakan pelaksanaan Hudud di Malaysia.

Pada ketika semua pihak, UMNO, PAS dan parti komponen BN bagai ‘cacing kepanasan’, pembangkang yang semakin bersatu melihat isu RUU355 sebagai ‘hadiah tidak ternilai’ untuk mereka.


Mungkin ia akan menjadi 'senjata makan tuan' kepada UMNO dan PAS juga keepada Najib dan Hadi dalam kaitannya dengan RUU355 ini!

MENTERI, PEMIMPIN POLITIK PRO-BN, EDITOR KINI DISERANG ‘VIRUS KERONGKONG’???


Jualan akhbar menurun tidak apa. Jumlah penonton televisyen merosot juga tidak apa.

Bagi bos-bos akhbar dan media prokerajaan, apa yang berlaku ketika ini tidak mengapa, asalkan mereka boleh terus duduk di kerusi empok.

Nasib dan masa depan pemberita yang bertugas dengan mereka walaupun berada dalam keadaan ‘telor di hujung tanduk’ akibat jualan akhbar, pendengar radio yang berkurangan  dan jumlah penonton televisyen yang menurun tidak menjadi soal.

Asalkan syarikat terus beroperasi, mereka tidak akan terjejas.

Kini penyakit baru pula yang datang, iaitu pemberita disekat untuk berada di lobi Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagi editoritupun tidak apa.

Sedangkan sebelum ini, malah ketika penulis membuat liputan di Parlimen dan kemudian bekerja di Parlimen antara 1980-an hingga 2006, adalah kebiasaan berpuluh petugas media dari pelbagai agensi berkumpul di lobi Parlimen.

Mereka berkumpul berhampiran beberapa pintu masuk ke Dewan Rakyat bagi menjalankan tugas mereka sedangkan pusat media pula terletak di tingkat bawah bahagian belakang bangunan Parlimen.

Mereka tidak akan bersuara kerana menjaga kedudukan mereka.

Bagi mereka, buatah apa pun, buatlah sesuka hati terhadap pemberita, khususnya anak buah mereka, asalkan jangan kacau kedudukan mereka di kerusi empok dan gaji besar mereka tidak diganggu, sudahlah.

Begitu juga dengan pemimpin politik kerajaan, mereka tidak akan bersuara. Bersuara nanti akan mendapat padah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat mungkin sudah mendapat ‘lampu hijau’ bos mereka. Nanti kalau berusara, kelak ‘terpijak wayar’ susah pula.

Menteri yang jaga tugas dan kebajikan pemberita, isi kandungan berita atau maklumat pun sudah tidak boleh diharap. Tidak akan bersuara untuk membela pemberita dan nasib mereka.

Pandikar Amin Mulia,,,larang pemberita di lobi Parlimen
Menteri lain yang menjaga kepentingan Parlimen, institusi media atau juga penyaluran maklumat tidak akan membuka mulut dan akan sepi ‘seribu bahasa’.

Kerja mereka hanya mempertahankan bos dan kalau boleh ‘memuja dan memuji sahaja’. Jangan harap ada pendapat berlainan (second opinion), alamatnya tidak kekal lamalah pada jawatan yang disandang mereka.

Siapa memperjuangkan masa depan pemberita dan demokrasi bersuara dan menyatakan pendapat di negara ini? Barisan Nasional (BN)? Jangan diharap sama sekali!!!

Jelas sekali pemberita di lapangan khususnya di Parlimen walaupun dilarang sedemikian rupa, malah seperti dihina, tiada siapa peduli dan aka nada perkataan dan tindakan ‘tidak apa’.

Ia tidak kena mengena dengan menteri, orang politik BN atau juga editor di syarikat yang menggaji mereka.

Gelaran editor, pengarang atau apa juga pangkatnya, asalkan bos berada di pejabat sudah baik untuk mereka. Anak buah dijadikan sasaran oleh Yang DiPertua Dewan Rakyat tidak ada kena kepada mereka.

Tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kelmarin yang membuat ketetapan melarang petugas media daripada berkumpul di lobi Parlimen berkuat kuasa serta merta pun tidak apa.

Mereka (pengarang, menteri, orang politik proBN serta pemimpin NGO berkaitan kerajaan) jelas sekali bersetuju dan akur sahaja dengan larangan itu.

Apakah arahan Pandikar Amin ini salah satu transformasi Parlimen yang kerajaan BN mahukan?

Nurul Izzah,,,pemberita bukan berkelah.
Apakah arahan pemberita hanya dibenarkan berada di pusat media yang telah disediakan sebagai sesuatu yang memang dikehendaki oleh BN. Suatu pembaharuan?

