Wednesday, September 20, 2017

ALAHAI PERDANA MENTERIKU, MALAYSIAKU, RAKYAT TURUT TERPALIT...


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah digelar oleh Australia (hanya sebuah negara) sebagai 'recalcitrant' atau ‘keras kepala’ atau lebih tepat,  bekas Perdana Negara itu, Paul Keating.

Maka ramailah menteri dan media pun mempertahankan Dr Mahathir serta menyanggah dan mengkritik balik Keating.

Tapi kini apalah nasib negaraku Malaysia.

Kelmarin 16 September 2017, sambut ulangtahun kelahiran Malaysia.

Rencana penulis di Berita Minggu mengenai kritikan Keating pada 1993. (Gambar pertemuan diambil oleh saya di Cyprus pada Oktober 1993).
Apakah Malaysia hari ini dikenali sebagai negara ‘maju di kalangan negara membangun’ dan pemimpin utamanya dihormati dunia?

Atau Malaysia kini lebih dikenali sebagai negara kleptokrasi yang memalukan rakyatnya di dalam dan di luar negara?

Bukan sekadar itu sahaja.

Perdana Menteri yang memimpin ‘parti suci UMNO’ dan Barisan Nasional (BN) turut dikenali di serata dunia.

Kerana apa?

Selepas dikenali sebagai MO1 atau Malaysia Official 1 yang kemudian diberikan pula gelaran ‘PM Kleptokrat’.

Memalukan lagi, kini satu lagi gelaran disebut oleh majalah antarabangsa Newsweek, iaitu ‘Crook’ atau ‘penjahat’.  Ada pula mengatakan Malaysia ini sebagai paya atau ‘swamp’

Apa dah jadi?


Jika ‘MO1’ lebih berkait rapat dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat oleh beberapa negara dunia, selain beberapa tangkapan dan penutupan bank di buat di Singapura, Switzerland serta juga sebuah negara di Asia Barat, ‘kleptokrat’ pula dikaitkan dengan ‘pencuri dan perompak’ yang dibenci dunia.

Akibat pendedahan demi pendedahan mengenai isu RM2.6 bilion dan siasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan gelaran dibuat oleh media antarabangsa, pemimpin pembangkang khususnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kini menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘perompak, pencuri, penyangak dan penyamun’.

Belum ada sebelum ini seorang Perdana Menteri dihina sebegitu rupa dalam konteks ‘mencuri harta rakyat’.

Kemarahan rakyat sebelum ini kepada Dr Mahathir yang menggelarnya sebagai ‘Mahazalim’ dan ‘Maha Firaun’ lebih kepada isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemenjaraan beliau selepas mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Kes gelaran kepada Dr Mahathir itu tidak membabitkan kecurian harta rakyat dan rakyat merasa teraninaya kerana sebab-sebab ekonomi, pendapatan merosot, kenaikan harga barang dan pengangguran.

Antara 'Crook' filem Melayu
Sebaliknya sebahagian besar rakyat memuji langkah Dr Mahathir kerana memerangi ‘penyangak mata wang Geroge Soros’ dan menambat mata wang Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat.

BN dan UMNO tetap menang pilihan raya umum 1999 dengan kemenangan di Dewan Rakyat yang memuaskan.

Gelaran diberikan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada akhir abad ke 20 lebih kepada isu politik, bukan terpalit dengan isu ekonomi dan pelaburan seperti sekarang.

Lagipun gelaran itu tidaklah terkenal ke seluruh dunia dan jika yang maklum mengenai gelaran itu mungkin rakyat di Singapura atau Indonesia sahaja. Mereka yang faham bahasa Melayu.

Namun gelaran MO1 sangat terkenal di AS dan kleptokrasi pula adalah istilah antarabangsa yang digunakan di seluruh dunia.

Mengejutkan lagi,  sejak balik dari lawatannya ke Washington bertemu Presiden AS, Donald Trump, Najib mendapat gelaran terbaru, iaitu ‘Crook’.

Apa itu ‘Crook’? Dalam filem pastinya watak jahat. Dalam filem Melayu, crook ialah Salleh Kamil, A Rahim, Haji Arshad, Mahmud Jun atau paling tidak pun Shariff Dol iaitu ‘Samseng Kampung Dusun’.

Jika Crook filem Melayu hanya di kampung, tetapi  ‘Perdana Menteri Crook’ yang digambarkan oleh Newsweek berkaitan dengan isu antabangsa.

Menariknya yang memberikan gelaran berkenaan dan digunakan oleh Newsweek ialah bekas pengerusi Bank Dunia, Paul Wolffowitz.


Majalah terbitan AS itu pada edisi 15 September menyiarkan tulisan bekas duta itu selepas Presiden Donald Trump menerima lawatan Najib ke Rumah Putih pada 12 September. (Komentar Wolfowitz itu asalnya mucul di laman sesawang American Enterprise Institute (AEI) tetapi menggunakan judul yang lain - This is not draining the swamp. Newsweek kemudian mengolah semula judul rencana itu menjadi Trump's meeting with Malaysian crook reeks of the swamp.)

Malah seorang pakar Australia di Asia Tenggara dipetik sebagai berkata oleh New York Times bahawa dari sudut pandang perhubungan awam, ia adalah pertemuan yang harus dielakkan Rumah Putih.

Najib mencipta sejarah kerana selepas 60 tahun, orang Melayu terkenal lagi di arena antarabangsa apabila pemimpin mereka digelar sebagai ‘crook’ oleh pemimpin antarabangsa dan majalah antarabangsa.

Mungkin di pihak Pejabat Perdana Menteri dan UMNO menganggap gelaran itu sebagai perkara kecil.

Atau mungkin juga anggota Kabinet Najib dan pemimpin UMNO/BN jadi bisu kerana tergamam atau terpaksa mengakui kedudukan sebenar Najib di mata dunia ketika ini.

Najib dan Malaysia kini sudah tidak lagi memiliki darjat yang murni sebaliknya boleh diberikan gelaran dengan sewenang-wenangnya.

Penyokong Najib pula ramai seperti mengiakan sahaja kerana berdiam diri.

Jika mereka ‘ada telor’ atau memang mahu mempertahankan Najib bermati-matian, langkah menyaman atau membantah tindakan secara besar-besaran kepada media asing daripada AS itu perlu dilakukan.

Mana pergi pemimpin UMNO yang lantang, khususnya Pemuda UMNO. Mana pergi NGO yang menyokong Najib? Kenapa membisu? Turut malu?

Sesuatu  yang pasti, kritikan media Barat terhadap pertemuan Trump dengan ‘penjahat itu’ sebagai sesuatu yang  tersangat "malang" dan memalukan.

Ia pastinya akan meninggalkan kesan lama di hati dan sanubari rakyat bahawa untuk pertama kalinya, seorang Perdana Menteri Malaysia mendapat tiga gelaran dunia yang membawa kesan yang sangat negatif.

Wednesday, September 13, 2017

NAJIB KEPADA TRUMP - MUSUHMU MUSUHKU JUA, DUITKU DUITMU JUA...


Pada pertemuan di Cabinet Room, Rumah Putih Washington semalam, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana sama-sama mahu membantu memerangi pengganas Islam, khususnya Daesh.

Pada pertemuan itu, Najib bukan ‘minta wang’ AS tetapi menawarkan wang termasuk dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Khazanah Nasional Berhad.

Trump kelihatan begitu bangga kerana Malaysia berikrar mahu  membantu mengukuhkan ekonomi negara kuasa besar itu.

Apakah kita sebuah negara lebih kaya atau setanding dengan Uncle Sam sehingga kita mampu untuk mengukuhkan ekonomi AS?

Apa pula tukaran atau balasan yang akan diberikan AS dalam bentuk ekonomi kepada kita?

Sehingga kini, TIADA!!!

Ini kerana dalam kenyataan Trump semalam di hadapan Najib dan delegasi Malaysia semalam, di pihak Trump tidak menjanjikan apa-apa.