Tindakan dibuat kononnya berikutan rungutan yang diterima daripada ahli parlimen yang kurang selesa dengan kehadiran ramai petugas media di lokasi tersebut.

"Saya sendiri kurang selesa kerana saya rasa ada media di merata-rata seolah-olah ruang di luar sana (lobi Parlimen) adalah tempat berkelah.

"Sehubungan itu, saya membuat ketetapan bahawa wakil media massa yang hadir di Parlimen hendaklah membuat liputan sesi persidangan Dewan Rakyat atau sidang media ahli parlimen hanya di pusat media. Berkuat kuasa serta merta," katanya sejurus selepas sesi soal jawab lisan tamat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Siapa yang tidak selesa diserbu pemberita? Ahli Parlimen biasa atau yang memegang jawatan tertentu dalam parti dan kerajaan?

Apakah sebelum ini tidak ada Ahli Parlimen yang diserbu oleh pemberita?

Bertahun-tahun ia sudah menjadi amalan dan tidak pernahpun kejadian sebegini berlaku di bawah kepimpinan Perdana Menteri terdahulu daripada Najib.

Kenapa baru berlaku sekarang?

Kalau menteri atau pemimpin politik mempunyai jawapan yang baik dan jelas, kenapa takut?

Apakah pemimpin sekarang memang ‘pengecut’ dan tidak berani menerima asakan atau berdepan pemberita?


Kenapa begitu dayus? Atau suara mereka tersekat kerongkong? Apakah menteri dan pemimpin politik kerajaan, termasuk pemimpin NGO prokerajaan kini diserang oleh ‘sindrom sakit kerongkong’?

Virus apa yang membuatkan mereka’bisu dalam isu ini?’

Tidak akan ada ubat untuk penyakit sebegini. Mereka tidak akan sembuh, melainkan hanya ditumbangkan dalam pilihan raya untuk kembalikan maruah dan integriti Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Parlimen Malaysia.

Pandikar Amin berkata, Peraturan 94, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memberikan kebenaran kepada wakil media massa untuk membuat liputan di Parlimen.

Kebisuan pemimpin proBN dalam isu ini menggambarkan betapa mereka akan kekal berdiam diri seperti dalam isu kecurian dan penyelewengan RM2.6 bilion, isu 1MDB, GST, isu Felda dan kenaikan harga barang.
Yang membela dan bersuara hanyalah  pemimpin pembangkang, termasuk Ahli Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar semalam yang  membidas Pandikar Amin dalam isu ini.
Beliau menegaskan pemberita berkumpul di lobi parlimen bukan untuk "berkelah" tetapi untuk melakukan tugas mereka sebagai wartawan.
Nurul Izzah  kecewa dengan tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab Pandikar bahawa media telah menukar ruang legar menjadi 'tempat berkelah'.
"Pemberita berada di parlimen setiap hari persidangan, tanpa mengira perbahasan undang-undang atau berkenaan sesuatu isu. Petugas media menghabiskan waktu kerja mereka di koridor dan bukan di pusat media yang disediakan, menunjukkan betapa tidak praktikal dan tidak berkesannya kemudahan semasa di parlimen," katanya.
Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) kelmarin bangun untuk meminta penjelasan daripada Pandikar Amin selepas mengumumkan peraturan itu dengan mengatakan Parlimen perlu mengambil kira jarak pusat media dengan lobi Parlimen yang menyukarkan petugas media.

Faktor itu memaksa petugas media berkumpul di lobi Parlimen bagi mendapatkan respons atau maklumat balas segera daripada mana-mana ahli parlimen dan menteri Kabinet berhubung isu dan perkara tertentu.

Kenyataan Pandikar Amin bahawa  tidak ada mana-mana ahli parlimen di negara lain yang diterjah petugas media sejurus keluar dari dewan persidangan hanyalah alasan.

Jika demikian, perlu ada satu peraturan khusus diperkenalkan oleh kerajaan  di negara ini melalui SOP mengenai sidang media, liputan persidangan, kenyataan di medan lapangan dan juga liputan di Parlimen.

Pengenalan peraturan seperti dilakukan Pandikar Amin kelmarin menggangu tugas pemberita dan wartawan.

Jika menteri, orang politik atau sesiapa juga tidak mahu diganggu, maka tugas wartawan juga jangan diganggu dan dihormati.

‘Memerangi wartawan’ akan memberikan kesan buruk kepada kerajaan yang kini sudahpun diburukkan dengan berbagai is nasional dan antarabangsa.

Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan ssuatu tindakan MULIA selain tidak membantu kerajaan tetapi jelas sekali ia satu lagi episod nyata mengenai kebimbangan amat sangat kerajaan terhadap media akibat perbuatan buruk pemimpin kerajaan, khususnya Perdana Menteri..