Malah, Najib juga mendapat pujian kerana berjanji akan membantu AS untuk menjadikan rantau sebelah Timur sebagai rantau ‘stabil’ dan akan terus menjadi rakan karib Washington.

"Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan ISIS, atau anda gelar Daesh, dan lain-lainnya untuk wujud. Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan merupakan penyokong kuat bagi pendirian itu, “ demikian kata Trump.


Dengan kata lain, Kuala Lumpur bangga kerana berjaya menangani ancaman Negara Islam (IS) melalui promosi wasatiyah dan melalui program antiradikalisasi yang di sebut Najib merekodkan kadar kejayaan 90 peratus.

Dengan kata lain juga , bagi Trump, musuhnya juga musuh Malaysia. Bagi Najib, 'musuhmu musuhku jua’.

Suatu penegasan yang pastinya menggembirakan Trump, apalagi baru kelmarin mengenakan sekatan terhadap Korea Utara kerana ujian senjata yang tanpa henti oleh Pyongyang.

Namun di sebalik itu, apakah yang menuntungkan Malaysia selain janji diplomatik dan kepuasan yang ditawarkan Najib kepada Trump?

Melalui siaran CNN semalam yang menunjukkan pertemuan dua delegasi – Malaysia dan AS -  jelas sekali Najib menunaikan janjinya seperti disebut pada wawancara dengan Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa pertemuannya dengan Presiden itu ‘bukanlah untuk meminta wang’.

Najib sebelum ini mengatakan tujuannya ke Washington bertujuan menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara penting kepada AS dan dijadikan  rakan memerangi keganasan.

Seperti kata Najib, “Kita datang bukan untuk meminta wang tetapi datang sebagai sebuah negara yang sedang berkembang pesat dan bakal berada dalam kalangan 20 negara maju.

'Kita datang untuk beritahu bahawa kita boleh dijadikan rakan untuk memerangi keganasan dengan kita mengamalkan Islam sebenar,” beliau dipetik Utusan Malaysia 12 Sep 2017sebagai berkata.

Jelas dan benar.

Najib mengotakan kata-katanya apabila beliau membuat komitmen, antaranya membuat pelaburan untuk membantu negara itu lebih maju.

Malaysia mahu membuktikan kita bermaruah dan mempunyai banyak wang untuk melabur di negara itu sebagai rakan rapat.


Trump begitu gembira bertemu Najib dan selepas mengucapkan selamat datang, menyebut Malaysia memang rakan dagangan dan pelaburan penting kepada AS, selepas Malaysia bersetuju membeli pesawat Boeing (buatan AS) berjumlah AS$10 bilion.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus. Siapa delegasi Malaysia?

Delegasi Malaysia ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Delegasi AS yang mendengar janji dan ikrar Najib dan delegasi Malaysia, selain Trump ialah Naib Presiden, Mike Pence; Setiausaha Negara, Rex Tillerson; Menteri Pertahanan James Mattis; Ketua Staf, Jeneral John Kelly; Penasihat Keselamatan Negara Leftenan, Jeneral HR McMaster dan Penasihat Kanan, Jared Kushner.

Apakah kesemua anggota delegasi Malaysia bersama Najib itu bertanggungjawab dengan kesemua pelaburan yang dicadangkan Najib dan apakah mereka juga bertanggungjawab untuk semua itu jika ada sebarang masalah?

Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB).

"Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat."

Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga tersebut akan bernilai melebihi US$10 bilion

Dengan jumlah AS$10 bilion atau RM42 bilion itu pastinya Malaysia sangat dialu-alukan untuk bersahabat dengan AS, malah kedatangan Najib ‘memang dinanti’.


Selain itu, Najib turut mengatakan, Malaysia bersedia melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di AS dengan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu.

Perdana Menteri berkata  KWSP sahaja dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion (US$1 = RM4.19) di negara tersebut.

"Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, semalam.

Hebat sekali kita di mata dunia.

Kita menawarkan wang kira-kira AS$17 bilion untuk kukuhkan ekonomi AS tetapi sejauh ini belum ada laporan komitmen Washington membantu mengukuhkan ekonomi kita.

Tidak tahulah apa bentuk pelaburan AS yang akan dijanjikan selepas ini.

Namun yang pasti sehingga saat ini, hasil lawatan  itu, bagi Najib ‘duitku, duitmu jua...’ dalam konteks hubungan AS-Malaysia.

Saturday, September 9, 2017

LAWATAN KE AS - NAJIB 'CEMARKAN' PEJABAT OVAL, RUMAH PUTIH???


Sebaik menjejakkan  sahaja kaki di Malaysia selepas lawatan ke Washington selepas 12 September 2017 nanti, Najib Razak akan memberitahu akhbar Malaysia bahawa ‘lawatannya berjaya dan hubungan Malaysia-AS semakin kukuh’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memberitahu wartawan di Malaysia bahawa lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) memberikan keyakinan kepada Washington bahawa Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai.

Dalam bidang apa? Ia pastinya membabitkan hubungan dua hala, pelbagai hala perdagangan, pelaburan dan hal ehwal keselamatan.

Malah, yang paling penting, Najib mahu meyakinkan rakyat Malaysia, terutamanya pengundi,  beliau ialah pemimpin bersih dan bebas rasuah serta bukan Perdana Menteri negara Kleptokrasi.

Maknanya di sini, jika beliau cuba memberitahu - jika benar membuat kesalahan, sudah pati beliau hanya dapat pergi dan tidak mungkin kembali ke tanah air.

Najib mahu kemenangan moral untuk dirinya dan Barisan Nasional, apa lagi dengan kedudukan ‘bebasnya’ beliau di AS,  menggambarkan dirinya bebas dan 'seputih kapas'.

Hakikat yang rakyat umum sudah ketahui ialah Najib memang bebas daripada siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS sejauh ini, namun bagaimana dengan ahli keluarga dan kroninya?

Najib dijadual terbang ke AS pada 12 September depan atas undangan Presiden AS,  Donal Trump sempena 60 tahun hubungan dua hala Malaysia-AS.


Walaupun diserang teruk oleh media asing kerana dasar kerasnya terhadap pembangkang, kepada pemberi maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta beberapa pihak lain, Najib pastinya akan berbangga-bangga  mengatakan hubungan Malaysia dan AS semakin baik.

Beliau akan menegaskan sedemikian sebagai salah satu langkah kempen politiknya untuk menambat hati rakyat agar menyokongnya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Malah Pejabat Oval akan dijadikan ‘senjata’ oleh Najib kononnya Trump merestui beliau dalam hubungan dengan isu memerangi keganasan selain kerjasama ekonomi di rantau sebelah Timur.

Malah Malaysia juga akan dikatakan oleh Najib membantu AS dalam banyak perkara.
Semestinya antara perkara ialah usaha Malaysia menyertai AS memerangi keganasan dan ancaman tentera pelampau Islam sama ada di rantau sebelah sini atau juga di Asia Barat.

Segalanya perlu ditunjukkan baik, mesra dan menyebelahi Najib, namun hakikatnya jika menurut The Wall Street Journal (WSJ), Najib sudah ‘tercemar’:

1    
1. 
Tiga akhbar utama AS, WSJ, The Washington Post dan New York Times sedang menunggu kedatangan Najib untuk membuka lebih banyak ‘rahsia’ kerakusan dan perbuatan salah laku Najib;
 
2.  Najib dikatakan akan mencemarkan Pejabat Oval yang masih dilihat bersih oleh rakyat AS dan masyarakat dunia kerana disitulah Presiden AS membuat kenyataan penting memerangi rasuah dunia, pengubahan wang haram, memerangi keganasan, memerangi senjata nuclear, termasuk menentang kleptokrasi;
 
3.    Seperti Presiden AS sebelumnya, Barrack Obama, Trump dilihat melakukan kesilapan besar kerana melayan Najib yang ternyata terbabit dalam beberapa perkara, termasuk demokrasi, hak asasi manusia dan  yang menyebabkan berlakunya perkara buruk kepada institusi kewangan AS sendiri dan beberapa bank-bank bertaraf dunia;
 
4.    Trump dilihat tidak mempedulikan seruan dan permintaan jangan melayan Najib kerana tingkah laku Najib  yang jelas ‘tidak memainkan peranan menyekat syarikat Korea Utara dalam isu senjata dari Korea Utara’ serta menggunakan ‘buruh paksa dari Korea Utara di Sarawak’; dan
 
5.     Najib turut berhadapan dengan serangan media AS di negara itu dan seluruh dunia yang sudahpun menggelarnya sebagai “Perdana Menteri Malaysia yang terpalit skandal” (WSJ), “pemimpin Malaysia yang terlibat skandal berbilion dolar” (The New York Times) dan “PM Najib, antara pemimpin Asia paling kontroversi” (The Washington Post).


Akhbar seperti WSJ yang sebelum ini ternyata   mencetuskan keberangan Najib dan penyokong BN berhubung laporannya mengenai 1MDB, kini tidak akan berdiam diri dan akan menjadikan lawatan pemimpin negara itu ke White House dan perjumpaan dengan Presiden AS itu sebagai sasarannya.

      WSJ sudah mengingatkan pentadbiran Trump kelmarin (7 September 2017) bahawa ia  berhadapan risiko jika berjumpa dengan Najib. Apakah peringatan itu?

Trump akan  "dihina" dengan cara yang sama seperti Presiden Barack Obama, sebelum ini apabila kes yang sama di mana penentang kerajaan akan dihukum atau dihumbankan ke penjara.

Sejarah tidak mudah dilupakan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dihumban ke dalam penjara hanya dua bulan selepas Obama bermain golf dengan Najib di Hawaii dan lawatan bersejarah presiden Amerika itu ke Malaysia pada April 2014.

Rumah Putih  diingatkan, pada pertemuan itu, kelebihan mungkin akan diperolehi oleh Najib kerana pastinya Trump dilihat menyekutukan diri mereka bersama seorang pemimpin yang sedang disiasat sendiri oleh DOJ AS.

Media dan pihak tertentu di AS ‘mengalu-alukan kedatangan Najib’  yang menyifatkan mereka tahu siapa dan perbuatan Najib dan anggota keluarga serta kroninya. Mereka memberi amaran, ‘semua pakar dasar luar di negara itu tahu siapa Malaysian Official 1’.

Lawatan Najib itu disifatkan tidak bermakna dan tidak akan membantu Najib, termasuk dalam usaha DOJ  AS menyita aset berkaitan 1MDB yang didakwa 'dicuci' ke dalam sistem kewangan negara itu.


Sebelum ini pada 3  September 2017, The Washington Post melalui lidah pengarangnya menyifatkan Najib dan Trump banyak persamaan.

Dengan menyifatkan Najib sebagai ‘nasionalis dengan kecenderungan autoritarian’, Najib dan Trump sama-sama terlibat dalam siasatan besar Jabatan Keadilan (DOJ) AS.

Isunya ialah kedua-duanya memecat penguatkuasa kanan dalam kerajaan masing-masing untuk cuba mempengaruhi siasatan siasatan itu.

Selain itu  menurut kolumnis The Washington Post, Josh Rogin, kedua-dua mereka  memainkan politik etnik dan menggunakan retorik nasionalis untuk membangkitkan kemarahan terhadap golongan lain.

Di sebalik persamaan, ada perbezaan di mana walaupun Trump mahukan musuh politiknya dipenjarakan, di Malaysia perkara itu telah menjadi rutin.

Ketika Trump menggunakan retorik untuk melemahkan kewibawaan media bebas, Najib menggunakan undang-undang jenayah untuk mendiamkan mereka.

Malah, yang tiada di AS ialah, dalam siasatan jenayah terhadap 1MDB di Malaysia, pihak berkuasa Malaysia seperti didedahkan oleh  Penyiasat AS menghadapi masalah kerana beberapa individu yang mungkin menjadi saksi, terlalu takut untuk bercakap.

Laporan  rangkaian media AS, Bloomberg menyebut, sesetengan  di "negara-negara asing" (termasuk Malaysia) yang telah membantu siasatan jenayah, bimbang dengan keselamatan mereka.

Yang lain mengatakan ia terlalu berbahaya untuk bekerjasama, kata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam satu pemfailan di Mahkamah Persekutuan di Los Angeles 5 September lalu.

FBI dikatakan  meminta supaya dirahsiakan nama-nama pemberi maklumat daripada pihak yang didakwa dalang konspirasi 1MDB itu.

Individu-individu berkenaan berkata mereka bimbang untuk meletakkan "keselamatan diri mereka dan keluarga mereka dalam risiko yang serius, kata FBI dalam pemfailannya itu.

Berbalik kepada media Malaysia, sama ada yang membuat laporan dari sana atau di Malaysia sendiri, Najib pastinya akan ‘bercakap besar’  bahawa syarikat-syarikat AS akan lihat Malaysia antara negara-negara utama untuk pelaburan.

Namun yang pasti, walaupun Najib dan kumpulannya berusaha membersihkan dirinya melalui lawatan ke Washington ini, hakikat sebenar ialah, imej Najib dan kerajaannya akan semakin buruk dan parah.

Banyak lagi isu yang belum terdedah akan didedahkan oleh media AS.

Pasukan media Najib akan berdepan dengan tugas menyuci dan membersihkan imej Najib yang semakin ‘tercemar’ hasil lawatannya bertemu Triump.

Najib bukan setakat gagal menyekat dirinya ‘dicemarkan’ oleh media dan pihak tertentu di AS tetapi Pejabat Oval dan Rumah Putih juga ‘turut tercemar dengan lawatan Najib’ itu. 

Saturday, September 2, 2017

SIAPA TERKESAN JIKA TIADA LAGI ‘BAYARAN UNTUK PENGUNDI LUAR’?


Kenyataan menarik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini ialah “beri pengundi elaun perjalanan ialah rasuah”.

Selepas berkali-kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil di negara ini, kenyataan ini bukan sahaja perlu diambil perhatian berat oleh parti pembangkang tetapi lebih penting kepada parti pemerintah, khususnya Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Isu ‘bayaran  elaun untuk  pengundi' khususnya 'bayaran untuk pengundi luar’ ini sering menjadi isu dalam UMNO dan PAS. Ini kerana dua parti inilah paling banyak menyediakan peruntukan kepada pengundi luar.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, parti lain juga turut terlibat. Hanya bukti yang mampu menyerlahkan siapa yang paling banyak dan yang siapa pula yang untung daripadanya.

Selepas terlibat dalam setiap pilihan raya umum secara langsung sejak 1986, penulis melihat isu ‘peruntukan untuk pengundi luar’ ini bukan sesuatu yang asing. Ia peruntukan dimestikan, khususnya oleh UMNO dan PAS.

Malah faktor kepulangan pengundi luar bukan isu kecil.

Ada Parlimen di Terengganu yang dikuasai oleh PAS melimpah dengan 'pengundi luar' yang menyokong calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri datangnya dari seluruh pelusuk tanah air.

Mereka 'digelar pengundi haram' tetapi sebenarnya mereka adalah bekas pelajar di sebuah masjid yang oleh seseorang yang terkenal. Tidak diketahui berapa jumlah bayaran diberikan kepada pengundi berkenaan.


UMNO juga sering mengeluh di Kelantan dan Terengganu, khususnya pada sebelah petang hari pilihan raya apabila pulangnya ‘perantau’ untuk mengundi, khususnya menyokong pembangkang – PAS.

PAS diketahui umum turut  menyediakan peruntukan ini dan mereka tidak boleh menafikannya.

Cuma PAS lebih bijak kerana mereka membayar kepada mereka di Pantai Barat, khususnya di Lembah Kelang.

Juga ramai ‘pengundi luar untuk UMNO dan PAS’ dari Johor dan selatan Thailand dan bayaran juga dibuat di sempadan umpamanya di Merapoh dan Gua Musang atau di Gambang dan Kuantan jika ke Terengganu atau di sempadan Malaysia-Thailand.

Kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki bahawa  penawaran sebarang bentuk dorongan kepada pengundi, tidak kira wang tunai atau hadiah, dianggap rasuah.

Malah menurutnya, tindakan menawarkan elaun perjalanan kepada pengundi pulang ke kampung halaman mengundi ialah satu bentuk rasuah.

Perkara ini sering diremehkan oleh pembangkang, tidak kiralah di negeri mana pun, sedangkan bagi
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang dipetik Sin Chew Daily berpendapat  penawaran sebarang bentuk dorongan, tidak kira wang tunai atau hadiah, dianggap rasuah.

Isunya kenapa baharu sekarang SPRM timbulkan isu ini?

Kenapa ia tidak dikuatkuasakan melalui kesalahan Akta Pilihanraya sebelum ini  yang akan membolehkan parti politik membuat bantahan atau memohon perintah mahkamah?

Dengan jelas Azam menegaskan calon atau ahli parti politik menawarkan elaun kepada pengundi untuk mengundi mereka, walaupun hanya RM50 ialah tindakan merasuah.



Isu peruntukan untuk pengundi luar bukan sedikit, malah melibatkan jutaan ringgit.

Apa yang menarik, kadangkala wang dijanjikan tidak pernah diterima oleh pengundi luar akibat ‘disamun oleh pemimpin tertentu’.

Ada juga banyak kes jumlah yang dibayar jauh lebih kecil daripada dijanjikan.

Berikutan itu berbagai masalah timbul  namun, tiada sebarang tindakan dibuat oleh kepimpinan parti UMNO dan PAS dalam isu ‘wang untuk pengundi luar ini’.

Ada juga yang ‘kaya’ hasil daripada melesap dan ‘mencuri peruntukan untuk pengundi luar ini’.

Akibatnya parti yang mengharapkan sokongan pengundi luar menjadi mangsa pada pilihan raya akan datang kerana mereka yang terkena atau yang dinafikan hak mereka tidak lagi pulang mengundi atau kalau pulang pun tidak mengundi lagi parti yang pernah menipu mereka.

Kali ini, menjelang pilihan raya umum ke-14, semua parti politik tidak dibenrakan lagi  menggunakan wang untuk pengundi luar dan membeli undi.

Jika didapati sedemikian, kelayakan calon sesebuah parti akan dibatalkan.

Isunya, cukupkah kakitangan SPRM untuk memantau perbuatan ini?

Atau apakah ia juga akan bergantung kepada laporan parti tertentu terhadap parti yang lain?

Apakah nanti selepas pilihan raya SPRM akan dibebankan pula dengan isu ‘wang untuk pengundi luar’ dan kesalahan berkaitan membeli undi?

Janji Azam,  sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh PRU14, sebuah pasukan penguatkuasaan yang terdiri daripada SPRM dan polis akan ditubuhkan untuk memantau aktiviti rasuah di kalangan ahli politik.

“Pasukan penguatkuasa akan mengambil tindakan berdasarkan aduan orang ramai, termasuk menggunakan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta SPRM dan Kanun Keseksaan untuk menyiasat aduan,” katanya.

Menarik untuk melihat apa kesan janji SPRM ini selepas PRU14.

Siapa akan terkesan jika SPRM benar-benar menguatkuasa dan mengambil tindakan? UMNO, PAS atau parti-parti lain?

Cumanya,  apakah SPRM mendapat nasihat daripada pihak tertentu bahawa pergerakan pengundi untuk parti pembangkang juga besar yang mengakibatkan calon parti pemerintah di negeri  tertentu tewas sebelum ini?

SPRM jangan memerangkap pihak tertentu sahaja.

Sebaliknya laksanakan penguatkuasaannya secara menyeluruh. Ini  kerana semua tahu bahawa BN melalui UMNO menyediakan peruntukan besar hingga berjuta-juta ringgit bagi tujuan membeli undi dan ‘membawa pulang perantau untuk mengundi mereka’.


Persoalan paling penting ialah terkesankan BN/UMNO?